Selasa, Jun 09, 2009

TAWARAN DUNIA. (Bhg 3)

Kedua : Penjelasan tentang makna hikmah (kebijaksanaan) yang menjadi prinsip dakwah Rasulullah s.a.w.

Sesungguhnya syariat Islam telah menentukan sarananya untuk mencapai matlamat. Kita tidak boleh mencapai tujuan yang disyariatkan Allah kecuali dengan jalan tertentu yang telah dijadikan Allah sebagai sarana untuk mencapainya. Semua kebijaksanaan dan polisi dakwah Islam harus dirumuskan sesuai dengan batas-batas sarana yang telah disyariatkan.

Apakah kurang bijaksana seandainya Rasulullah s.a.w. menerima tawaran kaum Quraish untuk menjadi penguasa dan raja kerana melalui kekuasaan itu baginda mampu memenafaatkannya sebagai sarana dakwah Islam? Apatah lagi kekuasaan dan pemerintahan itu memiliki pengaruh besar di dalam jiwa manusia seperti yang biasa dilakukan oleh penganjur ideologi yang baru merebut kekuasaan. Mereka akan terus memenafaatkan kekuasaan itu untuk memaksa pemikiran dan ideologi mereka diterima oleh rakyat.

Sebaliknya Nabi s.a.w. tidak mahu melaksanakan cara-cara seperti ini didalam dakwahnya kerana ia bertentangan dengan prinsip-prinsip dakwah Islam itu sendiri. Jika sarana ini dibenarkan dan dianggap sebagai kebijaksanaan yang syarie, niscaya tidak akan ada bedanya antara orang yang jujur dan yang dusta, antara dakwah Islam dan dakwah kebathilan. Kemuliaan dan kejujuran adalah landasan utama falsafah agama ini (Islam) dan sarana harus didasarkan kepada prinsip kejujuran, kebenaran dan kemuliaan.

Disinilah makanya, para daie Islam dituntut untuk lebih banyak berkorban dan berjihad kerana mereka tidak dibenarkan menempuh jalan dan sarana sekehendak hatinya. Mereka dituntut untuk mengambil jalan dan sarana yang sudah disyariatkan walaupun terpaksa berhadapan dengan risiko yang pelbagai. Adalah menjadi kekeliruan, seandainya kita beranggapan bahwa prinsip hikmah (kebijaksanaan) dalam dakwah Islam disyariatkan bagi mempermudah tugas seorang daie atau untuk menghindari penderitaan dan kesulitan. Rahsia disyariatkan prinsip hikmah dalam dakwah adalah untuk mengambil jalan dan sarana yang paling efektif agar mampu diterima oleh akal dan pemikiran manusia. Artinya, apabila perjuangan dakwah berhadapan dengan beraneka ragam rintangan dan hambatan, maka langkah yang bijaksana bagi para daie dalam hal ini ialah melakukan persiapan untuk berjihad dan berkorban dengan jiwa dan harta. Disinilah terletaknya perbedaan antara hikmah dan tipu daya serta antara hikmah dan menyerah.

Rasulullah s.a.w. sendiri ditegur oleh Allah swt dalam surah Abasa walaupun tujuannya sangat mulia kerana cara tersebut mengandungi sikap yang tidak dibenarkan didalam syariat Islam akibat mengabaikan dan menyakiti hati Ibnu Makhtum kerana ingin menarik hati kaum musyrik. Tegasnya tidak seorang pun dibenarkan untuk mengubah, melanggar dan meremehkan hukum-hukum dan prinsip-prinsip Islam dengan dalih kebijaksanaan dalam berdakwah. Sebab suatu kebijaksanaan itu tidak boleh disebut bijak jika tidak terikat oleh ketentuan-ketentuan syariat dan prinsip-prinsipnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan