Ahad, November 29, 2009

Apabila Orang Alim Berdoa.

Diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a. bahwa Rasulullah s.a.w. bersabda : "Terdapat 3 golongan mereka yang tidak akan ditolak doanya iaitu pemimpin (penguasa) yang adil, orang yang berpuasa sehingga ia berbuka dan orang yang dianiaya. Doa mereka itu diangkat Allah dan pada hari kiamat akan dibukakan untuknya pintu-pintu langit dan Allah berfirman 'Demi keagungan Ku, Aku akan menolongmu walaupun sesudah suatu waktu'". (HR : Imam Ahmad, Tirmidzi, Nasa'i dan Ibnu Majah)

Hadis diatas memberikan penjelasan bahwa terdapat 3 golongan manusia yang tidak akan ditolak doanya oleh Allah swt.

Golongan pertama, pemimpin (penguasa) yang adil iaitu, pemimpin yang selalu membela orang yang benar dan menghukum mereka yang salah tanpa pilih kasih, yang mendahulukan kepentingan rakyat serta menggunakan pangkat dan kedudukannya semata-mata untuk kesejahteraan umat dengan niat kerana Allah.

Golongan kedua, orang yang berpuasa hingga ia berbuka. Orang yang sedang berpuasa adalah orang yang paling hampir untuk dikabulkan doanya. Diriwayatkan oleh Imam Abu Daud dari Abdullah bin Umar bahwa dia mengatakan dirinya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: "Orang yang berpuasa memiliki doa yang mustajab pada masa berbuka".

Golongan ketiga, doa orang-orang yang teraniaya iaitu orang-orang yang ditindas sama ada fizikal mahupun mental. Mereka ditindas sama ada sistem atau corak kepimpinan yang zalim. Maka Allah akan mengabulkan doa mereka.

Akhbar Berita Harian versi online , Ahad 29 November 2009, dibawah tajuk 'Doa Nik Aziz di Kecam' memuatkan berita :
Nik Aziz kelmarin berkata, beliau dan penyokongnya sudah mendoakan agar Perdana Menteri mengubah fikiran supaya memberikan royalti kepada negeri itu (Kelantan), jika tidak beliau akan berdoa supaya Allah menghapuskan masa depan Najib dan UMNO.
"Saya doa tadi ramai-ramai minta Allah swt perbetulkan pemikiran Perdana Menteri biar dia beri (royalti)....kalau tak, kita doa supaya Allah musnahkan masa depan dia, parti dia, proksi dia semua akan musnah, tak mustahil benda ini akan berlaku" katanya.

Mufti Perak, Dato' Seri Harussani Zakaria mengingatkan bahwa perbuatan itu adalah haram disisi Islam. Ujarnya: Berdoa meminta Allah swt memusnahkan kehidupan masa depan orang lain tidak boleh, haram dan berdosa besar. Kalau kepada kafir harbi (tidak tunduk kepada pemerintahan kerajaan Islam) tidak mengapa".

Kelam kabut kerajaan pimpinan UMNO/BN apabila mendengar Tok Guru berdoa dengan nada yang keras dan menakutkan sehingga terpaksa menggunakan jurucakap agama mereka yang kini ternyata telah hilang kredibelitinya. Kenapa mesti gusar dengan seorang yang sudah berusia dan kurang daya kekuatannya jika dibandingkan dengan seorang Menteri Perdana yang segak bergaya melangkah seantero dunia. UMNO/BN yang gah dengan kesombongan mereka, gempita berbicara boleh melakukan apa sahaja, tiba-tiba menikus dengan doa seorang tua yang sedang meniti usia. Ketakutan sama yang dialami Israil apabila berhadapan dengan As Syahid Syeikh Ahmad Yassin, pemimpin HAMAS yang berkerusi roda dan buta.

UMNO terpaksa menggunakan jurucakap mereka dari kalangan agama kerana golongan ini memahami intisari hadis diatas. 3 golongan yang dinyatakan oleh Nabi s.a.w. jika diamati ada pada diri Tuan Guru Nik Abd Aziz. Beliau merupakan seorang penguasa yang adil, seorang ulama' yang sudah pasti melakukan banyak ibadat-ibadat sunnat seperti berpuasa dan terainiya akibat sistem dan corak kepimpinan yang zalim. Ciri-ciri yang ada ini membuatkan doa Tok Guru akan 'diangkat oleh Allah dan pada hari kiamat akan dibukakan pintu-pintu langit untuknya'.....

Ciri-ciri inilah yang digeruni oleh mereka. Maka media diperalat untuk mengaburi mata dan minda masyarakat dengan menjadikan mufti sebagai jurubicara. Begitulah UMNO- Dulu Kini dan Selama-lamanya terus memperbodohkan rakyat. Bagi rakyat yang telah celik pemikiran, suapan minda seumpama ini sudah jauh ketinggalan dan akan terus menolak sebarang bentuk propaganda murahan tajaan UMNO/BN.

Islam Memimpin Perubahan.



Sabtu, November 28, 2009

Apabila Kita Bicara Soal Intergriti.

Ketika Saidina Khalid Ibnu Walid sedang memimpin bala tentera Islam memerangi tentera Rom di Yarmuk, tiba-tiba datang Mahmiya bin Zamin sebagai utusan dari Madinah lalu menyerahkan sepucuk surat kepada Khalid sambil berbisik menyatakan bahwa Khalifah Abu Bakar As Siddiq telah kembali menghadap Rabbnya dan digantikan dengan Saidina Umar Al Khattab. Khalid menerima surat tersebut lalu menyimpan dalam tabung anak panahnya kerana khuatir berita tentang penggantian Umar sebagai Khalifah dan pemecatannya sebagai panglima angkatan bersenjata akan tersebar dikalangan tentera Islam yang baru sahaja hendak memulai peperangan. Setelah selesai melaksanakan tugasnya dan berjaya mengalahkan tentera Rom, Khalid pun berundur dari jawatannya dan menyerahkan tugasnya sebagai panglima angkatan bersenjata kepada Abu Ubaidah Al Jarrah sebagai penggantinya.

Nilai keimanan dan semangat juang berdasarkan Islam yang amat tinggi yang dimiliki Khalid mengatasi segala-galanya. Pangkat dan kedudukan bagi insan seperti Khalid tidak dapat mengaburi mata demi kerana Iman dan Islam. Inilah nilai intergriti sebenar yang ada pada para sahabat Nabi s.a.w. yang amat sukar untuk dicari ganti dewasa ini. Khalid tidak memberontak sambil mengumpul para penyokongnya agar memulaukan peperangan, seperti yang banyak dilakukan oleh manusia sekarang apabila dinafikan kedudukannya. Sebab bagi Khalid, ia berperang kerana Allah dan Rasul Nya demi agama Islam yang dianuti, tidak sedikit pun jauh disudut hatinya terselit perasaan cintakan pangkat dan kedudukan. Pemecatannya diterima dengan hati yang amat terbuka tanpa sebarang sangkaan buruk terhadap Khalifah Umar Al Khattab.

Tiba-tiba kita mendengar berita yang menjadi kegemaran para musuh kerajaan Kelantan, apabila terdapat kemelut didalam pentadbiran Perbadanan Menteri Besar Kelantan yang diterajui oleh Ir. Abdul Ariffahmi Ab Rahman yang juga merupakan menantu kepada YAB Tuan Guru Dato' Nik Abd Aziz Nik Mat. Dalam senario politik di Malaysia khususnya gerombolan United Malay Nation Organisation (meminjam kata-kata Hishamudin Rais) adalah perkara biasa. Tiada apa yang pelik, malahan hampir setiap negeri yang ditadbir mereka sering kedapatan ahli keluarga didalam pentadbiran. Bahkan bermacam-macam penyelewengan yang didedahkan tetapi mereka menerimanya sambil lewa sahaja. Seoalah-olah tidak ada apa-apa yang berlaku. Lihat sahaja lagak budak-budak ditingkat 4 Jabatan Perdana Menteri seperti yang didedahkan oleh Tun Mahathir ketika era pemerintahan Tun Pak Lah. Ia berlalu macam tu saja walaupun yang memukul gendang adalah mantan Perdana Menteri. Tetapi apabila ia melibatkan pemerintahan Islam yang diterajui oleh PAS di Kelantan, lain iramanya.

Ariffahmi telah mengambil langkah yang sama diambil oleh Khalid Ibnu Walid, cuma beliau tidak dipecat tetapi mengundurkan diri secara sukarela. Bukan senang hendak melepaskan jawatan tinggi seperti itu. Tetapi atas kepentingan agama yang diletak tinggi mengatasi kepentingan duniawi, kedudukan dan pangkat dilihat sebagai suatu yang amat kecil kerana sifatnya adalah sementara. Dinsman ketika disapa melalui telefon bimbit sewaktu menikmati makan tengahari di Jalan Kg Sireh, tidak menyedari telah berlaku satu kejutan besar dalam pentadbiran PMBK kerana nada suara CEOnya tidak menampakkan sebarang perubahan besar telah berlaku. Tenang dan bersahaja.

Inilah hasil tarbiah yang datang dari kepimpinan Tok Guru yang secara kebetulan merupakan bapa mertua kepada Ariffahmi. Tok Guru juga selaku Menteri Besar akur kepada nasihat yang di beri daripada pimpinan tertinggi parti, sekali gus menunjukkan betapa tingginya nilai intergriti yang ada dalam diri seorang yang menjawat jawatan tertinggi dalam kepimpinan negeri. Inilah contoh terbaik yang telah dipamirkan oleh seorang yang bergelar Menteri Besar untuk tontonan dan ikutan kepada mereka yang menjawat jawatan tertinggi didalam kepimpinan negeri mahupun negara. Jangan hanya pandai bercakap sambil mencipta pelbagai slogan tetapi tidak berjaya menjadi contoh ikutan kepada masyarakat. Tok Guru dan Ariffahmi tanpa sebarang rasa kecewa dan kesal menurut kehendak ramai kerana pegangan agama yang utuh. Insan-insan hebat seumpama ini meletakkan kepentingan akhirat lebih aula daripada kepentingan dunia. Mereka langsung tidak terpesona dengan mainan dunia yang penuh dengan tipu daya dan sia-sia seperti yang diberitahu oleh Allah menerusi kalam Nya.

Bagi mereka yang mencemburui kepimpinan Tok Guru, apa juga isu walaupun ianya dilihat baik tetap akan menjadi buruk pada pandangan mereka. Susuk tubuh insan ini akan terus dijadikan bahan kritikan tanpa ada rasa belas ihsan. Namun sebagai insan yang hebat, setiap kritikan akan dibalas dengan senyuman yang diiringi dengan doa agar mereka yang iri dan dengki diberi petunjuk dan hidayah oleh Allah swt.

Kalau mahu berbicara soal intergriti....lihatlah susuk tubuh ini...semoga ia menjadi panduan untuk kita menuju kejalan Illahi.

Kisah Pemuda Beribu-bapakan Babi.


Nabi Musa adalah satu-satunya nabi yang boleh berakap terus dengan Allah swt. Setiap kali ia hendak bermunajat, Nabi Musa akan naik ke Bukit Tursina. Diatas bukit itulah baginda akan bercakap dengan Allah. Baginda sering bertanya dan Allah akan menjawab pada waktu itu juga. Inilah kelebihannya yang tidak ada pada nabi-nabi lain.

Satu hari Nabi Musa telah bertanya kepada Allah : "Ya! Allah, siapakah orang di syurga nanti akan berjiran dengan aku?" Allah pun menjawab dengan mengatakan nama orang itu, kampung serta tempat tinggalnya. Setelah mendapat jawapan, Nabi Musa turun dari Bukit Tursina dan terus berjalan menuju tempat yang diberitahu. Setelah beberapa hari perjalanan, akhirnya sampai juga Nabi Musa ke tempat yang berkenaan.

Dengan pertolongan beberapa orang penduduk di situ, beliau berjaya bertemu dengan orang tersebut. Setelah memberi salam baginda dipersilakan masuk dan duduk di ruang tamu. Tuan rumah itu tidak melayan Nabi Musa. Dia terus masuk kedalam bilik dan melakukan sesuatu didalam. Sebentar kemudian dia keluar sambil membawa seekur babi betina yang besar. Babi itu didukungnya dengan cermat. Nabi Musa terkejut melihatnya. "Apa hal ni" kata Nabi Musa berbisik didalam hatinya penuh kehairanan.

Babi itu dibersihkan dan dimandikan dengan baik. Setelah itu babi itu dilapkan dengan kering serta dipeluk cium kemudian dihantar semula ke dalam bilik. Tidak lama kemudian dia keluar sekali lagi dengan membawa pula seekur babi jantan yang lebih besar. Babi itu juga di mandikan dan dibersihkan. Kemudian dilap sehingga kering dan dipeluk serta cium dengan penuh kasih sayang. Babi itu kemudiannya dihantar semula kedalam bilik.

Selesai kerjanya itu barulah ia melayan Nabi Musa. "Wahai saudara! Apa agama kamu?" tanya Nabi Musa. "Aku agama tauhid" jawab pemuda itu (agama Islam) "Habis kenapa kamu membela babi, sedangkan kita tidak boleh berbuat begitu" kata Nabi Musa. Jawab pemuda itu kepada Nabi Musa "Wahai tuan hamba! Sebenarnya kedua babi itu adalah ibu-bapa kandungku. Oleh kerana mereka telah melakukan dosa yang besar, Allah telah menukarkan rupa mereka menjadi babi yang hodoh rupanya. Soal dosa mereka dengan Allah itu soal lain. Itu urusannya dengan Allah. Aku sebagai anaknya tetap melaksanakan kewajipanku sebagai anak. Hari-hari aku berbakti kepada kedua ibu-bapaku sepertimana yang tuan hamba lihat tadi. Walaupun rupa mereka sudah menjadi babi, aku tetap melaksanakan tugas aku" sambungnya. "Setiap hari aku berdoa kepada Allah agar mereka diampunkan. Aku bermohom supaya Allah menukarkan wajah mereka menjadi manusia yang sebenar, tetapi Allah belum memakbulkan lagi" tambah pemuda itu.

Maka ketika itu juga Allah menurunkan wahyu kepada Nabi Musa a.s. "Wahai Musa, inilah orang yang akan berjiran dengan kamu di syurga nanti, hasil baktinya yang sangat tinggi kepada kedua ibu-bapanya. Ibu dan ayahnya sudah buruk dengan rupa babi pun dia berbakti juga. Oleh itu Kami naikkan maqamnya sebagai anak soleh disisi Kami".

Allah juga berfirman lagi yang bermaksud :" Oleh kerana dia telah berada di maqam anak yang soleh disisi Kami, maka Kami angkat doanya. Tempat kedua ibu-bapanya yang Kami sediakan dalam neraka telah kami pindahkan ke dalam syurga."

Itulah berkat anak yang soleh. Doa anak yang soleh dapat menebus dosa ibu-bapa yang akan masuk ke dalam neraka berpindah ke syurga, dengan syarat dia berbakti kepada kedua ibu-bapanya, walaupun hingga ke peringkat rupa ayah dan ibunya seperti babi. Mudah-mudahan ibu-bapa kita mendapat tempat yang baik di akhirat kelak. Walau bagaimana buruk sekali pun perangai ibu-bapa kita, itu bukan urusan kita. Urusan kita ialah menjaga mereka dengan penuh kasih sayang sepertimana mereka menjaga kita dari kecil hinggalah dewasa.

Walau banyak mana sekali pun dosa yang mereka lakukan, itu pun bukan urusan kita. Urusan kita ialah meminta ampun kepada Allah swt supaya kedua ibu-bapa kita mendapat keampunan Nya. Doa anak yang soleh akan membantu kedua ibu-bapanya mendapat tempat yang baik di akhirat nanti. Inilah yang dinanti-nantikan oleh para ibu-bapa di alam kubur.

Erti sayang seorang anak kepada ibu dan bapanya bukan melalui hantaran wang ringgit, tetapi sayang seorang anak kapada kedua ibu-bapanya ialah dengan doanya supaya kedua mereka mendapat tempat yang terbaik di sisi Allah swt.

Semoga kita tergolong didalam anak-anak yang soleh yang sentiasa mendoakan kedua ibu-bapa kita.

Amin Ya Rabbul 'alamin

Khamis, November 26, 2009

Siapakah Ahlus Sunnah ? (Bhg Akhir)

As Sunnah Menurut Ahli Ushul Fiqh.

Menurut ahli ushul fiqh, as sunnah adalah asas dari asas-asas hukum syariat dan juga dalil-dalilnya. Al-Amidy dalam kitab Ah Ihkam 1/169 mengatakan : "Apa-apa yang datang dari Rasulullah s.a.w. dari dalil-dalil syariat yang bukan dibaca dan bukan pula mukjizat atau masuk dalam kategori mukizat".

As Sunnah di Sisi Ulama' Fikah.

As Sunnah disisi mereka ialah apa-apa yang apabila dikerjakan mendapat pahala dan apabila tidak dikerjakan tidak berdosa. Disini boleh dilihat mereka yang mengaku sebagai ahlus sunnah; dengan menyandarkan kepada ahli fekah, tidak memiliki dalil yang jelas.

Siapakah Ahlus Sunnah.

Ahlus Sunnah memiliki ciri-ciri yang sangat jelas dimana ciri-ciri itulah yang menunjukkan hakikat mereka :-

1. Mengikuti Jalan Rasul.
Mereka adalah orang-orang yang mengikuti jalan Rasulullah s.a.w. dan jalan para sahabatnya, yang menyandarkan pada Al-Quran dan As Sunnah dengan pemahaman salafus salih iaitu pemahaman generasi pertama umat ini dari kalangan sahabat, tabi'in dan generasi setelah mereka. Rasulullah s.a.w. bersabda :
"Sebaik-baik manusia ialah generasiku kemudian orang-orang setelah mereka kemudian orang-orang setelah mereka". (HR: Bukhari, Muslim, Ahmad)

2. Merujuk Al-Quran dan Sunnah.
Mereka kembalikan segala bentuk perselisihan yang terjadi dikalangan mereka kepada Al-Quran dan As Sunnah dan sedia menerima apa-apa yang telah diputuskan oleh Allah dan RasulNya. Firman Allah :
"Maka jika kalian berselisih dalam satu perkara, kembalikanlah kepada Allah dan Rasulullah jika kalian beriman kepada Allah dan hari akhir. Dan yang demikian itu adalah baik dan lebih baik akibatnya". (QS An Nisa : 59)
"Tidak pantas bagi seorang mukmin dan mukminat apabila Allah dan Rasul Nya memutuskan suatu perkara untuk mereka, akan ada bagi mereka pilihan yang lain tentang urusan mereka. Barangsiapa mendurhakai Allah dan Rasul Nya sungguh dia telah sesat dengan kesesatan yang nyata". (QS : Al Ahzab : 36)

3. Mendahulukan Firman dan Sabda.
Mereka mendahulukan firman Allah dan sabda Rasulullah s.a.w. daripada uxapan selain keduanya. Firman Allah :
"Hai orang-orang yang beriman janganlah kalian mendahulukan (ucapan selain Allah dan Rasul) terhadap ucapan Allah dan Rasul dan bertawakalah kalian kepada Allah sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui". (QS : Al Hujurat : 1)

4. Menghidupkan Sunnah.
Menghidupkan sunnah Rasulullah samada dalam ibadah mereka, akhlak mereka dan dalam semua sendi kehidupan, sehingga mereka menjadi orang asing ditengah kaumnya. Rasulullah s.aw. bersabda tentang mereka :
"Sesungguhnya Islam datang dalam keadaan asing dan akan kembali pula dalam keadaan asing, maka berbahagialah orang yang dikatakan asing". (HR : Muslim dari hadis Abu Hurairah dan Ibnu Umar r.a.)

5. Taat pada Kalamullah dan Sunnah.
Mereka adalah orang-prang yang tidak fanatik kecuali kepada Kalamullah dan Sunnah Rasulullah s.a.w. Imam Malik mengatakan : "Tidak ada seorang pun selepas Rasulullah s.a.w. yang ucapannya boleh diambil dan ditolak kecuali ucapan Baginda".

6. Berpegang Pada Sunnah.
Mereka adalah orang-orang yang menyeru segenap kaum Muslimin agar berpegang dengan Sunnah Rasulullah dan sunnah para sahabatnya.

7. Amal Makruf Nahi Mungkar.
Mereka adalah orang-orang yang memikul amanat amar makruf dan nahi mungkar sesuai dengan apa yang dimahukan Allah dan Rasul Nya. Dan mereka mengingkari segala jalan sesat dan kumpulan-kumpulan yang membawa ajaran salah terhadap umat Islam.

Oleh : Abu Usamah Rawiyah
Majalah I Keluaran November 2009.






Rabu, November 25, 2009

Islam dan Umat Islam Ternyata Hebat.

Ketika artikel ini ditulis, penulis berada di Sungai Petani, Kedah. Peluang yang tidak sepatutnya dilepaskan ketika berada di bandar ini ialah merasai keenakan ayam goreng keluaran syarikat bumiputera Islam HPA yang lebih dikenali dengan nama Radix Fried Chicken. Setelah selesai melaksanakan tugas di Sik, kenderaan dihalakan menuju ke Sungai Petani melalui susur masuk Sg Petani Utara dan ketika dalam perjalanan ke hotel penginapan RFC telah kelihatan disebelah kanan jalan. "Ha! inilah tempat makan tengahari kita hari ni" kata saya kepada rakan-rakan yang berbangsa Cina. "Hoi sedapkah ini...boleh lawan KFC ka kawan...." "You try first..then you comment" balas saya untuk meyakinkan mereka.
Setelah bersiap untuk makan tengahari kami pun terus menuju ke restoran RFC tanpa ada sebarang cadangan lain. Hasrat saya ialah untuk membuktikan kepada rakan-rakan berbangsa lain bahwa orang Melayu Islam yang dianggap kerdil dalam bidang restoran makanan segera ala barat ini mampu membuktikan keupayaan mereka bahkan lebih baik lagi.

Masuk sahaja kedalam restoran ini, set-upnya sahaja sudah memeranjatkan rakan-rakan saya. "Wah! not badlah....lets try the chicken" kata-kata yang terhambur dari mulut mereka. "First round aku dah menang" bisik hati saya. Kami pun terus order mengikut set yang disediakan. Ada yang ambil set untuk 2 ketul dan ada juga yang try set untuk 3 ketul ayam. "This is organic chicken not like what KFC is having, definately the taste will be different" jelas saya kepada mereka dengan penuh keyakinan.

Apabila ayam yang ranggup setanding KFC menerjah masuk ke mulut masing-masing "Emmm ini lebih sedap dari KFC" ungkapan yang ternyata berbeza dari mulanya. Persepsi yang ada dalam minda sebelum ini dah bertukar kepada sesuatu yang amat meyakinkan. "Kat Johor ada ka....?" "Ada kat Kluang" jawab saya. "Dia orang kena luaskan lagi outlet" "Is in the planning" balas saya. "Just wait and see, it might be in your area very soon" satu penjelasan yang amat menyakinkan.

Walau apa pun tahniah kepada HPA. Sebagai seorang Muslim, saya amat teruja dengan kejayaan yang dicapai. Ini membuktikan kepada masyarakat tempatan dan antarabangsa bahwa orang Melayu Islam mampu menyaingi bangsa asing. Bahkan produk yang dipasarkan ini lebih baik dari apa yang terdapat dipasaran dengan 'value added' yang ada iaitu selain halal ianya ORGANIC.

Syabas!!! ISLAM BOLEH.

Siapakah Ahlus Sunnah? (Bhg 1)

Istilah Ahlus Sunnah tentu tidak asing bagi umat Islam. Bahkan mereka semua mengaku sebagai Ahlus Sunnah. Tapi siapakah Ahlus Sunnah itu? Dan siapa pula kumpulan yang disebut Rasulullah s.a.w. sebagai orang-orang asing?

Untuk menjawab pertanyaan siapakah golongan Ahlus Sunnah, hal ini perlu dirujuk kepada keterangan Rasulullah s.a.w. dan ulama' salaf yang menentukan siapakah mereka yang sebenarnya dan apa ciri-ciri mereka. Hal ini kerana ramai yang mengaku berfahaman ini, malangnya amalan mereka jauh daripada hal yang menjadi ciri-ciri Ahlus Sunnah seperti yang dinyatakan oleh Rasulullah s.a.w.

As Sunnah

Memahami As Sunnah dari aspek bahasa dan isltilah adalah sangat penting. Disamping untuk mengetahui hakikatnya, juga untuk menjadi kayu ukur untuk kita melihat pihak-pihak yang mendakwa Ahlus Sunnah, benarkah dakwaan mereka. Memahami definasi Ahlus Sunnah perlu ditinjau dari beberapa aspek iaitu aspek bahasa, syariat dan generasi yang pertama, ahlul hadith, ulama ushul dan ahli fikah.

As Sunnah Menurut Bahasa.

As Sunnah menurut bahasa adalah As Sirah (perjalanan), samada yang buruk ataupun yang baik. Khalid bin Zuhair Al Hudzali berkata :
"Jangan kamu sekali-kali gelisah kerana jalan yang kamu tempuh. Keredhaan itu ada pada jalan yang dia tempuh sendiri."

As Sunnah Menurut Syariat dan Generasi yang Pertama.

Apabila terdapat kata sunnah dalam hadith Rasulullah s.a.w. atau dalam ucapan para sahabat dan tabi'in, maka yang dimaksudkan adalah makna yang luas dan umum. Meliputi hukum- hakam, samada yang berkaitan langsung dengan keyakinan atau dengan amal, apakah hukumnya wajib, sunnah atau boleh.
Al Hafidz Ibnu Hajar dalam kitabnya Fathul Bari 10/341 berkata : "Telah tetap bahwa kata sunnah apabila terdapat dalam hadith Rasulullah s.a.w., maka yang dimaksud bukan sunnah sebagai lawan wajib (apabila dikerjakan mendapat pahala dan apabila ditinggalkan tidak akan berdosa)".
Ibnu 'Ajian dalam kitab Dalilu Falihin 1/415 ketika beliau mensyarahkan hadith 'Fa'aalikum Bisunnati', berkata : "Ertinya jalanku dan langkahku yang aku berjalan di atasnya dan dari apa-apa yang telah aku perincikan kepada kalian dari hukum-hukum iktikad (keyakinan), dan amalan-amalan baik yang wajib, sunnah dan sebagainya."
Imam Shan'ani berkata dalam kitab Subulus Salam 1/187, ketika beliau mensyarahkan hadith Abu Sa'id Al-Khudri : "didalam hadith tersebut disebutkan kata 'Ashobta As Sunnah' iaitu jalan yang sesuai dengan syariat."
Demikianlah kalau kita ingin meneliti nas-nas yang menyebutkan kata 'As Sunnah', maka akan jelas apa yang dimahukan dengan kata tersebut iaitu : 'Jalan yang terpuji dan langkah yang diredhai yang telah dibawa oleh Rasulullah s.aw.' Dari sini jelaslah kekeliruan orang-orang yang menisbahkan atau menafsirkan kata sunnah dengan istilaj fikah.

As Sunnah Menurut Ahli Hadith.

As Sunnah menurut jumhur ahli hadith adalah sama dengan hadis iaitu : 'Apa-apa yang diriwayatkan dari Rasulullah s.a.w. samada berbentuk ucapan, perbuatan, ketetapan dan sifat baik khalqiyah (bentuk) atau khuluqiyah akhlak.'

Oleh : Abu Usamah Rawiyah
Petikan Majalah I November 2009

Rabu, November 18, 2009

TITIAN KASIH



Dewan Pemuda PAS Kawasan Kulai dengan kerjasama PAS Kawasan dan Dewan Muslimat akan menganjurkan program yang diberi nama 'Titian Kasih'. Program ini bertujuan untuk menghulurkan bantuan dalam bentuk kelengkapan sekolah kepada pelajar miskin yang terdapat disekitar daerah Kulai. Objektik program ini diadakan ialah bertujuan untuk :-
  1. Menghubungkan silaturrahim antara golongan berada dengan golongan yang kurang berkemampuan.
  2. Mengurangkan bebanan yang dihadapi oleh mereka yang kurang mampu khususnya ketika menghadapi permulaan penggal persekolahan.
  3. Mendekati dan mengenal pasti golongan yang kurang berkemampuan bagi menghulurkan bantuan secara berkala melalui lajnah kebajikan PAS Kawasan.
Program ini memfokuskan :-
  1. Sasaran pelajar miskin seramai 60 orang yang terdiri daripada pelbagai kaum di Kulai.
  2. Tumpuan diberikan bagi sekolah-sekolah yang terletak didalam DUN Bukit Permai.
  3. Bantuan dalam bentuk sepasang pakaian sekolah berserta beg dan perlatan tulis.
  4. Anggaran kos bagi seorang pelajar ialah RM80.00
Program akan berlangsung seperti berikut :-
  • Tarikh : 27 Disember 2009 (Ahad)
  • Venue : TJ Mart Saleng, Kulai.
  • Masa : 2.00 hingga 6.00 ptg
Bagi sesiapa yang berminat untuk menyumbang dalam bentuk tajaan pelajar dan ingin mendapat maklumat lanjut sila hubungi talian dibawah :
  • 013-7216173 En. Ahmad Tobrani atau
  • 012-7271535 En. Mohd Fadil
Sumbangan anda amat kami hargai dan diucapkan
Jazakallah Khairan Kasira.


Selasa, November 17, 2009

Cheng Ho : 1371 - 1433 (Bhg.Akhir)

Perintis Laluan Sutera Laut.

Walaupun Cheng Ho, Christopher Columbus, Vasco da Gama dan Ferdinand Magelhaen berkongsi satu persamaan dan pengiktirafan - mereka adalah pelayar-pelayar terhebat dunia - namun yang membezakan setiap individu adalah matlamat pelayaran yang mereka ketuai. Misi pelayaran para pelayar barat lebih kepada tujuan-tujuan seperti penjajahan, penyebaran doktrin kristianisasi dan penguasaan kekayaan yang disertai dengan kezaliman dan penindasan ke atas negara atau bangsa yang didatangi.

Amat berbeza sekali dengan pengembaraan Cheng Ho sebagai mewakili Dinasti Ming yang membawa mesej keamanan, persahabatan, perdamaian, diplomatik, perdagangan, pertukaran budaya dan teknologi dan menyebar dakwah Islam ke tanah daratan yang disinggahi. Pengembaraan Cheng Ho bukan sekadar membuahkan jambatan silaturrahim tetapi turut membantu beberapa pihak seperti berjaya memusnahkan kuasa lanun China, campur tangan dalam peperangan di Jawa dan membantu pemerintahan Ceylon yang sah mendapatkan takhta baginda semula.

Sepanjang 30 tahun dalam kehidupan sebagai ahli pelayaran, Cheng Ho tidak pernah putus asa melibatkan diri dalam aktiviti budaya Islam di China. Melalui 'laluan sutera laut' Cheng Ho telah membantu mempererat hubungan China dengan negara luar terutama dalam bidang politik dan ekonomi. Beberapa pengkaji sejarah moden menyimpulkan sumbangan Cheng Ho yang besar dalam dunia pelayaran silam secara tidak langsung telah menaikkan nama China gah di mata negara-negara jiran dan mungkin juga sebagai kuasa besar di dunia.

PETIKAN MAJALAH I (November 2009)

Isnin, November 16, 2009

Cheng Ho : 1371 - 1433 (Bhg. 2)

Jejak Ekspedisi Cheng Ho.

Tahun 1405 telah menjadi titik permulaan 'penguasaan' China dalam melancarkan misi ekspedisi terbesar dalam sejarah. Cheng Ho pula dilantik sebagai laksamana yang mengetuai misi. Sehingga tahun 1433, Cheng Ho telah mengetuai tujuh armada pelayaran ke 37 negara meliputi rantau Asia Tenggara, benua Afrika dan Tanah Arab dalam tempuh 28 tahun. Tujuan penjelajahan adalah untuk memupuk hubungan diplomatik di kalangan negara-negara terlibat kepada pihak istana. Ada juga pendapat sejarahwan yang mengatakan matlamat utama misi adalah untuk memulihkan semula imej Maharaja Yong Li yang agak kurang baik berikutan cara baginda yang menduduki takhta secara penggulingan kuasa.

Dilaporkan saiz angkatan laut Cheng Ho mempunyai kekuatan berganda-ganda apabila dibandingkan dengan bahtera Ibn Batutta mehupun kapal Christopher Columbus. Jika dilihat pada saiz kapal, tongkang Cheng Ho berukuran 400 kaki panjang, empat kali ganda dari saiz kapal Christopher Columbus yang hanya 85 kaki. Malahan kekuatan armada Cheng Ho tidak setanding dengan mana-mana kuasa Eropah walaupun sesebuah armada itu adalah gabungan daripada beberapa kerajaan. Suatu pencapaian yang amat luar biasa pada kurun ke 6 bagi tongkang sebesar itu dapat membelah lautan China Selatan dan LautanIndia menuju ke Ceylon, Arab dan Afrika Timur. Angkatan laut ini terdiri daripada 317 kapal besar yang setiap satunya mempunyai sembilan batang tiang layar, dengan ukuran 300 kaki panjang dan 150 kaki lebar dengan kapasiti 1000 orang penumpang. Kebanyakkan kapal tersebut di telah dibina di sebuah limbungan Teluk Naga berhampiran Nanjing. Sisa-sisa tinggalan masih dapat dilihat hingga ke hari ini.

Tongkang-tongkang telah dilayarkan pada Julai 1405; 500 tahun lebih awal daripada pelayaran Columbus ke benua Amerika. Turut dibawa ialah berdozen-dozen buah kapal khas dengan kain layar selebar 15 meter dan kemudi sepanjang 11.07 meter. Kelengkapaan lain termasuk 100 kapal perang. Pelbagai muatan dibawa seperti barangan berharga, bekalan makanan, tangki-tangki air minuman, tentera berkuda, bot rondaan, sutera China dan barangan tembikar, barangan tembaga emas dan perak, barangan kapas dan perkakasan besi. Anak kapal yang terlibat berjumlah 27,000 terdiri kelasi, penterjemah, ahli perubatan, kerani, tukang-tukang, ahli meteorologi dan tentera.

Cheng Ho menggunakan 57 laluan laut yang berlainan dari negara China dan 53 jalur masuk, bergantung kepada keadaan laut. Antara laluannya ialah sepanjang pantai China ke Champa lalu merentasi Lautan China Selatan untuk singgah di Jawa, Sumatera dan tiba di Sri Lanka melalui Selat Melaka. Bagi laluan pulang, Cheng Ho telah memilih laluan sepanjang perairan Timur India dan selamat tiba ke China semula pada tahun 1407. Melaka sering menjadi pelabuhan persinggahan utama untuk mendapatkan bekalan dan keperluan logistik. Pada musin luruh tahun 1413, Cheng Ho telah belayar bagi pelayaran ke 4 bersama-sama 30,000 anak kapal menuju ke negara Arab. Daripada Hormuz beliau mengelilingi semenanjung Arab hingga ke Aden yang terletak berhampiran laut Merah. Kedatangan Cheng Ho telah mengejutkan masyarakat di wilayah itu yang didatangi oleh tetangga jauh. Kesannya, 19 buah negara telah menghantar duta-duta mereka ke kapal Cheng Ho dengan membawa hadiah-hadiah untuk dikirim kepada Maharaja Yong Le.

Beberapa negara turut membuat lawatan balas seperti Calicut di India, beberapa negara Asia dan Timur Tengah ke China. Ada dikalangan mereka yang tinggal di China buat beberapa tahun dengan tujuan melawat ke pelbagai tempat di sana. Pada tahun 1417, selepas dua tahun bermastautin di Nanjing, para duta asing dibawa pulang oleh Cheng Ho. Dalam perjalanan itu, beliau telah menyusuri perairan timur Afrika, berhenti di Mogadishu, Matindi, Mombassa, Zanzibar dan Mozambique. Secara tidak langsung Cheng Ho telah menggalakkan pertukaran dagangan dan teknologi dengan negara-negara yang disinggahi. Contohnya, para pedagang Arab dan Afrika telah bertukar-tukar barangan dengan armada China seperti rempah-ratus, kayu-kayan, gading, ubat-ubatan dan mutiara. Selain itu, Kota Semarang juga menjadi tempat persinggahan utama dalam urusan rempah-ratus yang antara lain digunakan untuk pengubatan tradisional Cina.

Penggembaraan Cheng Ho tidak berseorangan apabila turut ditemani oleh Ma Huan dan Ha San dari suku Hui (Imam Masjid Besar Chang'an) yang bertindak sebagai pencatat serta jurubahasa, juga Kuo Chung-li dan Hung Pao. Peranan Ma Huan amat penting dalam mencatatkan pelbagai peristiwa pelayaran lalu mengabadikannya dalam buku yang bertajuk 'Ying Yu Shen Lan' atau bermaksud Pemandangan Indah Ditepi Seberang Laut. Buku ini menjadi rujukan utama dalam kajian mengenai sejarah hubungan China dengan dunia luar. Walaubagaimanapun misi penjelajahan ini tidak terlepas dari menerima kritikan dari para pegawai istana sendiri. Mereka mengatakan misi Maharaja China sebagai kurang menafaat dan membazir semata-mata. Selepas kemangkatan Yung Le pada tahun 1424, sejurus Cheng Ho kembali ke China menyempurnakan ekspedisi ke 6, ekspedisi telah dihentikan. Laksamana Cheng Ho telah ditugaskan sebagai komander tentera di Nanjing. Penjelajahan terakhir dan yang ke 7 diteruskan ketika pemerintahan Maharaja Hsuan-tsung.

Ibrahim TY Ma (1979) dan H Yusuf Chang (1998) dalam tulisannya mencatat secara berturutan
7 ekspedisi pelayaran Laksamana Cheng Ho. Menurut H Yusuf Chang, pelayaran ke 7 pada 1432-1433, sebenarnya merupakan misi haji yang diarahkan oleh Maharaja Hsuan-tsung untuk memenuhi sebuah misi rahsia Maharaja Yung Le yang meninggal dunai dan belum sempat dilaksanakan. Tidak diketahui secara pasti bentuk misi rahsia yang dimaksudkan. Dalam pelayaran yang lain, Laksamana Cheng Ho ditemani Ma Huan dan Ha San. Sepanjang 7 kali pelayaran, Laksamana Cheng Ho tiba di Melaka sebanyak 4 kali iaitu 1408, 1409, 1412 dan 1413M. Hasil penjelajahan laut ini telah membawa hubungan baik antara Melayu Melaka ke Negeri China. Itu sebabnya terdapat 20 kali rombongan dari Melaka ke Negeri China di sepanjang 1404-1435M, sebagai balasan atas interaksi China-Melaka yang dirintis Cheng Ho. Cerita mengenai muhibah kerajaan Melaka tercatat dalam Tawarikh Dinasti Ming.

Pada usia 65 tahun, Cheng Ho kembali mengunjungi Teluk Parsi, Laut Merah dan meninggal dalam perjalanan pulang dari India pada tahun 1435. Jenazah beliau telah dikebumikan di kawasan pinggir Kota Nanjing.

Petikan Majalah I (November 2009)

Jumaat, November 13, 2009

Cheng Ho : 1371 - 1433 (Bhg. 1)

Laksamana Muslim dari China.
Saiz angkatan laut Cheng Ho mempunyai kekuatan berganda-ganda apabila dibandingkan dengan bahtera Ibn Batutta mahupun kapal Christopher Columbus.

Cheng Ho atau Zheng He sebenarnya lahir dengan nama Ma He pada tahun 1371. Beliau dilahirkan dalam sebuah keluarga miskin berketerunan Hui, iaitu sebuah etnik China beragama Islam di Yunan, sebuah wilayah di barat daya China. Datuk dan ayah Cheng Ho pernah melakukan beberapa penghijrahan haji ke Makkah ketika dia masih kecil. Kembara itu serba sedikit telah mendedahkannya kepada budaya asing dan pelbagai pengetahuan seperti kemahiran berbahasa Arab dan ilmu geografi.

Pada usia 10 tahun, Cheng Ho telah menjadi tawanan perang. Tetapi nasibnya baik apabila telah dipilih untuk menjadi sida istana yang bertugas sebagai pengiring kepada seorang bangsawan bernama Yong Li. Bakat kepimpinan Cheng Ho sudah mula terselah apabila dia telah menjadi orang kepercayaan Yong Li yang sedang mengadakan kempen menggulingkan maharaja ketika itu. Setelah Yong Li menaiki takhta sebagai maharaja, Cheng Ho mempunyai peranan penting membantu Dinasti Ming dalam beberapa siri kempen ketenteraman termasuklah menakluki Nanjing. Sebagai ganjaran, Cheng Ho telah dikurniakan pangkat dan kedudukan berserta gelaran keluarga 'Cheng'.

Oleh kerana kebijaksanaan, keberanian dan kecerdasannya itu, Maharaja telah menganggap Cheng Ho seperti anak baginda sendiri. Dari situlah bermulalah era baru pemuda yang dikatakan mempunyai ketinggian lebih dari lapan kaki ini sebagai orang kepercayaan Dinasti Ming apabila diberi mandat sebagai duta negara China yang membawa mesej diplomatik merentasi samudera luas.

Petikan Majalah I (Nobember 2009)

Jumaat, November 06, 2009

Harta Yang Mengutuk Tuannya Di hadapan Malaikat Maut.

Dalam sebuah riwayat menerangkan bahwa ada seorang lelaki yang banyak sekali mengumpulkan hartanya, dia membina sebuah istana dan dilengkapi dengan para pengawal. Pintu istananya dibuat daripada besi yang cukup kukuh.

Pada satu hari lelaki itu mengumpulkan keluarganya dan menyediakan makanan untuk mereka, kemudian dia duduk diatas tempat tidur dan mengangkat salah satu kakinya ke atas kaki yang lain, kemudian dia pun turut makan bersama.

Apabila mereka selesai makan, lelaki itu pun berkata :
"Wahai saudara-saudaraku berdirilah, nikmatilah makanan untuk beberapa tahun yang telah aku kumpulkan untuk kamu semua". Belum selesai lelaki itu berkata, datanglah malaikat maut dalam bentuk seorang lelaki yang sedang membawa dua kain buruk dan dilehernya tergantung karung makanan kuda, keadaannya seperti orang miskin.

Kemudian malaikat maut mengetuk pintu dengan keras sehingga menakutkan lelaki itu yang sedang tidur diatas tempat tidurnya. Oleh kerana ketukkan yang cukup kuat itu maka berlarilah pengawal lelaki itu ke pintu tanpa membukanya sambil melihat dari lubang pintu. Kata pengawal: "Siapakah kamu dan apa yang kamu mahu?". Berkata malaikat maut: "Panggil tuan kamu ke sini". Pengawal itu berkata : " Tuan kami tidak akan bertemu dengan orang yang seperti kamu". Setelah berkata demikian maka pengawal itu pun pergi memberitahu tentang orang yang mengetuk pintu itu.

Malaikat maut mengetuk pintu dengan kuat lagi sehingga menyebabkan pengawal itu tidak tahan sabar lalu meluru ke pintu. Apabila malaikat maut melihat pengawal berada dekat pintu dia berkata: "Wahai pengawal! Katakan kepada tuanmu bahwa aku adalah malaikat maut!".

Para pengawal merasa sangat takut, lalu lelaki kaya itu berkata kepada pengawalnya: "Wahai pengawal katakan dengan lemah lembut kepada malaikat maut, tanyakan samada dia ingin mengambil nyawa seseorang". Kemudian malaikat maut masuk kedalam istana lalu berkata kepada lelaki itu: "Buatlah apa yang hendak kamu buat pada hartamu itu, aku tidak akan meninggalkan tempat ini sebelum aku keluarkan nyawa kamu".

Lelaki itu memandang kepada hartanya sambil berkata: "Wahai harta! engkau ini telah dikutuk oleh Allah, engkau telah menyibukkan aku dan engkau telah membuat aku lupa beribadat kepada Allah. Engkau telah mencegah aku daripada mengingati Allah". Setelah lelaki itu memarahi hartanya, maka Allah swt mengizinkan hartanya berkata-kata.

Lalu harta itu pun berkata : "Mengapa kamu memaki aku? Kamu dapat bertemu dengan raja-raja adalah dengan sebab aku, orang yang bertaqwa semuanya kamu tolak, kamu mengawini wanita-wanita dengan penuh kenikmatan adalah kerana aku, kamu duduk dalam majlis raja-raja adalah kerana aku, kamu belanjakan aku pada jalan yang jahat tetapi aku tidak memarahi kamu. Kalaulah kamu membelanjakan aku ke jalan kebajikan nescaya aku akan mendatangkan manfaat kepada kamu. Kamu dan anak Adam itu dijadikan dari tanah maka berjalanlah dia dengan kebajikan dan berjalanlah dia dengan dosa".

Banyak sekali manusia tidak sedar bahwa harta yang mereka usahakan siang dan malam tanpa menunaikan kewajipan mereka terhadap Allah, sebenarnya mereka itu menghimpunkan untuk mendapatkan dosa yang paling banyak. Islam tidak menghalang seseorang itu mencari harta kekayaan. Islam menyuruh kita mencari harta dengan menunaikan segala tanggungjawab kita terhadap Allah swt. Kita melihat berapa ramai manusia yang tidak sembahyang, mereka merasakan dunia ini hanya tempat untuk menghimpun harta sahaja. Mereka lupa bahwa harta yang mereka kumpulkan itu tidak akan berguna apabila malaikat maut sudah tiba. Apa yang mereka akan dapat hanyalah siksa yang pedih.

Orang yang mengumpulkan harta dengan cara mencabar perintah Allah, adalah mereka itu orang yang menanti-nanti bilakah agaknya akan datang siksaan Allah. Sebenarnya orang yang mengumpulkan harta dengan tidak menunaikan perintah Allah adalah mereka ini orang orang yang akan mendapat paling banyak siksa, dan di akhirat nanti sterika panas akan disterikakan ke atas tubuh mereka. Dikala itu barulah mereka tahu kenapa mereka dihidupkan di dunia.

Wahai saudara-saudarku, janganlah menjadi manusia yang sombong di muka bumi ini kerana manusia tidak akan kekal hidup di muka bumi, maut tetap akan mencari kita. Sebelum maut datang mencari, hendaklah kita kembali menyembah Allah swt. Allah adalah Tuhan kita dan Dialah Raja yang sepatutnya disembah.

Isnin, November 02, 2009

Tidak Memusuhi Ulama'.

Abu Hurairah r.a. menyebutkan bahwa Rasulullah s.a.w. memberitakan sesungguhnya Allah swt telah bersabda dalam hadith al-Qudsi :

من عادى لى وليا فقد آذنته بالحرب

Maksudnya :
"Sesiapa memusuhi seseorang wali-Ku, maka sesungguhnya Aku mengisytiharkan perang terhadapnya".

و ما تقرب الى عبدي بشيىء أحب الى مما افتر ضته عليه

Maksudnya :
"Dan tiadalah hamba-Ku mendekatkan diri kepada-Ku dengan suatu yang lebih Aku sukai melebihi kefarduan yang Aku telah fardukan kepadanya".

و ما يزال عبدي يتقرب الى بالنو افل أحبه

Maksudnya :
"Dan sentiasalah hamba-Ku mendekatkan diri kepada-Ku, dengan amalan-amalan sunnat sehingga Aku lebih mengasihinya".

فاذا أحببته فكنت سمعه الذي يسمع به، وبصره الذي يبصر به، ويده التيى يبطش بها، ورجله التيى يمشيى بها

Maksudnya :
"Maka apabila Aku telah mengasihinya, jadilah dia mendengar dengan pendengaran yang Aku dengar(Aku restukan), dia melihat dengan penglihatan yang Aku lihat (Aku restukan), Akulah yang menjadi tangan baginya untuk dia bertindak (yang Aku restukan), dan Aku lah yang menjadi kaki baginya untuk dia berjalan (yang Aku restukan)".

وان سألنيى لأعطينه، ولئن استعا ذنيى لأ عيذنه

Maksudnya :
"Seandainya dia memohon pada-Ku, nescaya Aku berikan dan seandainya dia memohon perlindungan-Ku, pastilah Aku melindunginya".

وما ترددت عن سيئ أنا فاعله ترددي عن نفسي المؤ من، يكره الموت وأنا أكره مساءته

Maksudnya :
"Dan tiadalah Aku berbolak balik terhadap sesuatu hal yang Aku kerjakan, sebagai bolak-balik yang berlaku kepada seseorang mukmin yang tidak inginkan kematian, sedang Aku tidaklah ingin membuat keburukkan ke atasnya".

Hadith ; Riwayat al-Bukhari.

Pengajaran Hadith .

  1. Wali menurut ertinya yang lebih luas ialah orang yang dikasihi Allah kerana mereka taat kepada Nya dengan sepenuh hati.
  2. Para wali Allah ialah orang yang berilmu dan memegang amanah ilmu yang berguna.
  3. Menentang wali Allah adalah bererti menentang amanah ilmu dan sifat yang dikasihi Allah, kerana itu wajarlah sekiranya di diperangi Allah swt.