Selasa, Julai 27, 2010

Kegemilangan Islam dalam Ilmu Perubatan Mata.

Dalam 250 yahun, sarjana Muslim telah menghasilkan 18 kitab tentang oftalmologi. Sedangkan ilmuan Yunani dari zaman Hippocrates hingga Paulus selama 10 abad hanya menghasilkan lima buku oftalmologi.

Ilmu perubatan mata atau oftalmologi berkembang begitu pesat pada era moden kini. Pencapaian yang diperoleh oleh teknologi oftalmologi masa ini tidak akan mungkin terjadi tanpa sumbangan ilmuan Islam, khususnya mereka yang pakar ilmu perubatan mata semasa era kegemilangan kekhalifahan Islam. Para 'oculist' (pakar mata) Muslim diera kekhalifahan Abassiyah telah meletakkan batu asas bagi perkembangan ilmu perubatan mata.

'Saya mengundang anda kembali kemassa 1,000 tahun silam untuk menyaksikan fakta sejarah pencapaian para doktor Muslim dibidang oftalmologi,' ujar Prof. J Hirschberg, seorang ahli mata terkemuka warganegara Jerman dalam tulisannya bertajuk Arab Ophtalmologist. Hirschberg begitu mengagumi pencapaian para doktor pakar mata Muslim (kahhal) di era kekhalifahan.

Adalah wajar sekiranya Hirschberg begitu menghargai pencapaian para kahhal Muslim yang hidup pada ke 10 abad silam. Betapa tidak; sederetan istilah dalam ilmu perubatan mata ternyata berasal dari dunia perubatan Islam. Tahukah anda, istilah retina, katarak, glaukoma, pannus, serta pembedahan konjunktifa pertama kali dilakukan oleh para ahli oftalmologi Muslim?

Tidak hanya itu, para doktor pakar mata Muslim telah berperanan besar dalam menemukan pelbagai peralatan perubatan untuk mengubati penyakit mata. Selain berjaya menemukan optik, doktor pakar mata Muslim di era kejayaannya juga mampu menemukan peralatan yang digunakan untuk melakukan pembedahan mata. Bukankah ini satu pencapaian yang amat membanggakan.

Pada era kekhalifahan Islam, kerjaya seorang doktor pakar mata memang sangat berprestij. Pencapaian dan sumbangan mereka seiring dengan pakar perubatan Islam dalam bidang perubatan lainnya. Pemerintahan Kerajaan Khalifah Abbasiyah, meletakkan para doktor pakar mata pada kedudukannya yang amat tinggi. Para doktor mata itu diberi kemudahan tinggal di istana yang megah. Mereka juga diberi imbuhan gaji yang amat besar.

Khalifah Harun al-rashid misalnya, membayar gaji Bukhtishu Ibnu Jurjis sebanyak 4 juta dirham setahun. Gaji besar yang diterima para doktor pakar mata pada era kerajaan Islam itu tentunya sebanding dengan tanggung jawab dan profesionalisme yang mereka pikul. Mereka harus bertanggung jawab apabila kesilapan semasa mengubati pesakitnya.

Sebelum tahun 931M, belum ramai doktor mata yang mempunyai sijil. Namun semasa pemerintahan Khalifah al-Muqtadir, beliau memperolehi maklumat ada kes kematian disebabkan kesalahan dalam prosedur perubatan. Khalifah kerajaan Abbasiyah yang bertanggung jawab, Ibrahim Muhammad ibnu Abi Batiha, kemudian melakukan pemeriksaan terhadap doktor-doktor yang membuka klinik perubatan.

Pusat perubatan dan doktor yang tidak mempunyai sijil dari Sinan ibnu Thabit Qurra atau mereka yang membuka perniagaan tanpa tauliah, kemudiannya dilarang. Sebagai doktor pengarah kesihatan di istana khalifah, Sinan ditugaskan untuk menilai kelayakkan doktor sebelum diberikan lesen.

Para ahli oftalmologi pada era kegemilangan pemerintahan Islam, mereka mampu melalui ujian dan syarat yang ketat yang dikenakan pada mereka. Ini kerana secara umum, pada doktor mata telah menguasai ilmu asas penyakit mata yang begitu rumit. Mereka juga sudah mulai menggunakan krim sapu untuk mengubati sakit mata.

Selain itu, para doktor pun diambil sumpah mereka untuk tidak sembarangan melakukan pembedahan mata kepada pesakit. Begitulah ilmu perubatan mata berkembang pada era keemasan peradaban Islam. Dunia oftalmologi barat pun banyak berguru dan belajar dari para doktor Muslim.

Prof. J Hirschberg menyatakan, para pakar oftalmologi Muslim lebih produktif dibandingkan para doktor Yunani."Dalam 250 tahun, sarjana Muslim telah menghasilkan 18 kitab tentang oftalmologi. Sedangkan ilmuan Yunani dari zaman Hippocrates hingga Paulus selama 10 abad hanya menghasilkan 5 buku sahaja" kata Hirschberg.

Secara keseluruhan, para doktor Muslim telah menghasilkan 30 kitab tentang oftalmologi. Malangnya hanya tinggal 14 kitab sahaja yang masih tinggal pada hari ini.

Susunan ABI QUTHAIBAH.
Petikan Majalah I, Disember 2009.


Rabu, Julai 21, 2010

BERSAMAMU GAZA



Lajnah Penerangan PAS Negeri Johor bersama PAS Kawasan Kulai, atas nama Yayasan Amal Malaysia dan ngo-ngo Islam yang di ketuai oleh ABIM Negeri Johor akan menganjurkan 'Program Bersamamu Gaza' :
  • Tarikh : 8 Ogos 2010 (Ahad)
  • Veneu : IOI Mall Bandar Putra Kulai
  • Masa : 2.00 - 5.00 ptg
Tetamu kehormat yang akan hadir antaranya ialah :
  • Al-Fadhil Dr. Asri Zainal Abidin (Mantan Mufti Perlis)
  • Al-Fadhil Ust. Hasanuddin Yunus-Aqsa Shariff (Bekas tahanan kapal Mavi Marmara)
  • Wakil rakyat Palestin.
Tentatif program :
  • Solat zohor dan doa untuk rakyat Palestin yang akan dipimpin oleh Dr Asri (di IOI Mall)
  • Ucapan wakil Yayasan Amal Malaysia
  • Deklamasi sajak
  • Ucapan Ust Hasanuddin Yunus dari Aqsa Shariff
  • Persembahan nasyid
  • Ucapan Dr Asri Zainal Abidin
  • Majlis penyerahan kutipan dana 'Bersamamu Gaza'
  • Ucapan wakil rakyat Palestin
  • Penutup
Program ini bertujuan untuk mengumpul dana sebanyak mungkin untuk disalurkan kepada rakyat Islam Palestin khususnya di Gaza yang menderita akibat kezaliman rejim zionis yahudi. Seluruh warga Kulai dan kawasan sekitar dengannya diseru untuk turut sama-sama hadir ke program ini sambil menyumbang untuk kita meringankan bebanan yang ditanggung oleh umat Islam di Gaza. Kepada warga koperat, anda boleh hadir dan menyampaikan sumbangan secara terus kepada wakil Palestin yang hadir.

Kami akan memastikan setiap ringgit yang anda dermakan akan sampai terus kepada umat Islam Palestin.

ALLAHU AKBAR!!!



ZIARAH RAMADHAN AL MUBARRAQ

PAS Kawasan Kulai akan menganjurkan program Ziarah Ramadhan sambil membawa sedikit sumbangan berupa barangan makanan kepada keluarga miskin sebagai persiapan menyambut Ramadhan. Program akan tertumpu ke kawasan-kawasan berikut :
  1. Kampung Pertanian
  2. Felda Taib Andak
  3. Seng Kang
  4. Sedenak dan
  5. Kampung Murni Jaya
Program ini bertujuan untuk mendekatkan lagi PAS kepada masyarakat setempat dan membantu mereka yang memerlukan agar mereka juga akan dapat menyambut Ramadhan sepertimana golongan lain menyambutnya.

AJK PAS Kawasan berserta Dewan-dewan mengalu-alukan sumbangan samada dalam bentuk barangan dan wang ringgit daripada individu-individu, pertubuhan-pertubuhan dan ahli-ahli koperat. Para dermawan sekelian boleh menyalurkan dalam bentuk kewangan melalui akaun kami yang tertera di kanan blog ini atau terus menghubungi Ketua Lajnah Kebajikan PAS Kawasan, Sdr Aziz Jaafar di talian 019-7143675.

Sumbangan anda akan membuatkan mereka yang susah merasai kenikmatan berpuasa dan berbuka seperti golongan yang berada.



Selasa, Julai 20, 2010

Pertumbuhan Ekonomi Meningkat: Minyak, Gula Naik

Parti Islam Se-Malaysia PAS kesal dengan kenaikan harga petrol sebanyak 5 sen menjadikan harga petrol Ron 95 RM1.85 sen dan gula sebanyak 25 sen jadi RM 1.90 sen. Kenaikan ketika rakyat menghadapi tekanan hidup akibat daripada indeks pengguna makin meningkat.


PAS merasa pelik ketika pengumuman ini dibuat oleh Datuk Seri Najib Tun Razak, beliau dengan rasa bangga menyatakan pertumbuhan ekonomi sebanyak 10.1 peratus dalam suku pertama 2010, pencapaian terbaik dalam dekad ini . Kemudian mengumumkan pula kenaikan harga petrol dan gula. Apa makna kepada rakyat kalau kononnya pertumbuhan ekonomi sebanyak itu tetapi harga barang naik.


PAS berpandangan kerajaan pada hari ini terlalu dhaif dalam menguruskan ekonomi sehingga terpaksa menaikan harga petrol dan gula. Sepatutnya sebagai kerajaan, ia perlu memikirkan bagaimana hendak menyenangkan rakyat di bawah jagaan mereka, sebaliknya kerajaan hari ini membebankan rakyat. Nampaknya kerajaan BN kontang idea untuk membaiki taraf hidup rakyat, yang mereka fikir naik harga barang dan saman ekor.


Datuk Seri Najib mengumumkan dengan kenaikan harga gula dan petrol kerajaan dapat jimat wang RM24 bilion. Sepatutnya perkara ini dapat ditampung jika kerajaan pada hari ini mengatasi masalah rasuah dan kroni. Laporan audit negara 2008 menyatakan akibat ketirisan negara rugi RM28 bilion dan Ketua Setiausaha Negara menyatakan negara rugi akibat rasuah sebanyak RM10 bilion setahun

PAS merasa bangga dengan kebolehan dan kemampuan kerajaan Pakatan Rakyat yang memerintah di empat negeri, dimana pemimpinnya siang malam memikirkan bagaimana untuk menyenangkan rakyat bukan membebankan rakyat. Dengan kemampuan yang minima pendapatan di bawah kerajaan negeri, Pakatan Rakyat mampu mengurus tadbir dengan baik, contohnya Kedah yang terpaksa memikul bebanan hutang dan pembaziran di zaman Umno 52 tahun hampir RM3 bilion, masih mampu urus tadbir dengan baik, begitu juga dengan Kelantan yang berjaya mentadbir selama 20 tahun.

Ketika Kerajaan BN yang hampir lumpuh dari segi kewangan untuk mentadbir negara, tiba-tiba kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor mencari berbagai idea untuk mengagihkan kekayaan negeri kepada rakyat seperti percuma, tusyen percuma, skim Kifalah, Tabung Warisan Anak Selangor (TAWAS), manaka BN pula merancang bagaimana hendak naik tarif air, tol dan eletrik.

PAS menyeru kalau kerajaan BN sudah bangkrap idea untuk membantu rakyat, sila serahkan kuasa secara terhormat kepada Pakatan Rakyat untuk kami mentadbir. Biar rakyat boleh banding kemampuan Pakatan Rakyat dengan BN di negara ini.

PAS menyeru semua jentera penerangan PAS sila naikkan kain rentang di pelusuk kampung terutamanya sebagai tanda protes, supaya rakyat mengetahui untuk ajar pemimpin negara ini ialah dengan bahasa undi sahaja. Slogan “Terima kasih kepada kerajaan BN yang menaikkan harga minyak dan gula, “Bahagianya Rakyat Tanpamu BN” hendaklah dinaikkan untuk menanamkan kesedaran sivik dan politik di negara ini.

Ustaz Idris Haji Ahmad

Ketua Penerangan PAS Pusat

Pakat Masuk PAS Bukan Bersatu Dengan Umno

Parti Islam Se-Malaysia PAS menolak cadangan Tan Sri Harussani yang hendak menjadi perantaraan antara PAS dan Umno demi perpaduan Melayu di negara ini.

PAS bukan angkuh tetapi itulah hakikat yang berlaku pada hari ini, Umno sudah tidak relevan untuk orang Melayu menjadi tempat berteduh. Parti yang pernah disebut oleh Tun Dr Mahathir sebagai parti yang busuk sampai usus. Sepatutya Tun kena nasihat supaya ahli Umno keluar beramai-ramai masuk PAS. Apakah logik PAS diseru untuk bersatu dengan Umno, sedangkan mereka mengalami penyakit yang berjangkit iaitu penyakit barah rasuah dalaman parti, penyakit khianat kepada amanah rakyat, tidak bertanggungjawab kepada hasil mahsul negara, penyakit hanya memikirkan kepentingan perut semata-mata, penyakit tidak peduli kepada rakyat dengan menaikkan harga barang.

Apa perlu PAS diajak bersama dengan Umno semata-mata kerana hendak menghulurkan balang oksigen kepada Umno yang semakin kehilangan sokongan terutama Melayu terpelajar dan Melayu yang celik maklumat. PAS memahami tahap sokongan orang-orang Melayu sudah berubah, maka Umno berdendang dengan irama lama iaitu kuasa Melayu terancam. Apabila sudah nyawa di hujung halqum, baru Umno sedar PAS parti Melayu. Sebelumnya Umno tidak pernah memandang PAS, malah angkuh dengan kuasa untuk menindas sesama bangsa.

PAS suka mengingatkan kepada Tan Sri Harussani sebagai seorang mufti, di antara disiplin mufti kena rujuk Al-Quran, hadis, ijmak dan qias dan mengetahui gambaran masalah yang berbangkit barulah boleh keluarkan fatwa. Barulah fatwa yang dikeluarkan itu dihormati oleh orang ramai. Begitu juga dalam hal politik, sebelum beliau hendak mengeluarkan pandangan biarlah buat kajian dahulu, apakah benar kalau PAS dan Umno tidak bersatu kuasa politik melayu terancam.

PAS suka mengingatkan kepada Tan Sri Harussani tolong lihat dulu keputusan pilihanraya 2008, siapa yang khianat kuasa politik Melayu? PAS atau Umno. Macam mana kuasa Melayu boleh hilang kuasa sebab semua kerusi Melayu, PAS akan lawan Umno, kalau Umno kalah, PAS menang, PAS Melayu juga. Mana sifir kuasa Melayu terancam.

Apakah Tan Seri hanya anggap PAS kuda tungangan DAP dan PKR ketika berkongsi kuasa dalam Pakatan Rakyat. Manakah bukti PAS rugi kepada Melayu dan Islam ketika bersama PR. Tapi PAS boleh buktikan banyak tindakan Umno bersama rakan-rakan BN merugikan agama dan bangsa. Tan Seri lupakah yang menutup surau di Seksyen 8 Shah Alam itu dibuat oleh Umno pimpinan Khir Toyo, lupakah Tan Seri yang halau orang melayu di Kg Berembang dan Kg Plentong Pasir Gudang Johor adalah dibawah Umno. Dato Dr Harun Din, Dato Ismail Kamus, al-Marhum Dato Ishak Baharom diburu macam penjenayah kerana hendak menyampaikan ceramah agama ketika Selangor di bawah Umno. Adakah laporan Lim Guan Eng di Pulau Pinang tutup surau sejak memerintah Pulau Pinang

Hakikat yang berlaku Umno yang serah kerusi majoriti melayu kepada bukan melayu. Contohnya Parlimen Bukit Gantang 2004 Dr Lo lo' PAS lawan Tan Lian Hoe (BN) kemudian tahun 2008 Tan Lian Hoe bertanding di Grik melawan Mohd Noor Abd Rahman Pas, Parlimen Tanjung Malim Mohd Azman Marjohan PKR lawan Ong Ka Chuan (MCA), Dun Pasir Panjang Datuk Seri Haji Nizar Pas lawan Dr S Vasan (MIC). Malah dalam usaha hendak menambah kerusi Melayu bertambah, maka PAS bertanding di kerusi pengundi Melayu kurang daripada 50 peratus di Parlimen Kota Raja yang ditandingi oleh Dr Mariah. Ini adalah sebahagian contoh yang dikhianati oleh parti Umno yang menjadi kekasih Tan Seri Harussani.

PAS menyeru kepada ahli Umno yang ikhlas dan sayangkan agama, bangsa dan negara gunakanlah akal yang Allah berikan untuk buat keputusan supaya keluar Umno dan bersama-sama PAS yang sedang bersama membentuk pemetaan politik baru bersama-sama Pakatan Rakyat.Ingatlah Islam selamat, Melayu selamat, bangsa lain selamat, negara pun selamat. Kalau Melayu selamat belum tentu Islam dan negara akan selamat.

Ustaz Idris Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat