Selasa, April 21, 2009

Demokrasi Ala Malaysia 2. (Gambar)










Kehadiran anggota Polis lebih ramai daripada mereka yang hendak mendengar ceramah.










Suasana di Felda Taib Andak pada malam tersebut.










Felda Taib Andak seolah-olah berada dalam perintah darurat.










Bacaan doa turut diaminkan oleh pasukan keselamatan.










Pertukaran tempat ceramah.


Ahad, April 19, 2009

Demokrasi Ala Malaysia

Hasrat DPP Kulai untuk menganjurkan ceramah penerangan oleh Ust. Idris Ahmad AJK PAS Pusat bersama Sdr. Mazlan Aliman tidak kesampaian akibat gangguan daripada pihak berkuasa POLIS. POLIS yang menjalankan tugas mereka seperti yang diarah telah mengemukakan alasan
  1. pihak Felda buat halangan atas permohonan.
  2. penolakkan oleh penduduk Felda Taib Andak.
  3. faktor keselamatan.
Inilah amalan politik sempit UMNO yang terus memperkuda intitusi kepolisan negara. Dengan pelbagai isu dan penyelewengan yang dibangkitkan oleh Sdr. Mazlan sebagai Presiden Persatuan Anak-anak Peneroka (ANAK) mengenai Felda muktahir ini membuatkan mereka berasa gerun untuk berhadapan dengan Pakatan Rakyat ditambah lagi dengan kekalahan hatrik yang dialami di PRK. Mereka takut penduduk di Felda Taib Andak akan didedahkan dengan segala kepincangan pihak pengurusan Felda seperti yang terkandung didalam buku beliau Felda Dulu Tolong Sekarang Along. Sikap menikus ini membuatkan UMNO memperalatkan POLIS untuk menyekat ceramah PAS. Ini sangat bertentangan dengan perlembagaan negara yang membenarkan hak untuk berhimpun dan bersuara.

Perkara 10 dalam Perlembagaan Negara mengenai kebebasan bercakap, berhimpun dan berpesatuan dengan jelas menyebut :
a) tiap-tiap warganegara berhak kepada bercakap dan bersuara.
b) semua warganegara berhak untuk berhimpun secara aman dan tanpa senjata.
c) semua warganegara berhak untuk membentuk persatuan.

Mainan taktik kotor UMNO yang kembali ke order lama telah menyaksikan semula kekangan era reformasi 1999 disuburkan kembali. UMNO yang dilanda sindrom penafian (Denying Syndrom) masih berpolitik cara lama dengan menyekat maklumat daripada sampai kepada rakyat yang mereka fikir akan memberi impak yang besar dalam PRU seperti yang berlaku pada tahun 2004. Mereka lupa bahwa rakyat yang semakin celik dan cerdik sudah tidak berpegang pada media-media arus perdana semata-mata untuk mendapatkan maklumat. Kecanggihan sistem maklumat yang terkini membuatkan berita-berita daripada saluran alternatif lebih diminati. Perkara ini terbukti dalam PRK yang lepas telah menyaksikan mereka tersungkur dengan mainan propaganda berita melalui media yang mereka kuasai.

Sama-sama kita berdoa mudah-mudahan dengan kembalinya order lama dalam permainan politik UMNO akan mempercepatkan lagi proses kejatuhan dan kehancuran mereka. Insya'allah...

Rabu, April 15, 2009

Program Ceramah

Program ceramah untuk bulan ini adalah seperti berikut :


1.
Penceramah : Ust. Idris Ahmad dan Sdr. Mazlan Aliman
( AJK PAS Pusat )
Tarikh : 18 April 2008
Tempat : Felda Taib Andak, Kulai.
Masa : 9.00 malam.


2.
Penceramah : YB Ust. Taibazamuddin Mohd Taib
(Mantan Imam Besar masjid Negara)
Tarikh : 25&26 April 2009.

Jadual kuliah dan ceramah seperti berikut :
25 April 2009 :
  • Kuliah maghrib di surau jln jati, Bandar Putra.
  • Ceramah Maulidurasul di Surau Taman Muhibbah, Saleng.
26 April 2009 :
  • Kuliah subuh di surau jln nuri, Bandar putra.
  • Ceramah Maulidurasul di PASTI Taman Manis.
Muslimin dan Muslimat di jemput hadir.

Selasa, April 14, 2009

Muktamar Tahunan PAS Kawasan Kulai Jaya.

Muktamar tahunan PAS Kawasan Kulai Jaya telah disempurnakan dengan jayanya pada hari Ahad 16 Rabiulakhir 1430H bersamaan 12 April 2009 di Palm Villa Resort Bandar Putra, Kulai. Majlis telah dirasmikan oleh Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Johor. Seramai 100 orang perwakilan telah hadir pada muktamar kali ini terdiri daripada perwakilan Cawangan, Dewan Pemuda, Muslimat dan Urusan Ulama'. TPJ dalam amanat perasmiannya telah meningatkan pimpinan di setiap peringkat agar membuat persiapan seawal mungkin bagi menghadapi PRU ke 13 agar PAS lebih bersedia memandangkan momentum rakyat ketika ini telah menunjukkan arus perubahan yang konsisten sejak Mac 2008. Ini telah dibuktikan di dalam 3 PRK yang diadakan dan terkini ialah di Bukit Gantang dan Bukit Selambau. Umno/BN semakin lemas dan gerun untuk berhadapan dengan rakyat yang telah menunjukkan isyarat yang jelas bahawa era kepimpinan mereka semakin sampai ke penghujung. Kesempatan ini harus digunakan oleh setiap ahli PAS sebaik mungkin untuk mengikis fahaman kurafat orang Melayu terhadap UMNO dan BN. Pendekatan yang berasaskan dakwah dan tarbiah perlu berhemah dalam menyantuni permasalahan yang mereka hadapi disamping sentiasa dilihat berada didalam kelompok masyarakat. Setiap program hendaklah dilaksanakan dengan teliti dan terancang agar ia dapat memberi kesan di hati pengundi.

Disamping itu beliau juga meningatkan setiap ahli dan petugas perlu menyiapkan diri dari aspek fizikal, mental dan juga spiritual bagi berhadapan dengan sebarang percubaan yang mendatang. Program memperkasakan parti tidak boleh dipandang enteng dan dilakukan secara sembrono. Parti perlu diperkuatkan sebagai persediaan seandainya ditakdirkan Allah swt PR memerintah Johor dalam PRU yang akan datang, PR akan mampu mentadbir urus negeri dengan lebih baik dan telus seperti yang dibuktikan di negeri-negeri yang diperintah oleh PR ketika ini. Pimpinan di peringkat negeri telahpun mengenal pasti beberapa DUN yang berpotensi untuk di menangi dan akan mengekalkan setiap DUN yang ditandingi oleh PAS pada PRU akan datang termasuklah DUN Bukit Permai. Oleh itu beliau menasihatkan agar jentera parti perlu diperkemas dengan gerakerja-gerakerja yang tersusun dan berstrateji.

Muktamar kali ini juga menyaksikan kembalinya penggerak-penggerak lama kedalam senarai pimpinan disamping kehadiran tenaga-tenaga muda yang berpotensi dan berinovasi, termasuk juga dari kalangan muslimat. Gandingan lama dan baru ini diharap dapat memantapkan lagi struktur organisasi parti dan melancarkan pergerakkan setiap rancangan yang diatur.


Para perwakilan mendaftar diri.

Ucapan perasmian oleh TPJ.

Para perwakilan tekun mendengar amanat yang disampaikan.


Suasana pemilihan pimpinan.

Gandingan muka lama dan baru dalam saf pimpinan sessi 2009-2011.

Isnin, April 13, 2009

Agenda Perubahan Melalui Transformasi Ilmu

بسم الله الرحمن الرحيم

فَلَمَّا أَحَسَّى عِيْسَىٰ مِنْهُمُ الْكُفْرَ قَالَ مَنْ أَنْصَارِى~ اِلىَ اللهِ * قاَلَ ٱلْحَوَارِيُّونَ نَحْنُ أَنْصَارُ ٱللهِ ءَامَنَّا بِاللهِ وَٱشْهَدْ بِأَنَّا مُسْلِمُونَ.

Ertinya :

Maka tatkala Isa mengetahui keingkaran mereka (Bani Israel) berkatalah ia : Siapakah yang akan menjadi penolong-penolongku untuk menegakkan agama Allah? Para hawariyyun (sahabat-sahabat setia) menjawab : Kamilah penolong-penolong agama Allah. Kami beriman kepada Allah; dan saksikanlah bahwa sesungguhnya kami adalah orang-orang yang berserah diri.

(Ali Imran [3] : 52)

Setelah segala seruan dibantah dan ditolak serta segala mukjizat dipertontonkan oleh Nabi Isa a.s. ianya bukan menjadikan kaumnya bertambah keimanan bahkan bertambah keingkaran mereka kepada Allah swt, maka Isa a.s. menyeru قل من أنصارى الى الله siapakah yang akan menjadi penolong-penolongku untuk menegakkan agama Allah? Maka menjawab para hawariyyun “kamilah yang akan berdiri disamping engkau wahai Almasih, membela engkau didalam menegakkan jalan Allah”.

Almarhum Prof. Dr. Hamka dalam menafsirkan ayat ini menjelaskan :

Siapakah yang sudi berkorban meninggalkan kepentingan lain semata-mata untuk menegakkan kehendak Allah? Siapakah yang sudi menderita kerana menegakkan kebenaran yang kadang-kala terpisah daripada keluarga yang dikasihi, kampung halaman dan kesukaan-kesukaan lain? Hawari telah menjawab bahwa mereka telah menyediakan diri untuk itu semua. Hawari ialah gelaran kemuliaan yang diberikan kepada pemuda-pemuda yang telah menyediakan jiwa raga untuk membela Almasih kerana kesucian ajarannya.

Dalam konteks perjuangan kita hari ini, hawari boleh dikaitkan dengan kader-kader pilihan yang telah tahan diuji. Kader-kader yang telah menyatakan keimanan kepada Allah dengan sebenar-benarnya, menyerahkan diri dan taat setia kepada perjuangan walaupun apa bentuk penderitaan yang bakal mereka tanggungkan. Kader-kader seumpama inilah yang hendak kita lahirkan seramai mungkin yang juga akan menjadi agent perubah (change agent) didalam masyarakat.

Muslimin / muslimat yang dirahmati Allah sekelian ;

Masyarakat yang sedang kita bicarakan ini ialah sebuah masyarakat yang sedang berada di tengah-tengah suasana jahiliyyah yang serupa dengan suasana jahiliyyah yang terdapat pada era kedatangan Islam dahulu malah ada ketikanya lebih gelap lagi. As-syahid Syed Qutb dalam bukunya Petunjuk Sepanjang Jalan menyatakan : segala sesuatu dipersekitaran kita hari ini ialah jahiliyah dari sudut konsep kehidupan manusia iaitu akidah kepercayaan, adat istiadat dan kebiasaan, sumber pelajaran seni dan sastera, peraturan dan undang-undang hinggakan banyak perkara yang kita anggap sebagai pelajaran Islam, buku rujukan Islam, falsafah dan pemikiran Islam sebenarnya adalah hasil ciptaan jahiliyyah.

Usaha melahirkan hawari/kader/agen perubahan, perlu melalui proses tranformasi ilmu melalui pendidikan. Didalam program gerakan ke Islaman, kita mesti membebaskan diri di peringkat awalan iaitu di peringkat pra persekolahan dari sebarang pengaruh jahiliyyah yang selalu menghayati manusia hari ini. PASTI dan SRI adalah merupakan platform terbaik bagi melaksanakan perancangan melahirkan para hawari. Kedua-dua intitusi ini adalah tapak awal bagi anak-anak menjalani proses tranformasi ilmu. Seiring dengan dasar dan kurikulum pendidikan kebangsaan, kita juga merujuk kepada sumber murni yang dicedok dan ditimba oleh orang-orang sebelum kita dengan menekankan teori mengenai hakikat wujudnya manusia dan pertaliannya dengan wujudnya Allah swt. Dengan jumlah pelajar hampir mencecah angka 500 orang, seharusnya PASTI dan SRI mengambil sikap proaktif dalam menyusun program gerakan keIslaman ditengah-tengah masyarakat. Intitusi kita harus dilihat berbeda dengan intitusi pendidikan lain yang terdapat di sekitarnya melalui usaha-usaha yang berterusan sehingga masyarakat dapat menilai perbedaan yang ditonjolkan. Antara aspek utama yang perlu diberi penekanan ialah :

1. Keterampilan.

2. Pengisian.

3. Produk keluaran.

KETERAMPILAN.

Keterampilan dibahagikan kepada 2 elemen iaitu permis dan petugas.

· Permis.

Memandangkan kita membawa imej Islam maka permis operasi mestilah sentiasa berada dalam keadaan kemas dan bersih bersesuaian dengan ciri-ciri keislaman. Suasana yang bersih dan kondusif akan membuatkan murid-murid belajar dengan selesa dan mampu merangsang pembelajaran yang efektif. Aspek keselamatan perlu dititikberatkan agar kemalangan yang melibatkan pelajar didalam permis tidak berulang. Bagi PASTI yang mempunyai permis lebih daripada satu, penyeragaman imej perlu diwujudkan agar mudah dikenali oleh masyarakat. Penampilan fizikal ini mampu memberi impak yang besar dalam kita menyebarkan syiar Islam di kalangan orang ramai.

· Petugas.

Terdapat dua kategori petugas iaitu petugas yang dilantik oleh parti dan petugas yang dilantik oleh institusi parti (bergaji). Keterampilan mereka perlu bersesuaian dengan ciri-ciri keislaman. Bagi petugas-petugas muslimat, bertudung sahaja belum memadai selagi ia tidak melabuhkan tudungnya bagi melambangkan ciri-ciri muslimat Islam yang sejati. Justeru itu, saya ingin menyarankan agar petugas parti yang dilantik untuk mengurus tadbir intitusi pendidikan kita, menyediakan garis panduan berpakaian bagi petugas muslimat agar kita dilihat berbeda dengan intitusi pendidikan sekular. Bagi petugas muslimin, masih terdapat mereka yang gagal membuang tabiat merokok. Saya menegaskan disini, merokok semasa mesyuarat adalah dilarang sekeras-kerasnya termasuk merokok didalam permis. Sekiranya keupayaan untuk membuang tabiat merokok masih belum berhasil, maka saya nasihatkan bersembunyilah ketika hendak merokok agar tidak kelihatan oleh seorang manusia pun. Jangan calarkan imej Jemaah kita dengan asap rokok.

PENGISIAN.

Ini merupakan aspek terpenting dalam usaha melahirkan ansarollah-ansarollah yang akan menjadi agen perubahan didalam masyarakat. Anak-anak yang menerima pendidikan kita diperingkat pra-sekolah dan rendah ini mudah diasuh dan ditanamkan roh Islam yang sebenar agar benteng sekularisma dikalangan ibubapa mereka dapat ditembusi sedikit demi sedikit. Para ibu-bapa yang menghantar anak-anak mereka ke institusi pendidikan kita mempunyai penghayatan roh Islam dalam sanubari mereka. Kesempatan ini perlu diambil sebaik mungkin dengan menjadikan mereka sebagai kumpulan sasar untuk diberi penerangan mengenai Islam dari prespektif yang sebenar.

Allah swt berfirman :

وَعَدَ الله ُالَّذِيْنَ اَمَنُوا مِنْكُمْ وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ لَيَسْتَخْلِفَنَّهُمْ فِى اْلاَرْضِ كَمَا اْستَخْلَفَ الَّذِينَ مِنْ قَبْلِهِمْ وَلَيُمَكِّنَنَّ لَهُمْ دِينَهُمُ الَّذِي ارْتَضَى لَهُمْ وَلَيُبَدِّ لََنَّهُمْ مِن بَعْدِ خَوْ فِهِمْ اَمْنًا يَعْبُدُو نَنِى لاَ يُشْرِكُوْنَ بِيْى شَيْأً وَمَنْ كَفَرَ بَعْدَ ذَلِكَ فَاُولَئِكَ هُمُ اْلفَاسِقُوْنَ .

Yang bermaksud :

Orang yang beriman antara kamu dan mengerjakan amal-amal soleh, bahwa Dia sungguh-sungguh akan menjadikan mereka berkuasa di bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang sebelum mereka berkuasa, dan sungguh Dia akan meneguhkan bagi mereka agama yang telah diredhai Nya untuk mereka dan Dia benar-benar akan menukar (keadaan) mereka sesudah mereka berada dalam ketakutan menjadi aman sentosa. Mereka tetap menyembah Ku dengan tiada mempersekutukan sesuatu apa pun dengan Aku. Dan sesiapa yang tetap kafir sesudah (janji) itu maka mereka itulah orang-orang yang fasik.

(surah An-Nur : ayat 55)

Ayat ini menjelaskan kepada kita bahwa, antara pra-syarat yang ditetapkan Allah untuk berkuasa dimuka bumi ialah iman dan amal soleh. Selain daripada itu terdapat satu lagi syarat yang perlu dipenuhi untuk dapat merealisasikan janji-janji Allah tersebut iaitu hakikat Iman dan Tauhid.

Krisis yang dihadapi oleh umat hari ini ialah krisis nilai. Manusia sudah hilang nilai keimanan dan ketauhidan kepada Allah swt. Yang menyebabkan akhirnya manusia itu hilang nilai kemanusiaannya. Inilah bahaya terbesar yang sedang dihadapi oleh manusia iaitu perubahan fitrah semulajadi manusia itu sendiri. Nilai kemanusiaan didalam diri manusia sebenarnya sedang mengalami kehancuran dan ia berlaku dengan pantas sekali. Fenomena ini berlaku dimana-mana sahaja. Gejala sosial yang songsang menjadi semakin bobrok dan parah. Indeks jenayah semakin hari semakin meningkat sehinggakan bilangan anggota keselamatan terpaksa ditambah. Kebobrokan social yang melanda para pelajar sekolah menyaksikan satu fenomena yang amat membimbangkan. Bulan lalu sahaja kita dihadapkan dengan 3 kes buli yang mengejutkan Negara dimana salah satu kes didapati telah mengakibatkan kematian Mohd Hazrin Mohamad gara-gara dibelasah 24 orang remaja di Cheras. Hasil kajian Kementerian Pelajaran Malaysia pada tahun 2005 mengenai kes gangsterisme yang dipaparkan melalui Utusan Malaysia 6 Mac 2009, mendapati bahwa 459 daripada 1560 sekolah menengah harian terdedah kepada budaya samseng. Gelombang keparahan akhlak para pelajar ini bukan sahaja membahayakan golongan pelajar malah guru-guru juga diambang bahaya. Kes guru pernah ditampar oleh pelajar malah terkini menerusi laporan Berita Harian bertarikh 5 Mac 2009, seorang guru Bahasa Inggeris telah disimbah asid menjadi satu senario yang amat menakutkan. Ini tidak termasuk kes-kes yang tidak dilapor didada-dada media.

Dato’ Mustafa Mohamad sewaktu menjawat portfolio Menteri Pengajian Tinggi mendedahkan pada sidang Dewan rakyat di Parlimen bertarikh 4 Februari 2007, bahwa kajian memperolehi 735 kes khalwat melibatkan pelajar IPT yang dilaporkan dari 1971 hingga 2006, manakala penyalahgunaan dadah pula sebanyak 107 kes. Berdasarkan statistic yang dikeluarkan oleh Ibupejabat Polis Diraja Malaysia, tahun 2006 sebanyak 83 kes buang bayi telah dicatatkan diseluruh Negara berbanding 65 kes pada tahun 2000. Sepanjang tempoh 2000 hingga 2006, sejumlah 580 kes pembuangan bayi telah dicatatkan dengan 48 daripadanya masih merupakan janin. Apa yang lebih membimbangkan lagi ialah pembuangan bayi turut menular di institusi pengajian tinggi (IPT). Hasil kajian seorang pensyarah di UKM yang mendapati hampir kesemua responden pelajar perempuan yang dikajinya di sekolah menengah di negeri Selangor, pernah melakukan hubungan seks adalah asas yang paling kuat untuk menunjukkan kepincangan yang berlaku kepada sistem pendidikan dan pembangunan social Negara.

Disamping merawat golongan yang telah terjebak menerusi aktiviti dakwah dan tarbiyah yang berterusan, anak-anak kecil yang baru melangkah ke alam persekolahan mampu dicorak dan dibentuk siasah kehidupan mereka didalam kerangka Islam. Kita telah melihat, pensekularan pendidikan agama daripada system pendidikan di sekolah sehingga di menara gading telah mengakibatkan jiwa agama tidak terterap masuk ke dalam nurani setiap mereka. System pendidikan kini khususnya mata pelajaran Pendidikan Islam yang diguna pakai gagal membentuk jatidiri kendiri sebagai hamba Tuhan. Mata pelajaran Pendidikan Islam dipandang sebagai tidak penting dan kelas kedua tidak sepertimana pentingnya matapelajaran Bahasa Inggeris dll. Pendekatan yang diguna pakai dalam matapelajaran ini masih lagi melahirkan ramai anak muda yang buta agama. Disinilah PAS berperanan dalam membentuk siasah ummah yang bersandarkan al-Quran dan as-Sunnah melalui institusi pendidikan yang kita ada.

Kita sedar bahwa masaalah yang berlaku bertitik tolak daripada system pendidikan yang terlalu menekankan kepentingan akademik dan kecerdasan otak (IQ) semata-mata. Bermula dari sekolah rendah hingga ke university, amat sukar untuk kita melihat sukatan pelajaran yang menyentuh aspek kecerdasan emosi dilaksana sedangkan ia sangat penting dalam pembentukkan seorang insan. Pembentukkan emosi yang berteraskan pembinaan intergriti, kejujuran, komitmen, visi, kreativiti, ketahanan mental, kebijaksanaan, keadilan, prinsip kepercayaan, pengurusan diri dll tidak menjadi keutamaan bahkan dikesampingkan begitu sahaja.

Inilah elemen-elemen utama yang perlu diterapkan kepada para pelajar yang menimba ilmu dalam institusi PASTI dan SRI. Seorang cendiakawan barat, Robert K Cooper menyatakan “Hati mengaktifkan nilai-nilai dalaman seseorang dan mengubahnya daripada sesuatu yang kita fikir kepada sesuatu yang kita lakukan. Hati dapat mengetahui hal-hal yang tidak boleh dan tidak dapat diketahui oleh akal. Hati adalah sumber keberanian, semangat, integrity dan komitmen. Hati adalah sumber kekuatan dan perasaan dalaman yang menuntut kita belajar, menjalinkan kerjasama, memimpin dan memberi khidmat”.

Islam sangat menitikberatkan persoalan hati. Sabda Nabi s.a.w.

لآ وَاِنَّ فيِى الْجَسَدَ مُضْغَة ، اِذَ صَلَحَتْ صَلَحَ الْجَسَدَ كُلُّهُ ، وَاِذَ فَسَدَتْ فَسَدَ الْجَسَدَ كُلُّهُ ، اَلآ وَهِيَ اْلقَلْبُ .

Bermaksud :

“Ketahuilah dalam jasad kamu terdapat seketul daging. Sekiranya baik ia, maka baiklah seluruh jasad. Sekiranya rosak ia, maka rosaklah seluruh jasad. Ketahuilah ia adalah hati”.

Hati nurani akan menjadi pembimbing kepada apa yang harus ditempuh dan apa yang harus dilakukan. Ertinya setiap manusia sebenarnya telah mempunyai radar hati sebagai pembimbing. Menurut HS Habib Adnan, kebenaran Islam sentiasa selaras dengan suara hati manusia. Maka itu agama Islam adalah agama fitrah yang sesuai dengan keperluan manusia dan amat diperlukan oleh manusia. Seluruh ajaran Islam merupakan tuntutan suara hati manusia. Menjadi tanggung jawab kita sebagai ahli gerakan Islam dengan menggunakan platform pendidikan yang ada menjelaskan kepada masyarakat bahwa pendidikan Islam bukan sahaja suatu ajaran fekah atau ibadah, pendekatan ritual, simbol-simbol dan pemisahan diantara kehidupan dunia dan akhirat semata-mata tetapi pendidikan Islam pasti mampu memberikan jalan penyelesaian bagi setiap masalah kehidupan manusia.

Bagi merealisasikan impian ini, anak-anak bukan sekadar diajar untuk menghafal rukun Islam dan rukun Iman sahaja bahkan diberi kefahaman makna disebaliknya. Anak-anak ini hendaklah dibentuk sehingga mampu menjadi agen perubahan dalam keluarga mereka. Para pendidik harus memberi keutamaan dalam melahirkan insan yang berperibadi cemerlang yang merangkumi aspek akademik dan akhlak bersesuaian dengan asas pembangunan Islam iaitu akidah, syariat dan akhlak, seterusnya mampu membentuk jatidiri kendiri sebagai hamba Tuhan.

Antara makenisma yang mampu saya gariskan disini bagi mencapai tujuan tersebut adalah seperti berikut :

1. Wujudkan program suaikenal antara ibu-bapa murid dan tenaga pengajar diawal sessi persekolahan.

2. Adakan majlis taklimat mengenai falsafah pendidikan Negara dan falsafah pendidikan Islam.

3. Bagi pendidikan diperingkat sekolah rendah, ibu-bapa hendaklah diberi kefahaman mengenai sistem pendidikan Islam bersepadu yang kita terapkan.

4. Aktifkan sekolah melalui penglibatan ibu-bapa dan masyarakat dengan mewujudkan program-program bersama.

5. Terbitkan makalah bagi menerangkan aktiviti dan pencapaian sekolah. Disamping itu selitkan risalah mengenai Islam sebagai usaha untuk sampai kepada kumpulan sasar.

PRODUK KELUARAN.

Allah swt membezakan manusia daripada makhluk-makhluk lainnya dengan keupayaan untuk dijadikannya sejak awal-awal lagi suatu kesempurnaan dengan sehabis mulia darjatnya daripada makhluk-makhluk yang ada.

Ibnu Khaldun dalam Mukadimmah menjelaskan :

Al-idra’ iaitu kesedaran dalam diri seseorang tentang hal yang dianggap suatu yang khusus dimiliki oleh makhluk-makhluk yang hidup sahaja dan tidak pada lain-lain benda. Makhluk itu berkeupayaan menyedari akan sesuatu yang berlaku diluar dirinya dengan perantaraan pencaindera yang telah dianugerahkan Allah swt. Manusia mempunyai kelebihan berbanding dengan makhluk yang lainnya. Manusia boleh menganggapi sesuatu yang diluar dirinya melalui kemampuan berfikir yang merupakan suatu kebolehan luar biasa yang melampaui pancainderanya. Ia adalah diakibatkan oleh suatu kekuatan yang berada ditengah-tengah bahagian otaknya. Dengan sokongan kuasa-kuasa itu, manusia mengambil bayangan-bayangan sensabilia menggunakan akalnya dan kemudian menyiarkan gambar-gambar yang lain. Keupayaan untuk berfikir adalah penglibatannya dengan bayangan-bayangan akal kepadanya untuk membuat analisis dan sentisis.

Ertinya berfikir (al-fikr) ialah penjamahan bayang-bayang ini dibalik perasaan dan aplikasi akal didalamnya untuk pembuat analisis dan sentisis. Inilah erti kata af-iddah dalam firman Allah swt :

قُلْ هُوَ الَّذِى أَنْشَأَكُمْ وَجَعَلَ لَكُمُ السَّمْعَ وَاْلأَ بْصَرَ وَاْلأَفْئِدَةَ ،قَلِيْلاً مَّا تَشْكُرُوْنَ .

Ertinya :

Katakanlah : “Dialah yang menciptakan kamu dan menjadikan bagi kamu pendengaran, penglihatan dan akal tetapi amat sedikit kamu bersyukur.”

Al-Mulk [67] : 23

Keupayaan berfikir inilah yang akan dijana dan menjadi elemen penting dalam melahirkan khairah ummah seperti yang dituntut oleh al-Quran. Selain kefahaman dan hafazan, anak-anak ini harus dididik cara berfikir yang selari dengan kehendak agama. Keupayaan berfikir yang dianugerahkan kepada setiap insan perlu diasuh sebaik mungkin agar mereka mampu membezakan antara yang hak dan bathil serta berjaya menundukkan tuntutan hawa nasfu. Al-aql ut tamyizi (kemampuan pembeza) ini akan membuatkan manusia memperolehi segala suatu yang bermenafaat bagi dirinya dan penghidupannya serta akan mampu menolak segala suatu yang memudaratkan dirinya. Inilah intipati pertama dalam melahirkan produk masyarakat yang mempunyai ketauhidan kepada Allah yang mantap bersesuaian dengan asas pembangunan Islam yang pertama iaitu AKIDAH.

Apabila keimanan dan ketauhidan kepada Allah swt terbina, maka segala perintah dan larangan akan dituruti tanpa sebarang persoalan. Maka akan terjelmalah insan-insan yang soleh dan solehah. Gabungan antara iman dan amal soleh ini akan menghasilkan satu ledakkan yang luar biasa seperti yang digambarkan oleh al-Quran menerusi firman Allah swt:

اَلَّذِيْنَ ءَامَنُوْا وَعَمِلُوْا الصَّلِحَتِ طُوبَى لَهُمْ وَحُسْنُ مَئَابً .

Ertinya :

“Orang-orang yang beriman dan beramal soleh, bagi mereka kebahagian dan tempat kembali yang baik.”

Ar-Ra’d [13] : 29

Masyarakat Islam hari ini khususnya di Malaysia, selain berhadapan dengan krisis nilai, terdapat satu lagi krisis yang tidak kurang hebatnya iaitu krisis keyakinan kepada Islam. Fahaman sekularisma yang menebal hasil indoktrinasi penjajah dan orientalis barat telah menatijahkan sekelompok umat yang melihat Islam hanya dirumah-rumah ibadat dan ritual semata-mata. Tembok pemisah ini hanya mampu ditembusi menerusi transformasi ilmu di peringkat awal pendidikan secara berterusan sehingga keperingkat yang lebih tinggi iaitu di peringkat masyarakat awam. Oleh itu platform pendidikan yang kita ada perlu diperkukuhkan dan perlu sentiasa diberi nafas baru agar mendapat tempat dihati pencinta-pencinta Islam beraliran sekular dan produk yang dikeluarkan dari intitusi kita adalah produk yang beramal dengan Islam dari prespektif yang sebenar. A.M. Lothrop Stoddard dalam bukunya The New World Of Islam yang diterbitkan di London pada tahun 1932 berkata :

“Kebangkitan Islam adalah keadaan yang paling menakjubkan yang pernah berlaku dalam sejarah kehidupan manusia. Bermula dikawasan yang terpencil oleh manusia yang tidak dikenali, Islam berkembang dengan pesatnya sehingga dalam masa satu abad, ia sudah menguasai setengah dunia. Kemunculan Islam melahirkan dunia yang baru iaitu Dunia Islam”.

Andainya ini mampu kita laksanakan, saya berkeyakinan PAS akan menguasai DUN Bukit Permai ini satu hari nanti. Insya’allah.

Setelah akidah dan syariat terserlah, maka elemen ketiga yang akan dijelmakan oleh intitusi kita ialah insan-insan yang berbudi pekerti tinggi yang berpaksikan akhlak Islamiyyah. Inilah bentuk ansarollah-ansarollah yang hendak kita lahirkan. Kita perlu meramaikan mereka agar mereka benar-benar menjadi agen perubahan ditengah-tengah masyarakat. As-Syeikh Abu Hasan An-Nadwi di dalam bukunya bertajuk Kerugian Dunia Akibat Kemunduran Umat Islam berkata :

“Perubahan yang ditimbulkan Muhammad dalam jiwa para sahabat, serta perubahan selanjutnya yang diledakkan oleh sahabat-sahabat beliau dalam masyarakat, adalah perkara yang paling mengejutkan yang pernah berlaku dalam sejarah manusia. Bangsa Arab terutamanya yang memeluk Islam, berpindah dari pengertian yang kabur dan dangkal mengenai agama kepada pengertian yang jelas dan mendalam mengenainya. Pengetahuan ini besar sekali pengaruhnya terhadap jiwa, perasaan, hati serta anggota tubuh mereka. Ia tidak hanya memberi kesan dalam konteks mental dan perangai, bahkan lebih dari itu ia mempengaruhi seluruh kehidupan sosial secara sepenuhnya. Mereka yang masuk Islam percaya sepenuhnya kepada Allah, Tuhan semesta alam yang menguasai segala-galanya. Dengan keimanan sedemikian mereka berubah secara total. Iman mereka yang meresap masuk kedalam hati dan seluruh anggota badan, hingga keurat saraf dan darah yang mengalir, menyinari akal dan hati sehingga mampu menghancurkan segala penyakit jahiliyyah yang selama ini menguasai diri mereka. Semasa itu lahirlah peribadi baru yang mulia akhlak serta keperibadiannya, disamping unggul kelakuannya. Perubahan ini memang menakjubkan”.

Pendidikan merupakan tunjang kepada apa yang diperkatakan. Kita dapat menyaksikan Islam mampu bertapak dibeberapa negeri di Semenanjung Malaysia seperti Kelantan, Terengganu, Kedah, Perak dan kini menular ke Selangor. Keujudan intitusi pendidikan pondok dan sekolah-sekolah agama rakyat, telah membuatkan PAS semakin kukuh dan diterima. Budaya ilmu yang tinggi seperti yang ditunjukkan oleh penduduk Kelantan di bawah kepimpinan ulama’ membuatkan Islam sukar digugat dan ini telah dibuktikan di dalam PRU yang lalu.

PRU ke12 telah menunjukkan betapa masyarakat di Malaysia semakin muak dan jelak dengan Barisan Nasional yang bertunjangkan gerombolan United Malay Nation Organisation (UMNO). PAS sebagai parti melayu kedua terbesar selepas UMNO kini dilihat semakin menyerlah bukan sahaja dikalangan masyarakat awam bahkan dikalangan Pakatan Rakyat.

Bagi merealisasikan impian ini, intitusi pendidikan kita perlu diperkemas dan diperkukuhkan. Bilangan pelajar perlu ditambah setiap tahun agar mampu beroperasi ditahap maksima. Kempen menambah bilangan pelajar harus berjalan seawal mungkin dengan menjadikan PASTI sebagai kumpulan sasar yang utama. Angka 20% hendaklah dijadikan target bagi setiap tahun, datang dari pelajar PASTI. Guru-guru PASTI hendaklah berperanan mengenal pasti murid-murid yang berpotensi dari segi pelajaran didedahkan mengenai keujudan SRI. Ibu-bapa murid ini perlu difahamkan betapa pentingnya kesinambungan pendidikan Islam setelah selesai diperingkat pra-sekolah. Sekiranya perlu, adakan lawatan murid-murid PASTI secara berkala ke Sekolah Rendah Islam Ibnu Nafis agar minat untuk belajar di sekolah ini dapat diindoktrinasikan kedalam minda mereka. Selain itu setiap ahli PAS mestilah mempunyai keyakinan kepada intitusi kita sendiri dengan memilih Sekolah Rendah Islam Ibnu Nafis sebagai medan utama menimba ilmu di peringkat rendah.

Sebelum kita mengharapkan orang awam memilih institusi pendidikan milik PAS, ahli-ahli PAS perlu terlebih dahulu menunjukkan keyakinan dengan menghantar anak masing-masing. Kalau tidak mampu untuk menghantar kesemuanya, cukup dengan seorang wakil bagi setiap keluarga sebagai menyatakan sokongan kepada institusi milik sendiri. Semangat ini perlu dijelmakan dengan kesungguhan yang hakiki bagi memberi keyakinan kepada masyarakat awam.

Muslimin dan muslimat yang dirahmati Allah sekelian ;

Dalam menjana agenda perubahan, saya memetik kata-kata Ybhg Dato’ Sidek Fadhil dalam satu wacana ilmu baru-baru ini, dimana beliau menyatakan :

“perubahan politik adalah kerja orang-orang politik tetapi politik perubahan adalah kerja orang-orang dakwah”.

Bagi orang PAS yang tidak memisahkan agenda politik dan dakwah, perubahan politik dan politik perubahan adalah tugasan kita. Kita akan tetap berada disaf hadapan dalam merealisasikan agenda Islam sehinggalah berlaku satu ledakkan besar dalam politik tanah air dan dalam masa yang sama terus menjunjung Islam lalu meletakkannya ditempat yang paling tinggi kerana matlamat dakwah ialah melahirkan sebuah Negara Islam menurut tuntutan al-Quran dan as-Sunnah.

Menurut Mohamad Asad ; seseorang itu kelihatan hebat bukan kerana dirinya tetapi kerana Islam. Islam yang membuatkannya kelihatan hebat. Ia akan terus kelihatan hebat selagi mana ia istiqamah meneruskan gerak-kerja Islam iaitu berfikir secara Islam, bertindak secara Islam, bertutur secara Islam, bergaul secara Islam, berorganisasi secara Islam dan meletakkan seluruh kehidupannya secara Islam yang syumul. Inilah insan-insan hebat, para ansarollah dan muslim super seperti yang digariskan oleh Dr. Daniel Zainal Abidin dalam bukunya Minda Muslim Super.

Saya sedar bukanlah satu yang mudah untuk membawa agenda perubahan ditengah-tengah masyarakat yang bermazhab secular dan berpaksikan tamaddun barat. Sebab itu kita perlu memperkasakan parti, berkerja secara berorganisasi, berstrateji dan mempunyai pergerakkan jentera secara terancang. Semua ini memerlukan satu pasukan yang mantap dan mampu menyumbang dari setiap sudut samada buah fikiran, tenaga, material, kewangan dsb.

Apa yang kita rancang hari ini tidak semestinya akan berhasil dalam jangka masa singkat. Tidak semua perubahan itu berlaku secara drastik. Ada yang memakan masa yang lama. Nabi Musa a.s. memerlukan 40 tahun untuk umat Israel berubah sehingga baginda sendiri tidak melihat agenda perubahan yang baginda bawa. Begitu juga dikalangan pimpinan kita, ramai yang tidak bersama ketika PAS meraih kemenangan besar. Al-Marhum Dato’ Fadhil Noor yang mengasaskan GERAK ketika era reformasi 1999 sehingga lahirnya pakatan pembangkang di bawah Barisan Alternatif, tidak bersama-sama ketika kita mampu menumbangkan dominasi United Malay Nation Organisation di lima buah negeri. Ketajaman al-marhum dalam mencorakkan politik tanah air, dapat kita nikmati ketika ini, sehingga kita menyaksikan kesanggupan DAP sebuah parti politik secular yang konsisten menentang Negara Islam bawaan PAS, duduk dibawah pentadbiran PAS seperti yang berlaku di Perak. Sebab itu saya memilih untuk mengariskan agenda perubahan melalui proses transformasi ilmu yang memerlukan sedikit masa bagi merobah minda para pengundi di Kulai disamping melahirkan seramai mungkin change agent seperti yang dibicarakan sebelumnya.

Mungkin juga kita tidak berkesempatan untuk melihat dan merasai agenda perubahan yang kita bawa di Kulai sepertimana Nabi Musa a.s. dan al-Marhum Dato’ Fadhil Noor. Oleh itu saya mengingatkan kepada diri saya dan sahabat-sahabat sekelian agar menggunakan kesempatan yang Allah beri ini semaksima mungkin untuk Islam. Dalam kesibukkan kita mengurus urusan duniawi, berilah sedikit masa untuk Islam. Jangan biarkan diri kita yang telah pun diberi peluang oleh Allah berjuang bersama Islam ini, terabai akibat hambatan dunia yang Allah gambarkan sebagai mainan dan sis-sia.

Muslimin dan muslimat yang rahmati Allah sekelian :

Bagi mereka yang telah terpilih dan bakal dipilih memegang jawatan diperingkat kawasan dan dewan-dewan, jadikan jawatan itu sebagai amanah yang dianugerahkan Allah kepada kita. Ia merupakan satu pertanggung jawaban besar yang bakal menjadi saksi di hadapan Allah Rabbuljalil di yaumul masyar kelak. Jawatan yang disandang bukanlah satu permis untuk menjadi glamour dan ternama tetapi ia adalah tugasan besar untuk mensyariatkan Islam di muka bumi khususnya di Negara kita Malaysia. Rebutlah peluang ini untuk membawa sebanyak mungkin bekal untuk menghadap Allah swt kerana segala gerak kerja kita berada dalam kerangka Islam. Segala kepayahan dan pengorbanan yang dicurahkan tidak akan menjadi sis-sia kerana ianya semata-mata untuk Islam dan umat Islam. Allah menjelaskan melalui firmannya :

اَفَغَيْرَ دِيْنَ اللهِ يَبْغُونَ وَلَهُ، أَسْلَمَ مَن فِى السَّمَوَتِ وَالأَرْضِ طَوْعًا وَكَرْهًا وَاِلَيْهِ يُرْجَعُوْنَ .

“Maka apakah mereka mencari agama yang lain dari agama Allah, padahal kepada Nya lah berserah diri segala apa yang di langit dan di bumi, baik dengan suka maupun terpaksa dan hanya kepada Allah lah mereka di kembalikan”. (ali-Imran [3] : 83)

وَمَنْ يَبْتَغِ غَيْرَاْلاِسْلَمِ دِيْنًا فَلَنْ يُقْبَلَ مِنْهُ وَهُوَ فِى اْلأَخِرَةِ مِنَ الْخَسِرِيْنَ .

Barangsiapa mencari agama selain agama Islam, maka sekali-kali tidaklah akan diterima (agama itu) daripadanya dan dia di akhirat termasuk orang-orang yang rugi”. (ali-Imran [3]: 85)

Akhirkata saya menyeru diri saya dan sahabat-sahabat sekelian sekali lagi, agar kita mempertingkatkan iltizam untuk terus berjuang walau apa pun halangan dan kekangan yang terpaksa dilalui. Mungkin ada yang Allah takdirkan untuk tidak bersama ketika DUN Bukit Permai ini dianugerahkan kemenangan, tetapi biarlah kita menjadi antara perintis kepada jalan kemenangan yang bakal dikecapi sepertimana janji Allah :

اِنَّا فَتَحْنَا لَكَ فَتْحًا مُبِيْنًا .

Sesungguhnya Kami telah memberikan kepadamu kemenangan yang nyata

(al-Fath [48] : 1)

Izinkan saya menutup ucapan ini dengan sepotong ayat Allah dari surah al-Ankabut [29] ayat 69 :

وَالَّذِينَ جَهَدُوا فِينَا لَنَهْدِيَنَّهُم سُبُلَنَا ، وَاِنَّ اللهَ لَمَعَ الْمُحْسِنِيْنَ .

“Dan orang-orang yang berjihad di jalan Kami, benar-benar akan Kami tunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami, dan sesungguhnya Allah benar-benar berserta dengan orang yang berbuat kebaikkan.”

T A K B I R.