Khamis, Jun 18, 2009

Islam dan Pertentangannya dengan Fahaman Sekular. (Bhg 1)

Pendahuluan.

Fahaman sekular atau sekularisma merupakan satu fahaman atau isme yang telah sebati dengan fikiran segolongan umat Islam di seluruh dunia. Segolongan besar dari mereka menjadi pendokong kuat kepada fahaman ini semenjak zaman penjajahan barat sehingga negaranya mencapai kemerdekaan, bahkan hingga ke hari ini masih sayang dan cinta serta menebal kefahamannya terhadap ideologi ciptaan barat tersebut. Apakah sebenarnya fahaman sekular atau sekularisma itu? Apakah ia tidak bercanggah dengan ajaran Islam atau sebaliknya? Sekiranya ia bercanggah dimanakah letak percanggahannya? Artikel ini akan cuba menjelaskan secara ringkas untuk makluman dan panduan pembaca sekelian.

Penjelasan Ringkas Mengenai Islam.

Agama Islam yang dihayati serta diimani yang menjamin kebahagiaan hidup didunia dan akhirat, adalah agama samawi yang terakhir. Diturunkan kitab al-Quran sebagai panduan dan diutus Rasulullah s.a.w. untuk mengajarkannya, merupakan ajaran yang sempurna lagi lengkap meliputi segala bidang kehidupan manusia.

Apabila seseorang memahaminya dengan sebenar-benarnya, kemudian diamal dan dipraktik dalam kehidupan, maka akan lahir seorang yang berperibadi baik dan mulia, ujud kedamaian dalam keluarga dan rumahtangga, masyarakat akan tenteram dan aman serta negara akan mendapat nikmat melimpah ruah. Tetapi sebaliknya jika kefahaman terhadap Islam itu salah dan pengamalannya tidak bertepatan, maka pincanglah kehidupan seseorang individu, keluarga, masyarakat dan negara.

Agama Islam bukannya satu ajaran yang boleh ditafsir dan dijelaskan mengikut sesuka hati, bahkan Islam mempunyai prinsip-prinsip yang tepat, jelas dan nyata. Sumber ajarannya terang dan teguh, tidak seperti agama-agama lain yang boleh ditokok tambah dan dibuang oleh orang-orang tertentu seperti pemuka-pemuka agama 'Rijal al-Deen' dengan sesuka hatinya. Ini disebabkan Islam itu telah sempurna seperti yang dijelaskan oleh Allah swt menerusi firmanNya yang bermaksud :
"Pada hari ini telah Aku sempurnakan bagi kamu agama kamu dan telah Aku cukupkan nikmatKu kepada kamu dan Aku telah redhakan Islam itu menjadi agama kamu".
(surah al-Maidah : 3)


Oleh itu apabila berlaku perselisihan pendapat antara umat Islam, mereka semestinya kembali kepada al-Quran dan al-Hadith, tidak terpengaruh kepada hawa nafsu dan isme-isme ciptaan manusia. Apabila berlaku perselisihan pendapat ulama' dengan tokoh-tokoh sekular dalam hal-hal agama, umat Islam mesti merujuk kepada pakar agama. Firman Allah yang bermaksud :
"Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada U'lil Amri (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah(berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (kitab) Allah (al-Quran) dan (sunnah) RasulNya jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu) dan lebih eluk kesudahannya".
(surah an-Nisa' : 59)

Dan firmanNya lagi yang bermaksud :
"Dan tidaklah Kami mengutus Rasul-rasul sebelummu (wahai Muhammad), melainkan dari kalangan orang lelaki, yang Kami wahyukan kepada mereka. Oleh itu bertanyalah kamu (wahai golongan musyrik) kepada orang-orang berpengalaman agama jika kamu tidak mengetahui".
(surah al-Nahl : 43)

Islam itu merangkumi bidang yang amat luas; akidah dan ibadat, akidah dan syariat, agama dan negara atau pemerintahan termasuk mashaf dan pedang. Islam yang sebenar tidak seperti yang difahami oleh pendokong-pendokong sekularisma. Mereka mahu Islam mengikut fahaman mereka, kemudian memaksa orang lain mengikut cara yang difahaminya. Mereka mahu Islam yang tersendiri tidak seperti yang didakwah oleh Rasulullah s.a.w., tidak seperti yang dijelaskan oleh para ulama' dan tidak seperti yang dilaksanakan atau ditanfizkan oleh salafussoleh. Tidak seperti yang diterangkan oleh ulama' fiqh, hadith dan tafsir. Mereka mahu Islam yang telah disilap atau diselewengkan, atau Islam seperti yang dikemukakan oleh musuh-musuh Islam dari kalangan orientalis barat dan lain-lain lagi.

Rujukan : Nota Pengajian Diploma Tasawur Islam ILH 203 (Aqidah Islamiyyah)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan