Khamis, Oktober 28, 2010

Hutang Negara, Setiap Rakyat Menanggung RM14 000.

Parti Islam Se-Malaysia PAS merasa kesal terhadap pendedahan Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang, bahawa hutang negara pada tahun lalu berjumlah RM362.39 bilion, iaitu paras yang paling tinggi dalam tempoh lima tahun. Hutang kerajaan di dalam negara (domestic debt) pada tahun lalu adalah RM348.60 bilion atau 96.2 peratus keseluruhan hutang Kerajaan Persekutuan. Ini bermakna setiap rakyat Malaysia seramai 26 juta menanggung hutang sebanyak RM14,000 setiap orang.


PAS menganggap bahawa hutang yang meningkat dengan mendadak kerana ketirisan dan rasuah. Pendedahan Ketua Setiausaha Negara, mengatakan bahawa negara kerugian akibat rasuah setiap tahun RM10 bilion. Laporan Ketua Audit Negara 2009 mendedahkan berlaku penyelewengan mengagihkan bantuan Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM) kepada murid tidak layak kerana maklumat pendapatan mereka meragukan. Malah, ada penerima didapati memiliki kemudahan tidak sepadan dengan kedudukan kewangan diisytiharkan seperti saluran televisyen berbayar Astro, lebih sebuah kenderaan dan ada penghawa dingin di rumah. Begitu juga dengan program Rancangan Makanan Tambahan (RMT) di sekolah disediakan sandwich tanpa sardin, tomato, timun dan salad. Semuanya adalah contoh yang menunjukkan kegagalan kerajaan Umno BN yang akan digalas oleh rakyat Malaysia akibat kecuaian kerajaan pada hari ini menguruskan pentadbiran negara.


Apakah ini merupakah sebuah kerajaan yang berkesan dalam mentadbir negara ini. Selalu pemimpin Umno di negara ini sering mendabik dada bahawa parti yang bijak memerintah ialah Umno dan BN. Selain daripada BN maka tidak mampu untuk memerintah. Tidak hairanlah kepada kita apabila negeri yang diambil alih oleh PAS dan Pakatan Rakyat terpaksa memikul bebanan hutang yang perlu dilangsaikan. Kerajaan baru perlu melunaskan hutang,kerana kita ambil alih kerajaan, bukan ambil alih parti. Pengalaman PAS di Kelantan terpaksa memikul hutang kerajaan BN sebanyak RM740 juta selama 12 tahun mereka memerintah Kelantan. Begitu juga hutang kerajaan Kedah sebanyak RM2.3 bilion selama 51 tahun Umno BN perintah. Kebijaksanaan pemimpin PAS dan Pakatan Rakyat di Kelantan, Kedah, Selangor dan Pulau Pinang menguruskan kewangan dan cuba berusaha membayar balik hutang amat dikagumi oleh pegawai kerajaan pusat

Persoalannya apakah rakyat mahu membiarkan keadaan ini terus berlaku dan anak cucu kita yang akan menanggung derita pada masa akan datang. Pemimpin Umno BN hanya pandai berbelanja dengan boros dan tidak serius untuk menentang rasuah dan membetulkan kepincangan. Mereka akan mengorek lombong-lombong yang masih ada, seperti Kumpulan Simpanan Pekerja (KWSP), Petronas, Permodalan Nasional Berhad (PNB), Tabung Haji dan sebagainya. PAS menyeru rakyat supaya cukuplah memberi mandat kepada Umno BN yang mengkhianat rakyat dan masa depan anak cucu kita.

Ustaz Idris Ahmad

Ketua Penerangan PAS Pusat

Ahad, Oktober 17, 2010

Angin Perubahan Yang Bakal Melanda Negara.

Lama benar rasanya penulis tidak berbicara di alam siber. Sibuk dengan tugas dan kerja yang tak tahu apa sebenarnya. Terasa benar diri ini disibukkan dengan dunia yang bakal ditinggalkan. Masa artikel ini ditulispun, penulis berada di Kuching Sarawak. Inilah masa terluang yang ada dan kesempatan ini diambil untuk mengetuk butang-butang komputer untuk berkongsi maklumat dengar pelayar blog ini.

Perjalanan kali ini amat memenatkan. Bermula dengan Kota Kinabalu pada pagi Selasa untuk sessi taklimat disebelah malamnya, penulis terpaksa berangkat seawal 5 pagi untuk ke Kuching bagi menghadiri mesyuarat pada jam 9.30pg. Selesai tugas rasmi, menyusul pula kerja yang sudah diatur dalam bentuk pertemuan, taklimat, rundingan dsb. Ramai orang yang terlibat dan juga banyak tempat yang perlu dikunjungi. Selain Kuching, termasuk juga Serian, Sibu dan Sarikei. Ooo sibuk entah apa-apa. Kata bebudak sekarang buzy giler... Apa tidaknya, Ahad malam baru balik ke Johor.

Apa yang nak dikongsikan disini ialah bukan cerita sibuk tu, tetapi tentang angin perubahan yang sedang melanda disegenap lapisan rakyat sekarang ni. Disetiap sessi yang penulis hadiri samada rasmi atau tidak, rata-rata menyuarakan ketidakpuasan hati mereka kepada sang pemerintah.

Di Kota Kinabalu, penulis bertemu dengan orang politik dari BN, bekas ahli parlimen dan kini ditempatkan disalah sebuah kementerian di Putrajaya. Walaupun nadanya tidak sesumbang pembangkang, tetapi luahan rasanya kearah itu. Apabila ditanya tentang peluang BN di Batu Sapi, jawabnya "Rakyat sudah bijak sekarang ini. Mereka tidak boleh diperbodohkan lagi seperti dahulu, apatah lagi dibandar". Ertinya peluang BN tidak secerah dahulu. Bukan sekadar itu, rungutannya seolah-olah ia bukan dari kalangan penyokong kerajaan.

Itu cerita di KK. Di Kuching lebih menyeronokkan. Semasa menghadiri mesyuarat rasmi, pengerusi mesyuarat memaklumkan secara 'off-record' bahwa para pegawai di kementerian memberitahu agar setiap agensi menghabiskan peruntukkan yang ada. Tugas mendapatkan dana, serahkan saja kepada kerajaan yang bakal memerintah (kerajaan baru). Lebih menyeronokkan lagi ialah apabila kata-kata itu ditanyakan kepada penulis; "benarkah begitu?". Kaget (meminjam kata-kata Mat Indon) dibuatnya, maklumlah semua ahli mesyuarat sudah tahu 'stand politik' penulis. Nak kata apa, senyum ajelah...

Ketika bertemu seorang rakan karib yang merupakan Setiauasha Tetap disalah sebuah Kementerian di Sarawak, suasana juga agak berbeza. Sahabat ini memangle penyokong kuat Tok Uban (Panggilan orang Sarawak untuk Ketua Menteri mereka) apatah lagi berstatus pegawai kanan kerajaan, tetapi rakan-rakan niaga yang dibawa bersama, semuanya tidak menyebelahi sang pemerintah. Sungutan mereka membuatkan sahabat penulis berdiam diri, mendengar sambil menikmati hidangan yang dipesan. Nak menyampuk macamana, makan malam tu dah jadi makan malam pakatan pembangkan. Terpaksalah 'joint the group' ;"I as a goverment servant had no comment" katanya dalam bahasa penjajah. Meaning to say; kalau kerajaan ini berubah aku tetap kakitangan kerajaan dan dapat gaji.

Itu cerita diperingkat tertinggi kakitangan awam. Dikalangan masyarakat marhain pula, lain ceritanya. Semasa berkunjung ke kebun seorang petani yang menggunakan produk penulis di Serian, pekebun ini juga sudah menampakkan kecenderungan kearah perubahan. Apabila ditanya tentang kemudahan infrastruktur seperti letrik dan air, dengarkan jawapannya : "Kami orang sudah fed-up dengan wakil rakyat kami. Perintah (kerajaan) hanya pandai janji saja. Habis undi langsung tidak nampak muka. Kali ini kami mahu beri undi sama pembangkang. Kami tahu mereka takde wang, tapi tidak mengapa. Beri sama orang ada wang pun, tidak dapat apa-apa.... lama sudah kami orang minta". (Penulis cuba mengajuk loghat mereka bertutur, maaf kalau salah).

Di Sibu semasa menaikki teksi dari airport ke bandar, si pemandu lebih hebat lagi. Dengan nada yang amat marah, habis di katanya kerajaan ni seolah-olah tidak ada yang betul. 'Marah betul dia ni' bisik hati. Hal yang sama juga berlaku dengan pemandu teksi yang menghantar penulis ke airport setelah selesai tugas. " Ini kali undi ha...ini Salawak dia tentu kalah manyak..lu tengok nanti...Banda ha...lagi manyak kalah ho...Kita olang Cina tak mahu kasi sama ini BN lagi...Manyak tipu...sutah tak boleh tahan".

Dari orang politik bergelar Datuk, kepada kakitangan awam peringkat tinggi, kemudian pekebun di pendalaman dan akhir sekali pemandu teksi di bandar, semuanya menunjukkan angin perubahan sedang melanda. Apakah momentum ini dapat dimanefastasikan kedalam kotak-kotak undi....ia akan tetap menjadi teka-teki. Namun arus perubahan ini sekiranya berjaya dibesarkan, tidak mustahil pemerintahan Malaysia akan berubah dan rakyat akan menikmati kehidupan yang lebih selesa. Sama-samalah kita bergerak kearah merealisasikannya.

KEARAH MALAYSIA YANG LEBIH DINAMIK.


Sabtu, Oktober 16, 2010

CERAMAH PERDANA TUAN GURU NIK ABDUL AZIZ NIK MAT.

Ceramah perdana oleh YAB Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat yang sepatutnya dijadualkan di PASTI Ar-Raudhah Taman Manis Kulai terpaksa dibatalkan atas sebab kepadatan program yang terpaksa dilalui. Faktor keuzuran Tuan Guru membuatkan pimpinan PAS Negeri memutuskan jadual ceramah terpaksa dibatalkan. Segala kesulitan amat dikesali. Pimpinan Negeri dan Kawasan memohon ribuan ampun dan maaf kepada para penyokong Pakatan Rakyat di atas pembatalan tersebut.

Sekian harap maklum.

Isnin, Oktober 11, 2010

CERAMAH PERDANA TUAN GURU NIK ABDUL AZIZ NIK MAT.



Tarikh : 17 oktober 2010.
Tempat : PASTI Ar-Raudhah, Taman Manis, Kulai.
Masa : 9.30 mlm.

Semua di jemput hadir.

Hukum Menerima Wang Haram Sumber Judi.


Soalan: Dr Asri, sekarang ini heboh tentang hukum menerima sumbangan dari hasil haram. Saya pun baca kenyataan Dr Asri yang menyatakan tidak mengapa selagi traksaksi itu atas bantuan, bukan judi. Cumanya, masyarakat kita keliru, ada kata boleh dan ada kata sebaliknya. Jika haram, apa hukum pula kakitangan kerajaan yang menerima gaji dari kerajaan yang mempunyai pelbagai sumber termasuk hasil cukai judi dan arak? Bagaimana pula anak-anak yang mendapat wang dari bapa terlibat dengan wang haram seperti riba, rasuah dan seumpamanya? Bagaimana pula persatuan-persatuan yang mendapat bantuan dari syarikat atau bank yang mempunyai sumber haram seperti arak atau riba?

Mazlan, Pulau Pinang.

Jawapan Dr MAZA: Saudara Mazlan, perkara yang penting dalam traksaksi kewangan dan sebagainya, seseorang hendaklah tahu atas asas apa traksaksi itu dibuat. Maksudnya, dia mesti jelas wang atau barang yang diterimanya atas dasar apa. Jika yang diterimanya itu atas penjualan arak yang dia lakukan, atau judi yang dia terlibat atau riba yang berurusan dengannya, atau pelacuran yang terbabit maka ia haram. Jika ia terima atas jual beli, atau bayaran hutang, bantuan, atau pemberian atau hadiah yang dia tidak terbabit dengan urusan kegiatan haram, maka ia pada asalnya adalah halal. Sebagai pendetilannya, saya sebutkan beberapa perkara berikut;

1. Seseorang yang menerima wang dari pihak yang lain hendaklah memastikan atas traksaksi apa wang itu diterima. Adapun urusan sebelum itu, yang tidak membabitkan diri penerima, maka itu tidak pertanggungjawabkan kesalahan itu ke atas penerima tersebut.

Umpamanya, kakitangan kerajaan yang bekerja dalam urusan yang halal dan mendapat gaji, maka gaji itu halal. Sekalipun kemungkinan sumber kerajaan dalam membayar gaji itu diambil dari kegiatan yang haram seperti perjudian atau arak atau seumpamanya. Ini kerana urusan haram itu tidak membabitkan diri penerima gaji berkenaan dan gaji itu diterima atas kerjanya yang halal, bukan aktiviti yang haram.

2. Hal yang sama, jika seseorang berhutang kepada kita, lalu dia datang membayar dari hasil wang haram yang diperolehinya seperti menang loteri. Kita halal mengambil hutang kita sekalipun dia bayar dari wang loteri berkenaan. Ini kerana yang haram ialah pemindahan wang dari syarikat loteri kepada yang berhutang, iaitu atas asas judi. Sedangkan pemindahan wang tersebut kepada kita, atas asas membayar hutang, yang tiada kaitan dengan judi.

Begitu juga, jika pengurus bank riba, atau taukeh judi atau taukeh arak datang ke kedai kita dan membeli barang atau makanan, halal kita menerima wang yang mereka bayar. Ini kerana wang itu diterima atas dasar jual beli, bukan judi, atau riba atau arak. Kegiatan yang salah ditanggung dosanya oleh pelakunya, sedang yang menjual barang halal kepada mereka tidak terlibat.

3. Asas dalam hal ini disebut oleh al-Quran (maksudnya):

“dan tiadalah (kejahatan) yang diusahakan oleh sesuatu jiwa (seorang) melainkan dialah yang menanggung dosanya; dan seseorang yang boleh memikul tidak akan memikul dosa orang lain”. (Surah al-An’am, ayat 164)

4. Dalil yang menunjukkan kenyataan ini, ialah amalan Nabi s.a.w di mana baginda menerima pemberian wanita Yahudi di Khaibar yang menghadiahkan baginda kambing, baginda memakannya. Ini seperti yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim. Walaupun Yahudi terkenal dengan penipuan, riba dan rasuah tetapi baginda tetap menerima hadiah mereka.

Begitu juga –seperti riwayat al-Bukhari- baginda pernah menggadai baju besi kepada Yahudi dan mengambil gandum untuk keluarga baginda. Baginda juga menerima jemputan makan roti bali dan minyak yang sudah berubah baunya dari seorang yahudi. Ini seperti dalam riwayat al-Bukhari, Ahmad, al-Tirmizi dan lain-lain.

5. Rasulullah s.a.w tidak boleh memakan sedekah. Ini adalah hukum untuk baginda dan Ahlul Bait. Suatu hari Barirah bekas hamba ‘Aisyah telah mendapat sedekah daging. Apabila daging itu dihidangkan kepada Nabi s.a.w, lalu baginda diberitahu bahawa daging tersebut adalah sedekah kepada Barirah. Baginda menjawab:

“Untuk dia sedekah, untuk kita hadiah” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Maksudnya, daging itu disedekah kepada Barirah, kemudian Barirah menghadiahkan kepada Nabi s.a.w. Jika ia disedekah kepada Nabi s.a.w, baginda tidak boleh makan. Walaupun asalnya sedekah, tetapi baginda menerima dari Barirah atas asas hadiah, maka halal untuk baginda. Di sini menunjukkan yang diambil kira transaksi antara pemberi dan penerima, bukan yang sebelum itu.

6. Seorang lelaki bertanya kepada Abdulllah bin Mas’ud:

“Aku ada jiran yang memakan riba dan dia selalu menjemputku makan”. Jawab ‘Abdullah bin Mas’ud: “Engkau dapat makan, dosa ditanggung olehnya”. (Musannaf ‘Abd al-Razzaq, bil: 14675).

Dalam riwayat al-Baihaqi,

seseorang bertanya Ibn ‘Umar bahawa beliau ada jiran yang memakan riba atau mempunyai pekerjaan yang haram, kadang-kala dia jemput makan, bolehkah hadir?. Jawab Ibn ‘Umar: “Ya” (al-Sunan al-Kubra, bil: 11138).

7. Al-Syeikh al-‘Allamah Muhammad Solih ibn al-Uthaimin r.h pernah ditanya mengenai hukum nafkah yang diterima oleh isteri dan anak dari suami yang terlibat dengan bank riba, apakah mereka boleh mengambilnya. Beliau menjawab:

“Ambillah nafkah itu dari bapa kamu. Kamu mendapat kenikmatan, dia pula mendapat dosa. Ini kerana kamu mengambil nafkah tersebut secara berhak. Harta padanya, dan kamu tiada harta. Kamu mengambilkan dengan cara yang benar. Sekalipun kesalahan, balasan dan dosa ke atas bapa kamu, jangan kamu gusar. Nabi s.a.w pun menerima hadiah dari yahudi, memakan makanan yahudi, membeli dari yahudi sedangkan yahudi terkenal dengan riba dan harta haram, tetapi Rasulullah s.a.w memakannya dengan jalan yang halal. Maka, jika seseorang memilikinya dengan jalan yang halal, maka tidak mengapa” (http://www.estgama.net/estgama_mag/full.php?id=82).

8. Dr Yusuf al-Qaradawi ketika ditanya mengenai wang riba ke mana patut disalurkan, beliau menyebut antaranya:

“Sebenarnya, wang tersebut keji (haram) jika nisbah kepada orang mendapatkan secara tidak halal, tetapi ia baik (halal) untuk fakir miskin dan badan-badan kebajikan…(penyelesaiannya) disalurkan ke badan-badan kebajikan iaitu fakir miskin, anak-anak yatim, orang terputus perjalanan, institusi-institusi kebajikan islam, dakwah dan kemasyarakatan..” (al-Fatawa al-Mu’asarah 2/411, Beirut: Dar Ulil Nuha).

9. Namun diharamkan jika membabitkan kezaliman secara jelas kepada pihak lain (hak al-‘ibad) yang mana dengan kita mengambil, akan ada yang teraniaya tanpa rela, seperti harta curi dan rompakan. Sabda Nabi s.a.w:

“Allah tidak terima solat tanpa bersuci, dan sedekah dari pengkhianat” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Ini kerana penerimaan ini akan menyebabkan pihak yang sedang menuntut atau mencari hartanya yang dirampas atau dicuri terzalim. Melainkan pihak yang dizalimi itu redha. Jika dia menuntut, wajib dikembalikan kepadanya.

10. Walaupun harta atau pemberian dari harta yang haram itu boleh diambil, tetapi jika dengan pemberian itu menunjukkan secara jelas sikap bersekongkol dengan dosa maka ia diharamkan kerana redha dengan maksiat. Ini seperti seseorang membelanja makan dengan wang judi sempena kemenangan judinya. Atau dia mempromosi syarikat judi tersebut secara jelas dengan cara memberi bantuan, maka haram bersekongkol dengan kemaksiatan seperti itu.

11. Maka fakir miskin yang mendapat bantuan kerajaan atau pihak lain dari sumber yang asalnya haram, mereka HALAL menerimanya dan tidak perlu dikembalikan. Dengan syarat mereka tidak terlibat secara langsung dalam mempromosikan aktiviti haram seperti perjudian dan arak.

Sumber : http://drmaza.com