Jumaat, Disember 30, 2011

Mengapa Melayu mesti sokong PAS.

Nampaknya pada tahun yang akan datang ini negeri Kelantan pun akan gagal dapat royalti minyak juga melainkan kalau Pakatan Rakyat menerajui Putrajaya. Ini jelas menunjukkan bahwa kerajaan UMNO-BN mendera dan menganaktirikan Kelantan yang majoriti penduduknya adalah orang Melayu. Ini bererti orang Melayu telah menindas orang Melayu dan lebih dahsyat lagi, umat Islam telah menindas umat Islam.

Angkara siapakah ini? Tentulah bukan DAP ataupun orang Cina.

Memandangkan perkara seperti ini sedang berlaku dan bakal berterusan, orang Melayu mestilah undi PAS untuk membebaskan saudara mereka di Kelantan daripada cengkaman UMNO yang zalim dan langsung tidak berperi kemanusiaan.

Sudah tiba masanya untuk orang Melayu memilih PAS supaya keadilan dapat ditegakkan dan Islam diagungkan dan diberi keutamaan yang sewajarnya. Orang Melayu jangan memilih UMNO lagi sebab UMNO sekadar menguar-uarkan dirinya sebagai pejuang bangsa, agama dan negara tetapi memberi kuasa kepada MCA untuk menjadi jurucakap bagi hukum hudud. Malah MCA mengambil kesempatan ini untuk menghina hukum hudud sementara UMNO diam seribu bahasa.

Adakah UMNO jujur ikhlas dan telus dalam perjuangan mereka? Tentunya tidak.
Maka orang Melayu perlu mengundi PAS supaya nilai-nilai agama Islam dapat dilaksanakan. Apabila Menteri Besar di Perlis, Kedah, Perak, Kelantan, Terengganu, Pahang, Negeri Sembilan dan Johor semuanya datang daripada PAS.

Hakikatnya kuasa adalah ditangan orang Melayu dan hanya orang Melayulah yang mampu menggunakan kuasa mereka dengan berkesan untuk kebaikan mereka sendiri kelak. Orang Melayu digesa supaya jangan membazirkan peluang keemasan ini dalam pilihanraya umum ke 13 (PRU13) yang akan datang ini dan digalakkan supaya mengundi dengan cermat dan cerdik untuk menentukan masa depan mereka dan masa depan negara.

Jangan buat silap dalam pengundian sebab inilah peluang terakhir untuk membuat keputusan muktamad dan peluang keemasan ini datang sekali sahaja seumur hidup. Buatlah sesuatu yang baik untuk generasi kita yang akan datang.

Oleh : Selena Tay.
Sumber : Harakah.


Selasa, Disember 27, 2011

MODEL PENDIDIKAN LUQMANUL HAKIM (SIRI 1)

Pendahuluan

Dalam melahirkan junduLlah yang akan menggalas tugas dakwah, adalah amat penting kita memberikan perhatian yang khusus kepada pendidikan anak-anak. Kini dalam musim cuti sekolah ini, marilah kita bermuhasabah dan membuat tekad baru bagi merancang wahana (pathway) kecemerlangan anak-anak kita di tahun yang akan mendatang ini. Moga-moga dalam jangkamasa terdekat ini, anak-anak kita dapat menyambut obor perjuangan Islam serta menyampaikan hasrat kita demi mendaulatkan Islam di Negara Malaysia yang tercinta ini dan di seluruh alam insyaAllah. Urusan ulama PAS Kawasan Kulai kali ini ingin menyorot model pendidikan Luqamul Hakim sebagai suatu model pembangunan insan yang boleh diguna-pakai sebagai kompas perancangan dan perlaksanaan pendidikan anak-anak kita.

Siapakah Luqmanul Hakim dan Apakah Pasak Model Pendidikannya

Beberapa sumber dirujuk telah menceritakan betapa Luqman al Hakim merupakan suatu peribadi mulia. Tidak tampan dan kacak atau gagah perkasa akan tetapi luhur dan mulia keperibadian, ketinggian tingkat keimanan dan ketaqwaan, berilmu dan bijaksana serta datang dari keturunan mulia. Antaranya diperturunkan catatan almarhum Ustaz Ahmad Soehadji dalam kitab tafsir Abrul Athir. Menurut kitab ini, Luqman adalah anak kepada Faghur bin Nakhur bin Tarikh (Azar- bapa kepada Nabi Ibrahim a.s.) Justeru Luqman itu berkait saudara dengan Nabi Ibrahim a.s. Dalam riwayat lain, Luqman dikatakan berkait saudara dengan Nabi Ayub a.s. Menurut riwayat, Luqman hidup sehingga 1000 tahun dan pernah sezaman dengan Nabi Daud a.s. malah pernah menasihati atau berkongsi “hikmahnya” dengan Nabi Daud a.s. Justeru ada sejarawan yang mendakwa Luqman mungkin berketurunan Bani Israel, bahkan beliau pernah menjadi Kadhi dan mengadili kes-kes di kalangan Bani Israel.

Menurut Ibnu Katsir dia adalah Luqman bin Anqa’ bin Sadun. Dalam kitab“Tarikhnya, Ibnu Ishak mencatatkan, bahwa Luqman bernama Luqman bin Bau’raa bin Nahur bin Tareh, dan Tareh bin Nahur merupakan nama dari Azar, ayah Nabi Ibrahim as. Wahab bin Munabbih mengatakan bahwa Luqman adalah putra dari saudari kandung Nabi Ayub as. Muqatil pula menuturkan, Luqman adalah putra dari bibinya Nabi Ayub as. Imam Zamakhsyari menguatkan dengan mengatakan: Dia adalah Luqman bin Bau’raa putra saudari perempuan Nabi Ayyub atau putra bibinya. Riwayat lain mengatakan, Luqman adalah cicit Azar, ayahnya Nabi Ibrahim as. Luqman hidup selama 1000 tahun, ia sezaman bahkan gurunya Nabi Daud. Sebelum Nabi Daud diangkat menjadi Nabi, Luqman sudah menjadi mufti saat itu, tempat konsultasi dan bertanya Nabi Daud as.


Luqmanul Hakim dalam sebuah riwayat lain pula dikatakan seorang yang bermuka biasa, tidak ganteng. Dia berbangsa habsyi (orang arab kulit hitam, berkemungkinan dari Nubiyy- Sudan – selatan Mesir). Dikatakan beliau adalah pekerja kasar iaitu tukang kayu atau tukang jahit atau penggembala kambing. Qatadah pernah menuturkan dari Abdullah bin Zubair bahwasannya ia pernah bertanya kepada Jabir bin Abdullah tentang Luqman. Jabir menjawab: “Dia berbadan pendek dan berhidung pesek, orang Nubi, Mesir”. Sa’id bin al-Musayyib juga menuturkan bahwa Luqman termasuk orang berkulit hitam dari Mesir, akan tetapi sangat mulia, dan Allah memberikan hikmah kepadanya, juga Luqman menolak untuk diangkat sebagai Nabi. Seorang lelaki berkulit hitam datang mengadu kepada Said bin al-Musayyib. Sa’id kemudian berkata: “Janganlah bersedih lantaran kulit kamu hitam, karena di antara manusia pilihan itu, ada tiga orang semuanya berkulit hitam: Bilal, Mihja’ budak Umar bin Khatab dan Luqmanul Hakim”.


Jumhur (majoriti) ulama terkecuali Ikrimah dan Assyi’biy, mengatakan bahawa Luqman bukan seorang Nabi kerana apabila diberikan pilihan, beliau telah memilih Hikmah dan menolak Nubuwwah. (Ikrimah dan Assyi’biy menafsirkan Hikmah itu sebagai ilmu kenabian sebagaimana dalam beberapa contoh dalam al-Quran)

Secara tuntasnya, kita boleh membuat beberapa kesimpulan dari latarbelakang Luqman ini:

a. Beliau merupakan seorang lelaki yang berketurunan mulia

b. Beliau tidak diangkat lantaran pangkat, darjat, rupa-paras mahupun kekayaannya akan tetapi adalah kerana ketinggian budi, akhlak, pemikiran dan kebijaksanaannya. (sebagaimana sabda Nabi saw, “sesunguhnya Allah tidak melihat kepada rupa-paras kamu dan jasad luaran kamu, akan tetapi Allah melihat kepada hati-hati kamu dan amalan kamu)

c. Beliau bukan seorang nabi atau rasul tetapi pesanannya teramat signifikan sehingga dimasukkan oleh Allah azza wa jalla dalam al-Quran

Cubalah kita mengambil suatu pengajaran dari keperibadian Luqman di atas. Salah satu pengajaran yang dapat diambil ialah bagi melahirkan anak yang bertaqwa dan cemerlang, maka kedua orang tuanya juga harus menjadi manusia beriman, bertaqwa dan beramal soleh sendiri. Luqman merupakan individu yang bukan sahaja bertaqwa bahkan berilmu sehinggakan beliau telah dilantik sebagai mufti di zaman Nabi Daud a.s. Beliau juga seorang yang amat zuhud sehinggakan menolak tawaran menjadi nabi dari Allah kerana binbang tidak akan mampu melaksanakan tanggungjawab yang besar itu. Tambahan pula beliau bersangkutan keturunan dengan para ambiya justeru meneruskan keturunan mulia dan berilmu hinggalah dicatatkan di dalam al-Quran dengan gelaran al-Hakim.

Sekianlah untuk siri kali ini, moga-moga bertemu di siri yang akan datang. Ialliqa’I wa antum bi khair.

Jumaat, Disember 23, 2011

KENYATAAN MEDIA PRESIDEN PAS :DALAM POLITIK ADA FEQAHNYA

Peringatan ini ditujukan khusus kepada seluruh kepimpinan dan ahli PAS, serta masyarakat di Malaysia secara umumnya, dalam kita mendepani permasalahan yang sedang berlaku di waktu ini.


Firman Allah dalam Surah Attaubah ayat 122 :

Maksudnya : (Dan bukanlah semua orang-orang yang beriman itu keluar berperang. Mengapa tidak ada satu kumpulan di kalangan mereka yang bertafaquh (belajar dan memahami) ajaran Islam dan supaya mereka pulang memberi peringatan apabila kembali menemui kaum mereka, mudah-mudahan mereka menerima peringatan). (At-Taubah:122)

Sabda Rasulullah S.A.W.


(Sesiapa yang Allah menghendakinya menjadi seorang yang baik nescaya dijadikannya Faqeh (faham ) dalam perkara agama Islam). Riwayat Bukhari Muslim


Kedua–dua nas ini menunjukkan bahawa Islam itu bukan sahaja semangat yang berkobar-kobar dan ilmu secara bertulis, dalam masa yang sama ianya mempunyai disiplin ilmu serta memahami cara pelaksanaannya. Semua bidang dan lapangan ajaran Islam hendaklah dipelajari bukan sekadar sebagai satu ilmu, tetapi dalam masa yang sama hendaklah memahami cara beramalnya.

Allah S.W.T. memerintah kepada sesiapa yang memperuntukkan masa hidupnya dalam perjuangan supaya mengambil masa untuk belajar daripada kalangan yang belajar dengan faqeh (faham). Apabila belajar, maka hendaklah pula daripada kalangan ahli ilmu yang bukan sahaja faham, bahkan beramal dan berjuang dengan ilmu yang dipelajari itu dengan kefahamannya yang tulen dengan penuh istiqamah.

Perkataan feqah pada zaman awal Islam merangkumi semua ajaran Islam. Kemudiannya para ulama mengkhususkan istilahnya kepada hukum syariat sahaja. Adapun perkara yang berkait dengan iman atau aqidah dinamakan Usulu Al Din atau ilmu Tauhid atau Aqidah dan yang berkait dengan akhlak pula dinamakan Akhlak atau Tasswwuf.

Mafhum bahasa Al Quran dan Sunnah Rasulullah S.A.W. merangkumi seluruh ajaran Islam hendaklah dilaksanakan secara Feqah atau faham, khsusnya dalam perkara hukum syariat yang tidak ada nas yang nyata atau bergantung dengan ijtihad. Sirah Rasulullah S.A.W. dan para Khulafa Al Rasyidin banyak menunjukkan huraian yang nyata, betapa perlunya ajaran Islam itu dihayati dengan Feqah (Fahaman) bukan sahaja dengan ilmu. Feqah bukan sahaja seperti difahami oleh masyarakat awam hanya dalam perkara ibadat, sembahyang, puasa, zakat dan haji; bahkan merangkumi segala ajaran Islam. Khususnya dalam perkara politik yang dilupakan atau dijahilkan oleh sebahagaian besar umat Islam.

Ketika berhijrah dari Makkah ke Madinah, yang juga merupakan amalan berpolitik yang membawa kepada tegaknya negara dan masyarakat madani, Rasulullah S.A.W. telah menggunakan khidmat seorang bukan Islam yang berpengalaman dengan jalan pintas yang selamat dan cepat sampai ke Madinah. Sudah tentu seorang bukan Islam yang dipercayai akan menyimpan kerahsiaan menjaga keselamatan, dan benci kepada kezaliman walau pun tidak menganut Islam.

Di Madinah pula dilaksanakan amalan menegakkan negara, dengan kekuatan umat Islam sendiri di kalangan Muhajirin dan Ansar, seterusnya melibatkan kaum bukan Islam di kalangan Yahudi, Kristian, Musyrikin Arab dan membenarkan kewujudan kalangan munafiq dalam masyarakat Madinah. Semuanya mengambil kira ayat-ayat Al Quran yang memberi amaran supaya berwaspada terhadap musuh dan ayat-ayat yang mengizinkan dan mewajibkan Islam disampaikan kepada seluruh manusia dan pelaksanaan Islam terhadap seluruh manusia juga.

Maka pengajian secara feqah (faham) sahaja boleh melaksanakan risalahnya dengan istiqamah, bukan sahaja memahami nas secara ayatnya yang zahir, termasuk juga meletakkan pelaksanaannya pada masa, tempat dan situasi yang berbeza. Banyak ayat-ayat Al Quran diturunkan dan hadith-hadith Rasulullah S.A.W. bersandarkan sebab yang berlaku sekiranya memerlukan penjelasan.

Apabila Rasulullah S.A.W. menerima perjanjian Hudaibiyyah, manakala para sahabat merasakan perjanjian itu berat sebelah dan tidak berpehak kepada Islam, bahkan lebih berpihak kepada musuhnya. Bermula dengan pihak musyrikin (i) menolak penggunaan Bismillah, (ii) menentang dicatit nama Muhammad Rasulullah, (iii) membenarkan mereka yang berada di Madinah melarikan diri ke Makkah, sebaliknya tidak membenarkan orang Islam di Makkah berhijrah ke Madinah, (iv) dilarang meneruskan amalan umrah walau pun Rasulullah dan para sahabatnya sudah berpakaian ihram dan lain-lain.

Rasulullah S.A.W. bertegas dengan keputusan menerima perjanjian Hudaibiyah tanpa wahyu diturunkan, tetapi berpandukan ketajaman bacaan Rasul terhadap Feqah politik semasa, dan para sahabat mentaati secara mutlak kerana kerasulannya. Akhirnya perjanjian yang diterima memberi kemenangan yang besar kepada Islam dan menerima kunjungan kabilah yang datang menganut Islam dengan jumlah berlipat kali ganda sebelumnya.


Dalam perkara yang lain, Allah S.W.T. mengajar Rasulullah S.A.W. dan para sahabat R.A. melaksana dan mematuhi Syura secara tegas dalam peristiwa Uhud dengan firman Nya dalam Surah Ali-Imran ayat 159 yang bermaksud :

(Dan bermesyuaratlah dengan mereka dalam mengendalikan urusan. Maka apabila engkau telah berazam (dengan keputusan ) maka berserah kepada Allah, sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berserah kepadanya).


Ayat ini menunjukkan kepada kita konsep bermesyuarat dan kepatuhan kepada keputusan yang diambil dan mengharapkan pertolongan Allah selepasnya, walau pun selepasnya menerima tamparan korban dan kecederaan. Ini adalah cara bermesyuarat dalam Feqah berjamaah khususnya dalam politik.

Semua kenyataan tersebut adalah menjadi pedoman kepada sesiapa yang mahu berpolitik secara Islam. Bagi mengemaskini supaya ajaran Islam dilaksanakan secara Feqah, maka para ulama merangka kaedah-kaedah ilmu yang berkait dengannya yang dinama ilmu usul feqh, maqasid syariat dan siyasah syari’yyah.

Bagi memelihara ajaran ini dilaksanakan, maka Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mewujudkan MAJLIS SYURA ULAMA sebagai badan yang berwibawa mengikut perlembagaan PAS untuk memelihara amalan Islam secara Feqah Islam yang sebenar. Badan yang dianggotai oleh kalangan ilmuan Islam yang mampu memahami sumbernya yang tertinggi : Al Quran, Hadith, Ijmaa, dan Qiyas yang nyata. Majlis Syura Ulama bertanggungjawab melakukan kajian dan ijtihad secara Jamaei dalam menghadapi cabaran semasa dengan sistem ilmu-ilmu yang berkait dengannya. Keanggotaan Ahli Majlis Syura pula mewakili seluruh cabang kepimpinan tertinggi PAS.

PAS telah berjaya menghadapi semua pengalaman di sepanjang perjuangannya sejak ditubuhkan, sama ada secara bersendirian, bersefahaman dengan : kerajaan, pembangkang dan NGO, Islam dan kalangan bukan Islam.

Pendekatan politik mutakhir bersama Pakatan Rakyat adalah menjadi penerusan amalan politik Islam secara feqah, bukannya secara remeh temeh. Kejayaan dicapai apabila kalangan bukan Islam menerima konsep perlembagaan, Islam menjadi agama negara dengan hak yang diberi secara adil kepada penganut agama lain, hak Bumiputra, Bahasa Kebangsaan dan Raja Berpelembagaan.

Perlu diingat, bahawa UMNO yang menjadi teras kerajaan BN gagal mencapai matmatnya setelah memerintah lebih lima puluh tahun, kerana tidak menjadikan Islam mengikut makna Al Quran dan ajaran Rasulullah S.A.W. Apakah tempoh masa lebih lima puluh tahun tidak mampu melakukan muhasabah ?.

Seluruh ahli PAS wajib bertambah yakin bersama perjuangan di atas bahtera PAS dengan setiap pengalamannya walau pun tidak diberi hak yang adil, inilah sifatnya perjuangan Islam. Kita wajib menyedari bahawa semua tindakan bersendirian telah mengugurkan sesiapa sahaja tanpa mengira kedudukan dalam PAS. Namun PAS tetap selamat dan menjadi Parti Islam yang makin gagah perkasa menghadapi cabaran pasang surut perjuangan Islam.

PAS terus istiqamah dengan perlembagaan tertingginya yang dijamin oleh kumpulan yang berwibawa. Sesiapa yang cuba berlagak pandai tanpa ilmu yang sebenar pasti tersungkur dengan lagaknya, dan sesiapa yang berilmu dan menganggap dirinya paling bijak dalam PAS secara individunya tanpa peduli terhadap adab berjamaah dalam Islam, akan menjadi mangsa serigala politik yang menjadi musuh perjuangan Islam, inilah sikap membahayakan diri sendiri yang diberi amaran oleh Rasulullah S.A.W.

(Sesungguhnya syaitan itu adalah serigala yang menangkap manusia , laksana serigala yang menangkap kambing yang terpencil daripada kawanannya dan yang berada disudut yang menjauh diri daripada kawanannya). Dalam Musnad Ahmad.

PAS terus terbuka kepada semua yang bersedia bersamanya bagi melangsungkan perjuangan menegakkan Islam yang menjadi rahmat kepada seluruh manusia.

Sesiapa yang menyertai PAS wajib mengikut haluan dan hala tujunya serta cara perjalanannya yang tersendiri, berlandaskan Islam secara feqah dan bukan hanya berpaksikan semangat tanpa ilmu dan faham.

Khadam Perjuangan Islam

Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang

PRESIDEN PAS

Isnin, Disember 19, 2011

Kemelut Dalam FELDA

Kemelut yang berlaku di dalam Federal Land Development Authority (FELDA) sudah tidak boleh disembunyikan lagi. Makin banyak pendedahan tentang penyelewengan yang berlaku khususnya yang menjadi mangsa adalah warga peneroka. Isu penyelewengan gred sawit, bantuan penanaman semula dan pelbagai lagi isu yang tidak diselesaikan hingga membawa kepada perbicaraan di mahkamah. Mahasiswa cukup dekat dan prihatin dengan isu yang membelenggu warga FELDA, kerana mereka merupakan warga dan rakyat yang mencari hak dan keperluan hidup di tanah air mereka sendiri.

Isu yang melibatkan lebih 112,000 buah keluarga FELDA ini sangat mencuri tumpuan dan menagih simpati setiap inci rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang ideologi politik. Pengumuman yang dibuat oleh Najib Abdul Razak pada pembentangan Belanjawan 2012 lalu untuk menyenaraikan FELDA Global Venture Holding Sdn. Bhd. (FGVHSB) sebuah anak syarikat milik penuh FELDA dalam Bursa Saham Malaysia baru-baru ini cukup merunsing kita. Cadangan ini secara langsung telah menggantikan hasrat Mahathir yang dibatalkan ekoran daripada bantahan peneroka FELDA pada tahun 2004 untuk menyenaraikan Felda Holding Berhad.

Kita melihat bahawa akan berlaku kesan manopoli dan wujudnya ruang untuk kapitalisme berleluasa. Apabila syarikat utama ini disenaraikan dalam bursa saham, ia bakal memperjudikan lebih 800,000 hektar tanah peneroka di seluruh Negara yang diuruskan oleh FELDA Global Venture Bhd. Tanah yang disebutkan ini sepatutnya menjadi hak milik rakyat yang bekerja untuk membangunkannya dan bukan untuk digadai kepada golongan kapitalis.

Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (GAMIS) merasakan ada agenda yang tidak baik di atas cadangan penyenaraian syarikat berkenaan dalam Bursa Saham yang dijangka dibuat pada pertengahan tahun hadapan. Kita risau dan bimbangkan nasib peneroka dan generasi baru FELDA, di mana mereka ingin lari dan tinggal jika tanah mereka digadaikan di pasaran terbuka berkenaan. Apa yang cukup menyedihkan kita juga ialah, maklumat sebegini sengaja tidak disampaikan kepada seluruh warga peneroka menyebabkan ada yang masih tidak sedar akan hal ini.

Agenda yang tidak baik itu juga makin jelas bila keluarnya arahan bercuti keluar negara ke atas Pengarah Koperasi Permodalan Felda (KPF), Dzulkifli Abd Wahab yang telah berkhidmat selama 35 tahun oleh Perdana Menteri. KPF yang sebelum ini sangat cemerlang dengan integriti dan kemampuan memacu industri pertanian dan dapat menambahkan pendapatan Negara dibawah kepimpinan Dzulkifli dipercayai juga timbul usaha untuk menggantikan tempat beliau oleh individu yang bukan ahli.

KPF secara langsung melanggar undang-undang tubuh KPF itu sendiri. Ini sangat meragukan kita kerana ia seolah-olah dirancang bertepatan pula dengan pencapaian KPF yang cukup membanggakan juga dalam keadaan FELDA bakal digadaikan dengan pelbagai rancangan dan program yang akan dilaksanakan.

Mahasiswa dengan tegas mendesak agar ditarik balik cadangan penyenaraian FGVHSB di Bursa Saham Malaysia dengan kajian serta kesan mendatang secara terperinci. Kita juga mendesak supaya sebarang penyelewengan terhadap peneroka diperbetulkan dan dijalankan secara telus khusunya dalam soal potongan tabungan penanaman semula serta nilaian Grad hasil Sawit dan Getah. Pihak bertanggungjawab juga mesti memberikan penjelasan sekiranya benar berlaku penipuan melalui campuran pasir ke dalam Baja yang diimport dari German kepada peneroka sehingga membawa kesan kepada hasil tanaman. Masa depan generasi baru FELDA bergantung kepada bagaimana kita mempertahankan tanah-tanah yang dimiliki hari ini daripada agenda jahat yang bakal menghancurkan tempat tinggal kita pada masa hadapan.

*Kenyataan media oleh Akram Ikrami bin Taib Azamudden (gambar kanan) selaku Presiden GAMIS.

MRCB cadang caj tol RM9.10 untuk EDL.

TAHNIAH rakyat Johor! Ini adalah hadiah pasca pilihanraya. Masih belum terlambat untuk rakyat Johor membuat keputusan. PAS dan Pakatan Rakyat tidak membantah pembangunan kiranya ia bermenafaat buat rakyat terbanyak, tetapi tolong jangan bebankan rakyat.

Cadangan pemaju lebihraya EDL yang membina Lebuhraya Lingkaran Penyuraian Timur (EDL), yang dijangka siap Januari 2012 sepanjang 8.1 km dari Pandan ke Tambak Johor untuk mengenakan caj tol sebanyak RM9.10 adalah suatu yang tidak wajar.

Caj tol tersebut bakal dikenakan hanya kepada pengguna yang keluar dan masuk dari Singapura manakala pengguna EDL yang tidak memasuki negara jiran terutama penduduk bandaraaya ini yang ingin kepusat bandar atau keluar menerusi susur Bakar Batu tidak perlu membayar tol.

Sepatutnya kalau hendak dicaj sekalipun hanya dikenakan kepada warga Singapura yang membawa kenderaan berdaftar dari Republik tersebut.

Rakyat Malaysia yang berkereta sejak sekian lama seperti didera bilamana kerajaan Singapura telah terlebih dahulu mengenakan caj masuk untuk kereta Malaysia ke Singapura dengan nilai SD20.00 (RM48.00).

Biarpun kabinet Malaysia belum membuat keputusan, sekali ini satu pemdekatan bijak perlu diambil kerajaan dalam menguruskan kos pembinaan lebuhraya EDL yang bernilai hampir RM1.27b tersebut.

Sumber : Harakah.



Ahad, Disember 18, 2011

TAHUKAH ANDA ?



FIKIR-FIKIRKAN

UBAH SEBELUM TERLAMBAT


Selasa, Disember 13, 2011

KEMENANGAN ANTARA IMPIAN DAN REALITI. (Bhg 2)

Betulkah orang Melayu sukar berubah?

Firman Allah swt yang bermaksud:

"Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri..”

(Surah ar-Rad : ayat 11)

Al-fadhil Ustaz Idris Ahmad, Ketua Penerangan PAS Pusat menulis didalam lidah rasmi PAS (Harakah), “Insya’allah Melayu boleh berubah dengan ilmu pengetahuan dan agama. Selagi Melayu berjaya dibutakan maklumat oleh BN melalui media arus perdana maka selagi itulah mereka akan digula-gulakan oleh kerajaan Barisan Nasional”.

Faktor pertama : Ilmu

Ilmu merupakan asas utama untuk sesuatu kaum itu keluar dari alam jahiliyah. Wahyu pertama yang turun kepada baginda Rasulullah s.a.w. dalam bentuk arahan “bacalah” membawa erti bahawasanya tamaddun sesuatu umat itu akan berjaya apabila masyarakatnya mempunyai ilmu pengetahuan.

Orang Melayu yang terdedah dengan maklumat yang bebas, mampu membuat pertimbangan yang waras dalam mencorak kepimpinan Negara. Mereka tidak boleh berkompromi dengan pemimpin yang tidak amanah, perasuah, gila kuasa, menyeleweng, merampas hak rakyat dan pelbagai tabiat buruk lain. Mereka ini ialah Melayu yang rasional dan waras.

Faktor kedua : Memahami ajaran Islam yang syumul.

Pemahaman Islam dalam ertikata sebenar boleh menjadi peneraju dalam mengislahkan masyarakat Melayu. Prof Syed Muhammad Naqib al-Atas menegaskan bahwa Islam telah mengalihkan paksi tamadun Melayu daripada pengaruh Hindu-Buddha kepada Islam. Islam telah meletakkan asas-asas falsafah yang jelas bagi bangsa Melayu, daripada aspek ketuhanan kepada aspek-aspek kehidupan seluruhnya.

Prof Dr. Awang Sariyan dalam bukunya : Asas Falsafah dan Pemikiran Melayu Berteraskan Islam menyebut “ Islam membuka babak baru dalam penakrifan Melayu, termasuk dalam hal menjadi sumber falsafah Melayu. Islam telah mengalihkan pandangan sarwa orang Melayu yang asalnya berlandaskan animisme iaitu fahaman yang berlandaskan kepercayaan akan kuasa benda-benda di alam”.

Usaha pencerahan ilmu dan agama perlu dilakukan secara holistik dikalangan orang Melayu jika mahu mereka berubah. Selagi mereka cetek agama, maka selagi itulah mereka tidak akan tahu untuk membezakan antara yang hak dengan yang bathil. Melayu akan cerdik apabila ada agama manakala Melayu akan hina apabila jauh daripada agama. Virus sekular perlu dilenyapkan daripada minda Melayu samasekali.

Tiga ayat daripada surah al-Anfal dipermulaan penulisan ini merupakan antara syarat-syarat yang dipertegaskan oleh Allah swt didalam al-Quran untuk mencapai kemenangan. 3 elemen utama yang perlu diberi perhatian oleh setiap pejuang Islam dalam 3 ayat tersebut ialah :

1. Tetap hati dan membanyakkan mengingati Allah

2. Mentaati Allah dan RasulNya serta tidak wujud sikap berbantah-bantah bersama orang-orang yang beriman dan bersabar.

3. Tidak memiliki sifat sombong, riya’, angkuh dan menghalang manusia dari jalan Allah.

1. Tetap hati dan membanyakkan mengingati Allah.

Seorang yang memerhati dan meneliti ayat-ayat al-Quran akan mendapati bahwa Allah swt telah menetapkan satu pra-syarat yang asasi sebelum memberikan kemenanganNya kepada umat Islam diatas musuh-musuh mereka dan mengurniakan kepada mereka kekuasaan di atas muka bumi ini. Pra-syarat tersebut ialah apabila mereka terlebih dahulu memenangkan Allah swt.

Firman Allah yang bermaksud :

“…kalau kamu membela (agama) Allah, nescaya Allah membela kamu (untuk mencapai kemenangan) dan meneguhkan tapak pendirian kamu”.

(surah Muhammad : ayat 7)

Dan firmanNya lagi :

“…dan sesungguhnya Allah akan menolong sesiapa yang menolong agamaNya (agama Islam)…”

(surah al-Haj : ayat 40)

Allah swt menuntut kita terlebih dahulu memenangkan Dia ke atas diri-diri ataupun nafsu-nafsu kita sendiri. Setelah itu, barulah kita menjadi orang yang layak untuk diberikan kemenangan ke atas musuh-musuh kita, lantas menjadikan kita umat yang berkuasa di atas muka bumi.

Apakah kita sudah benar-benar memenangkan Allah swt dalam gerak kerja dan kerja buat kita selama ini? Atau kita masih belum memberi sangka baik sepenuhnya terhadap Allah swt? Masih ragu dan syak wasangka keatas Islam yang menjadi asas perjuangan ini sehingga Allah menangguhkan kemenangan di pihak kita.

Sebagai manusia kita ditaklifkan untuk membuat perancangan dan berusaha mewujudkan sebab-sebab kemenangan dalam diri para pejuang sebagaimana yang diajarkan oleh Allah kepada kita, seterusnya kita perlu serahkan kepada Allah dan mengharapkan Allah mengurniakan kepada kita kemenangan di dunia atau kita mendapat ganjaran keampunanNya di negeri akhirat. Barangsiapa yang mahukan syurga, maka hendaklah ia menjual dirinya kepada Allah.

Firman Allah swt mahfumNya :


“Dan di antara manusia ada Yang mengorbankan dirinya kerana mencari keredaan Allah semata-mata…”

(Surah al-Baqarah : ayat 207)

Suhaib ar-Rumi r.a. ketika mana dia telah meninggalkan harta dan rumahnya kepada kaum musyirikin di Mekah supaya dapat digantikan dengan keizinan untuk berhijrah, dia tidak meninggalkan kesemua yang menjadi miliknya itu melainkan kerana dia telah menjualkan dirinya kepada Allah demi mencari keredhaanNya. Lantas apabila berita itu sampai kepada Rasulullah s.a.w. baginda terus bersabda : “ Untunglah Suhaib ! Untunglah Suhaib!”.

Dalam pertembungan ini kita tidak boleh mundur dan lari meninggalkan perjuangan. Jangan ditanam sifat ragu didalam hati kerana ia akan merosakkan akidah perjuangan. Pilihan yang terhidang ialah samada menang ataupun syahid dimedan perjuangan yang semestinya menjadi idaman kerana mempertahankan dan memperjuangkan keyakinan.

Disamping itu jangan sekali-kali dilepaskan pergantungan kepada Tuhan kerana perjuangan ini adalah kerana keimanan kepada Allah swt. Mengingatkan Allah dalam perjuangan ini adalah untuk memperdalam keyakinan bahwa kita berada dipihak yang benar.