Jumaat, Julai 29, 2011

HIKMAH BERPUASA DAN KELEBIHAN BULAN RAMADHAN.



Antara hikmah berpuasa dan kelebihan bulan Ramadhan adalah seperti berikut :
  1. Ketibaan Ramadhan, umat Islam diseluruh pelusuk dunia serentak mengerjakan puasa dalam satu masa tertentu. Kestuan hati dan niat tulus ikhlas ini dilakukan semata-mata untuk mengabdikan diri terhadapa Allah swt.
  2. Dengan diwajibkan berpuasa, semua golongan Islam, kaya dan miskin, berada dan tidak berada terpaksa menempuh ujian yang sama. Dengan berpuasa menimbulkan keinsafan dan perasaan bertimbang rasa serta kasih mengasihi sesama umat Islam.
  3. Amalan berpuasa melahirkan jiwa insan yang selalu taat kepada Allah, justeru itu akan lahir pula ketenangan jiwa dan ketaqwaan.
  4. Dari segi kesihatan, perut yang melalui proses bepuasa dapat dibersihkan, sekali gus beberapa penyakit yang terdapat didalam tubuh manusia dapat diatasi.
  5. Puasa itu disifatkan oleh Rasulullah s.a.w. sebagai separuh daripada kesabaran.
  6. Orang yang berpuasa lebih disayangi Allah, selamat daripada api neraka dan menghapuskan dosa-dosa kecil.
  7. Kedatangan Ramadhan ada keistimewaannya kerana dianjurkan ibadah solat terawih, disamping itu diwajibkan juga zakat fitrah (badan) ke atas golongan yang mampu sebagai satu kewajipan membantu insan Muslim yang lain, khususnya mereka yang daif.
  8. Diriwayatkan sebuah hadis daripada Nabi s.a.w. yang bermaksud : "Sesiapa berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan, mengharap balasan daripada Allah swt, diampunkan dosa-dosa yang lalu".
  9. Ketibaan Ramadhan menandakan terbukanya pintu-pintu syurga, ditutup pintu-pintu nereka dan dirantaikan syaitan.
  10. Malam nuzul Quran (17 Ramadhan) merupakan saat penting al-Quran diturunkan dari langit ke dunia untuk menjadI pedoman manusia hingga akhir zaman.
  11. Terdapatnya Lailatul Qadar iaitu satu malam yang padanya terdapat saat penuh keberkatan menyamai 1000 bulan (83 tahun 3 bulan) ganjaran pahalanya daripada Allah swt.
Sama-samalah kita merebut peluang yang dihidangkan oleh Allah swt dengan memperbanyakkan amal dibulan yang mulia ini.

Selamat Menyambut Ramadhan al Mubarraq.

RAMADHAN : MASA UNTUK BERUBAH.

Petikan buku : Indahnya Hidup Bersyariat oleh Dato' Ismail Kamus.



Isnin, Julai 25, 2011

Usah Bohong Lagi Pada Rakyat.

Rata-rata generasi hari ini adalah generasi pasca merdeka, yang tidak pernah merasai keperitan perjuangan menuntut kemerdekaan negara. Negara mencatatkan satu sejarah besar apabila para pemimpin bersusah-payah mengembleng tenaga untuk bersatu dan mengorbankan kepentingan parti-parti mereka demi kemerdekaan. Gabungan Barisan Nasional yang terhasil masa itu telah memberi harapan baru kepada rakyat.Namun, pada tahun 1978, disebabkan rasa curiga khususnya di kalangan UMNO terhadap perkembangan PAS menyebabkan akhirnya PAS ditendang keluar.

Akibatnya PAS hilang pengaruh, hilang rakan seperjuangan dan hanya memenangi satu kerusi parlimen oleh Tuan Guru Nik Abdul Aziz. Era tersebut telah menjadi sejarah negara, namun begitu ia tiada disebut dalam mana-mana buku sejarah yang diajar di sekolah.

Kita banyak menyembunyikan fakta sejarah kecuali yang menyebelahi pihak parti pemerintah. Sehinggakan fakta kemenangan PAS di Terengganu seolah-olah dibuang dalam sejarah Terengganu. Kenapa kita tidak jujur dalam ilmu, sehinggakan akhirnya rakyat sedar mereka telah dibohongi sejarah?

Kini, dalam rakyat kita sudah wujud satu generasi baru yang bebas berfikir, bebas mendapat maklumat dan mengetahui fakta sebenar. Disebabkan itu, kerajaan tidak seharusnya melayan rakyat seperti di era 1980-an walaupun radio nasional cuba mengembalikan nostalgia lama.

Rakyat yang menyedari mereka ditipu di Felda bertahun-tahun, kini mula bangkit menyaman Felda – bahkan mereka sudah memenangi beberapa kes terhadap organisasi yang seharusnya menjaga kebajikan mereka. Kerajaan tidak sepatutnya menuduh para peneroka ini sebagai tidak mengenang jasa. Kerajaan seharusnya memperbetulkan sistem yang menindas mereka dan bertindak adil terhadap peluh jerih mereka. Ingatlah, mereka bukan pemberontak, mereka hanya sekadar ingin menuntut kembali hak yang dirompak daripada mereka.

Sayangnya, kerajaan yang kita ada hari ini masih berfikiran lama menyebabkan jurang pendapatan rakyat semakin melebar.

Di saat syarikat-syarikat besar dengan bangga membentangkan keuntungan berbilion ringgit, rakyat pula melihat kehidupan mereka semakin terhimpit. Tarif elektrik semakin naik, tambang haji semakin tinggi, harga minyak semakin meningkat dan kenaikan kadar inflasi sangat ketara dirasai rakyat. Kerajaan hanya melihat angka di atas kertas, tetapi bagi rakyat menghitung setiap sen dan ringgit yang terpaksa mereka belanjakan, mereka betul-betul berasa perit.

Di saat rakyat mencengkam perut, pemimpin mempamerkan kemewahan hidup dengan barangan berjenama. Kunjungan pemimpin ke kampung dengan janji bulan dan bintang, rakyat miskin terpesona dengan ucapan – tapi seperti kebiasaannya janji pemimpin kerajaan hanya tinggal janji. Asalkan mereka sanggup mendengar dan menerima penerangan parti pemerintah bulat-bulat tanpa soal, mereka dianggap rakyat jelata. Kalaulah, kerana kesempitan hidup, mereka terpaksa berhimpun membantah kenaikan harga barang, maka hilangkan status mereka sebagai rakyat jelata parti pemerintah - mereka akan dicop rakyat pro pembangkang yang tidak harus dibantu.

Apabila mereka bantah kenaikan tol dan saman ekor, rakyat jelata yang terpesona dengan ucapan dan janji parti pemerintah tadi akan dicemuh sebagai golongan yang melanggar undang-undang.

Kini, apabila mereka berani untuk berhimpun menuntut sesuatu yang lebih besar dari keperluan hidup mereka iaitu satu sistem pilihanraya yang lebih adil dan bersih demi masa depan anak-anak dan cucu-cucu mereka, mereka terus dicop sebagai peserta perhimpunan haram yang patut ditembah dengan air asid dan pemedih gas mata atas dakwaan cuba menjatuhkan kerajaan.

Saat ini, semua yang dilakukan kerajaan, dikatakan semuanya betul - dan semua yang dilakukan rakyat salah belaka. Kerajaan kini, seperti slogan ‘Malaysia Boleh’ – berani lakukan apa sahaja semata-mata demi kuasa dan kerana mereka menguasai media. Tapi, beringatlah kerajaan bahawa pada hari ini semakin banyak rakyat yang tidak mempercayai media perdana!

Rasa tidak puas hati rakyat semakin melebar… dan mereka sayangkan negara – tetapi jangan pula kerajaan salah anggap – sayang negara mereka bermaksud sayang kerajaan pemerintah. Pada saat mereka sayang negara, mereka juga benci pemimpin yang ego, sombong, tamak, rakus dan zalim.

Rakyat tidak akan khianat kalau kekayaan negara ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya. Janganlah lagi kerajaan cuba berbohong kepada rakyat yang bermaklumat. Janganlah lagi anggap rakyat ini bodoh dan boleh terus dibodohkan – dengan adanya maklumat, mereka menjadi lebih cerdik daripada yang anda sangkakan.

Tanyalah pegawai kerajaan tentang pendapatan mereka berbanding kos hidup mereka.Tanyalah keluhan rakyat miskin di desa dengan segala kepayahan mereka. Kerajaan tidak perlu keluar statistik bantuan kebajikan masyarakat – mereka yang susah ini bukan nak dengar semua itu.

Mereka dukacita kerana sebagai rakyat Malaysia yang menjadi pengeksport utama minyak sawit, getah dan dilimpahi bahan galian - minyak, gas, emas, bijih, arang batu, bijih besi dan seribu sumber, mereka masih dihimpit kehidupan walaupun jumlah rakyat tidak ramai. Wahai kerajaan, dengarlah rintihan rakyat dan terimalah hakikat.

Jangan tunggu sehingga rakyat menghukum di dalam pilihanraya - atau melalui jalan himpunan protes kerana pada masa itu mereka sudahpun hilang kepercayaan kepada kerajaan yang ada.



Dato' Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man

Ketua Penerangan PAS Pusat

Majlis pelancaran Borang Permohonan Tanah Felda Plantation dan NGO Bekas Tentera (KERABAT) peringkat Parlimen Kulai.
  • Tarikh : 30 Julai 2011 (Sabtu)
  • Masa : 9.00mlm
  • Tempat : PASTI Taman Anjaria
  • Anjuran : Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak)
Taklimat akan disampaikan oleh Sdr. Mazlan Aliman (Presiden ANAK) dan Kol(B) Nazari Mokhtar.

Semua warga peneroka
dan bekas tentera
dijemput hadir.

Program Ziarah Ramadhan 1432H.

PAS Kulai terus membudayakan Negara Berkebajikan melalui program Ziarah Ramadhan 1432H pada 23 Julai 2011, melibatkan 25 keluarga disekitar DUN Bukit Permai. Ia meliputi lokasi :
  1. Bandar Putra ( sekitar Jalan Cenggal dan Jati)
  2. Kampung Pertanian
  3. Felda Taib Andak
  4. Taman Permata Impian dan
  5. Taman Manis
Setiap keluarga telah menerima barangan keperluan harian untuk meringankan sedikit bebanan yang ditanggung khusus untuk menyambut ketibaan Ramadhan al-Mubarraq. Sikap keperihatinan warga PAS Kulai ini telah diterima baik oleh masyarakat apabila sumbangan turut dihulurkan oleh orang awam yang bukan dari kalangan ahli PAS.

Kepada para penderma sekelian, sumbangan anda amat kami hargai. Semoga setiap ringgit yang anda hulurkan akan mendapat ganjaran yang setimpal daripada Allah swt.


Sumbangan berbentuk barangan keperluan harian.

Ibu tunggal adalah antara penerima sumbangan pada program tersebut.


Maklumat keluarga diperolehi bagi memudahkan urusan dimasa akan datang.

Golongan susah tidak diabaikan.




Sabtu, Julai 23, 2011

Ziarah Ramadhan PAS Kulai 1432H


PROGRAM TERSEBUT AKAN DIADAKAN SEPERTI BERIKUT :
  • TARIKH : 23 JULAI 2011 (SABTU)
  • MASA : 9.00 PAGI
  • KAWASAN : SEKITAR DUN BUKIT PERMAI
  • TEMPAT BERKUMPUL : PUSTAKA KULAI
SEMUA PEJUANG ISLAM YANG BERKESEMPATAN DIMINTA TURUT SERTA.

KEARAH NEGARA BERKEBAJIKAN

Selasa, Julai 19, 2011

Ceramah PAS di Kulai muktakhir ini.....

Bulan Julai ini PAS Kulai telah menganjurkan 2 ceramah melibatkan pimpinan PAS Pusat. Ceramah pertama bersempena dengan Isra' Mi'raj dan ceramah kedua sempena Nisfu Sya'ban. Ceramah Isra' Mi'raj telah dihadiri oleh YB Dr Zulkifli Ahmad, Ahli Parlimen Kuala Selangor manakala ceramah Nisfu dihadiri oleh Al-Fadhil Ust. Idris Ahmad, AJK PAS Pusat.

Apa yang menarik yang hendak dibicarakan disini ialah tentang kehadiran anggota Polis yang begitu ramai sekali dikedua-dua ceramah tersebut. Ada sahabat yang memberitahu penulis kehadiran mereka mencecah antara 60 hingga 70 orang. Ketika ceramah Nisfu Sya'ban di PASTI Taman Manis, mereka sangggup berhujan menunggu sehingga ceramah selesai sekitar pukul 12 tengah malam. Kalau ketaatan yang ditunjukkan ini dapat diaplikasikan kepada Allah swt, alangkah baiknya.

Tetapi apa yang pelik ialah ketika penulis menghadiri ceramah Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man dan Bob Lokman di Felda Sungai Sayong, takde pun Polis dan sekatan jalanraya. Bahkan program tersebut di berikan permit oleh pihak berkuasa. Boleh pulak...Tapi di Kulai bukan permit yang diberi bahkan sekitar kawasan ceramah dikepung seolah-olah hendak menangkap penjenayah besar. Sekatan jalanraya diadakan disetiap jalan masuk ketapak ceramah. Bukan sekadar itu, peniaga yang datang turut dihalau oleh pihak Polis.

Alasannya tiada permit dan ada aduan dari penduduk sekitar. Alasan basi dan lapuk yang telah diketahui pada setiap kali ceramah hendak diadakan. Inilah demokrasi ala Malaysia. Demokrasi yang bobrok dan pincang. Tambah menyakitkan muktakhir ini ialah apa sahaja yang haram, apabila ia dilakukan oleh UMNO maka ia menjadi halal. Sebagai contoh, vcd lucah telah diketahui umum ianya haram dan salah disisi undang-undang, tetapi apabila ianya diedarkan oleh barua-barua UMNO maka ianya halal dan tidak mengapa. Polis yang sepatutnya profesional kini telah menjadi perkakas mereka dan membenarkan setiap tindak tanduk mereka.

Allah berfirman didalam al-Quran, surah al-Isra' ayat 72 yang bermaksud :
"barangsiapa yang buta sekarang ini, diakhirat ia juga akan buta dan sesat jalan".
Buta yang dimaksudkan didalam ayat ini ialah bukan buta mata tetapi buta hati dan pendegaran. Mata mereka dapat melihat tetapi tidak dapat membezakan antara yang hak dengan yang bathil. Manakala telinga mereka tidak dapat mendengar ayat-ayat Allah tentang peringatan yang diberikan. Buta yang seperti ini ketika didunia, ia juga akan buta semasa diakhirat. Bukan sekadar itu bahkan mereka juga akan sesat jalan.

Ingatlah sesungguhnya, dunia ini hanya sementara, akhirat juga yang kekal selama-lamanya. Kuasa yang ada tidak akan kekal lama. Rakyat yang ditindas dan terus terusan dizalimi pasti akan bangkit seperti yang ditunjukkan dalam himpunan BERSIH 2.0 yang lalu. Kepada UMNO, mari kita bertarung sebagai anak jantan. Jangan berselindung disebalik agensi kerajaan. Menyekat ceramah PAS melalui pasukan Polis, bukan kerja anak jantan. Ini bacul namanya. Sama-sama kita turun kelapangan dengan hujah-hujah yang bernas kemudian biarkan rakyat memilih.

Kepada masyarakat diluar sana, ayuh kita ranapkan pemerintahan otokratik UMNO/ BN dalam PRU ke 13 akan datang. Sudah tiba masanya rakyat bersuara dan melakukan perubahan. Bebaskan diri anda daripada cengkaman kezaliman UMNO /BN.

UBAH SEKARANG.


Khamis, Julai 14, 2011

JOM RELAX

"JOM RELAX" program yang dianjurkan oleh Nisa' Kulai... Jom pakat ramai-ramai datang....

Isnin, Julai 11, 2011

BERSIH.....BERSIH.....BERSIH.....

Tanggal 9 Julai 2011 telah berlalu dan sekali lagi telah berjaya melakar sejarah negara. Puluhan ribu anak muda turun kejalanraya menuntut keadilan yang selama ini telah dinafikan oleh sang penguasa. Uniknya kali ini ia melibatan penyertaan daripada semua lapisan masyarakat tanpa mengira warna kulit, bangsa, keturunan, bahasa, budaya dan agama. Ia melambangkan satu bangsa yang bersatu menuntut hak mereka. Inilah yang amat digeruni oleh rejim pemerintah.

Disebalik halangan dan kekangan yang begitu hebat selama seminggu yang telah dilakukan oleh pihak berkuasa melalui jentera yang dimanipulasi sepenuhnya termasuk para pengampu dan penjilat mereka, puluhan ribu rakyat Malaysia telah turun menuntut agar suara mereka didengar. Himpunan BERSIH 2.0 telah membuktikan amarah rakyat sudah tidak dapat dikekang lagi. BERSIH kali ini sudah mula meminta korban. Dahulunya, rakyat hanya didera tapi kali ini seorang mujahid sudah melakar nama sebagai seorang pejuang tulin. Al- Fatihah buat Allahyarham Baharuddin Ahmad, semoga rohnya ditempatkan bersama para syuhada'.

Rakyat tidak akan melupakan peristiwa ini sepertimana Memali. Ia akan terus terpahat diminda para pejuang yang cintakan keadilan dan kedamaian. Petanda ini menunjukkan UMNO/BN semakin terhakis dari hati rakyat Malaysia khususnya anak muda. Penulis berdoa agar momentum yang ditunjukkan ini dapat dimanifestasikan ke dalam kotak-kotak undi. Inilah sebenarnya semangat BERSIH yang perlu terus disemarakkan. Jangan kita hanya seronok turun kejalanraya dengan jumlah yang begitu besar sehingga terlupa matlamat sebenar perjuangan ini. BERSIH harus diturunkan kekampung-kampung. Pakcik-pakcik dan makcik-makcik Felda perlu disedarkan betapa pentingnya kita membebaskan minda rakyat yang di kongkong oleh penjajah alaf baru (neo-kolonisma). Golongan ini perlu dicelikkan agar mampu keluar daripada kepompong kebodohan ciptaan UMNO/BN. Anak-anak muda yang turut serta pada Sabtu 9 Julai 2011 yang lalu perlu mengekalkan semangat BERSIH yang ada dan menyelinap masuk ke akar umbi memberitahu kepada emak-ayah serta keluarga betapa pentingnya kita perlu menyelamatkan negara ini daripada pemimpin yang rakus. Gerak kerja pencerahan akal ini perlu dipergiatkan dan tidak boleh ditangguh.

Ayuh kita perturunkan mesej BERSIH ke seluruh pelusuk tanahair. Ubah sebelum parah.

UBAH SEKARANG!!!!




Selasa, Julai 05, 2011

Kenyataan Media Presiden PAS : 'Menjunjung Kasih Titah Tuanku Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong.

Parti Islam Se-Malaysia PAS menjunjung tinggi titah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong pada hari Ahad 3 julai 2011 mengenai isu perhimpunan aman BERSIH 2.0 yang hangat diperkatakan pada waktu ini. Seluruh kepimpinan PAS merasa amat berbesar hati dengan keprihatinan dan perhatian yang diberikan oleh Seri Paduka Baginda Tuanku sebagai pelindung keluhuran perlembagaan negara dan lambang berdaulat negara kita ini.

Titah Seri paduka Baginda Tuanku bahawa dalam setiap permasalahan yang timbul, sebagai masyarakat yang bertamadun kita hendaklah mencari jalan penyelesaian secara rundingan dan tidak mengikut perasaan. Ini adalah amat tepat sekali dalam merungkai perkara yang dibangkitkan, iaitu pembaharuan terhadap keseluruhan sistem pilihanraya bagi menyuburkan demokrasi dalam negara kita ini.

Sehubungan dengan itu, maka PAS bersedia untuk menghantar wakil bersama dengan BERSIH 2.0 dan rakan politik dalam Pakatan Rakyat serta semua pihak yang cintakan keamanan untuk berunding dan seterusnya mengadap ke bawah Duli Seri Paduka Baginda Tuanku bagi menjelaskan kekeliruan yang timbul hasil dari liputan buruk yang dimainkan terhadap bantahan aman ini. Kesan dari salah faham initelah menimbulkan provokasi pihak tertentu yang memberi gambaran seolah-olah keadaan sudah tidak terkawal sehingga undang-undang negara juga sudah tidak dihormati lagi olehpihak berkuasa.

PAS percaya bahawa asas penyebab utama bantahan ini perlulah digali-selidik dengan hati terbuka dan penuh keikhlasan, terutamanya oleh pihak kerajaan yang memegang tampuk pemerintahan dalam negara kita pada ketika ini. Ini juga selari dengan titah Seri Paduka Baginda Tuanku supaya pihak kerajaan wajar untuk melaksanakan amanah dengan secara adil dan bijaksana. Tercetusnya idea bantahan ini adalah kerana terlalu banyak kelemahan dalam amalan pilihanraya di Malaysia dengan berlakunya penipuan, rasuah dan salah guna kuasa dan media secara tidak demokratik. Keadaan ini semakin buruk walaupun kita telah mencapai kemerdekaan lebih dari 50 tahun dan sudah dua belas kali pilihanraya umum diadakan. Sejak Sekian lama ini,kerajaan Barisan Nasional telah banyak menyalahgunakan kuasa mereka di atas nama demokrasi, walaupun negara-negara di seluruh dunia sudah banyak melakukan reformasi terhadap sistem pilihan raya dan demokrasi yang membawa kebaikan kepada seluruh rakyat.


Dato' Seri Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang


Presiden Parti Islam Se-Malaysia

4 Julai 2011/ 2 Syaaban 1432 H

KDN Dinasihatkan Benteng Kemarahan Rakyat Dengan Keadilan Dan Perhatian, Bukannya Polis

PAS mengecam tindakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang bertindak untuk mengharamkan Pertubuhan Bersih 2.0, yang terdiri daripada gabungan 62 NGO yang sah dan berdaftar 6 hari menjelang perhimpunan Bersih 2.0 Julai 9 ini.
PAS juga menyelar tindakan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishamuddin Hussein yang telah menyalahgunakan kuasa yang ada dengan bertindak di luar batas undang-undang untuk mengharamkan Bersih 2.0 di bawah seksyen 5 Akta Pertubuhan 1966 kerana ia jelas bercanggah dengan dengan Artikel 10(1)(c) Perlembagaan Persekutuan yang menjamin kebebasan berpersatuan untuk rakyat seperti yang dinyatakan peguam Hak Asasi Manusia, N Surendran.

PAS menghidu tindakan kerajaan BN untuk mengisytiharkan Bersih 2.0 sebagai pertubuhan yang tidak pernah didaftar semata-mata bertujuan supaya gabungan 62 NGO tersebut boleh dianggap pertubuhan haram bagi membolehkan KDN mengerahkan polis untuk bertindak ke atas pemimpinnya.
Tindakan ini dilihat langkah awal bagi melakukan tangkapan besar-besaran ke atas para pimpinan NGO yang menyokong Bersih 2.0 termasuk Pakatan Rakyat kononnya mencetuskan suasana gawat dalam negara; walhal jelas di mata orang awam bahawa Umno dan Perkasa merupakan pihak yang mencetuskan kontroversi dalam mengadakan perhimpunan Julai 9 ini.

PAS juga melihat tindakan KDN ini seolah-olah cuba mendapatkan keizinan perundangan ke atas tindakan yang bakal dilakukan.
Menteri Dalam Negeri sewajibnya bertindak dengan lebih profesional melayani kehendak rakyat ke arah sistem pilihanraya yang lebih baik dan adil daripada menumpukan kepada kerja untuk memburukkan Bersih 2.0.

Keyakinan rakyat kepada sistem pilihanraya yang bersih dan adil adalah asas keyakinan dan kesejahteraan negara.
KDN boleh mengarahkan polis untuk menghalang dari sudut fizikal, namun perlu diingatkan rasa tidak puas hati rakyat akan terus membara dan marak, sehingga ianya boleh mencetus pemberontakan dalaman. Sepatutnya ini yang perlu dinilai oleh KDN.

Sewaktu seorang gabenor memohon peruntukan tambahan kepada Khalifah Umar bin Abdul Aziz bagi membuat benteng bagi menahan pemberontakan rakyat terhadap pemimpin, Umar membalas surat permohonan gabenornya dengan katanya:
“Bentenglah kemarahan rakyatmu dengan keadilanmu, mendengar rintihannya, melayani aduan mereka; itu lebih teguh benteng daripada kota yang kamu cuba bina.”
Wahai KDN, ambillah iktibar daripada Umar bin Abdul Aziz sebelum terlambat.


Ustaz Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man,
Ketua Penerangan PAS Pusat



Isnin, Julai 04, 2011

Ceramah Sempena Nisfu Sya'ban.


  • Tarikh : 15 Julai 2011 bersamaan 13 Sya'ban 1432H (Jumaat)
  • Tempat : PASTI Ar-Raudah Taman Manis, Kulai.
  • Masa : 9.00mlm
  • Penceramah : Al-Fadhil Ust. Idris Ahmad (AJK PAS Pusat)
SEMUA DIJEMPUT HADIR.