Isnin, Julai 29, 2013

IFTAR JAMAIE PAS KULAI 1434H

PAS Kawasan Kulai telah mengadakan program tersebut pada 18 Ramadhan 1434H bersamaan 27 Julai 2013 bertempat di PASTI Al-Hikmah, Bandar Putra, Kulai. Majlis kali ini telah diserikan dengan kehadiran dua orang wakil rakyat daripada DAP iaitu YB Sdr Wong Shu Qi (ADUN Senai) dan YB Pn Teo Nie Ching (MP Kulai) disamping Sdr Mazlan Aliman selaku wakil PAS Negeri Johor merangkap bekas calon N50 Bukit Permai. Keakraban gandingan dalam Pakatan Rakyat semakin terserlah dengan kehadiran kedua-dua mereka, tambah lagi ini merupakan kali pertama wakil rakyat dari golongan nos-muslim hadir sama berbuka puasa bersama umat Islam dalam Parlimen Kulai.

Pada malam tersebut juga telah diadakan majlis penyampaian bantuan Hari Raya kepada golongan yang memerlukan yang terdiri daripada ibu tunggal dan anak-anak yaitm. Seramai 20 keluarga telah menerima bantuan pada malam tersebut. Sumbangan telah disampaikan oleh YB Teo dan Sdr Mazlan selepas selesai solat terawih.

Semasa memberi ucapan YB Teo sempat membezakan suasana
ramadhan yang beliau lalui semasa menjadi MP Serdang di Selangor dengan suasana di Johor. Semasa di Selangor, beliau sering diundang oleh pihak masjid dan surau di Parlimen Serdang kepelbagai majlis yang diadakan sempena ramadhan. Berbeza dengan di Johor, beliau bukan sahaja tidak diundang bahkan menghadapi kesukaran untuk mendekati masyarakat Islam di bulan yang penuh dengan keberkatan ini walaupun berstatus ahli parlimen. Walau pun begitu beliau sempat juga mengagihkan bubur lambuk kepada orang ramai di tiga lokasi iaitu Bandar Putra, Bandar Kulai dan Taman Manis di setiap hujung minggu. Disamping itu beliau juga telah menyampaikan bantuan hari raya kepada masyarakat di Felda Bukit Batu dan Felda Bukit Permai.

Begitulah senarionya berada dan berkhidmat didalam negeri yang menjadi tiang seri UMNO. Namun dengan kesungguhan yang ditunjukkan dan bantuan dari rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat, insya'allah tiang seri tersebut mampu ditumbangkan dalam PRU yang akan datang.

TAKBIR !



Selasa, Julai 23, 2013

IFTAR JAMAIE PAS KULAI 1434H


PAS Kulai akan mengadakan program Iftar Jamaie bersama Dewan Ulama' PAS Negeri Johor pada :
  • Tarikh : 18 Ramadhan 1434H bersamaan 27 Julai 2013 (Sabtu)
  • Masa : 6.00ptg - 10.30mlm
  • Tempat : PASTI Al-Hikmah, Bandar Putra.
Aturcara program :
  • Bacaan Mathurat
  • Tazkirah ramadhan
  • Majlis berbuka
  • Solat maghrib
  • Solat Isya'
  • Solat terawih
  • Majlis penyampaian bantuan kepada fakir miskin.
Tetamu undangan :
  1. YB Teo Nie Ching (Ahli Parlimen Kulai)
  2. YB Wong Shu Qi (ADUN Senai)
  3. Sdr. Mazlan Aliman (AJK PAS Pusat)   



SEMUA DIJEMPUT HADIR.


Khamis, Julai 11, 2013

Ramadhan bulan jihad .

Ramadhan bulan jihad. Jihad melawan hawa nafsu serta jihad memenangkan perjuangan Islam. Kini Ramadhan datang kembali dalam keadaan saudara kita di Syria masih dicengkam kezaliman Regim Bashar Asad dan kuncu-kuncunya.

Saudara kita di Mesir pula sedang dirompak kemenangan rakyat oleh regim tentera yang di dalangi oleh Israel dan AS. Pada waktu yang sama saudara kita di Palestine, Burma terus dibuli.

Ramadhan kali ini juga kita berhadapan dengan PRK Kuala Besut yang hangat diperkatakan oleh orang ramai bagi mencatat sejarah 16 - 16 Terengganu Baru.

Suaatu rekod yang akan menjadi catatan sejarah politik negara seandainya pengundi memberi mandat kepada PAS. 16-16 bukan sahaja pengundi di Kuala Besut yang ingin melihat keadaan tersebut, bahkan seluruh negara, kerana ini adalah sejarah tersendiri.

Dalam suasana ini, Ramadhan datang kembali membawa seribu rahmat. PAS mengucapkan selamat datang ya Ramadan. Semoga keberkatan, rahmat dan keampunan akan kita peroleh. Marilah kita bersama menyumbang tenaga, wang ringgit dan doa agar kita berjaya mencapai kemenangan yang sangat penting ini.

Kepada para petugas yang telah berkorban meninggalkan keluarga dan tugas harian turun ke Kuala Besut bagi membantu jentera parti, kita ucapkan siru ala barakatillah. Semoga kita memperoleh ganjaran besar berjihad pada bulan Ramadhan. Suatu nikmat yang jarang kita peroleh.

Manakala yang tidak berkesempatan untuk hadir, biarlah wang ringgit, munajat doa agar kita berjaya. Setiap orang daripada kalangan ahli parti mesti menyumbang sesuatu agar ia menjadi saksi depan Allah di hari akhirat nanti.

Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man,

Selasa, Julai 09, 2013

TAZKIRAH RAMADHAN

KEISTIMEWAAN PUASA DI BULAN RAMADHAN.

Antara keistimewaan puasa dibulan Ramadhan ialah Allah SWT akan menggandakan pahala orang-orang yang berpuasa melebihi amalan-amalan lain dimana kadarnya hanya diketahui oleh Allah SWT. Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud :
"Semua amalan anak Adam digandakan kebaikkannya sepuluh kali ganda serupa dengannya sehingga tujuh ratus kali ganda . Allah Azza Wajalla berfirman : "Melainkan puasa, kerana ianya untuk Ku dan Aku sendiri yang akan membalasnya, mereka meninggalkan syahwat dan makanannya kerana Ku". Bagi orang yang berpuasa akan mendapat dua kegembiraan ketika berbuka puasa dan kegembiraan ketika menemui Tuhannya, dan bau busuk (dari mulut orang yang berpuasa) kerana berpuasa lebih wangi disisi Allah daripada bau Musk" (HR : Bukhari dan Muslim).

Ganjaran di akhirtat bagi orang yang berpuasa tentunya lebih besar, kerana nikmat dunia walau sebesar mana sekalipun tidak mungkin menyemai sekecil-kecil nikmat akhirat. Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud :
"Sesungguhnya didalam syurga ada satu pintu yang dipanggil 'al-Rayyan', masuk melaluinya orang yang berpuasa pada hari kiamat, tidak boleh masuk melaluinya seseorang pun selain mereka, diseru : 'Mana orang-orang yang berpuasa?' maka mereka pun bangun, tidak akan masuk melaluinya seorang pun selain mereka, maka apabila mereka (orang berpuasa) masuk, pintu itu akan ditutup, maka tidak boleh masuk melaluinya seorang pun" (HR: Bukhari dan Muslim)

Dalam riwayat al-Nasa'ie dan Ibnu Huzaimah pula disambung lagi : "Sesiapa yang masuk akan minum, dan sesiapa yang telah minum tidak akan dahaga selama-lamanya".

Antara bekalan yang boleh diperolehi dari ibadat puasa :

1. Sifat Ikhlas. 
Puasa merupaka ibadat yang paling hampir dengan makna keikhlasan bagi seorang hamba. Ini kerana ibadat puasa merupakan rahsia antara hamba dan Tuhannya. Seorang yang berpuasa boleh berbuka tanpa diketahui orang lain, tetapi kerana ketaqwaannya kepada Allah yang mengetahui zahir dan bathinnya, dan kerana mengharapkan pahala dan redha Allah SWT, dia tidak melakukannya. Itulah sebabnya ibadat ini istimewa dari yang lain. Sifat inilah yang paling berharga dalam kehidupan seorang muslim kerana amalan yang tidak disertai dengan keikhlasan tidak diterima oleh Allah dan tidak membuahkan hasil.

2. Mujadalah dan kekentalan jiwa.
Puasa memaksa kita meninggalkan nafsu syahwat walaupun pada perkara yang telah dihalalkan kepada kita untuk melakukannya sebelum Ramadhan. Ini mendidik kita untuk lebih tegas dan meninggalkan perkara yang sememangnya telah diharamkan oleh syariat diluar bulan Ramadhan.

3. Sabar.
Puasa melatih kita supaya bersabar dalam berhadapan dengan keinginan diri dan godaan luaran sepanjang Ramadhan. Sabar seperti ini amat perlu dalam berhadapan dengan segala kemungkinan dan kehidupan.

4. Memelihara fizikal.
Puasa menyebabkan kita terpaksa memelihara perut, telinga, lidah, tangan dan kaki daripada perkara-perkara yang boleh membatalkan puasa.

5. Prihatin dan belas kasihan.
Puasa melahirkan rasa prihatin dan belas kasihan kepada fakir miskin, lantaran itulah disyariatkan zakat fitrah pada bulan ini untuk menguatkan lagi perasaan tersebut. Perasaan ini adalah titik tolak kepada rasa tanggungjawab untuk melakukan pembaikkan dalam masyarakat.

6. Membuka hijab antara diri dengan Allah SWT.
Ibadat yang dilakukan didalam bulan Ramadhan berupaya membersihkan roh dan hati. Dengan itu terbukalah hijab antara hamba dengan tuhannya.

7. Mengenal erti kejayaan sebenar.
Puasa mengajar mukmin erti kejayaan sebenar. Bukanlah harta atau kedudukan menjadi kayu pengukur kepada kejayaan tetapi tercapainya matlamat yang telah digariskan oleh Allah SWT adalah kejayaan yang hakiki. Orang yang berpuasa akan memperolehi dua kejayaan, pertama ketika berbuka dan kedua ketika menemui Tuhannya.

8. Rasa belas dan lemah lembut.
Rasulullah s.a.w. mengajar umatnya, apabila seseorang mencaci atau memperli orang berpuasa, maka hendak ia berkata "Aku berpuasa". Seorang mukmin yang hakiki amat berhajat kepada latihan  seperti ini, kerana tidak mungkin dakwah dapat disebarkan dengan kekerasan. Bahkan ia memerlukan sikap berlapang dada dan kemampuan menahan diri dari perasaan marah. Permusuhan dan perbalahan tidak sedikit pun mendatangkan keuntungan kepada dakwah, bahkan merugikan masa dan tenaga.

9. Memperkukuh kesatuan ummah.
Orang Islam diseluruh pelosok dunia berpuasa dalam bulan yang sama. Masing-masing merasakan nikmat kebaikkan bulan Ramadhan dan perasaan ini dikongsi bersama oleh seluruh umat Islam tanpa mengiran bangsa, keturunan, warna kulit, bahasa dan melampaui batas geografi. Merasai ujudnya kesatuan ummah adalah perkara dharuriah atau yang paling utama yang perlu ada dalam diri setiap Muslim.

10. Merapatkan hubungan dengan alam.
Penentuan Ramadhan dan Syawal, membawa umat Islam memerhati perjalana bulan dan bintang. Demikian itu melahirkan keagungan kepada Penciptanya.

11. Menjaga masa.
Puasa mengajar seorang muslim supaya teliti dengan masa dan jadual hidup. Ketika bulan Ramadhan, seorang muslim perlu teliti dalam menentukan waktu berbuka dan sahur kerana sedikit kesilapan akan membatalkan puasanya. Disiplin masa seperti ini amat perlu dalam kehidupan seorang mukmin agar setiap perancangan hidupnya berjaya dan tepat pada masa yang ditetapkan.

12. Kesihatan tubuh badan.
Pakar-pakar perubatan mendapati puasa boleh menyembuhkan pelbagai penyakit yang tidak boleh dipulihkan oleh sesetengah ubat-ubatan moden dan tradisi.



Selamat Menyambut Ramadhan al-Mubarraq.

SAUM SYARIAT DAN TARIQAT.

Saum syariat adalah menahan diri dari makanan, minuman dan bersetubuh di waktu siang hari. Saum tariqat adalah menahan seluruh anggota tubuh dari segala perbuatan yang diharamkan dan dilarang, juga menjauhi sifat-sifat tercela seperti ujub dan sebagainya, lahir dan bathin, siang mahupun malam. Bila melakukan hal-hal tersebut tadi, maka batalah puasa tariqatnya. Saum syariat mempunyai waktu tertentu manakala saum tariqat hidup selamanya.

Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud :
"Banyak orang yang berpuasa, hasilnya adalah lapar dan dahaga".

Dalam hadith yang lain Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud : "Banyak yang berpuasa tapi berbuka. Banyak yang berbuka tapi berpuasa" iaitu orang yang perutnya tidak berpuasa tapi ia menjaga anggota tubuhnya dari perbuatan terlarang dan menyakiti orang.

Firman Allah SWT dalam hadith qudsi :
"Puasa itu untuk Ku dan Akulah yang membalasnya".

Rasulullah s.a.w. bersabda :
"Bagi orang yang berpuasa akan mendapat dua kebahagiaan. Pertama iaitu ketija berbuka dengan memakan makanan diwaktu maghrib. Kedua ketika melihat anak bulan dimalam lebaran petanda selesainya tugas puasa Ramadhan".

Adapun pengertian menurut tariqat ialah kebahagiaan yang pertama ketika masuk ke syurga dan menikmati kenikmatan syurga. Semoga Allah SWT memberikannya kepada kita. Kedua ru'yat. Yang dimaksudkan dengan ru'yat ialah melihat Allah SWT pada hari kiamat dengan rasa secara nyata. Semoga kita mendapatkannya.

Saum tariqat ialah menjaga hati dari selain Allah dan menjaga rasa agar tidak mencintai selain Allah. Hadith qudsi menyebut :" Manusia adalah rahsia Ku dan Aku rahsianya". Sir itu Nur Allah, maka orang yang ditingkat ini tidak akan cenderung selain Allah. Tidak ada yang dicintai, diingini dan dicari selain Allah SWT di dunia mahupun di akhirat. Bila hati terjatuh pada mencintai selain Allah, maka batalah saum hakikatnya dan ia harus qadha dengan kembali mencintai Allah dan menemuinya di dunia dan di akhirat, sesuai dengan firman Allah :
" Puasa itu untuk Ku dan Akulah yang membalasnya".

Petikan kitab Sirrul Asrar oleh Syeikh Abdul Kadir al-Jailani.


Rabu, Julai 03, 2013

Adakah Azeez dilantik kerana cium tangan Rosmah?

Harakahdaily, 03 Jul 2013
KUALA LUMPUR: Tindakan Perdana Menteri melantik Ahli Parlimen Baling, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim sebagai Pengerusi Tabung Haji yang baru terus menimbulkan persoalan dan menjadi perbualan ramai.

“Di blog dan laman-laman sosial, baik yang pro Umno mahukan pro pembangkang, perlantikan Azeez itu bukan saja mengundang kecaman dan kritikan, malah dijadikan bahan lawak dan momokan ramai,” tulis pemerhati politik, Shahbudin Husin di dalam blognya, http://shahbudindotcom.blogspot.com.

Menurutnya, gambar Azeez mencium tangan isteri Perdana Menteri, Rosmah Mansor menjadi topik perbualan paling hangat seolah-olah pelantikan beliau itu lebih bersandarkan kepada kekerapannya mencium tangan Rosmah dan bukannya berdasarkan kelayakan ataupun pengalaman yang dimilikinya.

Berikut tulisan penuh beliau.

Tindakan Najib melantik Ahli Parlimen Baling, Azeez Rahim sebagai Pengerusi Tabung Haji yang baru terus menimbulkan persoalan dan menjadi perbualan ramai. Tidak saja Mahfuz Omar dari Pas dan Nurul Izzah dari PKR yang mempertikaikannya serta menuntut penjelasan Perdana Menteri tentang kriteria perlantikan seseorang sebagai Pengerusi GLC, bahkan rakyat pelbagai peringkat terus bercakap mengenainya.

Di blog dan laman-laman sosial, baik yang pro UMNO mahukan pro pembangkang, perlantikan Azeez itu bukan saja mengundang kecaman dan kritikan, malah dijadikan bahan lawak dan momokan ramai.

Gambar Azeez mencium tangan isteri Perdana Menteri, Rosmah Mansor menjadi topik perbualan paling hangat seolah-olah perlantikan beliau itu lebih bersandarkan kepada kekerapannya mencium tangan Rosmah dan bukannya berdasarkan kelayakan ataupun pengalaman yang dimilikinya.

Jika dibandingkan perlantikan Azeez sebagai Pengerusi Tabung Haji dengan beberapa perlantikan lain yang dibuat oleh Najib, memang wujud tanda-tanya besar terutama mengenai kriteria, kelayakan dan kaitan wibawa seseorang itu dengan GLC atau agensi kerajaan yang diamanahkan kepadanya.

Azeez Rahim yang tidak sampai dua bulan menjadi Ahli Parlimen serta tiada pengalaman dalam dunia korporat, pengurusan serta perniagaan, telah dijadikan Pengerusi Tabung Haji, sebuah GLC yang mempunyai aset dan tabungan berbilion ringgit serta rangkaian perniagaan di seluruh dunia. Tabung Haji juga menjadi tabungan hampir semua umat Islam dan merupakan antara syarikat kebanggaan negara yang ditubuhkan oleh Prof Ungku Aziz bagi memudahkan umat Islam menunaikan rukun Islam kelima iaitu fardu haji ke Mekah.

Dr Latif Ahmad, Ahli Parlimen Mersing yang berpengalaman sebagai Exco Kerajaan Johor dan timbalan menteri, hanya diberikan jawatan Pengerusi Syarikat Perumahan Negara Berhad atau SPNB, sebuah syarikat milik kerajaan yang tumpuan khususnya lebih kepada projek perumahan kos rendah dan memulihkan projek terbengkalai.

Berbanding dengan Tabung Haji, SPNB jauh lebih kecil walaupun Dr Latif seorang yang lebih berpengalaman serta berpengetahuan dalam politik dan pengurusan.

Annuar Musa yang difahamkan akan dilantik sebagai Pengerusi MARA adalah tokoh hebat dari Kelantan dan pernah menjadi Menteri Belia dan Sukan serta Menteri Pembangunan Luar Bandar. Kepandaiannya dalam mengurus menjadikan Persatuan Bolasepak Kelantan atau KAFA yang dikendalikannya kini menjadi kuasa baru dalam bolasepak negara dengan memenangi beberapa kejuaraan utama.

Tetapi beliau hanya diberikan jawatan Pengerusi MARA yang kini semakin mengecil peranannya dalam membantu orang-orang Melayu di bidang perniagaan serta pendidikan berikutan peruntukan kerajaan yang semakin dikurangkan tahun demi tahun. Lebih-lebih lagi setelah Kementerian Pembangunan Usahawan dihapuskan oleh Najib pada 2009 lalu, MARA seolah-olah sudah tenggelam peranannya dalam membantu usahawan-usahawan Bumiputera.

Berbanding dengan Tabung Haji juga, MARA ternyata lebih keci meskipun Annuar Musa yang bakal dijadikan Pengerusi agensi itu adalah individu yang cukup pengalaman dalam politik, pengurusan serta banyak membantu rakyat di pelbagai peringkat sebelum ini.

Syed Hamid Albar yang pernah menjadi peguam dan berpengalaman sebagai menteri di pelbagai kementerian, apabila digugurkan daripada kabinet pada 2009, hanya diberikan jawatan Pengerusi SPAD yang secara kasarnya hanya menjaga bas, lori dan teksi saja. Bahkan pelantikannya sebagai Pengerusi Tabung Haji sebelum ini telah ditarik balik walaupun sudah menerima surat perlantikan itu.

Syed Hamid Albar juga dikenali seorang yang berintergeriti tinggi dan wibawanya diketahui ramai di dalam dan di luar negara. Dibandingkan dengan Tabung Haji juga, SPAD jauh lebih kecil dan seolah-olah tidak padan seorang yang berpengalaman dan berpengetahuan luas seperti beliau hanya ditugaskan menjaga bas, teksi dan lori saja.

Begitu juga dengan bekas Timbalan Menteri Pertanian dan kini Ahli Parlimen Kubang Pasu, Johari Baharom yang dikhabarkan telah dilantik sebagai penasihat di JPM. Perlantikan beliau itu lebih kepada untuk memberi jawatan semata-mata sedangkan tiada peranan khusus walaupun pengalaman dan pengetahuannnya dalam politik dan kerajaan selama puluhan tahun sebelum ini sebenarnya boleh dimanfaatkan untuk peranan yang lebih besar lagi.

Jika dibandingkan dengan Pengerusi Tabung Haji, jawatan sebagai penasihat di JPM ini hampir tidak memberi makna kerana belum tentu ada nasihat Johari yang mahu diterima-pakai oleh Najib yang diketahui sudah pun mempunyai ramai penasihat sebelum ini.

Semua perlantikan itu seolah-olah memberi gambaran bahawa semakin tinggi pengetahuan, pengalaman dan wibawa seseorang itu, semakin tidak penting dan kecil agensi kerajaan, GLC atau jawatan yang akan diberikan kepadanya manakala mereka yang tiada pengalaman, malah kewibawaannya dipertikaikan akan diberikan tanggungjawab mengendalikan syarikat yang bernilai berbilion-bilion ringgit pula.

Dalam hal ini jika Tengku Razalegh Hamzah, seorang yang mempunyai wibawa, pengalaman dan pengetahuan yang lebih tinggi, pernah menjadi Menteri Kewangan, Pengerusi IMF, Pengerusi Bank Dunia dan pelbagai jawatan lagi serta berperanan menubuhkan Bank Bumiputra dan Petronas, mahu diberikan jawatan oleh Najib, barangkali jawatan yang akan diberikan hanyalah Pengerusi Persatuan Beca Se-Malaysia saja.

Isnin, Julai 01, 2013

SPR belanja RM 7.1 juta untuk dakwat tidak kekal.

Semalam (30 Jun 2013) penulis telah dijemput hadir ke Majlis Persamian Pusat Komuniti dan Aduan Rakyat bagi DUN Senai di Taman Mutiara, Indahpura Kulai. Persamian telah disempurnakan oleh YAB Sdr Lim Guan Eng, Ketua Menteri Pulau Pinang merangkap Setiausaha Agung DAP. Ramai tetamu yang hadir termasuk beberapa orang ADUN DAP Negeri Johor serta Sdr Hu Pang Chow, Ketua DHPP Pusat. Penulis mewakili PAS Kawasan Kulai bagi menunjukkan kesepaduannya Pakatan Rakyat dalam mendepani Barisan Nasional pada bila-bila masa. Hari sebelumnya, penulis hadir ke majlis pecah tanah rumah anak-anak yatim bersama Mazlan Aliman di Jalan Lengkungan Kulai.

Semasa ucapan Sdr Lim Guan Eng, beliau telah menyatakan bagaimana SPR membelanjakan sejumlah wang sebanyak RM7.1 juta untuk membeli dakwat yang tidak kekal bagi digunakan dalam PRU13 yang lalu."Tak guna betul...." bisik hati penulis. Beliau menuntut agar SPRM menyiasat SPR, bagaimana wang tersebut boleh dibelanjakan semudah itu sedangkan wang tersebut adalah merupakan wang rakyat. Hari ini penulis dihubungi oleh wartawan Sinar bagi mendapatkan komen yang sama.

Bagi penulis, apa yang penting ialah siasatan perlu dilakukan dengan telus tanpa ada sebarang pilih kasih. Jangan hanya bersandiwara sahaja. Setelah kenyataan berbeza-beza yang dikeluarkan oleh Pak Menteri dan pihak SPR sendiri, maka SPRM disuruh menyiasat bagi mengelakkan tomahan dan ketidak percayaan rakyat terhadap kerajaan. Ini senario biasa di Malaysia. Lihat apa jadi dengan kes Ketua Menteri Sarawak, dengan kenyataan angkuhnya enggan memberi kerjasama, SPRM bisu dan membatu.

Penulis khuatir, dalam kes SPR ini nanti akan ada tangan-tangan ghaib yang menghalang kerja-kerja siasatan. Akhirnya lenyap begitu sahaja. Sebab itu penulis menegaskan kepada wartawan Sinar, agar siasatan dijalankan secara telus. Sejumlah besar wang rakyat telah dibelanjakan. Rakyat berhak untuk tahu siapakah pembekal dakwat ini? Kenapa kenyataan yang dikeluarkan berbeza-beza dalam menyatakan hal yang sama? Kenapa sejumlah wang yang begitu besar dikeluarkan sedangkan mereka tahu ianya tidak boleh digunakan? 

Bila dituduh menipu, mereka marah. Kalau kerajaan minoriti ini benar-benar berintigriti dan mahu memulihkan kepercayaan rakyat, sila dedahkan dalang-dalang disebalik pembaziran ini tanpa ada penglibatan tangan-tangan ghaib daripada pihak yang berwajib. Tapi kalau ianya hanya satu sandiwara, buang masa sahaja dan sekali lagi wang rakyat akan dibazirkan.

Apa-apa pun sama-samalah kita tunggu dan lihat SIAPA YANG KENA.......