Selasa, Mac 20, 2012

Akidah Yahudi Lebih Bahaya

Susulan kepada kenyataan yang dikeluarkan oleh seorang pensyarah Fakulti Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan UIAM seperti yang disiarkan di dalam akhbar Sinar Harian hari ini Isnin 19 Mac 2012 di halaman N4 yang bertajuk Presiden PAS Kelirukan Umat Islam, saya ingin membuat sedikit penjelasan lanjut. Selain itu sukalah saya turut merujuk kepada kenyataan beberapa orang pimpinan UMNO yang menyatakan bahawa Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima dana daripada Yahudi.

Yahudi tidak meminta untuk menjadi Yahudi, sebagaimana Melayu tidak meminta untuk dilahirkan sebagai Melayu. Jutseru, sedari dulu lagi saya sentiasa konsisten untuk menyatakan bahawa bangsa tidak ada apa-apa kelebihan dan kekurangan di sisi Allah SWT. Nilai yang melebihkan manusia ke atas manusia yang lain ialah imannya kepada Allah SWT. Menjulang keris ke langit menjerit ketuanan bangsa tidak akan membantu apa-apa ke arah keharmonian hidup antara kaum.

Bolehkah berurusniaga dengan Yahudi? Perlulah diingat bahawa ada beza antara Yahudi dengan Zionis. Yahudi sebagai seorang individu dan manusia tidak mempunyai apa-apa beban kesalahan yang dipikul di atas bahunya hanya semata-mata dirinya seorang Yahudi. Bahkan Rasulullah SAW sendiri berurusan dengan Yahudi. Di dalam hadis sahih Bukhari dinukilkan kata-kata daripada Ummul Mukminin Aisyah Radhiallahuanha :

تُوُفِّيَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَدِرْعُهُ مَرْهُونَةٌ عِنْدَ يَهُودِيٍّ بِثَلَاثِينَ صَاعًا مِنْ شَعِيرٍ

yang bermaksud : "Telah wafat Rasulullah SAW dalam keadaan baju besinya tergadai kepada seorang Yahudi dengan (nilaian) 30 sho' gandum..."

Di dalam hadis ini, jelas sekali dinyatakan bahawa Rasulullah SAW sendiri pernah menggadaikan baju besinya kepada seorang Yahudi untuk mendapatkan 30 sho' (ukuran berat di zaman tersebut) gandum untuk keperluan harian baginda dan keluarga. Jika berurusniaga dengan bangsa Yahudi itu salah, sudah tentu ia tidak dilakukan oleh baginda Rasulullah SAW. Contoh yang lebih untuk difahami ialah jika datangnya seorang Yahudi untuk membeli atau menjual sesuatu, adakah urusniaga tidak boleh dilakukan semata-mata kerana beliau seorang Yahudi? Jika ada yang menyatakan haram, tidak ada sebab lain melainkan hanyalah kerana kejahilan tentang Islam.

Adapun yang ditentang oleh PAS ialah melakukan urusniaga dengan kerajaan zionis yang tertegak pada hari ini di atas tanah yang dirampas daripada bangsa Palestin. Berurusniaga dengan kerajaan zionis Israel ertinya mengiktiraf kewujudan mereka dan mengiktiraf kewujudan Israel merupakan satu jenayah yang tidak boleh dimaafkan. Mejadi rakan dagang negara Israel juga termasuk dalam berurusniaga dengan entiti haram Israel. Hairannya, ada sesetengah pihak nampaknya cuba menjadi juara menentang Israel tetapi dalam masa yang sama menjalinkan hubungan dagang dengan negara Israel. Saya ingin merujuk kepada soalan yang dikemukakan oleh ahli Parlimen Kuala Krai, YB Dr. Mohd Hatta bin Mohd Ramli di Dewan Rakyat pada 13 Mac 2012 yang meminta Menteri Kewangan menyatakan bagaimana barangan dari Israel dikatakan boleh berada di dalam pasaran Malaysia. Agar mengejutkan apabila jawapan diberikan bahawa".... larangan mutlak ke atas pengimportan barangan dari Israel yang diletakkan di Jadual Pertama Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) telah dipinda ke Larangan Bersyarat di bawah Jadual Kedua Perintah yang sama pada 26 Mei 1994. Selaras dengan ini barangan yang diimport dari Israel kini dibenarkan tertakluk kepada Lesen Import dari Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri..."

Tidakkah ini merupakan bukti cerah seterang matahari di siang hari tentang hubungan dagang dengan Israel? Hairan saya, tidak malukah akhbar milik UMNO memainkan isu ini sedangkan jawapan rasmi di dalam Dewan Rakyat menjelaskan keterlibatan hubungan dagang Malaysia - Israel?

Hakikatnya, menerima akidah Yahudi lebih bahaya daripada menerima wang dari Yahudi. Apakah yang dimaksudkan dengan akidah Yahudi? Ia adalah menolak sebahagian ayat-ayat Allah SWT dan hanya menerima apa yang selari dengan hawa nafsu mereka. Demikian juga dengan mereka yang mengaku muslim tetapi menolak Islam sebagai cara hidup dan menerima ideologi kebangsaan sekular untuk menjadi pegangan. Bukankah ikrar seringkali dilafazkan di dalam solat bahawa kita memohon dijauhkan terjebak dengan jalan orang-orang yang dimurkai Allah SWT, dan golongan itu ialah Yahudi. Firman Allah SWT :

اهْدِنَا الصِّرَاطَ الْمُسْتَقِيمَ (6) صِرَاطَ الَّذِينَ أَنْعَمْتَ عَلَيْهِمْ غَيْرِ الْمَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ وَلَا الضَّالِّينَ (7)

yang bermaksud : "Tunjukilah kami jalan yang lurus. Iaitu jalan orang-orang yang Engkau telah kurniakan nikmat kepada mereka, bukan (jalan) orang-orang yang Engkau telah murkai, dan bukan pula (jalan) orang-orang yang sesat..." - Surah al-Fatihah, ayat 6-7

Muslim yang menolak sebahagian ayat-ayat Allah dan menerima ideologi kebangsaan sekular hakikatnya sedang menerima akidah Yahudi sekalipun nama mereka bukan Yahudi. Ini lebih merbahaya. Akidah inilah yang paling penting. Rasulullah SAW tidak diutuskan hanya untuk mengajar tentang solat dan puasa. Bahkan di dalam sejarah, solat lima waktu hanya difardhukan pada tahun ke-10 kenabian manakala puasa pula pada tahun ke-15 kenabian (tahun kedua hijrah). Apa yang dilakukan oleh Rasulullah SAW sebelum pensyariatan solat dan puasa jika tidak menegakkan akidah?

Hari ini dalam keadaan kemelut jenayah yang semakin meningkat sekalipun negara semakin 'selamat', tidak ada jalan lain untuk menjadi penyelesaian kecuali kembali kepada undang-undang Allah SWT. Inilah yang PAS lakukan sepanjang 22 tahun mentadbir negeri Kelantan. Pertanyaan saya yang dari dulu hingga sekarang, apakah yang dilakukan oleh PAS di Kelantan yang bertentangan dengan Islam?

Adakah mengharamkan premis judi bertentangan dengan Islam? Adakah menghadkan penjualan arak bertentangan dengan Islam? Adakah mengalihkan wang kerajaan dari perbankan riba kepada perbankan Islam bertentangan dengan Islam? Adakah mentadbir negeri dengan bebas daripada rasuah bertentangan dengan Islam? Ini hanyalah beberapa persoalan daripada ribuan persoalan yang wujud apabila UMNO bersungguh-sungguh untuk merampas Kelantan.

Nasihat saya, tinggalkanlah akidah Yahudi. Baliklah kepada akidah Islam yang sebenar, Islam yang syumul dan lengkap yang diturunkan oleh ALlah SWT. Jika andainya dijemput oleh Allah SWT, adakah dengan penerimaan terhadap Islam pada hari ini boleh menjadi bekal mengadap Allah SWT?

Salam hormat.

HAJI NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT,

Menteri Besar Kelantan.

Bertarikh : 26 Rabiul Akhir bersamaan 19 Mac 2012

Rabu, Mac 14, 2012

ISABELLA TOKOH PERBANDINGAN AGAMA ISLAM DAN KRISTIAN SEPANYOL

LATAR BELAKANG ISABELLA

Isabella ialah nama yang tidak asing lagi dalam sejarah perkembangan Islam di Sepanyol terutamanya dalam bidang perbandingan agama Islam dan Kristian di Bandar Cordova iaitu bandar sejarah Sepanyol dan merupakan bandar tercantik di Sepanyol. Terdapat banyak tinggalan bersejarah di Cordova seperti istana al-Hamra, Qasrul Syuhada (makam para syuhada), masjid Cordova dan jug ataman tercantik di Sepanyol iaitu Rabat Yamani.

Isabella hidup pada zaman kegemilangan Islam di Sepanyol iaitu selepas zaman pengembangan Islam yang dibawa oleh Tariq Ziad dan Musan bin Nusair. Isabella pada asalnya ialah seorang penganut Kristian yang taat dan patuh pada agamanya. Beliau merupakan anak kepada seorang ketua paderi di Cordova. Penganut Kristian pada masa itu sangat bencikan Islam dan menanggap penganut Islam sebagai kafir dan syaitan. Penganut Kristian di Cordova pada waktu itu berpegang pada doktrin Trinity iaitu dotrin 3 Tuhan iaitu Tuhan Bapa. Tuhan Anak dan Roh Kudus.

Isabella pada usia mudanya sentiasa mempelajari dan mengkaji tentang agamanya iaitu Kristian. Beliau sentiasa cuba untuk mencari kebenaran dalam agama Kristian dan berusaha menghayati prinsip-prinsip agama Kristian. Ketika kebenaran Islam terbentang di hadapannya maka dia memilih Islam sebagai agama baru. Isabella dengan berani menentang kehendak ayahnya agar kembali kepada Kristian meskipun dirinya dan diseksa bukan sahaja oleh bapanya malah oleh seluruh umat Kristian Cordova.

Selepas mengharungi ranjau yang pedih sebagai muslim. Beliau akhirnya menjadi seorang tokoh perbandingan agama yang ulung bahkan seorang muhaddisah iaitu ahli hadis di Cordova. Beliau juga telah mengasaskan Institut Pengajian al-Quran di kediamannya sendiri. Umur Isabella ketika memeluk Islam tidak diketahui dengan jelas tetapi seorang tokoh penulisan Islam iaitu Maulana Saeed Dehlvi yang berketurunan Pakistan dan mengkaji sejarah Isabella mengatakan bahawa umur Isabella ketika memeluk Islam ialah 22 tahun dan menjadi tokoh perbandingan agama yang mahsyur pada usia 34 tahun.

MENDAPAT HIDAYAH

Isabella memeluk Islam setelah tertarik dengan kebenaran Islam setetlah menghakimi sebuah majlis perdebatan Islam dan Kristian di antara para pelajar Ziad bin Umar iaitu seorang ilmuan Islam tersohor pada waktu itu. Pihak Islam telah menghantar beberapa murid tersohor Ziad bin Umar dan antaranya ialah Umar Lahmi dan Muaz al-Andalusi. Manakala di pihak Kristian pula terdiri daripada paderi-paderi terkenal dan antara mereka ialah guru agama Kristian Isabella iaitu Father Michael dan Father Peter. Perdebatan itu diadakan di sebuah gereja besar di Cordova.

Perdebatan ini berlaku selepas Isabella menghantar surat kapada Umar Lahmi dan rakan-rakannya untuk berdebat dengan paderi-paderi Cordova mengenai kebenaran prinsip-prinsip agama Islam dan Kristian. Isabella mencabar Umar Lahmi dan rakan-rakannya selepas mendengar mereka mempersoalkan kebenaran agama Kristian. Antara perkara dasar yang diperdebatkan ialah konsep Trinity, dosa warisan, dan inti sari agama Kristian yang lain. Namun ternyata kebenaran berpihak kepada Umar Lahmi dan rakan-rakannya, setiap hujah paderi-paderi Cordova dipatahkan oleh para pelajar Islam yang diketuai oleh Umar Lahmi.

Keadaan ini menyebabkan para paderi bertindak dengan lebih agresif dengan mencerca agama Islam sebagai agama keganasan dan lain-lain lagi. Isabella yang menjadi juri hakim bagi majlis perdebatan tersebut memberi keputusan yang berpihak kepada Umar Lahmi dan menyebabkan kemarahan paderi Cordova terhadap dirinya.

Antara peristiwa yang berlaku di dalam majlis perdebatan itu ialah Isabella pengsan sebaik sahaja mendengar bacaan al-Quran oleh Umar Lahmi. Keadaan yang terdesak itu menyebabkan ayah Isabella iaitu ketua paderi Cordova turun berdebat dengan Umar Lahmi tetapi perdebatan itu tidak lagi berlaku di gereja sebaliknya di rumah Isabella dengan dihadiri beberapa orang tertentu.

Bagaimanapun, cahaya Islam tidak pernah padam biarpun cuba dipadamkan oleh orang kafir melalui lisan sepertimana firman Allah dalam al-Quran surah as-Saff ayat 8 :

“Mereka sentiasa berusaha hendak memadamkan cahaya Allah (agama Islam) Dengan mulut mereka, sedang Allah tetap menyempurnakan cahayaNya, sekalipun orang-orang kafir tidak suka (akan yang demikian)”

Biarpun ayah Isabella seorang yang berpengetahuan luas dalam agama Kristian tapi ternyata dia tidak mampu menewaskan kebenaran Islam yang dibawa oleh Umar Lahmi malah bertindak menghalau Umar Lahmi dan pelajar Islam keluar dari rumahnya.

Kecewa dengan sikap paderi yang bercakap besar mampu menumbangkan pihak Islam dan sikap ayahnya yang bertindak menghalau pihak Islam keluar dari rumahnya maka Isabella mangkaji agama Islam dan dari situlah dia secara sembunyi memeluk Islam. Isabella diislamkan oleh Ziad bin Umar. Turut memeluk Islam ialah beberapa orang rakannya yang mengikuti perdebatan tersebut dan antaranya ialah Mirano St Michael iaitu anak kepada paderi Father Michael, guru agama Kristian Isabella. Melalui Ziad bin Umar dan Umar Lahmilah Isabella mempelajari agama Islam dan juga perbandingan antara Islam dan Kristian.


Selasa, Mac 13, 2012

Syirik zaman moden lebih bahaya pesong akidah tanpa disedari

SEBAHAGIAN orang mengira bahawa masalah syirik sudah tiada, tidak perlu dipersoalkan lagi. Mereka mengira daripada hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan Bukhari adalah jaminan bahawa umat Islam akan selamat dan bersih daripada unsur syirik. Jaminan daripada generasi sahabat memang benar, tetapi bukan generasi seterusnya apa lagi generasi sekarang.

Syirik boleh dikategorikan kepada dua iaitu syirik tersembunyi dan syirik besar yang nyata. Syirik tersembunyi atau yang samar memang susah difahami seperti digambarkan oleh Rasulullah SAW dalam sabdanya bermaksud: “Syirik yang menjangkiti umat ini lebih tersembunyi daripada seekor semut hitam yang merayap pada batu-batu hitam di tengah malam yang gelap.” (Riwayat Ahmad).

Dalam hadis ini, Rasulullah SAW menggunakan kata ‘umat ini’ iaitu umat Islam secara umumnya hingga menjelang kiamat kelak, sementara dalam hadis Bukhari digunakan kata ‘kamu’ yang ditujukan kepada para sahabat.

Masih banyak peringatan daripada Rasulullah SAW kepada umat akhir zaman terhadap bencana syirik. Bahkan Baginda tegaskan umatnya kelak ada yang mengikuti kaum musyrikin hingga berhala pun disembah.

Rasulullah SAW bersabda ‘Kiamat tidak akan terjadi hingga sekelompok kabilah daripada umatku mengikuti orang-orang-orang musyrik dan hingga berhala pun di sembah.’ (Sahih Ibnu Hibban).

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda bermaksud ‘Tidak akan terjadi hari kiamat hingga sekelompok kaum dari umatku kembali kepada berhala. Mereka menyembah berhala itu di samping Allah SWT.’ (Riwayat Abu Daud).

Sembahan ini kalau zaman jahiliah berbentuk patung-patung atau berhala-berhala, sekarang boleh diwujudkan dalam kuburan-kuburan orang-orang salih, wali atau keramat, mereka pergi memuja atau memohon doa kepadanya.

Gaya-gaya perilaku kaum musyrik kini memang banyak melanda kaum Muslimin. Di antaranya bersumpah dengan selain Allah, berqasidah yang penuh dengan bait-bait syirik, menguburkan orang salih dalam masjid, menjadikan kuburan sebagai tempat perayaan dan ibadah, melakukan nazar untuk para wali, menyembelih korban di kuburan wali, tawaf kuburan yang dianggap wali, bahkan ada yang bersujud kepada kuburan kiyai atau ulama.

Saidatina Aisyah berkata, “Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda bermaksud ‘Malam dan siang tidak akan lenyap (terjadi kiamat) hingga Lata dan Uzza kembali disembah’.” (Sahih Muslim, Sunan Tirmizi, Musnad Ahmad).

Syirik zaman moden sekarang yang tersembunyi lebih bahaya lagi bagi umat ini di mana seseorang mendambakan, mendewakan dan mengangkat orang lain bukan dari kelompoknya untuk diikuti dan diagungkan. Orang di luar Islam bekerjasama dengan orang-orang yang masih mengaku Islam, namun menjauhkan umat Islam dari akidah Islam sebenarnya melalui berbagai bentuk berupa:

* Liberalisme Islam. Iaitu usaha jahat yang menghembuskan pemahaman bahawa agama Islam itu relatif sama benarnya dengan agama-agama lain.

* Kemudian mereka menyebarkan pluralisme agama (semua agama sama menuju kepada keselamatan, hanya berbeza teknik, dan kita tidak boleh memandang agama lain memakai agama agama yang kita anuti). Pada hal itu hakikatnya kemusyrikan baru, tetapi pluralisme agama. Maka umat ini ramai dikelirukan oleh mereka.

* Ketika Islam menyatakan hanya Islam yang benar, maka dianggap sebagai sumber konflik. Ini ertinya menguburkan agama Islam, tetapi seakan kedengaran tidak berbahaya, tetapi sebaliknya sangat berbahaya bagi umat Islam.

Itulah yang dilakukan orang-orang di luar Islam bekerjasama dengan orang-orang liberal melalui berbagai-bagai saluran media yang kita ketahui. Semua itu pada hakikatnya adalah musuh Islam sebenarnya.

Apabila orang-orang liberal mengusik Islam bahkan mengalihkan akidah Islam dari tauhid kepada kemusyirikan, hal itu sangat membahayakan umat Islam.

Semoga Allah menyelamatkan kita daripada kemusyrikan yang amat berbahaya ini sesuai dengan firman Allah bermaksud: “Mereka berkehendak memadamkan cahaya (agama) Allah dengan mulut (ucapan-ucapan) mereka, dan Allah tidak menghendaki selain menyempurnakan cahayanya itu walaupun orang-orang yang kafir itu tidak menyukainya.” (Surah at-Taubah, ayat 32).

ASMA’ BINTI UMAIS MUSLIMAH PILIHAN

Ibn Katsir menulis di dalam kitabnya Bidayah wan Nahiyah beliau ialah Asma binti Umais bin Maadd bin Tamin al Khatsamiyyah adalah isteri Khalifah Abu Bakar ra yang sebelumnya diperisterikan oleh Jafar bin Abi Talib.

Dari perkahwinan dengan Jafar bin Abi Talib beliau melahirkan tiga putra yakni Abdullah, Muhammad dan Aunan.[ kitab Nisaa’ Haular Rasuul, karya Mahmud Mahdi al-Istanbuli dan Musthafa Abu an-Nashr asy-Syalabi]

Perkahwinan dengan Abu Bakar ra beliau melahirkan Muhammad bin Abu Bakar ra. Apabila Asma berkahwin dengan Ali ra, maka Muhammad bin Abu Bakar menjadi anak tiri atau anak angkat kepada Ali ra.

Setelah Abu Bakar ra meninggal dunia beliau berkahwin pula dengan Ali bin Abi Talib , adek suaminya yang pertama.[ Sejarah Hidup Imam Ali bin Abi Thalib r.a.Oleh H.M.H. Al Hamid Al Husaini] Beliau adalah isteri ke enam bagi Ali ra.

Perkhwinan dengan Ali melahirkan Yahya dan Muhammad al Ashgar.Ibn Katsir mengambil riwayat ini dari Ibnul Kalbi. Bagaimanapun Ibn Katsir mengatakan al Waqidi mengatakan “ Beliau memperoleh dua orang putra darinya, Yahya dan Aun, adapun Muhammad al Ashghar berasal dari ummul walad[Ummul walad adalah hamba wanita]. Dalam hal ini kita dapati ada perselisihan pendapat penulis sejarah.

FITNAH PERIHAL RENGGANGNYA KELUARGA ABU BAKAR RA. DENGAN KELUARGA ALI RA.

Suatu yang istimewa dengan Asma binti Umais, beliau adalah sahabat terdekat Sitti Fatimah r.a. Asma inilah yang mendampingi Fatimah r.a. dengan setia dan melayaninya dengan penuh kasih-sayang semasa sakit hingga detik-detik terakhir hayatnya.[ Sejarah Hidup Imam Ali bin Abi Thalib r.a.Oleh H.M.H. Al Hamid Al Husaini]

Kalau demikian rapat hubungan Asma ra dengan Fatimah ra bermakna rapat jugalah hubungan dengan Abu Bakar ra , kerana masa itu Asma adalah isteri Khalifah Abu Bakar. Perlu diingat Fatimah ra meninggal dunia enam bulan selepas Rasullah saw meninggal dunia. Jadi bagaimana boleh timbul fitnah kerengangan hubungan Fatimah ra dan Ali ra dengan Abu Bakar ra.? Dikatakan berita kewafatan Fatimah ra. telah dirahsiakan dari pengetahuan Abu Bakar ra.

Rumah Fatimah r.a @ Ali r.a hanya ditepi masjid Nabawi, dan ABu Bakar adalh Imamnya – mungkinkah kematian Fatimah r.a menjadi rahsia? Asma bt Umais r.a yang menguruskan jenazah Fatimah r.a adalah sahabat baik Fatimah r.a adalah isteri Abu Bakar r.a!

HIJRAH ASMA’ KE MADINAH

PERJALANAN dari Habsyah ke Madinah terasa begitu lama. Rindu pada insan mulia, anak saudara suaminya sendiri, membuak-buak di hatinya. Meskipun hidup di Habsyah aman dan tenang di bawah pemerintahan Najasyi yang adil serta terhindar daripada gangguan kafir Quraisy, hatinya tetap rindu bagi bersama insan mulia dalam menegakkan agama Islam.

"Jauh lagikah? Saya tidak sabar tiba di Madinah. Inilah yang saya harapkan sekian lama;' kata Asma' binti Umais pada suaminya, Jaafar bin Abi Talib yang mengetuai penghijrahan kaum Muslimin ke Habsyah.

"Insya-Allah tidak lama lagi;' jawab J aafar lirih.

Jaafar memandang ketiga-tiga anaknya yang dilahirkan di Habsyah iaitu Muhammad, Abdullah dan Aun. Mereka masih kecil dan belum mengerti apakah yang sedang bergolak di hati ibu dan ayah mereka. Mereka belum tahu erti perjuangan menegakkan agama Islam.

Namun, di bawah didikan Rasulullah nanti, Jaafar mahu melihat mereka membesar menjadi pejuang-pejuang agama yang memiliki iman yang kental.

Jaafar kemudian menoleh pada isterinya. "Tidak sedihkah meninggalkan anak susuanmu Abdullah?" Jaafar cuba menduga hati Asma'.

Asma' termenung mendengar pertanyaan suaminya itu. Tujuh tahun lamanya dia tinggal di Habsyah sesudah berhijrah ke sana bersama segelintir kaum Muslimin yang lain demi menyelamatkan diri daripada gangguan kafir Quraisy.

Selama tujuh tahun, mereka begitu akrab dengan Najasyi yang begitu baik kepada mereka. Selepas Najasyi masuk Islam di tangan Jaafar, Asma' mendapat tempat yang istimewa dalaM keluarga raja itu.

Ini terbukti apabila Najasyi menamakan puteranya nama yang serupa dengan anaknya, Najasyi meminta Asma' menyusukan puteranya bersama-sama anaknya.

"Abdullah anak susuan saya dan bumi Habsyah tetap saya ingati. Namun, rindu saya pada Rasulullah dan negara Islam Madinah, tidak ada tolak bandingnya;' jawab Asma'.

Jaafar terangguk-angguk mendengar kata-kata isterinya. "Saya mendapat khabar Rasulullah sedang menunggu kepulangan kita. Beliau juga begitu merindui kita semua kata Jaafar.

Selepas menempuh perjalanan yang lama, akhimya rombongan mereka tiba di Madinah. Ketika itu, kaum Muslimin sedang meraikan kemenangan mereka mengalahkan kafir Quraisy dalam perang Khaibar.

"Allahu akbar! Allahu akbar! Allahu akbar!" Rasulullah dan kaum Muslimin bertakbir memuji kebesaran Allah atas kemenangan mereka itu.

Muslimah Pilihan

Ketika itulah Jaafar dan rombongannya tiba di hadapan Rasulullah.

Sebaik sahaja beliau melihat Jaafar, beliau begitu gembira. Beliau segera memeluk Jaafar dan mencium dahinya.

"Demi Allah, aku tidak tahu mana yang lebih menggembirakan diriku, kedatangan Jaafar atau kemenangan Khaibar kata Rasulullah kepada seluruh hadirin.

Asma' dan Jaafar tinggal di Madinah dengan penuh bahagia di samping menimba ilmu yang berharga daripada Rasulullah.

"Isteriku, saya telah mendapat perintah daripada Rasulullah supaya berangkat ke Syam memerangi tentera Byzantine;' ujar Jaafar kepada Asma' pada suatu hari.

"Siapakah yang memimpin tentera Muslimin?" soal Asma'.

"Zaid bin Harisah. Akan tetapi, sekiranya dia syahid, sayalah yang menggantikan tempatnya jawab Jaafar, "Pergilah suamiku. Semoga Allah memberi kemenangan ke atas kaum Muslimin” kata Asma' kepada suaminya.

Seluruh umat Islam temanti-nanti kepulangan kaum Muslimin. Belum ada khabar berita sama ada kaum Muslim memperoleh kemenangan atau sebaliknya.

Hati Asma' bergetar apabila Rasulullah datang ke rumahnya. Rasulullah mendekati ketiga-tiga anak Asma', lalu mencium mereka dengan , mata berlinangan.

"Wahai Rasulullah, apakah yang membuatkan anda menangis? Adakah anda telah mendapat khabar tentang Jaafar dan sahabat-sahabatnya?" soal Asma'.

"Benar, dia telah gugur syahid hari ini” jawab Rasulullah ringkas.

Mendengar jawapan Rasulullah itu, Asma' tidak dapat menahan rasa sedihnya. Dia menangis teresak-esak di samping anak-anaknya. Namun, dia tetap sabar demi mengharapkan reda Allah .

ASMA’ MENJADI ISTERI ABU BAKAR AS-SIDDIQ

Tidak lama sesudah itu, Asma' berkahwin dengan Abu Bakar as-Siddiq selepas isteri beliau, Ummu Rumaan meninggaI. Asma' terus setia di samping Abu Bakar, sehingga beliau dilantik menjadi khalifah selepas Rasulullah wafat. Asma' juga bersabar ketika menghadapi saat-saat Abu Bakar sakit kuat.

"Asma', apabila aku meninggal dunia, mandikanlah jasadku. Dan bukalah puasamu agar dirimu lebih kuat:” pesan Abu Bakar apabila dia merasakan maut semakin menghampirinya.

"Baiklah:” jawab Asma' sambil matanya tidak lepas memandang suaminya yang berada di ambang sakaratul maut.

Tidak lama kemudian, lnnalillahi wainna ilaihirojiun.

Asma' berasa sedih dengan kematian Abu Bakar. Namun begitu, dia segera menunaikan wasiat Abu Bakar agar memandikan jenazahnya.

Asma' kembali bersendirian membesarkan anak-anaknya. Dia mendidik mereka dengan memohon kepada Allah agar memperbaiki anak-anaknya sehingga mereka akhirnya menjadi imam bagi orang-orang bertakwa.

ASMA’ MENJADI ISTERI ALI BIN ABI TALIB

Sedih yang dialami oleh Asma' segera diubati oleh Ali bin Abi Talib. Beliau datang meminang Asma' selepas Fatimah az-Zahra meninggal.

Ketika Ali bin Abi Talib dilantik sebagai khalifah yang keempat, Asma' turut memikul tanggungjawab sebagai isteri khalifah bagi kaum muslimin dalam menghadapi peristiwa-peristiwa besar.

Demikianlah Asma' binti Umais, wanita yang menjadi pendamping kepada tiga pemimpin besar kaum Muslimin iaitu Jaafar bin Abi Talib, Abu Bakar bin Siddiq dan Ali bin Abi Talib. Semoga Allah merahmatinya.

Asma' amat mencintai ketiga-tiga suaminya. Katanya, "Aku tidak melihat seorang pemuda daripada bangsa Arab yang lebih baik daripada Jaafar, dan aku tidak melihat seorang setengah baya yang lebih baik daripada Abu Bakar, dan Ali tidak kurang kebaikannya dibandingkan kedua-duanya".

Isnin, Mac 12, 2012

Permohonan Maaf Perdana Menteri – Nilailah Keikhlasannya.

Meminta maaf adalah tanda sifat mahmudah, samada terhadap manusia apatah lagi dengan Allah. Sikap suka memohon maaf dan kesungguhan memohon maaf lumrahnya lahir dari rasa bersalah.

Lagi banyak rasa bersalah seseorang itu, maka lagi keraplah seseorang itu akan memohon maaf. Memohon maaf dengan manusia atau rakyat teramai jarang dilakukan oleh mana-mana kerajaan atau pimpinan kerajaan. Kerana itu, apabila ada yang lakukan tentulah ianya menjadi bahan perbincangan awam.

Memohon maaf tanpa sebarang niat dan tindakan untuk memperbetulkan kesilapan-kesilapan di atas membuka ruang kepada rakyat untuk menilai tahap keikhlasan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam permohonan maafnya kepada rakyat baru-baru ini.

Memohon maaf kepada rakyat bermakna bersalah dengan rakyat. Apakah kesalahannya mungkin besar kerana ia melibatkan rakyat teramai. Lantaran itu soal rakyat ingin memaafkannya atau tidak terpulang kepada rakyat, cuma Islam mengajar kita agar memaafkan kesalahan orang lain, agar Allah memaafkan kita.

Meminta maaf dan memaafkan suatu kesalahan adalah sifat terpuji, tetapi bukan bermakna kerajaan harus diberi terus mandat untuk melakukan semula kesalahan, penyelewengan, rasuah dan salahguna kuasa.

PAS yakin persoalan-persoalan mengenai penyelewengan dana negara, ketirisan sehingga berbillion ringgit serta kegagalan kerajaan membina sebuah negara yang berdaya saing, samada dalam pendidikan, ekonomi, sukan, keselamatan sosial dan pelbagai isu lain tetap akan kekal di minda rakyat Malaysia.

Ini kerana mereka sedar bahawa Perdana Menteri (PM) mereka hanya memohon maaf tatkala kerana pilihanraya umum ke 13 bakal menjelang tiba demi memohon rakyat terus memberi mandat kepada BN.

Ustaz Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man

Ketua Penerangan PAS Pusat


Rabu, Mac 07, 2012

Tahniah PAS Kedah, JK Khas dan khususnya Salahuddin Ayub.

Saya merakamkan rasa tahniah kepada seluruh ahli PAS yang menerima berita gembira penyelesaian kepada ribut kecil di PAS Kedah. Tindakan kedua-dua exco Timbalan Pesuruhajaya PAS Kedah, Ir Phahrolrazi Zawawi dan Dr Ismail Salleh dan Menteri Besar Datuk Seri Ustaz Azizan Abdul Razak mencerminkan satu akhlak jamaah yang tinggi, bilamana akur dengan pandangan parti.

Tahniah diucapkan kepada Jawatan Khas yang terdiri daripada Timbalan Presiden PAS Tuan Hj Mohamad Sabu dan dua Naib Presiden PAS YB Salahuddin Ayub dan YB Dato' Mahfuz Omar yang bertungkus lumus menjadi orang tengah menyelesaikan kemelut ini. Khususnya bagi YB Salahuddin, sememangnya anda dilayak digelar Kofi Anan dalam PAS.

Ahli dan para pemimpin juga sangat gembira dan terharu dengan kepenatan YB Dato' Seri Presiden PAS yang bergegas balik dari Bosnia transit di Austria, Qaherah, Bangkok dan sesampai KL bergegas ke Kedah tak sempat menjamah makanan, terus menghadiri mesyuarat dalam keadaan demam hingga jam 3 pagi.

Kegembiraan kerana seluruh ahli parti ingin melihat Kedah terus mantap, dan menjadi pangkalan kedua terkuat pemerintahan PAS selepas Kelantan. InsyaAllah apa yang dibincang dan dirumus akan dapat dilaksanakan, demi kebaikan dan masa depan PAS Kedah khususnya dan negara amnya.

PAS Pusat mengharapkan satu majlis munajat perdana dapat diadakan dalam masa terdekat. Mari kita himpunkan ribuan rakyat Kedah di Stadium untuk kita bemunajat, dekatkan diri dengan Allah, meluahkan kasih sayang dan mahabbah antara kita. Semoga Allah memperteguhkan jamaah ini. Allahu Akbar.


Ustaz Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man

Ketua Penerangan PAS Pusat

PAS Dan Masyarakat Majmuk

Masih ramai dikalangan anggota masyarakat yang terbelenggu dengan kongkongan kejahilan terhadap Islam khususnya Fiqh Siyasah, apabila mereka merasa pelik melihat PAS boleh mengadakan persefahaman kerjasama politik bersama parti bukan Islam seperti DAP, yang dituduh setengah pihak sebagai fanatik atau chauvinis. Seterusnya mereka ini bertanya : Mengapa PAS tidak boleh mengadakan persefahaman dengan UMNO yang sebangsa dengan PAS ? . Tidakkah pendekatan mengadakan persefahaman dengan UMNO akan menjadi lebih mudah berbanding DAP atau PKR ?. Lalu penentang PAS yang tidak faham ini menyimpulkan bahawa PAS telah menggadaikan prinsip perjuangannya sebaik sahaja mengamalkan pendekatan Tahaluf Siyasi bersama rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat !.

Persoalan di atas boleh difahami jawapannya dengan mempunyai fikiran yang tenang dan terbuka dalam menekuni tulisan ringkas ini.

Syarat pertamanya ialah kita mestilah memahami kaedah ajaran Islam dalam menangani masyarakat majmuk bersama pendekatannya. Perlu difahami juga bahawa Islam pula bukannya agama yang terikat dan terbelenggu dengan semangat kebangsaan, walau pun peranan bangsa tidak boleh dinafikan wujudnya. Dalam amalan politik Islam pula terdapat ajaran dan hukum yang berkait dengan pendekatan yang adil terhadap masyarakat majmuk termasuklah layanan Islam dalam aspek kepelbagaian agama. Risalah atau mesej Islam adalah bersifat sejagat, kerana kedatangan Nabi Muhammad SAW membawa rahmat kepada seluruh alam, manusia dan makhluk yang lain. Kerasulannya adalah kepada seluruh rumpun manusia, tidak terikat dengan bangsanya sendiri, tanahair dan zaman. Maka yang dikira termasuk dalam kerasulannya juga adalah dalam aspek politik menegakkan dan mentadbir sesebuah negara.

Islam tetap didahulukan, manakala fahaman kebangsaan pula hanyalah satu perasaan yang tidak boleh menjadi akidah. Peranan kebangsaan menjadi baik apabila Islam menjadi akidah dan petunjuknya. Hanya Islam menjadi petunjuk kepada bangsa, hanya bangsa yang berpegang dengan Islam sahaja boleh menunaikan amanahnya.

Adalah menjadi hikmah terbesar, bahawa musuh pertama Islam di kalangan Nabi Muhammad SAW di Semananjung Tanah Arab ialah dari kalangan bangsa Arab Makkah dan yang awal menerima Islam dan memperjuangkannya pula adalah mereka juga. Rasulullah SAW memulakan kemerdekaan bangsanya dengan menentang kongkongan jahiliyah daripada bangsanya sendiri, walaupun di masa itu ramai kabilah Arab dan wilayahnya dijajah oleh kuasa besar Rom dan Parsi.

Walaupun mesej Islam itu kepada seluruh manusia, tetapi konsep berdakwah menekankan bahawa kita sekali-kali tidak boleh memaksa pihak lain supaya menganut Islam. Dalam masa yang sama Islam menerima konsep masyarakat majmuk yang menjadi naluri manusia yang menjadikan mereka wajib bermasyarakat madani, walau pun berbeza bangsa dan agama. Di sinilah betapa hebatnya firman Allah SWT :

Maksudnya :

Wahai manusia, Sesungguhnya kami telah menciptakan kamu daripada seorang lelaki (Adam) dan seorang perempuan (hawwaa) dan menjadikan kamu berbangsa - bangsa dan bersuku-kaum, supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu disisi Allah ialah orang yang paling taqwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha mengetahui lagi Maha Meliputi Ilmunya.



Manusia itu wajib bermasyarakat di peringkat setempat dan antara bangsa, kerana mereka tidak mampu menghasilkan keperluan hidupnya secara bersendirian atau individu, satu keluarga dan satu bangsa sahaja tanpa berhubung di antara satu sama lain. Sehelai kain untuk pakaian memerlukan penanam kapas, pelombong besi dan tukang besi untuk alat tanaman, penenun kain dan seterusnya. Begitulah juga keperluan makanan, tempat tinggal dan sebagainya.

Ibnu Khaldun (1332M – 1406M) menyebut manusia itu bersifat dengan sifat Madani, iaitu kemestian untuk berkumpul dan berhubung secara berpusat dengan adanya penempatan yang memerlukan pertukaran kemahiran dan hasil kerja yang berbeza. Tempat berhimpun itu dinamakan Bandar (Madinah) dan pekerjaan mereka mestilah dimajukan secara ilmu, menerusi kajian dan pengalaman dengan menggunakan akal yang berkembang sehingga berlakunya kemajuan dan pencapaian yang dinamakan sebagai “Tamaddun”. Walau pun mereka berbeza agama dan bangsa, namun keperluan berhubung tetap wujud secara fitrah. Dalam masyarakat yang bersifat madani mereka perlu kepada cara hidup berkonsepkan politik dan berekonomi disemua peringkat, negeri dan antarabangsa.

Kedua, bagi merealisasikan aspek ini maka Rasulullah SAW melaksanakan konsep madani dengan mengadakan “tahaluf” atau kerjasama di kalangan yang boleh bekerjasama dari aspek kemanusiaan dengan kalangan manusia yang menyedari hakikat ini, dan negara pertama itu dinamakan Madinah. Rasulullah SAW melaksanakan tugas serampang dua mata yang ditunjuk oleh Allah menjadi tujuan kerasulannya untuk seluruh manusia dengan menyatukan umat manusia yang dibahagikan kepada dua kumpulan. Pertama - dinamakan ‘umat Ijabah’, mereka ialah penganut Islam yang menyahut seruan menganut agama. Kedua - umat dakwah, mereka termasuk kalangan bukan Islam berbagai bangsa dan agama, namun diajak bersama melihat sifat kemanusiaan sejagat yang ada dalam Islam secara amali (praktikal) bagi menghasilkan keperluan hidup secara nalurinya.

Pelaksanaan secara amali terhadap manusia majmuk itu ditemukan dengan menegakkan keadilan mutlak yang diwajibkan oleh Allah mengikut firman Allah SWT :

Maksudnya :

Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanat kepada yang berhak menerimanya, dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan hukum di antara manusia supaya kamu melaksana dan mentadbir dengan adil. Sesungguhnya Allah memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu. Sesungguhnya Allah adalah Maha mendengar lagi Maha Melihat.



Diriwayatkan dalam Hadith Qudsi bahawa Allah SWT berfirman :

يا عبادي إني حرمت الظلم على نفسي وجعلته بينكم محرماً فلا تظالموا

(رواية مسلم ).

Maksudnya : (Wahai hamba-hamba ku , sesungguhnya aku telah mengharamkan zalim itu berlaku ke atasku dan aku jadikan ia diharamkan di kalangan kamu, maka jangan sekali-kali kamu berlaku zalim).



Dalam pendekatan yang kedua Rasulullah SAW berhubung dengan kalangan bukan Islam yang ada sifat kemanusiaan, dalam keadaan orang Islam pula kosisten dan iltizam berpegang kepada prinsip dan konsep Islam. Pelaksanaanya dilakukan ketika tanpa negara dan bernegara. Ketika di Makkah, Rasulullah SAW menerima perlindungan bapa saudaranya Abu Tholib yang tidak menganut Islam, dengan konsep yang dinamakan “Himayah” (perlindungan ). Ianya juga dilakukan dengan Mut’im bin Adi iaitu seorang bukan Islam, ketika Rasulullah SAW masuk ke Makkah daripada Thaif. Ciri persamaan adalah kebencian terhadap kezaliman. Rasulullah SAW juga menggunakan khidmat Abdullah bin Uraiqit, juga seorang bukan Islam bagi memandu unta ketika berhijrah dengan penuh kerahsiaan dan memerintah menantunya Saidina Ali KWJH supaya memulangkan simpanan amanah kalangan penduduk Makkah daripada kalangan bukan Islam yang mempercayainya.

Ketika di Madinah pula Rasulullah SAW mengadakan Tahaluf (persefahaman politik) dengan pihak kalangan bukan Islam dan melakukan muamalah berhutang dan bergadai dengan mereka, seterusnya menerima beberapa kabilah musyrikin bernaung di bawahnya dalam perjanjian Hudaibiyyah. Dalam kedua-kedua keadaan tersebut Rasulullah SAW teguh dengan dasar dan menunjukkan akhlak mulia Islam terhadap bukan Islam yang ada persamaan dari segi kemanusiaan. Dasar dan konsep ini dilaksanakan oleh sepanjang generasi di zaman keemasan dan kejayaan, ditinggalkan di zaman kelemahan dan kejatuhan sehinggalah Negara umat Islam dijajah.

Pendekatan PAS yang berdasarkan Islam, dalam hubungan dengan bukan Islam sangat berbeza dengan UMNO yang berfahaman kebangsaan mengatasi Islam secara sekularisme. Di bawah pemerintahan BN, Islam tidak berkuasa mentadbir tetapi berada di bawah tadbir, dalam keadaan menerima hakikat yang sama wujudnya masyarakat majmuk di Malaysia yang tidak ditangani secara Islam yang sebenarnya.

Lihat sahajalah contoh kejadian terkini yang berlaku terhadap Encik Frusis Lebi, seorang OKU yang juga merupakan seorang pekebun dan petani dari Kampung Entulang Entawa dari Bahagian Sri Aman yang dinafikan bantuan Kerajaan di atas alasan menyokong pembangkang di Sarawak (rujuk Surat Menteri Muda Pertanian Sarawak, KPP/MM/31 bertarikh 8 Disember 2011 yang disiarkan melalui portal berita Malaysiakini). Inilah antara siri ketidakadilan layanan kerajaan yang diamanahkan oleh rakyat, sedangkan mereka juga adalah rakyat yang turut sama menyumbang kepada pendapatan Negara. Inikah rupa bentuk kerajaan bertanggungjawab yang mahu ditegakkan ?

PAS berpegang dengan konsep yang ditunjuk oleh al Quran, bahawa bumi adalah kepunyaan Allah, bukan kepunyaan mana-mana bangsa. Seluruh manusia adalah pemegang amanah di mana bumi mereka berpijak, adalah wajib melaksanakan keadilan Ilahi tanpa mengira bangsa. Apatah lagi, bagi umat Islam tuntukan melaksanakan keadilan adalah tersangat penting untuk dilaksankan kepada semua.

Maka PAS berbeza pendekatan dengan UMNO bagi mengolah politik masyarakat majmuk yang diwujudkan oleh penjajah. Kita mestilah memahami bahawa penjajah telah melonggokkan berbagai kaum untuk diperhamba bagi kepentingan mereka dan di adu domba untuk menjadi lemah supaya terus bernaung di bawah mereka selama-lamanya.

Pendekatan PAS ialah pemimpin Islam teguh berpegang dengan prinsip dan akhlak contoh dan menegakkan keadilan untuk semua tanpa memaksa dalam perkara yang berbeza, serta memanfaatkan kebolehan berbagai kaum secara bersama dan saksama bagi membina negara. Bangsa Melayu ada keistimewaannya dari segi kebolehan, begitu juga bangsa Cina, India dan lain-lain. Kalau diselaras secara saksama nescaya dapat dimanafaatkan untuk membina negara dengan baik.

PAS tidak berganjak dalam perkara halal dan haram, serta perkara wajib, dalam semua urusan peribadi dan cara hidup tanpa memaksa penganut agama lain. PAS mewajibkan sifat Islam itu bermula dengan peribadi pemimpin. Dalam hal ini sesiapa sahaja ahli PAS yang mengerjakan perkara haram dipecat daripada parti. PAS pernah memecat ahli Parlimen yang menari dan sebagainya. Ada pun pihak lain terpulang kepada anutan yang tidak boleh diganggu gugat dengan kawalan yang tidak merosakkan hubungan masyarakat majmuk . Apabila memerintah kerajaan negeri dan PAS memimpinnya, maka pendekatan Islam mengikut bidang kuasa negeri dilaksanakan dengan batas hukum Syarak. Penganut agama lain wajib diberi hak yang adil tanpa fanatik perkauman.

UMNO pula tidak konsisten dan iltizam apabila menunjukkan Islam secara terpilih dan tidak ada peraturan boleh memecat ahli UMNO yang mengerjakan maksiat, kerana sifat kebangsaannya sahaja mengatasi sifat Islamnya. Pelaksanaan Islamnya juga tidak istiqamah, contohnya dalam kawalan terhadap arak dan judi pula secara berlesen yang tidak ada sempadan kukuh bagi penganut Islam, bukannya kawalan secara hukum Islam yang sebenar sehingga penganut Islam dalam UMNO tidak mampu menjadi model Islam dan UMNO gagal mendidik melayu Islam menjadi contoh yang baik. PAS pernah bersama kerajaan campuran dengan UMNO diawal tahun tujuh puluhan dan bersama menubuh BN dipertenghannya, dengan syarat PAS tetap dengan dasarnya, kemudiannya berlaku pertembungan kefahaman.

Presiden MCA secara terbuka dalam debatnya menyatakan kejayaannya menundukkan UMNO dalam isu pelaksanaan hukum hudud, sebaliknya Sdr. Lim Guan Eng menegaskan itu adalah hak PAS yang berbeza dengan DAP.

UMNO tidak konsisten dalam mempertahankan kawasan melayu dan Islam apabila sanggup menyerahkan kawasan majoriti melayu Islam kepada MCA, Gerakan dan MIC bagi menyelamatkan rakannya yang kalah di kawasan majoriti bukan Islam.

PAS telah berjaya mengubah sentimen perkauman apabila berjaya memenangi hati penganut bukan Islam ketika menentang calon bukan Islam daripada BN. Contohnya YB Dr Mariah Mahmud mengalahkan calon MIC dengan mendapat sokongan dan kegembiraan kaum India bukan Islam dan kesedihan penyokong UMNO melayu yang dikatakan kuat semangat kebangsaannya tetapi bermatian mempertahankan MIC. Begitulah juga juga kemenangan Datuk Kamarul Bahrain di Teluk Kemang. DAP pula tetap bertahan di kawasan majoriti kaum bukan Islam tanpa berpindah.

PAS juga berjaya menunjukkan kerajaan bersih secara bersendirian dan bersama Pakatan Rakyat walau pun berdepan dengan layanan tidak menghormati sistem federalisme dan akhlak amalan Demokrasi.

Dua pendekatan yang berbeza cara dalam menangani masyarakat majmuk telah diberi selama lebih 50 tahun kepada UMNO memimpin negara dengan gagasan Barisan Nasional yang banyak kelemahan dan penyelewengan, serta mencetuskan masalah rakyat berbagai kaum yang masih belum selesai dalam tempoh yang bagitu panjang, dan penganut Islam menjadi larut pegangan agamanya.

Sudah tiba masanya khususnya melayu Islam memberi kepercayaan kepada PAS menggantikan UMNO dengan konsep Islam menyelesaikan masalah masyarakat majmuk, menerusi gagasan Pakatan Rakyat.


Hj Abdul Hadi Awang
Presiden PAS

Jumaat, Mac 02, 2012

Teater 'Menunggu Kata Dari Tuhan' part 5

Teater 'Menunggu Kata Dari Tuhan' part 4

Teater 'Menunggu Kata Dari Tuhan' part 3

Teater 'Menunggu Kata Dari Tuhan' part 2

Teater 'Menunggu Kata Dari Tuhan' part 1

Karnival Sukan PASTI dan Hevox Beb.

Gambar sekitar program tersebut yang diadakan di padang awam Felda Taib Andak pada 26 Feb 2012.

Booth urusetia diserbu orang ramai untuk mendaftar diri sebagai pemenang hadiah bertuah.
Hadiah-hadiah yang disediakan oleh pihak panganjur.
Acara dimulakan dengan senamrobik dan ucapan Pengerusi PASTI Kaw. Kulai.
Perbarisan para pelajar PASTI.
Gerai-gerai jualan dan pamiran.
Acara sukan PASTI.
Acara di atas pentas : Pertandingan Puzzle dan Mewarna.
Kehadiran Bob Lokman dan Sham Kamikaze telah memeriahkan lagi karnival ini.
Kehadiran pengunjung ke tapak karnival.
Pertandingan gubahan yang melibatkan peserta tempatan.
Khidmat masyarakat yang disediakan pada kadar diskaun.
Acara kemuncak ialah pertandingan tarik tali.