Seluruh jentera Pakatan Rakyat diharap tidak terpengaruh dengan isu yang sengaja diwujudkan bagi mengalih perhatian kepada isu sebenar yang sedang dihadapi rakyat.
Ustaz Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man
Ketua Penerangan PAS Pusat
Kenyataan Mohamad Sabu mengenai status Mat Indera bukannya cakap kosong sebab ia dapat disahihkan ada kebenarannya oleh beberapa sumber rujukan – sebuah buku berjudul ‘Pengukir Nama Johor’, kajian tesis pelajar Universiti Malaya, Ayub @ Uiop Kassim di tahun 1973, ada juga pengakuan kawan dan ahli keluarga Mat Indera.
Jikalau itu pun salah, maka kesalahan harus dikembalikan kepada segala sumber rujukan beliau - sebagaimana semua rakyat Malaysia yang beranggapan bahawa ‘negara pernah dijajah British’.
Ini kerana mereka ini sudah tersalah memahami sejarah negara kerana mempercayai kesilapan buku sejarah keluaran Kementerian Pelajaran, sekiranya apa yang secara dinyatakan secara teknikalnya oleh Professor Zainal Kling dan Dr Mahathir adalah betul.
Takkan pula waris-waris kepada mereka yang pernah bekerja di bawah kerajaan sebelum 31 Ogos 1957 dan kerajaan hendak membuat laporan polis dan mendakwa semua pelajar yang menyatakan negara ini pernah dijajah oleh British?
Kalau dikira, isu yang dibangkitkan oleh Mohamad Sabu hanya berkaitan satu peristiwa iaitu peristiwa Bukit Kepong berbanding perisytiharan yang dilakukan oleh MPN, tentulah perisytiharan MPN itu mempunyai kesan lebih besar kepada rakyat dan negara.
Akan tetapi yang didakwa ialah Mohamad Sabu. Sekiranya Mohamad Sabu perlu didakwa, bagaimana pula Majlis Professor Negara (MPN) dan Zainal Kling?
Secara mudahnya ini yang berlaku - “Mohamad Sabu menyatakan Mat Indera sebagai hero pejuang kemerdekaan, tapi Umno dan medianya memutar-belit kenyataan beliau kepada ‘Mohamad Sabu menyokong komunis’ dan menyebarkannya ke merata tempat.”
Apakah Mohamad Sabu boleh dianggap mengancam keselamatan negara dengan hanya satu ucapan begitu?
Mohamad Sabu didakwa atas ucapan beliau yang diputar-belitkan oleh media pro Umno, yang kemudiannya dengan sengaja mewujudkan suasana kelam-kabut bagi menghalalkan tindakan bagi mendakwa beliau.
Jadi, apakah motif dakwaan ke atas Mohamad Sabu kalau bukan kerana politik? Pendakwaan ke atas beliau sekali lagi menunjukkan Umno hilang arah dalam putar belit ciptaan mereka sendiri dan terus melondehkan hipokrisi mereka untuk ditatap rakyat jelata.
Antara janji PM Datuk Seri Najib Razak sewaktu mengumumkan semakan dan penghapusan Akta ISA baru-baru ini ialah tiada tangkapan kerana politik akan dilakukan.
Belumpun kering air liur, pendakwaan politik sudahpun berlaku dalam kes Mohamad Sabu.
Kini, rakyat boleh menilai sejauhmana janji-janji PM yang dilaungkan sempena sembutan Hari Malaysia boleh dipercayai bilamana Nazri Aziz menyatakan kerajaan akan mengekalkan tahanan tanpa bicara yang menjadi intipati bantahan rakyat terhadap ISA.
Apabila berdepan, Umno BN menyatakan bahawa mereka bersetuju dengan Najib untuk memansuhkan ISA, tapi di belah belakang, mereka pula hendakkan dua akta baru yang menggantikan ISA mesti mempunyai roh ISA.
Dari sudut politik, flip-flop Umno dan percanggahan kenyataan antara menteri-menteri Umno telah memperlihatkan kepada rakyat sebenarnya Umno BN tidak serius dan ikhlas dalam melakukan pembaharuan demi rakyat.
Mengharap pembaharuan daripada Umno-BN adalah seperti mempercayai kata-kata Najib bahawa “kerajaan BN tidak pandai menipu rakyat.”
Ustaz Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man
Ketua Penerangan PAS Pusat
PAS menentang akta ini sejak hari pertama ia dibentangkan dalam parlimen kerana ia memberi kesan besar kepada mangsa yang dituduh.
Ratusan orang yang tidak bersalah dihumban ke Kamunting dan mereka tidak diberi peluang untuk membela diri. Sekiranya benar pentadbiran Datuk Seri Najib Razak akan memansuhkan akta ISA bagi mendapat lonjakan politik, PAS mengalu-alukannya dan percaya rakyat yang kini semakin matang boleh menilai segala tindakan beliau.
Di satu tangan, Buku Jingga dikutuk sebegitu rupa mereka bakal menjahanamkan dan bankrapkan negara negara, satu tangan pula mereka meniru satu persatu.
Ini sekali lagi akan melondehkan hipokrisi Umno BN dan membuka mata rakyat bahawa lemahnya kerajaan yang ada kini, sehingga tidak mampu lagi berfikir kerana perut terlalu kenyang dan minda terlalu sibuk untuk menutup segala rasuah, penyelewengan, salahguna kuasa dan kesombongan.
Diharap rakyat dapat bangkit dengan azam untuk menukarkan kerajaan yang lemah ini dengan sebuah kerajaan baru yang memberi harapan baru lebih adil dan amanah - sebuah negara berkebajikan yang akan betul-betul menjaga nasib mereka.
Bukanlah nak kata Pakatan Rakyat ini sempurna dan baik sepenuhnya, tapi belum cuba belum tahu. Sudah cuba, anda pasti berkata, ‘Kalau tahu begitu nikmatnya bawah Pakatan Rakyat, dah lama kita buang Umno yang lemas ini.’ InsyaAllah.
Ustaz Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man
Ketua Penerangan PAS Pusat
Seandainya orang yang anda temui itu berbicara banyak mengenai perkara-perkara yang lepas dan menceritakan tentang pengalaman hidupnya yang lalu, itu adalah satu tanda orang yang anda sedang bicara itu sudah tua.
Akan tetapi kalau perbicaraannya menceritakan apa yang sedang berlaku atau apa yang akan dilakukan, maka ianya tanda orang yang sedang anda bicara itu muda.
Ini antara petanda usia seseorang.
Memang realiti orang yang lama akan seronok berbicara apa yang telah mereka lalui, memberi gambaran suka dan duka. Seperti kisah-kisah kehidupannya di zaman Jepun, susahnya kehidupan dahulu, dan seronoknya zaman remaja dia, nostalgia harga barang murah, kenakalan zaman remajanya dulu yang tidak seperti kenakalan remaja sekarang dan sebagainya.
Masa mendengar cerita sembang, ingatlah juga dalam hati waktu dia kuat dan muda dulu, dia tidak menjenguk pun anda. Hanya kini setelah dia rasa kesunyian dan sendirian, maka dia akan datang berbual, ajak makan-makan, sembang cerita lama dan secara halus-halus ingin mengingatkan anda tentang jasanya tapi menutup segala kemungkarannya.
Kalau anda berbual dengan pimpinan Umno sebegini, layanlah dia dengan baik, kerana mungkin ajalnya sudah tidak lama. Kalau anda membantahnya, dia akan kecil hati dan tuduh anda tidak menghormati orang tua.
Kini Umno menghimpunkan generasi lama, barangkali kerana mereka mengganggap jurang mereka dengan generasi muda semakin besar dan generasi muda berinternet tidak mudah menerima ‘cerita reka’ mereka.
Generasi tua ini pula dianggap mereka baik, yang tak berinternet lagilah bagus, lebih-lebih lagi kerana ia sebaya. Tak apalah anda pun dah faham, dia kan dah tua.
Ustaz Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man
Ketua Penerangan PAS Pusat
Tindakan Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak sanggup berdebat dengan Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu telah mengecewakan banyak pihak kerana sebelum ini, beliaulah yang secara yakin menyuruh Mohamad untuk bertaubat seolah-olah pasti apa yang Utusan Malaysia laporkan terhadap kenyataan Mohamad Sabu adalah benar.
Walaupun demikian, ingin ditegaskan bahawa debat yang dicadangkan PAS berbentuk ilmiah, dan bukannya untuk mencari siapa menang siapa kalah, tetapi untuk rakyat menilai hujah mengenai tafsiran sejarah pra-kemerdekaan masing-masing. Jadi seharusnya, tiada apa yang harus ditakutkan oleh mana-mana pihak sebab debat ilmiah ini bersifat terbuka kepada rakyat.
Meskipun Muhyiddin menolak, namun PAS tidak akan mengeluarkan kata-kata kesat menghina beliau sebagaimana yang dilakukan oleh graduan Oxford Ketua Pemuda Umno kerana PAS yang mengundang beliau, maka kita perlu hormati keputusan beliau samada untuk terima atau tolak.
Orang ramai ingin mendengar hujah dari kepimpinan kedua-dua parti politik terutamanya setelah pemimpin dan media Umno telah begitu hebat menghentam dan mengkritik serta memutar-belitkan kenyataan yang dikeluarkan oleh Mohamad Sabu. Apa tidaknya isu ini dibelitkan sehinggakan ada seorang Menteri Besar terpaksa menidakkan kandungan buku yang beliau buat kata pengantarnya 7 tahun lalu demi menyelamatkan putar-belit yang semakin hilang arah.
Cuma PAS nasihatlah kalau undangan debat ilmiah tidak sanggup diterima, Umno haruslah berhenti londehkan hipokrasi sendiri di depan rakyat lagi dengan hanya berani di belakang; tapi bilamana diajak bersemuka, tak sanggup pula.
Selain itu, PAS juga bersetuju dengan pandangan Datuk Seri Khaled Nordin dan Tun Dr Mahathir bahawa perlunya ada kajian semula terhadap sejarah kemerdekaan negara kerana terdapat fakta yang dihilangkan dalam sejarah.
Perkara ini dilihat semakin perlu hari ke hari, lebih-lebih lagi dalam keadaaan rakyat, terutamanya pelajar yang bakal menghadapi peperiksaan tidak pasti samada perkataan ‘Merdeka’ patut digunakan bersama tarikh 31 Ogos 1957 apabila Majlis Professor Negara (MPN) dan Dr Mahathir telah secara tegas dan yakin menyatakan secara teknikalnya negara kita tidak pernah dijajah.
Ustaz Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man
Ketua Penerangan PAS Pusat