Khamis, Oktober 24, 2013

GST tambah Beban Rakyat.

Ulasan Dr Zulkifli Ahmad, Pengarah Pusat Penyelidikkan PAS Pusat.

Sekarang kerajaan mengenakan ke atas rakyat sejenis cukai yang dipanggil 'Cukai Jualan dan Perkhidmatan' atau 'Sales and Services Tax' atau SST dalam Bahasa Inggeris, maka ia akan digantikan dengan cukai 'GST' atau 'Goods and Services Tax' atau 'Cukai Barangan dan Perkidmatan'.

Nampaknya macam sama tetapi ia mempunyai perbezaan yang besar. Kalau tidak, apa perlu kerajaan BN beriya-iya sangat hendak melaksanakannya.

Perbezaan ketara, SST adalah cukai yang dikenakan keatas 'jualan dan perkhidmatan' tertentu yang telah disenaraikan, dimana cukai jualan adalah pada kadar 5-10% dan cukai perkhidmatan pada kadar 5%, sementara GST adalah cukai yang dikenakan keatas 'semua barangan dan perkhidmatan' kecuali yang telah ditentukan sebagai 'terkecuali cukai' atau 'sifar cukai' (zero-rated) kepada perniagaan pemilik tunggal atau individu dan perkongsian yang jualannya ialah RM500,000.00 setahun atau RM41,600 setahun.

GST adalah cukai berperingkat berbanding dengan Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan yang merupakan cukai seperingkat.

Dengan kata lain, dalam SST cukai diperolehi kerajaan hanya pada peringkat pengilang sebagai  cukai jualan yakni kalau barangan berharga RM100 seperti kopi, maka pada cukai 10% dan kerajaan hanya mendapat RM10.

Tetapi kalau dalam GST, kerajaan memungut 10% pada setiap peringkat pengilang, pemborong, peruncit dan pengguna akan tetapi memulangkan kembali 'rebate' dalam setiap peringkat tambah nilai, maka kerajaan akan memungut RM15.60.

Sebab itu ada sesetengah negara seperti United Kingdom menyebutnya sebagai 'VAT' atau 'Value Added Tax' atau 'Cukai Tambah Nilai' kerana dikenakan cukai pada setiap peringkat tambah nilai daripada pengilang, pemborong dan peruncit.

Jelasnya, perbezaannya ialah harga barang akan naik kerana dalam cukai SST barangan tadi seperti kopi akan dijual dengan harga RM156 kalau pemborong buat 20% untung dan 30% untung oleh peruncit tetapi harga pada cukai GST akan melonjak ke paras RM171.60.

Dari satu segi, kerajaan akan dapat memungut cukai yang lebih lumayan.

Jelas, GST akan membebanan rakyat. Tidak syak lagi. Bandingkan harga cukai SST pada kadar 10% dan harga barangan pada kadar 10%. Tentunya harga akan mengalami inflasi yakni dari RM156 ke paras RM171.60.

Sebab itu kerajaan akan cuba memulakan dengan kadar GST 5% atau 6% untuk memujuk rakyat menerimanya tetapi pengalaman semua negara yang mengenakan GST kadar akan dinaikkan dalam waktu terdekat.

Petikan: Temubual Ahmad Lutfi Othman dengan Dr. Zulkifli Ahmad
Harakah keluaran 16-19 Zulhijah 1434H / 21-24 Okt 2013



 


Rabu, Oktober 23, 2013

Tasaamuh Dalam Iktilaf

Iktilaf atau perbezaan pendapat adalah lumrah bagi manusia. Ia berlaku di kalangan para Anbiya' dan turut berlaku di kalangan para sahabat. Ia juga berlaku di zaman Rasulullah SAW samada semasa baginda masih hidup, apatah lagi setelah baginda wafat.

Iktilaf berlaku dalam pelbagai keadaan samada berpunca daripada penafsiran sesuatu nas dalil yang mempunyai pelbagai makna, lahjah yang berbeza atau sudut pandangan seseorang. Namun ianya tidak pernah dianggap negatif dalam sejarah para ulama' sehingga terkeluar kata-kata masyhur :
"Perbezaan pendapat di kalangan umatku adalah rahmat".

Kata-kata ini ditahkik oleh Dr. Yusuf al-Qardhawi sebagai 'La aslalah' (tidak diketahui punca riwayat sebenar), kerana beliau melihat jika perbezaan pendapat menjadi rahmat, bermakna muafakat adalah bala dan ini tentunya bertentangan dengan sifat Islam sebagai rahmat, serta dalil-dalil yang lain.

Tulisan ini tidak berhasrat membicarakan persoalan tersebut dari sudut tahqiq atau para perawi, tetapi ianya adalah masyhur. Lantaran itu rahmat yang disebut dalam kata-kata itu tentulah lahir daripada pelbagai natijah hasil ikhtilaf tersebut.

Para ulama' telah membuat huraian panjang lebar berhubung dengan persoalan adab dalam ikhtilaf. Namun adab hanya akan diikuti bilamana adanya tasawur yang jelas terhadap apa yang diikhtilafkan. Sebagai sebuah jamaah Islam, ikhtilaf hendaklah berjalan diatas landasan ukhuwah bukan kebencian dan memandang rendah kepada sahabat. Ikhtilaf boleh berlaku dikalangan pimpinan dan pengikut demi memperkukuhkan jamaah. Ia akan lahir setelah adanya sikap hormat kepada perbezaan pandangan kerana kemampuan berfikir manusia tidak sama.

Dari sudut jamaah kita terikat dengan akhlak dan adab jama'ie yang menuntut kita agar berlapang dada dengan perbezaan pendapat dan tidak memaksa pandangan kita keatas jamaah kecuali dalam perkara yang terikat dengan nas yang bersifat qat'ie. Selagi ianya bersifat ijtihadi, maka ia terikat untuk dibahas, dibincang, diterima atau ditolak.

Sikap tasaamuh (berlapang dada) dalam ikhtilaf sangat-sangat dituntut. Terkadang kita memandang baik kepada sesuatu perkara, sedangkan ianya tidak baik bagi kita. bahkan terkadang kita membenci sesuatu, sebaliknya ia baik bagi kita. Itulah yang diingatkan oleh Allah SWT menerusi firman Nya :
"Dan boleh jadi kamu membenci sesuatu, tetapi ianya baik bagi kamu. Dan boleh jadi kamu mengasihi sesuatu, tetapi ia tidak baik bagi kamu. Allah mengetahui sedangkan kamu sebenarnya tidak mengetahui".

Oleh kerana perkara masa depan adalah dalam ilmu Allah, maka setiap perbezaan pandangan hendaklah mengharapkan kebaikkan dari Allah. Berlapang dadalah dengan perbezaan ini. Apatah lagi kalau kedua-duanya untuk kebaikkan jamaah. Kita mempunyai saluran dalam melahirkan perbezaan pandangan. Maka gunakan saluran parti bagi menyatakan perbezaan pandangan agar ia tidak merosakkan ukhuwah dalam jamaah. Kita mempunyai pengikut yang mempunyai kecenderungan tersendiri, samada untuk mengikuti pandangan seseorang atau membencinya. Kebencian ini akan memberi ruang kepada musuh untuk memasukkan jarum fitnah yang boleh menjurus kepada hilangnya wala' keatas pimpinan. Sedangkan wala' adalah rukun dalam jamaah.

Sebagai pemimpin kita tidak seharusnya meletakkan ahli dan pengikut dalam situasi serba salah, antara bersetuju dengan sesuatu pendapat dan pandangan, atau sebaliknya. Kerana rasa bersalah yang wujud dalam diri ahli untuk menerima atau menolak sesuatu pandangan pimpinan mendorong kepada dua situasi :
  1. Apa orang lain akan kata kepadanya, dan sekiranya ia berlaku akan mendatangkan kesan besar selepas itu. Tidak mustahil ada yang akan tersinggung, menyisih diri, merajuk dan seterusnya hilang daripada jamaah.
  2. Menjadi golongan kecewa dengan apa yang berlaku dan terus mengambil sikap berdiam diri daripada aktif dalam jamaah.

Kedua-dua situasi ini tidak menguntungkan jamaah, dan paling besar merugikannya bila mana dia menghadap Allah SWT di akhirat. Lantaran itu, ikhtilaf hendaklah didalam lingkungan adab berjamaah. Ia dikawal dari sikap melampau yang membuka ruang kepada musuh, apatah lagi menjerumus kepada hilangnya sikap hormat, kecewa dan tidak mempedulikan jamaah.

Awasi perangkap musuh yang membesar-besarkan perbezaan pendapat, meracuni pemikiran ahli agar hilang wala' kepada pimpinan, dan memberi peluru kepada musuh untuk merosakkan jamaah.

Semoga Allah memelihara kita dari fitnah ini.

Oleh : Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man
Dipetik dari Majalah Sejarah Emas Perjuangan Islam di Malaysia.


Selasa, Oktober 22, 2013

Pemilihan UMNO: Tiada Sebarang Perubahan

Pemilihan UMNO yang baru sahaja selesai  mengesahkan apa yang diramalkan - bahawa tiada sebarang perubahan bagi parti tersebut, dengan kebanyakan penyandang lama mengekalkan kedudukan dan jawatan mereka, dan pasukan pilihan Presiden UMNO Najib Razak kekal berkuasa.
Semenjak beberapa bulan lepas, Najib telah menumpukan usaha beliau dalam mengukuhkan kedudukannya di dalam parti dan memastikan bahawa kepimpinannya tidak tercabar. Sepanjang masa ini, rakyat telah didedahkan dengan retorik perkauman dan konservatif daripada pimpinan utama UMNO.  Pada masa yang sama, Najib memilih untuk berdiam diri di dalam negara, sambil bercakap tentang kesederhanaan dan wasatiyyah di luar negara.
Kita tidak mempertikaikan keperluan seorang Presiden Parti dikelilingi kumpulan pilihannya dalam jawatan tertinggi parti untuk beliau menggerakkan perubahan dengan efektif. Kini, Najib tidak lagi mempunyai alasan tidak mempunyai sokongan parti.
Namun, sukar untuk kita tidak menjadi sangsi apabila individu-individu yang menyandang jawatan jawatan tertinggi parti terdiri daripada mereka yang mempunyai latar belakang yang tercemar atau meragukan. Contoh terbaik adalah pemilihan semula Zahid Hamidi dan Shahrizat Jalil (yang dilantik sebagai Penasihat kepada Perdana Menteri sebelum pemilihan UMNO). Pada masa yang sama, beberapa suara perubahan di dalam parti telah tewas. Justeru dakwaan beberapa pihak bahawa keputusan ini adalah kemenangan golongan progresif parti telah terbukti palsu. Ini adalah kemenangan kekuasaan dan kebebalan.
Sudah tiba masanya untuk Najib menggunakan mandat yang diberikan untuk mengubah negara ini, bukan sahaja sekadar retorik, namun dengan usaha yang konkrit. Ketika mana UMNO menjadi parti sayap kanan yang makin ekstrem, Najib perlu bangkit memimpin dan menunjukkan kewibawaan yang diperlukan.
Tetapi jika kita melihat kepada rekodnya sepanjang empat tahun sebelum ini, nyata sekali amat sukar untuk sebarang perubahan berlaku.
NIK NAZMI NIK AHMAD
TIMBALAN SPEAKER DEWAN UNDANGAN NEGERI SELANGOR
AHLI DEWAN UNDANGAN NEGERI SERI SETIA

Khamis, Oktober 17, 2013

Ibrah Perang Siffin.

Para ulama yang memutuskan bahawa korban perang Siffin tidak kira di pihak Muawiyah ataupun di pihak Saidina Ali ialah syahid kerana mereka berperang kerana keyakinan ijtihad masing-masing untuk menegakkan kalimatullah. Para sahabat ialah individu yang mampu berijtihad kerana keunggulan mereka dalam ilmu Islam memang tidak dapat dipertikaikan lagi. Ijtihad yang benar diberi dua pahala dan yang tidak tepat diberi satu pahala. Orang yang berijtihad tidak akan berdosa walaupun ijtihad mereka salah, asal sahaja mereka mempunyai ilmu yang cukup dan layak berbuat demikian.
Sesetengah buku sejarah mengulas peribadi sahabat sehingga pembacanya memandang rendah pada tokoh-tokoh yang dijamin syurga oleh Rasulullah. Pemerintahan Saidina Uthman dikatakan pemerintahan yang korup, mementingkan keluarga dan lemah. Sepatutnya perkara ini tidak boleh berlaku jika penulis itu faham dan menjiwai kehebatan peribadi Saidina Uthman yang digelar "Zunnur 'Ain" oleh Rasulullah sendiri. Kalaupun benar berlaku beberapa kelemahan dalam pemerintahannya, kita hendaklah meyakini itu adalah kerana sifatnya yang lemah lembut, tawadhuk, sabar, dan pemaaf. Bukan kerana sifat-sifat mazmumah yang ada pada dirinya. Begitu juga ada pihak yang mengecam Saidina Hassan yang rela menyerahkan pemerintahan kepada Muawiyah kerana mengharapkan ganjaran harta sebagai imbalan (konon katanya). Tetapi yang sebenarnya tindakan Saidina Hassan itu adalah disebabkan sikapnya yang cinta akan perdamaian dan ingin melihat kedua-dua belah pihak dari kaum Muslimin bersatu kembali.

Tidak kurang ada dalam kalangan umat Islam sendiri yang menghina bahkan sampai ada yang mengkafirkan sahabat Rasulullah seperti Abdullah bin Umar kerana berkecuali dalam perang Siffin, Zubair ibnu Awwam dan Talhah kerana menyebelahi pihak Saidatina Aisyah dalam memerangi Saidina Ali dalam peperangan Jamal (unta). Menghina Khalid ibnu Walid (pedang Allah), mengatakan Abu Zarr sebagai bapa sosialisme Islam, Saidina Abu Hurairah dan Amru sebagai munafik dan sebagainya. Na'uzubillah...
Kita merasa kesal kerana kecaman-kecaman ini datangnya daripada mulut orang yang mengaku sebagai orang Islam bahkan, kadangkala datangnya daripada orang yang mendabik dada sebagai pejuang Islam. Nampaknya, mereka bukan sahaja terperangkap dengan penyelewengan golongan-golongan yang terlampau seperti Syiah dan Khawarij tetapi juga diresapi oleh dakyah-dakyah jahat kaum Orientalis Barat yang memusuhi Islam.

Para sahabat Rasulullah umpama bintang-bintang di langit yang dapat menjadi petunjuk sepanjang zaman. Menyebut nama mereka pun sudah mendatangkan rahmat, apalagi menyintai dan menyanjung perjuangan mereka. Kita tinggalkanlah perselisihan yang terjadi dalam kalangan mereka sebagai satu ketentuan yang tidak dapat dielakkan tetapi banyak hikmah untuk dijadikan iktibar. Sesungguhnya pemanah-pemanah yang meninggalkan kedudukan mereka dalam perang Uhud mempunyai keperibadian yang berganda-ganda hebat daripada kita, dan sikap mereka itu bukanlah kerana mereka tamak kepada harta tetapi memang peristiwa itu terjadi untuk dijadikan teladan bagi mereka dan kita bahkan untuk Mukmin sepanjang zaman tentang betapa buruknya akibat mengabaikan arahan pemimpin Islam.

Mereka telah pergi membawa nama yang gemilang dengan membawa pelbagai gelaran yang diebrikan oleh Rasulullah SAW seperti As-Siddiq, Karamallahu Wajhah, Saifullah, Aminul Ummah dan lain-lain lagi. Seumur hidup kita pun kalau digunakan untuk menandingi kehebatan mereka, tidak akan berjaya. Jangan sampai menjadi kelawar yang tidak dapat melihat di waktu siang, bukan kerana siang itu gelap tetapi kerana siang itu terlalu terang untuk matanya. Oleh itu, demi kebangkitan Islam yang semakin marak sekarang, janganlah sampai melahirkan segolongan pejuang yang terlalu gelojoh, terburu-buru, tidak mengenal diri dan semborono dalam berfikir dan bertindak.

Akhirnya, peribadi sahabat ialah modal untuk kita jadikan pendorong dan panduan dalam berjuang, bukan untuk dikecam, dianalisa sudut-sudut yang negatif lalu dipaparkan. Tindakan menghina mereka (walaupun seorang) sebenarnya menarik langkah perjuangan ke balakang kembali. Menghina sahabat bererti menghina Rasulullah SAW, seterusnya menghina Allah SWT. Na'uzubillahiminzalik.. Menuduh mereka jahat samalah memperkecil-kecilkan sistem pendidikan Rasulullah yang mendapat didikan langsung daripada Allah SWT.

Kecaman golongan itu sebenarnya tidaklah mengurangkan pahala dan ketinggian darjat para sahabat, tetapi menunjukkan kebodohan dan menjatuhkan diri mereka sendiri ke lembah dosa. Mereka tentunya tidak akan menjadi teman para sahabat dalam syurga kelak.
Sekadar renungan.

Sekadar Renungan

Pertikaian antara Muawiyah dan Saidina Ali bukanlah pertikaian peribadi dan bukan untuk menjaga 'periuk nasi' mereka. Namun begitu, adalah disebabkan masing-masing berpegang kepada ijtihad masing-masing demi kemaslahatan umat Islam pada waktu itu. Niat masing-masing adalah jujur dan merasakan ijtihad merekalah yang benar untuk menyelamatkan suasana umat Islam yang sedang bergolak hebat waktu itu. Bukti yang menunjukkan bahawa perselisihan mereka bukan perselisihan peribadi ialah pada suatu ketika datang seorang kepada Saidina Ali lalu menceritakan keburukan peribadi Muawiyah. Saidina Ali berkata:

"Beranikah saudara berkata demikian kalau Muawiyah ada di depan saudara? Kalau tidak, diamlah! Kerana perbuatan itu termasuk dalam mengumpat. Kalau benarlah Muawiyah berkata demikian terhadap peribadiku, ketahuilah bahawa aku telah memaafkannya."

Begitulah juga halnya yang terjadi pada Muawiyah yang mana satu ketika ia meminta salah seorang yang rapat dengan Saidina Ali untuk menceritakan bagaimanakah Saidina Ali menghabiskan waktu siang dan malamnya. Maka berceritalah orang itu tentang kehebatan ibadah, tawadhuk, sabar, dan betapa cintanya Saidina Ali kepada Allah. Mendengar itu, menangislah Muawiyah sehingga basah janggutnya dan berkata: "Ali lebih baik daripadaku."
Jadikanlah kisah-kisah sahabat sebagai pedoman dalam melalui liku-liku kehidupan kita walaupun dalan bab perselisihan.
Wallahu A'lam
 

Isnin, Oktober 14, 2013

Pembelian Bangunan PAS Kawasan Kulai

PAS Kulai berhasrat untuk membeli sebuah rumah teres 3 bilik lot tepi di Bandar Putra Kulai yang berharga RM280,000.00. Bangunan ini akan dijadikan sebagai pusat operasi PAS Kulai disamping juga menjadi Pusat Aduan Rakyat bagi DUN N50 Bukit Permai. Kepada para dermawan yang ingin menyumbang bagi merealisasikan hasrat kami boleh berbuat demikian di akaun PAS Kawasan Kulai MBB 551100701033. Sumbangan anda amat kami hargai dan diucapkan Jazakallah Khairan Kasira.





Sumbangan Sempena Aidil Adha

14 Okt 2013.
Sempena dengan Harai Raya Aidil Adha tahun ini, Ahli Parlimen Kulai YB Teo Nie Ching telah turun padang bagi menyampaikan sumbangan kepada 100 buah keluarga Melayu Islam dalam kawasan Parlimen Kulai pada 12 dan 13 Oktober 2013. Ia telah melibatkan beberapa lokaliti seperti berikut :
  1. Flat Cengal Bandar Putra
  2. Taman Aman
  3. Kg Jaya Sepakat
  4. Taman Beringin
  5. Taman Dawani
  6. Taman Bukit Senang
  7. Felda Taib Andak dan
  8. Taman Anjaria
Sumbangan berbentuk barangan keperluan harian dan duit raya ini telah disampaikan sendiri oleh YB Teo didalam majlis yang diatur di permis PASTI selain bertemu terus dengan penerima secara berkunjung ke rumah mereka.

Rata-rata penerima menyatakan syukur dan terima kasih kerana inilah julung-julung kali sumbangan disampaikan oleh Ahli Parlimen Kulai apatah lagi dari DAP. Sebelum ini tidak pernah Ahli Parlimen datang menghulurkan bantuan serupa, kalau ada pun menjelang pilihanraya untuk  memancing undi.

PAS Kulai terlibat secara langsung dalam menyediakan prasarana dan senarai penerima. Ini menunjukkan gerak kerja kebajikan yang dilakukan bukanlah bermusim bahkan ia akan diteruskan bagi membantu mereka yang memerlukan. Bantuan yang dihulur sedikitpun tidak bersifat perkauman atau bermotifkan politik. Seperti yang disebut oleh YB "Bantuan ini tidaklah seberapa sekiranya dilihat dari segi nilai tetapi ia menjadi tanggungjawab saya sebagai Ahli Parlimen". Bantuan ini menjangkaui sempadan politik kerana kebanyakkan yang menerimanya adalah dari kalangan penyokong UMNO.

Inilah suasana yang hendak dihidupkan oleh parti-parti politik didalam Pakatan Rakyat iaitu melahirkan satu masyarakat Malaysia Baru yang jauh dari fahaman politik sempit perkauman bawaan UMNO / BN. Selain itu program seumpama ini mampu menangkis serangan UMNO yang menyebarluaskan fitnah jahat mereka yang mengatakan DAP anti Melayu dan anti Islam.

Semoga program turun padang seperti ini dapat memberi pencerahan kepada minda masyarakat khususnya Melayu Islam mengenai sifat prejudis mereka terhadap gagasan Pakatan Rakyat.