Rabu, November 13, 2013

Ziarah Mangsa Banjir di Jln Tan Yoke Fong, Kulaijaya.

Pada Hari Ahad 10 Nov. 2013 yang lalu, penulis bersama beberapa orang rakan pimpinan PAS Kulai telah menyertai ziarah mangsa banjir yang melibatkan penduduk Melayu di Jalan Tan Yoke Fong, Kulaijaya. Ziarah telah turut disertai oleh Ahli Parlimen Kulai YB Teo Nie Ching dan Sdr. Mazlan Aliman bekas calon PAS bagi N50 Bukit Permai. Sebanyak 9 buah keluarga yang sempat dilawati pada pagi itu. Pelbagai masalah telah juga diadukan kepada YB yang selama ini dihadapi oleh penduduk disitu. Baru-baru ini kediaman mereka telah dilanda banjir secara tiba-tiba. Ekoran daripada itu, sebagai wakil rakyat yang prihatin keatas kehidupan masyarakat, YB Teo telah menziarahi mereka sebaik sahaja menerima berita tentang masalah yang melanda. Beliau telah sempat menghulurkan sedikit bantuan kewangan kepada mangsa bagi meringankan sedikit bebanan yang dihadapi.

Selama hampir dua jam bersama penduduk disana, pelbagai rintihan dan harapan telah kami dengar. Perkara utama ialah tentang status tanah kediaman mereka yang sampai hari ini tidak mendapat jawapan yang tepat daripada pihak berwajib. Pelbagai alasan telah diberi, pelbagai janji telah ditabur, wakil rakyat telah bersilih ganti namun janji hanya tinggal janji. Menurut salah seorang dari penduduk disitu yang menyertai kami dari awal hingga keakhir lawatan, pihak KTMB telah pun mengukur tanah yang akan digunakan untuk pembinaan landasan berkembar. Ternyata ia tidak termasuk rumah penduduk. "Keraajaan tidak ada alasan mengatakan rumah kami terkena projek landasan berkembar sebab KTMB dah ukur" kata wakil penduduk yang bersama kami. Penduduk disini hidup dengan penuh kedaifan sedangkan ia terletak didalam kawasan Majlis Perbandaran, hanya beberapa meter sahaja daripada pusat bandar Kulaijaya. Bahkan penempatan ini jelas kelihatan dari bangunan pejabat MPKu.

Antara keluhan mereka selain status tanah ialah kemudahan utiliti seperti bekalan letrik dan air. Sedih melihatkan kehidupan mereka yang tinggal dibandar berstatus perbandaran tetapi tiada kemudahan air paip dan letrik. Seolah-olah hidup dipendalaman 30-40 tahun dulu. Tambah ironinya mereka ini keturunan Melayu yang menjadi penyokong tegar UMNO dan Barisan Nasional dulu, kini dan selamanya. Salah seorang yang kami lawati tempuhari, dengan banga memakai topi logo Satu Malaysia sewaktu menerima bantuan daripada YB. Seorang lagi merupakan OKU (orang kuat UMNO) yang kononnnya memperjuangkan nasib Melayu disitu. Tetapi selepas menerima sumbangan daripada YB, yang bertopi tu sempat membisikan kata-kata kepada penulis "Selama berbelas tahun saya tinggal disini, belum pernah satu YB pun yang datang menjenguk saya.  Inilah kali pertama, syukur alhamdulillah" katanya dengan pelat jawa hakiki.

Disetiap rumah yang kami ziarah, terdapat dua batang paip tanpa meter terpacak seperti batu nisan di tanah perkuburan. Menurut penduduk, selepas PRU13 yang lalu, pihak kerajaan telah menghantar kontarktor untuk kerja-kerja bekalan air bersih kerumah mereka. Malangnya kontraktor berkenaan telah menghilangkan diri dan tidak kelihatan hingga sekarang. Meter yang dipasang sebelum ini telahpun dicuri orang menyebabkan tinggal dua batang besi paip terpacak seperti batu nisan dihadapan rumah masing-masing. Apalah nasib bangsaku yang terpaksa hidup merempat di negara sendiri. Mana perginya pemimpin UMNO yang kononnya memperjuangkan nasib orang Melayu. Masa kempen dulu isu utama yang diasak kedalam benak orang Melayu ialah negara akan tergadai sekiranya mereka memberi undi kepada Pakatan Rakyat. Dipasak kedalam otak Melayu kononnya Cina akan memerintah sekiranya memberi undi kepada PAS sebab PAS bersekongkol dengan DAP. Hari itu wakil rakyat DAP datang membantu dan mendengar rintihan mereka. Tersengeh-sengeh muka menerima wang RM100. Bilalah nak sedar agaknya.......


Khamis, November 07, 2013

Ceramah Pasca Bajet


Jom datang beramai-ramai untuk mendapatkan maklumat terkini kesan bajet yang baru dibentangkan keatas rakyat.

Rabu, November 06, 2013

Cerita Selepas PRK Sg Limau

Pagi ni sedang penulis asyik membaca e-mail yang diterima dipejabat (rutin setiap pagi sebelum memulakan kerja), tiba-tiba seorang rakan sepejabat datang dan duduk didepan meja sambil menggeleng-gelengkan kepala. Penulis pun rasa pelik sebab rakan ni jarang sekali duduk bersembang apatah lagi selepas beliau mengetuk kadnya. Soalan spontan yang keluar dari mulut ketika itu ialah "Apa cerita?" dengan nada penuh kehairanan.

"Oooooo.....kalau dilihat dari kempen BN di Sg Limau, memang kalah PAS" beliau memulakan bicara. "Semua Jabatan Kerajaan ada" katanya dengan penuh semangat. Teringat penulis kepada kenyataan Ketua Penerangan PAS Pusat Dato Tuan Ibrahim Tuan Man yang mengatakan hanya Jabatan Kaji Cuaca saja yang tak datang.

Rakan ini baru balik dari Sg Limau kerana Kementarian tempat penulis bertugas mengadakan Minggu Komoditi. Pada hal Hari Komoditi (MICCOS) baru saja berlalu minggu sudah di MAEPS Serdang. Semata-mata nak menghalalkan kempen jentera kerajaan, maka minggu komoditi diadakan. Berbondong-bondonglah kakitangan kerajaan turun ke Sg Limau termasuklah rakan penulis ni.

Khabarnya barangan makanan seperti beras, minyak masak, susu, milo, tepung dan pelbagai lagi dibawa dengan kontena untuk diberi kepada pengundi Sg Limau. Beliau yang menyaksikan kejadian ini menganggarkan jutaan ringgit telah dihabiskan semata-mata nak menawan hati pengundi."Banyak betul duit rakyat habis" rungutnya. "Agensi dari Kementarian Pertanian semuanya sibuk disana mengadakan projek mee segera" tambahnya lagi. "Aku tak pernah tengok kerajaan berbelanja habis-habisan macam ni. Ini baru first time". "Itulah UMNO/BN" jawab penulis ringkas.

Bilalah agaknya mereka ni nak berubah. Tak teringatkah balasan Tuhan nanti diakhirat. Teringat kata-kata Tan Sri Muhammad Md Taib, mantan Menteri Besar Selangor yang berucap semasa Konvensyaen PAS Johor tempuh hari "UMNO kini sudah rosak. Mereka tidak mahu diajak kembali kepada al-Quran dan hadith. Saya bersama PAS kerana hanya PAS sahaja yang istiqamah berjuang untuk melaksanakan al-Quran dan Hadith". Beliau mengungkapkan kata-kata dengan penuh merendah diri. Berbeza benar dengan nada yang sering dikeluarkan ketika bersama UMNO dulu. Inilah kesan tarbiah PAS agaknya.

Tahniah kepada Ust Azam yang kini bergelar YB. Tahniah juga kepada seluruh jentera parti yang telah berkerja bertungkus lumus untuk memastikan kejayaan tetap menjadi milik kita. Kepada semua, semoga Allah menerima kerja buat kita sebagai amalan-amalan soleh.

TAKBIR !