Jumaat, Jun 21, 2013

Sembang pagi

Sambil sarapan pagi, banyak perkara yang dibicarakan. Dari hal jerebu yang sedang melanda, berita sukan, politik khususnya himpunan Black Out 505 sampailah kepada masalah kenaikkan harga barang. Berang benar sahabat yang sorang ni berbicara, manakan tidak beliau adalah antara pengguna perkhidmatan awam setiap kali cuti perayaan. "Kalau ia pun nak naikkan harga tiket bas, tunggulah tahun baru. Ini tidak! Kenapa mesti tunggu lepas pilihanraya dan tambah sakit lagi, nak raya" ujarnya dengan penuh geram. Marah betul nampaknya sahabat ni. Apa tidaknya, tiket untuk dia pulang kekampung kini hampir mencecah RM100 sekali perjalanan. Itu kalau sorang, kalau satu keluarga, bayangkan berapa belanja yang perlu ia keluarkan hanya untuk tiket sahaja.

Penulis hanya menyampuk, "Apa nak buat, dah kita yang pilih, terima sajalah, marah pun tak guna lagi". "Kita tawarkan kerajaan yang nak turunkan harga minyak, kita tak hendak" tambah penulis bagi menghangatkan suasana. Sahabat ni melenting "Tu...makcik/pakcik felda dan kampung tu yang payah sangat nak berubah. Entah apa yang dia orang sayang sangat kat BN tu pun tak tahu." "Kalau dia orang saja yang kena, tak apa! Ini tidak, kita pun rasa sama". "Hari tu pangkah siapa" tanya penulis. "Siapa lagi PR lah" jawabnya. Oooo patutlah marah sangat.

Yang akan terbeban dengan kenaikkan harga perkhidmatan awam ialah golongan kelas bawahan dan pertengahan. Mereka inilah yang banyak menyumbang kepada kemenangan UBN. Kelompok inilah yang sangat tegar menyokong mereka sehingga sanggup menyekat PR masuk kekampung mereka untuk berkempen. Tak cukup dengan itu, ada yang naikkan banner "Ini kampung BN. Pembangkang tidak boleh masuk ". Begitulah kolotnya politik orang Melayu. Setelah 55 tahun merdeka, erti demokrasi pun masih bebal lagi. Patutlah UMNO hidup segar dalam kelompok manusia semacam ini.

Mendengarkan leteran sahabat ini tadi, hati penulis hanya berbisik sinis "Padan dengan muka." Tiap-tiap kali lepas pilihanraya BN akan naikkan harga barang dan tiap-tiap kali pilihanraya BN akan tipu mereka. Tapi puak-puak ini tetap tidak akan sedar. Marah mereka tidak akan kemana. Beri saja mereka T-Shirt lambang dacing dengan sedikit wang saku, mereka akan berarak macam orang kurang siuman memaki hamun pembangkang. Itulah senario orang Melayu Felda dan Kampung menjelang pilihanraya. PRU lepas, senarionya menjadi semakin teruk lagi sehinggakan ada kawasan dalam DUN penulis diberi amanah, pihak polis terpaksa memberi kawalan kepada kami sehingga kami keluar meninggalkan kawasan tersebut. Begitulah bobroknya perangai UMNO.

Tarbiah saja yang akan dapat mengeluarkan mereka dari kepompong ini. Selagi PAS tidak dapat menembusi kelompok tegar ini dengan buah-buah ilmu, selagi itulah mereka akan terendam dalam alunan kosong UMNO/ BN. Sama-samalah kita berusaha dan berdoa agar mereka diberi hidayah oleh Allah swt. dan menerima kebenaran yang hakiki.



Rabu, Jun 12, 2013

Ilmu Teras Kejayaan Ummah

Pada hari Jumaat lepas 28 Rejab 1434H bersamaan 7 Jun 2013, penulis telah bercuti bersama keluarga di Kelantan. Destinasi utama ialah Dataran Ilmu di hadapan Bangunan Zulkifli yang menempatkan Pejabat Perhubungan PAS Negeri Kelantan di Bandar Kota Bharu. Inilah masa dan ketika terbaik untuk hadir di kuliah ilmu Tok Guru di pagi Jumaat kerana anak sedang bercuti.

Sengaja penulis mencari hotel yang berdekatan dengan tempat tujuan agar tidak banyak gangguan terutama dari aspek tempat letak kereta. Alhamdulillah, Allah permudahkan segalanya, penulis menginap betul-betul berhadapan dengan Bangunan Zulkifli dan hanya berjalan kaki sahaja ketempat tersebut.

Semasa bersarapan, seawal jam 7.00 pagi sudah kelihatan orang ramai mula bergerak menuju ketapak kuliah. Ada yang datang berkeluarga bersama isteri dan anak-anak, ada anak muda, orang dewasa, warga emas, pendekata segenap lapisan masyarakat turut hadir. Yang bertongkat dan yang berkerusi roda juga tidak mahu ketinggalan. Penulis sempat berbisik kepada isteri "Lihat bagaimana rakyat dididik dengan ilmu, hingga sanggup datang semata-mata kerana hendak mendengar ilmu yang disampaikan".Kalau pendekatan ini yang membuatkan rakyat Kelantan tidak mudah goyah dengan usikkan duniawi, Johor masih jauh lagi.

8.30 pagi, kuliah bermula dengan penyampainya ialah Al-Fadhil Ust Fazdli Sha'ari yang merupakan Setiausaha Akhbar kepada Menteri Besar Kelantan. Itu jawatan yang beliau pegang sebelum PRU ke 13, sekarang penulis tidak tahu apa jawatan beliau. Beliau menyorot antara peristiwa besar dalam Bulan Rejab selain Isra' dan Mi'raj iaitu peperangan Tabuk yang merupakan peperangan terakhir yang disertai oleh Baginda Rasulullah s.a.w. Satu peristiwa yang menuntut umat Islam ketika itu berkorban harta benda bagi menyertai peperangan di Tabuk bersama Baginda Rasul. Satu kupasan yang sangat menarik, khusus mengenai signifikannya dengan perjuangan umat Islam diakhir zaman ini. Ada golongan miskin yang tidak dapat turut serta lantaran kemiskinan mereka, berlinangan airmta kesedihan apabila dikhabarkan oleh Nabi kepada mereka. Ada juga dikalangan sahabat yang tertinggal untuk turut bersama akibat terleka dengan hasil kebunnya sehingga dipulaukan oleh Nabi s.a.w. dan para sahabat sekembalinya baginda dari medan Tabuk. Masa satu jam tidak terasa walaupun terpaksa duduk bersila ditas jalanraya dengan beralaskan tikar plastik.

9.30 pagi giliran Tok Guru Nik Aziz menyampaikan kuliahnya. Ketika itu ribuan manusia telah memenuhi sepanjang jalan dihadapan Bangunan Zulkifli. Dengan usia yang sudah melewati 80 tahun, beliau masih bertenaga untuk menyampaikan ilmu kepada masyarakat, yang sanggup datang walaupun jauh. Inilah kelebihan Tok Guru yang jarang kita lihat ada dikalangan pemimpin didalam negara ini. Dengan sifat merendah diri dan tawadu'nya, Tok Guru menghabiskan usianya untuk menyebarkan ilmu agama tanpa pernah ada rasa jemu dan lelah. Sedih melihatkan fizikalnya yang semakin uzur dimamah usia. Semangat apabila mendengarkan pidatonya menyampaikan kebenaran tanpa sedikit rasa gentar kepada sang penguasa. Hebat insan ini. Patut pun dia amat disegani dan dihormati oleh segenap lapisan masyarakat tanpa mengira warna kulit dan agama.

Rakyat Kelantan menjadi kuat pegangan agamanya dan kukuh prinsip keIslamannya kerana dididik dengan ilmu. Membudayakan ilmu sudah menjadi sebahagian daripada budaya hidup mereka. Pergilah kemana-mana saja kuliah agama, pasti akan ramai yang datang mendengar. Ilmu yang diajar berjaya menangkis segala bentuk serangan yang bersifat duniawi. Tidak dinafikan ada juga yang kecundang, tetapi jumlahnya tidaklah begitu besar sehinggakan kerajaan Islam Kelantan mampu diambil alih oleh pihak sekular.

Ilmu telah menjadi dinding yang ampuh bagi menahan asakan sekularisma ajaran barat bawaan UMNO dikalangan masyarakat Melayu. Inilah budaya yang perlu dihidupkan di Johor jika kita benar-benar berhasrat menobatkan Islam. Sumbangan yang bersifat kosmetik tidak akan mampu bertahan tanpa pengisian ilmu. Pemikiran mereka akan mudah dirobek dengan pemberian yang lebih besar walaupun nilaiannya tidak setinggi mana kerana fitrah manusia yang jahil akan mudah terpesona dengan barangan kosmetik yang indah sifat lahiriyahnya.

Proses tranformasi ilmu ini perlu diberi penekanan sekiranya kita bercita-cita untuk menawan Johor dalam PRU ke 14. Masyarakat perlu dididik dengan ilmu. Program pengislahan melalui dakwah dan tarbiah perlu diperhebat. Lajnah tarbiah perlu diperkasa dan sentiasa terkehadapan dalam memberi pengisian bagi setiap aktiviti yang dianjur. Kekalahan PAS dipeti-peti undi orang Melayu Felda dan Kampung Tradisi, dapat disimpulkan kerana kurangnya proses tarbiah dikalangan mereka. Kelompok Melayu ini hanya bergantung kepada ceramah berkala yang diadakan sempena sesuatu sambutan yang diadakan dimasjid dan surau. Ia amat berbeza sekali dengan kelompok Melayu yang tinggal dibandar-bandar. Mereka sering dihidangkan dengan kuliah-kuliah agama yang diadakan setiap hari, yang membuatkan berlakunya proses pencerahan minda dan memahami Islam dari prespektif sebenar dan bukannya dari kacamata barat. Inilah proses transformasi yang perlu dilalui oleh masyarakat Melayu yang tinggal di tanah rancangan Felda dan perkampungan tradisional. Sekiranya kepompong ini berjaya ditembusi, maka peluang kemenangan akan terbentang luas. Insya'allah.

Selasa, Jun 04, 2013

Hebatnya Islam

Hujung minggu yang baru ini, penulis dikunjungi oleh seorang non muslim berbangsa Tionghua ke rumah. Beliau ini sudah tidak asing lagi kerana sering datang mendengar ceramah PAS disekitar bandar Kulai, terutama di Bandar Putra. Kadang-kadang sampai ke Felda Taib Andak. Pendek kata memang penyokong PAS / PR dan sangat bersemangat untuk menumbangkan Barisan Nasional. Kehadiran beliau kerumah memang tidak diduga sama sekali.

Setelah bertanya khabar, tetamu ini memulakan bicara dengan mengajukan satu soalan yang amat memeranjatkan. "Apa saya boleh bantu PAS untuk PRU ke 14" katanya dengan penuh semangat. "Saya sedih bila tengok PAS kalah, sedangkan you orang sudah kerja kuat" beliau menyambung. "Apa macam mau buat sama orang Melayu. Kita orang Cina sudah boleh undi sama PAS, mengapa Melayu tak berani?" Soalan yang membuat penulis termenung memikirkannya. Kemudian beliau mengeluarkan sekeping risalah mengenai gesaan Dr Yusuf Qardhawi agar orang Islam bangkit menentang pemerintah yang zalim dan membuat perubahan. "You orang PAS saya tengok banyak baik. Tengah-tengah kerja pun you orang berhenti sembahyang. Ini macam punya baik pun orang Melayu tak boleh nampak kah?" ujarnya. Hebat betul insan ini. Walaupun ia bukan seorang Islam tapi semangatnya untuk membantu kemenangan Islam patut dipuji. Terasa malu pula bila memikirkan sesetengah ahli jamaah yang diam membisu setelah habis pilihanraya. Yang tak nampak batang hidung pun ada. Frust betul gamaknya.

Beginilah sifat Islam yang menjadi agama Allah dan para rasul Nya. Agama fitrah yang sesuai dengan kehidupan manusia dan alam seluruhnya. Kadang-kadang kita rasa pelik. Manakan tidak, orang Islam yang sepatutnya mendokongi Islam, kini berlaku sebaliknya. Keindahan Islam dapat dilihat dan dirasai oleh mereka yang cintakan keadilan walaupuan ia bukan dari kalangan umat Islam itu sendiri.

Jika disorot kembali sejarah permulaan Islam, Nabi s.a.w. didokong oleh dua orang tokoh ternama dari kalangan Arab Quraish ketika itu. Seorang Islam dan seorang lagi bukan Islam iaitu isteri baginda Siti Khadijah r.a. dan bapa saudaranya Abu Thalib. Dua tokoh ini (selain para sahabat) merupakan individu yang sangat rapat dengan Rasulullah s.a.w. dan sering memberi dokongan kepada baginda samada dalam bentuk moral dan material dalam usaha melaksanakan dakwah Islamiyah. Kehilangan dua tokoh ini dalam kehidupan baginda membuatkan baginda merasa sedih yang teramat sangat sehingga tahun itu dikenali sebagai 'Tahun Dukacita' dikalangan para ulama' sirah.

Dalam keghairahan orang Melayu Islam menolak PAS, masyarakat bukan Islam dari kalangan orang Cina dan India tampil memberi sokongan. Tidak cukup sekadar itu, ada yang datang kepada penulis menawarkan diri untuk bersama-sama menyusun strateji bagi menggempur kawasan Felda dan Kampung Tradisi yang menjadi kubu kuat UBN. DAP telah menyatakan sokongan mereka untuk membantu PAS menawan kerusi DUN Bukit Permai dalam pilihanraya yang akan datang.

Penulis telah melalui 3 PRU bersama PAS sejak 1999, tapi PRU kali ini ternyata berbeza. Meskipun PAS masih gagal dalam misinya, rakan-rakan non muslim telah tampil memberi kata-kata semangat untuk bangkit semula meneruskan gerakerja. Langkah pertama yang diambil ialah memperkasakan parti dan ia telah pun dimulakan di Felda Bukit Permai. UPU ini dipilih kerana ia merupakan UPU yang paling menonjol dalam PRU yang lalu disamping dibarisi oleh ramai tenaga muda. 

Insya'allah, dengan sokongan dan dokongan yang ada, PAS mampu bangkit dan seterusnya menawan DUN Bukit Permai pada PRU ke 14 dan bersama-sama Pakatan Rakyat menuju Putrajaya dan Nusajaya.