Selasa, November 27, 2012

Himpunan Kebangkitan Rakyat Zon Selatan.


JOM TURUN RAMAI-RAMAI. 
TUNJUKKAN KEBANGKITAN.
 RAKYAT JOHOR SUDAH SEDIA UNTUK BERUBAH.


Jumaat, November 23, 2012

Harapan Baru Anak Muda

Semalam sempena dengan cuti am Hari Keputeraan DYMM Sultan Johor, penulis dan beberapa pimpinan DPP Kulai serta pimpinan kawasan telah turun ke Felda Bukit Permai bagi mendapatkan perkembangan terkini kebangkitan anak muda Felda berkenaa. Satu lonjakkan sokongan yang membuatkan seteru politik PAS tidak tidur malam. Manakan tidak, pemuda yang selama ini sentiasa menggangu petugas PAS bahkan ada yang penah membakar bendera PAS, kini telah bersama dan membantu menaikkan syiar PAS disepanjang jalan masuk ke perkampungan Felda berkenaan ketika lawatan rasmi ADUN Bukit Permai.

Semasa sembang petang bersama anak muda Felda Bukit Permai ini, mereka telah menceritakan senario yang berlaku semasa lawatan YB. YB Kamaruzaman benar-benar tersentak dengan kebangkitan mereka kerana ianya diluar jangkaan dan anggapan pimpinan UMNO Kulai. Ketibaan beliau telah disambut dengan deretan bendera PAS dari jalan masuk sehingga ke dewan tempat majlis penyampaian cek durian runtuh diadakan. Suasana ini telah menimbulkan riuh-rendah dikalangan ahli-ahli UMNO tempatan. Masing-masing tersentak memikirkan bagaimana perkara ini boleh terjadi, sedangkan anak muda selama ini dilihat setia bersama UMNO/BN. Rupa-rupanya dalam senyap mereka mula merancang untuk berubah angin. 


Ekuran dari angin perubahan ini, penulis bersama-sama pimpinan pemuda dan kawasan telah turun bertemu dengan mereka bagi memberi suntikan agar momentum ini dapat dikekalkan hingga ke hari pilihanraya. Sehubungan dengan itu, satu majlis 'Ekspresi Anak Muda' Santai BBQ akan diadakan pada 2 Dis 2012 di Felda Bukit Permai bagi meraikan mereka. Sdr Mazlan Aliman akan turut hadir pada malam tersebut yang dijangka akan dihadiri sekitar 100 hingga 150 orang anak muda. Beberapa gimik sedangkan difikirkan yang bersesuaian dengan jiwa anak muda.  

Perkembangan muktahir ini menunjukkan PAS semakin diterima oleh masyarakat khususnya dari kalangan generasi baru peneroka. Felda yang dilihat selama ini sebagai fixed deposit kepada UMNO/BN, mula merudum sebagaimana merudumnya saham FGVH. Seandainya perkembangan ini mampu dikekalkan dan terus diperhebatkan, kita bakal menyaksikan perubahan akan berlaku di PRU ke 13 ini. INSYA'ALLAH.


Rabu, November 21, 2012

Majlis Makan Malam


Kupon berharga RM50 , RM40  dan RM30. Tempat terhad. Sesiapa yang berminat sila hubungi nama-nama yang terulis didalam kupon tersebut. (Sila klik pada gambar untuk mendapat imej yang lebih jelas).


Selasa, November 20, 2012

Siasah Syar'iyah

Memahami Fekah Siasah merupakan satu keperluan bagi mereka yang menceburkan diri dalam siasah atau politik negara agar mereka tidak terpesong daripada matlamat perjuangan iaitu untuk meninggikan kalimah Allah diatas muka bumi, menegakkan Al-Quran dan As-Sunnah.

Omar Abdul Aziz dengan kemunculannya telah mengubah dunia yang huru-hara kepada kedamaian dan ketenteraman, sehingga penternak-penternak dipadang Sahara merasakan keamanan itu, dimana kambing-kambing mereka tidak lagi dibaham oleh singa dan serigala lapar.

Dizaman ini pula yang kuat membaham yang lemah, yang kuat dipertahankan sedang yang lemah terus dizalimi bak kata pepatah Arab ;
"Penternak biri-biri mempertahankan serigala, maka bagaimana jika penternak itu sendiri adalah serigala."

Dalam konteks hari ini, bukan hanya pemimpin itu mempertahankan 'serigala yang ganas dan buas' malah keganasan mereka seolah-olah dinafikan dan mereka tidak diambil tindakan terhadap apa jua yang dilakukan bahkan hakikatnya pemimpin itu sendiri merupakan serigala.

Terdapat segolongan manusia menyeru orang lain kepada kepentingan dirinya bukan kepada kepentingan jamaah yang dianggotainya, malah dengan kewujudannya dalam jemaah menyebabkan jamaah menjadi kucar-kacir dan tidak kukuh. Saidinna Othman pernah ditanya : "Adakah kami perlu bersama jamaah sekalipun jamaah bersepakat untuk membunuhmu?" Jawab Saidinna Othman : "Hendaklah kamu bersama jamaah". Begitulah jawapan seorang Khalifah Nubuwwah atau Khalifah Rashidah atau pemimpin yang menjadi pengganti Nabi s.a.w.

Itulah matlamat asal perjuangan sebagaimana yang disebut oleh Al-Mawardi dalam Ahkam Sultaniah :
"Kepimpinan dilantik untuk menggantikan kenabian didalam menjaga agama dan memerintah dunia dengan agama".

Mana-mana pemimpin yang dipilih dalam mesyuarat samada untuk jawatan pengerusi, timbalan, ahli jawatankuasa, penasihat atau sesiapa yang menjadi penggerak dalam jemaah yang kelihatan terkeluar daripada matlamat asal perjuangan maka hendaklah disingkirkan.

Petikan buku : Siasah Syar'iyah
Al-Fadhil Ustaz Md. Lotfi Arifin


Rabu, November 07, 2012

Cerita Dato Tamrin semasa konvensyen PAS Johor.

Penulis bersama beberapa rakan daripada PAS Kawasan Kulai telah berkesempatan untuk hadir di Konvensyen PAS Negeri Johor yang telah di adakan di Dewan Bustanul Ariffin di Parit Bisu Batu Pahat pada 11 Nov 2012 yang lalu. Satu jumlah kehadiran yang diluar jangkaan penganjur kerana mereka hanya mensasarkan sekitar 500 orang sahaja. Tetapi jangkaan itu ternyata meleset apabila angka kehadiran pada kali ini mencecah 750 orang. Bagi Johor yang terkenal sebagai tempat tumpahnya darah UMNO, angka itu dianggap besar walaupun jika dibandingkan dengan kehadiran perwakilan di negeri-negeri tradisi PAS yang jauh lebih hebat. Apalah sangat dengan 750 tu. Khabarnya perwakilan mesyuarat agung PAS Kawasan di Kedah lebih dari itu.

Kita tinggalkan soal angka. Apa yang penulis lihat ialah semangat untuk bekerja yang ditunjukkan kali ini jauh berbeza dengan PRU-PRU sebelumnya. Rata-rata yang datang dengan satu semangat untuk menumbangkan UMNO di Johor. Mood seperti ini tidak kelihatan sebelum ini. Walaupun semangatnya ada dan membara, tetapi kali ini pekikan perjuangan itu sudah mula bergema. Masing-masing sudah tidak sabar untuk turun kemedan perjuangan. Satu suasana yang pernah dilihat ketika era reformasi pada tahun 1999 tetapi gelombangnya kali ini lebih hebat. Ditambah lagi dengan kehadiran beberapa tokoh UMNO yang selama ini berjuang menentang perjuangan PAS, yang kini telah berhijrah dan memilih untuk berjuang menentang parti yang selama ini menjadi tulang belakang mereka seperti Dato' Tamrin Tun Ghaffar, Dato Seri Rahman Maidin dan kehadiran tanpa diduga oleh Dato Abd Rahman Yunus yang masih menjadi AJK UMNO Bahagian Labis.

Dato' Tamrin yang telah pun menyertai PAS, ketika membentangkan kertas kerja di konvensyen tersebut, sempat berjenaka apabila mendapat tahu Ahli Parlimen Pontian, Dato' Ahmad Maslan merasmikan sebatang jalan di kawasan parlimen beliau. Lucunya, jalan tersebut telahpun siap 15 tahun dahulu. "Diketika ini jika tuan-tuan dan puan-puan ada reban ayam yang hendak dirasmikan, sila hubungi wakil rakyat tuan-tuan. Pasti dia akan datang dan memberi sumbangan", ujarnya.

Inilah perangai wakil rakyat UMNO yang tidak berubah sejak dari dulu. Oleh kerana mereka tidak berubah, maka menjadi tanggung jawab kita untuk mengubah mereka. Inilah mesej jelas yang disampaikan oleh mantan Pengerusi MARA ini.

Banyak lagi yang disampaikan untuk kita kongsikan bersama. Oleh kerana masa yang ada amat terhad dengan tugasan lain ( ini pun mencuri-curi masa ), insya'allah penulis akan cuba sampaikan dalam pojokan ini agar dapat kita sebarkan kepada rakan UMNO yang masih terbelenggu dengan fahaman lama mereka. Mudah-mudahan mereka mendapat hidayah daripada Allah swt. AMIN.


Isnin, November 05, 2012

SYRIA : RAKYAT MANGSA , PEMIMPIN BERLAGA DAN MUSUH UNTUNG

Republik Arab Syria (selepas ini ditulis Syria) adalah termasuk dari kalangan negara Arab di Asia Barat, bersempadankan Lubnan dan Laut Mediterranean di sebelah barat, Turki di utara, Iraq di timur, Jordan di selatan dan negara haram Israel di sebelah barat dayanya. Syria adalah termasuk di kalangan negara Arab yang turut menerima arus perubahan kebangkitan rakyat. Umum menyangkakan bahawa sepatutnya perubahan akan lebih mudah berlaku di Syria berbanding negara lain kerana rakyat majoriti besarnya iaitu 74% adalah muslim-sunni manakala kerajaannya pula dikuasai oleh golongan minoriti Alawi (lebih kurang 3 % – 4 %) berideologikan sosialis Parti Ba’ath paling kiri di kalangan negara Arab.

Dari segi hubungan dengan negara jirannya, terdapat tanda-tanda sejak awal yang menunjukkan adanya hubungan sulit antara Syria sendiri dengan negara Barat dan negara haram Israel, walau pun secara zahir sikapnya menunjukkan keras terhadap mereka khususnya Israel. Namun yang nyata ialah sejak awal sehingga kini, Syria tidak menjadi sasaran serangan terbuka daripada Israel seperti yang dialami oleh Lubnan, Iraq dan Sudan. 

Sebenarnya sudah terang lagi bersuluh, bahawa adanya kerjasama melalui beberapa tindakan membantu pihak Barat apabila menghalang dengan keras terhadap pengaruh politik Islam yang menjadi ancaman terbuka kepada Israel dan Barat, disamping Syria mendapat dukungan kuasa besar Rusia dan China. 

Kebangkitan rakyat berlaku sejak awal 80-an yang dipimpin oleh gerakan Islam Ikhwan Muslimin. Pada ketika itu, Bandar Hama yang paling kuat pengaruh Islam menjadi mangsa kekejaman. Puluhan ribu rakyat menjadi korban mangsa kezaliman kerajaan Parti Ba’ath Alawi pimpinan Presiden Hafez al-Assad (1970 – 2000). Media tidak membuat liputan, manakala negara Arab lain dan jirannya diam membisu. Maklumat hanya melalui berita kecil dalam ruang yang sempit. Majoriti rakyat bermazhab Sunni bernaung dan berpijak di atas bara yang membakar. Kalangan ulama yang berani dan pemimpin anti kerajaan terpaksa menjadi mangsa dipenjara, ada dibunuh dan ada yang hidup dalam buangan di luar negara. Hanya kalangan yang menyembunyikan diri atau membisu boleh menyelamatkan diri. Adapun kalangan pengampu mendapat liputan yang sebaik-baiknya dan diletak ditempat penting dalam urusan agama Islam untuk menjadi topeng melindungi kesesatan dan kezalimannya. 

Mantan diplomat Amerika yang menulis makalah mengenai Fundamentalisme di Asia Barat sejak dua puluh tahun lalu, mendedahkan pengetahuan Barat yang mendukung demokrasi dan hak asasi manusia, bahawa mereka tahu dan faham kedudukan di Syria. Pihak Barat menyedari bahawa kerajaan minoriti Alawi Parti Ba’ath menguasai majoriti golongan Sunni yang kuat beragama dan betapa Hafez al-Assad dan anaknya berlakon sembahyang dan berbagai ibadat yang tidak ada dalam ajaran Alawi, demi menghalang kumpulan Islam yang menjadi ancaman paling bahaya kepada Israel dan kepentingan Barat. 

Dalam senario sebegini, Bashar al-Assad pula bermain politik talam banyak muka, apabila dari satu sudut dilihat membenarkan para pejuang Palestin daripada Hamas dan Jihad, membenarkan Syria menjadi laluan bantuan pihak tertentu kepada Palestin dan Hezbollah dengan bebas, bahkan diberi kemudahan membuka pejabat, pusat latihan dan kemudahan yang lain; manakala di satu sudut yang lain mempunyai hubungan sulit dengan Barat dan Negara haram Israel. Adapun seluruh negara Arab yang lain tidak memberi tempat dan peluang sepertinya. Sebaliknya pula Bashar al-Assad mengharamkan kumpulan Islam yang sama sekiranya terdiri daripada rakyat Syria sendiri.

Kebangkitan rakyat yang berwajah Islam, secara demonstrasi aman pada awalnya mendapat sambutan rakyat. Tiba-tiba mendapat perhatian dunia luar khususnya negara Barat yang ada kepentingan masing-masing dan Israel, sama ada pergantungan sumber tenaga petrol dan gas, atau pergantungan dengan negara Zionis yang berpengkalankan di negara haram Israel. Dua perkara yang dianggap rukun hidup kepada barat : Minyak dan Israel. 
 
Setiap pengamat politik yang insaf wajib melihat kepada aspek yang penting tersebut, sebelum menentukan sikap yang adil dan istiqamah. Parti Islam SeMalaysia (PAS) bersama parti-parti Islam di negara lain mengadakan wacana khas bagi menangani isu ini. 

Kami berpendapat bahawa Regim Bashar wajib diturunkan oleh rakyat Syria dan digantikan dengan kumpulan Islam tulen dengan proses demokrasi yang sebenarnya dan adil. Campur tangan asing hendaklah ditentang habis-habisan. Kerajaan Islam Iran juga hendaklah menarik sokongannya terhadap regim yang zalim itu, demi menjaga maruah negara itu kepada umat Islam. Negara-negara Arab dan berjiran seperti Turki pula jangan menjadi hamba kepada negara Barat yang menjaga keselamatan Israel, minyak dan gas, dan bukannya ikhlas terhadap rakyat Syria yang dizalimi. Barat bukan sahaja dilihat bahkan terus bertindak dengan menunjukkan usaha mereka yang jelas untuk mencari pemimpin pro Barat yang lebih menjaga kepentingan mereka selain daripada Bashar, dan bukannya melihat kepada kepentingan 74% umat Islam di Syria. Selagi pemimpin yang dikehendaki oleh pihak Barat ini tidak berhasil, maka Bashar akan terus dikekalkan, kerana mereka berpendapat bahawa kedudukannya lebih baik di kalangan yang zalim itu daripada yang lain. 

Negara Arab, Turki dan Iran pula sepatutnya bersatu menghadapi negara haram Israel, bukannya berkhilaf dalam isu Syria sehingga terperangkap dengan agenda musuh timur dan barat. Semua pihak perlu kembali kepada sejarah secara ikhlas, meninggalkan kepentingan mazhab, fanatik perkauman dan kerusi singgahsana masing-masing. Ingatlah bahawa semua negara besar itu turut terlibat dalam penubuhan negara haram Israel tahun 1948, dan masih terus mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel sehingga kini. Mereka jugalah yang terus membuat desakan supaya negara Arab dan Islam untuk menerima Penyelesaian Two State Solution, antaranya menerusi Persidangan Annapolis pada November 2007; yang membahagiakan dua negara iaitu satu untuk Zionis dan satu untuk Arab Palestin (satu pembahagian yang zalim dan khianat).

Sekiranya negara-negara Arab, Iran dan Turki saling menyatukan sumber tenaga manusia, sumber semula jadi di perut bumi dan teknologi yang sudah mencapai kemampuan menghadapi cabaran, maka sudah tentu ancaman negara haram Israel ini dapat diatasi. 

Hingga kini kita masih terus menunggu setakat mana pencapaian Resolusi Makkah daripada sidang kemuncak OIC yang berlangsung pada bulan Ramadan lalu. Penyelesaian sebenar hanya akan dicapai apabila OIC dibebaskan dari berkiblat ke arah kuasa asing dan mula berkiblatkan Kaabah di Makkah. Perhatikan sehingga mana usaha penemuan susulan OIC di kalangan empat negara penting terdekat dengan masalah yang sedang berlaku iaitu : Mesir, Turki, Arab Saudi dan Iran. Atau adakah Syria akan atau sedang turut menjadi medan ujian senjata kuasa barat dan timur, di mana negara-negara jiran menjadi pengkalan bekalannya, dibayar pula dengan duit dan minyak Arab, akhirnya yang kalah menjadi abu dan yang menang menjadi arang.

Penyelesaiannya ialah memperkasakan OIC, supaya benar- benar mewakili umat Islam. Syria adalah medan paling sesuai supaya dipulangkan hak kepada rakyat dengan pilihanraya adil secara langsung di bawah kendalian OIC. Pemimpin negara menjadi ujian sama-sama beramanah atau bersedia jadi pengkhianat dan menerima hukum Allah Yang Maha Adil.


Dato' Seri Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang
Presiden PAS