Rabu, Mei 30, 2012

Mengapa PAS bersama Bersih 1, 2 dan 3

Memilih pemimpin negara adalah amanah besar dalam Islam, yang disebut Ulil Amri. Al-Quran mengesahkan semua rasul menentang sekeras-kerasnya ajaran yang memartabatkan pemimpin kerajaan sehingga dianggap Maha Suci daripada segala kesalahan. Di zaman keemasan umat Islam menjadi kuasa besar dunia, setiap Uli al-Amri yang dinamakan Khalifah diharamkan bersikap Maha Suci seperti Tuhan Yang Maha Esa (Allah S.W.T)

Rasulullah S.A.W bersabda : “Ketaatan terhadap pemimpin hanya dalam perkara yang baik “. Ucapan ini adalah menafsirkan perintah Allah yang dihayati di masa baginda sendiri menjadi ketua negara dan wajib diikuti oleh umatnya.

Ucapan  Abu Bakar R.A apabila dipilih menjadi ketua negara selepas wafatnya Rasulullah S.A.W : “Wahai tuan-tuan ! saya telah dipilih menjadi pemimpin kamu, padahal saya bukannya orang yang terbaik di kalangan kamu. Sekiranya saya dalam keadaan yang baik tolonglah saya, sekiranya saya dalam keadaan yang buruk perbetulkan saya. Benar adalah amanah, bohong adalah khianat ......”. Beginilah juga ucapan setiap pemimpin yang dilantik selepasnya.

Amalan sistem pemerintahan Islam yang dibukukan dan dicatit oleh para ulama Islam daripada semua mazhab menjadi kajian para orentalis. Kitab-kitab seperti Muqaddimah Ibn Khaldun, Ahkam Sultaniyyah, Adab al-Wazir dan lain-lain  diterjemahkan ke dalam bahasa-bahasa Eropah mempengaruhi perkembangan Demokrasi Moden yang diamalkan oleh negara Barat. Walaupun mereka menerima dengan fahaman sekularisme yang dianut, memisahkan politik daripada agama, namun pengaruh inilah yang mewujudkan sistem pilihanraya yang adil dengan memberi hak kepada rakyat menjadi hakim terhadap kerajaan dan para pemimpin kerajaan yang boleh dijatuhkan sekiranya berlaku kesilapan atau kelemahan dalam mentadbir negara, rakyat pula diberi hak dalam urusan pemerintahan secara beradab. Sistem yang adil ini menggantikan revolusi rakyat secara berdarah yang banyak berlaku seperti di England, Perancis dan lain-lain. Akhirnya terciptalah demokrasi moden dengan mewujudkan pilihanraya yang adil.

Bagi mewujudkan penghakiman yang adil oleh rakyat melalui pilihan raya, maka rakyat diberi kefahaman yang benar berkenaan pilihanraya. Mereka benar-benar  memahami hak  mereka dengan larangan tegas secara undang-undang terhadap ugutan, sogokan rasuah dan penyalahgunaan kuasa. Pihak media diletakkan sebagai saksi yang melaporkan semua pihak kepada rakyat yang menjadi hakim, samada pihak kerajaan yang dituduh atau pihak pembangkang yang menuduh. Pihak Suruhanjaya Pilihanraya adalah badan yang bebas bagi mengendalikan urusan pilihanraya mengikut sistem pemisahan kuasa di antara badan kehakiman, perundangan dan pentadbiran yang diamalkan oleh Rasulullah S.A.W ketika menegakkan negara contoh di Madinah.

Sistem ini diterima oleh semua parti Islam di seluruh dunia termasuk PAS, yang ditubuhkan  daripada gerakan tajdid dan islah kerana demokrasi moden menjadi medan  politik paling sesuai dengan Islam yang mengutamakan secara damai.  Keseluruhan negara Barat dan termasuk negara komunis sekarang telah berubah, menerima sistem demokrasi pilihanraya yang adil, sehingga tidak ada parti dan pemimpin kerajaan boleh mendabik dada bahawa mereka Maha Suci daripada segala sifat kekurangan dan tidak ada kesilapan langsung.

Sistem demokrasi moden ini menjadikan parti kerajaan dan pemimpinnya sentiasa berwaspada dan sedia ditolak dan dihukum oleh rakyat, maka berlakulah perlumbaan yang sihat bagi melakukan yang baik dan menolak yang munkar, menjadikan riadah yang menjadikan hak rakyat dan kerajaan sentiasa sihat, kerana silih berganti apabila berlaku setiap kelemahan dan para pemimpin sangat berhati-hati menunaikan amanah.

Di Amerika pernah dibatalkan kemenangan seorang presiden dalam peristiwa yang terkenal dengan nama skandal Water Gate. Di England  pula menjatuhkan kerajaan kerana skandal salah seorang menteri kabinetnya dengan pelacur yang berkait dengan perisikan negara asing. Di India membatalkan kemenangan seorang perdana menteri kerana menyalahgunakan jentera kerajaan dan banyak lagi. Di zaman kini banyak negara yang dibelenggu dengah sistem dictatorship terpaksa berubah kepada sistem demokrasi pilihanraya yang adil.

Negara kita Malaysia yang tercinta ini mengalami sistem demokrasi menuju ke arah yang lebih buruk dan memalukan. Surahanjaya Pilihanraya yang tidak bermaya untuk melakukan reformasi demokrasi yang sebenar kerana tidak diberi kuasa yang sebenar mengikut takrif demokrasi dan tidak berlaku pemisahan kuasa yang sebenar. Kedudukannya berada di bawah siapa parti yang memerintah mengikut arahan secara nyata dan sulit bagi mengekalkan sistem satu parti seperti negara komunis, secara agenda yang diatur begitu rupa. Media arus perdana sebelah pihak yang menutup minda rakyat mengetahui segala kelemahan kerajaan, seolah-olah  menjadikan kerajaan itu Maha Suci sepanjang hayat seolah-olah tidak ada ajal dan tidak ada hari kiamat. Daftar pengundi yang tidak masuk akal, seperti jumlah isi rumah laksana sebuah kampung dan  penduduk kampung yang ramai laksana satu daerah kerana terlalu gelojoh mangambil pengundi bagi menjamin kemenangan parti yang sedang memerintah walaupun sudah banyak senarai penyelewengan sehingga dilupai yang telah berlaku sebelumnya tanpa tindakan yag adil. Politik wang yang membarah ke dalam parti kerajaan dan masuk pula ke dalam rakyat, ke lapangan pilihanraya umum.

Semua yang berlaku adalah kemunkaran yang mencalarkan imej Islam yang menjadi agama negara mengikut perlembagaan dan banyak kemunkaran yang wajib dicegah dan kezaliman yang wajib disanggah.

PAS wajib menyampaikan risalah Islam kepada seluruh manusia dengan memberi kefahaman yang betul kepada penganut Islam dan memperkenalkan Islam kepada bukan Islam, bagi mengajak kepada makruf dan mencegah kemunkaran kerana Rasulullah S.A.W mewajibkan kepada setiap orang Islam menyampaikan mesej sebenar, menyatakan yang benar dan mencegah kemunkaran mengikut kemampuan masing-masing dengan tangan, lidah dan perasaan benci dalam hati. Demonstrasi aman yang menjadi salah satu daripada amalan demokrasi moden adalah salah satu cara menunjukkan kebencian dalam hati.

Rasulullah S.A.W mengizinkan para sahabatnya keluar beramai-ramai daripada persembunyian mereka di Makkah selepas Islamnya Hamzah dan Umar R.A bagi menunjukkan sikap mereka terhadap pamimpin Makkah yang zalim  secara terbuka dan aman tanpa senjata.

Ketika berada di Madinah dan telah wujud negara yang berkuasa, tiba-tiba Rasulullah S.A.W bersabda kepada para sahabatnya, menyebut  peristiwa lama berlaku sebelum dilantik manjadi Rasul: ”Aku pernah dibawa oleh bapa-bapa saudaraku ke rumah Abdullah bin Judaan bagi mengadakan Halaf Fudul  (persefahaman dan kerjasama) bagi membela mereka yang dizalimi dan menentang mereka yang zalim secara bersama. Sekiranya perkara ini dibawa kepadaku sekarang nescaya aku menyertainya “.


Rasulullah menerima secara positif segala sifat yang baik secara fitrah yang ada dalam diri manusia termasuk bukan Islam, sehingga menghargai keluarga Hatim al-Toei  seorang pemimpin kabilah yang suka menolong dan meraikan tamu  di zaman jahiliyyah dan banyak lagi contoh yang lain.

Bersih adalah gabungan kerjasama NGO berbagai agama dan parti-parti politik pelbagai ideologi yang menganjurkan demonstrasi aman bagi membantah pilihanraya yang mengotorkan amalan Demokrasi di Malaysia, ramai kalangan mereka tidak terlibat secara langsung dalam pilihanraya, tetapi sifat fitrah manusia yang bencikan zalim, tipu dan lain-lain.

PAS berpendapat bahawa BN telah banyak menyeleweng daripada konsep demokrasi yang adil. UMNO sendiri telah lama merosakkan imej Islam. Ajaran Islam meletakkan politik adalah amanah  besar yang diamalkan para Rasul seluruhnya, tiba-tiba dikotori dengan banyak perkara yang memalukan, seperti menyalahgunakan kuasa secara penipuan dan zalim bukannya bertahan dengan akhlak yang mulia. Amanah politik dijadikan peluang mengumpul harta dan menaikkan pangkat, bukannya amanah yang wajib ditunaikan. Harta dan kuasa dijadikan senjata mengugut rakyat, laksana dajjal yang zahir di akhir zaman, menawarkan kesenangan untuk pengikutnya sahaja, sesiapa yang tidak mengikutnya menerima padah.

Akhirnya PAS wajib mencegah kemungkaran besar yang sedang berlaku ini, hujah lebih kuat lagi apabila membaca amanat Rasulullah S.A.W: “Sama ada kamu menyuruh kepada yang baik dan mencegah kemungkaran atau berdiam diri, nescaya orang-orang yang jahat memerintah kamu, lalu orang-orang yang baik berdoa, tiba-tiba doanya tidak diperkenankan oleh Allah“.  Sabdanya lagi: ” Menyatakan yang benar kepada kerajaan yang zalim adalah jihad paling afdal “.


PAS tidak membenarkan para ulamanya menjadi syaitan bisu yang berdiam diri terhadap kebenaran di hadapan mata yang wajib ditegakkan dan kemunkaran nyata yang wajib ditegah, PAS tidak mengizinkan para ulamanya menjadi burung kakak tua yang bercakap hanya mengikut apa yang diajar oleh tuannya sahaja dan tidak mampu menilai sendiri.

Adapun alasan berlakunya kekacauan selepas itu, adalah disebabkan salah laku kerajaan terhadap perhimpunan aman, seperti melarang berhimpun di padang dataran merdeka yang menjadi tempat berhimpun dan provokasi pihak yang diadakan sendiri atau diizin oleh kerajaan sendiri. Sikap tidak adil melantik kumpulan penyiasat yang ditunjukkan oleh satu pihak kerajaan sahaja adalah cara yang tidak bermoral untuk menegakkan keadilan yang sebenar. Lebih tidak adil lagi apabila adanya tangkapan selepas bersurai dan menyeksa mereka yang ditangkap, dimaki hamun dan sebagainya.  Ini bukan cara yang bijak untuk mempertahankan kerajaan, bahkan cara menggali lubang sendiri untuk jatuh dengan cara memalukan. Bukan sahaja menjadi sunnah alam dan nas al-Quran dan hadith, serta doa mereka yang dizalimi pasti diperkenan Allah walaupun daripada seorang yang bukan Islam.

Akhirnya, kalau bangsa Melayu masih bersama UMNO yang tidak menegakkan Islam yang sebenar, berlakulah amaran Allah:
وَإِنْ تَتَوَلَّوْا يَسْتَبْدِلْ قَوْمًا غَيْرَكُمْ ثُمَّ لَا يَكُونُوا أَمْثَالَكُمْ ( 38
Maksudnya: Sekiranya kamu berpaling (tidak mahu menegakkan agama kamu) nescaya Allah menukarkan kaum lain, kemudian mereka tidaklah seperti kamu. (Surah Muhammad: 38)

Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang
Presiden PAS

Khamis, Mei 17, 2012

Rally Ceramah PAS Kulai.

Sempena Muktamar Dewan Pemuda PAS Negeri Johor di Kulai, PAS Kulai akan mengadakan siri ceramah umum seperti berikut :


Tarikh : 19 Mei 2012 ( Sabtu )
Masa : 8.00 mlm
Tempat : PASTI Al-Hikmah, Bandar Putra.
Penceramah :
  1. Tuan Haji Mohamad bin Sabu ( Timbalan Presiden PAS )
  2. Cikgu Normala Sudirman ( Naib Ketua Dewan Muslimat PAS Johor )


Tarikh : 20 Mei 2012
Masa : 8.00 mlm
Tempat : PASTI Al-Hikmah, Bandar Putra
Penceramah :
  1. Dato' Tamrin Tun Ghafar ( Mantan Pengerusi MARA / anak mantan Timbalan Perdana Menteri )
  2. Sdr. Mazlan Aliman ( Tim. Pesuruhjaya PAS Johor )

SEMUA DIJEMPUT HADIR.

Sabtu, Mei 12, 2012

PASCA BERSIH 3.0 : JAMINAN KESELAMATAN INDIVIDU YANG DIBURU PIHAK KESELAMATAN

Setelah berakhirnya perhimpunan Bersih 3.0, maka terdapat desakan dan ugutan yang bertalu-talu dari pihak berkuasa Polis DiRaja Malaysia (PDRM) supaya individu tertentu yang telah dikenalpasti bertindak untuk menyerahkan diri bagi melengkapkan siasatan pihak polis dalam isu perhimpunan Bersih 3.0. Malangnya arahan serah diri ini hanya terarah kepada peserta demonstrasi sahaja, sedangkan tindakan segelintir pihak polis tertentu yang telah bertindak di luar batas undang-undang telah dibiarkan begitu sahaja.

Umum mengetahui bahawa kebanyakan mangsa yang menerima layanan buruk dan dicederakan dalam perhimpunan Bersih 3.0 telah berhadapan dengan kekasaran pihak polis ini setelah mereka digari, selain dari dipukul dan disepak secara betubi-tubi oleh pihak keselamatan yang telah mengheret mereka yang sedang dalam proses bersurai. 

Kita akur bahawa penahanan seseorang adalah di bawah bidang kuasa pihak polis, dengan merujuk kepada peruntukan tertentu. Tetapi tindakan memukul mereka yang berhimpun ini, apatah lagi yang sedang bersurai adalah salah dan sangat zalim sifatnya.  Bagaimana mungkin mereka yang dipanggil menyerah diri ini dapat dijamin keselamatan mereka dan tidak berdepan dengan kemungkinan tindakan kekerasan dan dipukul sekali lagi semasa siasatan dijalankan ?.


DATO’ SERI TUAN GURU HJ ABDUL HADI AWANG

PRESIDEN PAS

Khamis, Mei 10, 2012

Cerita Syarip Dol, samseng Kampung Dusun

Syarip Dol memang terkenal sebagai samseng Kampung Dusun, selain dari
kerja rompakan dan samun beliau juga adalah pembeli hasil sawit penduduk
Kampung Dusun.

Oleh kerana tiada pembeli lain di kampung tersebut, maka penduduk mahu
tak mahu terpaksa menjual juga hasil ladang mereka kepada Syarip Dol.

Tambahan pula, beliau sering mengugut penduduk yang cuba menjual kepada
peniaga lain. Namun kerana tidak mengetahui kadar perahan sebenar, maka
penduduk hanya terima berapa sahaja kadar perahan yang diberitahu.

Mereka berasa ok juga Syarip Dol ini kerana walaupun samseng tetapi ia
masih membeli sawit penduduk kampung. Ada yang terfikir kalau Syarip Dol
tak beli lagi daripada mereka, nanya jadinya.

Hasil penipuan kadar perahan ini, Syarip Dol berjaya mengumpul RM200,000
setahun. Ia hidup senang-lenang hasil penipuan tersebut.

Suatu hari penduduk diberitahu sebenarnya kadar perahan yang sepatut
diberi jauh lebih tinggi dari yang mereka perolehi sebelum ini.

Mereka mulai siasat dan ternyata betul laporan tersebut. Ini menyebabkan
ada di kalangan penduduk Kampung Dusun mulai merancang untuk menjual
kepada kilang lain, yang akan membayar lebih tinggi dan kebajikan lebih
baik.

Berita ini membimbangkan Syarip Dol, menyebabkan ia mulai memikir
bagaimana untuk menghalang penduduk Kampung Dusun dari menjual ke kilang
lain.

Lalu, ia kumpulkan penduduk kampung kononnya untuk memberi anugerah
jasamu dikenang. Syarip Dol fikir dari RM200,000 yang berjaya dikumpul
selama setahun hasil penipuan perahan, apa salahnya kalau diberi
RM100,000 kepada penduduk Kampung Dusun.

"Aku masih ada RM100,000 lagi. Apa yang penting penduduk tidak menjual
kepada kilang lain," katanya di hati.

Maka diadakan majlis anugerah, diwar-war seluruh Kampung Dusun bahawa
Syarip Dol nak anugerah wang kepada semua penduduk Kampung.

Pada hari dijanjikan itu, ia mulai mengangkut penduduk kampung, tua
muda, lelaki perempuan, Melayu, Cina, Asli dijamu dengan nasi bungkus
dan disediakan pasukan nyanyian, kompang bagi memeriahkan majlis
anugerah hasil rompakan dan penipuan dari penduduk Kampung Dusun.

Sarip Dol cukup seronok apabila penduduk kampung keluar beramai ramai,
ada yang bertempik hidup Syarip Dol! Hidup Syarip Dol!

Dia tersenyum lebar. Penduduk mula terngaga apabila Sarip Dol
menceritakan pengorbanannya selama ini, dan ingatkan penduduk agar
kenang jasa dia.

Maka sampai masa dinanti nanti, Syarip Dol umumkan durian runtuh
RM100,000 akan berikan kepada penduduk Kampung Dusun lelaki, perempuan
dan anak anak.

Lalu bertempik soraklah penduduk kampung - ada yang pengsan terkejut,
ada yang selak tak terkata, ada yang menangis kesyukuran, ada yang
mengiling kepala tak percaya Syarip Dol baik sunggguh.

Lalu bergemalah lagi jeritan ucapan hidup Syarip Dol! Hidup Syarip Dol!

Lalu Syarip Dol dengan lantang bertanya penduduk Kampungg Dusun, "Apakah
tuan-tuan nak jual di kilang lain lepas ini??!!"

Serentak jawapannya "TIDAK! Tidak! Kami sokong Syarip Dol."

Mendengarkan kata kata itu, Syarip Dol tersenyum puas hati. Walaupun
hakikat apa yang diberi hanyalah hasil penipuan kadar perahan, perahan
keringat penduduk kampung, hasil penipuan yang dikembalikan kepada
mereka semula.

Syarip Dol kagum bila ada seorang tua berkata mana nak cari tokeh baik
macam Syarip Dol di dunia ini.....

Sekadar renungan untuk senyuman hari ini.

-----------------------------------------------------------
Penulis adalah Ketua Penerangan PAS Pusat.

Cerita untuk direnungkan para peneroka....

Di sebuah kampung, Allah kurniakan tanah yang amat subur kepada
penduduknya.

Segala yang ditanam akan menghasilkan buah dan pulangan. Walaupun tanah
itu tidaklah besar, tapi hasil pertaniannya cukup untuk menyara sebuah
kampung malah ada lebihan.

Pada satu hari, datang seorang ahli perniagaan kaya, yang berkata kepada
penduduk, ada pelan untuk durian runtuh, dapat duit dengan cepat.

Pelannya begini:

Penduduk cagarkan tanah yang subur itu kepada peniaga - dengan 2 syarat:

1. peniaga akan bayar balik sejumlah wang dan

2. "batu istimewa" akan dijualkan kepada pengguna - "batu istimewa" ini
dijamin peniaga akan meningkat nilai pasarannya buat selama-lamanya.

Penduduk kena membeli "batu istimewa" ini yang diwar-warkan sebagai
telur emas, dengan pinjaman atau duit sendiri.

Asalkan penduduk tidak menjual "batu istimewa" tersebut, "batu istimewa"
tersebut akan menghasilkan wang tunai, sekiranya peniaga untung besar.

Di sebalik itu, yang tidak diketahui penduduk kampung tersebut ialah -
peniaga yang mencagarkan tanah tersebut mendapat RM50. Yang diberi balik
pada peneroka hanyalah RM15, bersama satu "batu istimewa" yang dijamin
dapat membawa pulangan lumayan.

Ada pihak B yang kenali sikap peniaga ini cuba menasihati penduduk
kampung ini, tapi penduduk kampung hanya nampak kebesaran RM15.

Pihak B memberitahu penduduk - faham maksud cagaran. Peniaga kaya itu
memberitahu tanah itu masih milik penduduk kampung - betul kata pihak B,
sekiranya tiada masalah berlaku.
Sekiranya apa-apa berlaku kepada peniaga kaya tersebut, tanah itu akan
hilang daripada penduduk kampung, kerana ia hak milik orang lain, pihak
yang membayar peniaga kaya untuk tanah itu.

Penduduk kampung yang tertarik dengan tawaran tersebut, disuruh
menandatangani satu perjanjian secara cepat - di mana perjanjian
tersebut tertulis "jika berlaku kerugian, penduduk kena tanggung semua,
dan tak boleh saman peniaga."

Penduduk teruja dengan tawaran tersebut kerana tanah yang Allah
kurniakan hanya dapat menghasilkan RM2 sebulan.

Kini, peniaga beri RM15 sekaligus, 7 bulan hasil. Tapi mereka lupa, RM15
ini sekali sahaja, RM2 yang dijana adalah berterusan sampai bila-bila
sehingga generasi kedua atau ketiga.

Bukan main seronok penduduk berterima kasih kepada peniaga ketika
menerima RM15. Tapi keperitan datang selepas setahun, dua apabila "batu
istimewa" yang dijanjikan tidak mendatangkan hasil, tanah yang
dicagarkan peniaga bukan lagi milik sendiri.

Peniaga berkata perjanjian dah kata dengan jelas, kerugian perlu
ditanggung sepenuhnya oleh penduduk kampung dan anda tak boleh saman.

Menangislah penduduk, menyuruh orang pihak B menyelamatkannya. Nak
selamat macam mana?

Ini sekadar cerita luahan untuk renungan bersama. Alhamdulilah, ada masa
untuk menceritakannya untuk dikongsikan.

------------------------------------------------------------------------
Penulis adalah Ketua Penerangan PAS Pusat dan juga Pesuruhjaya PAS
Pahang.