Selasa, Ogos 28, 2012

BID'AH.

Bid'ah adalah perkara yang ada hubung kait dengan agama, yang tidak dilakukan pada zaman Rasulullah s.a.w. dan juga pada zaman para sahabat tetapi dilakukan selepas wafat Rasulullah s.a.w.

Dalam menjawab persoalan pembahagian bid'ah : samada benar pendapat yang mengatakan terdapat bid'ah wajib, bid'ah sunat, bid'ah makruh dan bid'ah haram berserta contoh-contohnya, Syiekh Daud Abdullah al-Fatani menjawab :

Memang terdapat bid'ah yang wajib iaitu sesuatu yang tidak ada pada zaman Rasulullah s.a.w. tetapi dituntut dan wajibkan supaya kita lakukan. Contohnya, kita diwajibkan mempelajari ilmu nahu dan saraf sebagai alat memahami al-Quran dan sunnah rasil kerana mempelajari ilmu-ilmu seperti itu adalah wajib.

Memahami hukum syariat adalah perkara wajib dan kita tidak akan dapat memahami hukum syariat melainkan terlebih dahulu memahami ilmu nahu dan saraf. Ini bererti jika kita tidak dapat menyempurnakan sesuatu yang wajib melainkan dengannya, maka ia dikira sebagai wajib. 

Adapun antara jenis bid'ah yang haram ialah seperti fahaman Qadariyah, Murjiyah dan Mujassima. Mereka ini terang-terang menolak adanya bid'ah yang wajib.

Adapun bid'ah yang sunat ialah seperti membina madrasah, menyediakan tempat mengikat tali kuda, bersolat terawih berjemaah di masjid dengan dua puluh rakaat seperti yang biasa dilakukan dan begitu juga tiap-tiap sesuatu yang mempunyai kebaikkan dan kebajikan yang tidak dilakukan pada zaman Rasulullah s.a.w. dan para sahabat.

Antara bid'ah yang harus pula contohnya seperti berjabat tangan setiap kali selepas solat berjemaah, memakai songkok atau ketayap, meluaskan tangan baju dan berbagai-bagai lagi.

Antara bid'ah yang makruh ialah seperti menghias bangunan masjid dan sekolah-sekolah.

Adapun bid'ah yang tercela (mazmumah) ialah perkara yang menyalahi syarak kerana setiap bid'ah yang termasuk dalam kategori ini adalah dikira sesat.

Petikan : Kitab Furu' al Masa'il wa Usul al Wasa'il.


Khamis, Ogos 23, 2012

Pembinaan rumah Mak Teh : Kini siap sepenuhnya dan sudah diduduki.

Alhamdulillah dengan izin Allah rumah ini mampu disiapkan dan kini  sudah diduduki oleh penghuninya iaitu Mak Teh sekeluarga. Selepas menulis artikel yang sama semalam, penulis terus berkunjung kerumahnya pada sebelah malam ditemani sahabat yang bertanggungjawab penuh dalam pembinaan rumah tersebut. Tujuannnya ialah untuk bertanya khabar dan melihat sendiri sambutan hari raya keluarga ini pada tahun ini. Ternyata berbeza, walaupun sederhana dan kelihatan raut wajah gembira terpapar diwajah masing-masing.

Tahun ini anak-anaknya semua pulang berhari raya di kampung. Ada dari Kuala Lumpur, dari Terengganu termasuk juga mereka yang dekat. Lapan buah kereta semuanya. Itulah yang dikhabarkan kepada kami semasa kunjungan tersebut. Gembiranya bukan kepalang. Sampai beliau bercadang hendak mengundang kami datang menikmati masakan juadah hari raya dirumahnya di hari raya pertama. Sahabat yang mengiringi penulis memberitahu kebanyankkan kami pulang beraya dikampung. Ternyata benar Islam menggembirakan yang sedih dan menyenangkan yang susah.

Ibu tua ini terus bercerita, pasal keluarga, pasal kampung, pasal anak-anak dan macam-macam lagi. Banyak benar yang nak disampaikan. Kami pula cuba menjadi pendengar yang baik sambil mengangguk sekali sekala membenarkan apa yang disampaikan. Tidak sekalipun ia mengeluh tentang nasib dirinya dan anak-anak. Kalimat syukur dan terima kasih tidak putus-putus keluar dari mulutnya. Tabah betul wanita ini. Walaupun hidup serba kekurangan dan terpaksa menjaga anak-anak yang kurang upaya. Benar firman Allah yang bermaksud "Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya"...

Kepada semua yang telah menyumbang kepada Tabung Mak Teh yang dilancarkan oleh PAS Kawasan Kulai, kami warga kerja PAS mengucapkan jutaan terima kasih yang tak terhingga. Tanpa sumbangan anda semua, hasrat kami dan ibu ini tidak akan terlaksana. Semoga Allah jualah yang akan membalasnya.

JAZAKALLAH KHAIRAN KASIRA.





Rabu, Ogos 22, 2012

Allahu Akbar....Allahu Akbar....Allahu Akbar....Walillahilham...

Alhamdulillah...Ramadhan telah pun berlalu. Semoga Allah swt menerima segala amal kita di bulan yang penuh dengan keberkatan ini. Kini Syawal pula menjelma, membawa manusia kembali kepada fitrah kejadian. Antara amal kebajikan yang mulia disisi Allah ialah mengembirakan mereka yang miskin dan serba kekurangan kerana Islam itu menyenangkan mereka yang susah dan mengembirakan mereka yang sedih.

Antara kejayaan besar warga PAS Kulai yang telah ditakdirkan Allah ialah menyiapkan sebuah rumah usang milik seorang warga emas di Felda Taib Andak, Kulai. Berkat usaha gigih yang tidak pernah mengenal erti jemu, pembinaannya yang dilancar sejak Aidil Fitri tahun lalu telah berjaya disiapkan menjelang Aidil Fitri tahun ini. Tahun 1433H, keluarga ini berhari raya dirumah baru mereka hasil sumbangan orang ramai dan warga PAS Kulai.

Alhamdulillah...raut-raut wajah gembira pasti terpancar dari keluarga ini walaupun ketika artikel ini ditulis, penulis belum berkesempatan untuk menziarahi mereka. Semoga Mak Teh dan anak-anak dapat menyambut Syawal dengan lebih bererti. Kami doakan agar keluarga ini diberi petunjuk dan hidayah Allah swt serta bersyukur diatas segala nikmat yang telah dikurniakan dan digolongkan dikalangan hamba-hambaNya yang beriman dan beramal soleh. Amin...






Selasa, Ogos 14, 2012

Layanilah anak-anak yatim sebaik mungkin. Sedarlah.....


Firman Allah yang bermaksud :
 
"Dan hendaklah takut (kepada Allah daripada melakukan aniaya kepada anak-anak yatim oleh) orang-orang (yang menjadi penjaganya), yang jika ditakdirkan mereka pula meninggalkan anak-anak yang daif (yatim) di belakang mereka, (tentulah) mereka akan merasa bimbang terhadap (masa depan dan keselamatan) anak-anak mereka; oleh itu hendaklah mereka bertaqwa kepada Allah, dan hendaklah mereka mengatakan perkataan yang betul (menepati kebenaran)" - Surah an Nisa':9 

Nasib sebagai anak yatim kadangkala tidak selalu baik. Ada pihak yang tidak bertanggungjawab sanggup mengambil kesempatan terhadap mereka demi kepentingan sendiri. Walhal, anak yatim sebenarnya mempunyai tempat yang tersendiri di sisi Allah SWT dan disifatkan sebagai bunga-bunga syurga.

Menyantuni mereka khususnya di bulan Ramadhan yang penuh dengan keberkatan ini amat digalakkan bahkan disanjung. Apatah lagi menjamu mereka dengan juadah berbuka puasa tetapi janganlah sampai diasingkan mereka sehingga kelihatan sangat hina dan tidak bernilai sedangkan Allah swt menyifatkan mereka sebagai bunga-bunga syurga.

Sedarlah wahai saudaraku......
Orang yang tinggi darjatnya disisi Allah ialah mereka yang tinggi ketaqwaannya, bukannya pangkat dan kedudukan.





 

Pembinaan rumah Mak Teh.

Berikut adalah gambar-gambar terkini setakat 11 Ogos 2012. PAS Kulai mengucapkan terima kasih kepada Tabung Harakah diatas sumbangan sebanyak RM2000.00 untuk pembinaan rumah warga emas ini. Kini kerja-kerja akhir sedang giat dijalankan bagi memastikan penghuninya dapat berhari raya di rumah baru. Insya'allah usaha-usaha sedang dilakukan agar penyerahan rasmi kepada Mak Teh akan dilakukan oleh Y.B. Dato' Seri Presiden Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang pada tarikh yang akan diumumkan kelak.








Singgah Iftar PAS Kawasan Kulai.

12 Ogos 2012 bersamaan 23 Ramadhan 1433H.
Rombongan Singgah Iftar PAS Kulai kali ini tertumpu di kawasan Kampung Melayu Sedenak dan telah menziarahi 20 keluarga disekitar kampung tersebut. Disamping itu satu program Iftar Perdana dan serahan bantuan kepada golongan kurang mampu juga diadakan di Taman Manis melibatkan 17 keluarga dari Kampung Rahmat, Taman Manis dan Taman Wawasan. Selain barangan keperluan untuk menyambut hari lebaran, serahan wang zakat juga telah diberikan. Serahan telah dilakukan oleh  Sdr. Mazlan Aliman selaku Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Johor merangkap AJK PAS Pusat.

Rata-rata penerima adalah ibu tunggal yang telah kematian suami dan terpaksa menyara keluarga. Namun terdapat juga ketua keluarga yang kurang mampu telah diraikan bersama agar mereka juga dapat merayakan hari lebaran sebagaimana mereka yang lain.

Kepada semua dermawan yang telah menyumbang untuk kami menjayakan program pada tahun ini, penulis bagi pihak seluruh warga PAS Kulai mengucapkan jutaan terima kasih diatas sumbangan yang telah dihulur. Semoga Allah swt membalasnya dengan balasan yang setimpal dan diucapkan Jazakallah Khairan Kasira.











HUDUD : DAP MENENTANG, UMNO MENOLAKNYA

Pendahuluan : Sumber memahami ajaran Islam

Sesiapa sahaja yang ingin mengetahui Islam secara ikhlas, maka wajiblah mereka membaca dan mengkaji daripada sumber asasi Islam iaitu kitab suci Al Quran dan cara pelaksanaanya melalui hadith-hadith yang soheh. Begitu juga penjelasan daripada para ulama muktabar, sama ada menerusi kitab-kitab tafsir, hadith dan ilmu feqah serta sejarah pelaksanaan oleh kerajaan-kerajaan Islam yang adil, bukannya kerajaan Islam yang zalim.
Tentulah akan berlaku kesilapan dan boleh menyesatkan jika sekadar membaca dari sumber yang tidak benar dan mengelirukan seperti penulisan para orientalis yang tidak beriman atau media yang tidak juga beriman dan budiman. Apatah lagi cuba mendalami Islam menerusi media yang mencampur adukkan hak dan batil, mencampur adukkan terjemahan Al Quran, tulisan-tulisan serta gambar lucah dan keputusan judi nombor ekor untuk mendapat keuntungan wang tanpa mengira halal dan haram.  Begitu juga dari kalangan para ulama contoh daripada ahli kitab yang disumpah menjadi kera, binatang yang bergayut di pokok yang banyak buah yang boleh dimakan. Kalau diberi bunga yang cantik dan harum nescaya diciumnya. Kemudian dikoyak rabak merosakkannya. Begitulah ajaran Islam yang murni juga dikoyak rabaknya, kerana kedudukan dan periuk nasi kononnya.

Keseluruhan surah Madaniyyah (yang diturunkan di Madinah) dan ayat – ayatnya yang menyatakan hukum jenayah Islam di antaranya hukum Hudud. Ketika Islam memerintah negara masyarakat majmuk pelbagai bangsa, penganut berbagai agama dan aqidah menjadi rakyat. Berlakunya perbezaan agama dan aqidah dan mecetuskan perbahasan dengan kalangan bukan Islam secara terbuka.

Allah berfirman dalam al-Quran, Surah al-Baqarah ayat 120  :

Maksudnya : “Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (Wahai Muhammad) sehingga Engkau menurut agama mereka. Katakanlah (kepada mereka): "Sesungguhnya petunjuk Allah (agama Islam itulah petunjuk Yang benar". dan Demi Sesungguhnya jika Engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka sesudah datangnya (wahyu Yang memberi) pengetahuan kepadamu (tentang kebenaran), maka tiadalah Engkau akan peroleh dari Allah (sesuatupun) Yang dapat mengawal dan memberi pertolongan kepada mu”.

Banyak lagi ayat-ayat yang tegas daripada surah yang lain yang bersifat Madaniyyah, di antaranya jawapan kepada soalan dan tuduhan kaum bukan Islam yang hidup bersama masyarakat Islam, daripada kalangan Yahudi, Nasrani dan kabilah musyrikin yang belum Islam serta kumpulan munafik yang berpura-pura Islam. Mereka adalah kalangan yang tidak ada kuasa pemerintahan dan bebas bercakap tanpa larangan. Ada pun ayat-ayat peperangan adalah bagi menghadapi musuh yang datang menyerang atau membuat persediaan untuk berperang.

Dalam konsep hubungan berbagai kaum, Islam mendahulukan perdamaian dan mengharamkan paksaan dalam berdakwah. Ini kerana paksaan tidak memberi makna Islam yang sebenar, tetapi hanya melahirkan golongan munafik. Allah berfirman dalam Al Quran (al-Hujurat :14) mendedahkan sikap sebenar kaum badawi :

Maksudnya : Orang-orang  A'rab(badawi) berkata: " Kami telah beriman". Katakanlah (Wahai Muhammad): "Kamu belum beriman, (janganlah berkata demikian), tetapi sementara iman belum lagi meresap masuk ke dalam hati kamu berkatalah sahaja:  “Kami telah Islam”. dan (ingatlah), jika kamu taat kepada Allah RasulNya (zahir dan batin), Allah tidak akan mengurangkan sedikitpun dari pahala amal-amal kamu, kerana Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani".

Tiada paksaan menerima hudud untuk bukan Islam

Apabila kaum Yahudi yang berpegang kepada kitab suci Taurah, walaupun di dalamnya ada hukum hudud yang sama dalam Al Quran, namun Allah memerintah Rasulullah S.A.W. tidak memaksanya. Firman Allah (al-maidah : 42) :

Maksudnya : Dan jika mereka datang kepadaMu, maka hukumlah di antara mereka (dengan apa Yang telah diterangkan oleh Allah), atau berpalinglah dari mereka (biarkan); dan kalau Engkau berpaling dari mereka maka mereka tidak akan dapat memudaratkanmu sedikitpun; dan jika Engkau menghukum maka hukumlah di antara mereka dengan adil; kerana Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang Yang berlaku adil.

Ayat ini antaranya menjadi dalil kepada pada pendapat yang menyatakan  bahawa tiada paksaan hukuman hudud terhadap orang bukan Islam sebagaimana pendapat dari mazhab Maliki yang diamalkan dalam masyarakat majmuk di utara Afrika dan Andalusia dan mazhab Hanafi yang berkembang dalam masyarakat majmuk di Iraq, India dan China. Berbeza dengan Mazhab Syafei yang tersebar di tanah Hijaz dan semenanjung arab yang terdiri daripada penganut Islam, ahli kitab dan Majusi.

Saya memuji betapa bijaksana para pendakwah kalangan ulama yang membawa Islam di alam Nusantara termasuk Tanah Melayu. Kerajaan Islam Melaka berabad lalu menyediakan dua undang-undang jenayah sama ada undang jenayah Islam termasuk undang-undang Hudud atau undang-undang adat bagi kaum bukan Islam Hindu dan Budha. Di Kedah masih ada rumah ibadat Hindu Melayu di Merbok yang tidak dimusnahkan oleh kerajaannya. Di Terengganu tempat penemuan batu bersurat yang mencatatkan undang-undang Hudud, masih digunakan rumah ibadat agama Budha dikampung Jeram Terengganu.

Al Quran mewajibkan pelaksanaan yang adil dalam perkara kemanusiaan yang sama dalam konsep Negara berkebajikan yang diamalkan oleh Rasulullah S.A.W. dan para Khulafa yang adil dalam menangani hak beragama, berbudaya, bekerja, menangani kemiskinan dan sebagainya.

PAS dan dasarnya

PAS menyatakan dasarnya secara terbuka dan DAP juga menyatakan perjuangannya secara terbuka dan berdailog secara terbuka. Maka PAS dapat bekerjasama dalam perkara yang ada persamaan tanpa melarang dan memaksa dalam perkara yang berbeza. Ada perkara boleh bertolak ansur dan ada perkara yang tidak boleh berganjak. Sabda Rasulullah S.A.W. : “Orang Islam itu wajib bertanggungjawab di atas syarat yang ditetapkan, melainkan syarat yang menghalalkan yang haram dan mengharamkan yang halal”.

Sepertimana juga DAP tidak boleh memaksa ahli PAS meminum arak dan memakan daging khinzir, maka PAS juga tidak boleh melarang ahli DAP dari minum arak dan makan daging khinzir. Perlembagaan PAS mewajibkan memecat sesiapa kalangan ahli PAS yang meminum arak dan memakan daging khinzir. Perlembagaan Umno tidak boleh memecat ahli UMNO yang minum arak bersama MCA , MIC dan Gerakan.

Begitulah nyatanya PAS tidak boleh menghalang DAP menentang Hudud dan DAP tidak berkuasa menghalang PAS menyatakan haknya. Pandangan pimpinan tertentu DAP pula tentulah tidak sama dengan pandangan pimpinan UMNO yang berkuasa selama puluhan tahun di Malaysia ini. Berbeza dengan UMNO yang sudah berkuasa bersama parti-parti rakannya sejak kemerdekaan negara mencecah lebih setengah abad. PAS adalah kalangan Melayu yang tidak lupa dan tidak mudah lupa seperti Melayu UMNO yang mudah lupa.

Sejak awal kemerdekaan PAS memperjuangkan Syariat Allah wajib ditegakkan, termasuklah hukum Hudud. Sejak awal kemerdekaan juga para pemimpin Umno menentang hukum Islam seperti hukum Hudud. Hanya berhukum sekadar yang diizinkan oleh kerajaan penjajah Inggeris. Maka pada masa itu  hukum hudud menjadi sasaran dihina, bahkan menganggap politik tidak ada hubungan dengan agama. PAS tetap beranggapan sikap UMNO itu kerana kejahilan dan terus bersabar mengemukakan hujah  dan melarang ahli-ahlinya yang melampau dalam menghukum. Hinggalah yang melampau itu melompat ke dalam UMNO. Berkat kesabaran itu maka tidak ada lagi kenyataan menentang secara terbuka di waktu ini. Kenyataannya bertukar kepada menentang secara bersilat gayung seperti kenyataan “Hudud PAS” atau “belum tiba masanya” walau pun berlalu masa setengah abad.

PAS mengemukan undang-undang jenayah Syariat termasuk hukum Hudud diperingkat negeri Kelantan dan Terenganu melalui proses demokrasi. Undang-undang tersebut digubal oleh jawatankuasa khas bersama daripada PAS dan kerajaan negeri melibatkan beberapa ahli Majlis Syura Ulama dan pakar undang–undang seperti Tun Saleh Abas, mantan Ketua Hakim Negara, al-Marhum Prof Dr Ahmad Ibrahim (tokoh akademik dan ahli PAS Singapura) Almarhum Prof Dr Saedun Awang (tokoh akademik dan Mantan Mufti Brunei Darussalam). Apa yang berlaku ialah, pihak UIA di bawah kerajaan UMNO lah yang mengarahkan kedua tokoh akademik meletakkan jawatan sebagai panel ini, namun urusannya dapat diselesaikan.

Rang undang-undangnya terlebih dahulu dibentangkan kepada umum. Dengan jasa baik YBM Tengku Razaleigh Hamzah, maka dijemput semua parti-parti politik termasuk komponen BN yang dipimpin UMNO dan NGO berbagai agama. Keseluruhannya hadir kecuali BN. Semua pandangan dan kritikan didengar dan dijawab. Selepasnya diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri kedua-dua negeri yang PAS mendapat sokongan majoriti. Akhirnya diperkenankan oleh DYMM Sultan dikedua-kedua negeri. Ada pun pelaksanaannya bergantung mengikut proses perlembagaan di bawah kerajaan Pusat yang dipimpin oleh Umno. Kalau UMNO boleh meminda perlembagaan mengambil kesempatan kesilapan seorang sultan dengan mengambil kuasa bagi kepentingannya, mengapa tidak boleh menyelesaikan perlembagaan bagi melaksanakan undang Islam?

Hudud ditolak oleh UMNO

Kemudian daripada itu, kerajaan Kelantan mendapat surat amaran daripada Kerajaan Pusat pimpinan UMNO.  Kerajaan Terengganu dan Kelantan didakwa dimahkamah  oleh pemimpin UMNO kerana undang-undang tersebut. Berikutnya berlaku kempen menakutkan pelabur dan rompakan royalti Petroleum daripada Terengganu melalui usul perwakilan Umno Terengganu dalam Perhimpunan UMNO tahun 2000 dan dinafikan hak Kelantan. Tetapi tidak dilakukan kepada Sabah di bawah PBS dan Singapura ketika dalam Malaysia. Di mana salahnya PAS ?
Inilah dia dua sikap yang berbeza. DAP ditonjolkan sebagai parti yang menentang hudud oleh media arus perdana kawalan Kerajaan BN, dalam masa yang sama hakikatnya ialah UMNO yang berkuasa memimpin kerajaan pusat itu pula juga menolak Hudud dengan rentetan seperti yang saya tulis di atas. DAP menolak hudud dengan menampilkan hujah mereka, manakala MCA pula menolak hudud dengan tempikan tuduhan UMNO hilang akal.
Hakikatnya ialah tema “Hudud” ini telah dan kembali lagi menjadi kitaran isu musim pilihanraya oleh UMNO untuk melaga-lagakan rakyat, tanpa rasa bertanggungjawab terhadap panduan agama Islam yang murni. Sedangkan merekalah yang sebenarnya sekian lama menolak hukum hudud ini !

Sekian untuk pusingan pertama, sila tunggu pusingan berikut kalau ada silat gayungnya.

Dato' Seri Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang

PRESIDEN PAS

Isnin, Ogos 06, 2012

Singgah Iftar PAS Kawasan Kulai

5 Ogos 2012 bersamaan 16 Ramadhan 1433H
Seperti biasa rombongan Singgah Iftar PAS Kulai bergerak pada setiap hari Ahad. Kali ini kami berkunjung sekitar beberapa taman perumahan di Bandar Kulai meliputi Taman Mewah, Taman Desa Kulai, Taman Timur dan Taman Gunung Pulai. Hampir 13 keluarga telah diziarahi. Sebelum itu penulis dan Sdr. Mazlan Aliman telah menziarahi sebuah keluarga India di Taman Manis yang kematian suami dan hidup dalam kesusahan. Kami sempat bertanya khabar sambil menghulurkan sedikit bantuan kewangan bagi meringankan sedikit bebanan yang ditanggung.

Minggu hadapan kami akan berkunjung ke Kg. Rahmat, Taman Manis dan Kg. Melayu Sedenak. Nantikan kami disana.














Semoga ALLAH meredhai segala uasaha yang dilakukan didalam bulan yang penuh dengan kerahmatan ini. 
INSYA'ALLAH.