Isnin, Oktober 31, 2011

PAS kecam Soi Lek Cetus Polemik Agama

PAS mengecam tindakan melampau Presiden MCA, Datuk Seri Chua Soi Lek yang akhir-akhir ini banyak menceroboh dasar-dasar Islam dalam komentarnya yang melampaui batas susila bermasyarakat yang menjamin kebebasan beragama dan saling menghormati antara agama.

Sikap hormat terhadap agama lain untuk mempraktik ajaran masing-masing tidak pernah dibantah oleh umat Islam dan inilah intipati kepada teras perpaduan negara. Namun PAS kesal sikap campurtangan melampau beliau akan mencetuskan polemik dan sikap benci-membenci dan mencurigai antara agama.


PAS menyangkal keras kenyataan bahawa dengan pelaksanaan hukum hudud menyebabkan pelabur tidak akan datang dan menakutkan masyarakat bukan Islam. Sedangkan Arab Saudi yang melaksanakan sistem perundangan Islam menjadi rakan pelabur utama China dan negara Barat.

Para pelabur sangat mengharapkan satu jaminan keselamatan terhadap pelaburan mereka dan ini dibuktikan dengan kejayaan pelaburan mereka di negara yang melaksanakan syariat Islam.


Apa yang mendukacitakan ialah kebimbangan beliau kepada pelaksanaan hukum Islam yang hanya akan dikenakan kepada umat Islam sahaja; yang bertujuan menyelamatkan masyarakat dan negara dari kejahatan penjenayah samada terhadap harta atau nyawa dan keselamatan masyarakat.

Kejahilan akibat berkawan dengan Umno menyebabkan beliau yang gagal menyelesaikan masalah dalaman MCA, kini cuba menyembunyikan kelemahan pentadbirannya dan menarik sokongan masyarakat Cina dengan menyerang hukum Islam.

Tindakan bacul ini akan hanya menambah kebencian masyarakat pelbagai kaum di negara ini terhadap MCA, sebab sebahagian rakyat sudah tidak terkejut kerana umum mengetahui ia datang daripada seseorang yang mempunyai latar belakang yang tidak melayakkan seseorang menjadi pemimpin berwibawa.

Lebih malang kini, Umno yang menjadi tulang belakang BN bersikap diam membisu terhadap beberapa kritikan melampau parti-parti dalam komponan BN terhadap ajaran Islam. Sikap lepas tangan Perdana Menteri dan para pemimpin Umno mengambarkan Umno hanya berminat menjaja isu agama sebagai modal politik daripada menjamin sikap hak beragama dilaksanakan.



Ustaz Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man

Ketua Penerangan PAS Pusat


Khamis, Oktober 27, 2011

Laporan Audit tak berkesan, BN hanya faham bahasa “Peti Undi”

Inilah kesimpulan dari Laporan Audit 2010 yang sekali lagi menegur kelemahan ketara dalam pengurusan kewangan negara terutamanya dalam pengurusan projek dan membeli perkakas.

Walaupun Ketua Audit Negara (KAN) telah membuat pelbagai teguran setiap tahun, namun perkara yang sama terus dilakukan, yakni budaya ketirisan, keborosan dan pembaziran yang disemai BN terus subur tanpa sebarang kekesalan.

Mengikut laporan terbaru, antara teguran yang dibuat KAN, ia kelakuan agensi kerajaan yang sangat jelas melanggari undang-undang. Sebagai contoh, bangunan tambahan Perpustakaan Negara yang diduduki tanpa sijil CF tidak sepatutnya berlaku kerana sebagai sebuah agensi kerajaan, mereka mesti tahu peraturan dan risiko menduduki sesebuah bangunan tanpa Sijil Boleh Menduduki (CF).

Demikian juga teguran terhadap banyaknya projek kerajaan diberi melalui runding terus dan ianya jelas suatu tindakan untuk memberi projek kepada kroni dan mereka yang tidak layak menerimanya.

Antara projek runding terus yang merugikan negara ialah pembelian kuda “sakit” oleh Majlis Sukan Negara. Daripada 23 ekor kuda yang dibeli dengan harga RM246,000 seekor, hanya 5 ekor sahaja layak bertanding.

Selain itu, juga dilaporkan kesanggupan Jabatan Taman Laut Malaysia (JTLM) membelanjakan lebih daripada RM128,000, iaitu lebih 2,810% di dalam pembelian pelbagai jenis peralatan. Antara yang paling menjengkelkan ialah pembelian sebuah binokular pada harga RM56,350 or 2,805% tinggi daripada harga pasaran RM1,940.

MARA (Majlis Amanah Rakyat) juga tidak kurang hebatnya kerana sanggup membeli ketuhar hampir 300% (RM1,200) lebih tinggi daripada harga pasaran RM419 dan “katil boleh lipat” pada lima kali ganda RM500 yang harga pasarannya RM100. Keborosan sedemikian ini tidak kena pada tempatnya kerana ia tidak mendatangkan sebarang faedah pada warga MARA.

Selain itu, syarikat-syarikat GLC yang ditegur bertahun-tahun juga terus dilanda kerugian. Antara yang mencatat kerugian yang besar adalah Syarikat Perumahan Negara Bhd (RM21.4 juta), Indah Water Konsortium Bhd (RM33.4 juta), Aset Global Network Sdn Bhd (RM41.1 juta), Keretapi Tanah Melayu Berhad (RM92.6 juta), manakala Prasarana Bhd (RM367.1 juta).

Pada skop yang lebih besar, hutang negara meningkat 12.3% kepada RM407.11 billion pada 2010 daripada RM362.39 billion di 2009, dan ini merupakan tahun kedua berturut-turut nisbah hutang negara kepada KDNK melebihi 50% pada 53.1%.

Semua di atas menunjukkan teguran bahasa audit tidak difahami BN, jesteru mereka terus menghampakan rakyat tanpa sebarang perubahan dilakukan. Maka, jelas yang boleh mengajar mereka ialah peti undi, dan rakyat tidak seharusnya mensia-siakan peluang di petak undi bagi mengajar dan menghukum kerajaan pekak ini.

Kekecewaan ini akan pasti berulang selagi kerajaan yang ada tidak diganti dengan kerajaan baru yang lebih beramanah dan bertanggungjawab.

Ustaz Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man

Ketua Penerangan PAS Pusat

25 Oktober 2011

Selasa, Oktober 25, 2011

Bicara halal-haram seni di Kulaijaya.

MALAM 15 Oktober lalu bersamasama dengan Bob Lokman, Imam Muda Asyraf dan Dr Muhaimin Sulamhttp://1.bp.blogspot.com/-RzUa1T9ZHhE/TpQOJ6vTDDI/AAAAAAAAIzU/sQBxyjtClBM/s1600/bob-lokman.jpg, saya berkongsi pentas forum membicarakan topik “Seni: Halal atau Haram?”, anjuran PAS Kawasan Kulai, di sebuah dewan dalam Kelab Golf Palm Villa, Kulaijaya, Johor.

Alhamdulillah, majlis berjalan dengan baik, dalam suasana yang agak santai disebabkan cara dan gaya Bob Lokman mengendalikannya sebagai moderator forum.



Mulanya dijadualkan Muhaimin sebagai moderator, tetapi Muhaimin mencadangkan Bob Lokman kerana Bob Lokman memang seorang pengacara. Dan Bob Lokman pun setuju, memang dia seorang pengacara dan juga pelawak, katanya.

Tahniah PAS Kulai kerana menganjurkan forum yang agak lari dari kebiasaan PAS ini. Membicarakan kesenian dan kebudayaan bukanlah kebiasaan PAS, walaupun sudah lebih setahun wujudnya Lajnah Kesenian dan Kebudayaan. Dan terima kasih kepada Mazlan Aliman (AJK PAS Pusat) kerana menjemput saya menjadi panelnya.

Forum ini diadakan di dalam dewan yang agak eksklusif. Khabarnya kena bayar tiket. Maksudnya ia bukan dibuat sebagai agenda politik popular untuk orang ramai berhibur dengan Bob Lokman dan Imam Muda Asyraf (secara percuma di tempat terbuka), tetapi ia jelas bertujuan untuk suatu bicara yang serius mengenai seni dan budaya.

Langsung tidak ada injeksi politik di dalamnya. Ucapan perasmian dan penutup pun tidak ada. Mazlan Aliman hadir hanya sebagai penonton, dan mendengar bicara ahli-ahli panel daripada awal hingga akhir, naik pentas hanya untuk menyampaikan ceenderamata kepada panel, dan selepas itu bersambung dengan bual-bicara sambil makan lewat malam di restoran, bersama dengan YDP Hisham Mohd Zin.

Mengapa saya ceritakan hal titik-bengik ini? Saya ceritakannya untuk menunjukkan sifat kesungguhan penganjuran majlis itu, yang tidaklah semestinya diselit atau diganggu dengan agenda politik. Mungkin nampaknya suatu perkara kecil dan remeh, tetapi impak dan implikasinya tidak kecil. Ia penting untuk difahami.

Alhamdulillah, malam itu kita berbicara soal kesenian dan hiburan. Yang manakah yang halal dan yang manakah yang haram di sisi Islam? Saya bawa dan tunjukkan dua buku yang menjadi rujukan utama saya dalam hal halal-haram seni. Siapa Bilang Musik Haram? Pro Kontra Masalah Musik dan Nyanyian karya Syeikh Muhammad Nashiruddin Al-Albani (terjemahan Indonesia) dan Seni Dalam Islam karya Dr Yusuf Qaradhawi (terbitan Jakim).

Syeikh Nashiruddin, seorang pakar hadis di zaman mutakhir, yang penilaian sahih dan tidaknya terhadap hadis diterima umum, berhujah dengan hadishadis sahih mengatakan bahawa muzik adalah haram di sisi Islam.

Manakala Dr Yusuf Qaradhawi pula, juga seorang ulama mutakhir yang pendapatnya menjadi rujukan di seluruh dunia, berhujah mengatakan bahawa muzik dan hiburan dibenarkan Islam.

Demikianlah juga ulama Islam sejak zaman sahabat dulu hinggalah sekarang, tidak pernah sepakat dalam soal halal-haram muzik dan seni dalam Islam. Sebahagian berpendapat ia halal manakala sebahagian lagi berpendapat ia haram. Masing-masing berhujah dengan ayat-ayat al-Quran dan Sunnah. Tidak ada nas yang secara jelas menghalal atau mengharamkannya.

Makanya saya mengambil sikap bahawa muzik dan lainlain bentuk seni dan hiburan itu, samalah juga dengan pelbagai perkara lain lagi, ada yang halalnya dan ada yang haramnya. Kita perlu merujuknya kepada pelbagai hukum lain yang bersangkutan, misalnya hukum mengenai niat dan tujuan, hukum mengenai aurat dan pergaulan, sama ada ia mengarah kepada kebaikan atau ia boleh menyebabkan kepada kemungkaran, dan sebagainya.

Jadinya saya lebih suka berbicara mengenai apa yang kita boleh buat dan apa yang kita perlu buat sebenarnya. Tidak ada gunanya berbicara soal halal dan haramnya kalau kita tidak buat apa-apa. Maka saya pun menceritakan apa yang telah saya buat, dalam konteks seni dan budaya, sejak di sekolah menengah hinggalah sekarang.

Saya bicara mengenai peranan seni dan budaya dalam kehidupan masyarakat, mengenai peranan seniman dalam gerakan Reformasi sejak 1998 hingga sekarang, dan bagaimana tertubuhnya kumpulan Seniman Paksi Rakyat (PAKSI) pada Jun 2008, dan aktiviti yang dijalankannya hingga sekarang.

Diceritakan juga bagaimana teater dipersembahkan di dalam masjid. Teater yang bagaimana yang boleh dimainkan di dalam masjid itu? Ada pihak masjid yang tidak membenarkan biola dimainkan di dalam masjid, dan ada pihak masjid yang membenarkannya.

Betapa besar dan pentingnya peranan penulis dalam memperjuangkan kebenaran dan membawa perubahan kepada masyarakat. Hal ini yang sering saya tekankan dalam aktivitiaktiviti Paksi dan tulisan saya akhir-akhir ini. Betapa kita perlu melahirkan lebih ramai penulis seperti SN A Samad Said dan Azizi Hj Abdullah, misalnya.

Maka saya mencadangkan kepada PAS Kulai supaya berusaha melahirkan kumpulan penulis dan seni-budaya mereka sendiri, bagi menjalankan aktiviti seni dan budaya yang tidak melanggar syari‘at dan hukumhukum Islam, sebagai alternatif kepada aktiviti hiburan yang sering dilakukan dan dianjurkan pihak Umno-BN dan penyokongpenyokongnya, yang biasanya tidak mempedulikan syariat dan hukum Islam.

Oleh Dinsman


Isnin, Oktober 17, 2011

Hiburan berkonsep Islamik kurang sambutan


KULAIJAYA – Pelaksanaan hiburan berkonsepkan Islamik dan nilai-nilai murni perlu mendapat sokongan masyarakat umum di samping penguatkuasaan pihak kerajaan secara amnya.

Personaliti Imam Muda, Asyraf Fadil Che Ahmad berkata, pada masa ini walaupun rancangan berunsur Islamik banyak diterbitkan, namun kurang mendapat sambutan menyeluruh dari masyarakat.

“Lazimnya, rancangan berunsur Islamik dan pengajaran sering dipertontonkan pada waktu yang kurang mendapat sambutan penonton, misalnya pada larut malam atau menjelang Subuh.

“Namun, apabila dilihat dengan lebih teliti, senario ini berlaku berikutan sambutan hambar masyarakat yang hanya berminat menonton rancangan berbentuk ilmiah dan Islamik pada waktu sedemikian

“Penerimaan masyarakat terhadap hiburan Islamik masih kurang tetapi sekiranya situasi ini dapat diubah, saya percaya hiburan berbentuk Islamik tidak mustahil akan ditayangkan pada waktu perdana,” katanya.

Selain itu katanya, beliau berpendapat sesuatu hiburan masih boleh dipertonton dan ditayangkan selagi ia tidak melalaikan dan bertujuan membimbing penontonnya ke arah kebaikan.

Beliau berkata demikian sebagai ahli panel dalam majlis Forum Wacana Seni dan Budaya anjuran Yayasan Amal Malaysia Zon Kulaijaya di Palm Villa Resort, bandar Putra, di sini, malam kelmarin.

Dalam pada itu, penggiat seni, Dinsman yang turut hadir sebagai ahli panel menggesa, Islam boleh dikembangkan dalam pelbagai cara, jangan hanya berpolitik.

“Utamakan gerakan Islam dan lahirkan seberapa penulis yang boleh menulis ke arah kebenaran dan perjuangan Islam,” katanya.

Turut hadir adalah penulis lirik dan pengacara, Bob Lokman yang bertindak sebagai moderator jemputan.


Sumber : Sinar Harian 17 Okt 2011


Selasa, Oktober 11, 2011

Tak Perlu Naik Elaun, Tapi Pastikan Peruntukan Kepada AP Adil Dan Saksama

Pada saat Perdana Menteri dan ahli parlimen (AP) membincangkan keperitan kehidupan rakyat dan mewar-warkan kehidupan berjiwa rakyat sehingga ada sanggup naik bas (walaupun mewah), naik basikal dan melawat rakyat yang menderita kemiskinan untuk menyelami keperitan mereka, tiba-tiba timbul pengumuman kenaikan elaun-elaun AP, yang telahpun dianggap besar bagi golongan rakyat yang perit.

Kenaikan elaun AP biasanya akan diikuti dengan kenaikan elaun para menteri, timbalan menteri dan lain-lain. Keadaan ini bakal menyebabkan negara terpaksa menanggung kos kekal (fixed cost) yang semakin bertambah. Kos kekal ini hanya boleh diatasi dengan peningkatan pendapatan negara, sekiranya gagal ia akan menambah bebanan kepada golongan bawahan pada masa hadapan.

Apakah kewajaran untuk menimbulkan cadangan menaikkan elaun AP yang telahpun mempunyai pelbagai kemudahan dalam menjalankan tugas sebagai AP dalam masa kehidupan rakyat masih dalam keadaan perit?

Cadangan menaikkan elaun AP ketika rakyat susah ini ibarat kata ‘berat rakyat yang junjung, ringan wakil rakyat yang jinjing.’ Rakyat marhaen bolehlah menilai sendiri versi negara berkebajikan Datuk Seri Najib Razak yang diwar-warkan akan mengutamakan rakyat tapi sering kali hanya akan ‘mengutamakan yang senang.’

Namun kali ini, rakyat bernasib baik kerana hasil daripada kehendak AP Pakatan Rakyat, kerajaan BN terpaksa membatalkan cadangan kenaikan elaun AP. Inilah bukti sahih yang membolehkan membuat perbandingan wakil rakyat belah mana yang lebih prihatin dan sensitif kepada keperitan rakyat.

Rakyat marhaen yang terbeban dengan kos hidup samada yang bekerja di agensi swasta atau kerajaan, khususnya golongan yang terdedah kepada gejala rasuah yang menjadi-jadi yang mengakibatkan kos sara hidup mereka meningkat dan ditambah pula dengan peningkatan tanggungjawab dalam keluarga, sepatutnya perlu diberi lebih perhatian berbanding AP oleh kerajaan.

Apa yang perlu difokuskan sekarang bukannya menaikkan elaun AP, tetapi cara untuk menyalurkan semua peruntukan AP kepada rakyat tanpa mengira parti politik yang mereka wakili secara adil. Ini adalah lebih adil dan saksama dan berkesan kepada semua rakyat.

Sekiranya benar kerajaan BN ingin dilihat rakyat sebagai menjalankan negara kebajikan maka peruntukan mesti diberi secara adil kepada semua kawasan kerana setiap AP yang dipilih oleh rakyat dalam sistem yang telah diiktiraf oleh kerajaan.

Bilamana selama ini, peruntukan hanya diberi kepada YB daripada parti pemerintah sahaja (samada di negeri BN atau PR yang menguasainya), maka ketidakadilan ini akan berterusan. Diharap dua-dua pembahagi politik boleh bertindak adil dari segi memberikan peruntukan kerana yang akhir menanggung bala ialah rakyat bawahan yang memerlukan peruntukan ini untuk memudahkan urusan kehidupan mereka.

Ustaz Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man

Ketua Penerangan PAS Pusat

Rakyat Perlu Teruskan Agenda Perubahan

Seperti yang dijangka, BN telah membentangkan satu bajet morfin yang bersifat kesenangan sementara. Kesakitan dan keperitan sebenar akan kembali sejurus selepas kesan morphine hilang.

Dari sudut yang lain, rakyat perlu melihat pembentangan bajet oleh PM ini juga adalah sebahagian daripada kejayaan mereka mengenakan tekanan kepada kerajaan BN dalam PRU lalu.

Kini, Umno BN cuba mendapatkan kembali sokongan rakyat melalui bajet yang kelihatan mengutamakan rakyat; setelah mengabaikan rakyat dengan mementingkan projek mega bagi kroni-kroni berpuluh tahun.

Kejayaan mengenakan tekanan politik kepada BN mesti diteruskan, kerana seandainya mereka berjaya mengekalkan kuasa selepas PRU13, segala berita gembira yang ditabur dalam belanjawan akan ditarik balik dalam bentuk cukai GST yang telah diumumkan dan bakal dilaksanakan tatkala majoriti rakyat masih tidak bersedia untuk menghadapinya.

Kali ini keadaan dijangka lebih parah lagi kerana bajet kali ini tidak disertakan dengan langkah-langkah kerajaan untuk menaikkan pendapatannya untuk menampung perbelanjaan sebegitu banyak. Lebih-lebih lagi, dalam bajet kali ini PM juga tidak mengumumkan apa-apa cara untuk mengurangkan ketirisan, gejala rasuah, penyelewengan, salahguna kuasa dan kronisme yang selama ini hanya menambah keperitan rakyat bawahan.

Duit tidak mungkin jatuh dari langit, dan dengan ekonomi dunia yang sedang meleset, adakah kerajaan BN sedang menyembunyikan langkah-langkah drastik untuk mendapatkan dana sehingga selepas PRU13? Berapakah bajet susulan yang sudah ada dalam perancangan BN yang bakal dibentangkan lagi untuk menampung perbelanjaan morfin ini?

Yang pasti sistem percukaian baru GST akan diperkenalkan – kemudian kemungkinan besar beban 6% cukai telefon prabayar akan ditolak ke bahu rakyat selepas PRU13 dan lebih banyak subsidi akan ditarik balik sekiranya BN kekal berkuasa selepas PRU13.

Selain itu, untuk mengelakkan kemarahan rakyat menjelang PRU-13, tiada peruntukan yang diumumkan untuk PERMATA yang diketuai isteri kesayangan PM – akan tetapi, rakyat tidak perlu bergembira, yang pasti sekiranya mereka menang PRU13, peruntukan untuk PERMATA akan diumumkan semula dengan nilai yang lebih besar di dalam bajet susulan.

Segala apa yang diberi sekarang yang kononya atas nama ‘negara berkebajikan ala Umno BN’ hanya bertujuan untuk melalaikan rakyat. Apa yang diberi akan ditelan kembali selepas PRU13 jika mereka terus berkuasa selepas PRU13, kerana suka ataupun duka, rakyat terpaksa duduk di bawah kerajaan BN untuk lima tahun lagi sebelum ada peluang untuk mengundi mereka keluar.

Namun, semua langkah ‘menelan’ ini tidak akan diumum sekarang kerana yang penting rakyat dapat ditipu terlebih dahulu untuk mengekalkan mereka di tampuk pemerintahan, yang lain boleh diumum sedikit demi sedikit, kerana selepas itu, rakyat hanya boleh merungut tapi kuasa mereka tidak akan tergugat untuk 5 tahun akan datang.

Pengalaman lampau mengajar kita bagaimana setelah selesai PRU kerajaan BN akan segera mengisytiharkan kenaikan harga barangan keperluan rakyat. Walau apapun tema belanjawan diberi, rakyat yang telah mengenal tipu muslihat Umno/BN diharap jangan terlalai dalam suntikan morfin ini dan terus menggunakan kuasa dan peluang yang ada pada PRU13 bagi membuat perubahan untuk menyelamatkan Malaysia.

PAS mengingatkan rakyat agar meneruskan agenda perubahan politik negara sebagai kesinambungan PRU12.





Ustaz Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man

Ketua Penerangan PAS Pusat

Khamis, Oktober 06, 2011

Dimanakah kedudukan Bahasa Melayu di Iskandar Malaysia ?


Pembangunan di Iskandar Malaysia sedang rancak berjalan. Antara projek yang sedang dibangunkan ialah Kompleks Membeli Belah bertaraf Antarabangsa yang kini hampir siap. Lokasinya di susur masuk Bandar Indahpura, Kulaijaya dan berhampiran dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Ismail, Senai.

Berdasarkan papan tanda yang siap didirikan, Penulis menganggap Pusat Membeli Belah tersebut telah dinamakan sebagai ‘Johor Premium Outlets’. Pastinya sesuai dengan tujuan pembinaannya iaitu sebagai tarikan pelancung antarabangsa.

Walaubagaimanapun, Penulis merasakan penggunaan nama dalam bahasa Asing ini adalah satu kerugian kepada rakyat dan negara ini. Di satu sudut, kita merasakan nama itu memang sesuai kerana sasaran utamanya adalah pelancung asing. Satu perkara yang mungkin pihak berwajib terlepas pandang ialah dengan adanya kompleks bertaraf antarabangsa ini, ia adalah satu peluang bagi kita memperkenalkan dan memartabatkan bahasa Melayu di peringkat antarabangsa.


Kalaulah kita merasa kerdil bagi menggunakan Bahasa Melayu di tanahair sendiri, apalagi yang tinggal kepada bahasa Melayu, cukupkah sekadar menjadi bahasa pasar sahaja ?

Memetik ucapan Almarhum Aminuddin Baki di Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu ke 3, pada 16 ~ 21 September 1956 di Johor Bharu, Johor yang berbunyi,

“Ancaman datang daripada golongan Melayu yang kurang percaya tentang kebolehan Bahasa Melayu sehingga timbulnya rasa tidak tahu membuat apa-apa bila Bahasa Inggeris cuba hendak diganti dengan Bahasa Melayu. Ini adalah keadaan yang biasa di kalangan bangsa yang dijajah, hasil penjajahan di alam fikiran dan kehidupan penduduk”.

Bahasa Jiwa Bangsa

Warga Malaysia Prihatin,
Ahmad Thobroni Bin Abu Bakar

PAS Desak Jabatan Koperasi Siasat Tan Sri Isa Samad

PAS mendesak Jabatan Pembangunan Koperasi menyiasat Tan Sri Isa Samad di atas tindakan melantik dirinya sendiri sebagai Pengerusi Permodalan Felda Berhad (KPF) tanpa melalui mesyuarat agong sebagaimana peruntukan undang-undang koperasi.

Perlantikan ini bertentangan dengan Akta, Peraturan dan Undang-undang Kecil Koperasi kerana perlantikan itu sepatutnya dibuat dalam mesyuarat agung dan bukannya dalam mesyuarat lembaga.

KPF ini adalah milik peneroka dan pada pandangan mereka, kepimpinan Pengarah Besar Felda dan juga Pengerusi KPF, Datuk Dzulkifli Abd Wahad tidak perlu ditukar kerana sepanjang pimpinannya, KPF tidak pernah rugi bahkan berjaya memberikan dividen hingga 15 peratus tahun lalu.

Selain itu, tahun lalu, KPF telah dipilih antara 10 koperasi cemerlang di negara ini apabila menerima Anugerah Koperasi Cemerlang (Kluster Besar) 2011. KPF adalah sumber kewangan utama bagi kakitangan dan peneroka Felda selain gaji dan pendapatan mereka sebagai peneroka.

Hanya peneroka dan kakitangan Felda sahaja boleh menjadi ahli KPF. Oleh itu, Isa yang hanya dilantik untuk jangka waktu tertentu sahaja dan bukan kakitangan semestinya tidak layak jadi ahli.

Apa yang menyayatkan hati warga dan kakitangan Felda sekarang ialah bilamana beliau yang bukan ahli KPF, telah secara tidak segan-silu melakukan perlantikan diri sendiri untuk menerajui KPF didakwa hanya berdasarkan satu surat sokongan dari Perdana Menteri dalam satu mesyuarat lembaga penghujung Ramadhan lalu.

Lebih menghinakan bagi warga dan kakitangan Felda ialah perlantikan tersebut dikatakan berlaku ketika Datuk Dzulkifli tidak ada dalam negeri.

Tindakan ini mencerminkan sikap sebenar pengerusi baru Felda ini yang terang-terang tidak menghormati kepimpinan koperasi Felda yang sedia ada sehingga menimbulkan bantahan daripada ahli-ahli KPF.

Kurang setahun Isa menjawat jawatan Pengerusi Felda – banyak keputusan yang membinggungkan warga dan kakitangan pengurusan Felda telah dibuat.

Antaranya:

1. Pinjaman RM6 billion daripada KWSP untuk tujuan yang tidak diketahui sehingga kini. Pada masa yang sama, Timbalan Menteri Ahmad Maslan bermati-matian mempertahankan dakwaan Felda stabil dan mempunyai aset RM19 bilion.

2. Pencagaran keseluruhan tanah Felda Plantation kepada kumpulan pelaburannya, Felda Global Ventures Holdings Sdn Bhd (FGVH) selama 60 tahun ketika Pengarah Besar Felda, Datuk Dzulkifli Abdul Wahab tiada kerana menunaikan umrah.

Dan kini, beliau telah mencetuskan satu lagi kontroversi dengan melantik dirinya sebagai Pengerusi KPF.

Peneroka dan kakitangan Felda kini mula bimbang dengan masa depan KPF kerana ia bakal diuruskan oleh seorang pemimpin Umno, yang Umno sendiri pernah menghukumnya kerana terlibat dalam politik wang suatu masa dulu.

Demi masa depan KPF, ahli-ahli KPF perlu bersama PAS dan Pakatan Rakyat dalam mendesak Jabatan Pembangunan Koperasi untuk menyiasat dan mengambil tindakan terhadap Isa Samad kerana telah melanggar akta koperasi dalam perlantikan tersebut.

Ustaz Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man
Ketua Penerangan PAS Pusat