Isnin, Disember 31, 2012

Kubur Islam Pengerang dikorek secara tidak beretika?

Petang ini Sidang Meja Bulat Isu Pengerang diadakan di New York Hotel Johor Bahru. Lebih kurang 50 orang wakil2 Ngo, penduduk, peguam dan tokoh masyarakat menghadirinya.

Isu mengalih kubur, pengambilan tanah, masadepan nelayan dan pendidikan menjadi topic utama perbincangan. Yang paling kritikal ialah pengorekan lebih 100 kubur orang Islam yang kononnya tanpa waris.

Mengikut skuad pemantau yang diketuai sdr Zaaba, kubur dikorek tanpa pengawasan Jabatan Agama dan Jabatan Mufti serta agensi berkaitan sepertimana prosedur yang sepatutnya. Mayat berupa tulang dll tidak di urus sesempurna yg sepatutnya. Dilonggok begitu sahaja bawah pokok. Di isi atas kenderaan dan ditindih cangkul dan parang dengan begitu biadap.

Di pindah di kawasan kubur yang ditetapkan, ditanam dengan ke dalaman 15 inci sahaja!
Walhal, sepatutnya kedalaman mengikut Pihak Berkuasa Agama 3 kaki. Sangat terdedah dengan binatang seperti anjing dll.

Bila hujan, kawasan bergenang dengan air dan becak di sana sini. Kontraktor yang beroleh projek tidak amanah dan langsung tidak menghormati mayat2 yang dikorek. Ia bertentangan samasekali dengan cerita indah oleh Pihak Berkuasa Agama yg berjanji akan turut serta dalam proses penggalian dan perpindahan mayat2 berkenaan.

Laporan Polis telah dilakukan. Kontraktor dakwa hanya pindahkan kubur tanpa waris. Walhal, banyak kubur yang dikorek ada warisnya. Sdr Yahya Abd Hamid, mempertikaikan pengurusan teruk oleh kontraktor atas kubur neneknya. Dia cuba pertahankan, tapi dia ditangkap polis dan dilokap!

Kebimbangan kita bahawa cara korek dan alih mayat akan dilakukan secara tidak berakhlak dan jauh dari menepati hukum syarak telah jadi kenyataan.

2 hb Januari ini, rombongan ngo Pengerang, waris2 dan peguam penduduk akan menyerahkan memorandum bantahan kepada Mufti Kerajaan Negeri Johor atas tindak tanduk melampau kontraktor yang memikirkan untung sahaja tanpa mengambilkira soal hukum dan sensitiviti masyarakat Islam. Juga rasa kesal kita terhadap lepas tangan Pihak Berkuasa Agama. Desakan kita, hentikan korek kubur dan kekalkan ia di situ tanpa gangguan sampai bila2. Jadikan 'green area' dan warisan kerana kubur2 tersebut ada yang lebih 100 tahun.

Bukti2 bergambar cukup banyak disamping perlanggaran lesen dsbnya.
Harap Pekida, Perkasa dan Ngo2 pro Umno turun padang dan saksikan sendiri!







Dipetik dari Facebook Sdr. Mazlan Aliman.

Amanat Tan Sri Kadir Sheikh Fadzir

  

Tarikh : 6 Januari 2013 (Ahad)
Masa : 9.00 mlm
Tempat : PASTI Al-Hikmah, Bandar Putra, Kulai.

SEMUA DI JEMPUT HADIR.

Selamat Datang 2013 dan PRU 13


JOM UBAH
SELAMATKAN MALAYSIA



Apalah nak jadi dengan UMNO.

Hari Sabtu lepas penulis telah berkunjung ke Felda Bukit Permai untuk bertemu dengan sahabat disana bagi membincangkan beberapa perkara mengenai gerak kerja pilihanraya. Bersandarkan semangat yang ditunjukkan oleh para petugas disana, maka penulis merancang beberapa strateji mendekati pengundi berpandukan data culaan yang telah dibuat.

Sebelum perbincangan dimulakan, sembang-sembang mengenai program yang baru dilakukan benar-benar menarik perhatian penulis dan sahabat kawasan yang turut serta dalam kunjungan tersebut. Sebelum ini kami digemparkan dengan perbuatan membakar bendera PAS. Khabar terbaru yang kami terima ialah Ketua Pemuda UMNO Cawangan Kg. Murni Jaya telah pergi bertemu dengan penerima bantuan beg sekolah sumbangan PAS Kawasan Kulai dan mengarahkan mereka membakar beg tersebut. Mereka berjanji akan menggantikannya dengan yang baru.

Penulis ketika menyampaikan ucapan dimajlis penyampaian bantuan berkenaan telah membayangkan perkara ini. "Pihak UMNO/BN pasti akan memberikan bantuan dengan kadar yang lebih besar lagi selepas ini. Tuan-tuan dan puan-puan sila ambil kerana ia sesuatu yang baik dan kami amat mengalu-alukan" kata penulis kepada tetamu yang hadir. Tetapi jauh dari sangkaan kami, mereka sanggup bertindak menyuruh membakar sumbangan yang kami hulurkan. Apabila ditanya kepada sahabat Murni Jaya 'Adakah mereka memberikan bantuan yang serupa?' . Jawab mereka 'tak ada pun'.

Sahabat PAS Bukit Permai telah pergi berjumpa dengan si Ketua Pemuda UMNO ni dan bertanyakan kepadanya kenapa ia lakukan semua ini. Jawapannya amat menarik. "Aku ditugaskan untuk mengagalkan segala usaha PAS di Kg Murni Jaya" katanya dengan angkuh.

Inilah watak pimpinan UMNO sekarang yang semakin hari semakin hodoh dan bobrok. Bermula dari pusat kemudian ke bahagian dan kini merebak ke peringkat cawangan. Adakah ini watak pemimpin yang kita mahu? Penulis mengingatkan sahabat disana agar jangan meniru perangai buruk mereka. Biarkan saja mereka dengan sikap angkuh dan sombong, kerana masyarakat kini sudah mampu menilai. Biarkan rakyat melihat perbezaan antara sikap ahli PAS berbanding dengan sikap dan perilaku ahli UMNO.

Kepada ahli-ahli UMNO yang masih berpegang pada tali agama, nilailah sendiri sikap pimpinan kamu yang kini jauh tersasar dari landasan Islam semata-mata kerana takut kehilangan kuasa. Ingatlah berfirman Allah swt yang bermaksud :

Katakanlah (Wahai Muhammad): "Wahai Tuhan Yang mempunyai Kuasa pemerintahan! Engkaulah Yang memberi Kuasa pemerintahan kepada sesiapa Yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah Yang mencabut Kuasa pemerintahan dari sesiapa Yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga Yang memuliakan sesiapa Yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah Yang menghina sesiapa Yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya Segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu. ( Ali Imran 2 : 26)

Apa salahnya rakyat yang susah menerima bantuan dari PAS. Lagipun bantuan yang dihulur tidak sebesar mana. UMNO yang mendabik dada dan hebat memerintah, silakan membantu. Kami tidak sedikitpun akan menghalang, jauh sekali daripada bertindak menyuruh mereka membakar pemberian yang diterima. Dulu ketua cawangan koyakkan banner di PASTI, kini ketua pemuda cawangan pula mempamirkan perangai hodohnya. Apalah nak jadi.....

Pemimpin UMNO di peringkat atasan, sila nasihatkan pemimpin kamu dibawah ini agar bertindak dengan akal yang waras. Janganlah bertindak seolah-olah orang yang tidak bertamadun. Malaysia adalah sebuah negara demokrasi dan PAS serta Pakatan Rakyat menerima dan menghormati sistem ini. Rakyat dijamin hak mereka didalam perlembagaan negara untuk memilih mana-mana parti yang mereka rasakan mampu membela nasib mereka. Biarkanlah rakyat menilai. PAS sudah bertanding sebanyak 12 kali. Semuanya kami kalah. Tapi kami tak pernah pun bertindak diluar batasan pemikiran manusia yang waras. Kami terima kekalahan tersebut dengan hati terbuka. Sebab rakyat telah membuat pilihan dan kami menghormati pilihan rakyat. UMNO belum kalah lagi. Baru saja nampak-nampak macam nak kalah. Dah menggila tak tentu pasal. Janganlah menerapkan budaya samseng dalam politik negara kita.

Kepada semua pengundi di DUN Bukit Permai khususnya dan negara amnya, sama-samalah kita hentikan budaya samseng ini dengan membuat perubahan besar-besaran dalam PRU ke 13 ini. Marilah kita nyahkan politik samseng dengan membina Malaysia Baru yang lebih Harmoni.

SELAMATKAN MALAYSIA.

video



Khamis, Disember 27, 2012

2013 vs PRU 13

Tahun 2013 bakal melabuhkan tirainya tidak berapa hari lagi. 2013 kini sudah diambangnya. PRU ke 13 tidak dapat disangkal lagi akan berlangsung dalam tahun yang sama. Cuma tarikhnya saja yang belum diketemui. Kalau dinegara lain tarikh pilihanraya sudah diumum seawal 6 bulan sebelum tetapi di Malaysia yang diwar-warkan sebagai negara Islam contoh, tarikhnya menjadi hak mutlak sang perdana menteri. Itulah kelebihan Malaysia yang jarang didapati oleh negara-negara lain didunia. Myammar yang kuku besi tu pun, umumkan tarikh pilihanraya lebih awal menunjukkan demokrasi mereka kini lebih baik dari Malaysia.

Entah kenapa Malaysia sejak merdeka sampai kehari ini masih ditakuk lama dalam amalan demokrasinya. Inilah demokrasi terpimpin yang selalu disebut-sebut. Demokrasi yang dipimpin oleh sang penguasa mengikut arah tujuan mereka. Sesuatu yang berlawanan, maka ia dianggap diluar amalan demokrasi pimpinan mereka. Bila rakyat turun kejalanraya, maka dicanang ia bukan budaya kita. Maka keluarlah terma-terma seperti pengacau, pengkhianat, pembawa budaya songsang dan bermacam-macam lagi istilah buruk yang diberikan.

Sejak 2008, banyak peristiwa-peristiwa menarik yang telah merwarnai politik tanahair. Buat kali pertamanya pihak yang berkuasa menghabiskan penggal pemerintahan mereka. Biasanya mereka akan memanggil pilihanraya setelah 4 tahun berada dipuncak kuasa tetapi kali ini amat berbeza sekali. Bermula dengan Pilihanraya Negeri Sarawak, kini diperingkat persekutuan pula. Seolah-olah ada agenda untuk melengahkan pilihanraya.

Rakyat yang sudah menanti sejak 2011, sudah tidak sabar lagi untuk turun mengundi bagi melakukan perubahan. Mood ini amat jelas sekali dari kalangan masyarakat Cina dan kini mula dituruti oleh masyarakat India. Orang Melayu......riak-riaknya sudah mula kelihatan terutama dari golongan orang muda yang mana kesetiaan kepada parti bukan satu agenda penting. Lagi lama dilengahkan pilihanraya, maka lagi untung pakatan pembangkang kerana punya masa yang panjang mendekati golongan muda berbangsa Melayu.

PAS Kulai mendapat labanya. Apabila kawasan-kawasan pengundi majoriti Melayu yang menjadi penyokong tegar UMNO/BN kini mula ditembusi satu demi satu. Anak-anak muda yang dahulunya menjadi benteng UMNO bagi menyekat kemaraan kami, kini telah bersama. PAS terus mengatur langkah mendekati golongan ini dengan pelbagai cara dan kaedah disamping tidak lupa menyantuni golongan dewasa.

Kini kehadiran kami sudah dirasai oleh masyarakat. Walaupun menurut laporan Merdeka Centre, peratusannya masih rendah tetapi ia telah berjaya dilonjakkan. Dalam ertikata lain, ia lebih baik jika dibandingkan dengan PRU ke 12. Kali ini PAS Kulai yang diberi amanah untuk bertanding dikerusi tradisi N50 Bukit Permai, lebih bersedia. Bersedia dari sudut jentera, gerakerja, data, strateji dan lain-lain yang berkaitan dengan pilihanraya. Tidak dinafikan masih terdapat kelemahan. Namun segala usaha sedang dilakukan bagi memperbaikinya. Insya'allah.


Meneruskan Program Kebajikan.

Memahami keperitan rakyat marhain yang berpendapatan sederhana khususnya bagi menghadapi musim persekolahan 2013, PAS Kulai telah mengadakan program 'Kembali ke Sekolah' dengan memberi bantuan beg dan peralatan sekolah kepada 100 orang pelajar miskin. Program ini telah berlangsug dua kali di dua lokasi yang berbeza. Pertama pada 20 Dis 2012 di Felda Bukit Permai dan kemudiannya pada 25 Dis 2012 di Bandar Putra, Kulai. Program kedua telah melibatkan pelajar berbangsa Cina dan India selain Melayu. Ini merupakan program ketiga yang telah dilakukan oleh PAS Kulai dan kali ini dalam skala yang lebih besar.

Walaupun bantuan yang diberi tidak sebesar mana, namun ia dapat sedikit sebanyak meringankan bebanan yang ditanggung oleh ibubapa terutama dari kalangan ibu tunggal dalam menghadapi sessi persekolahan. Dengan kenaikkan harga barang yang tinggi disamping bayaran-bayaran yang dikenakan oleh pihak sekolah, setiap ibubapa pasti akan merasa terhimpit dengan bebanan yang terpaksa ditanggung. Menyedari hakikat inilah PAS menjalankan agenda kebajikan bagi turun membantu disamping menampilkan kesyumulan Islam ketengah masyarakat. Ternyata dengan kehadiran para ibubapa pada dua majlis yang diadakan, menunjukkan mereka kini sudah dapat menerima kehadiran PAS.

Penulis telah didatangi oleh seorang ibu tunggal yang kurang upaya dari kalangan masyarakat India, melahirkan rasa berterimakasihnya kepada PAS dan tidak menyangka bahwa Islam tidak meletakkan batasan agama dalam menghulurkan bantuan. Beliau merasa kesal dengan sikap prejudisnya terhadap PAS dan Islam selama ini kerana terpengaruh dengan hasutan media arus perdana yang sentiasa memberi gambaran buruk terhadap PAS dan Pakatan Rakyat. Ternyata, apabila mendapat penerangan yang benar dari pimpinan Pakatan Rakyat, apa yang disebarkan melalui media perdana adalah satu propaganda dan tipu daya sang penguasa.

Semoga kerjabuat ini mendapat ganjaran yang setimpal dari Allah swt dan semoga Allah membuka pintu hati para pengundi di negara ini amnya dan DUN Bukit Permai khasnya untuk melakukan perubahan dalam PRU ke 13 yang akan datang. INSYA'ALLAH.


Ahad, Disember 23, 2012

Samseng Umno antara 78 sertai PAS di Felda Bukit Permai

http://darisungaiderhaka.blogspot.com, 21 Dis 2012

Kalau semalam Bernama telah melaporkan seramai 396 anggota tegar Pas kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Semerak di sini, menyertai UMNO kerana menyedari mereka terpedaya dengan amanat "Haji Hadi" yang mengkafirkan UMNO.

Yang buat aku gelak sorang-sorang bila baca laporan itu ialah bila ada seorang Pok Cik yang masuk UMNO tu dakwa diri dia adalah bekas PEMUDA TAHAN LASAK PAS.. sebabnya setahu aku PEMUDA TAHAN LASAK tu hanya ada dalam UMNO..


Ini pula adalah sebahagian laporan yang dipetik dari Facebook Mazlan Aliman..

5 hari demam, terubat dan berasa lega hari ini apabila saya menerima borang PAS dari 78 orang yang sebahagian besarnya bekas pemimpin dan ahli Umno dari Felda Bkt Permai.
Ketua penaja PAS Cawangan, En Kamal Hamzah mewakili yang lain2 menyerahkan borang kepada saya sambil disaksikan Yang DiPertua PAS Kawasan Kulaijaya, Sdr Hisham Mohd Zin dan Ketua Dewan Pemuda, Sdr Ahmad Tabrani.

Ia disusuli takbir yang bergema beberapa kali mengiringi peristiwa bersejarah tersebut.

Hampir 90% peratus yang menyertainya adalah orang muda berusia antara 25-50 tahun.

Ada dikalangan mereka dulunya adalah samseng Umno 'berdengung' yang menghalang PAS daripada apa jua aktiviti.

Kini, kata mereka, kami dah tobat.

Kami mahu mati dalam Perjuangan Islam!

Majlis diselangi dengan sumbangan peralatan sekolah kepada hampir 100 pelajar dari Felda Bkt Permai dan Kg Murni Jaya.

Kalau ramai tokoh2 hebat dah masuk PAS, orang biasa nak tunggu apa lagi?

Rabu, Disember 19, 2012

Bidas kenyataan Ibrahim Ali, NGO R sokong Sinar Harian

WARTAWAN SINAR HARIAN
18 Disember 2012
KOTA BHARU – Gabungan Profesional Menuntut Royalti, Pendaratan Minyak dan Gas ke Kelantan (NGO R) menyifatkan kenyataan Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali bahawa Sinar Harian sebagai akhbar memecah-belahkan kaum sebagai tuduhan tidak berasas.
Presidennya, Nazri Deraman berkata, beliau mendapati tidak ada akhbar yang menggunakan pendekatan sebagaimana dilakukan akhbar berkenaan dalam memberi ruang kepada semua pihak tanpa mengira fahaman dan kelompok.
“Pada saya ia satu tuduhan berunsur sampah, tak ada nilai dan tidak berasas, kerana saya dapati tidak ada lagi akhbar yang memberi ruang kepada semua pihak kecuali Sinar Harian,” katanya, semalam.
Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Ibrahim dalam akhbar perdana semalam bahawa beliau ‘jelik’ dengan laporan Sinar Harian dan sebuah portal web kerana didakwa hanya menyiarkan sebahagian kenyataannya sehingga dilihat seolah-olah menghina kaum lain.
Ibrahim dilaporkan mengeluarkan kenyataan itu semasa menggulung perbahasan Perhimpunan Agung Tahunan Perkasa Ketiga, dua hari lalu.
Nazri turut menempelak Ibrahim yang menyifatkan akhbar ini sebagai akhbar pemecah belah masyarakat sebaliknya berkata, Ahli Parlimen Pasir Mas itu sepatutnya lebih jelas siapa sebenarnya pernah dilabel sedemikian.
“Saya harap Ibrahim Ali secara terbuka akan menarik balik kenyataan yang dibuat,” katanya yang juga Pengerusi Cakna Palestin.
Beliau yang memuji pendekatan Sinar Harian berharap akhbar ini akan terus berpegang pada prinsipnya dengan memberi keadilan dan ruang kepada semua pihak dan membiarkan pembaca menilai sendiri setiap situasi yang berlaku.
“Terima kasih kepada Sinar Harian kerana memberi ruang kepada NGO R dan Cakna Palestin, dan pernah bergabung dengan Cakna Palestin menjayakan misi kemanusiaan. Pada kami, ia akhbar komuniti terbaik dan tidak menampakkan ada unsur memecahbelahkan masyarakat,” katanya.
Nazri turut menyeru Kerajaan Persekutuan memberi ruang kepada media arus perdana lain mencontohi Sinar Harian agar rakyat berpeluang mendapat maklumat secara terus.

Sumber: Sinar Harian . 18 Disember 2012

Isnin, Disember 10, 2012

Majlis Makan Malam PAS Kawasan Kulai.

Pada 8 Dis 12 yang lalu PAS Kawasan Kulai telah menganjurkan satu majlis makan malam bagi mengutip dana pilihanraya umum yang belum kunjung tiba. Antara tetamu kehormat yang diundang pada malam itu ialah pimpinan Pakatan Rakyat yang pernah menerajui Kerajaan Negeri Perak seperti YB Dato' Seri Mohd Nizar Jamaludin dan YB Nga Kor Meng. Selain itu majlis telah turut dihadiri oleh YB Tian Chua dari PKR, YB Dr Boo Cheng Hau dari DAP, Dato Tamrin Tun Ghaffar dan Sdr. Mazlan Aliman dari PAS.

Majlis makan malam ini adalah julung-julung kalinya di anjurkan oleh PAS Kawasan Kulai dan mendapat sambutan yang baik daripada masyarakat sekitar Bandar Kulai. Sebanyak 70 meja telah terjual pada malam tersebut dan dianggarkan sekitar 600 hingga 650 tetamu telah hadir. Restoran Damai Dayang yang terletak di dalam IOI Mall telah digemparkan dengan kehadiran barisan kepimpinan Pakatan Rakyat disamping ucapan mereka yang menggamatkan dewan.


Kehadiran Dato' Seri Nizar dan Exconya Nga Kor Meng telah menarik perhatian ramai pengunjung. Masing-masing khusyu' mendengar ceramah yang disampaikan oleh kedua mereka. Ternyata masyarakat di Kulai yang berbilang bangsa dan agama ingin mengetahui perkembangan terkini yang sedang berlaku di Negeri Perak. Dari mood yang ditunjukkan oleh tetamu yag hadir, mereka kini telah bersedia untuk membuat perubahan. Hari itu sahaja Dato' Seri Nizar terpaksa menghadiri 4 program di Johor bermula disebelah petang, diikuti dengan makan malam di Kulai dan Kota Tinggi serta ceramah di kawasan Tenggara. Semua tokoh yang diundang setidak-tidaknya menghadiri 2 program pada malam tersebut. Inilah momentum yang sedang berlaku di Negeri Johor yang menjadi kubu kuat UMNO dan Barisan Nasional. Kubu yang semakin dirobek sedikit demi sedikit.

PAS Kulai mengucapkan jutaan terima kasih kepada para penyumbang yang telah sudi membeli meja utama, juga kepada para tetamu yang sudi menderma untuk dana pilihanraya kami, termasuk mereka yang bertungkus lumus menjayakan program ini. Kepada individu-individu yang terlibat secara langsung ataupun tidak langsung, kami doakan semoga amal bakti yang ditabur mendapat pembalasan yang setimpal dari Allah swt. AMIN.

TERIMA KASIH SEMUA.

 

Selasa, Disember 04, 2012

53% lompat parti, 31% lagi sabotaj Umno




KUALA LUMPUR: 53 peratus akan melompat parti manakala 31 peratus lagi akan sabotaj Umno jika mereka tidak terpilih sebagai calon dalam pilihan raya umum akan datang.
(Keputusan bancian yang dibuat oleh Sinar pada jam 6.30 petang)

Keputusan ini dicapai dari 7,894 perserta bancian Sinar Harian selepas ditanya soalan yang diandai Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak ketika menggulong perbahasan di Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2012 kelmarin.

Dalam bancian itu, Sinar bertanya kepada pelayarnya, "Menjawab soalan cepumas DS Najib di AGM Umno, jika anda ahli Umno, pilihan anda"

Lima pilihan jawapan diberikan sebagaimana diberikan oleh Najib Sabtu lepas.

Solan-soalan itu adalah:

1) Sokong penuh Umno meskipun tidak dipilih calon: 6 %     (473)

2) Masih sokong Umno meskipun tidak dipilih calon : 2 %     (194)

3) Tidak akan kerja masa PRU13 : 7 % (558)

4) Saya akan sabotaj Umno-BN: 31 % (2482)

5) Saya akan lompat parti: 53 % (4187)

Jumlah Undian: 7894

Semasa membuat ucapan penggulongan semalam, Najib membuat soalan cepumas itu kepada perwakilan Umno.

Ketika itu, tidak ada sikap yang jelas di kalangan perwakilan kerana tidak ada bancian yang dibuat.

Berdasarkan bancian Sinar yang dibuat mulai semalam itu, hanya 6 peratus atau 473 peserta bancian sahaja yang berkata "Sokong penuh Umno meskipun tidak dipilih calon."

Hanya 2 peratus pula yang berkata "Masih sokong Umno meskipun tidak dipilih calon".

Manakala 7 peratus berkata, "Tidak akan kerja masa PRU13".

Kesemua jawapan ini memberikan serangan saikoloji yang kuat kepada Umno khasnya Najib yang membuat semua andaian itu.

sumber : Harakahdaily

Ekspresi Anak Muda : Jom Santai & BBQ

Pada malam 2 Dis 2012, anak-anak muda Felda Bukit Permai telah menganjurkan makan malam ala BarBeeQue bersama pimpinan PAS Kawasan dan Dewan Pemuda. Tetamu kehormat pada malam itu ialah Sdr. Mazlan Aliman yang diundang khas untuk memberi info terkini mengenai isu-isu Felda yang begitu hangat dibincangkan di dalam PAU. Kehadiran anak muda dan juga kaum muslimat pada malam tersebut amat diluar jangkaan. Ditambah lagi dengan kehadiran Tuan Imam Felda tersebut bagi membacakan doa pembukaan majlis, telah menjadi jarum suntikan bagi generasi kedua untuk bersama dengan Pakatan Rakyat pada PRU ke 13. Sambutan yang diberi menunjukkan, anak-anak muda sudah tidak lagi menjadi budak suruhan UMNO / BN seperti yang sering dilakukan oleh mereka sebelum ini. Mereka kini sudah bijak menilai, tahu mana intan mana kaca. Suatu lonjakkan yang menambah rimaskan UMNO. 

Sambutan yang diberi kali ini mempamirkan bahwa mereka sudah bersedia untuk membuat perubahan. Ini jelas dari respon spontan yang dikeluarkan semasa ucapan pimpinan PAS sebagai menyahut seruan yang diseru. Fenomena seperti ini tidak pernah berlaku dalam PRU-PRU sebelum ini terutama di Felda Bukit Permai yang menjadi kubu kuat UMNO di Kulai selama ini. Kini mereka sedang merangka jawatankuasa penaja bagi menubuhkan cawangan disamping menyusun gerak-kerja mendekati pengundi bagi memberi penerangan mengenai senario politik masakini.

PAS Kawasan berserta sayap-sayapnya dari kalangan Pemuda, Muslimat dan Ulama' sudah menyiapkan segala kelengkapan yang perlu bagi menyambut ledakkan ini. Jelas kini, Felda bukan lagi simpanan tetap UBN terutama dari kalangan generasi kedua dan ketiga mereka. Sogokan material dalam bentuk wang ringgit sudah tidak mampu membeli hati-hati mereka. Bagi anak muda, membuat perubahan politik bukan satu perkara mustahil dan menyusahkan. Kata mereka " Belum cuba belum tahu. Apa salahnya kita cuba." Inilah aspirasi mereka. Pimpinan Pakatan Rakyat harus bijak mengiringi aspirasi ini. Insya'allah mereka akan melakukan perubahan.

ALLAHU AKBAR !


Selasa, November 27, 2012

Himpunan Kebangkitan Rakyat Zon Selatan.


JOM TURUN RAMAI-RAMAI. 
TUNJUKKAN KEBANGKITAN.
 RAKYAT JOHOR SUDAH SEDIA UNTUK BERUBAH.


Jumaat, November 23, 2012

Harapan Baru Anak Muda

Semalam sempena dengan cuti am Hari Keputeraan DYMM Sultan Johor, penulis dan beberapa pimpinan DPP Kulai serta pimpinan kawasan telah turun ke Felda Bukit Permai bagi mendapatkan perkembangan terkini kebangkitan anak muda Felda berkenaa. Satu lonjakkan sokongan yang membuatkan seteru politik PAS tidak tidur malam. Manakan tidak, pemuda yang selama ini sentiasa menggangu petugas PAS bahkan ada yang penah membakar bendera PAS, kini telah bersama dan membantu menaikkan syiar PAS disepanjang jalan masuk ke perkampungan Felda berkenaan ketika lawatan rasmi ADUN Bukit Permai.

Semasa sembang petang bersama anak muda Felda Bukit Permai ini, mereka telah menceritakan senario yang berlaku semasa lawatan YB. YB Kamaruzaman benar-benar tersentak dengan kebangkitan mereka kerana ianya diluar jangkaan dan anggapan pimpinan UMNO Kulai. Ketibaan beliau telah disambut dengan deretan bendera PAS dari jalan masuk sehingga ke dewan tempat majlis penyampaian cek durian runtuh diadakan. Suasana ini telah menimbulkan riuh-rendah dikalangan ahli-ahli UMNO tempatan. Masing-masing tersentak memikirkan bagaimana perkara ini boleh terjadi, sedangkan anak muda selama ini dilihat setia bersama UMNO/BN. Rupa-rupanya dalam senyap mereka mula merancang untuk berubah angin. 


Ekuran dari angin perubahan ini, penulis bersama-sama pimpinan pemuda dan kawasan telah turun bertemu dengan mereka bagi memberi suntikan agar momentum ini dapat dikekalkan hingga ke hari pilihanraya. Sehubungan dengan itu, satu majlis 'Ekspresi Anak Muda' Santai BBQ akan diadakan pada 2 Dis 2012 di Felda Bukit Permai bagi meraikan mereka. Sdr Mazlan Aliman akan turut hadir pada malam tersebut yang dijangka akan dihadiri sekitar 100 hingga 150 orang anak muda. Beberapa gimik sedangkan difikirkan yang bersesuaian dengan jiwa anak muda.  

Perkembangan muktahir ini menunjukkan PAS semakin diterima oleh masyarakat khususnya dari kalangan generasi baru peneroka. Felda yang dilihat selama ini sebagai fixed deposit kepada UMNO/BN, mula merudum sebagaimana merudumnya saham FGVH. Seandainya perkembangan ini mampu dikekalkan dan terus diperhebatkan, kita bakal menyaksikan perubahan akan berlaku di PRU ke 13 ini. INSYA'ALLAH.


Rabu, November 21, 2012

Majlis Makan Malam


Kupon berharga RM50 , RM40  dan RM30. Tempat terhad. Sesiapa yang berminat sila hubungi nama-nama yang terulis didalam kupon tersebut. (Sila klik pada gambar untuk mendapat imej yang lebih jelas).


Selasa, November 20, 2012

Siasah Syar'iyah

Memahami Fekah Siasah merupakan satu keperluan bagi mereka yang menceburkan diri dalam siasah atau politik negara agar mereka tidak terpesong daripada matlamat perjuangan iaitu untuk meninggikan kalimah Allah diatas muka bumi, menegakkan Al-Quran dan As-Sunnah.

Omar Abdul Aziz dengan kemunculannya telah mengubah dunia yang huru-hara kepada kedamaian dan ketenteraman, sehingga penternak-penternak dipadang Sahara merasakan keamanan itu, dimana kambing-kambing mereka tidak lagi dibaham oleh singa dan serigala lapar.

Dizaman ini pula yang kuat membaham yang lemah, yang kuat dipertahankan sedang yang lemah terus dizalimi bak kata pepatah Arab ;
"Penternak biri-biri mempertahankan serigala, maka bagaimana jika penternak itu sendiri adalah serigala."

Dalam konteks hari ini, bukan hanya pemimpin itu mempertahankan 'serigala yang ganas dan buas' malah keganasan mereka seolah-olah dinafikan dan mereka tidak diambil tindakan terhadap apa jua yang dilakukan bahkan hakikatnya pemimpin itu sendiri merupakan serigala.

Terdapat segolongan manusia menyeru orang lain kepada kepentingan dirinya bukan kepada kepentingan jamaah yang dianggotainya, malah dengan kewujudannya dalam jemaah menyebabkan jamaah menjadi kucar-kacir dan tidak kukuh. Saidinna Othman pernah ditanya : "Adakah kami perlu bersama jamaah sekalipun jamaah bersepakat untuk membunuhmu?" Jawab Saidinna Othman : "Hendaklah kamu bersama jamaah". Begitulah jawapan seorang Khalifah Nubuwwah atau Khalifah Rashidah atau pemimpin yang menjadi pengganti Nabi s.a.w.

Itulah matlamat asal perjuangan sebagaimana yang disebut oleh Al-Mawardi dalam Ahkam Sultaniah :
"Kepimpinan dilantik untuk menggantikan kenabian didalam menjaga agama dan memerintah dunia dengan agama".

Mana-mana pemimpin yang dipilih dalam mesyuarat samada untuk jawatan pengerusi, timbalan, ahli jawatankuasa, penasihat atau sesiapa yang menjadi penggerak dalam jemaah yang kelihatan terkeluar daripada matlamat asal perjuangan maka hendaklah disingkirkan.

Petikan buku : Siasah Syar'iyah
Al-Fadhil Ustaz Md. Lotfi Arifin


Rabu, November 07, 2012

Cerita Dato Tamrin semasa konvensyen PAS Johor.

Penulis bersama beberapa rakan daripada PAS Kawasan Kulai telah berkesempatan untuk hadir di Konvensyen PAS Negeri Johor yang telah di adakan di Dewan Bustanul Ariffin di Parit Bisu Batu Pahat pada 11 Nov 2012 yang lalu. Satu jumlah kehadiran yang diluar jangkaan penganjur kerana mereka hanya mensasarkan sekitar 500 orang sahaja. Tetapi jangkaan itu ternyata meleset apabila angka kehadiran pada kali ini mencecah 750 orang. Bagi Johor yang terkenal sebagai tempat tumpahnya darah UMNO, angka itu dianggap besar walaupun jika dibandingkan dengan kehadiran perwakilan di negeri-negeri tradisi PAS yang jauh lebih hebat. Apalah sangat dengan 750 tu. Khabarnya perwakilan mesyuarat agung PAS Kawasan di Kedah lebih dari itu.

Kita tinggalkan soal angka. Apa yang penulis lihat ialah semangat untuk bekerja yang ditunjukkan kali ini jauh berbeza dengan PRU-PRU sebelumnya. Rata-rata yang datang dengan satu semangat untuk menumbangkan UMNO di Johor. Mood seperti ini tidak kelihatan sebelum ini. Walaupun semangatnya ada dan membara, tetapi kali ini pekikan perjuangan itu sudah mula bergema. Masing-masing sudah tidak sabar untuk turun kemedan perjuangan. Satu suasana yang pernah dilihat ketika era reformasi pada tahun 1999 tetapi gelombangnya kali ini lebih hebat. Ditambah lagi dengan kehadiran beberapa tokoh UMNO yang selama ini berjuang menentang perjuangan PAS, yang kini telah berhijrah dan memilih untuk berjuang menentang parti yang selama ini menjadi tulang belakang mereka seperti Dato' Tamrin Tun Ghaffar, Dato Seri Rahman Maidin dan kehadiran tanpa diduga oleh Dato Abd Rahman Yunus yang masih menjadi AJK UMNO Bahagian Labis.

Dato' Tamrin yang telah pun menyertai PAS, ketika membentangkan kertas kerja di konvensyen tersebut, sempat berjenaka apabila mendapat tahu Ahli Parlimen Pontian, Dato' Ahmad Maslan merasmikan sebatang jalan di kawasan parlimen beliau. Lucunya, jalan tersebut telahpun siap 15 tahun dahulu. "Diketika ini jika tuan-tuan dan puan-puan ada reban ayam yang hendak dirasmikan, sila hubungi wakil rakyat tuan-tuan. Pasti dia akan datang dan memberi sumbangan", ujarnya.

Inilah perangai wakil rakyat UMNO yang tidak berubah sejak dari dulu. Oleh kerana mereka tidak berubah, maka menjadi tanggung jawab kita untuk mengubah mereka. Inilah mesej jelas yang disampaikan oleh mantan Pengerusi MARA ini.

Banyak lagi yang disampaikan untuk kita kongsikan bersama. Oleh kerana masa yang ada amat terhad dengan tugasan lain ( ini pun mencuri-curi masa ), insya'allah penulis akan cuba sampaikan dalam pojokan ini agar dapat kita sebarkan kepada rakan UMNO yang masih terbelenggu dengan fahaman lama mereka. Mudah-mudahan mereka mendapat hidayah daripada Allah swt. AMIN.


Isnin, November 05, 2012

SYRIA : RAKYAT MANGSA , PEMIMPIN BERLAGA DAN MUSUH UNTUNG

Republik Arab Syria (selepas ini ditulis Syria) adalah termasuk dari kalangan negara Arab di Asia Barat, bersempadankan Lubnan dan Laut Mediterranean di sebelah barat, Turki di utara, Iraq di timur, Jordan di selatan dan negara haram Israel di sebelah barat dayanya. Syria adalah termasuk di kalangan negara Arab yang turut menerima arus perubahan kebangkitan rakyat. Umum menyangkakan bahawa sepatutnya perubahan akan lebih mudah berlaku di Syria berbanding negara lain kerana rakyat majoriti besarnya iaitu 74% adalah muslim-sunni manakala kerajaannya pula dikuasai oleh golongan minoriti Alawi (lebih kurang 3 % – 4 %) berideologikan sosialis Parti Ba’ath paling kiri di kalangan negara Arab.

Dari segi hubungan dengan negara jirannya, terdapat tanda-tanda sejak awal yang menunjukkan adanya hubungan sulit antara Syria sendiri dengan negara Barat dan negara haram Israel, walau pun secara zahir sikapnya menunjukkan keras terhadap mereka khususnya Israel. Namun yang nyata ialah sejak awal sehingga kini, Syria tidak menjadi sasaran serangan terbuka daripada Israel seperti yang dialami oleh Lubnan, Iraq dan Sudan. 

Sebenarnya sudah terang lagi bersuluh, bahawa adanya kerjasama melalui beberapa tindakan membantu pihak Barat apabila menghalang dengan keras terhadap pengaruh politik Islam yang menjadi ancaman terbuka kepada Israel dan Barat, disamping Syria mendapat dukungan kuasa besar Rusia dan China. 

Kebangkitan rakyat berlaku sejak awal 80-an yang dipimpin oleh gerakan Islam Ikhwan Muslimin. Pada ketika itu, Bandar Hama yang paling kuat pengaruh Islam menjadi mangsa kekejaman. Puluhan ribu rakyat menjadi korban mangsa kezaliman kerajaan Parti Ba’ath Alawi pimpinan Presiden Hafez al-Assad (1970 – 2000). Media tidak membuat liputan, manakala negara Arab lain dan jirannya diam membisu. Maklumat hanya melalui berita kecil dalam ruang yang sempit. Majoriti rakyat bermazhab Sunni bernaung dan berpijak di atas bara yang membakar. Kalangan ulama yang berani dan pemimpin anti kerajaan terpaksa menjadi mangsa dipenjara, ada dibunuh dan ada yang hidup dalam buangan di luar negara. Hanya kalangan yang menyembunyikan diri atau membisu boleh menyelamatkan diri. Adapun kalangan pengampu mendapat liputan yang sebaik-baiknya dan diletak ditempat penting dalam urusan agama Islam untuk menjadi topeng melindungi kesesatan dan kezalimannya. 

Mantan diplomat Amerika yang menulis makalah mengenai Fundamentalisme di Asia Barat sejak dua puluh tahun lalu, mendedahkan pengetahuan Barat yang mendukung demokrasi dan hak asasi manusia, bahawa mereka tahu dan faham kedudukan di Syria. Pihak Barat menyedari bahawa kerajaan minoriti Alawi Parti Ba’ath menguasai majoriti golongan Sunni yang kuat beragama dan betapa Hafez al-Assad dan anaknya berlakon sembahyang dan berbagai ibadat yang tidak ada dalam ajaran Alawi, demi menghalang kumpulan Islam yang menjadi ancaman paling bahaya kepada Israel dan kepentingan Barat. 

Dalam senario sebegini, Bashar al-Assad pula bermain politik talam banyak muka, apabila dari satu sudut dilihat membenarkan para pejuang Palestin daripada Hamas dan Jihad, membenarkan Syria menjadi laluan bantuan pihak tertentu kepada Palestin dan Hezbollah dengan bebas, bahkan diberi kemudahan membuka pejabat, pusat latihan dan kemudahan yang lain; manakala di satu sudut yang lain mempunyai hubungan sulit dengan Barat dan Negara haram Israel. Adapun seluruh negara Arab yang lain tidak memberi tempat dan peluang sepertinya. Sebaliknya pula Bashar al-Assad mengharamkan kumpulan Islam yang sama sekiranya terdiri daripada rakyat Syria sendiri.

Kebangkitan rakyat yang berwajah Islam, secara demonstrasi aman pada awalnya mendapat sambutan rakyat. Tiba-tiba mendapat perhatian dunia luar khususnya negara Barat yang ada kepentingan masing-masing dan Israel, sama ada pergantungan sumber tenaga petrol dan gas, atau pergantungan dengan negara Zionis yang berpengkalankan di negara haram Israel. Dua perkara yang dianggap rukun hidup kepada barat : Minyak dan Israel. 
 
Setiap pengamat politik yang insaf wajib melihat kepada aspek yang penting tersebut, sebelum menentukan sikap yang adil dan istiqamah. Parti Islam SeMalaysia (PAS) bersama parti-parti Islam di negara lain mengadakan wacana khas bagi menangani isu ini. 

Kami berpendapat bahawa Regim Bashar wajib diturunkan oleh rakyat Syria dan digantikan dengan kumpulan Islam tulen dengan proses demokrasi yang sebenarnya dan adil. Campur tangan asing hendaklah ditentang habis-habisan. Kerajaan Islam Iran juga hendaklah menarik sokongannya terhadap regim yang zalim itu, demi menjaga maruah negara itu kepada umat Islam. Negara-negara Arab dan berjiran seperti Turki pula jangan menjadi hamba kepada negara Barat yang menjaga keselamatan Israel, minyak dan gas, dan bukannya ikhlas terhadap rakyat Syria yang dizalimi. Barat bukan sahaja dilihat bahkan terus bertindak dengan menunjukkan usaha mereka yang jelas untuk mencari pemimpin pro Barat yang lebih menjaga kepentingan mereka selain daripada Bashar, dan bukannya melihat kepada kepentingan 74% umat Islam di Syria. Selagi pemimpin yang dikehendaki oleh pihak Barat ini tidak berhasil, maka Bashar akan terus dikekalkan, kerana mereka berpendapat bahawa kedudukannya lebih baik di kalangan yang zalim itu daripada yang lain. 

Negara Arab, Turki dan Iran pula sepatutnya bersatu menghadapi negara haram Israel, bukannya berkhilaf dalam isu Syria sehingga terperangkap dengan agenda musuh timur dan barat. Semua pihak perlu kembali kepada sejarah secara ikhlas, meninggalkan kepentingan mazhab, fanatik perkauman dan kerusi singgahsana masing-masing. Ingatlah bahawa semua negara besar itu turut terlibat dalam penubuhan negara haram Israel tahun 1948, dan masih terus mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel sehingga kini. Mereka jugalah yang terus membuat desakan supaya negara Arab dan Islam untuk menerima Penyelesaian Two State Solution, antaranya menerusi Persidangan Annapolis pada November 2007; yang membahagiakan dua negara iaitu satu untuk Zionis dan satu untuk Arab Palestin (satu pembahagian yang zalim dan khianat).

Sekiranya negara-negara Arab, Iran dan Turki saling menyatukan sumber tenaga manusia, sumber semula jadi di perut bumi dan teknologi yang sudah mencapai kemampuan menghadapi cabaran, maka sudah tentu ancaman negara haram Israel ini dapat diatasi. 

Hingga kini kita masih terus menunggu setakat mana pencapaian Resolusi Makkah daripada sidang kemuncak OIC yang berlangsung pada bulan Ramadan lalu. Penyelesaian sebenar hanya akan dicapai apabila OIC dibebaskan dari berkiblat ke arah kuasa asing dan mula berkiblatkan Kaabah di Makkah. Perhatikan sehingga mana usaha penemuan susulan OIC di kalangan empat negara penting terdekat dengan masalah yang sedang berlaku iaitu : Mesir, Turki, Arab Saudi dan Iran. Atau adakah Syria akan atau sedang turut menjadi medan ujian senjata kuasa barat dan timur, di mana negara-negara jiran menjadi pengkalan bekalannya, dibayar pula dengan duit dan minyak Arab, akhirnya yang kalah menjadi abu dan yang menang menjadi arang.

Penyelesaiannya ialah memperkasakan OIC, supaya benar- benar mewakili umat Islam. Syria adalah medan paling sesuai supaya dipulangkan hak kepada rakyat dengan pilihanraya adil secara langsung di bawah kendalian OIC. Pemimpin negara menjadi ujian sama-sama beramanah atau bersedia jadi pengkhianat dan menerima hukum Allah Yang Maha Adil.


Dato' Seri Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang
Presiden PAS


Selasa, Oktober 30, 2012

KENYATAAN PRESIDEN PAS: MCA Bantu Dedahkan Umno Yang Sebenar

Kenyataan Datuk Seri Dr Chua Soi Lek, Presiden MCA yang secara terbuka menentang Syariat Islam, khususnya undang-undang jenayah hudud, adalah menyerlahkan sikap Barisan Nasional yang sebenar. Perlu diingat bahawa UMNO adalah parti teras dalam BN, yang wujud bersama MCA, MIC, GERAKAN dan lain-lainnya sebagaimana yang kita ulangi sudah pun diberi amanah menerajui pemerintahan negara Malaysia ini 
selama lebih dari lima puluh tahun.

Hakikatnya ialah, bahawa UMNO memimpin kerajaan pusat dan kebanyakan kerajaan negeri, dengan adanya Biro Agama dalam UMNO itu sendiri, dalam kerajaannya ada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam - yang diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO, dan ada menteri penjaganya, disamping diwujudkan Institut Kefahaman Islam (IKIM), Fakulti Pengajian Islam dibeberapa Universiti, di peringkat negeri pula ada Jabatan Agama Islam masing-masing dan ada Exco Agama daripada UMNO juga TETAPI segala-galanya ini tidak mampu meletakkan Islam itu tinggi di tempat yang sebenarnya dalam urusan negara Malaysia ini dan di negeri yang dipimpin oleh UMNO. Adapun Majlis Fatwa Kebangsaan pula hanya bebas dalam lingkungan sangkarnya, berkokok mengikut waktu yang disesuaikan dengan keselesaan UMNO yang menjadi penunggunya.

Soalannya mengapa MCA boleh membuat kenyataan terbuka begitu rupa ?.
Dalam hal ini, MCA bukanlah parti yang patut disoal atau diminta penjelasan, kerana parti ini hanya mewakili kelompok masyarakat Cina bukan Islam. Manakala hukum hudud pula tidak ada dalam ajaran semua agama bukan Islam yang dianut oleh ahli MCA. Parti UMNO lah yang secara khususnya patut dipersoalkan oleh bangsa melayu yang beragama Islam bukannya MCA, kerana banyaknya urusan Islam di dalam tubuh parti UMNO serta kedudukannya yang memimpin kerajaan pusat dan negeri.

PAS tidak merasa hairan apa yang berlaku, kerana UMNO adalah Parti Kebangsaan Melayu, di mana “Islam” hanya menjadi agama yang dianut secara peribadi kalangan ahli UMNO sahaja. Perlembagaan UMNO juga tidak meletakkan Islam menjadi dasar, matlamat dan hukum tertinggi. Sifat individualistik yang menjadi konsep kepada ahli UMNO menyebabkannya tidak boleh bertindak terhadap ahlinya yang melakukan maksiat yang besar, apatah lagi yang terlalu kecil, kerana agama adalah urusan individu. Ahli UMNO pula boleh menjadi orang yang soleh, paling kuat beribadat, banyak sembahyang, banyak mendirikan masjid, kerap umrah dan lebih banyak peluang haji, berkebajikan dalam masyarakat dengan sebanyak-banyaknya dan sebagainya. Tetapi ahli UMNOi tidak mampu bercakap atas nama partinya untuk menegur atau menyanggah kenyataan Presiden MCA, kerana ini akan bercanggah dengan semangat dan konsep kebersamaan dalam BN yang didukung sama oleh undang-undang tubuh UMNO yang diselaraskan dengan semua rakan-rakannya dalam Barisan Nasional.

UMNO lebih mengutamakan konsep pragmatik sekular yang didukung bersama MCA, MIC, GERAKAN dan lain-lain, dalam gabungan parti-parti komponen Barisan Nasional. Maka Islam tidak berkuasa dan berdaulat, hanyalah sekadar menjadi cabang yang berteduh di bawah semangat Barisan Nasional. Maka UMNO tidak ada kelayakan untuk menegur Presiden MCA sehingga dia boleh bercakap apa sahaja termasuk dalam perkara Islam yang dia terlalu jahil kerana bukan agamanya.

HUDUD
Undang-undang Hudud adalah salah satu daripada hukum jenayah dalam syariat Islam, bersama dengan hukuman Qisas dan Takzir. Perkataan “Hudud” bererti batas-batas sempadan Allah yang tidak boleh dipertikaikan oleh seseorang yang beriman, di mana hukumannya telah di naskan oleh Allah secara nyata dalam Al Quran dan Hadith Rasulullah SAW seperti juga nas wajib sembahyang lima waktu, puasa, zakat , haji dan pengharaman arak, judi, riba dan lain-lain. Hudud tidak boleh dinamakan “Hudud PAS” seperti juga tidak boleh dinamakan “sembahyang PAS”. Hanya yang jahil murakkab sahaja boleh bercakap begitu. Allah berfirman :
الأحزاب .
Maksudnya : “Dan tidaklah harus bagi seseorang yang beriman, lelaki dan perempuan - apabila Allah dan RasulNya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara – mereka tidaklah mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka. Dan sesiapa yang tidak taat kepada hukum Allah dan RasulNya maka sesungguhnya dia telah sesat dengan kesesatan yang jelas nyata.” (al-Ahzab – 36)

Perkara yang dinyatakan secara nas saperti Hudud dan Qisas tidak mungkin dicapai oleh akal manusia, maka Allah menyatakan petunjuknya secara jelas. Rasulullah SAW sendiri, para pemimpin dan ulama selepasnya wajib menerima dan pihak yang berkuasa pula wajib melaksanakannya di mana mereka tidak boleh bertelingkah atau khilaf dari segi wajibnya. Perbincangan dan berbeza pendapat hanya dalam perkara cabang dari segi mencari bukti dan proses kehakiman yang adil, bukan meninggalkannya.

Keseluruhan undang-undang jenayah Islam lebih bersifat dan berkonsepkan mendidik masyarakat, maka dikenakan syarat yang ketat sehingga sukar menjatuhkan hukuman, tetapi undang-undang dan hukumannya menakutkan sehingga Presiden MCA juga takut. Penjenayah lebih digalakkan bertaubat sebelum dibawa ke mahkamah. Hukum Hudud tidak boleh diampun setelah diputuskan oleh mahkamah, kerana Hudud menjadi hak Allah bagi memelihara rukun kehidupan bermasyarakat. Lucunya, terdapat pula kalangan yang jahil pula cuba berhujah, bahawa penjenayah akan berkeliaran atau bertambah kerana hukuman sangat sukar untuk dijatuhkan. Hakikatnya ini tidak akan berlaku kerana sebelum sesuatu kes itu dibawa ke mahkamah, pihak yang mendakwa atau pendakwa akan menentukan samada cukup kesaksian atau tidak untuk kes hudud. Sekiranya bukti tidak cukup untuk kes hudud bukan bermakna terus dilepaskan. Bukti-bukti jenayah ini mungkin cukup untuk di bawa kes ke perbicaraan takzir – di mana hukuman takzir adalah lebih ringan dari hukuman hudud. Dalam bahasa mudah difahami waktu ini, hukuman takzir boleh wujud dalam bentuk kanun keseksaan (penal code) yang hukuman dan beban pembuktiannya jauh lebih ringan dari hukuman hudud.

Setiap penganut Islam sebelum wujudnya PAS dan UMNO wajib beriman dengan hukum hudud. Maka penganut Islam dalam UMNO wajib bertegas dan istiqamah dengan Islamnya, seterusnya bertindak sama ada memecat MCA daripada Barisan Nasional atau UMNO di pecat atau keluar daripada Barisan Nasional atau ahli-ahli UMNO yang beragama Islam keluar UMNO beramai-ramai.
PAS DAN DAP
PAS berlainan dengan UMNO dan sangat berbeza, kerana PAS tegas mengikut undang-undang tubuhnya, menjadikan Islam (Quran, Hadith, Ijmak dan Qiyas) hukum tertinggi, dasar dan matlamat perjuangannya Islam yang sempurna, maka termasuk urusan politik negara. Sekiranya dikaji Surah Al Maidah yang diturunkan di Madinah, terdapat di dalamnya undang-undang jenayah, diantaranya Hudud. Kebanyakan sebab nuzulnya (turun ayat) adalah berkait dengan sikap penganut bukan Islam yang dijawab secara wahyu. Perkara ini dapat dirujuk dalam kitab tafsir dan sejarah Islam.

PAS berijtihad memilih Demokrasi bagi mencapai kuasa pemerintahan dan melaksanakan Islam termasuk hukum hudud, kerana pendekatan demokrasi secara damai adalah bersesuaian bagi menyelamat manusia bersama Islam tanpa paksaan, walaupun memakan masa yang panjang sehingga beberapa generasi serta pemimpin pergi dan datang. Maka proses pelaksanaan undang – undang termasuk Hudud di bawa ke dalam Dewan Undangan Negeri Kelantan dan Terengganu setelah mendapat mandat kemenangan besar dalam pilihanraya lalu. Undang – undang jenayah Islam termasuk Hudud dipamerkan lebih dahulu kepada masyarakat umum berbagai agama, di bentang dan dibuka kepada proses soal-jawab terlebih dahulu sebagai satu proses pendidikannya. Ingin saya pertegaskan sekali lagi bahawa pelaksanaan enakmen Islam adalah hanya untuk orang Islam sahaja, sama sekali tidak untuk bukan Islam. PAS tidak membawa perkara ini di Kedah, Perak, Selangor dan Pulau Pinang kerana tidak mencukupi syarat secara demokrasi. DAP pula bukan parti kerajaan pusat yang berkuasa sepenuhnya seperti MCA. Ahli DAP banyak terdiri daripada masyarakat bukan Islam yang tertindas oleh kekayaan MCA, MIC dan semangat kebangsaan UMNO yang terlalu tinggi. Maka PAS lebih mudah berkira dengan DAP. Perkara hudud boleh dibincang secara ilmu dengan adil dan bebas.

Hubungan PAS dengan DAP dan PKR bukan Islam dalam Pakatan Rakyat adalah secara muafakat. Maka isu pelaksanaan Islam oleh PAS dalam negeri Pakatan Rakyat adalah berpandukan kepada hukum Tahaluf Siyasi dalam Feqah Siyasah. Ini perkara yang perlu difahami oleh penyokong PAS dan rakyat seluruhnya.
PAS tetap tegas dengan perjuangan Islamnya dan DAP pula tegas dengan perjuangannya. Dalam hal ini kerjasama berlaku dalam titik persamaan dan hak berbeza pendapat tetap dihormati dan hak penganut bukan Islam wajib diberi dengan adil.
Titik persamaan secara umum sudah disepakati, apabila DAP menerima konsep yang sudah ada dalam perlembagaan negara, termasuk kedudukan agama Islam. Bagi PAS sudah cukup menarik untuk memberi ruang perbincangan sekiranya memerintah negara. Cara ini tidak boleh dilakukan oleh UMNO dengan rakan-rakan karibnya dalam Barisan Nasional. Malangnya perbincangan yang masih awal diganggu oleh media arus perdana khususnya berbahasa melayu mengaku Islam, yang sengaja berniat jahat untuk menghalang cita-cita Islam yang diperjuangkan oleh PAS.
Sekiranya rakyat memberi kuasa dalam Pilihanraya Umum ke-13 kepada Pakatan Rakyat, maka PAS yakin dapat membawa mesejnya dengan sempurna tanpa gangguan syaitan yang dikenali dan tidak dikenali.

Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang
PRESIDEN PAS

Mengapa Rakyat kena bayar Bil Elektrik 1 Malaysia yang TINGGI ?

Harakahdaily,

24 Okt 2012

KUALA LUMPUR: Tindakan kerajaan melanjutkan konsesi dua Pembekal Tenaga
Bebas (IPP) menimbulkan tanda tanya selepas kerajaan berjanji untuk
membuatnya melalui tender terbuka.

Dua IPP yang dilanjutkan konsesi mereka lebih awal dan mendapat layanan
istimewa adalah Genting Sanyen Power dan Segari Power Ventures.

Segari dimilikki oleh Malakof Behad yang dikuasai oleh Tan Sri Syed
Mokhtar Al Bukhari manakala Genting Sanyen kini dibeli oleh 1-MDB dari
Genting Berhad.

Anggota Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad dalam
tulisannya mempertikaikan kenapa kedua-dua IPP ini mendapat layanan
istimewa.

"Tindakan ini telah mencetuskan pelbagai tanda tanya yang menjadikan
segala dakwaan kerajaan bahawa pemberian konsesi kedua IPP ini adalah
telus dan adil, mula di pandang serong oleh pasaran tenaga dan para
penganalisa," kata beliau dalam tulisannya.

Beliau juga mempertikaikan, mengapa Genting Sanyen mendapat harga
konsesi pada kadar 35.3 sen dan Segari Power mendapat kadar 36.3 sen per
kWh yakni lebih tinggi dari loji tenaga baru yang dibina sendiri oleh
Tenaga Nasional.

"Kalau ia tidak lagi efisien dan boleh menandingi loji baru, maka perlu
kadar yang lebih diberikan? Mengapa tidak dihabiskan sahaja konsesinya
dan digantikan?" kata beliau dalam tulisan itu.

Sebelum ini, ketika konsesi IPP jenerasi pertama diberikan, Pengerusi
TNB, Tan Sri Ani Arope telah meletakkan jawatannya kerana tiadak
berpuashati dengan harga yang dipaksakan ke atas TNB.

Khamis, Oktober 25, 2012


PAS Kawasan Kulai akan mengadakan ibadat kurban bersama masyarakat Kampung Rahmat pada hari Sabtu 27 Oktober 2012 bersamaan 11 Zulhijjah 1433H bermula jam 8.00pg.

Sahabat yang berkelapangan dijemput hadir membantu.