Republik
Arab Syria (selepas ini ditulis Syria) adalah termasuk dari kalangan
negara Arab di Asia Barat, bersempadankan Lubnan dan Laut Mediterranean
di sebelah barat, Turki di utara, Iraq di timur, Jordan di selatan dan
negara haram Israel di sebelah barat dayanya. Syria adalah termasuk di
kalangan negara Arab yang turut menerima arus perubahan kebangkitan
rakyat. Umum menyangkakan bahawa sepatutnya perubahan akan lebih mudah
berlaku di Syria berbanding negara lain kerana rakyat majoriti besarnya
iaitu 74% adalah muslim-sunni manakala kerajaannya pula dikuasai oleh
golongan minoriti Alawi (lebih kurang 3 % – 4 %) berideologikan sosialis
Parti Ba’ath paling kiri di kalangan negara Arab.
Dari
segi hubungan dengan negara jirannya, terdapat tanda-tanda sejak awal
yang menunjukkan adanya hubungan sulit antara Syria sendiri dengan
negara Barat dan negara haram Israel, walau pun secara zahir sikapnya
menunjukkan keras terhadap mereka khususnya Israel. Namun yang nyata
ialah sejak awal sehingga kini, Syria tidak menjadi sasaran serangan
terbuka daripada Israel seperti yang dialami oleh Lubnan, Iraq dan
Sudan.
Sebenarnya
sudah terang lagi bersuluh, bahawa adanya kerjasama melalui beberapa
tindakan membantu pihak Barat apabila menghalang dengan keras terhadap
pengaruh politik Islam yang menjadi ancaman terbuka kepada Israel dan
Barat, disamping Syria mendapat dukungan kuasa besar Rusia dan China.
Kebangkitan
rakyat berlaku sejak awal 80-an yang dipimpin oleh gerakan Islam Ikhwan
Muslimin. Pada ketika itu, Bandar Hama yang paling kuat pengaruh Islam
menjadi mangsa kekejaman. Puluhan ribu rakyat menjadi korban mangsa
kezaliman kerajaan Parti Ba’ath Alawi pimpinan Presiden Hafez al-Assad
(1970 – 2000). Media tidak membuat liputan, manakala negara Arab lain
dan jirannya diam membisu. Maklumat hanya melalui berita kecil dalam
ruang yang sempit. Majoriti rakyat bermazhab Sunni bernaung dan berpijak
di atas bara yang membakar. Kalangan ulama yang berani dan pemimpin
anti kerajaan terpaksa menjadi mangsa dipenjara, ada dibunuh dan ada
yang hidup dalam buangan di luar negara. Hanya kalangan yang
menyembunyikan diri atau membisu boleh menyelamatkan diri. Adapun
kalangan pengampu mendapat liputan yang sebaik-baiknya dan diletak
ditempat penting dalam urusan agama Islam untuk menjadi topeng
melindungi kesesatan dan kezalimannya.
Mantan
diplomat Amerika yang menulis makalah mengenai Fundamentalisme di Asia
Barat sejak dua puluh tahun lalu, mendedahkan pengetahuan Barat yang
mendukung demokrasi dan hak asasi manusia, bahawa mereka tahu dan faham
kedudukan di Syria. Pihak Barat menyedari bahawa kerajaan minoriti Alawi
Parti Ba’ath menguasai majoriti golongan Sunni yang kuat beragama dan
betapa Hafez al-Assad dan anaknya berlakon sembahyang dan berbagai
ibadat yang tidak ada dalam ajaran Alawi, demi menghalang kumpulan Islam
yang menjadi ancaman paling bahaya kepada Israel dan kepentingan
Barat.
Dalam
senario sebegini, Bashar al-Assad pula bermain politik talam banyak
muka, apabila dari satu sudut dilihat membenarkan para pejuang Palestin
daripada Hamas dan Jihad, membenarkan Syria menjadi laluan bantuan pihak
tertentu kepada Palestin dan Hezbollah dengan bebas, bahkan diberi
kemudahan membuka pejabat, pusat latihan dan kemudahan yang lain;
manakala di satu sudut yang lain mempunyai hubungan sulit dengan Barat
dan Negara haram Israel. Adapun seluruh negara Arab yang lain tidak
memberi tempat dan peluang sepertinya. Sebaliknya pula Bashar al-Assad
mengharamkan kumpulan Islam yang sama sekiranya terdiri daripada rakyat
Syria sendiri.
Kebangkitan
rakyat yang berwajah Islam, secara demonstrasi aman pada awalnya
mendapat sambutan rakyat. Tiba-tiba mendapat perhatian dunia luar
khususnya negara Barat yang ada kepentingan masing-masing dan Israel,
sama ada pergantungan sumber tenaga petrol dan gas, atau pergantungan
dengan negara Zionis yang berpengkalankan di negara haram Israel. Dua
perkara yang dianggap rukun hidup kepada barat : Minyak dan Israel.
Setiap
pengamat politik yang insaf wajib melihat kepada aspek yang penting
tersebut, sebelum menentukan sikap yang adil dan istiqamah. Parti Islam
SeMalaysia (PAS) bersama parti-parti Islam di negara lain mengadakan
wacana khas bagi menangani isu ini.
Kami
berpendapat bahawa Regim Bashar wajib diturunkan oleh rakyat Syria dan
digantikan dengan kumpulan Islam tulen dengan proses demokrasi yang
sebenarnya dan adil. Campur tangan asing hendaklah ditentang
habis-habisan. Kerajaan Islam Iran juga hendaklah menarik sokongannya
terhadap regim yang zalim itu, demi menjaga maruah negara itu kepada
umat Islam. Negara-negara Arab dan berjiran seperti Turki pula jangan
menjadi hamba kepada negara Barat yang menjaga keselamatan Israel,
minyak dan gas, dan bukannya ikhlas terhadap rakyat Syria yang dizalimi.
Barat bukan sahaja dilihat bahkan terus bertindak dengan menunjukkan
usaha mereka yang jelas untuk mencari pemimpin pro Barat yang lebih
menjaga kepentingan mereka selain daripada Bashar, dan bukannya melihat
kepada kepentingan 74% umat Islam di Syria. Selagi pemimpin yang
dikehendaki oleh pihak Barat ini tidak berhasil, maka Bashar akan terus
dikekalkan, kerana mereka berpendapat bahawa kedudukannya lebih baik di
kalangan yang zalim itu daripada yang lain.
Negara
Arab, Turki dan Iran pula sepatutnya bersatu menghadapi negara haram
Israel, bukannya berkhilaf dalam isu Syria sehingga terperangkap dengan
agenda musuh timur dan barat. Semua pihak perlu kembali kepada sejarah
secara ikhlas, meninggalkan kepentingan mazhab, fanatik perkauman dan
kerusi singgahsana masing-masing. Ingatlah bahawa semua negara besar itu
turut terlibat dalam penubuhan negara haram Israel tahun 1948, dan
masih terus mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel sehingga kini.
Mereka jugalah yang terus membuat desakan supaya negara Arab dan Islam
untuk menerima Penyelesaian Two State Solution, antaranya menerusi
Persidangan Annapolis pada November 2007; yang membahagiakan dua negara
iaitu satu untuk Zionis dan satu untuk Arab Palestin (satu pembahagian
yang zalim dan khianat).
Sekiranya
negara-negara Arab, Iran dan Turki saling menyatukan sumber tenaga
manusia, sumber semula jadi di perut bumi dan teknologi yang sudah
mencapai kemampuan menghadapi cabaran, maka sudah tentu ancaman negara
haram Israel ini dapat diatasi.
Hingga
kini kita masih terus menunggu setakat mana pencapaian Resolusi Makkah
daripada sidang kemuncak OIC yang berlangsung pada bulan Ramadan lalu.
Penyelesaian sebenar hanya akan dicapai apabila OIC dibebaskan dari
berkiblat ke arah kuasa asing dan mula berkiblatkan Kaabah di Makkah.
Perhatikan sehingga mana usaha penemuan susulan OIC di kalangan empat
negara penting terdekat dengan masalah yang sedang berlaku iaitu :
Mesir, Turki, Arab Saudi dan Iran. Atau adakah Syria akan atau sedang
turut menjadi medan ujian senjata kuasa barat dan timur, di mana
negara-negara jiran menjadi pengkalan bekalannya, dibayar pula dengan
duit dan minyak Arab, akhirnya yang kalah menjadi abu dan yang menang
menjadi arang.
Penyelesaiannya
ialah memperkasakan OIC, supaya benar- benar mewakili umat Islam. Syria
adalah medan paling sesuai supaya dipulangkan hak kepada rakyat dengan
pilihanraya adil secara langsung di bawah kendalian OIC. Pemimpin negara
menjadi ujian sama-sama beramanah atau bersedia jadi pengkhianat dan
menerima hukum Allah Yang Maha Adil.
Dato' Seri Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang
Presiden PAS
Tiada ulasan:
Catat Ulasan