Selasa, Januari 31, 2012

Konvoi Berkebajikan PAS Kawasan Kulai.

Ahad 29 Januari 2012.
PAS Kawasan Kulai telah mengadakan program bertemu pengundi melalui 'Konvoi Berkebajikan' yang telah disertai hampir 80 orang warga PAS Kulai. Progam kali meliputi kawasan Bandar Putra, Kg. Pertanian dan Felda Inas. Seramai 27 keluarga telah disenaraikan untuk menerima bantuan yang terdiri daripada barangan keperluan harian seperti beras, gula, tepung dsb.

Kehadiran kami ini telah berjaya membuka mata para penduduk tempatan mengenai 'Konsep Negara Berkebajikan' yang di bawa oleh PAS. Kini ia telah mula diterima dan mereka sudah tidak merasa takut untuk mendekati PAS walaupun kebanyakkan mereka baru sahaja menerima bantuan RM500 melalui BR1M.

Penerangan ringkas mengenai dasar PAS dan agihan bantuan kepada penerima.


Antara keluarga yang menerima sumbangan di flat Cenggal Bdr. Putra.


Rombongan konvoi PAS Kawasan tiba di Kg. Pertanian.


Ziarah kerumah penerima antara agenda menyantuni pengundi.


Melentur buloh biarlah dari rebungnya.





Dalam perjalanan ke Inas, peserta konvoi telah singgah di Sengkang untuk mengagihkan Kad Tahun Baru Cina dan buah limau kepada masyarakat Tionghua.

Semoga usaha ini menjadi penyebab Allah memberi kemenangan kepada Pakatan Rakyat di DUN Bukit Permai didalam PRU 13 akan datang.

INSYA'ALLAH.


Selasa, Januari 17, 2012

15 maksiat yang menurunkan bala'.

Daripada Ali bin Abi Talib r.a. : Rasulullah s.aw. bersabda yang bermaksud :

"Apabila umatku telah membuat lima belas perkara ini maka bala pasti akan turun kepada mereka iaitu :
  1. Apabila harta negara hanya beredar pada orang-orang tertentu.
  2. Apabila amanah itu dijadikan suatu sumber keuntungan.
  3. Zakat dijadikan hutang.
  4. Suami memperturutkan kehendak isteri.
  5. Anak derhaka terhadap ibunya.
  6. Sedangkan ia berbaik-baik dengan kawannya.
  7. Suka menjauhkan diri dari ayahnya.
  8. Suara sudah ditinggikan didalam masjid.
  9. Yang menjadi ketua suatu kaum adalah orang yang terhina diantara mereka.
  10. Seseorang yang dimuliakan kerana ditakuti kejahatannya.
  11. Khamar (arak) sudah diminum dimerata tempat.
  12. Kain sutera banyak dipakai oleh kaum lelaki.
  13. Para artis disanjung-sanjung.
  14. Muzik banyak dimainkan.
  15. Genarasi akhir umat ini melaknat (menyalahkan) generasi pertama (sahabat).

Maka pada ketika itu hendaklah mereka menanti angin merah atau gempa bumi atau mereka akan diroboh menjadi makhluk lain."

Hadith Riwayat : Tarmidzi.

SAMA-SAMALAH KITA RENUNGKAN.




Jumaat, Januari 13, 2012

Tindakan disiplin satu tarbiah.

Apabila kita mengisi borang sebagai ahli Parti Islam Se-Malaysia (PAS) kita telah berjanji untuk mematuhi perintah dan arahan parti selagi ia tidak bertentangan dengan Islam. Janji ini merupakan lumrah kepada mana-mana organisasi. Begitu juga apabila kita bekerja di sektor swasta atau awam tetap mempunyai disiplin dan peraturan yang perlu dipatuhi jika mahu berkerja di tempat ini. Perkara yang sama kita sebagai seorang muslim sudah pun digariskan oleh Nabi SAW sebagai panduan disiplin dengan agama kita yang tidak boleh dirungkai daripada diri kita. Tidak ada makhluk yang bernama manusia hidup tanpa peraturan dan disiplin. Sekiranya manusia hidup tanpa disiplin, maka dunia akan haru hara. Lebih-lebih lagi sebagai sebuah parti yang hendak mendaulatkan Islam dan mempunyai cabaran yang begitu besar perlu mempunyai disiplin yang ketat supaya tidak ada gangguan untuk mencapai matlamatnya.

Banyak kisah-kisah yang dipaparkan di dalam sirah Nabi SAW yang boleh menjadi teladan kepada kita. Oleh itu tindakan disiplin adalah sebahagian daripada tarbiah di dalam jamaah.

Contoh yang berlaku tindakan disiplin kepada tiga orang sahabat Nabi SAW yang tidak menyertai perang Tabuk. Mereka ialah Kaab bin Malik, Murarah bin Rabi’ah Al-Amiri dan Hilal bin Umayah Al-Waqifi. Mereka ini adalah antara lapan puluh orang yang tidak pergi berperang di Tabuk. Rasulullah tidak menerima keuzuran mereka bertiga, manakala yang lain baginda menerima dari alasan mereka.

Menurut Kaab bin Malik beliau tidak pernah ponteng di dalam setiap kali berperang, tetapi di dalam perang Tabuk beliau merasa malas hendak menyertai, walaupun beliau mempunyai kelengkapan yang cukup melebihi daripada keterlibatan beliau berperang di medan yang lain. Oleh kerana godaan nafsu dunia maka beliau tidak berangkat bersama dengan nabi SAW. Beliau menyangka baginda tidak tahu, sangkaan beliau meleset kerana baginda terus bertanya beliau ketika di Tabuk.

Apabila baginda pulang daripada Tabuk, maka Kaab pergi berjumpa dengan Rasulullah SAW di masjid untuk meminta maaf, maka baginda suruh beliau balik sehingga mendapat pengampunan daripada Allah SWT. Baginda mengarahkan jangan berurusan dengan mereka bertiga, ertinya mereka dipulau oleh orang Islam di Madinah. Baginda sendiri tidak melayan dan menegur Kaab. Dua orang sahabat yang lain hanya tinggal di dalam rumah dan menangis serta memohon keampunan daripada Allah SWT.

Pada suatu hari ada utusan Raja Ghassan daripada Syam datang membawa surat daripada untuk memujuk Kaab bin Malik ke Syam kerana sahabat dan saudara mereka tidak perlukan beliau lagi. Maka Kaab mengambil surat itu lalu dibakar kerana ini adalah ajakan syaitan dan iblis supaya beliau meninggalkan Islam.

Masuk hari yang ke empat puluh maka datang satu utusan menyuruh mereka menjauhkan isteri mereka. Maka Kaab menyuruh isterinya pulang ke pangkuan keluarga sehinggalah datang pengampunan daripada Allah SWT. Oleh kerana Hilal bin Umaiyah sangat tua dan lemah maka isterinya datang bertemu Rasulullah SAW lalu ia bertanya, “Ya Rasulullah, sebenarnya Hilal bin Umaiyah seorang yang sangat tua, lagi pula ia tidak memiliki seorang pembantu. Adakah boleh aku melayaninya di rumah?”

Rasulullah SAW menjawab, “Tidak! Akan tetapi ia tidak boleh mendekatimu!”

Isteri Hilal menjelaskan, “Ya Rasulullah! Ia sudah tidak bersemangat pada yang itu lagi. Demi Allah, yang dilakukannya hanya menangisi dosanya sejak saat itu hingga kini!”. Maka Rasulullah tetap tidak benarkan.

Selama lima puluh hari lima puluh malam pemulauan berlaku terhadap mereka bertiga, selepas waktu subuh datang utusan daripada baginda SAW memberi tahu bahawa Allah SWT telah mengampunkan mereka bertiga.

Mendengar berita itu Kaab terus sujud syukur kepada Allah.

Ketika aku mengucapkan salam kepada Rasulullah, mukanya nampak cerah dan gembira, katanya “Bergembiralah kau pada hari ini! Inilah hari yang paling baik bagimu sejak kamu dilahirkan oleh ibumu!”

“Apakah dari Allah ataukah dari engkau ya Rasulullah?” tanyaku sabar.

“Bukan dariku! Pengampunan itu datangnya dari Allah!” jawab Rasul SAW.

Demi Allah, aku belum pernah merasakan besarnya nikmat Allah kepadaku sesudah Dia memberi hidayah Islam kepadaku, lebih besar bagi jiwaku daripada sikap jujurku kepada Rasulullah SAW.”

Ka’ab lalu membaca ayat pengampunannya itu dengan penuh haru dan syahdu, sementara air matanya berderai membasahi kedua pipinya.

“Dan terhadap tiga orang yang ditangguhkan (penerimaan taubat) mereka, hingga apabila bumi telah menjadi sempit bagi mereka, padahal bumi itu luas, dan jiwa mereka pun telah sempit (pula terasa) oleh mereka, serta telah mengetahui bahwa tidak ada tempat lari dari (siksa) Allah melainkan kepadaNya saja. Kemudian, Allah menerima taubat mereka agar mereka tetap dalam taubatnya. Sesungguhnya Allah-lah Yang Maha menerima taubat lagi Maha Penyayang.” (At-Taubah: 118)

Banyak lagi kisah tindakan disiplin yang dikenakan kepada para sahabat antaranya ialah kepada Hatib Abi Balta’ah yang membocor rahsia mengenai persiapan baginda untuk menyerang Makkah kepada kaum keluarganya di Makkah. Beliau selamat daripada hukuman kerana Hatib ialah ahli Badar. Begitu juga dengan Abu Lubabah ibn Munzir yang diamanahkan oleh Rasulullah SAW untuk berunding dengan Bani Quraizah yang sudah dikepung selama dua puluh lima hari. Apabila Abu Lubabah sampai mereka meminta pandangan apakah kamu berpedapat lebih baik kami mengikut hukum Muhammad? Abu Lubabah mengatakan: Ya . kemudian dia mengisyaratkan tangan dan tengkuknya, yakni menunjukkan mereka akan disembelih. Apabila beliau menyedari beliau telah mengkhianat amanah Rasulullah maka beliau mengikat badan beliu di masijid selama enam hari sehinggalah datang pengampunan daripada Allah SWT, bermaksud:

“Dan (ada pula) orang-orang lain yang mengakui dosa-dosa mereka yang bercampur baur pekerjaan yang baik dengan pekerjaan lain yang buruk. Mudah-mudahan Allah menerima taubat mereka. Sesungguhnya Allah maha pengampun lagi Maha Penyayang” (al-Taubah 9:102)

Pernah berlaku kepada seorang aktivis PAS di Pasir Salak Perak yang telah diambil tindakan oleh jawatankuasa disiplin parti kerana masalah dalaman parti, namun beliau tidak pernah jemu-jemu membantu PAS dan menghadiri program PAS walaupun beliau bukan ahli PAS. Paling menarik rumah beliau telah diadakan ceramah oleh Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Disiplin yang memecat beliau pada ketika itu. Selepas beberapa beliau ditemui meninggal dengan penuh misteri di dalam parit di tanah rancangan Felcra Seberang Perak.

Rumusannya:

1. Tindakan disiplin adalah merupakan sebahagian daripada tarbiah.

2. Mereka yang berjiwa besar akan menganggap ini adalah satu penghormatan dan peluang untuk mereka muhasabah diri

3. Mereka yang dikenakan tindakn disiplin diuji dengan secara praktikal, bukan sahaja teori. Kerana tarbiah ialah amali bukan teori semata-mata.

4. Salah satu cara Allah hendak mengangkat darjat seorang itu di dalam berjamaah.

5. Menguji keikhlasan seorang itu samaada mereka berjuang kerana Allah, bukan kerana jawatan.

6. Tidak rugi apabila kita merendah diri dan rela menerima tindakan dengan hati yang lapang.

7. Allah akan menguji kepada kita sama ada kita akan mengkhianat jamaah atau tidak apabila kita diambil tindakan. Jika Kaab bin Malik dipujuk oleh Raja Ghassan yang kafir, maka kita juga akan dipujuk oleh musuh-musuh PAS yang sentiasa mencari peluang.

8. Contohilah seorang ahli biasa PAS di Pasir Salak walaupun diambil tindakan mereka terus memberikan khidmat kepada PAS.

9. Allah hendak melihat kita bercakap serupa dengan apa yang kita sering ungkap kisah Khalid ibn Walid yang dipecat di zaman Saidina Umar. Beliau terus berjuang walaupun menjadi pengikut biasa.


Oleh : Ustaz Idris Ahmad

Pengarah Jabatan Tarbiah PAS Pusat.

Ekonomi meningkat, orang perempuan bekerja dan kemudahan alat tulis.

Sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud :

"Daripada abdullah bin Mas'ud r.a. berkata, Rasulullah s.a.w. telah bersabda :Sesungguhnya apabila kiamat sudah hampir tiba :
  1. Orang hanya memberi salam kepada orang yang dikenali sahaja,
  2. Perniagaan akan bertambah maju sehingga orang perempuan membantu suaminya berniaga,
  3. Banyak orang memutuskan silaturahin (hubungan kekeluargaan),
  4. Banyak saksi palsu
  5. Orang suka menyembunyikan penyaksian yang benar dan,
  6. Akan banyak kemudahan alat tulis.

Hadith Riwayat : Ahmad

KETERANGAN

Diakhir zaman orang hanya akan memberi salam kepada sahabat yang ia telah kenali sahaja bukan seperti yang dituntut dalam agama supaya kita mengucapkan salam kepada semua orang Islam samada yang kita kenali atau yang tidak dikenali. Keadaan ini menunjukkan bahwa hubungan kemesraan diantara kaum muslimin sudah amat berkurangan. Begitu pula cara hidup diakhir zaman mendorong orang perempuan untuk bekerja diluar rumah, terutama dalam perniagaan.

Perempuan akan dijadikan 'daya tarikan' pelanggan atau oleh kerana kos kehidupan yang tinggi sehingga gaji suami tidak cukup untuk memenuhi keseluruhan keperluan keluarga maka terpaksa si isteri juga bekerja. Maka keadaan ini mengakibatkan kerenggangan hubungan kekeluargaan. Isteri tidak lagi taat pada suami kerana dia juga banyak memiliki wang dan mungkin lebih banyak dari wang suaminya. Manakala anak-anak pula menjadi mangsa kehilangan kasih sayang ibubapa kerana mereka hanya menyerahkannya pada orang gaji (pembantu rumah) sahaja.

WALLAHU A'LAM.



Khamis, Januari 12, 2012

Petanda PAS semakin diterima rakyat di N50 DUN Bukit Permai.

PAS Kulai dengan kerjasama PKR dan DAP telah mengadakan program bersama masyarakat India di perkarangan PUSTAKA (Pusat Tarbiah dan Khidmat Awam) PAS Kawasan. Program ini telah mendapat sambutan diluar jangkaan dengan kehadiran hampir 250 tetamu dari kalangan orang-orang India. Selama ini PAS menghadapi kesukaran untuk mendekati golongan ini akibat pelbagai kekangan dan sikap prejudis mereka terhadap Islam.

Tanggal 12 Januari 2012 telah menyaksikan segala sangkaan negatif selama ini ternyata meleset sama sekali. Masyarakat India telah mula berani menyatakan sokongan mereka kepada Pakatan Rakyat terutamanya PAS yang bakal mewakili mereka dalam DUN Bukit Permai. Kehadiran mereka dalam kumpulan besar seperti ini tidak pernah termimpi oleh kami daripada PAS . Ia juga bakal menghantui UMNO yang selama ini bertapak secara konsisten di DUN ini. Ini merupakan petanda baik buat Pakatan Rakyat dan petanda buruk buat UMNO/BN. Mereka terutamnya dari kalangan MIC sudah tidak boleh mendabik dada menjadi juara rakyat. Rakyat kini sudah sedar siapa sebenarnya yang memperjuangkan hak dan membela nasib mereka. Kebergantungan kepada Barisan Nasional kini mula terlerai sedikit demi sedikit. Penulis yang diberi kesempatan untuk berucap, telah didatangi mereka selepas majlis sambil membisikkan kata-kata sokongan dalam erti memberi undi kepada PAS pada pilihanraya kali ini. Kalau dulu mereka hanya menganggukkan kepala, kini mereka sudah mula menjanjikan jumlah undi dari keluarga mereka.

Semoga momentum yang dipersembahkan ini mampu dimanifestasikan ke dalam peti-peti undi. Walau apa pun, usaha perlu terus dilakukan. Sokongan yang diterima tidak semestinya menjadikan kita merasa selesa. Musuh akan pasti mencari ruang untuk menghancurkan pakatan yang dibina. Oleh itu sebarang pertikaian perlulah dielakkan.

Mudah-mudahan segala usaha murni ini mendapat perkenan daripada Allah swt dan dikurniakanNya dengan kemenangan. Insya'allah.

ALLAHU AKBAR !


Rabu, Januari 11, 2012

Penjelasan Kepada Berita Kehadiran Beberapa Tokoh PAS Di Rumah Dr Hasan Ali Ahad lalu.

Dalam suasana hampir dengan pilihanraya, pelbagai isu luaran dan dalaman yang akan timbul untuk mengganggu kelancaran gerak-kerja parti.


Gangguan ini melibatkan berita bohong/fitnah/mengelirukan/niat jahat/provokasi yang dihebah oleh media perdana dengan agenda untuk mengelirukan ahli-ahli PAS di samping melaga-lagakan antara pimpinan parti.

Terbaru media perdana dilaporkan sebagai membayangkan Dato Dr Harun Din, YB Ustaz Taib Azamuddin, Ustaz Dato' Ismail Kamus antara yang hadir dalam penjelasan di rumah Dato Dr Hasan Ali malam Ahad yang lalu.

Laporan tersebut adalah tidak betul dan mempunyai niat tidak senonoh, kerana hakikatnya kesemua mereka tidak bersama pada malam tersebut.

Ketika penjelasan itu diberikan, PAS mengesahkan bahawa Dato Dr Harun Din sedang bermesyuarat di Majlis Syura Ulama' di pejabat agong PAS, Ustaz Taib Azamuddin pula berada di China dan Ustaz Ismail Kamus sedang menerima rawatan.

Manakala bagi Ustaz Nasharudin Mat Isa, beliau yang baru kembali dari luar negara ada memaklumkan kepada Majlis Syura akan kehadirannya ke rumah Dato Dr Hasan Ali.

Jelas perkara di atas adalah usaha pihak tertentu bermotif untuk memberi imej buruk kepada para pimpinan parti dan mengelirukan ahli-ahli PAS sehingga bersangka buruk terhadap pimpinan parti demi mengganggu persiapan terakhir pilihanraya.

Lantaran itu, semua ahli dan pimpinan parti mesti merujuk kepada media rasmi parti iaitu Harakahdaily dan Harakah cetak untuk mendapatkan sumber sahih dan rasmi parti. Semua ahli dan pimpinan parti juga diseru menguatkan kesedaran politik agar tidak mudah dipengaruhi permainan jahat pihak lawan.


Dalam suasana mencabar ini, semua ahli PAS diseru untuk memperkukuhkan perpaduan dan ukuhwah dalaman parti agar kita dapat menjauhi kerja yang tidak menguntungkan jamaah dan menumpukan seluruh masa, tenaga dan dana bagi menghadapi persiapan pilihanraya umum yang semakin hampir.


Ustaz Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man

Ketua Penerangan PAS Pusat


Isnin, Januari 09, 2012

Tahniah DSAI - Ahli PAS Perlu Tumpu Kepada Kerja Pilihanraya

PAS mengalu-alukan keputusan Mahkamah Tinggi yang membebaskan Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI) daripada pertuduhan melakukan liwat terhadap Saiful Bukhari. Dengan bukti yang cukup rapuh dari awal, sepatutnya tuduhan ini dibuang kes lebih awal, namun begitu keputusan hari ini membuktikan DSAI hanyalah mangsa tohmahan tuduhan liar yang dibuat oleh beberapa pihak.
PAS mengharapkan dengan keputusan ini, nama baik DSAI akan dibersihkan dan segala tohmahan liar terhadap beliau dan keluarga beliau dihentikan. PAS menggesa semua pihak khususnya umat Islam kembali kepada peringatan Allah bahawa qazaf adalah kesalahan dan dosa besar yang mesti bertaubat dan memohon maaf kepada yang dituduh.
PAS juga mengingatkan petugas parti agar menumpukan kepada gerak kerja parti, kerana dengan keputusan ini dijangka pilihanraya akan diadakan dalam masa terdekat.
Keputusan ini juga boleh dilihat dari satu sudut yang boleh digunakan media milik Umno untuk berhabis-habisan menaikkan imej Datuk Seri Najib Razak sebagai Perdana Menteri. Sehubungan itu, seluruh jentera parti mesti menggandakan upaya bagi mencapai kejayaan cemerlang dalam PRU akan datang.




Ustaz Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man
Ketua Penerangan PAS Pusat


Jumaat, Januari 06, 2012

Lima maksiat yang disegerakan balasannya.

Daripada Ibnu Umar r.a. berkata : Berhadap Rasulullah s.a.w. kepada kami (pada suatu hari) kemudian beliau bersabda : "Wahai kaum Muhajirin, lima perkara kalau kamu telah dibalakan dengannya (kalau kamu telah kerjakannya) maka tiada kebaikkan lagi bagi kamu. Dan aku berlindung dengan Allah swt semoga kamu tidak menemui masa itu.
  1. Tiada terzahir (nampak) perzinaan pada suatu kaum sehingga mereka berani berterus-terang melakukannya kecuali mereka akan ditimpa penyakit Tha'un yang cepat merebak dikalangan mereka. Mereka juga akan ditimpa penyakit-penyakit yang belum ditimpa umat-umat yang lalu.
  2. Dan tiada mereka mengurangkan sukatan dan timbangan kecuali mereka akan dibalakan dengan kemarau dan susah mencari rezeki dan kezaliman dikalangan pemimpin mereka.
  3. Dan tiada menahan mereka daripada zakat harta benda kecuali ditahan dari mereka air hujan dari langit. Jikalau tiada binatang (yang juga hidup diatas muka bumi ini) tentunya mereka tidak akan diberi hujan oleh Allah swt.
  4. Dan tiada mereka mungkir akan janji Allah dan RasulNya kecuali Allah akan menguasakan keatas mereka musuh mereka, maka musuh itu merampas sebahagian daripada apa yang ada ditangan mereka.
  5. Dan apabila pemimpin-pemimpin mereka tidak melaksanakan hukum Allah yang terkandung didalam al-Quran dan tidak mahu menjadilkannya sebagai pilihan, maka (disaat itu) Allah akan menjadikan peperangan dikalangan mereka sendiri.

Hadith Riwayat : Ibnu Majah.

KETERANGAN

Hadith diatas menerangkan bahwa penyakit Tha'un dan Aids adalah berpunca dari banyak berlaku perzinaan. Kesukaran mencari rezeki dan kezaliman pemimpin adalah berpunca daripada rakyat yang mengurangkan sukatan dan timbangan. Kemarau panjang adalah berpunca dari tidak mengeluarkan zakat. Kemampuan musuh mengambil sebahagian dari apa yang dimiliki oleh kaum muslimin(seperti hilangnya tanah Palestin dari tangan kaum Muslimin) adalah berpunca daripada mereka mengkhianati janji-janji mereka kepada Allah swt. Perang saudara yang berlaku dikalangan kaum muslimin adalah berpunca dari mengenepikan hukum-hukum Allah swt dan tidak mahu menjadikan al-Quran sebagai undang-undang didalam kehidupan.


Khamis, Januari 05, 2012

MCA : Alat UMNO Menyerang Islam.

Malam tadi penulis menghadiri mesyuarat sekretariat Pakatan Rakyat bagi Palimen Kulai untuk membincangkan beberapa perkara yang ingin dilaksanakan secara bersama. Setiap parti diwakili oleh 5 orang yang memegang jawatan tertinggi parti bagi setiap kawasan ataupun cabang. Tujuannya agar mereka yang menganggotai sekretariat ini dapat membuat keputusan segera apabila di perlukan. Selain itu kehadiran ketua-ketua parti akan dapat menjelaskan dasar-dasar yang telah dipersetjui bersama diperingkat negeri dan pusat agar tidak ada percanggahan didalam menyatakan sebarang kenyataan. Inilah antara agenda utama pertemuan seumpama ini diatur sebagai persiapan menghadapai PRU13 dan sebagai usaha menjelaskan isu-isu yang dibangkitkan oleh musuh politik PR daripada Barisan Nasional.

Selesai mesyuarat kami telah berkunjung kerumah seorang keluarga Tionghua yang kematian suami berhampiran dengan pejabat PAS Kawasan Kulai. Kehadiran kami telah disambut dengan perasaan berbesar hati oleh balu mendiang dan anak-anaknya. Suatu yang diluar jangkaan sama sekali terutama melihat rakan-rakan dari Parti Islam Semalaysia. Rombongan kami terdiri daripada masyarakat berbilang kaum di Malaysia dimana terdapat orang Cina, India dan Melayu.

Walaupun kehadiran kami sudah agak lewat (sekitar jam 11.00mlm), namun balu mendiang tetap meluangkan masa melayan kami. Dalam perbualan ringkas itu, beliau melahirkan rasa gembiranya melihat kami khususnya daripada PAS yang sudi berkunjung kerumahnya walaupun ia berbangsa Cina dan berlainan agama. Kesempatan ini telah diambil untuk menerangkan kepada beliau tentang sikap Islam yang sebenar yang selama ini disorokkan oleh UMNO/BN. Manisnya pertemuan itu ialah, beliau sudi duduk dan mendengar setiap penjelasan yang disampaikan. Sekali sekala beliau mencelah dengan beberapa soalan yang selama ini menakutkan orang Cina dengan Islam. Begitulah hebatnya UMNO dengan propaganda mereka mengenai Islam terhaap masyarakat bukan Islam. Kini persoalan yang bemain dibenak mereka telah mula terungkai dengan pertemuan-pertemuan ringkas seperti ini. Walaupun singkat tetapi ia amat bermakna dalam usaha kita menjalankan tugas dakwah kepada umat yang didalam kategori 'Ummah ad Dakwah'.

Sebelum berundur, balu ini sempat berpesan kepada kami khususnya dari PAS, agar tidak memainkan sentimen agama kerana ia merupakan senjata utama BN menyerang minda masyarakat Cina Non Muslim. UMNO akan menggunakan MCA sebagai frontline mereka untuk menyerang PR terutama DAP bagi memecahkan undi orang Cina kepada PR. Sebagai contoh isu hukum hudud yang dimainkan oleh MCA, ia sedikit sebanyak berjaya merosakkan minda bukan Islam yang telah mula jinak untuk menyokong PAS. Perkara ini tetap akan menghantui mereka walaupun DAP berusaha keras memberi penjelasan mengenai isu ini. Beliau menyokong penuh kepada Gagasan Negara Berkebajikan yang hendak dibawa oleh PAS dalam PRU13 akan datang kerana ia mampu memberi impak yang besar kepada masyarakat berbilang kaum dan agama di Malaysia. Pesanan terakhir beliau kepada penulis : teruskan usaha mendekati pengundi walaupun kerja membawa agenda perubahan ini bukannya mudah.

Terima kasih kepada Mdm Wong. Penulis dan rakan-rakan amat menghargai suntikan semangat berserta nasihat dan pandangan yang diberikan. Insya'allah kami akan terus menampilkan kesyumulan Islam ketengah masyarakat sehingga mereka dapat melihat keindahan dan kemakmuran dibawah pemerintahan Islam yang sebenar.

Kepada keluarga Mdm Wong, PAS Kulai dan warga kerjanya merakamkan ucapan takziah diatas pemergian suami dan ayah tersayang.


Rabu, Januari 04, 2012

KHUSYUK DALAM SOLAT.

Kita dapati dizaman negara meningkat kearah kemajuan, kebanyakkan dikalangan kita telahpun menyedari tentang hakikat Islam dan pengislaman. Kebanyakkan diantara kita berlumba-lumba untuk mendalami lagi tentang ilmu-ilmu Islam dan seterusnya berusaha dengan mempraktikkan amalan-amalan Islam untuk memantapkan lagi tahap keimanan yang terdapat didada insan yang ingin bergelar hamba yang beriman.

Namun tidak dapat juga kita nafikan bahwa segelintir masyarakat kita yang berasa gah dengan taraf keislaman yang dianutinya sejak dari zaman turun temurun lagi tidak mahu memperakui, mengiktiraf dan seterusnya memahami apakah konsep Islam yang diinginkan oleh agama yang sebenarnya. Contohnya kita membenarkan bahwa kebanyakkan dikalangan kita mengerjakan segala suruhan Allah iaitu 'Amar Ma'ruf nahi Mungkar' dengan mengerjakan solat. Apakah kita tahu, adakah solat itu mencapai tahap solat yang seharusnya dikerjakan oleh setiap insan yang bergelar insan yang kamil?

Adakalanya kita melihat orang solat bagaikan ayam makan padi, belum sempat kepala menempel di tempat sujud telah bangkit kembali dan tergopoh-gopah. Adakah mereka itu khusyuk? Sudah pastinya tidak. Namun banyak orang yang ingin mencapai tahap solat yang khusyuk tetapi belum berjumpa guru yang sanggup mengajarkan cara untuk mencapai solat yang khusyuk. Kalau kita bertanya kepada para ustaz bagaimanakah cara untuk mencapai solat yang khusyuk, jawapannya mereka baca dimulut kemudian diertikan didalam hati. Kalau demikian belumlah kita boleh mendapatkan solat yang khusyuk.

Pernah suatu ketika dahulu terdapat didalam sebuah majalah di Indonesia "Panji Masyarakat" yang ditulis oleh seorang ulama' yang terkenal iaitu Prof. Dr Hamka. Seorang hamba Allah bertanya kepada beliau begaimanakah cara untuk mencapai solat yang khusyuk. Prof Hamka menjawab; "Aku sendiri sedang mencari kaedah untuk mencapai solat yang khusyuk".

Namun begitu ada juga dikalangan ulama'-ulama' terdahulu menurunkan petua bagi mencapai tahap solat yang khusyuk berdasarkan al-Quran, surah al-Qiamat. Firman Allah yang bermaksud :

"Jangan tergesa-gesa mengkomat-kamitkan bibirmu lantaran ingin menguasai bacaannya"
(ayat : 16)

"Kami akan simpan dalam ingatanmu dan akan Kami tetapkan bacaannya dari mulutmu"
(ayat : 17)

"Setelah selesai Kami bacakan barulah kami membacanya"
(ayat : 18)

Berdasarkan ayat inilah kami menemukan cara mencapai solat yang khusyuk seperti berikut :

  1. Yakin : seratus peratus sesungguhnya Allah tidak jauh dari urat lehermu.
  2. Sabar : mengerjakan solat tidak tergopoh-gapah.
  3. Redha : mengerjakan solat dengan penuh penyerahan kepada Allah swt.
  4. Ikhlas : mengerjakan solat dengan penuh kesedaran tanpa paksaan.
  5. Iman : segala tentuan Allah (Qada' dan Qadar) datang dari Allah swt.
  6. Ilmu : tentang syarat dan rukun solat yang benar.
  7. Akal : sihat dan waras, tidak gila atau mabuk.

Oleh : Wan Md Jamal Wan Md Saman.


Selasa, Januari 03, 2012

Konvoi Berkebajikan PAS Kawasan Kulai.

Dipenghujung tahun 2011, PAS Kulai telah melancarkan gerakan bertemu pengundi di beberapa UPU tumpu di sekitar DUN Bukit Permai. Antaranya ialah Felda Bukit Permai, Kg. Murni Jaya dan Felda Taib Andak. Program yang dinamakan 'Konvoi Berkebajikan' ini telah berjaya menarik penyertaan anak-anak muda tempatan secara bermotosikal menjelajah kampung menyerahkan bantuan keperluan harian kepada beberapa penduduk miskin.

Kehadiran PAS kini telah mula diterima masyarakat terutama anak-anak muda. Walaupun masih terdapat kekangan daripada golongan veteran, namun sikap kepedulian anak muda mula memeningkan kepala UMNO. Apa tidaknya, mereka juga mengadakan program serupa pada minggu berikutnya. Ini menunjukkan, keberadaan PAS sudah tidak boleh dipandang mudah oleh UMNO lagi bahkan maklumat terkini yang diperolehi, peluang mereka untuk memenangi DUN Bukit Permai semakin tergugat.

Kunjungan demi kunjungan yang telah dilakukan, mula menampakkan hasilnya. Beberapa keluarga miskin yang pernah dipaparkan melalui akbar Sinar Harian, kini mendapat pembelaan daripada pihak berwajib. Ada yang mendapat rumah baru melalui skim PPRT, bantuan bulanan daripada JKM dan baitul mal, serta beberapa bantuan lain yang memang sepatutnya mereka perolehi.

Satu peristiwa yang menyeronokkan didalam konvoi ini ialah apabila kami berkunjung ke Felda Taib Andak. Terdapat seorang veteran UMNO terjerit-jerit marah apabila melihat peserta konvoi yang berpakaian hijau berlogo PAS GANTI UMNO dan bendera bulan. Terdetik didalam hati penulis, bagaimana Nabi s.a.w. dan para sahabat baginda dahulu berhadapan dengan puak musyrikin Mekah yang dikepali oleh Abu Jahal menyerang baginda dalam setiap langkah dakwaah yang dilakukan. Rupa-rupanya spesis ini masih ada didalam dunia yang serba canggih sekarang. Tambah ironisnya ia dari kalangan orang Melayu Islam. Didalam suasana orang bukan Islam sudah mula menunjukkan sokongan mereka kepada Islam dan perasaan 'Islamophobia' semakin terhakis dari hati mereka, tiba-tiba Melayu UMNO pula yang menjadi semakin gerun dan meroyan. Teringat P.Ramlee didalam filem Madu Tiga : KESIAAAAAAAAAAN! Apa yang kesian?....KESIAAAAAAN.

Walaubagaimanapun, secara keseluruhannya, kehadiran PAS sudah mula diterima oleh masyarakat. PAS kini mula mendapat tempat dihati orang Melayu dengan menjadikan kami saluran untuk mereka mengadu. Gerak-kerja kebajikan yang dilaksanakan benar-benar dapat menyantuni hati budi Melayu. Melayu yang dikenali sebagai satu bangsa yang kaya dengan adab dan susila kesopanan perlu terus disantuni dengan peradaban yang diajar oleh Islam. Penulis sangat optimis, orang Melayu mampu berubah melalui Islam. Islamlah satu-satunya elemen penting untuk menyatupadukan orang Melayu. Penulis memperingatkan diri sendiri dan sahabat-sahabat seperjuangan agar menjaga akhlak disamping mempamirkan kesyumulan Islam dalam setiap gerak-kerja. Insya'allah kemenangan akan berpihak kepada kita. Yakinlah...
ALLAHUAKBAR !!!!