Sabtu, Mei 30, 2009

Taklimat Ringkas Tanaman Lada Hitam.

Tahniah kepada Lajnah Petani dan Peneroka PAS Kawasan Kulaijaya kerana berjaya mengadakan program tersebut yang telah dihadiri oleh 10 orang peserta termasuk 3 orang daripada masyarakat Cina setempat. Program yang julung-julung kali diadakan ini akan disusuli dengan kursus lengkap penanaman anjuran pihak yang berkenaan. Peserta taklimat ini akan diberi keutamaan untuk mengikuti kursus tersebut. Taklimat ringkas ini telah menjelaskan peluang-peluang dan potensi tanaman ini dalam memberi pulangan setimpal kepada pengusha. Peserta juga didedahkan bagaimana komoditi ini diperdagangkan diperingkat antarabangsa dan domestik serta pemain-pemain utama industri ini.


Antara peserta yang hadir.


Peserta sedang mendengar taklimat yang disampaikan.

Khamis, Mei 28, 2009

TAWARAN DUNIA. (Bhg 2)

Terdapat beberapa ibrah didalam fragmen Sirah Nabawiyah mengenai penolakkan Nabi s.a.w. keatas tawaran yang diberi kepada baginda oleh pemuka-pemuka Quraish.
Pertama :
Menjelaskan kepada kita tentang kebersihan dakwah Nabi s.a.w. dari segala bentuk kepentingan dan tujuan peribadi yang biasanya menjadi motivasi para penyeru ideologi baru dan penganjur pembaruan dan revolusi.

Dalam melaksanakan misi dakwah, kuasa dan harta kekayaan bukanlah matlamat. Nabi s.a.w. telah membersihkannya dari tujuan tersebut dan sepatutnya menjadi teladan kepada para da'ie disepanjang zaman. Mereka seharusnya membersihkan diri daripada menyimpan hasrat untuk mendapatkan habuan dunia dalam bentuk harta kekayaan atas nama dakwah. Seandainya dakwah Rasulullah s.a.w. semata-mata mengejar kekuasaan dan harta kekayaan, niscaya baginda tidak akan bersedia menanggung penyiksaan dan tidak akan menolak tawaran mereka seraya berkata :
'Aku tidak berdakwah kerana menginginkan harta kekayaan, kehormatan dan kekuasaan. Tetapi Allah mengutusku sebagai Rasul. Dia menurunkan Kitab kepadaku dan memerintahkan aku agar menjadi pemberi khabar gembira dan peringatan. Kemudian aku sampaikan risalah Rabb-ku dan aku sampaikan nasihat kepadamu. Jika kamu menerima dakwahku, maka kebahagianlah bagimu didunia dan akhirat. Jika kamu menolak ajakkanku, maka aku bersabar mengikuti perintah Allah hingga Allah memberikan keputusan antara aku dan kamu'.

Baginda tidak menolak kekuasaan dan harta kekayaan hanya dengan lisannya sahaja bahkan telah dimenifestasikan didalam kehidupan baginda. Baginda hidup dengan gaya kehidupan yang sangat sederhana dan tidak pernah lebih dari kehidupan kaum fakir dan miskin. Penterjemahan ini dapat dilihat daripada kata-kata Saidatina Aisyah r.a. dalam sebuah riwayat Bukhari :
'Sampai Nabi s.a.w. wafat belum pernah ada didalam rak makananku sesuatu yang boleh dimakan manusia kecuali seketul roti dan itupun aku makan untuk beberapa hari'.
Berkata Anas r.a. dalam sebuah hadith riwayat Bukhari :
'Sehingga wafatnya Nabi s.a.w. belum pernah baginda makan makanan diatas piring dan belum pernah makan roti yang berkualiti baik'.

Kesederhanaan yang dipertontonkan oleh baginda telah membuatkan para orientalis seperti Kramer dan Van Vloten buntu mencari peluang untuk menodai kesucian dakwah Nabi s.a.w. sehingga akhirnya terpaksa akur dengan kebenaran Rasulullah s.a.w. dan mencampakkan niat jahat mereka menuduh dakwah nabi semata-mata memburu kekusaan dan kekayaan.

Pemimpin hari ini ternyata jauh tersasar daripada apa yang patut diteladani. Ada yang diberi kuasa untuk memerintah negeri, duduk berbulan-bulan lamanya di hotel yang bertaraf 5 bintang semata-mata menunggu kediaman rasminya diubahsuai dan menelan belanja berjuta-juta ringgit. Mereka membiarkan saja kealpaan menguasai diri sedangkan ia tahu benar bahwa segala ongkos yang dibelanja datang dari wang rakyat yang kedapatan didalamnya mereka yang terpaksa bergadai nyawa untuk mendapatkan sesuap nasi. Pemimpin jenis ini sering kelihatan dipentas-pentas utama dihari dimana sirah Nabi s.a.w. dikumandangkan. Tambah ironi lagi, mereka pula berbicara mengingatkan hadirin supaya mencontohi peribadi dan kehidupan Rasulullah s.a.w.

Kepimpinan mukhtahir ini meletakkan kuasa dan wang sebagai senjata. Ada yang sanggup meninggalkan rakan seperjuangan apabila 'wang berbicara'. Mereka yang mempunyai kuasa dan wang, telah menggunakan kedua-dua elemen ini secara serentak dalam melaksanakan 'misi beli dan tawan'. Andaikata Utbah bin Rabiah masih hidup ketika ini, ternyata ia akan tertawa besar melihatkan misinya diteruskan dan memperolehi kejayaan. Maha Besar Allah mematikan Utbah tetapi membiarkan agen-agennya berkeliaran dimuka bumi sebagai ujian bagi insan-insanNya yang soleh dan soleha.

Mudah-mudahan Allah swt memelihara para pejuang Islam yang sejati daripada pujukan dan rayuan agen-agen si-Utbah. Amin!



Taklimat Ringkas Tanaman Lada Hitam.

Lajnah Petani dan Peneroka PAS Kawasan Kulaijaya akan mengadakan taklimat ringkas mengenai penanaman lada hitam seperti berikut :

Tarikh : 29 Mei 2009 (Jumaat)
Tempat : Dewan PUSTAKA Taman Mewah, Kulai.
Masa : 9.00mlm

Sesiapa yang berminat boleh berhubung dengan Sdr Mohd Zin Sairi di talian 013-7225250 atau 013-7711184 untuk maklumat lanjut. Tempat adalah terhad.

Rabu, Mei 27, 2009

Timbalan YDP PAS Kawasan Kulaijaya Kemalangan Jalanraya.



27.05.2009 / Rabu
Sekitar jam 3.15 petang tadi, kami dikejutkan dengan berita memeranjatkan iaitu Sdr. Mohd Sohairi Bin Ismail selaku Timbalan YDP kami telah ditimpa kemalangan jalanraya.
Kemalangan yang berlaku sekitar jam 2.00 petang itu menyebabkan beliau sekarang ini berada di Unit Rawatan Rapi, Hospital Sultanah Aminah, Johor Bharu.

Ketika melawat beliau pada malam tadi, kami diberitahu beliau mengalami patah tangan, kaki dan rahang. Keadaannya kini stabil dengan bantuan alat penafasan dan beliau tidak mengalami pendarahan di kepala.

Solat Hajat dan Doa Selamat telah diadakan di Markas PAS Kawasan Kulai dan Surau Al-Hidayah, Jalan Jati, Bandar Putra bagi memohon kepada Allah SWT semoga diringankan beban kesakitan ini, diberi kesejahteraan dan pemeliharaanNya jua, Insya Allah.

Kepada sahabat-sahabat yang ingin menyumbangakan derma ikhlas, boleh menghubungi Sdr. Fadil Bin Abdullah (0127271535) atau Tuan Haji Afandi Bin Abd. Samad (0197584046) untuk maklumat lanjut.
Marilah kita bersama-sama meringankan beban yang sedang ditanggong oleh isteri dan anak-anak beliau, Insya Allah.

Setiausaha PAS Caw. Bandar Putra, Kulaijaya.

Selasa, Mei 26, 2009

TAWARAN DUNIA. (Bhg 1)

Alhamdulillah! Malam Khamis lalu saya berkesempatan untuk menyampaikan tazkirah mengenai Sirah Nabi s.a.w. dalam bab Siasat Perundingan yang ditulis oleh Dr. Mohammad Said Ramadhan al-Buthy di surau Jalan Jati Bandar Putra Kulai. Satu tajuk yang sangat relevan dalam memperkatakan soal politik tanahair masakini.

Setelah letih berhadapan dengan dakwah Muhammad s.a.w. pihak kafir Quraish telah mengadakan mesyuarat untuk mencari jalan bagaimana hendak mengatasi gerakkan dakwah Nabi s.a.w. yang dilihat semakin mengancam kedudukan status-quo mereka. Satu keputusan berjaya dicapai dengan melantik Utbah bin Rabiah seorang cendiakawan Quraish untuk bertemu dengan Muhammad s.a.w. bagi berdialog dan membuat tawaran-tawaran menarik. Maka berpergianlah si Utbah bertemu baginda Nabi sambil menawarkan 4 tawaran menarik yang mereka jangka sukar ditolak oleh Rasulullah s.a.w. Tawaran yang dikemukan ialah :
  1. Harta kekayaan sehingga Nabi s.a.w. menjadi orang terkaya dikalangan Quraish.
  2. Kehormatan dan kemuliaan sebagai pemimpin .
  3. Menobatkan Nabi s.a.w. sebagai raja.
  4. Merawat jin yang merasuk kedalam tubuh Nabi s.a.w. dengan menyediakan tabib terbaik secara percuma.
Setelah selesai mendengar tawaran daripada Utbah bin Rabiah, maka Nabi s.a.w. pun membacakan ayat Allah dari surah al-Fushilat dari ayat pertama. Ketika tiba pada ayat ke 13 yang bermaksud :
'Jika mereka berpaling maka katakanlah : Kalian telah ku peringatkan (mengenai datangnya) petir (azab) seperti petir yang menghancurkan Kaum 'Aad dan Tsamud (dahulu)'.
Ketika itu utbah telah menutup mulut Rasulullah s.a.w. memohon agar jangan meneruskan lagi ayat-ayat Allah swt kerana takut dengan ancaman yang terkandung didalam ayat-ayat tersebut.

Sesudah itu Utbah pun kembali bertemu dengan kaumnya sambil memberitahu mereka dengan kata-kata :
'Aku mendengar suatu perkataan yang belum pernah aku dengar sama sekali. Demi Allah perkataan tersebut bukan syair, bukan sihir dan bukan pula mentera dukun. Wahai kaum Quraish, taatilah aku dan biarkan Muhammad dengan urusannya. Demi Allah, sungguh perkataan yang aku dengar darinya itu akan menjadi berita yang menggemparkan'.
Mendengarkan ucapan Utbah maka kaum Quraish menjawab :'Demi Allah, Muhammad telah menyihirmu wahai Abu Walid dengan perkataannya'. Lantas dijawab oleh Utbah 'Itulah pendapatku mengenai Muhammad. Kalian bebas berbuat sesuka kalian'.

Pihak pembesar Quraish masih tidak berputus asa untuk memujuk Nabi s.a.w. lalu mendatangi baginda secara beramai-ramai sambil menawarkan sekali lagi tawaran yang disampaikan oleh Utbah dahulu. Rasulullah s.a.w. tidak terpesona sedikitpun dengan tawaran hebat yang mereka bawa lalu tetap menolaknya sambil bersabda :
'Aku tidak memerlukan semua yang kamu tawarkan. Aku tidak berdakwah kerana menginginkan harta kekayaan, kehormatan dan kekuasaan tetapi Allah mengutusku sebagai Rasul. Dia menurunkan kitab kepadaku dan memerintahkan aku agar menjadi pemberi khabar gembira dan peringatan. Kemudian aku sampaikan risalah Rabbku dan aku sampaikan nasihat kepada kamu. Jika kamu menerima dakwahku, maka kebahagiaanlah bagi kamu didunia dan akhirat. Jika kamu menolak ajakkanku, maka aku bersabar mengikut perintah Allah sehingga Allah memberikan keputusan antara aku dan kamu'.

Isnin, Mei 25, 2009

Konvensyen Kelab Penyokong PAS

Semua ahli PAS dijemput hadir ke majlis tersebut. Sila klik pada gambar untuk mendapatkan maklumat yang lebih jelas mengenai tarikh dan tempat konvensyen diadakan.

Sambutan Jubli Perak Kepimpinan Ulama'

PAS Kawasan Kulaijaya telah menghantar 4 orang perwakilan sempena Sambutan Jubli Perak Kepimpinan Ulama' pada Hari Sabtu 23 Mei 2009 bertempat di markas tarbiah PAS Pusat, Taman Melewar. Majlis yang telah dirasmikan oleh Y.A.B. Dato' Tuan Guru Hj. Nik Abd. Aziz bin Nik Mat, diisi dengan satu Seminar Kepimpinan Ulama' yang dimulai dengan ucaptama oleh Dato' Dr. Haron Din, Timbalan Mursyidul Am PAS.

Y.A.B. Tuan Guru telah memperingatkan betapa pentingnya PAS mengekalkan Konsep Kepimpinan Ulama' yang telah dipelopori sejak tahun 1982. Kepimpinan yang berasaskan syura ulama' telah membuatkan PAS mampu bertahan hingga ke hari ini walaupun melalui zaman kemelesetan dan pelbagai tekanan daripada pihak pemerintah. Dato' Haron Din pula dalam ucaptamanya telah menggariskan kriteria kepimpinan ulama' yang perlu ada pada pemimpin yang menggelarkan diri mereka ulama'. Setiap ahli PAS telah diperingatkan agar tidak terikut-ikut dengan mainan politik musuh-musuh Islam sehingga mereka mampu mencorakkan barisan kepimpinan dalam gerakan Islam.

Dato Seri Presiden semasa membuat ucapan penutup, menyeru setiap ahli PAS agar jangan membuat tanggapan salah antara ulama' dan profesional. Setiap ulama' adalah profesional manakala setiap profesional juga adalah ulama'. Tidak ada garis pemisah antara kedua golongan ini. Media arus perdana yang bermazhab sekular sengaja mengembar-gemburkan isu ini kerana cemburu melihat perpaduan didalam PAS yang semakin ampuh. Pemimpin-pemimpin daripada Pakatan Rakyat kini dilihat sebagai ikon dalam melaksanakan 'good governance' atau tatakelola pemerintahan yang baik. Oleh itu beliau mengingatkan agar setiap ahli PAS tidak terpesona dengan permainan kotor aliran sekularis yang melancarkan 'ghazwatul fikr' atau serangan minda sejak sekian lama. Setiap ahli perlu mempersiapkan diri dengan ilmu pengetahuan bagi menangkis serangan-serangan mereka.

Memang selamanya keteladanan pemimpin menjadi faktor utama kejayaan agenda perubahan maka pemimpin perlu menjadi perubah manusia -'human transformer'- dan pembina budaya -'culture builder'-. Hari ini masyarakat perlu kepada pemimpin yang mampu mewujudkan dua elemen tersebut.


Jumaat, Mei 22, 2009

UMNO Semakin Meniti Usia.



PAS Kawasan Kulaijaya terus mendapat sambutan daripada masyarakat di DUN Bukit Permai apabila seorang tokoh UMNO tersohor di Bahagian Kulai menyerahkan borang kepada pimpinan PAS Kawasan disuatu majlis ringkas pada malam 21 Mei 2009 di Felda Bukit Permai. Tokoh yang dimaksudkan ialah Raja Ahmad bin Raja Chea yang pernah menyandang jawatan selaku Timbalan Pengerusi Tetap UMNO Bahagian selama enam penggal. Beliau telah menyerahkan borang keahlian berserta wang RM100.00 sebagai ahli PAS seumur hidup.

Sewaktu tembual bersama pimpinan PAS, beliau melahirkan kekecewaannya dengan kepimpinan Umno masakini yang telah tersasar jauh daripada perjuangan asal. UMNO yang menjadi sandaran perjuangan meningkatkan martabat Melayu kini sudah tiada apa yang diharapkan lagi sehingga sanggup membiarkan bahasanya sendiri dibisukan. Ia bertambah parah apabila tiada lagi kepedulian mengenai agama dengan hanya memerhati ibu-bapa yang memilih Islam sebagai anutan tiada hak menentukan agama anak sendiri. Disamping banyak lagi pencabulan UMNO terhadap orang Melayu dan agamanya, beliau membuat keputusan meninggalkan parti yang didokongnya sekian lama dengan menyertai perjuangan Islam di bawah payung Parti Islam SeMalaysia (PAS). Turut sama bersama Pak Raja pada malam tersebut ialah beberapa orang anak muda dari generasi kedua Felda yang telah menyatakan sokongan mereka kepada PAS.

Sebagai sebuah parti siasah yang meletakkan Islam sebagai wadah perjuangan, PAS menerima kemasukkan mereka secara terbuka dan mengucapkan setinggi kesyukuran kehadrat Illahi. Penyertaan mereka kedalam PAS diharap akan mampu menyuntik semangat baru kepada ahli sedia ada disamping memberi kekuatan kepada penduduk Felda Bukit Permai untuk turut sama menyertai perjuangan Islam. Sudah sampai masanya warga Felda membuat anjakkan paradigma dengan turut sama menempatkan diri dalam arus perobahan yang sedang melanda. UMNO sudah semakin tidak relevan. UMNO terus dilanda dengan pelbagai sindrom yang menghancurkan. Bahtera UMNO kian karam. Belum pernah berlaku dalam sejarah politik dunia, parti pemerintah tidak mengambil bahagian dalam pilihanraya. UMNOlah satu-satunya yang berjaya mengukir sejarah. UMNO mula fobia dengan gendang perang yang mereka palu. Selepas Penanti, kini Manik Urai menanti.

PAS menyeru rakan-rakan dalam UMNO yang mempunyai jiwa Islam dan sayangkan Islam agar membersihkan minda yang sering dikecamukkan dengan sogokan-sogokan berserta ugutan pemimpin UMNO. Bulatkan tekad anda dan ucapkanlah Selamat Tinggal kepada UMNO. Sertailah kami dalam saf perjuangan Islam. Renungkan firman Allah swt dalam surah al-Isra' [17] : 81 yang bermaksud :
Katakanlah : Telah datang kebenaran (Islam) dan telah lenyap yang bathil (kekafiran). Sesungguhnya yang bathil itu pasti lenyap'.

Kalau Pak Raja yang menjangkau usia 71 tahun itu 'tega' meninggalkan UMNO, apa ditunggu lagi wahai anak muda. Ayuh kita talkinkan UMNO di DUN Bukit Permai dalam PRU ke13 akan datang. TAKBIR!!!

Selasa, Mei 19, 2009

Santai dan Ramah Mesra.

Kreativiti dan inovasi telah melahirkan inisiatif hebat melalui idea santai dan ramah mesra. Mencuba sesuatu yang baru memang menyeronokkan apatah lagi sekiranya ia terbukti berhasil . Warga PAS Kulai kini sangat responsif sehingga kehadiran mereka diluar jangka. Program yang berkonsepkan santai mesra ini dapat memperteguhkan ukhwah dikalangan ahli dan pimpinan sambil berkenalan antara keluarga. Syabas kepada pimpinan Dewan Muslimat kerana berani mencuba sesuatu yang baru. Sudah tiba masanya pimpinan disemua peringkat berfikir 'diluar kotak pemikiran lazim' bagi mencerna idea-idea baru yang lebih efektif. Teruskan usaha ini agar pendekatan kita akan lebih mudah diterima oleh masyarakat yang pelbagai.


Program dimulakan dengan solat Dhuha dan senaman ringan.


Bersantai sambil berkenalan.


Eeeee...banyaknya makanan.


Walaupun bersantai disiplin pergaulan tetap terpelihara.


Masyarakat awam juga turut serta.


Seronoknya... seperti berada ditepi pantai.

Isnin, Mei 18, 2009

Program Kebajikan : Ziarah Keluarga Miskin

PAS Kulai atas inisiatif Dewan Pemuda dan Lajnah Kebajikan telah menziarahi beberapa keluarga yang kurang kemampuan di sekitar Bandar Kulai pada petang 15 Mei 2009. Turut serta dalam kunjungan tersebut ialah 3 orang wakil dari DAP termasuk calon mereka yang bertanding di kerusi Parlimen Kulai menentang Dato Seri Ong Ka Ting mantan Presiden MCA. Walaupun cuaca hujan lebat semasa kunjungan, bantuan dalam bentuk keperluan harian berserta wang ringgit tetap disampaikan. PAS Kawasan Kulaijaya telah melancarkan sumbangan tetap bulanan berupa satu kampit beras seberat 5kg untuk diagihkan kepada fakir miskin yang memerlukan bantuan. Bagi mereka yang hendak menyumbang dalam bentuk keperluan asas yang lain dan juga wang ringgit juga dialu-alukan. Semua warga PAS, orang perseorangan dan syarikat-syarikat koperat yang berminat untuk turut serta menyumbang boleh berhubung dengan Ketua Lajnah Kebajkan PAS Kawasan Sdr. Aziz Jaafar di talian 019-7143675 atau sekreteriat DPP Kulai 019-7584046. Kami akan memastikan setiap sumbangan anda akan disampaikan kepada mereka yang memerlukan. Antara keluarga yang diziarahi bagi program kali ini ialah :

1. Pn. Siti bte Saad.
Status : Kematian suami dan mempunyai 4 orang anak yang masih bersekolah. Kini berkerja kilang di Senai dengan pendapatan dibawah paras keperluan bulanan.
Alamat tempat tinggal : Taman Makmur, Kulai.
Status kediaman : Rumah sendiri.

2. Pn. Hairil Hana bte Abdul Rahman.
Status : Kematian suami dan mempunyai 4 orang anak yang masih bersekolah. 2 orang daripada anaknya kini menetap di Rumah Anak-anak Yatim (Rumah BERKAT) Bukit Cagar, Johor Bahru. Kini bertugas sebagai promoter barangan ubat gigi berjenama Colgate.
Alamat tempat tinggal : Jalan Cemara 13, Bandar Putra, Kulai.
Status kediaman : Rumah sendiri.

3. Pn. Hasmah bte Che Abd. Rahman.
Status : Kematian suami. Tinggal bersama beberapa orang anak dan cucu. Terdapat juga anak yang kematian suami menetap bersama. Berkerja sebagai pencuci di restoran.
Alamat tempat tinggal : Jalan Cemara, Bandar Putra, Kulai.
Status kediaman : Rumah sendiri.

4. En. Jani bin Dol.
Status : Pesara tentera. Pesakit kencing manis dan darah tinggi dengan tahap penglihatan yang amat kronik. Tinggal bersama isteri dengan bergantung pendapatan pada upah menjaga anak jiran.
Alamat tempat tinggal : Jalan Cengal, Bandar Putra, Kulai.
Status kediaman : Rumah sewa.

Sumbangan telah disampaikan oleh wakil muslimat berupa barangan dan wang ringgit.

Pimpinan DAP turut serta atas semangat Pakatan Rakyat.


Walaupun hujan tugasan tetap diteruskan.




Tahniah kepada Dewan Pemuda dan Lajnah Kebajikan atas usaha murni yang dijalankan. Semoga ianya tercatat sebagai amal baik disisi Allah swt. Kepada semua penderma semoga sumbangan anda akan dibalas dan diredhai Allah swt sertai diberkatiNya.

Sabtu, Mei 16, 2009

Seminar Kefahaman Lajnah dan Organisasi

Bagi meningkatkan lagi tahap kepimpinan dan pengurusan, Dewan Pemuda PAS Kawasan Kulai (DPPK Kulai) dengan kerjasama Dewan Pemuda PAS Negeri Johor akan mengadakan seminar tersebut seperti dibawah :-

Tarikh 17.05.2009 / Ahad
Masa 8.00 malam
Tempat Markas PAS Kawasan Kulai, Taman Mewah
Penceramah Sdr. Mohd Faizul Bin Mohd Salleh (Setiausaha DPPNJ)

AJK di pelbagai peringkat kepimpinan diwajibkan hadir.
Sekian, Wassalam.

Setiausaha DPPK Kulai


Khamis, Mei 14, 2009

Program Kebajikan.

Dewan Pemuda PAS Kawasan Kulaijaya dibawah lajnah kebajikan kawasan dan pemuda akan mengadakan ziarah keluarga miskin di 3 lokasi iaitu :
  1. Felda Taib Andak
  2. Bandar Kulai
  3. Bandar Putra
Program tersebut akan diadakan pada Hari Sabtu 16 Mei 2009. Semua ahli yang ingin turut serta diminta berkumpul di pejabat PAS Kawasan jam 2.30 ptg. Ziarah dan agihan bantuan akan disertai bersama parti-parti dari Pakatan Rakyat.

Santai dan ramah mesra.

Dewan muslimat PAS Kawasan Kulaijaya akan mengadakan program tersebut seperti berikut :

  • Tarikh : Ahad 17 Mei 2009.
  • Masa : 7.00 - 9.00 pagi.
  • Tempat : Hutan Bandar, Bandar Putra, Kulai.
Semua pimpinan kawasan, dewan pemuda dan dewan Ulama' serta pimpinan-pimpinan cawangan dan ahli PAS dijemput hadir bagi memeriahkan acara sambil membawa sedikit juadah untuk sarapan pagi, berkenalan dan beriadah. Sila bawa keluarga bersama.

Rabu, Mei 13, 2009

Punca Kemusnahan Umat Islam

Sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud ;
'Demi Allah, bukan kefakiran yang aku khuatirkan atas diri kamu tetapi yang aku khuatirkan adalah kemewahan dunia yang terhampar dihadapan kamu sebagaimana yang terjadi kepada orang-orang sebelum kamu, hingga kamu berlumba-lumba untuk mendapatkannya sebagaimana yang mereka lakukan. Akhirnya kemewahan itulah yang membinasakan kamu sebagaimana telah membinasakan mereka'. (HR : Bukhari & Muslim)

Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man dalam salah satu kuliahnya telah menceritakan pertemuan beliau dengan seorang pendakwah dari Kemboja yang menjelaskan punca kemusnahan umat Islam di Kemboja. Terdapat 5 faktor utama sebagai penyebab Allah menimpakan kemusnahan keatas mereka :
  1. Remaja rosak akhlak dan orang tua membiarkan sahaja.
  2. Pengabaian perintah Allah tanpa sebarang rasa kesal.
  3. Nilai agama dipandang rendah oleh masyarakat.
  4. Alim ulama' hanya duduk di masjid dan di rumah.
  5. Aqidah dianggap perkara biasa.
Setelah genap 5 tahun gejala ini melanda, ditahun ke 6 rejim Pol Pot mengambil alih tampuk pemerintahan di Kemboja lalu membunuh alim ulama' Islam. Umat Islam diseru supaya menadah tangan dan bermunajat memohon pertolongan Allah swt tetapi telah tidak diperkenankan. Maka berlakulah siri-siri kemusnahan umat Islam di bumi Kemboja seperti apa yang dapat kita saksikan hari ini.

Apakah pengajaran yang dapat kita ambil daripada peristiwa yang melanda rakan seagama di Kemboja?

Mari kita perhatikan 5 punca utama yang menyebabkan turunnya bala' Allah swt. sambil menyelusuri satu persatu apakah ianya sedang berlangsung di bumi Malaysia ketika ini?

Remaja rosak akhlak dan orang tua membiarkan sahaja.
Menurut statistik Jabatan Pendaftaran Negara, dari tahun 2000 - Julai 2008 sebanyak 257,411 sijil kelahiran didaftarkan tanpa catatan nama bapa. Secara puratanya sebanyak 2,500 sijil dikeluarkan bagi setiap bulan atau 83.3 sijil sehari atau 1 sijil bagi setiap 17 minit 17 saat.
Dalam tempuh 4 tahun (1999-2003) 30,978 dari 70,430 atau 44% adalah terdiri daripada anak-anak orang Islam. Angka ini telah disahkan oleh Menteri Dalam Negeri ketika itu Datuk Seri Syed Hamid Albar semasa menjawab soalan lisan R.Sivarasa (PKR Subang) dalam sessi soal jawab Dewan Rakyat pada 29 Okt. 2008.
Statistik Jabatan Kebajikan Masyarakat pula mencatatkan 50 kes buang bayi sepanjang Jan- Sept 2008 dan 36 kes daripadanya melibatkan pasangan Melayu. Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat YB Noriah Kasnon ketika membentangkannya di Dewan Negara pada bulan Mei 2008, menyatakan bahwa terdapat 304 kes buang bayi dilaporkan dari tahun 2004-2007 yang melibatkan 117 bayi lelaki, 96 bayi perempuan manakala selebihnya tidak dapat ditentukan jantina akibat mayat reput dan sukar dikenal pasti.
Akhbar Utusan Malaysia bertarikh 24 Jun 2008 pula melaporkan, menurut statistik ibu-pejabat Polis Bukit Aman, sepanjang tahun 2000-2006 sejumlah 580 kes pembuangan bayi telah dicatitkan. Prof Dr. Harlina Haliza Siraj; Ketua Wanita Pusat Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM) dalam temuramah bersama Utusan telah menjelaskan bahwa kes ini terus meningkat dari 65 kes pada tahun 2000 ke 83 kes pada tahun 2006. Dari jumlah tersebut 79 kes bagi bayi baru dilahirkan manakala 4 kes pembuangan janin.

Pengabaian perintah Allah tanpa sebarang rasa kesal.
Manusia hari ini melakukan dosa tanpa rasa takut akan azab Allah malah tanpa segan silu. Setengahnya merasakan dosa itu seronok dilakukan dan menjadi sebahagian daripada kehidupan mereka. Dr. Halimah Ali dalam blognya mencatatkan, berdasarkan kajian akhbar Nanyang Siang Pau hanya 50% mangsa jenayah membuat laporan polis. Ini bererti statistik jenayah sebenar mencecah 2 kali ganda daripada angka sebenar yang direkodkan. Kajian polis menjangkakan kadar jenayah akan terus meningkat bagi tahun-tahun mendatang berdasarkan trend semasa. Menurut sumber statistik PDRM dan Journal Kolej PDRM KL menunjukkan :
  • Rogol: 1718 kes (2004) - 3177 kes (2007) meningkat 85%.
  • Samun melibatkan kekerasan: 15288 kes (2004) - 24587 kes (2007) meningkat 61%.
  • Pecah rumah : 24904 kes (2004) - 33599 kes (2007) meningkat 35%.
Kes jenayah syariah juga menunjukkan trend yang sangat membimbangkan.
KES SUMBANG MAHRAM DI MALAYSIA 2000-2006.
  • Tahun 2000 : 213 kes
  • Tahun 2001 : 246 kes
  • Tahun 2002 : 306 kes
  • Tahun 2003 : 254 kes
  • Tahun 2004 : 335 kes
  • Tahun 2005 : 295 kes
  • Tahun 2006 (Ogos) : 209 kes
Sumber: Perangkaan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat 2006,
Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat

Nilai agama dipandang rendah oleh masyarakat.
Hari ini agama sudah tidak ada nilainya disisi masyarakat. Manusia menilai keduniaan mengatasi segala-galanya. Harta dan wang ringgit menjadi ukuran dalam menilai keperibadian seseorang. Orang agama dipandang lekeh malahan ulama' kini dicaci dan dihina. Agama hanya dilihat untuk nikah khawin, kematian dan pembahagian harta pusaka. Selain itu agama dipinggirkan begitu sahaja sambil dikurung dalam ruang lingkup jabatan disamping masjid dan surau. Kalau adapun intitusi yang bersumberkan agama ia sekadar melepaskan batuk di tangga. Jangan sampai tidak ada. Jangan sampai dijadikan isu oleh ahli agama. Hanya sekadar mahu mengelak dikata orang.

Alim ulama' hanya duduk di masjid dan di rumah.
Ini satu sindrom yang sangat berbahaya. Mereka ini merasa selesa dan cukup dengan upah yang diterima yang setanding dengan penjawat-penjawat besar dalam sektor pemerintah. Segala kemudahan disediakan. Kemewahan terhampar didepan mata dan dikecapi dengan segala kenikmatan yang bersifat sementara walaupun mereka tahu peringatan Allah swt dalam surah al-A'laa [87] ayat 16 & 17 yang bermaksud :
'Tetapi kamu memilih kehidupan duniawi Sedangkan kehidupan akhirat adalah lebih baik dan lebih kekal'.
Kelazatan dunia membuatkan mereka lupa melaksanakan tanggungjawab dakwah dan membimbing ummah. Dakwah yang mahu dijalankan ialah dakwah yang jauh dari segala kepayahan dan tribulasi. Ikut saja perintah maka kerja akan jadi mudah. Menegur jauh sekali...membiarkan hari-hari...

Aqidah dianggap perkara biasa.
Walau sejahat manapun Melayu dahulunya, menukar agama tidak sesekali. Usia tuanya akan mengembalikan ia kepada agama. Pegangan adat yang bersendikan syariat, syariat bersendikan agama, mengizinkan Melayu membiarkan anaknya mati kerana agama. Malangnya Melayu yang kini tersohor dengan intelektualitinya mula goyah aqidahnya sehingga menukar agama bukan sesuatu yang mustahil. Melayu hari ini boleh apa saja. Dengan slogan Boleh yang dilaungkan serata dunia, membolehkan Melayu berbuat sesukanya tanpa mengira batas aqidah. Aqidah sudah dianggap normal. Nothing important katanya. Dedah dan dadah sudah biasa. Tidak menghairankan lagi. Pelik jauh sekali. Menonton perilaku Melayu kini amat memalukan. Melayu sudah hilang identiti ketimurannya, hilang semangat juangnya, hilang budayanya dan kini sedang dikikis pula bahasanya. Tidak sudah-sudah dengan laungan Hidup Melayu yang ternyata hilang keIslamannya. Kini Melayu sudah mula hilang agamanya.

Apakah nasib Melayu/Islam akan sama seperti yang berlaku di Kemboja? Sama-sama kita fikirkan....




Selasa, Mei 12, 2009

Majlis Pelancaran Sejuta Poskad Mansuh PPSMI

Majlis pelancaran program tersebut akan diadakan seperti berikut :

  1. Tarikh : 15 Mei 2009.
  2. Masa : 9.00 mlm.
  3. Tempat : Parit Medan, Kundang Ulu, Muar.
Para penceramah :
  • Tn. Hj. Mohamad Sabu.
  • Dato' A. Samad Said.
  • Dinsman.
  • Cikgu Azmi Abd. Hamid (TERAS)
  • Pemimpin PR Johor.
Semua muslimin dan muslimat serta para pencinta dan pejuang bahasa dijemput hadir bagi menunjukkan sokongan.

Bahaya Menanti di Hadapan Hospital Kulai.

Setiap kali apabila melalui jalan dihadapan Hospital Kulai, penulis akan memperlahankan kenderaan bukan sahaja kerana melewati kawasan hospital tetapi terdapat sebab kedua yang lebih perlu diberi perhatian iaitu akibat lampu isyarat pejalan kaki yang tidak berfungsi. Ketika artikel ini ditulis sudah lebih 2 minggu kegagalan ini berterusan. Pada mulanya hanya lampu kuning sahaja yang menyala tetapi pagi ini kesemua lampu sudah tidak berfungsi. Tidak tahu pula bila kesemuanya terpadam kerana beberapa hari ini penulis tidak berada di Kulai.

Oleh kerana Hospital Kulai terletak di tepi jalan utama dengan keadaan trafik yang agak sibuk terutama diwaktu pagi dan petang, pihak berkuasa tempatan seharusnya lebih prihatin tentang masaalah yang dihadapi oleh orang ramai yang berulang-alik ke hospital. Mereka yang menggunakan 'tempat melintas' untuk menyeberang jalan terpaksa berhadapan dengan risiko yang tinggi setiap kali hendak menyeberang.Dengan sikap pemandu yang tidak peduli dengan keperluan masyarakat awam, bahaya sedia mengundang setiap kali pengguna menggunakannya. Jangan hanya bertindak setelah berlaku kemalangan sehingga meragut nyawa pengguna baru pihak berkuasa hendak bertindak. Ketika itu kenyataan menutup kesalahan sudah tidak diperlukan.

Penulis menyeru pihak yang bertanggung jawab agar lebih prihatin dengan permasalahan yang dihadapi masyarakat. Kami adalah penyumbang kepada pendapatan Majlis Perbandaran Kulai melalui cukai-cukai yang dikenakan. Apa manafaatnya MDK dinaiktaraf ke MPKu seandainya perkara yang melibatkan nyawa masyarakat awam diabaikan begitu sahaja. Masaalah di tempat tumpuan awam seumpama ini tidak sepatutnya dibiarkan berlarutan begitu lama. Janganlah hanya seronok duduk dikerusi empuk di bilik berhawa dingin sehingga lupa menjenguk golongan marhain dibawah. Janganlah sibuk menghias bangunan sendiri sehingga kemudahan awam diabaikan.Pejalan kaki juga perlu menikmati kemudahan yang disediakan. Ingatlah setiap kerja buat kita akan diadili Allah swt di Yaumul Mahsyar.

Sabtu, Mei 09, 2009

Semangat Malaysia Boleh yang membolehkan segalanya.

KUALA LUMPUR: Gempar apabila sebuah akhbar online di Denmark, semalam memaparkan babak mengaibkan sebuah program realiti terbitan sebuah stesen televisyen negara itu yang menonjolkan aksi peserta Survivor Robinson Ekspeditionen berlumba lari dalam keadaan telanjang bulat.

Lebih memeranjatkan apabila seorang pembaca akhbar ScandAsia.com di Internet yang mempunyai pertalian saudara dengan rakyat Malaysia, mendapati rancangan realiti di TV3 Denmark itu menjalani penggambaran di sebuah pulau di perairan Mersing, Johor.
Difahamkan, semua peserta program realiti televisyen yang sedang disiarkan di negara Scandinavia itu dibawa khas dari Denmark bagi mengharungi pelbagai ujian lasak secara fizikal dan mental.
Bagaimanapun, timbul persoalan sama ada penerbit program itu mempunyai agenda tersembunyi apabila mewajibkan semua peserta berlumba lari dalam keadaan bogel, seolah-olah mahu menunjukkan kepada dunia rakyat Malaysia masih kuno dan tidak berpakaian.

Rancangan realiti itu yang diadakan setiap tahun memilih lokasi berbeza di seluruh dunia bagi menarik perhatian penonton negara berkenaan yang disiarkan melalui saluran televisyen itu.

Namun, difahamkan, ini pertama kali program berkenaan mensyaratkan peserta lelaki dan wanita menanggalkan semua pakaian sebelum berlumba lari sesama mereka.
Ia sekali gus mencetuskan kritikan penonton program itu yang menyelar penerbitnya kerana menjatuhkan air muka peserta, selain cuba mencetuskan kontroversi itu negara yang menjadi lokasi penggambaran.
Babak acara lumba lari bogel berkenaan yang tersebar melalui akhbar online yang mempunyai pautan dengan laman web program realiti televisyen berkenaan, dianggap satu bentuk penghinaan disengajakan yang boleh menjatuhkan maruah peserta.
Berdasarkan maklumat, seramai 16 daripada 22 peserta program berkenaan terpaksa menyertai acara lumba lari dalam keadaan bogel manakala lima peserta lagi masih berseluar dalam.
Mereka kemudian disyaratkan memakan ulat gonggok sebagai ujian ketahanan fizikal, sebelum melalui proses undian bagi menyingkirkan peserta yang dianggap tidak lagi layak menyertai cabaran.
Difahamkan, seorang peserta wanita yang enggan membuka pakaian untuk menyertai lumba lari berkenaan disingkirkan daripada program berkenaan sebelum dihantar pulang ke Denmark serta-merta.
Berdasarkan dua gambar berasingan yang dipaparkan di akhbar online itu, beberapa lelaki dan wanita kelihatan sedang berlari dalam keadaan bogel di kawasan pantai.
Turut dipaparkan gambar seorang wanita sedang berlari dalam keadaan bogel secara bersendirian.
Seorang rakyat Denmark yang mengirimkan e-mel mengenai babak panas berkenaan kepada Harian Metro, semalam menyifatkan program yang dipaparkan itu bentuk ‘pertandingan pornografi secara lembut’.
Sebaik membaca akhbar online pagi semalam, dia mendakwa terkejut bagaimana program seumpama itu boleh dibenarkan menjalani penggambaran di Malaysia selain menyatakan rasa hairan mengapa ia boleh sewenang-wenang diluluskan pihak berkuasa di negara ini, khususnya di Johor.
Mengikut sejarah, Ekspedisi Robinson dicatatkan berlaku pada 1905 apabila sekumpulan 65 orang tempatan dan seorang lelaki bernama Robinson memulakan perjalanan dari di Kuala Tembeling, Pahang pada pagi 17 Mei dengan menaiki bot menuju Kuala Tahan bagi menakluki puncak Gunung Tahan di Banjaran Titiwangsa.

Harian Metro

8 Mei 2009

Rabu, Mei 06, 2009

Muktamar Tahunan DPPNJ kali ke 37

Sekali lagi PAS Kulai menjadi tumpuan dibawah banner pemudanya apabila terpilih menjadi tuan rumah muktamar tahunan kali ke 37 yang telah berlangsung di Palm Villa Resort Bandar Putra Kulai pada 2&3 Mei 2009 yang lalu. Tahniah diucapkan kepada pimpinan pemuda dan mereka yang terlibat kerana telah memberi persembahan yang terbaik dan terima kasih kepada pimpinan pemuda negeri kerana memberi kepercayaan kepada pimpinan di Kulai untuk menjadi tuan rumah. Kemeriahan dan keceriaan bulan purnama yang berkibar menghiasi sepanjang jalan menuju ketapak muktamar berjaya mewujudkan kesedaran dikalangan warga Kulai bahwa PAS Kulai tidak hanya kelihatan semasa pilhanraya.

YB Sdr Salahuddin Ayub dalam ucapan perasmiannya telah mengingatkan pimpinan pemuda dan tetamu yang hadir betapa pentingnya ilmu ditimba dan menjadikan budaya membaca sebagai sebahagian daripada kehidupan dalam proses mempertingkatkan ilmu pengetahuan. Pemimpin harus mempunyai keupayaan dalam membawa pemikiran-pemikiran baru yang bersesuaian dengan kehendak semasa. Label pembangkang yang menjadi pegangan rakyat terhadap PAS dan rakan-rakan PR, perlu dipadamkan dari kotak pemikiran mereka. PAS harus meletakkan 'goverment in waiting' sebagai paradigma yang perlu direalisasikan.Untuk itu setiap warga PAS perlu merobah mind-set sedia ada dan membuat pendekatan yang lebih versatile agar mudah didekati oleh segenap lapisan masyarakat.

Selain itu sikap rendah diri (inferiority) serta pemikiran skaptikal (skeptical thinking) perlu dinyahkan dan diganti dengan pendirian yang tegas dan berani. PAS mestilah sentiasa dilihat kehadapan dalam menangani isu-isu rakyat disamping terus berada diatas landasan agama. Barisan pemuda yang dilihat sebagai bakal pimpinan masa depan perlu mempunyai jiwa yang kental dan tidak mudah goyah seperti yang digariskan oleh Ketua DPPNJ Sdr. Khairul Faizi dalam ucapan pembukaannya. Melahirkan kader-kader baru dari kalangan anak muda yang terdedah dengan pelbagai gejala yang memeningkan, merupakan antara agenda utama pimpinan pemuda negeri dan seharusnya disokong oleh pimpinan disemua peringkat.

PAS Kulai mengambil pendirian menyokong serta sedia membantu pemuda untuk merealisasikan misi mereka.
Selamat Berjuang !
ALLAHU AKBAR!

Isnin, Mei 04, 2009

Hebatnya Perancangan Allah swt.


Benarlah sebagaimana firman Allah dalam surah Ali-Imran [3] ayat 54 yang bermaksud: "Orang-orang kafir itu membuat tipu daya dan Allah membalas tipu daya mereka itu. Dan Allah sebaik-baik pembalas tipu daya". Setelah DPP Kulai digagalkan dengan alasan ketiadaan permit untuk ceramah Ust. Idris Ahmad, Allah membalasnya dengan kejayaan menghadirkan YB Ust. Taib Azamuddin (mantan Imam Besar Masjid Negara) ke Kulai pada 25 dan 26 April 2009. Sambutan hebat yang diberikan oleh masyarakat adalah diluar jangka. YB Ust. yang dijadualkan berceramah dan menyampaikan kuliah di 3 buah surau telah diraikan oleh masyarakat setempat dengan kehadiran yang sangat memberangsangkan disetiap program. Program bermula sebaik sahaja beliau tiba pada petang 25 April dengan kuliah maghrib di surau Jalan Jati Bandar Putra Kulai dan diikuti dengan ceramah MauliduRasul di surau Taman Muhibbah Saleng. Jadual diteruskan dengan kuliah subuh di surau Jalan Nuri Bandar Putra Kulai dan diakhiri dengan ceramah Maulid peringkat SRI Ibnu Nafis dan PASTI Kawasan Kulai di PASTI Ar-Raudah Taman Manis.

Angka kehadiran yang sangat tinggi disetiap acara menunjukkan masyarakat Islam di Kulai khususnya dan Johor amnya sangat dahagakan ilmu dan sangat rindukan ulama'-ulama' yang dahulunya menjadi ikon mereka dalam menyampaikan ilmu-ilmu Islam. 70% daripada hadirin adalah terdiri daripada ahli dan penyokong UMNO serta kedapatan juga mereka yang berada dalam kelompok tegar turut menghadirkan diri. Sikap keterbukaan ini perlu di menafaatkan agar mesej Islam dapat disampaikan seterusnya kefahaman mengenai Islam dari presfektif sebenar dapat dijelmakan. Inilah medan terbaik yang harus diteroka kerana hadirin adalah merupakan kumpulan sasar yang akrab dengan masjid dan surau tetapi tidak terlibat dengan gerakan Islam malah jauh sekali untuk hadir di ceramah-ceramah PAS.

YB Ust.Taib menghargai sikap keterbukaan yang ditunjukkan dan memuji langkah yang diambil oleh PAS Kawasan dalam usaha mendekatkan diri dengan masyarakat. Program seumpama ini jarang sekali dapat dilakukan di utara khususnya di Kedah akibat fahaman politik yang terlalu menebal. Beliau melahirkan keyakinan seandainya pendekatan seumpama ini dapat sering diadakan, proses kematangan politik akan menjalar dan seterusnya mampu membuatkan masyarakat yang tegar keUMNOannya berubah angin.

Sebagai pejuang Islam sifat istiqamah dan yakin akan kemenangan Islam perlu dipahat di dada masing-masing. Setiap kegagalan walaupun pahit untuk ditelan, yakinlah tersembunyi kemanisan yang Allah rahsiakan dan kita melihat kemanisan yang Allah beri pada kehadiran YB Ust. Taib Azamuddin. Semoga program ini akan menjadi pemangkin kepada kebangkitan Islam di DUN Bukit Permai dan Johor amnya. ALLAHUAKBAR!


Ahad, Mei 03, 2009

Tiada kemunasabahan yang cukup untuk Kabinet menentukan agama anak.


BERBAGAI pihak meminta saya menyatakan pendirian dalam isu agama anak yang ditetapkan oleh Kabinet Malaysia yang baru. Di sini saya sebut, ada beberapa masalah dalam isu ini yang mesti difahami dan dinilai, juga pendapat saya dalam hal ini;

Islam menganggap setiap anak lahir dalam keadaan fitrah iaitu dalam keadaan yang bersih dari pencemaran pemikiran dan akidah. Tiada nilaian dosa atau pahala buat mereka. Jika mereka mati sebelum mencapai umur mukallaf, mereka mati dalam keadaan bersih sekalipun ibubapa mereka tidak menganut agama Islam.

Ibubapa merupakan faktor utama dalam mempengaruhi fitrah anak yang bersih tersebut. Anak kecil biasanya akan terikut dengan agama ibubapanya. Justeru itu Nabi s.a.w bersabda: “Setiap anak dilahirkan atas ‘fitrah’, maka kedua ibubapanya yang menyebabkan ia menjadi yahudi, atau nasrani atau majusi (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Para sarjana fekah ramai yang berpendapat bahkan ada yang mendakwa telah ijmak (sepakat), bahawa pengislaman bapa membawa kepada pengislaman anak yang masih kecil. Namun mereka berbeza pendapat tentang pengislaman ibu; apakah diikuti dengan pengislaman anak atau tidak.

Di kalangan sarjana fekah ada yang berpendapat agama anak berdasarkan agama yang paling mulia dan sudah pasti mereka akan memutuskan jika bertembung antara Islam dan selainnya; maka agamanya dianggap sebagai Islam. Apa yang penting tiada nas Islam yang jelas dalam memutuskan hal ini. Ia lebih merujuk kepada soal ijtihad. Namun asas yang penting yang mesti ditegakkan adalah keadilan, di samping memelihara kemuliaan Islam itu sendiri.

Kepentingan membincangkan tentang status agama anak ini adalah untuk pengurusan jenazah, harta pusaka dan beberapa perkara yang lain. Bukan untuk menentu kedudukannya di syurga atau neraka seperti yang difahami oleh sesetengah pihak. Ini disebabkan anak kecil bebas dari nilaian dosa dan pahala sehingga dia menjadi mukallaf.

Saya berpendapat; tiada kemunasabahan yang cukup untuk Pihak Kabinet menentukan agama anak secara keputusan yang sedemikian. Lebih baik urusan ini diserahkan kepada mahkamah –sekalipun mahkamah sivil- untuk memutuskannya.

Mahkamah mesti menentukan hak jagaan kepada pihak yang paling baik untuk kemaslahatan anak. Di sini datangnya peranan badan-badan Islam atau pihak pengurusan zakat umat Islam untuk memastikan kekuatan kewangan dan sebagainya dalam membantu ‘saudara baru’ melayakkan mereka mendapat hak jagaan. Jika badan-badan ini masih tidur atau sekadar sibuk dengan lawatan dan mensyuarat di hotel-hotel sahaja, jadilah apa yang terjadi sekarang. Keputusan kabinet tersebut boleh merampas hak salah seorang ibubapa yang menukar agamanya dan bersifat tidak adil. Jika sudut kebendaan itu yang dinilai, kelayakan menjaga seseorang anak itu berbeza antara pasangan.

Tidak mungkin dibuat keputusan yang tetap kerana setiap pasangan mempunyai keadaan yang berbeza. Biar mahkamah menentukannya secara adil. Sesiapa yang berhak menjaga anak, maka tidak menjadi masalah jika berlaku perselisahan agama anak berdasarkan pihak yang menjaganya atau jika anak itu sudah pandai menilai, dia mungkin boleh membuat pengakuan agama pilihannya.

Sepatutnya, isu agama anak tidak ditimbulkan melainkan ketika perselisihan antara pasangan sahaja. Anak sepatutnya diberi peluang untuk mengenai Islam setelah ibu atau bapa menganut Islam. Peruntukan zakat muallaf secara besar perlu diberikan untuk ini. Zakat bukan lawatan hujung tahun dan penukaran kereta baru para pegawai. Malanglah keputusan kabinet ini boleh menghalang dakwah seorang bapa atau ibu kepada anak berkenaan.

Ini kerana, anak itu bersih fitrahnya. Ibubapa mempunyai peranan mempengaruhinya. Itu adalah hak mereka untuk mempengaruhi anak mereka. Jika salah seorang ibubapanya menganut Islam sementara seorang lagi tidak, anak berkenaan mungkin akan dipengaruhi oleh salah seorang daripada mereka.

Sekalipun jika mereka berpisah, peluang yang adil untuk anak bertemu dengan bapa atau ibunya hendaklah diberikan. Selepas itu terpulang kepada anak berkenaan dalam menentukan agamanya.

Saya berpendapat; keputusan kabinet lebih dipengaruhi oleh perkembangan politik kepartian dan undi tanpa melihat kepada sudut keadilan untuk semua. Ia adalah penindasan terhadap saudara baru dan boleh menakutkan mereka yang ingin menganut Islam. Dalam kegilaan mendapatkan undi, jangan digadai masa depan umat Islam dan keharmonian agama dalam negara.

Sekali lagi saya tegaskan, golongan ‘saudara baru’ dalam negara ini tidak mendapat layanan yang sepatutnya dan pihak yang bertanggungjawab terutama yang menguruskan zakat dan badan-badan agama kerajaan pusat dan negeri tidak menyibukkan diri dalam menjaga kebajikan mereka dan usaha dakwah dalam memahamkan rakyat Malaysia tentang Islam yang sebenar. Zakat tidak diuruskan dengan sepatutnya dan dana-dana untuk kemajuan Islam tidak dialirkan dengan cara yang wajar dalam menjaga kepentingan dakwah Islamiyyah.

Saya dengan ini meminta pihak Kabinet menilai balik keputusan tersebut dan juga pihak-pihak agama dalam negara kita memainkan peranan yang sepatutnya dalam memberikan keadilan kepada ‘saudara baru’.

Jika Fatwa Kebangsaan JAKIM boleh membuat sidang fatwa segera tentang ‘dakwat pilihanraya’ mengapa tidak Pengerusi Fatwa Kebangsaan tidak memberikan pandangan para mufti dengan segera dan jelas dalam hal ini. Malanglah jika isu penkid dan yoga digembar-gembur, tetapi isu keadilan hak saudara baru dilewat-lewatkan.

Saya ingin berpesan kepada diri sendiri, juga mengambil kesempatan berpesan kepada mereka yang berjawatan berkaitan agama agar jangan memikirkan tentang gaji, sambungan kontrak, gelaran menjelang harijadi sultan, elaun, rombongan dan urusan dunia yang lain melebihi kepentingan dan masa depan umat.

Dr Mohd Asri bin Zainul Abidin,29.4.09Lampeter, UK.

The Star (edisi Melayu)

Khamis April 30, 2009