Selasa, Oktober 30, 2012

KENYATAAN PRESIDEN PAS: MCA Bantu Dedahkan Umno Yang Sebenar

Kenyataan Datuk Seri Dr Chua Soi Lek, Presiden MCA yang secara terbuka menentang Syariat Islam, khususnya undang-undang jenayah hudud, adalah menyerlahkan sikap Barisan Nasional yang sebenar. Perlu diingat bahawa UMNO adalah parti teras dalam BN, yang wujud bersama MCA, MIC, GERAKAN dan lain-lainnya sebagaimana yang kita ulangi sudah pun diberi amanah menerajui pemerintahan negara Malaysia ini 
selama lebih dari lima puluh tahun.

Hakikatnya ialah, bahawa UMNO memimpin kerajaan pusat dan kebanyakan kerajaan negeri, dengan adanya Biro Agama dalam UMNO itu sendiri, dalam kerajaannya ada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam - yang diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO, dan ada menteri penjaganya, disamping diwujudkan Institut Kefahaman Islam (IKIM), Fakulti Pengajian Islam dibeberapa Universiti, di peringkat negeri pula ada Jabatan Agama Islam masing-masing dan ada Exco Agama daripada UMNO juga TETAPI segala-galanya ini tidak mampu meletakkan Islam itu tinggi di tempat yang sebenarnya dalam urusan negara Malaysia ini dan di negeri yang dipimpin oleh UMNO. Adapun Majlis Fatwa Kebangsaan pula hanya bebas dalam lingkungan sangkarnya, berkokok mengikut waktu yang disesuaikan dengan keselesaan UMNO yang menjadi penunggunya.

Soalannya mengapa MCA boleh membuat kenyataan terbuka begitu rupa ?.
Dalam hal ini, MCA bukanlah parti yang patut disoal atau diminta penjelasan, kerana parti ini hanya mewakili kelompok masyarakat Cina bukan Islam. Manakala hukum hudud pula tidak ada dalam ajaran semua agama bukan Islam yang dianut oleh ahli MCA. Parti UMNO lah yang secara khususnya patut dipersoalkan oleh bangsa melayu yang beragama Islam bukannya MCA, kerana banyaknya urusan Islam di dalam tubuh parti UMNO serta kedudukannya yang memimpin kerajaan pusat dan negeri.

PAS tidak merasa hairan apa yang berlaku, kerana UMNO adalah Parti Kebangsaan Melayu, di mana “Islam” hanya menjadi agama yang dianut secara peribadi kalangan ahli UMNO sahaja. Perlembagaan UMNO juga tidak meletakkan Islam menjadi dasar, matlamat dan hukum tertinggi. Sifat individualistik yang menjadi konsep kepada ahli UMNO menyebabkannya tidak boleh bertindak terhadap ahlinya yang melakukan maksiat yang besar, apatah lagi yang terlalu kecil, kerana agama adalah urusan individu. Ahli UMNO pula boleh menjadi orang yang soleh, paling kuat beribadat, banyak sembahyang, banyak mendirikan masjid, kerap umrah dan lebih banyak peluang haji, berkebajikan dalam masyarakat dengan sebanyak-banyaknya dan sebagainya. Tetapi ahli UMNOi tidak mampu bercakap atas nama partinya untuk menegur atau menyanggah kenyataan Presiden MCA, kerana ini akan bercanggah dengan semangat dan konsep kebersamaan dalam BN yang didukung sama oleh undang-undang tubuh UMNO yang diselaraskan dengan semua rakan-rakannya dalam Barisan Nasional.

UMNO lebih mengutamakan konsep pragmatik sekular yang didukung bersama MCA, MIC, GERAKAN dan lain-lain, dalam gabungan parti-parti komponen Barisan Nasional. Maka Islam tidak berkuasa dan berdaulat, hanyalah sekadar menjadi cabang yang berteduh di bawah semangat Barisan Nasional. Maka UMNO tidak ada kelayakan untuk menegur Presiden MCA sehingga dia boleh bercakap apa sahaja termasuk dalam perkara Islam yang dia terlalu jahil kerana bukan agamanya.

HUDUD
Undang-undang Hudud adalah salah satu daripada hukum jenayah dalam syariat Islam, bersama dengan hukuman Qisas dan Takzir. Perkataan “Hudud” bererti batas-batas sempadan Allah yang tidak boleh dipertikaikan oleh seseorang yang beriman, di mana hukumannya telah di naskan oleh Allah secara nyata dalam Al Quran dan Hadith Rasulullah SAW seperti juga nas wajib sembahyang lima waktu, puasa, zakat , haji dan pengharaman arak, judi, riba dan lain-lain. Hudud tidak boleh dinamakan “Hudud PAS” seperti juga tidak boleh dinamakan “sembahyang PAS”. Hanya yang jahil murakkab sahaja boleh bercakap begitu. Allah berfirman :
الأحزاب .
Maksudnya : “Dan tidaklah harus bagi seseorang yang beriman, lelaki dan perempuan - apabila Allah dan RasulNya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara – mereka tidaklah mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka. Dan sesiapa yang tidak taat kepada hukum Allah dan RasulNya maka sesungguhnya dia telah sesat dengan kesesatan yang jelas nyata.” (al-Ahzab – 36)

Perkara yang dinyatakan secara nas saperti Hudud dan Qisas tidak mungkin dicapai oleh akal manusia, maka Allah menyatakan petunjuknya secara jelas. Rasulullah SAW sendiri, para pemimpin dan ulama selepasnya wajib menerima dan pihak yang berkuasa pula wajib melaksanakannya di mana mereka tidak boleh bertelingkah atau khilaf dari segi wajibnya. Perbincangan dan berbeza pendapat hanya dalam perkara cabang dari segi mencari bukti dan proses kehakiman yang adil, bukan meninggalkannya.

Keseluruhan undang-undang jenayah Islam lebih bersifat dan berkonsepkan mendidik masyarakat, maka dikenakan syarat yang ketat sehingga sukar menjatuhkan hukuman, tetapi undang-undang dan hukumannya menakutkan sehingga Presiden MCA juga takut. Penjenayah lebih digalakkan bertaubat sebelum dibawa ke mahkamah. Hukum Hudud tidak boleh diampun setelah diputuskan oleh mahkamah, kerana Hudud menjadi hak Allah bagi memelihara rukun kehidupan bermasyarakat. Lucunya, terdapat pula kalangan yang jahil pula cuba berhujah, bahawa penjenayah akan berkeliaran atau bertambah kerana hukuman sangat sukar untuk dijatuhkan. Hakikatnya ini tidak akan berlaku kerana sebelum sesuatu kes itu dibawa ke mahkamah, pihak yang mendakwa atau pendakwa akan menentukan samada cukup kesaksian atau tidak untuk kes hudud. Sekiranya bukti tidak cukup untuk kes hudud bukan bermakna terus dilepaskan. Bukti-bukti jenayah ini mungkin cukup untuk di bawa kes ke perbicaraan takzir – di mana hukuman takzir adalah lebih ringan dari hukuman hudud. Dalam bahasa mudah difahami waktu ini, hukuman takzir boleh wujud dalam bentuk kanun keseksaan (penal code) yang hukuman dan beban pembuktiannya jauh lebih ringan dari hukuman hudud.

Setiap penganut Islam sebelum wujudnya PAS dan UMNO wajib beriman dengan hukum hudud. Maka penganut Islam dalam UMNO wajib bertegas dan istiqamah dengan Islamnya, seterusnya bertindak sama ada memecat MCA daripada Barisan Nasional atau UMNO di pecat atau keluar daripada Barisan Nasional atau ahli-ahli UMNO yang beragama Islam keluar UMNO beramai-ramai.
PAS DAN DAP
PAS berlainan dengan UMNO dan sangat berbeza, kerana PAS tegas mengikut undang-undang tubuhnya, menjadikan Islam (Quran, Hadith, Ijmak dan Qiyas) hukum tertinggi, dasar dan matlamat perjuangannya Islam yang sempurna, maka termasuk urusan politik negara. Sekiranya dikaji Surah Al Maidah yang diturunkan di Madinah, terdapat di dalamnya undang-undang jenayah, diantaranya Hudud. Kebanyakan sebab nuzulnya (turun ayat) adalah berkait dengan sikap penganut bukan Islam yang dijawab secara wahyu. Perkara ini dapat dirujuk dalam kitab tafsir dan sejarah Islam.

PAS berijtihad memilih Demokrasi bagi mencapai kuasa pemerintahan dan melaksanakan Islam termasuk hukum hudud, kerana pendekatan demokrasi secara damai adalah bersesuaian bagi menyelamat manusia bersama Islam tanpa paksaan, walaupun memakan masa yang panjang sehingga beberapa generasi serta pemimpin pergi dan datang. Maka proses pelaksanaan undang – undang termasuk Hudud di bawa ke dalam Dewan Undangan Negeri Kelantan dan Terengganu setelah mendapat mandat kemenangan besar dalam pilihanraya lalu. Undang – undang jenayah Islam termasuk Hudud dipamerkan lebih dahulu kepada masyarakat umum berbagai agama, di bentang dan dibuka kepada proses soal-jawab terlebih dahulu sebagai satu proses pendidikannya. Ingin saya pertegaskan sekali lagi bahawa pelaksanaan enakmen Islam adalah hanya untuk orang Islam sahaja, sama sekali tidak untuk bukan Islam. PAS tidak membawa perkara ini di Kedah, Perak, Selangor dan Pulau Pinang kerana tidak mencukupi syarat secara demokrasi. DAP pula bukan parti kerajaan pusat yang berkuasa sepenuhnya seperti MCA. Ahli DAP banyak terdiri daripada masyarakat bukan Islam yang tertindas oleh kekayaan MCA, MIC dan semangat kebangsaan UMNO yang terlalu tinggi. Maka PAS lebih mudah berkira dengan DAP. Perkara hudud boleh dibincang secara ilmu dengan adil dan bebas.

Hubungan PAS dengan DAP dan PKR bukan Islam dalam Pakatan Rakyat adalah secara muafakat. Maka isu pelaksanaan Islam oleh PAS dalam negeri Pakatan Rakyat adalah berpandukan kepada hukum Tahaluf Siyasi dalam Feqah Siyasah. Ini perkara yang perlu difahami oleh penyokong PAS dan rakyat seluruhnya.
PAS tetap tegas dengan perjuangan Islamnya dan DAP pula tegas dengan perjuangannya. Dalam hal ini kerjasama berlaku dalam titik persamaan dan hak berbeza pendapat tetap dihormati dan hak penganut bukan Islam wajib diberi dengan adil.
Titik persamaan secara umum sudah disepakati, apabila DAP menerima konsep yang sudah ada dalam perlembagaan negara, termasuk kedudukan agama Islam. Bagi PAS sudah cukup menarik untuk memberi ruang perbincangan sekiranya memerintah negara. Cara ini tidak boleh dilakukan oleh UMNO dengan rakan-rakan karibnya dalam Barisan Nasional. Malangnya perbincangan yang masih awal diganggu oleh media arus perdana khususnya berbahasa melayu mengaku Islam, yang sengaja berniat jahat untuk menghalang cita-cita Islam yang diperjuangkan oleh PAS.
Sekiranya rakyat memberi kuasa dalam Pilihanraya Umum ke-13 kepada Pakatan Rakyat, maka PAS yakin dapat membawa mesejnya dengan sempurna tanpa gangguan syaitan yang dikenali dan tidak dikenali.

Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang
PRESIDEN PAS

Mengapa Rakyat kena bayar Bil Elektrik 1 Malaysia yang TINGGI ?

Harakahdaily,

24 Okt 2012

KUALA LUMPUR: Tindakan kerajaan melanjutkan konsesi dua Pembekal Tenaga
Bebas (IPP) menimbulkan tanda tanya selepas kerajaan berjanji untuk
membuatnya melalui tender terbuka.

Dua IPP yang dilanjutkan konsesi mereka lebih awal dan mendapat layanan
istimewa adalah Genting Sanyen Power dan Segari Power Ventures.

Segari dimilikki oleh Malakof Behad yang dikuasai oleh Tan Sri Syed
Mokhtar Al Bukhari manakala Genting Sanyen kini dibeli oleh 1-MDB dari
Genting Berhad.

Anggota Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad dalam
tulisannya mempertikaikan kenapa kedua-dua IPP ini mendapat layanan
istimewa.

"Tindakan ini telah mencetuskan pelbagai tanda tanya yang menjadikan
segala dakwaan kerajaan bahawa pemberian konsesi kedua IPP ini adalah
telus dan adil, mula di pandang serong oleh pasaran tenaga dan para
penganalisa," kata beliau dalam tulisannya.

Beliau juga mempertikaikan, mengapa Genting Sanyen mendapat harga
konsesi pada kadar 35.3 sen dan Segari Power mendapat kadar 36.3 sen per
kWh yakni lebih tinggi dari loji tenaga baru yang dibina sendiri oleh
Tenaga Nasional.

"Kalau ia tidak lagi efisien dan boleh menandingi loji baru, maka perlu
kadar yang lebih diberikan? Mengapa tidak dihabiskan sahaja konsesinya
dan digantikan?" kata beliau dalam tulisan itu.

Sebelum ini, ketika konsesi IPP jenerasi pertama diberikan, Pengerusi
TNB, Tan Sri Ani Arope telah meletakkan jawatannya kerana tiadak
berpuashati dengan harga yang dipaksakan ke atas TNB.

Khamis, Oktober 25, 2012


PAS Kawasan Kulai akan mengadakan ibadat kurban bersama masyarakat Kampung Rahmat pada hari Sabtu 27 Oktober 2012 bersamaan 11 Zulhijjah 1433H bermula jam 8.00pg.

Sahabat yang berkelapangan dijemput hadir membantu.

Kewajaran pemberian durian runtuh kepada peneroka.

Semalam penulis menemani Sdr. Mazlan Aliman selaku Presiden ANAK ditemubual oleh wartawan Sinar Harian di Felda Taib Andak berbicara mengenai pemberian durian runtuh kepada peneroka Felda. Wartawan berkenaan sedang meninjau kes-kes tertentu yang timbul hasil daripada pemberian tersebut seperti perebutan diantara keluarga, penipuan dsb. Bagi masyarakat di Felda Taib Andak setakat ini tidak kedengaran kes-kes yang dimaksudkan walaupun kedengaran cerita-cerita perkelahian antara adik beradik dalam agihan khususnya bagi keluarga yang ketiadaan ibu-bapa mereka lagi. Namun ia tidak dapat disahkan kerana tiada kesahihan berita.

Sebagai respon kepada persoalan tersebut, Sdr Mazlan telah memberikan beberapa kes yang berlaku di tanah rancangan selain  di Felda Taib Andak yang telah dirujuk kepada beliau. Sebagai contoh terdapat peneroka dan isterinya yang masih hidup tetapi dilaporkan oleh anaknya telah meninggal dunia semata-mata kerana ingin membolot habuan tersebut. Perkara ini berlaku di dalam Gugusan Felda Taib Andak. Satu kes lagi didalam gugusan yang sama, si anak menemani ibunya untuk mengeluarkan duit di Maybank Bandar Tenggara. Setelah cek ditunaikan, si anak hanya memberikan ibunya RM200 sahaja dengan alasan si ibu tidak memerlukan jumlah wang yang banyak kerana kini tinggal sendirian. Ini antara beberapa kes yang di dedahkan dan terdapat banyak lagi kes yang hampir serupa bahkan lebih trajis lagi yang berlaku di Felda seluruh negara.

Mazlan yakin kes-kes yang berlaku ini sengaja di sembunyikan oleh pihak pengurusan Felda bagi mengelakkan tanggapan buruk masyarakat tentang pemberian durian runtuh tersebut. Persoalannya ialah dari sudut kewajaran pemberian tersebut. Tidak salah memberi tetapi apa maksud sebenar tersirat disebalik pemberian itu. Kenapa ianya timbul setelah 55 tahun negara merdeka dan telah sekian lama peneroka Felda ujud diseluruh negara? Kenapa istilah Durian Runtuh ini baru sekarang ketika Barisan Nasional melihat kedudukan mereka mula tergugat? Kenapa tidak diruntuhkan durian ketika BN sedang selesa dipuncak pemerintahan?

Dari sudut pandangan penulis, pemberian ini semata-mata bermotifkan politik. Cara mudah bagi BN membeli undi khususnya dari kalangan masyarakat Melayu di Tanah Rancangan Felda. Sedangkan sebelum ini yang menggadai tanah peneroka dibeberapa buah rancangan adalah puak yang sama. Kini apabila dirasakan kedudukan mereka mula meruncing, wang dijadikan senjata. Orang Melayu yang sengaja diletakkan jauh dipendalaman akan mudah dipengaruhi dengan wang. Beri saja sedikit habuan, mereka akan kembali menyokong. Inilah tanggapan yang sentiasa ada dalam benak pemimpin BN yang bermazhab UMNO.

Tak tahulah samada apa yang diluahkan ini akan dimuatkan didalam akhbar ataupun tidak. Walau apa pun, ini merupakan pandangan kami.

Sesudah itu, kami berkunjung kerumah Mak Teh bagi meninjau perkembangan terkini keluarga tersebut. Sinar Harian merupakan akhbar arus perdana yang memberi liputan tentang keluarga ini diawal usaha membantu. Kini ruang dapur rumah ini telah diganti bumbungnya oleh JKK Felda tersebut. Alhamdulillah. Semoga semua yang turut serta membantu meringankan bebanan keluarga ini diberi ganjaran yang setimpal oleh Allah swt. Insya'allah.


Isnin, Oktober 22, 2012

Ziarah al-Malaq.

Pada pagi 20 Okt 2012 yang lalu, penulis telah berkesempatan melakukan ziarah bersama Timbalan Pesuruhjaya PAS Negri Johor Sdr. Mazlan Aliman. Kali ini kami berkunjung kerumah mantan Ketua Balai Polis Air Bemban yang telahpun meninggalkan perkhidmatan melebihi 10 tahun. Kebetulan beliau berasal dari kampung yang sama dengan Sdr. Mazlan iaitu Kg. Parit Kuda, Bagan, Batu Pahat. Banyaklah kenangan-kenangan silam yang disembangkan. Maklumlah jumpa orang kampung.

Beliau baru sahaja menjalani pembedahan dan kini sedang beransur pulih. Berkongsi pengalaman sebagai polis hutan yang telah berkhidmat dibeberapa tempat diseluruh negara, amat menyeronokkan kami mendengarnya. Pelbagai pahit getir yang telah ditempuhi terutama ketika negara berhadapan dengan pengganas komunis. Sekiranya dibandingkan dengan anggota Polis ketika ini, beliau menyifatkan ia amat berbeza sekali terutama dari sudut tugas dan kemudahan yang disediakan. Cabaran tugas yang dihadapai oleh anggota sekarang ini tidak segetir apa yang dihadapi oleh anggota yang seangkatan dengan beliau dahulu.
Bercerita tentang pengalaman sewaktu menjawat Ketua Balai di Air Bemban dahulu, semua insiden yang berlaku yang memerlukan perhatian pihak Polis, beliau pasti akan terlibat. Tidak seperti sekarang, pegawai penyiasat yang dilantik hanya menurut kes masing-masing sahaja. "Dulu kadang-kadang nak solat pun tak sempat. Nak bermain-main dengan anak pun payah" tambahnya. "Bertugas sebagai Ketua Balai ni, 24 jam" katanya lagi.

Apabila berbicara tentang politik tanahair masakini, beliau tidak menolak perlunya perubahan dilakukan. Beliau menasihatkan PAS agar tidak memusuhi anggota Polis kerana mereka sedang dalam perkhidmatan. Maklumlah mereka ni semua makan gaji dan menurut perintah. Kadang-kadang arahan yang dikeluarkan itu tidak menepati kehendak mereka, tetapi oleh kerana tugas mereka terpaksa akur. Sebab itu kita dapat melihat, ramai anggota yang telah bersara menyertai Pakatan Rakyat.

Diakhir petemuan, kami mendoakan agar beliau cepat sembuh dan dapat mengerjakan ibadat kepada Allah swt dengan tenang dan selesa. Semoga beliau hidup sejahtera bersama isteri dan anak-anak serta mendapat kurnia dan hidayat Allah swt.


Kenaikkan caj air mendadak oleh SAJ.

PAS Kulai telah menerima beberapa aduan daripada penduduk sekitar Jalan Enggang, Bandar Putra, Kulai mengenai kenaikkan caj bayaran air yang mendadak oleh SAJ. Rata-rata daripada penduduk melahirkan rasa tidak puashati mereka kerana menerima bil yang sangat tinggi secara tiba-tiba. Sehubungan dengan itu PAS Kawasan Kulai telah mengadakan sidang media untuk menuntut pihak SAJ memberi penjelasan tentang kenaikkan air yang dianggap melampau.

Terdapat penduduk yang mengadu, bayaran air yang dikenakan setiap bulan ialah sekitar RM30 tetapi secara tiba-tiba ia meningkat kepada RM143. Sekiranya berlaku kebocoran paip, ia akan melibatkan rumah-rumah tertentu sahaja. Tetapi ini melibatkan semua penduduk disekitar Jalan Enggang. Seorang penghuni rumah di Jalan Nuri ditaman yang sama, mengadu bahwa perkara ini berlaku sejak SAJ membuat penukaran meter baru. Beliau sendiri telah mengalami kenaikkan air yang sangat melampau sehingga mencecah RM4000.

Sdr. Mazlan Aliman (Tim. Pesuruhjaya PAS Johor) yang turut serta mendengar keluhan rakyat ini menyatakan, PAS Negeri Johor telah membantah penswastaan air di Johor ketika beliau menyandang jawatan Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri. Bantahan dibuat kerana menyedari perkara ini akan berlaku apabila konsesi air yang diberikan kepada Syarikat Ranhill pasti akan membebankan pengguna. Ternyata perkara ini sedang berlaku. Hal ini juga turut disuarakan oleh wartawan yang membuat liputan kerana ia bukan sahaja berlaku di Kulai bahkan di seluruh negeri Johor.

PAS Kulai berharap pihak SAJ dapat bertindak secara rasional dalam mengejar keuntungan. Penulis sendiri beberapa kali mengalami masalah caj air bulanan yang dikenakan. Walaupun bil dijelaskan setiap bulan, tetapi masih juga menerima tunggakkan. Apabila diminta penjelasan daripada SAJ, pegawai yang bertugas hanya menunjukkan bil yang di cetak tanpa memberi sebarang penjelasan darimana datangnya tunggakkan tersebut.

Sudah tiba masanya kita membuat perubahan. Tarif air yang dikenakan di Negeri Johor adalah yang tertinggi sekali di Malaysia. Tidakah orang Johor teringin menikmati apa yang sedang dinikmati oleh rakyat di Negeri Selangor. Fikir-fikirkanlah....

UBAH SEBELUM PARAH.


Khamis, Oktober 18, 2012

TAZKIRAH MAGHRIB


TAZKIRAH MAGHRIB BERSAMA Y.B. DATO' SERI ANWAR IBRAHIM

Tarikh : 20 Oktober 2012 ( Sabtu )
Tempat : PASTI Ar-Raudah Taman Manis, Kulai, Johor.
Masa : 7.30mlm

Solat maghrib bersama Dato' Seri Anwar Ibrahim di surau Taman Manis.

SEMUA DIJEMPUT HADIR.