Rabu, Oktober 28, 2009

Jalan Selamat Menempuh Gelombang Dunia.

Seorang sahabat yang bernama Uqal berkata bahwa dia telah mendengar Nabi s.a.w. bersabda : "Tidak zahid seseorang itu didunia melainkan Allah menumbuhkan hikmah didalam hatinya dan Allah petahkan (lancarkan) lidah dia untuk bertutur dan Allah memperlihatkan kepadanya keaiban dunia dan ubat untuk merawat dunia dan Allah akan membawa dia keluar dari dunia menuju Darus-Salam (syurga) dengan selamat".

Perbezaan antara orang yang beriman dan tidak beriman dalam menganggapi dunia ini ialah; mereka yang beriman itu zahid terhadap dunia, tidak mencintai kekayaan dan pangkat kemegahan. Mereka menggunakan harta sebagai wasilah untuk melaksanakan perintah Allah swt kerana banyak daripada syariat Allah memerlukan sokongan harta kekayaan dan juga pangkat kedudukan bagi mentadbir dan mengislahkan dunia yang telah diamanahkan kepada hambaNya yang beriman. Harta dan pangkat adalah amanah Allah yang akan dipertanggung-jawabkan di akhirat kelak nanti. Manakala orang yang tidak beriman memandang dunia ini sebagai matlamat dan tujuan yang terakhir dalam kehidupan. Mereka merebut kekayaan dunia dengan cara apa sekalipun. Mereka memburu pangkat dan kedudukan untuk memudahkan cita-cita mereka meraih dan menguasai pelbagai keistimewaan di dunia seperti kesenangan, kemewahan dan kemegahan.

Zahid atau berpada-pada terhadap dunia itu bukan bererti melupakan tanggungjawab mencari harta kerana harta adalah ibarat najis binatang yang kadangkala diperlukan sebagai baja untuk menyuburkan pokok. Harta mesti dicari untuk menjadi alat bagi menyuburkan akhirat. Jika harta dihimpun untuk bersenang-senang di dunia, bererti mereka seumpama orang yang lupa menggunakan najis binatang untuk membajai pokok. Zahid bukan bererti orang itu tidak memiliki harta bahkan ia merupakan orang yang banyak harta tetapi dia tidak merasakan harta itu miliknya seorang. Orang lain boleh menumpang sama atas hartanya, tidak bakhil untuk memberikan hartanya kepada sesiapa yang memerlukan walaupun secara percuma atau hutang.

Jika masyarakat menganggap zahid itu ialah orang yang memiliki harta setakat ala kadar, tidak berusaha bersunguh-sungguh malah duduk diam berpeluk tubuh kerana membenci dunia yang ibarat bangkai, sebenarnya orang itu bukan zahid sebaliknya mungkin pemalas atau jahil erti dan fungsi dunia. Apabila seseorang berada dalam keadaan tidak tunduk kepada pengaruh dunia, tidak bermewah-mewah untuk kesenangan diri seperti memiliki rumah yang bagaikan mahligai, maka ketika itu Allah meletakkan hikmah kebijaksanaan didalam hati orang itu. Justeru ia akan menjadi orang yang bijak.

Maksud bijak disini bukanlah bererti bijak mencari harta sebaliknya ia membawa maksud sejenis kecerdikkan yang dikurniakan Allah untuk menyelamatkan dirinya daripada ditimpa malapetaka semasa hidup di dunia dan juga di akhirat. Jika hanya cerdik di dunia sedangkan di akhirat tercebur ke dalam neraka, maka itu dinamakan 'cerdik pelanduk' iaitu cerdik sementara sebelum masuk kedalam belanga menjadi santapan manusia.

Apabila manusia yang zahid ini dikurniakan Allah swt kecerdikan (hikmah) didalam hati, dia akan menjadi manusia yang bijaksana. Kecerdikan ini akan di transformasikan kedalam percakapannya yang berupa nasihat-nasihat yang berguna dan mendatangkan menafaat kepada orang lain disamping menjadi obor kepada masyarakat dan pembimbing kepada umat yang memerlukan petunjuk. Terdapat begitu ramai manusia yang tidak zahid cuba menjadi penasihat, memberikan ceramah dimerata tempat tetapi Allah tidak mengurniakan kepadanya hikmah menyebabkan kata-katanya ibarat angin lalu yang tidak meninggalkan sebarang kesan. Lidah yang tidak berhikmah hanya akan mengeluarkan gelombang suara yang masuk ketelinga kanan dan keluar ketelinga kiri tanpa meninggalkan keinsafan kepada pendengarnya.

Selain hikmah yang tumbuh didalam hati orang yang zahid dengan menerbitkan ucapan dan nasihat yang berguna, dia juga dapat memperlihatkan keaiban dan penyakit dunia kerana pandangan orang sebegini terhadap dunia dan pangkat kedudukan berbeza dengan pandangan manusia biasa. Mereka melihat dunia dan kedudukan walaupun pada zahirnya kelihatan baik tetapi tidak semestinya memberikan natijah yang baik. Dunia dan pangkat bagi orang yang zahid merupakan amanah Allah swt yang menjadi alat untuk mencapai kebaikan dunia dan akhirat. Dua elemen ini pula sebaliknya akan menjadi malapetaka kepada manusia sekiranya ia dikendalikan oleh mereka yang tidak zahid.

Dengan hikmah yang dianugerahkan Allah kepada manusia yang zahid, akhirnya Allah akan menyelamatkannya daripada fitnah dunia untuk menuju ke Darus-Salam.Oleh kerana hatinya zahid terhadap dunia, ia akan menemui akhir hayatnya dengan damai tanpa sebarang soal jawab akibat tiada dosa yang berkaitan dengan dunia. Lantaran insan hebat ini telah berjaya menambat dunia di luar hatinya, maka dunia dan pangkat kedudukan menjadi seperti ombak besar yang mengganas diluar bahtera. Selama ia berjaya menjaga kekuatan dinding bahtera, pasti ia akan terselamat daripada bahaya ombak ganas itu. Sebaliknya ombak ganas tersebut akan menyerbu kedalam hati manusia yang tidak zahid, maka bagaimanakah mereka akan terselamat daripada serangan ombak ganas yang akan menenggelamkan mereka.

Sesungguhnya Islam telah mengajar manusia kaedah membina tembok ketahanan diri daripada pengaruh dunia melalui sifat zuhud. Adalah nyata bahwa zuhud merupakan syarat penting bagi kesempurnaan iman. Tanpa zuhud sudah pasti manusia tidak akan menemui formula lain bagi menghindarkan diri dari pengaruh dunia kerana dunia sering menerbitkan warna-warna yang mempesonakan nafsu. Warna-warna itu telah banyak melalaikan manusia daripada melaksanakan tangungjawab mereka sebagai hamba Allah swt.

Petikan Buku : Nota Kepada Diri karangan Tuan Guru Nik Abd Aziz Nik Mat.


Ahad, Oktober 25, 2009

Tanda Nyata Hari Kiamat Di Angkatkan Ilmu.













Anas bin Malik r.a. pernah bertanya para sahabat : "Tidak mahukah kamu sekiranya saya memberitakan sebuah hadith yang saya dengar dari Rasulullah s.a.w. dimana beliau tidaklah menceritakan kepada seseorang sesudah saya. Beliau bersabda

ان من أشراط الساعة أن ير فع العلم، ويظهر الجهل ، ويفشوا الزنا ويشرب الخمر ، ويذهب الرجال ، وتبقى النساء ، حتى يكون لخمسين امرأة قيم واحد

Yang bermaksud :
"Sesungguhnya antara tanda-tanda nyata (hampir) hari kiamat ialah :
  1. Diangkatkan ilmu agama.
  2. Timbulnya kejahilan.
  3. Berkembangnya zina.
  4. Minum arak menjadi-jadi.
  5. Susutnya lelaki dan tinggal (ramainya) perempuan sehinggakan seorang lelaki mengawal lima puluh orang wanita."
Riwayat : Bukhari dan Muslim.

Pengajaran Hadith .
  1. Ilmu agama akan diangkat dan hilang daripada dada orang Islam apabila hampir kiamat termasuklah ilmu khusyuk sembahyang.
  2. Apabila hilangnya ilmu agama maka berlakulah kejahilan, zina dan minum arak. Dengan itu setiap individu perlu mengawasi dirinya daripada perkara yang keji ini.

Sabtu, Oktober 24, 2009

Simpang Maut di Taman Permata Impian, Kulai.

Taman Permata Impian terletak di jalan utama dari Kulai ke Kota Tinggi. Taman yang mempunyai 6 blok appartment ini didiami hampir 100 buah keluarga. Penulis sering diundang memberi kuliah agama di surau al-mujahaddah milik qariah disitu. Tahun ini penulis diundang untuk memberi ceramah sempena majlis Maulidur Rasul.

Keharmonian penduduk disini jelas terserlah dengan semangat kerjasama yang ditunjukkan pada setiap program dan aktiviti yang dianjur walaupun kedapatan perbezaan fahaman politik.

Satu perkara yang amat menggusarkan penulis setiap kali berkunjung ke taman ini ialah mengenai jalan susur masuknya. Kereta dari arah Kota Tinggi atau bertentangan sering kali akan masuk ke jalan susur masuk ke taman ini. Perkara ini sangat merbahaya dan boleh mengancam nyawa penduduk dan pengguna yang berurusan dengan penghuni disini.

Gambar diatas ini jelas sekali menunjukkan bagaimana kereta dari arah Kota Tinggi berada dijalan susur masuk ke Taman Permata Impian sedangkan laluan yang sepatutnya digunakan (penunjuk anak panah jelas tertera) kelihatan kosong. Sikap pemandu seumpama ini akan mengundang kecelakaan apabila ada kereta yang hendak masuk ke taman berkenaan. Perkara ini adalah lumrah yang biasa dilalui oleh penduduk taman dan penulis telah menyentuh perkara ini semasa berceramah disini bersama Us Nasaruddin Hassan al-Tantawi baru-baru ini.

Pada 23 Okt 09 yang lalu, penulis berkunjung kerumah seorang penduduk taman berkenaan yang ditimpa kemalangan sewaktu pergi berkerja. Dalam perbualan ringkas ketika ziarah tersebut, mangsa memberitahu seminggu sebelumnya, kereta mangsa dilanggar oleh seorang pemandu dari arah bertentangan yang menggunakan susur masuk ke arah taman. Mangsa tidak mampu mengelak kerana ketika itu keretanya sedang berhenti untuk masuk ke taman. Dalam deretan kereta yang datang dari hadapan, tiba-tiba datang sebuah kereta yang menggunakan lorong yang salah dan melanggar kereta beliau. Walaupun beliau bersama isteri dan anak tidak cedera tetapi keretanya rosak agak teruk. Beliau memberitahu, peristiwa seumpama ini telah beberapa kali menimpa penduduk setempat.


Pihak yang berwajib seperti JKR dan MPKu perlu perihatin dengan masalah rakyat. Apa ertinya gasasan 1 Malaysia - Rakyat Didahulukan - Pencapaian Diutamakan - sekiranya perkara yang telah berlarutan sejak taman ini berpenghuni dibiarkan berlarutan. Apakah kita ingin melihat nyawa penduduk diragut, baru pihak-pihak berkenaan hendak bertindak sambil menuding jari menyalahkan antara satu sama lain.

Penulis menyeru tindakan segera diambil dengan membina pembahagi jalan dan penunjuk arah 'IKUT KIRI' dipasang sebelum nyawa penduduk melayang. Sekiranya lampu jalan yang menelan kos ribuan ringgit mampu dipasang masakan pembahagi jalan dan penunjuk arah yang tidak semahal mana dibiarkan sahaja demi keselamatan rakyat.

Sesekali jenguklah golongan marhain yang sering dilupakan ini. Mereka juga manusia yang perlu diberi perhatian. Jangan hanya jadi pembela rakyat 5 tahun sekali dengan taburan janji-janji manis yang tidak bergula. Sesudah itu pergi membiarkan mereka tanpa sebarang pembelaan. Penulis mengajak rakyat agar menghukum golongan ini pada pilihanraya yang akan datang dengan memberi undi kepada Pakatan Rakyat bagi menikmati nasib yang lebih terbela.

Islam Memimpin Perubahan.

Jumaat, Oktober 16, 2009

Ceramah Aidil Fitri oleh Ustaz Nasarudin Bin Hassan At-Tantawi (Ketua DPP Pusat)


Ceramah Al-Fadhil Ustaz Nasarudin Bin Hassan At-Tantawi seperti berikut :-

Tarikh : 21.10.2009 / Rabu
Masa : 9.30 malam
Tempat : Taman Permata Impian, Kulaijaya

Semua dijemput hadir.

Khamis, Oktober 15, 2009

Keutamaan Ilmu

Abu Said al-Khudri r.a. memberitahu bahawa Nabi s.a.w. pernah bersabda :

"Adalah dikalangan orang-orang sebelum kamu terdapat seorang lelaki yang telah membunuh sembilan puluh sembilan orang, maka dia bertanyakan (kedudukannya pada) seseorang yang lebih mengetahui (ilmuan) diantara kalangan penduduk negeri. Tiba-tiba ilmuan itu menunjukkan kepada seorang rahib (pendita agama).

Maka lelaki itu pergi mendapatkan rahib lalu dia menceritakan bahawa dia telah membunuh 99 orang. Maka adakah peluang untuknya bertaubat?

Rahib itu menjawab : "Tidak boleh".

Maka dia pergi membunuh lagi, lalu cukuplah 100 orang. Kemudian dia pergi bertanya seseorang penduduk negeri yang lebih mengetahui. Maka ilmuan kedua ini menunjukkan kepada seorang lelaki alim.

Dia menceritakan bahwa dia telah membunuh 100 orang manusia. Maka adakah dia boleh bertaubat?

Maka orang alim itu menjawab :"Ya! Dan siapakah yang boleh menghalang antaranya dengan taubat itu? Pergilah ke negeri demikian dan demikian, kerana sesungguhnya di sana ada beberapa orang yang sedang beribadat kepada Allah swt. Maka hendaklah engkau beribadat bersama mereka. Dan janganlah engkau kembali ke negeri engkau. Ini kerana negeri engkau itu sebuah negeri yang buruk".

Maka lelaki itu pun pergi, tiba ditengah jalan dia disambar maut.

Kerana itu berlaku percanggahan pendapat mengenai kematiannya di kalangan Malaikat Rahmat dan Malaikat Azab.

Maka berkatalah Malaikat Rahmat :"Dia (lelaki pembunuh) itu datang dalam keadaan telah bertaubat bagi menghadapkan hatinya kepada Allah swt".

Manakala Malikat Azab pun berkata :"Dia tidak pernah melakukan sebarang kebaikkan pun".

Tiba-tiba datanglah kepada mereka seorang Malaikat menjelma sebagai manusia, maka mereka berdua menjadikannya sebagai pengadil.

Maka dia berkata :

قيسوا ما بين الأرضين فالى أيتهما كان أذنى ،فهو له

Hendaklah kamu ukurkan jarak antara dua negeri itu, maka mana-mana jarak yang paling dekat (kepadanya) itulah yang dikira baginya.

Maka keduanya pun mengukur. Tiba-tiba mereka mendapati jarak itu lebih dekat kepada negeri yang dituju iaitu negeri yang baik. Maka lantas dia dipegang oleh Malaikat Rahmat.

Menurut suatu berita: "Maka adalah jarak ke kampung yang baik itu adalah lebih dekat sejengkal berbanding dengan jarak ke kampungnya dahulu, maka jadilah dia kalangan penghuninya (ahli kebaikkan)".

Menurut Qatadah : Berdasarkan sumber al-Hasan diperolehi berita bahawa dikala lelaki itu diragut maut, dia mencondongkan badannya kearah kota yang ditujukan.

Hadith Riwayat : Al-Bukhari dan Muslim.

Pengajaran Hadith.

  1. Orang alim atau berilmu adalah tempat bertanya bagi mereka yang mempunyai masalah.
  2. Orang alim hendaklah memberi jawapan dan panduan yang tepat mengenai sesuatu masalah.
  3. Seseorang yang tidak mengetahui perkara-perkara agama hendaklah bertanya kepada orang yang lebih tahu. Manakala orang lebih tahu perlu pula bertanyakan para ilmuan.
  4. Apabila timbul percanggahan pendapat dalam menyelesaikan sesuatu perkara, maka penyelesaiannya hendaklah menurut ilham dan pertimbangan yang ditunjuk oleh Allah swt.


Sabtu, Oktober 10, 2009

Rumah Terbuka PAS Kawasan Kulai Jaya.

Majlis tersebut akan diadakan seperti berikut :
  • Tarikh : Selasa 24 Syawal 1430H bersamaan 13 Oktober 2009
  • Tempat : No 24 Jalan Perpaduan 3, Taman Kulai, Kulai.
  • Masa : 8.00mlm - 11.00 mlm
Majlis juga diadakan bagi merai para petugas PRK Bagan Pinang. Untuk maklumat lanjut sila hubungi Setiausaha PAS Kawasan di talian 012-7271535 atau Setiausaha Pemuda 013-7216173.

Muslimin /Muslimat dijemput hadir.

Khamis, Oktober 08, 2009

Awas, Samseng Umno berkeliaran di Bagan Pinang !!!

Bagan Pinang : PAS Mahukan jawapan Polis, Pengundi Wajib Tolak Parti Samseng

http://www.buletinonline.net/images/stories/PRKBaganPinang/DSC01437a.jpgParti Islam Se-Malaysia (PAS) mengutuk tindakan ganas Pemuda Umno yang menyerang Markas Pilihanraya Dewan Pemuda PAS Pusat dan menetak seorang petugas pemuda PAS di Bagan Pinang lewat malam tadi.

Sebelum itu, beberapa pemuda PAS turut diserang oleh ratusan Pemuda Umno di Taman Dato Hj Abdul Samad petang semalam. Tindakan ganas Pemuda Umno ini mencemar suasana Pilihanraya yang sepatutnya berjalan dengan aman.

Ini bukan kali pertama petugas PAS diserang, di Ijok peristiwa serangan yang serupa berlaku tetapi polis gagal membuat sebarang tangkapan.

Peristiwa pembunuhan Ketua Pemuda PAS yang juga ahli Parlimen, Abdul Samad Ghul; pembunuhan Pesuruhjaya PAS Perlis, YB Haji Tahrim Ali dan serangan 200 pemuda Umno di Felda Lubuk Merbau hingga mengorbankan Saudara Osman Talib hingga kini belum ada jawapan dari pihak Polis.

Polis sememangnya mengetahui bahawa Umno mempunyai rangkaian samseng yang ganas tetapi masih berpeluk tubuh bila melihat rakyat yang tidak berdosa diganyang hingga ada yang terkorban.

http://www.buletinonline.net/images/stories/PRKBaganPinang/DSC01438.jpgBukan sahaja ahli PAS, sesama Umno juga mereka sanggup berbunuhan kerana berebut kuasa. Pembunuhan di Gemenceh, Negeri Sembilan yang melibatkan Speaker Dewan Undangan Negeri Sembilan, Datuk Taha Talib oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Datuk Mokhtar Hashim kerana berebut jawatan di Bahagian Tampin membuktikan bahawa Umno sanggup melakukan apa sahaja demi kuasa. Kes ini telah disiasat oleh Tan Sri Musa Hassan yang kini sudah menjadi Ketua Polis Negara.

PAS menuntut agar pihak Polis mengambil serius akan kesemua kes yang telah berlaku ini dan tidak memekakkan telinga atau menutup mata hanya kerana yang menyerang itu adalah Pemuda Umno. PAS mahu jawapan dan mendesak agar Polis membuat siasatan serta tangkapan bagi kes serangan yang telah dilaporkan ini dengan segera.

PAS juga mendesak agar rakyat Bagan Pinang membuat pilihan yang betul kerana Tan Sri Isa Samad yang menjadi calon BN mempunyai rekod rasuah yang buruk dalam pemilihan Umno. Kini, beliau bertanding di Bagan Pinang dan keadaan menjadi lebih buruk lagi kerana samseng serta kaki pukul digunakan bagi membantu beliau berhadapan dengan calon Pas yang ternyata bersedia berkorban untuk rakyat.

Kita tidak mahu kes pembunuhan di Gemenceh berulang barulah Polis dan pengundi membuka mata. Cukuplah apa yang berlaku hari ini menjadi jawapan kepada pengundi untuk membuat perubahan. PAS menyeru agar pengundi menghukum BN dengan menolak pemimpin rasuah dan parti samseng di Bagan Pinang.

Ustaz Idris Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat