Isnin, Januari 17, 2011

Jamuan PKR Kulai.



Pada 14 Januari 2011 yang lalu, penulis telah diundang ke satu majlis makan malam anjuran PKR Cabang Kulai di sebuah restoran di Bandar Kulai. Tetamu jemputan yang hadir pada malam itu ialah :
  1. YB Sdr Azmin Ali (Timbalan Presiden)
  2. YB Nurul Izzah Anwar (Naib Presiden)
  3. YB Tian Chua (Naib Presiden)
  4. Dato' Chua Jui Meng (Naib Presiden merangkap Pengerusi PKR Johor)
  5. YB Jenice Lee ( ADUN Teratai /DAP)
  6. YB K. Kesevan (ADUN Hutan Melintang /PKR)
  7. YB Ong Kow Meng (ADUN Senai /DAP)
  8. En Ng Peck Siong (Ketua DAP Kulai) dan
  9. Penulis mewakili PAS Kawasan Kulai.
Menurut catatan Sinar Harian seramai 800 orang telah hadir di majlis tersebut tetapi menurut kiraan penulis kehadiran menjangkau 1000 orang. Sesuatu yang diluar jangkaan. 80% kehadiran adalah daripada masyarakat Cina sehinggakan malam itu boleh dikatakan sebagai jamuan makan malam masyarakat Tionghua.

Ini menunjukkan kepada kita bahwa masyarakat Cina sangat konsisten kearah menukar kerajaan yang ada kepada kerajaan yang lebih telus dan adil. Sokongan mereka jelas kelihatan dengan sorakan dan tepukan setiap kali penceramah mendedahkan kepincangan kerajaan hampir disegenap penjuru. Penulis berasa benar-benar teruja dengan sokongan yang ditunjukkan dan mengimpikan sokongan yang sama daripada masyarakat Melayu. Seandainya orang Melayu dapat berubah seperti yang ditunjukkan oleh kaum Cina, Johor akan melalui proses perubahan besar dalam pilihanraya yang akan datang.

Penulis yakin kemenangan ini tidak mustahil untuk dicapai berdasarkan petunjuk yang ada. Ketika berjalan meninggalkan dewan makan setelah program tamat, penulis telah dihampiri oleh seorang anak muda berbangsa Cina yang menyatakan bahwaa kini masyarakat Cina sudah tidak takut lagi untuk mengundi PAS. Bahkan mereka kini benar-benar bersedia untuk mengundi Pakatan Rakyat. Anak muda ini meminta pihak pimpinan PAS supaya kerap turun untuk bertemu mereka bagi menjalin hubungan.

Senario ini sememangnya sudah disedari oleh pimpinan PAS disegenap peringkat bahkan PAS beranggapan perkembangan sokongan masyarakat bukan Islam terhadap PAS amat memberangsangkan. Apa yang merungsingkan kami ialah sokongan daripada orang Melayu. Tumpuan gerak kerja PAS sekarang ialah memberi penerangan yang menyeluruh kepada mereka bahwa PAS bersedia bahkan mampu menggantikan UMNO dalam memperjuangkan nasib mereka. Inilah yang menjadi tumpuan PAS dan perkara ini sedang direalisasikan di PRK DUN Tenang yang akan berlangsung sedikit masa lagi.

Seandainya perkara ini menjadi kenyataan, maka Pakatan Rakyat sudah boleh membuat persiapan awal untuk mentadbir Negeri Johor. Dengan gerak kerja yang tersusun dan pendekatan mesra bagi menyantuni hati budi Melayu, masyarakat yang dahulunya amat jauh dengan PAS kini sudah boleh didampingi. Penulis yang turun sendiri ke Felda Cempelak Barat dapat menyaksikan perubahan ini sedang berlaku. Cemuhan dan herdikan kepada petugas PAS terutamanya Muslimat, sudah tidak berlaku lagi. Bahkan mereka di layan dengan baik walaupun hasrat untuk tidak berubah dizahirkan dengan jelas. Bagi generasi muda, hampir 70% daripada mereka sudah menyatakan sokongan kepada Pakatan Rakyat. Inilah senarionya sekarang. UMNO sudah tidak boleh mendabik dada dengan menyatakan Felda ialah kubu kuat mereka. Kehadiran ANAK benar-benar mampu merubah lanskap politik masyarakat Felda yang selama ini diketahui amat condong kearah UMNO/BN.

Semoga kerja buat yang dilakukan ini dibalas oleh Allah swt dengan kemenangan di DUN Tenang. Insya'allah.

ALLAHUAKBAR!


Rabu, Januari 12, 2011

Janji 100 Hari Untuk Rakyat, Bukan Untuk Kroni Najib

Parti Islam Se-Malaysia PAS berasa hairan dengan kenyataan Datuk Seri Najib Tun Razak yang mengatakan janji 100 hari Pakatan Rakyat akan membawa anak cucu merana kerana tidak ada kemampuan kewangan.

Sepatutnya seorang Perdana Menteri mesti berfikiran positif apabila perancangan baik untuk rakyat di negara ini. Apakah salah apabila Pakatan Rakyat mengemukakan rancangan untuk manfaat majoriti rakyat? Salahkah Pakatan Rakyat hendak menghapuskan Felda Plantation dan membuka ladang-ladang baru kepada generasi kedua dan ketiga? Salahkah Pakatan Rakyat hendak menyusun kembali tol yang dianggap sebagai penyebab bebanan terpaksa ditanggung oleh rakyat dengan peningkatan kos operasi. Salahkah Pakatan Rakyat untuk memberi imbuhan bulanan tambahan kepada guru RM500 sebulan?.

Datuk Seri Najib cuba menimbulkan keraguan tentang kemapuan kewangan jika janji 100 hari dilaksanakan. PAS mengucapkan terima kasih kepada Datuk Seri Najib kerana baru sedar tentang hal ini, kalau hendak belanja ukurlah kemampuan dahulu. PAS juga hendak mengingatkan kepada Datuk Seri Najib, janganlah kalau untuk kepentingan rakyat umum, tidak mampu, tetapi untuk kepentingan kroni mampu pula diluluskan peruntukan. Adakah Datuk Seri Najib sudah ambil kira kemampuan kewangan negara ketika mencadang untuk membina Menara Warisan 100 tingkat?. Wang sebanyak RM5 bilion mampu membina 1667 buah sekolah yang bernilai RM3 juta sebuah dan mampu memberi biasiswa pelajar perubatan seramai 5 ribu orang di United Kingdom dengan kos RM1 juta seorang dan boleh menampung biasiswa 10 ribu pelajar di fakulti perubatan di Mesir. Kenapa peruntukan untuk Koridor Ekonomi Pantai Timur (ECER) yang boleh dimanfaatkan hampir 3 juta di tiga negeri hanya RM178 juta iaitu 3.6% daripada kos pembinaan Menara Warisan

Apakah peruntukan untuk PERMATA yang dikendalikan oleh Datin Rosmah sebanyak RM111 juta tidak membazir, sedangkan untuk Sekolah Agama Rakyat RM95 juta.

PAS berasa hairan dengan kenyataan seorang Perdana Menteri yang mengatakan negara kita akan menjadi seperti negara Greece kalau ikut perancangan PR. Kenyataan yang sama juga ketika PAS memerintah di Kelantan pada tahun 1990. Pemimpin Umno mendakwa PAS hanya mampu memerintah selama 3 bulan sahaja. Dakwaan mereka hanya menurut kaca mata mereka yang penuh dengan rasuah, ketidakcekapan dan salah urus. Begitu juga ketika kerajaan Pakatan Rakyat Selangor memberi air percuma sebanyak 20 meter padu, pemimpin Umno kata ini perbelanjaan membazir. Pendek kata untuk rakyat semuanya membazir, kerana bimbang apabila rakyat senang, BN tidak ada harapan untuk menjerat leher pengundi dalam setiap pilihanraya.

PAS ingin menjawab keraguan Perdana Menteri Malaysia ragu tentang daripada mana sumber yang akan PR perolehi. Antara sumbernya ialah kita akan memerangi rasuah yang menyebabkan wang negara hilang sebanyak RM28 bilion. Pakatan Rakyat tidak akan membuat Persidangan Wanita Pertama seperti kendalian Datin Rosmah selama 3 hari hampir RM4.5 juta. Subsidi untuk penjana kuasa bebas sebanyak RM19 bilion perlu dikaji semula kerana membebankan negara.

PAS berkeyakinan janji 100 hari, Pakatan rakyat mampu laksanakan, berdasarkan pengalaman di Kelantan yang mampu memberi kebajikan kepada rakyat walaupun sumber yang terhad. Keadaan berbeza apabila Pakatan Rakyat memerintah di peringkat pusat yang mempunyai sumber kewangan yang lebih luas untuk dijanakan bagi manfaat rakyat.

Ustaz Idris Ahmad

Ketua Penerangan PAS Pusat

Isnin, Januari 10, 2011

Tenang oh Tenang...!

Sabtu lepas penulis sekeluarga telah ke Labis untuk bertugas di UPU Cempelak Barat, tempat dimana kami diamanahkan. Seawal pagi kami bertolak bersama lima orang petugas muslimat. Tujuan kesana bukannya untuk berkempen, hanya sekadar mengenal penduduk setempat dan meninjau keadaan dan persekitaran sebelum bemulanya tugas sebenar. Lagipun SPR dah maklum tentang larangan berkempen sebelum tarikh penamaan calun dibuat.

Sepanjang perjalanan kami kesana, memang tidak nampak suasana pilihanraya lagi. Kalau ada pun bendera, tidaklah sebanyak mana. Hanya sekadarnya sahaja. Dipekan Labis bendera BN dan PR hanya kelihatan dibilik gerakan masing-masing. Suasana kehangatan sebenar PRK belum dirasai.

Suasana berbeza apabila kami memasuki kawasan penempatan peneroka Felda. Pada hari itu, kelihatan berderet-deret bas sekolah dan persendirian dikiri kanan jalan Felda Cempelak dan Cempelak Barat. Bendera tak perlu diceritakan lagi. Suasananya seolah-olah pilihanraya akan berlangsung esuknya. Ditiang-tiang lampu tergantung banner Program Gerak Mesra anjuran Felda. Khabarnya pengerusi Felda yang baru turun bersama isteri bertemu masyarakat peneroka. Bermacam-macam habuan yang diberikan. Jalan menuju kerumah penginapan kami kini sedang giat diturap. Inilah demam pilihanraya. Bersungguh benar UMNO bertumpu di kawasan Felda yang merupakan talian hayat mereka.

Persoalannnya ialah tentang sikap 'double standard' SPR yang melarang mana-mana parti politik berkempen sebelum penamaan calun. Sekiranya dari pihak pembangkang, larangan ini akan terpakai tetapi jika dari pihak kerajaan semuanya ok sehingga pengarah pelajaran negeri berkempen pun tak apa. Patut juga blog tukartiub menulis 'kalau pilihanraya boleh mengubah kerajaan, dah lama pilihanraya di haramkan di Malaysia'.

Hari tu kami diminta oleh Pengarah UPU membuat culaan untuk mengetahui kecenderungan pengundi di Cempelak Barat. Petugas muslimat telah diarah untuk melaksanakan tugas tersebut dan mereka telah berjaya melaksanakannya sebaik mungkin. Rata-rata para pengundi yang ditemui memberi respon yang baik walaupun masih mahu kekal dengan BN. Ada juga yang meluahkan rasa tidak puashati dengan kerajaan dan telah membuat persiapan untuk melakukan perubahan. Walaupun angkanya tidak besar, namun sikap keterbukaan yang ditunjukkan sudah menampakkan perubahan minda dikalangan peneroka Felda. Kehadiran muslimat PAS telah diterima dengan baik walaupun bendera UMNO dan BN berkibaran dihalaman rumah mereka.

Petugas PAS yang sudah berkampung di felda berkenaan sejak 26 Disember lagi, telah dikenali oleh masyarakat setempat. Kehadiran kami dimasjid pada setiap waktu solat, telah mula disenangi oleh penduduk setempat. Ada yang mengundang kerumah untuk beramah mesra dan tak kurang juga yang menjemput kemajlis kenduri. Jemputan ini telah dipenuhi oleh para petugas yang sememangnya diarah agar menyantuni hati budi pengundi. Pendekatan yang diambil ini telah sedikit sebanyak berjaya mendekatkan PAS dan menyampaikan mesej yang dibawa kepada penduduk setempat.

Apa yang dapat penulis simpulkan setakat ini ialah masyarakat peneroka yang dahulunya terkongkong dengan alunan UMNO, sudah mula membuka mata. Pendedahan demi pendedahan yang dilakukan oleh ANAK melalui Sdr. Mazlan Aliman telah berjaya merungkai segala permasalahan yang dihadapi oleh peneroka selama ini. Buktinya, kehadiran PAS sudah mula disenangi mereka terutama golongan muda yang merupakan generasi kedua peneroka. Sanggahan timbalan menteri yang menjaga hak ehwal peneroka terhadap pembangkang, sudah tidak diambil peduli lagi. Mereka sudah tahu membezakan antara yang hak dan yang bathil. Ibarat kata Tok Guru : Dapat gula kacau, dapat kain pakai, dapat kertas undi PANGKAH BULAN!

TAKBIR !


Jumaat, Januari 07, 2011

Eksperimen Rakyat Memilih Pakatan Rakyat Dalam PRU 2008 Tepat.

Gesaan Datuk Seri Najib Tun Razak supaya rakyat jangan membuat ekperimen dalam politik untuk menukar kerajaan yang sedia ada, kerana ia akan mendatangkan masalah kepada rakyat pada masa akan datang. PAS berpandangan ucapan Datuk Seri Najib sempena tahun baru 2011 satu pemikiran ke belakang bukan kehadapan walaupun beliau ini terkenal degan slogan retorik, namun dalam tindakan beliau masih berfikiran sempit seolah-olah negara ini hanya boleh ditadbir oleh BN sahaja.

PAS hendak mengingatkan kepada Datuk Seri Najib, tugas pemimpin ialah berfikir untuk menyenangkan rakyat bukan menyusahkan rakyat. Gaji yang sudah lumayan diberikan kepada kepada pemimpin negara adalah wajar dibalas balik dengan merangka strategi untuk kebaikan rakyat bukan sebaliknya.

PAS berpendapat rakyat yang membuat eksperimen untuk menukar kerajaan negeri dalam Pilihanraya Umum 2008 dahulu adalah tepat. Kebahagiaan rakyat yang dapat diukur seperti banyak program-program kebajikan untuk rakyat seperti air percuma di Selangor, skim kifalah untuk warga emas, bantuan sekolah agama rakyat, Tamil dan Cina, bantuan kemasukan universiti, walaupun menghadapi kekangan kewangan di peringkat negeri. Kesemua ini tidak pernah difikir oleh pemimpin Umno sepanjang 53 tahun memerintah. Jika pemikiran yang ada pada pemimpin Pakatan Rakyat yang memerintah negara ini rakyat tidaklah susah sebegini rupa dengan tekanan hidup yang teruk, kuasa membeli semakin menurun, kualiti hidup sudah merosot.

Apakah salah rakyat membuat eksperimen untuk beralih pemerintah yang selama ini mengkhianati amanah rakyat? Akibat rakyat masih belum buat ekperimen untuk menumbangkan Barisan Nasional di peringkat pusat maka rakyat dibeban dengan cukai perkhidmatan 6% daripada 5%. Barang makanan naik 10%, Persatuan Peniaga Kedai Kopi Selangor dan Wilayah Persekutuan akan menaikkan kopi dan teh susu sebanyak 20 sen mulai 1 Jan 2011. Apabila barang naik menteri cuba hendak tunjuk hero bela rakyat dan marah kepada peniaga, pada hal yang buat fasal ialah pemimpin BN yang bertindak menaikkan minyak petrol walaupun negara kita pengeluar minyak.

Eksperimen yang dibuat oleh rakyat sehingga menumbangkan kerajaan BN telah menyebabkan pelabur asing yakin dengan kemampun kerajaan Pakatan Rakyat, buktinya pada 21 Okt 2010 - Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia, Datuk Mukhriz Mahathir mengakui "Negeri yang paling tinggi menerima kemasukkan FDI adalah Selangor dengan pelaburan sebanyak RM5.66 bilion, yang kedua tinggi adalah Johor iaitu di bawah kerajaan Umno-BN, yang ketiga dan keempat adalah Pulau Pinang dan Kedah manakala Perak pula di tempat yang kelima”.


PAS hendak berpesan kepada Presiden Umno sudah cukuplah Umno BN mengkhianat amanah rakyat, dan janganlah ugut rakyat, mereka sudah mempunyai jiwa merdeka dan tahu beza mana kerajaan yang amanah dan kerajaan yang bernanah.


Ustaz Idris Ahmad

Ketua Penerangan PAS Pusat

Minyak Naik Untuk Bela Korporat, Rakyat Melarat

Menjadi kelaziman biasa, ketika minyak naik kerajaan memberi alasan untuk mengurangkan sabsidi petrol untuk 27 juta rakyat sebanyak RM 11 bilion, tetapi untuk penjana bebas (IPP) milik kroni tidak dikurangkan subsidi sebanyak RM19 bilion. Rakyat Malaysia tidak dengar sepatah perkataan daripada pemimpin yang kononnya rakyat didahulukan akan menarik balik subsidi untuk IPP. Apa yang kita kedengaran ialah subsidi untuk rakyat ditarik setiap bulan dengan kenaikan harga minyak.

Kerajaan yang ada tidak pernah memikirkan penderitaan dan keperitan rakyat sehingga berkerut dahi membayar yuran sekolah anak di awal pengajian. Belum sempat bernafas, datang pula berita kenaikan harga minyak RON 97. Layaklah singkatan BN, ialah barang naik, bila naik baru naik, berapa naik, banyak naik dan BN “Bala Nanti”.

Ustaz Idris Ahmad

Ketua Penerangan PAS Pusat

KENYATAAN MEDIA PRESIDEN PAS : Krisis Pelantikan Jawatan SUK Selangor

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) menganggap bahawa krisis perlantikan jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (SUK) yang sedang berlaku ini adalah akibat sikap kerajaan pusat yang tidak menghormati pilihan rakyat Selangor yang telah memilih Pakatan Rakyat sebagai kerajaan negeri tersebut.

Perlu diketahui bahawa segala peraturan pengurusan perjawatan dan perkhidmatan pegawai adalah sebenarnya dirangka dengan matlamat melaksanakan urusan pentadbiran sesebuah kerajaan supaya lebih efisyen, menjaga kepentingan rakyat, jauh dari sikap menekan apatah lagi menzalimi mana-mana kerajaan yang dipilih oleh rakyat. Dalam pilihanraya yang lalu rakyat sudah memilih Pakatan Rakyat sebagai kerajaan yang sah di Selangor. Di atas asas yang sama maka sepatutnya agensi yang membuat pelantikan perkhidmatan awam di peringkat persekutuan memahami hasrat rakyat tersebut.

Mereka sepatutnya mengambilkira budi bicara dalam membuat pelantikan, dengan memahami hasrat serta kehendak kerajaan negeri Selangor ini khususnya dalam perlantikan SUK. Sikap melawan kehendak pentadbiran kerajaan Selangor ini dilihat suatu tekanan dan berlaku akibat dari fahaman salah konsep federalisma yang dianut oleh kerajaan pusat pimpinan UMNO-BN.

Kita semua menyedari bahawa UMNO-BN tidak pernah menghormati undang-undang yang mereka sendiri gubal, sehingga mereka sanggup melanggarnya demi kepentingan politik sempit mereka. PAS mengingatkan bahawa usaha pencabulan konsep Federalisma ini akan mengakibatkan berlakunya kebangkitan luar biasa rakyat di peringkat nasional. Kerajaan UMNO-BN ini berusaha untuk merampas kerajaan Selangor dengan menggunakan peruntukan pentadbiran bagi mewujudkan suasana keresahan dalam pentadbiran kerajaan, semuanya dengan cara yang tidak bertamadun dan di luar batas demokrasi. Rampasan ini jugalah yang mereka telah lakukan di negeri Perak dengan menjadikan rakyat sebagai pertaruhannya. Apapun, kita percaya bahawa rakyat akan memberi respon di seluruh negara dalam pilihanraya yang akan datang dengan menukar kerajaan yang ada kepada Pakatan Rakyat.

PAS juga ingin mengingatkan kepada UMNO-BN, bahawa langkah apa sekalipun yang digunakan untuk menongkat kelemahan di pihak mereka, ianya tidak akan menjamin BN untuk terus kekal sebagai pemerintah. Dunia telah membuktikan tidak ada kerajaan yang kekal selamanya termasuk UMNO-BN.


Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang
Presiden PAS
1 Safar 1432 H/ 6 Januari 2011