Selasa, Mei 25, 2010

SEORANG MUSLIM BERTINDAK MENURUT PRINSIP AL-QURAN DAN BUKAN PRINSIP MAJORITI

Salah satu sifat terpuji seorang Muslim yang beriman kepada ALLAH ialah tidak bertindak menurut pendapat dan prinsip majoriti sebaliknya mengutamakan sesuatu perkara yang dicintai ALLAH dan juga mengikut suara hatinya walau dalam apa keadaan sekalipun. Bagi individu sedemikian, kata-kata juga reaksi manusia lain tidak penting baginya. Seorang Muslim hanya menitikberatkan apa yang ALLAH redha dan matlamat terakhirnya ialah untuk mempamerkan akhlak terbaik sepertimana yang telah digariskan di dalam Al-Quran.

Kesempurnaan akhlak yang seharusnya dipamerkan oleh individu Muslim ini banyak dilihat pada kalangan rasul yang diutus ALLAH. Para rasul tidak peduli walau sedikitpun akan sikap dan gaya hidup yang ditonjolkan oleh orang-orang yang tidak beriman dan hanya patuh pada perintah ALLAH. Lantas, mereka terdedah kepada penindasan dan seksaan oleh orang-orang musyrik, yang mensyirikkan ALLAH hanya kerana para rasul ini beriman kepada ALLAH. Mereka turut berhadapan dengan ancaman bunuh; dipenjarakan, difitnah, diseksa dan dibuang dari tanahair mereka sendiri. Mereka menghabiskan hayat dengan penderitaan dan ada yang syahid di jalan ALLAH.

Para rasul yang bertanggungjawab menyampaikan wahyu yang diturunkan oleh ALLAH seringkali menerima pelbagai ancaman namun mereka tidak pernah mengundur diri apatah mengalah hanya kerana kesukaran yang terpaksa dialami.

ALLAH menunjukkan kesempurnaan moral dan akhlak Muslim sejati dan juga para rasul dalam firmanNYA:

“Dan berapa banyaknya nabi yang berperang bersama-sama mereka sejumlah besar dari pengikut(nya) yang bertaqwa. Mereka tidak menjadi lemah kerana bencana yang menimpa mereka di jalan ALLAH, dan tidak lesu dan tidak (pula) menyerah (kepada musuh). ALLAH menyukai orang-orang yang sabar.” (Ali-Imran: 146)

Salah satu matlamat utama bagi seorang Muslim yang sangat mencintai ALLAH, sepertimana yang telah ditunjukkan oleh para nabi dan rasul, ialah tidak takut akan segala cemuhan oleh mereka yang tidak beriman sebaliknya hanya takut kepada ALLAH sehingga membawa kepada keredhaan ALLAH.

Bagi masyarakat yang tidak hidup berlandaskan pandua Al-Quran, perubahan dalam masyarakat ke arah bertentangan dengan aturan ALLAH akan berlaku. Manusia bertindak mengikut kebijaksanaan dan perasaan masing-masing secara berkelompok. Keadaan ini mendominasi kehidupan mereka. Sistem kehidupan mereka yang sedia ada digantikan dengan sistem yang lebih diterima masyarakat walaupun berbaur ketidakikhlasan dan dibuat-buat yang mungkin mereka sendiri sukar menerimanya. Inilah hasilnya apabila tidak melaksanakan undang-undang ALLAH dalam kehidupan.

Oleh kerana segala amalan dan perbuatan suatu masyarakat itu mudah menarik perhatian, lantas individu yang tidak menjadikan Al-Quran sebagai panduan hidup dengan mudah menutup sebelah mata dan bertindak mengikut golongan itu tanpa mempertimbangkan apa yang bakal mereka hadapi di akhirat kelak. Maka, selanjutnya terhasillah individu yang tidak penyayang, tidak jujur, pentingkan diri dan keuntungan semata-mata juga hilang rasa belas ihsan terhadap manusia lain. Individu sombong ini penuh dengan dendam, tamak haloba dan gemar menabur fitnah juga mencetus pergaduhan. Walaupun mereka yang memilih jalan hidup sebegini mengalami kesengsaraan akibat daripada perbuatan mereka sendiri, mereka kekal dalam keadaan ini sepanjang hidup mereka oleh kerana manusia lain turut memilih cara hidup seperti mereka dan mungkin juga kerana menganggap telah ditindas, dikalahkan dan tiada tempat perlindungan. ALLAH menukilkan ini dalam firmanNYA:

“Dan jika kamu menuruti kebanyakan orang-orang yang di muka bumi ini, nescaya mereka akan menyesatkanmu dari jalan ALLAH. Mereka tidak lain hanyalah mengikuti persangkaan belaka dan mereka tidak lain hanyalah berdusta (terhadap ALLAH).” (al-An’am: 116)

Kenyataan inilah yang membedakan dengan orang-orang yang beriman. Seorang Muslim tidak akan mengambil bulat-bulat pendapat majoriti dengan harapan dapat membezakan yang mana baik dan yang mana buruk. Sebaliknya, Al-Quran dan Sunnah dijadikan panduan dalam setiap perkara. Jika ALLAH mentakdirkan suatu keadaan, yang mana pada dasarnya keadaan itu dilihat sebagai mengelirukan juga melanggar syariat, masyarakat seluruhnya pula mengamalkannya, hanya individu yang patuh dan beriman sahaja yang tidak akan mengikut perbuatan kelompok masyarakat ini. Cuma Muslim yang benar-benar taat sahaja memilih untuk patuh pada petunjuk Al-Quran dan Sunnah dan tidak akan melanggarnya. Individu ini beramal dengan petunjuk Al-Quran dan Sunnah pada setiap keadaan dan waktu. Walaupun ada individu lain yang cuba mempengaruhinya ke arah yang bertentangan, namun mereka yakin bahawa ALLAH sentiasa melindungi mereka selagimana mereka benar-benar melakukan sesuatu yang disukai ALLAH dan selari dengan petunjuk Al-Quran dan Sunnah. ALLAH berfirman: “Janganlah kamu bersikap lemah dan janganlah pula kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi (darjatnya), jika kamu orang-orang yang beriman.” (Ali-Imran: 139).

Jika seseorang Muslim itu tidak mengikut kepada prinsip-prinsip majoriti, tidak bermakna dia mengelakkan diri dan berpaling dari masyarakat juga melihat semuanya salah dan menyeleweng. Seorang Muslim akan sentiasa bijak menilai keadaan di sekelilingnya dengan panduan Al-Quran. Sebagai contoh, seorang individu yang mudah marah dan dalam masa yang mudah berkorban. Hanya kerana dia mudah marah, tidak bermakna kita terus menolak kualiti pada dirinya yang mudah mengorbankan diri untuk kepentingan orang lain, apatah memandangnya sebagai individu yang berperibadi buruk seluruhnya. Seorang Muslim yang benar akan sentiasa menghargai setiap aspek yang berkualiti pada seseorang itu dan dalam masa yang sama membantu individu itu berubah kepada yang lebih baik dengan penuh hikmah dan lemah-lembut.

Seorang Muslim juga sentiasa rasional dan penuh semangat. Walaupun berada dalam suasana yang sukar dan terdedah kepada pelbagai kesusahan, dia sentiasa mencari hikmah dan keindahan dalam aturan ALLAH kerana dia yakin ALLAH akan memberi keindahan pada setiap perkara. Dia sentiasa sedar dan insaf bahawa hanya ALLAH yang mengatur segala agar dia mengambil iktibar dan takut padaNYA. Setiap keindahan yang diciptakanNYA juga adalah perlu untuk dia belajar dan mengambil pengajaran. Oleh yang demikian, seorang Muslim tidak seharusnya mengenepikan prinsip masyarakat secara sepenuhnya. Sebaliknya, Al-Quran dan Sunnah dijadikan panduan dalam setiap perkara dan belajar untuk menghargai segala keindahan pada aturanNYA.

Harun Yahya

Cerita Sarawak.....

Hujung minggu lepas, penulis berada di Kuching, atas urusan peribadi. Pada pagi Ahad tu, berkesempatan pula bersarapan dengan kawan lama yang menjadi orang penting di salah sebuah kementerian di Negeri Sarawak. Banyak yang disembangkan, dari kisah-kisah lama, keluarga, kerjaya dan bisnes, tidak ketinggalan cerita politik tanahair terkini, khususnya PRK Sibu yang baru lepas.

Seronok bersembang dengan pegawai tinggi kerajaan ni. Apatah lagi peneraju kementerian disamping isteri yang bertugas di pejabat Ketua Menteri. Macam-macam cerita yang dapat didengar. Dari dalam dewan sehingga keluar dewan. Tambah seronok lagi semasa pertemuan itu berlangsung, dewan undangan negeri Sarawak sedang bersidang. Banyak maklumat yang diterima tetapi tidak semuanya sesuai untuk dipaparkan disini. Apapun yang nak penulis paparkan ialah tentang kekalahan BN di Sibu dari kacamata peneraju kerajaan.

Pertamanya, sebelum bicara bermula secara panjang lebar, sahabat ini memberitahu bahwa beliau tidak ke Sibu semasa tempuh kempen berlangsung. Alasan yang diberi kerana terlalu ramai pemimpin dari Semenanjung yang datang. Janji yang ditabur terlalu banyak hingga menyesakkan nafas sekiranya ia perlu ditunaikan. "Bagus juga kalah....tidaklah membebankan" ujarnya.

Sahabat ini mengakui bahawasanya BN tidak akan menerima kemenangan mudah dalam pilihanraya akan datang, samada negeri atau umum. Seandainya momentum yang ditunjukkan oleh masyarakat Cina dan pengundi muda berterusan, mereka berkemungkinan besar akan kehilangan kerusi-kerusi bandar dimana para pengundinya menerima berita daripada saluran-saluran alternatif. Ini amat dibimbangi kerana trend pengundi muda dan bukan Melayu sedang menuju kearah menolak kerajaan pimpinan Barisan Nasional.

Sambil menikmati sate dipagi hari berserta teh panas, penulis hanya menampilkan diri sebagai pendengar yang baik tanpa sebarang komen dan provokasi membangkang. Membiarkan sahabat ini berbicara tentang kerunsingan kerajaan yang sedang memerintah amat menyeronokkan. Semangat nasionalisnya amat menebal. 'Inilah kesan indroktinasi penjajah kepada anak jajahannya', bisik hati penulis. Yang tersemat didalam benak pemikirannya ialah nasib anak bangsa, 'apa kesudahnnya sekiranya negara ini bukan lagi ditadbir oleh Barisan Nasional'. Khurafat besar yang pernah disuarakan oleh al-marhum Dato' Fadhil Noor semasa hayat beliau.

Sambil ketawa sinis, penulis mengingatkan sahabat ini, sesungguhnya trend masyarakat sudah berubah. Parti yang berasaskan bangsa, kini telah mula ditolak. Sambil mengiyakannya dengan nada yang sukar, sahabat ini tetap cuba mempertahankan hujah nasionalisnya. Begitulah acuan pemikiran para peneraju dan pejuang yang berprinsip assabiyah. Dikala menerima kenyataan, masih tetap mempertahankan hujah dangkal mereka.

Apapun, penulis tetap berpendirian bahwa masyarakat Malaysia sudah pun membuat keputusan dan kini menanti untuk dimanifestasikan ke dalam kotak-kotak undi. Sama-samalah kita melihat perubahan besar ini direalisasikan dalam pilihanraya umum yang akan datang yang penulis rasakan sudah semakin hampir.

BERPADU - BERUBAH - BERKAT


Rabu, Mei 19, 2010

Apakah rakyat Sarawak Sudah Bersedia Membuat Perubahan?

Semasa menerima berita kemenangan DAP di Sibu, penulis sedang dalam perjalanan ke Taiping, Perak atas urusan kerja. Jam ditangan waktu itu menunjukkan jam 8.30 malam. Dalam kesunyian malam, sambil menikmati alunan muzik manakala kenderaan menyusuri lebuhraya PLUS dalam keadaan hujan, tiba-tiba terdengar bunyi handphone menandakan ada mesej masuk. Sambil meraba kacamata untuk membaca, terpapar mesej yang berbunyi "Rancangan Tergendala Sebentar : DAP menang.....DAP menang....Dap menang". Begitulah bunyi mesej yang diterima dari seorang sahabat sehingga penuh skrin telefon. Excited betul.....

Penulis pun menghubungi rumah untuk mendapatkan pengesahan berita. Si isteri yang sentiasa menjadi penyampai khabar ketika penulis bertugas diluar memaklumkan, pengumuman belum dibuat lagi. Itu petanda bahwa berita tersebut ada kebenarannya. Lantas penulis terus menghubungi Sdr Mazlan Aliman pula. Ketika dihubungi beliau sedang menghadiri majlis kesyukuran di Hulu Selangor dan membenarkan berita tersebut tetapi tidak berani mengesahkannnya lagi kerana khuatir penipuan BN disaat-saat akhir. Walau apa pun, penulis berkeyakinan DAP mampu menang dan keyakinan ini sudah terpahat dihati sejak kosongnya kerusi parlimen tersebut kerana melihatkan konsistennya masyarakat Cina mengekalkan momentum untuk menolak BN. Hal ini penulis suarakan ketika menikmati jamuan setelah selesai majlis perasmian mesyuarat agung PAS Kawasan Kulaijaya kepada wakil rakyat Senai dari DAP YB Ong Kow Meng.

Esuknya, selepas solat subuh penulis sudah mengadap 'netbook' untuk mendapatkan berita daripada akhbar arus perdana. Semua akhbar mengesahkan kemenangan DAP tetapi hanya akhbar The Star sahaja yang menjadikan kemenangan itu sebagai tajuk utama. Akhbar berbahasa melayu, seperti biasa hanya memaparkan dalam ruangan yang kecil sahaja, sangat berbeza dengan berita kemenangan BN di Hulu Selangor. Begitulah hipokritnya akhbar Melayu dalam menyampaikan berita kepada rakyat. Tidak hairanlah jika ada sahabat yang sewaktu berkempen di salah sebuah rancangan Felda di Hulu Selangor mengatakan, peneroka disana masih menyangka bahwa Menteri Besar Selangor ialah Khir Toyo. Kesiaaaaan....(teringat dialog P.Ramlee dalam filem Madu Tiga).

Kemenangan ini meyakinkan lagi pendapat penulis bahwa masyarakat Cina benar-benar mahukan perubahan pucuk pimpinan negara. Kalau momentum ini berterusan dan masyarakat di Sarawak juga sudah berani menukar wakil rakyat mereka, kedudukan BN yang dikatakan dominan di Johor juga dilihat sedikit goyah. Apa tidaknya, bukankah BN mendominasi rakyat di Sarawak selama ini sehingga mampu menyelamatkan kerajaan pusat daripada terlepas kepada Pakatan Rakyat. Sebut saja BN di Sarawak, ceruk manapun ia bertanding, pastinya lawan akan menghadapi kesukaran untuk menang, apatah lagi Pilihanraya Kecil. BN yang turun dengan segala jentera kerajaan sambil menabur pelbagai janji dan projek, mustahil lawan dapat menandingi mereka. Tetapi apabila rakyat bijak menggunakan kuasa mereka dan berani membuat perubahan, BN tergolek dengan janji dan projek yang ditabur.

Kemenangan ini menunjukkan bahwasanya, kekuatan BN kini hanya tinggal dikalangan Melayu yang berada di tanah rancangan Felda sahaja. Kerana Melayu kampung di Sibu sudah pun memangkah DAP. Ini dibuktikan dengan peningkatan undi sebanyak 30% yang diterima oleh DAP dari kalangan masyarakat Melayu Melanau. Kalau orang di Sarawak sudah pun berani membuat perubahan, takkanlah Melayu di Semenanjung yang jauh terkehadapan dari segi teknologinya masih terperap dibawah ketiak BN. Malu dan memualkan.......

Penulis masih ingat pelekat yang penulis tampal di belakang kereta semasa era reformasi dahulu 'RAKYAT HAKIM NEGARA', satu slogan yang harus difahami oleh setiap rakyat yang berada didalam negara yang mengamalkan sistem demokrasi. Persetan dengan segala ugutan, kekangan, halangan dsb. Apa yang pasti ialah kita menjadi hakim kepada para pemimpin yang jahat, korup, penipu, zalim, menindas, merampas dan namakan saja segala yang buruk. Tiba masanya kita yang akan menentukan kedudukan mereka. Ajar mereka dengan sebatang pensil. Gunakan kuasa yang ada. Sama-samalah kita membuat perubahan.

Tahniah buat penduduk Sibu! Semoga semangat ini akan terus direalisasikan di dalam pilihanraya umum yang akan datang....



Rabu, Mei 12, 2010

Taubatnya Sekumpulan Perompak.

Pada suatu hari sekumpulan perompak sedang mara kesebuah gurun pasir untuk menjalankan kegiatan harian mereka memeras ugut setiap orang yang lalu di jalan itu dan mengambil barang-barangnya. Kerana seronoknya merompak dan mencuri, mereka tidak sempat balik ke markas sehingga malam. Mereka pun mencari tempat bermalam dan berjumpa dengan sebuah rumah yang dihuni oleh sepasang suami isteri dan anknya. Mereka pun mengetuk pintu rumah itu.

Penghuni rumah keluar dan ternyata sekumpulan orang bersenjata lengkap berdiri di hadapan pintu.
"Siapa kalian ini?" tanya tuan rumah.

Ketua perompak menerangkan bahwa mereka adalah sebahagian dari psukan tentera yang sedang berperang. Oleh kerana waktu telah malam, perang dihentikan dan mereka terpaksa mencari tempat untuk bermalam.
"Bolehkah kami ini bermalam di rumah tuan?" kata ketua perompak.
"Boleh" kata tuan rumah.

Lalu mereka dijemput masuk. Tuan rumah sangat gembira menerima tetamu para pejuang itu. Dia melayan mereka dengan sebaik-baiknya kerana ingin mendekatkan diri kepada Allah swt dan mendapatkan berkat para pejuang yang berperang dijalan Allah.

Kebetulan tuan rumah mempunyai seorang anak yang lumpuh. Walaupun usianya sudah bertahun-tahun, namun anak itu tidak dapat berdiri. Kalau berjalan hanya mengheret atau sambil duduk sahaja. Teringatlah tuan rumah bahwa orang yang berperang dijalan Allah doanya makbul dan sisa-sisa barang yang dipergunakannya mempunyai khasiat tinggi dengan izin Allah. Maka dengan keyakinan dan iktikad yang baik dan tulus ikhlas kerana Allah, tuan rumah mengambil sedikit sisa-sisa air yang dipergunakan oleh tetamunya.

Dia berkata kepada isterinya "Sila lapkan air ini pada anggota tubuh anak kita! Mudah-mudahan Allah menyembuhkannya dengan berkat para pejuang itu".

Si isteri mengikut apa yang diperintahkan oleh suaminya. Dia pun mengelap badan dan kaki anaknya dengan air sisa itu sambil berdoa kepada Allah semoga anaknya dapat berjalan berkat para pahlawan yang sedang berperang yang kini menjadi tetamunya.

Pada pagi hari, para tetamu itu minta izin untuk meneruskan 'perjuangannya'. Mereka pun pergi kesuatu tempat yang telah ditentukan. Disanalah mereka beraksi merompak dan merampas setiap barang berharga yang dijumpainya, maka banyaklah harta yang diperolehinya. Apabila hari telah petang dan menjelang malam, para perompak itu balik kerumah tuan yang ditumpangi. Sebaik saja sampai dihadapan rumah yang mereka tumpangi itu, mereka ternampak anak tuan rumah yang lumpuh itu tiba-tiba tegak berdiri dan berjalan seperti tidak pernah sakit. Mereka sangat hairan kerana pagi tadi anak itu masih berjalan mengheret tubuhnya dan sebelah petang keadaan berubah serta merta.

"Tuan, apakah ini anak yang lumpuh itu?" tanya si perompak.
Tuan rumah menjawab "Ya betul".
"Bukankah pagi tadi kami nampak dia berjalan mengheret tubuhnya?" tanyanya lagi.
Tuan rumah menjawab "Ya betul".

Kemudian tuan rumah menerangkan :"Kami mengambil sisa-sisa air yang dipakai oleh tuan sekalian, kemudian kami lapkan kepadanya dengan harapan semoga Allah menyembuhkannya dengan berkat tuan-tuan sekelaian sebagai tentera yang berjuang di jalan Allah, dan ternyata mujarab".

Mendengar keterangan itu, tiba-tiba para perompak itu menangis dan mencampakkan barang-barang yang ada di tangan mereka. Kemudian dengan terus terang mereka berkata : "Ketahuilah tuan yang baik hati, sebenarnya kami bukanlah tentera yang berjuang di jalan Allah sebagaimana yang kami dakwakan itu. Bahkan kami ini adalah sekumpulan pencuri dan perompak yang merampas barang-barang orang yang lalu lalang. Adapun kesembuhan anakmu itu tak lain hanyalah semata-mata kerana keyakinan dan iktikadmu yang tulus ikhlas kepada Allah".

Tuan rumah bersama isterinya sangat terkejut mendengar pengakuan tetamu yang dihormatinya itu. Walaubagaimana pun kedua-duanya sangat gembira kerana anaknya telah disembuhkan oleh Allah swt kerana keikhlasan dan keyakinannya dalam memberikan ubat pada anaknya.

Para perompak terus menangis dan sangat terharu terhadap keikhlasan tuan rumah yang melayani mereka. Kini mereka sedar akan kelakuan yang menyimpang selama ini. Kemudian mereka berkata : "Sekarang kami telah sedar, dan kami bertaubat kepada Allah".

Sejak peristiwa itu, para perompak bersenjata itu telah merubah corak kehidupan mereka daripada merompak dan mengugut kepada perjuangan di jalan Allah. Mereka bergabung dengan pasukan Islam menentang musuh. Senjata yang dahulunya digunakan untuk mengancam mangsa yang tidak berdosa, kini digunakannya untuk menyerang orang kafir. Begitulah kehidupan mereka hingga menemui ajal di medan perjuangan.


Isnin, Mei 10, 2010

UMNO Menghalalkan Judi.

Firman Allah yang bermaksud :

"Wahai orang-orang Yang beriman! Bahawa Sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib Dengan batang-batang anak panah, adalah (Semuanya) kotor (keji) dari perbuatan syaitan. oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya."
(al-Maidah : 5 : 90)

Firman ini jelas memberitahu kepada penganut Islam bahwa judi itu haram disisi Allah swt dan ia merupakan perbuatan keji yang bersumberkan syaitan laknatullah. Bagi mereka yang ingin berjaya, maka mereka hendaklah menghindarkan diri daripada 4 perbuatan yang telah digariskan oleh Allah swt dari firman tersebut. Tiba-tiba, menjelang bolasepak piala dunia yang akan berlangsung di Afrika Selatan pada bulan Jun ini, Malaysia hendak memberi lesen kepada kaki 'bookie' bagi mengelakkan penipuan dalam pertaruhan yang disertai. Ironinya, cadangan itu datang daripada seorang menteri yang beragama Islam, bermazhab UMNO.

Semasa PRK Hulu Selangor, bukan main marah lagi mereka apabila Pakatan Rakyat meletakkan calon yang pernah minum arak, berbanding calon mereka yang hanya minum air sejuk menurut Muhyidin Yassin. Sungguh Islamik UMNO ketika berhadapan dengan Dato Zaid Ibrahim, mengajak rakyat menolak calon yang berdosa kerana meminum arak yang jelas haram disisi Islam. Maka Dato Zaid telah dihukum, apabila rakyat Hulu Selangor menolak beliau daripada menjadi calon mereka di Parlimen.

Selang beberapa minggu selepas itu, keluar pula kenyataan Timbalan Menteri Kewangan Dato' Awang Adek Hussien, untuk memberi permit kepada para 'bookie' bolasepak piala dunia. Untuk makluman para pemegang mazhab UMNO, arak dan judi itu sama aje dosanya bahkan tergolong dalam amalan-amalan dosa besar dan seringkali Allah menggandingkan arak dan judi di dalam al-Quran sepertimana Allah menggandingkan solat dan zakat.

Memberi lesen untuk berjudi adalah lebih besar dosa besarnya jika dibandingkan dosa besar orang yang berjudi, kerana memberi lesen bererti ia bukan sahaja melanggar perintah Allah swt tetapi ia juga telah menghalalkan apa yang di haramkan oleh Allah. UMNO yang begitu Islamik di Hulu Selangor ternyata hipokrit seperti yang didakwa oleh Dato' Zaid. Memang benarlah apa yang ditulis dalam satu artikel yang sempat penulis baca, yang mengatakan perjuangan UMNO hanyalah untuk mengekalkan status-quo mereka, bukannya mendidik bangsa. Amalan 'pragmatik' dalam politik UMNO, dilihat dengan jelas melalui kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan oleh pemimpin mereka dalam menabur janji kepada rakyat. Mereka akan bertukar wajah dan corak apabila berhadapan dengan masyarakat mengikut suasana dan keadaan seperti seekur binatang yang diberi nama 'sesumpah' bertukar rupa setiap kali bertukar tempat.

Antara langkah pertama yang dilaksanakan oleh Tok Guru Nik Abd Aziz Nik Mat apabila mengetuai Kerajaan Negeri Kelantan ialah menutup permis-permis judi dan memindahkan akaun kerajaan negeri dari bank konvesional kepada Bank Islam. Satu tindakan yang selaras dengan tuntutan agama bagi menghindari judi dan riba'. Inilah bezanya antara politik Islam yang berprinsip dengan politik sekular yang pragmatik. Malangnya perbezaan jelas ini gagal dilihat oleh orang Islam keturunan Melayu yang masih tidak bersedia untuk berbeza pendapat dengan sang pemerintah, sehingga membuatkan UMNO begitu dominan dalam hati mereka. Sebutlah apa sahaja, asalkan ianya dari UMNO maka semuanya betul dan sah.

Baru-baru ini penulis dan pimpinan berkunjung ke Felda Bukit Permai dan Kg. Murni Jaya sebagai susulan kepada Program Titian Kasih yang pernah diadakan di penghujung tahun 2009. Rombongan kami telah berkunjung ke beberapa keluarga miskin dengan membawa sedikit sumbangan berbentuk barang makanan, pakaian dan wang ringgit. Melihat kedaifan penduduk Melayu khususnya di Kg. Murni Jaya, terlintas di benak pemikiran penulis "beginikah UMNO melayan anak bangsanya setelah lebih 50 tahun Tanah Melayu merdeka?". Penulis yakin, mereka ini adalah pengundi tegar UMNO/BN. Kenyataan ini terbukti dengan jumlah undi yang kami terima di setiap kali Pilihanraya. Peratus undi kami tidak pernah mencecah 10%. Tetapi atas dasar Islam dan slogan 'Membangun Dengan Islam' yang dipegang, kami tetap teruskan usaha dakwah ini walaupun tanpa menaruh sebarang harapan meraih undi. Sebab kami yakin kemenangan itu milik Allah swt dan kami hanya melaksanakan perintahNya.

Apa yang sering bermain di fikiran penulis ialah "Bilalah agaknya bangsaku akan berubah?" Mudah-mudahan usaha dakwah dan ziarah yang dilakukan akan membuka hati umat Islam untuk kembali kepada agama mereka yang sebenar. Atau mungkin juga perjuangan yang dilakukan kami, belum sampai ketahap keikhlasan yang membuatkan Allah menangguhkan kemenangan yang dicari. Ternyata masih banyak lagi yang perlu diperbaiki dan dimuhasabahkan.


Beginilah taraf kedudukan Melayu di Johor setelah lebih 50 tahun merdeka di bawah pimpinan UMNO/BN.

Ya Allah! Berikanlah kekuatan bagi kami dan tetapkanlah kami dalam perjuangan suci ini.

AMIN! YA RABBAL ALAMIN!



Ahad, Mei 09, 2010

Lawatan ke Madrasah Al-Masriyyah, Simpang Renggam.

08.05.2010/Sabtu, Rombongan daripada PAS Kawasan Kulai yang diketuai oleh Ketua Pemuda iaitu Tuan Haji Afandi Bin Abdul Samad telah melakukan Lawatan Rasmi Ke Madrasah Al-Masriyyah, Simpang Renggam. Rombongan kami tiba di Al-Masriyyah sekitar jam 4.30 petang dan telah disambut oleh Mudirnya iaitu Al-Fadhil Ustaz Abdullah Bin Hussin yang juga merupakan AJK Dewan Ulama' PAS Pusat.

Lawatan ini merupakan kali pertama seumpamanya dilakukan oleh PAS Kawasan Kulai. Pada pertemuan ini, kami telah diberi taklimat tentang perkembangan terkini Madrasah, pencapaian dll. Pelbagai pengalaman dan rintangan telah ditempuhi dalam mengekalkan pendidikan di Al-Masriyyah sehingga ke hari ini. Beginilah jalan yang telah ditempuhi oleh para pejuang Islam daripada dahulu dan diwarisi oleh pejuang Islam pada hari ini khususnya Pentadbir Al-Masriyyah.

Pada lawatan ini juga, kami menyerahkan sumbangan sebanyak RM3670.00 dan sedikit barangan harian yang disumbangkan oleh ahli-ahli dipelbagai peringkat kepimpinan PAS Kawasan, penyokong-penyokong dan individu-individu yang prihatin mengenai pendidikan Islam. Sesungguhnya sumbangan kami ini amatlah sedikit berbanding dengan pengorbanan yang telah dicurahkan oleh seluruh Warga Al-Masriyyah selama ini.

Semoga pergorbanan mereka sekalian mendapat penilaian yang disisi Allah SWT jua. Insya Allah, kami akan mengadakan lagi lawatan seumpamanya pada masa mendatang. Semoga Allah SWT memberkati usaha mereka dan kami sekalian bagi memastikan pendidikan Islam terus subur dibumi Johor ini, Insya Allah.

Catatan oleh Ahmad Thobroni Bin Abu Bakar,
Setiausaha DPPK Kulai.



Rabu, Mei 05, 2010

Ziarah Keluarga Miskin di Felda Bukit Permai & Kampung Murni Jaya.

02.05.2010/Ahad, Sekitar jam 3.30 petang, Rombongan PAS Kawasan Kulai bersama AJK PAS Pusat, Sdr. Mazlan Bin Aliman telah melakukan agenda turun padang ke Felda Bukit Permai dan Kampung Murni Jaya.

Rombongan kami ini turut disertai Dewan Pemuda, Dewan Muslimat dan Jabatan Amal Kawasan Kulai. Pada ziarah ini, Sdr. Mazlan ada bertanyakan situasi kehidupan semasa keluarga miskin yang tersebut disamping mendoakan kesejahteraan keluarga miskin tersebut. Pada ziarah ini juga banyak memberi peluang kepada kami melihat sendiri kesempitan yang dihadapi oleh penduduk dan kami mengambil peluang ini bagi menghulurkan sedikit sumbangan daripada PAS Kawasan.

Kami terharu tatkala ada penerima yang mengalirkan airmata ketika menerima sumbangan kami yang tidak seberapa ini dan bersyukur kepada Allah akan sumbangan yang diterima ini. Ziarah kami berterusan hinggalah ke keluarga yang ke 10 yang sempat kami jengah pada kali ini berbanding 15 keluarga seperti yang dijadualkan, dalam keadaan masa yang tidak mengizinkan, kami beredar daripada Kampung Murni Jaya sekitar jam 7.00 petang.

Insya Allah, kami akan kembali lagi kesini bagi menyempurnakan tanggungjawab kami kepada masyarakat.



Selasa, Mei 04, 2010

Penyakit Umat Akhir Zaman

Pertahanan diri umat Islam sebenarnya adalah rohnya yang merupakan baju besi maknawi dan rohani dari serangan luar. Gejala-gejala yang tidak sihat yang datang daripada perang saraf dan gerak saraf musuh adalah untuk melemahkan ketahanan iman umat Islam, perpaduan serta ilmu pengetahuan islam. Musuh jika menyerang dari aspek yang lain seperti kekayaan, ketenteraan, itu hanyalah serangan kekuatan sampingan, bukan serangan terhadap kekuatan umat yang utama.

Di akhir zaman ini sudah ramai umat Islam yang kehilangan Tuhan atau tidak memikirkan lagi adanya Tuhan. Hinggakan mereka tidak terasa lagi peranan Tuhan di dalam kehidupan. Walaupun mereka percaya adanya Tuhan, tapi pada mereka kehidupan ini seolah-olah tiada campur tangan Tuhan. Boleh dikatakan, sudah ramai umat Islam yang ‘tidak perlukan’ Tuhan. Jika mereka pandai, pada mereka ini adalah disebabkan usaha mereka semata-mata, tidak kena-mengena dengan Allah.

Jika mereka kaya, berpangkat atau berkuasa, ia adalah kerana kemampuan mereka. Pada mereka, Tuhan sudah tiada kuasa menentukan nasib mereka. Pada mereka, Tuhan itu hanya sekadar ada, peranan-Nya kepada manusia seolah-olahnya tidak ada. Cuma sekali-sekala terasa Tuhan diperlukan, setelah mereka tidak ada kuasa pada diri mereka, seperti sakit, miskin atau dianiaya sesama mereka. Barulah mereka mula berdoa atau meminta kawan-kawan menolong mendoakan keselamatan mereka.

Setelah baik atau senang semula, mereka lupa kembali kepada Allah. Dia tidak diperlukan pula. Sikap ini bukan sahaja berlaku kepada ramai umat Islam di akhir zaman. Bahkan yang kelihatan beragama pun seperti masih bersembahyang, berpuasa, naik haji, sama sahaja.

Orang beragama dengan tidak beragama sudah sama sikapnya. Maka kesimpulannnya, yang paling rosak di waktu ini adalah aqidah umat Islam. Pada mereka Tuhan ada atau tidak ada sama saja. Kalaupun percaya adanya Tuhan, Tuhan tidak diperlukan di dalam hidup mereka. Pergantungan dengan Tuhan sudah tidak ada. Betapa pulalah untuk ditakuti atau dicinta, langsung tidak ada di dalam perasaan mereka.

Side effectnya apa sudah terjadi?

Orang beragama atau tidak, perangainya sama saja. Sama-sama jahat, sama-sama membuat mungkar, sama-sama bergaduh, sama-sama berkrisis.

Sama-sama tidak ada kasih sayang, sama-sama tidak ada bertimbang rasa, sama-sama tidak peduli-mempeduli. Sama-sama tidak sabar, sama-sama tidak pemurah, sama-sama tidak merendah diri.

Mengapakah perangai orang yang beragama dengan yang tidak ada agama sama?

Kerana mereka mengamalkan agama secara tradisi, agama sekadar satu warisan, tidak ada ilmu menyeluruh tentang agama, apalagi dihayati. Yang diharap hanya pahala, pahala, pahala. Pengamalan Islam bukan ditunjangi oleh kerana takut atau cintakan Tuhan, maka sebab itulah ibadah mereka tidak melahirkan akhlak yang mulia. Mereka mengamalkan agama seperti orang Nasrani, Yahudi dan sebagainya. Beragama hanya bila beribadat. Di luar masa ibadat sudah tidak mengamalkan agama lagi. Waktu sembahyang sahaja ingat akan Allah selepas sembahyang lupa kesemuanya. Adakah ini yang akan memberikan kejayaan? Adakah ini yang dituntut oleh Allah?

Maka itu berlaku berkat Tuhan pun tidak turun lagi ke dunia ini. Apabila berkat tidak ada, benda baik pun menjadi mudharat. Tuhan menimpakan bencana kepada sesiapa sahaja tidak kira orang baik atau orang jahat (contoh virus H1N1, gejala social, dan sebagainya) berlaku secara umum di mana-mana. Jika kepada orang jahat itu, sebagai hukuman, kepada orang baik pula sebagai penghapusan dosa atau meninggikan darjatnya.

Makanan yang baik-baik pun sudah hilang berkatnya, sedap dan lazat tetapi membawa penyakit. Penyakit barah yang menakutkan, kencing manis yang merbahaya. Darah tinggi, sakit jantung menyusahkan manusia. Begitulah kalau Tuhan sudah murka kepada manusia, makanan yang halal pun menjadi musuh manusia. Walaupun begitu manusia tidak insaf juga, maksiat dilakukan bertambah berganda-ganda. (Nauzibillah).

Tanpa takut, tanpa bimbang tindakan Tuhan, ajaran Tuhan sekalian alam masih tidak dipedulikan. Tuhan tidak diperjuangkan bahkan dilupakan. Manusia sibuk dengan makan, sibuk dengan minum dan sibuk dengan pakaian.

Sibuk dengan maksiat dan hiburan, sibuk dengan pembangunan dan kemajuan. Tuhan hanya sebagai slogan. Tuhan bukan matlamat hidup, kalimah Tuhan hanya sampingan. Maka, tidak hairanlah Tuhan bertindak. Dia mengarahkan makanan menjadi musuh insan hingga setiap hari manusia menderita disebabkan oleh makanan.

Tidak nampak lagi oleh manusia akan kekuasaan Tuhan…..

Bilakah manusia mahu sedar dan insaf kembali ke pangkal jalan??

Hari ini orang menyebut Allah bukan dari jiwanya. Ia disebut hanya sebagai budaya. Tuhan disebut sekadar untuk menyedapkan bahasa atau kata-katanya…

Renungilah…dan marilah kita muhasabah diri agar hidayah Allah turun kembali ke muka bumi ini.

Allah s.w.t Maha Kaya, Dia tidak perlu kepada makhluk-Nya agar mereka menyembah-Nya. Dialah Zat yang sempurna sifat-Nya yang tidak memiliki kekurangan sedikit pun. Dia tidak akan mati binasa, tidak akan pernah lemah, dan tidak pernah mengantuk. Dia tidak akan pernah jatuh miskin sehingga memerlukan bantuan makhluk-Nya. Allah s.w.t berfirman:

Maksudnya: “Wahai manusia, kamulah yang berkehendak kepada Allah; dan Allah Dialah Yang Maha Kaya (tidak memerlukan sesuatu) lagi Maha Terpuji”. (Surah Fatir, ayat 15)

Allah tidak dapat dilihat oleh makhluk-Nya, sedangkan pada hari akhirat nanti orang-orang mukmin akan dapat melihat Allah. Di dunia Allah s.w.t. telah berbicara dan bercakap-cakap dengan Musa a.s. Allah s.w.t telah mengambil Ibrahim sebagai Khalilullah (teman Allah). Allah s.w.t mengajarkan ilmu hukum kepada Nabi Sulaiman a.s. dan mengajarkan ilmu kepada Nabi Muhammad s.a.w. Allah s.w.t. berfirman:

Maksudnya: “Tuhan menciptakan apa yang Dia kehendaki dan memilihnya”. (Surah al-Qasas, ayat 68)

Sesungguhnya Allah-lah tempat bergantungnya segala sesuatu, maka orang-orang yang sedang kesusahan bergantung kepada-Nya. Allah s.w.t. berfirman:

Maksudnya: “Semua yang ada di langit dan di bumi selalu meminta kepada-Nya. Setiap waktu Dia dalam kesibukan”. (Surah ar-Rahmaan, ayat 29)

Allah Maha Penyabar, dan tiada yang dapat menandingi kesabaran-Nya. Allah Maha Dermawan tiada yang dapat menandingi kedermawanan-Nya. Sesungguhnya tiada orang yang lebih penyayang daripada Allah dan tiada yang paling cepat dalam mengazab melainkan Allah. Allah s.w.t. berfirman:

Maksudnya: “Sesungguhnya Tuhanmu amat cepat seksa-Nya, dan sesungguhnya Dia adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang”. (Surah al-A’raaf, ayat 167)

Oleh itu bagaimana kita hendak mengubati penyakit umat akhir zaman ini?

Kita kena kembali kepada Al-Quran dan Sunnah Nabi s.a.w. Kita kena mengenal Tuhan kita yakni Allah s.w.t. Mengenal Tuhan tidak cukup kalau terhenti setakat akal sahaja. Walaupun kita sudah belajar sifat 20 sehingga faham dan alim, ia belum menjamin kita “kenal” Tuhan. Kita sebenarnya baru “tahu” tentang Tuhan dengan akal. Sedangkan mengenal Tuhan ialah dengan hati, bukan dengan akal.

Hati yang arif dan kenal Tuhannya mampu untuk mengawal diri dari kemungkaran. Jika akal yang ‘tahu’ tentang Tuhan, ia tidak mampu mengawal tuannya dari kemungkaran dan dosa. Dia juga payah untuk berubah dan meningkatkan diri.

Keseluruhannya sifat-sifat Tuhan itu adalah lambang kasih sayang Tuhan terhadap hamba-hamba- Nya. Antara tanda kasih sayang Tuhan itu ialah nikmatNya yang diberikan terlalu banyak dan luas, bahkan tidak terhitung. Jika satu nikmat sahaja kita hurai, sudah cukup untuk menunjukkan betapa baiknya Tuhan kepada kita. Contohnya, cuba kita tutup hidung selama 5 minit. Tentu kita akan mati kerana tidak boleh bernafas. Begitulah besarnya nikmat Tuhan. Maha Besar Tuhan! Kita patut berterima kasih kepada Tuhan. Kalau Tuhan tidak beri kita udara, kemudahan dan keselesaan hidup yang canggih pun tidak bermakna kerana kita tidak dapat mengecapinya.

Rasa-rasa hati seperti inilah yang menguatkan hubungan hati seorang hamba dengan Tuhannya. Hubungan hati dan rasa inilah yang menundukkan manusia agar patuh kepadaNya dengan hati yang penuh kecintaan pada Tuhan.

Jadi, kita perlu sentiasa ingat betapa Pengasih dan Penyayangnya Tuhan yang menjadikan kita. Kita ini hanya seorang hamba yang hina-dina yang dijadikan Allah dari air mani. Diri kita yang hina dan banyak dosa ini pun Allah masih sayang dan beri berbagai nikmat seperti penglihatan, pendengaran, kesihatan dan sebagainya.

Kalau begitulah kasih sayang Tuhan kepada manusia, kenapa kita tidak boleh berkasih sayang sesama insan? Kita selalu menyebut Allah itu Pengasih dan Penyayang melalui kalimah “Bismillah” namun kita masih ada kesombongan di hati. Kita hina orang dan sebagainya kerana selama ini kita belajar mengenal Tuhan dengan hujah akal semata-mata. Hati kita tidak tersentuh pun jika disebut tentang kehebatan Tuhan.

Justeru itu kita mesti ubah cara kita belajar atau mengajar Tauhid tentang Tuhan supaya dapat mengenal Tuhan dan memiliki rasa-rasa bertuhan. Rasa-rasa bertuhan itulah yang hendak dibawa ke mana-mana.

Rasa bertuhan itu kalau hendak dikiaskan adalah seperti berhadapan dengan seekor harimau. Harimau tersebut sedikit pun tidak mengusik kita. Jika kita dihidangkan makanan di waktu itu, beranikah kita terus makan rezeki yang sedap-sedap terhidang di depan kita? Tentu tidak, sebab kita terasa kehebatan harimau itu. Rasa takut kepada harimau itu yang boleh menerkam bila-bila masa.

Begitu juga dengan Tuhan. Hati yang kenal Tuhan tidak tunggu-tunggu dan berfikir malah dia benar-benar faham dan terasa kehebatan Tuhan setiap masa.

Kehebatan Tuhan itu jauh lebih dari seekor harimau. Jika Allah hendak bertindak ke atas kita, Allah tidak akan bertangguh. Dia boleh buat dalam sekelip mata. Mengapa kita tidak terasa kehebatan Tuhan yang amat jauh lebih hebat dari harimau itu?

Seandainya kita sentiasa merasakan kehebatan Tuhan di dalam hati, dan perasaan bertuhan itu kita bawa ke mana-mana, kita tidak akan makan rasuah, jatuhkan orang lain dan lain-lain. Sebagaimana kalau harimau ada di depan kita, apakah masih sempat untuk bergaduh? Tentu tidak. Segala-galanya hilang, yang ada dalam hati ialah perasaan takut akan ‘kehebatan’ harimau itu.

Mengapa tidak rasakan Tuhan begitu? Tuhan yang nyawa kita kalau Dia tarik satu urat pun, kita sudah tidak mampu hendak hidup. Sebab itulah dikatakan Tuhan itu Maha Besar. Di hari ini, orang yang ikut Islam pun sudah kehilangan Tuhan, sebab itu Tuhan biarkan umat Islam seluruh dunia diratah-ratah oleh musuh. Manusia sudah terlalu longgar hubungannya dengan Tuhan, sekalipun dalam solat. Sedangkan ketika solatlah sepatutnya rasa bertuhan itu benar-benar dihayati dan dirasai.

Rasulullah s.a.w. bersabda: “Cukup 2 rakaat solat sunat tapi memberi kesan pada peribadi daripada beribu-ribu rakaat tetapi tidak memberi kesan.”

Ketahuilah wahai rakan-rakanku kita sebenarnya memerlukan Allah pada setiap waktu. Allah Ta’ala, adalah Tuhan, Ia segala-galanya. Kalau bukan karena Allah, segala sesuatunya tidak akan ada. Dialah Yang Maha Mengadakan dan Maha Mentiadakan. Allah menciptakan apa saja yang ada di dunia dan akhirat, menjadikan alam yang nyata dan alam yang ghaib, kemudian manusia, haiwan, tumbuhan, dan sebagainya. Setiap makhluk yang Allah ciptakan, masing-masing memiliki sistem kehidupan nya sendiri. Semua hidup mengikuti peraturan nya masing-masing. Sesiapa saja yang tidak hidup dengan peraturan Tuhan, atau menolak sistem Allah pasti binasa, baik jangka pendek maupun panjang.

Kemudian setelah itu, setiap makhluk ciptaan Tuhan sebenarnya tidak pernah lepas dari kuasaNya, ilmuNya, penglihatanNya, pendengaranNya, dan seterusnya. Jadi walaupun sekecil apapun, tiada satu benda di dunia ini yang berada diluar kuasaNya. Semua ada di dalam genggaman Allah Ta’ala. Sama juga dengan usaha yang dilakukan manusia untuk mencapai sesuatu. Usaha manusia tidak terlepas dari kuasa dan kehendak Allah. Kalau Allah inginkan dia gagal, maka gagal lah dia, meskipun dia telah berusaha sekuat tenaga. Adapun orang yang misalkan Allah inginkan dia berjaya tanpa menempuh sebuah usaha, maka hal itu akan terjadi. Karena kehendak Tuhan itu MUTLAK, tiada siapapun dapat menghalangnya.

Sebenarnya, sifat-sifat Maha Berkuasanya Tuhan yang disebutkan tadi, sudah cukup membuat hati kita gentar. Apakah kita tidak takut dengan kuasa Allah, ketika Allah katakan kita miskin, maka kita akan jadi miskin, kalau Allah katakan kita sengsara, maka sengsaralah kita.. Bukankah hal ini cukup menakutkan? Karena ternyata kita tidak punya kuasa apapun ke atas diri kita sendiri. Bahkan misalkan, kalau Allah mau kita tidak dapat menggerakkan sebelah ibu jari kita, hal itu bisa saja terjadi dengan sangat mudahnya. Itulah kehebatan kuasa Allah Ta’ala. Maha Agungnya Tuhan.

Kita sebagai hambaNya, sehebat, sepintar, sekaya apapun diri kita, kita tetap saja hamba Tuhan. Tugas hamba yang sebenarnya ialah mengabdi dengan Tuannya. Bukankah kita telah berjanji bahwa : “hidupku, matiku dan ibadahku hanyalah untuk Allah, Tuhan sekelian alam?” Inilah ikrar yang kita ucapkan 5 kali dalam sehari, dalam solat kita.

Bagaimanakah pertanggung jawaban kita dengan Tuhan? Kemudian, kita sebagai hamba Allah sifat fitrahnya, adalah sangat perlu dengan Tuhan. Bohong kalau seorang manusia itu tidak perlu dengan Tuhan. Tuhan adalah fitrah, hal yang sudah pasti diperlukan oleh manusia. Bahkan orang yang tidak beribadah kepada Tuhan pun, ketika mereka berada dalam kesusahan yang sudah sangat berat, terdesak, yang mereka ucapkan adalah : Wahai Tuhan, tolong aku! Begitulah fitrah setiap manusia, kita sangat perlu dengan Allah, Tuhan kita.

Semestinya kita perlu dengan Tuhan di dalam setiap keadaan. Ketika sakit, sehat, pandai, bodoh, aman, ramai, di setiap waktu, seharusnya kita sangat perlu dengan Tuhan. Jangan anggap kita bisa hidup sendirian, tanpa manusia lain saja kita tidak sanggup, apalagi dengan Tuhan, hidup pun terasa seperti neraka sebelum neraka di akhirat nanti.

Tapi sayangnya, di akhir zaman ini manusia memerlukan Tuhan secara berkala atau bermusim. Manusia kembali kepada Tuhan ketika dirinya sedang ditimpa kesusahan, penderitaan. Ketika saat-saat seperti itu barulah manusia mengadu pada Tuhan. Ada lagi yang lebih sombong, ketika sudah ditimpa ujian kesusahan pun, ia merasa tetap tidak perlu dengan Tuhan, ia merasa dengan kekuasaan yang ia miliki dapat menyelesaikan penderitaan atau masalah yang menimpa dirinya.. Nauzubillah min zalik.

Seharusnya, rasa diri kita ini memerlukan Allah adalah setiap masa dan setiap waktu. Tidak pandang tempat, keadaan, waktu apapun juga, kita sentiasa memerlukan kepada Allah. Di kala kita susah, tidak ada orang yang mau menolong, hanya Allah lah pembela kita, disaat kita kesepian, tidak ada orang mau menemani kita, Allah adalah Kawan Yang Maha Setia, ia tidak perlu istirahat, bahkan ketika tidur, Allah lah yang menjaga kita. Allah adalah Tuhan. Ia adalah segalanya. Yakinlah, ketika kita dapatkan Allah, kita dapat segalanya, kehilangan Tuhan kehilangan segalanya. Ia adalah kebahagiaan abadi dan sejati.

Allahu Alkhbar, Allahu Akhbar, Allahu Akhbar.

Allah s.w.t menguasai dan mentadbirkan langit dan bumi serta segala yang ada di antara keduanya. Dia memerintahkan dan melarang, menciptakan dan memeliharakan, dan mematikan dan menghidupkan. Dia mengangkatkan dan merendahkan derajat, menggantikan malam dan siang, dan menaikkan dan menjatuhkan bangsa-bangsa, agar satu bangsa lenyap dan yang lain muncul. Semua yang ada di langit dan bumi, di atasnya dan di bawahnya, di lautan dan di udara, tunduk kepada perintahNya. Dia mengetahui segala sesuatu dan jumlah segala sesuatu. PengetahuanNya meliputi tiap-tiap sesuatu dan tidak hilang lenyap dari pengetahuanNya sesuatu dari sehalus-halus atau seringan-ringan yang ada di bumi atau di langit. Kalau semua jenis lautan menjadi tinta untuk menulis Kalimah-kalimahNya, maka akan habis kering lautan itu sebelum habis Kalimah-kalimahNya, walaupun ditambahi lagi dengan lautan yang sebanding dengannya sebagai bantuan.

Dia mendengar semua suara, dan tidak tersilap antara satu sama yang lain, Dia mendengar semua permintaan dan permohonan dalam berbagai bahasa. Tiada suara menyimpangkan perhatianNya dari mendengar yang lain, Dia tidak terkeliru mendengar permintaan mereka, dan tidak pernah jemu mendengar permohonan mereka. Dia lihat segala yang dapat dilihat, malah perjalanan seekor semut hitam di atas batu permata ketika kegelapan malam. Dia dapat melihat segala penglihatan mata, dan mengetahui segala rahsia. Sekalian makhluk yang ada di langit dan di bumi sentiasa berhajat dan memohon kepadaNya. Tiap-tiap masa Ia di dalam urusan. Dia mengampunkan dosa, mengurangkan kebimbangan, mengurangi kesusahan, menunjuk hambanya ke pangkal jalan, membuat yang kaya menjadi miskin, memberi petunjuk kepada yg tersesat dan keliru, memenuhi keperluan yang berputus-asa, memberi makan yang lapar, membajui yang telanjang, menyembunyikan keaiban, dan menenangkan ketakutan.

Sekiranya orang-orang yang terdahulu dan terkemudian dari kalangan manusia dan jin mempunyai hati bertaqwa umpama hati orang yang paling bertaqwa di kalangan mereka, nescaya hal itu tidak menambahkan apa-apapun dalam kerajaanNya. Sekiranya orang-orang yang terdahulu dan terkemudian dari kalangan manusia dan jin mempunyai hati jahat umpama hati orang yang paling jahat di kalangan mereka, nescaya hal itu tidak mengurang-cacatkan apa-apapun dalam kerajaanNya. Sekiranya orang-orang yang terdahulu dan terkemudian dari kalangan manusia dan jin berhimpun di suatu tempat, lalu memohon kepadaNya, Dia akan mengurniakan setiap permintaan, nescaya hal itu tidak sedikit mengurangkan apa-apa yang ada di sisiNya kecuali umpama berkurangnya air laut apabila dicelupkan sebatang jarum.

Dialah Yang Awal tanpa permulaan, dan Yang Akhir tanpa kesudahan. Segala yang ada di muka bumi itu akan binasa. Dan kekalah Zat Tuhanmu yang mempunyai Kebesaran dan Kemuliaan.

Tulisan Saudara
Rosli Hanif

Konsep Bekerja Menurut Pandangan Islam

Pendahuluan:

Tidak ada siapa yang akan mempertikaikan jika ada yang mengatakan bahawa setiap orang mahu bekerja atau mendapatkan pekerjaan untuk menjamin kehidupannya. Kalau kita ambil contoh dari golongan belia, baik yang berpelajaran menengath atau tinggi sama ada mereka yang gagal dan tidak pernah bersekolah langsung, semuanya bercita-cita untuk mendapat pekerjaan atau boleh bekerja bagi menampung keperluan hidupnya sendiri atau keluarganya.

Adakah bekerja itu boleh dipandang sebagai suatu kewajipan atau tanggungjawab yang mempunyai tujuan yang lebih luas? Tetapi apakah yang bekerja itu hanya sekadar untuk menampung dan menjamin kehidupan di dunia ini. Soalan ini perlulah kita jawab dengan memahami konsep kerja menurut pandangan Islam.

Pengertian Kerja:

Kerja atau amal menurut Islam dapat diertikan dengan makna yang umum dan makna yang khusus. Amal dengan makna umum ialah melakukan atau meninggalkan apa jua perbuatan yang disuruh atau dilarang oleh agama yang meliputi perbuatan baik atau jahat. Perbuatan baik dinamakan amal soleh dan perbuatan jahat dinamakan maksiat.

Adapun kerja atau amal dengan maknanya yang khusus iaitu melakukan pekerjaan atau usaha yang menjadi salah satu unsur terpenting dan titik tolak bagi proses kegiatan ekonomi seluruhnya. Kerja dalam makna yang khusus menurut Islam terbahagi kepada:

1. Kerja yang bercorak jasmani (fizikal)

2. Kerja yang bercorak aqli/fikiran (mental)

Dari keterangan hadis-hadis Rasulullah (s.a.w), terdapat kesimpulan bahawa konsep kerja menurut Islam adalah meliputi segala bidang ekonomi yang dibolehkan oleh syarak sebagai balasan kepada upah atau bayaran, sama ada kerja itu bercorak jasmani (flzikal) seperti kerja buruh, pertanian, pertukangan tangan dan sebagainya atau kerja bercorak aqli (mental) seperti jawatan pegawai, baik yang berupa perguruan, iktisas atau jawatan perkeranian dan teknikal dengan kerajaan atau swasta. Antara hadis-hadis tersebut ialah:

"Tidaklah ada makanan seseorang itu yang lebih baik daripada apa yang dimakannya dari hasil usaha tangannya sendiri". (Riwayat al-Bukhari)

Selain daripada itu para sahabat menggunakan perkataan pekerja (amil) untuk jawatan orang yang ditugaskan menjadi petugas pemerintahan umpamanva kadi, gabenor dan sebagainya. Oleh yang demikian segala kerja dan usaha yang dibolehkan oleh syarak baik yang bersifat kebendaan atau abstrak atau gabungan dan kedua-duanya adalah dianggap oleh Islam sebaga "kerja". Segala kerja yang bermanfaat Islam dan yang sekecil-kecilnya seperti menyapu longkang hingga kepada yang sebesar-besarnya seperti menjadi menteri atau kepala negara adalah merupakan kerja atau amal sekalipun ianya berlainan peringkat dan kelayakan yang diperlukan untuknya. Berdasarkan konsep ini maka menurut pandangan Islam, masyarakat seluruhnya dan semua peringkat adalah pekerja.

Oleh yang demikian konsep kerja seperti ini membawa implikasi sosial yang penting, antaranya:

1. Bahawa asal manusia adalah sama sebagai manusia dan pekerja yang mempunyai kemuliaan dan kehormatan sekalipun perbezaan itu tidaklah merupakan keistimewaan satu pihak terhadap yang lain.

2. Para pekerja bukanlah hanya satu kelompok dari masyarakat, bahkan mereka adalah semua anggota masyarakat. Jadi mengikut konsep Islam bahawa masyarakat itu adalah tersusun atau terbentuk dari kerjasama antara sesama para pekerja di dalamnya, bukan terdiri dari kumpulan para pekerja dan para majikan seperti yang difahami menurut sistem ekonomi komunis atau kapitalis.

Kerja Menurut Tuntutan Islam:

Islam menjadikan kerja sebagai tuntutan fardu atas semua umatnya selaras dengan dasar persamaan yang diisytiharkan oleh Islam bagi menghapuskan sistem yang membeza-bezakan manusia mengikut darjat atau kasta dan warna kulit. Firman Allah yang bermaksud:

"Wahai sekalian manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu daripada lelaki dan perempuan dan Kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan berpuak-puak supava kamu berkenal-kenalan. Sesungguhnya orang yang termulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang taqwa." (al-Hujurat: 13)

Dengan menggunakan segala unsur-unsur perbezaan darjat atau warna kulit itu maka jadilah kerja menurut Islam suatu tuntutan kewajipan yang menyeluruh atas setiap orang yang mampu bekerja untuk mencapai kebahagiaan individu dan juga masyarakat. Jadi tidaklah kerja itu hanya khusus untuk golongan hamba abdi seperti sebelumnya.

Firman Allah bermaksud:

"Dan katakanlah wahai Muhammad, beramallah kamu akan segala apa yang diperintahkan, maka Allah dan Rasul-Nya serta orang-orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan." (al-Taubah: 105)

Islam juga meningkatkan tuntutan kerja itu hingga ke tahap kewajipan agama. Oleh itu tahap iman sentiasa dikaitkan oleh al-Quran dengan amal soleh atau perbuatan baik. Ini bererti Islam itu adalah akidah yang mesti diamalkan dan amalan yang mesti berakidah secara tidak terpisah. Seperti firman Allah bermaksud:

"Demi masa, sesungguhnya sekalian manusia dalam kerugian kecuali mereka yang beriman dan beramal soleh". (al-Asr: 1-3)

Kerja Sebagai Sumber Nilai:

Islam menjadikan kerja sebagai sumber nilai insan dan ukuran yang tanggungjawab berbeza. Firman Allah bermaksud:

"Dan bahawa sesungguhnya tidak ada balasan bagi seseorang itu melainkan balasan apa yang diusahakan". (al-Najm: 39)

Firman-Nya lagi bermaksud:

"Dan bagi tiap-tiap seseorang beberapa darjat tingkatan balasan disebabkan amal yang mereka kerjakan dan ingatlah Tuhan itu tidak lalai dari apa yang mereka lakukan". (al-An'am: 132)

Kerja sebagai sumber nilai manusia bererti manusia itu sendiri menentukan nilai atau harga ke atas sesuatu perkara itu. Sesuatu perkara itu pada zatnya tidak ada apa-apa nilai kecuali kerana nisbahnya kepada apa yang dikerjakan oleh manusia bagi menghasil, membuat, mengedar atau menggunakannya. Kerja juga merupakan sumber yang objektif bagi penilai prestasi manusia berasaskan segi kelayakan. Oleh yang demikian Islam menentukan ukuran dan syarat-syarat kelayakan dan juga syarat-syarat kegiatan bagi menentukan suatu pekerjaan atau jawatan itu supaya dapat dinilai prestasi kerja seseorang itu. Dengan cara ini, Islam dapat menyingkirkan perasaan pilih kasih dalam menilai prestasi seseorang sama ada segi sosial, ekonomi dan politik.

Kerja Sebagai Sumber Pencarian:

Islam mewajibkan setiap umatnya bekerja untuk mencari rezeki dan pendapatan bagi menyara hidupnya. Islam memberi berbagai-bagai kemudahan hidup dan jalan-jalan mendapatkan rezeki di bumi Allah yang penuh dengan segala nikmat ini. Firman-Nya bermaksud:

"Dan sesungguhnya Kami telah menetapkan kamu (dan memberi kuasa) di bumi dan Kami jadikan untuk kamu padanya (berbagai-bagai jalan) penghidupan." (al-A'raf: 168)

Dan firman-Nya lagi bermaksud:

"Dialah yang menjadikan bumi bagi kamu mudah digunakan, maka berjalanlah di merata-rata ceruk rantaunnya, serta makanlah dari rezeki yang dikurniakan Allah dan kepada-Nya jualah dibangkitkan hidup semula." (al-Mulk: 15)

Islam memerintahkan umatnya mencari rezeki yang halal kerana pekerjaan itu adalah bagi memelihara maruah dan kehormatan manusia. Firman Allah bermaksud:

"Wahai sekalian manusia, makanlah dari apa yang ada di muka bumi yang halal lagi baik". (al-Baqarah: 168)

Sabda Nabi (s.a.w) bermaksud:

"Mencari kerja halal itu wajib atas setiap orang Islam."

Oleh yang demikian Islam mencela kerja meminta-minta atau mengharapkan pertolongan orang lain kerana ianya boleh merendahkan harga diri atau maruah. Dalam sebuah hadis Rasulullah (s.a.w) bermaksud:

"Bahawa sesungguhnya seseorang kamu pergi mengambil seutas tali kemudian mengikat seberkas kayu api lalu menjualnya hingga dengan sebab itu ia dapat memelihara harga dirinya, adalah lebih baik daripada ia pergi meminta-minta kepada orang sama ada mereka rnemberinya atau menolaknya."

Kerja Sebagai Asas Kemajuan Umat:

Islam mewajibkan kerja untuk tujuan mendapatkan mata pencarian hidup dan secara langsung mendorongkan kepada kemajuan sosioekonomi. Islam mengambil perhatian yang bersungguh-sungguh terhadap kemajuan umat kerana itu ia sangat menekankan kemajuan di peringkat masyarakat dengan menggalakkan berbagai kegiatan ekonomi sama ada di sekitar pertanian, perusahaan dan perniagaan. Dalam hadis Rasulullah (s.a.w) sangat ketara dorongan ke arah kemajuan ekonomi di sektor tersebut, sebagai contoh:

1. Di bidang Pertanian

Sabda Rasulullah s.a.w bermaksud:

"Tidaklah seseorang mukmin itu menyemai akan semaian atau menanam tanaman lalu dimakan oleh burung atau manusia melainkan ianya adalah menjadi sedekah".

2. Di bidang Perusahaan

Sabda Rasulullah s.a.w. bermaksud:

"Sebaik usaha ialah usaha seorang pengusaha apabila ia bersifat jujur dan nasihat- menasihati.

3. Di bidang Perniagaan

Rasulullah (s.a.w) pernah meletakkan para peniaga yang jujur dan amanah kepada kedudukan yang sejajar dengan para wali, orang-orang yang benar, para syuhada' dan orang-orang soleh dengan sabda bermaksud:

"Peniaga yang jujur adalah bersama para wali, orang-orang siddiqin, para syuhada' dan orang-orang soleh".

Baginda juga menyatakan bahawa sembilan persepuluh daripada rezeki itu adalah pada perniagaan.

Islam Menolak Pengangguran:

Islam menuntut umatnya bekerja secara yang disyariatkan atau dibenarkan menurut syarak bagi menjamin kebaikan bersama dengan mengelakkan dari meminta-minta dan sebaliknya hendaklah berdikari. Islam sentiasa memandang berat dan menyeru umatnya untuk bekerja dan berusaha mencari rezeki melalui dua pendekatan berikut:

Islam melarang dan mencegah umatnya meminta-minta dan menganggur. Banyak hadis Nabi (s.a.w) mengenai larangan berusaha cara meminta. Baginda sering benar mengarahkan orang yang datang meminta, supaya mereka bekerja umpamanya, suatu ketika seorang fakir datang meminta-minta kepada baginda lalu baginda bertanya: "Adakah anda memiliki sesuatu?" "Tidak", kata lelaki itu. Baginda bertanya lagi dengan bersungguh-sungguh, lalu lelaki itu menjawab: "Saya ada sehelai hamparan yang separuhnya kami jadikan alas duduk dan separuhnya lagi kami buat selimut dan ada sebuah mangkuk yang kami gunakan untuk minum".Maka baginda bersabda kepadanya: "Bawakan kedua-dua benda itu kepada saya". Lalu dibawanya kedua-dua barang itu, kemudian Nabi tunjukkan barang itu kepada orang yang berada di sisi baginda kalau ada sesiapa yang hendak membelinya. Akhirnya baginda dapat menjualnya dengan harga dua dirham dan diberikan wang tersebut kepada lelaki itu sambil baginda berkata: "Belilah makanan untuk keluargamu dengan satu dirham manakala satu dirham lagi belikanlah sebilah kapak". Kemudian Rasulullah (s.a.w) meminta lelaki itu datang lagi, lalu lelaki itupun datang dan baginda telah membubuhkan hulu kapak itu dan menyuruh lelaki itu pergi mencari kayu api sambil baginda mengatakan kepada lelaki itu supaya lelaki itu tidak akan berjumpa lagi dalam masa 15 hari. Lelaki itu pergi dan kembali lagi selepas 15 hari sambil membawa datang 10 dirham, lalu ia berkata: "Wahai Rasulullah, Allah telah memberkati saya pada kerja yang tuan suruh saya itu." Maka baginda Rasulullah (s.a.w) bersabda: "Itu adalah lebih baik daripada anda datang pada hari kiamat kelak sedang pada muka anda bertanda kerana meminta-minta.

Berdasarkan kepada banyak hadis mengenai perkara ini, para ulama membuat kesimpulan bahawa larangan meminta-minta itu bukanlah sekadar perintah bersifat akhlak sahaja bahkan orang yang menjadikan kerja meminta-minta itu sebagai "profesion", hendaklah dikenakan hukuman yang berpatutan.

Kesimpulan:

Berdasarkan kepada keterangan ayat-ayat al-Quran dan hadis Rasulullah (s.a.w) dengan huraian-huraian seperti yang disebutkan dapatlah dibuat kesimpulan bahawa Islam sangat mengambil berat terhadap "kerja" dengan menjelaskan konsep kerja itu dan kedudukannya yang tinggi dalam ajaran Islam. Ringkasnya, kita dapat simpulkan seperti berikut:-

  1. Kerja menurut konsep Islam adalah segala yang dilakukan oleh manusia yang meliputi kerja untuk dunia dan kerja untuk akhirat.
  2. Kerja untuk kehidupan dunia sama ada yang bercorak aqli/mental (white collar job) atau bercorak jasmani (blue collar job) adalah dipandang sama penting dan mulia di sisi Islam asal sahaja dibolehkan oleh syarak.
  3. Islam mewajibkan kerja ke atas seluruh umatnya tanpa mengira darjat, keturunan atau warna kulit, kerana seluruh umat manusia adalah sama di sisi Allah, melainkan kerana taqwanya.
  4. Masyarakat Islam adalah sama-sama bertanggungjawab dan bekerjasama melalui kerja masing-masing. Berdasarkan kebolehan dan kelayakan serta kelayakan bidang masing-masing kerana segala kerja mereka adalah bersumberkan iman dan bertujuan melaksanakan amal soleh.
  5. Kerja adalah asas penilaian manusia dan tanggungjawab yang diberikan kepadanya sebagai khalifah Allah dan hamba-Nya untuk memakmurkan bumi ini dan sekaligus pula beribadat kepada Allah, Tuhan Pencipta alam.
  6. Kerja merupakan cara yang tabi'i untuk manusia mencari nafkah bagi menyara hidup dan keluarga melalui berbagai sektor pekerjaan dan perusahaan yang sedia terbuka peluangnya dengan persediaan dan kemudahan alam yang Allah sediakan di atas muka bumi ini.
  7. Islam melarang/menolak pengangguran kerana ia akan mendedahkan kepada kelemahan dan kefakiran dan jatuhnya maruah diri/ummah, kerana Islam menghendaki setiap umatnya bermaruah dan berdikari, tidak meminta-minta dan berharap kepada bantuan dan belas kasihan orang lain, bahkan sebaliknya hendaklah menjadi umat yang kuat dan mampu membela mereka yang lemah dan tertindas agar seluruh manusia menikmati keadilan dan rahmat yang dibawa oleh Islam sebagai agama atau "ad-Din" yang tertinggi dan mengatasi seluruh kepercayaan dan ideologi manusia. Firman Allah S.W.T bermaksud: "Dialah Allah yang mengutuskan Rasul-Nya (Muhammad) dengan membawa petunjuk dan agama yang benar (Islam) supaya ia meninggikan atas segala agama yang lain, walaupun orang musyrik membencinya".

Oleh:
Hj. Ahmad bin Hj. Awang

Sambutan Hari Pekerja.

Kita baru sahaja menyambut Hari Pekerja pada I Mei yang lalu. Bagi sektor awam, 1 Mei yang jatuhnya pada hari Sabtu, maka tiadalah cuti ganti diberikan. Tetapi bagi sektor swasta, kebanyakkannya mereka memberi kelepasan pada hari Isnin sebagai menghormati hari untuk pekerja mereka.

1 Mei yang disambut diseluruh dunia sebagai Hari Pekerja yang dahulunya disebut Hari Buruh atau 'Labour Day' (dalam bahasa penjajah) adalah hari bagi memperingati sumbangan para pekerja didalam sektor masing-masing yang telah menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi didalam sesebuah negara. Tanpa golongan pekerja, segala perancangan untuk merancakkan pertumbuhan ekonomi akan terbantut dan tergendala. Tidak dapat dinafikan sumbangan golongan ini amat besar peranannya dalam memajukan negara dan sudah semestinya mereka ini diraikan.

Di Malaysia sambutan Hari Pekerja disambut dengan mengadakan himpunan oleh pimpinan kesatuan pekerja yang turut dihadiri oleh Menteri berkenaan. Program statik tahunan ini akan hanya menyaksikan perubahan dari sudut venue, kostium, tema dan menteri yang bertanggungjawab. Pengisian ucapan penuh dengan janji-janji perjuangan dan pembelaan daripada pimpinan kesatuan. Sang penguasa pula akan turut menabur janji akan memenuhi permintaan yang dikemukakan sedangkan massa mengetahuinya, janji itu pasti akan tinggal janji sahaja. Lihat sahaja apa yang diperjuangkan oleh MTUC, menuntut agar pihak pemerintah menetapkan gaji minima bagi pekerja disektor swasta. Sehingga kesaat ini, janji yang ditabur dahulu akan terus dijanjikan tanpa sebarang noktha. Berapi-api sang pemimpin berucap di atas podium menjanjikan pembelaan kepada pekerja. Pekerja hanya duduk dibangku venue tanpa menghiraukan apa yang dibicara sambil mengirup air yang dibawa disamping sedikit makanan sebagai pengalas perut sebelum menikmati jamuan yang disediakan. Kadang-kadang terfikir juga apakah sebenarnya tujuan himpunan tersebut diadakan? Apakah para pekerja mengerti kehadiran mereka untuk apa? Terbelakah nasib mereka apabila hadir mendengar ucapan sang pemimpin dan penguasa? Atau sekadar menerima sedikit habuan dalam bentuk kostium dan jamuan serta terpaksa akur kepada perintah yang dikeluarkan!

Suasana ini amat jauh berbeza dengan suasana di luar negara. Sambutan Hari Pekerja di Korea, China, India, Pakistan dan negara-negara Eropah, para pekerja berarak dijalanraya menuntut hak mereka yang telah diabaikan oleh pemerintah. Malahan terdapat perarakkan yang terpaksa berhadapan dengan pihak penguatkuasa. Kita jangan lupa bagaimana suatu ketika dahulu, petani di Perancis berarak beramai-ramai menuntut kerajaan membela nasib mereka yang terjejas teruk akibat kejatuhan harga produk pertanian. Masyarakat pekerja ini tahu peranan mereka yang sebenarnya dan menjadikan tanggal 1 Mei sebagai tarikh keramat untuk memperjuangkan nasib mereka. Budaya duduk mendengar ucapan pembelaan didalam himpunan, tidak pernah terlintas dibenak pemikiran mereka.

Media di Malaysia memaparkan suasana ini dengan nada sinis "sambutan Hari Pekerja disambut dengan demonstrasi haram di ......." ungkapan popular menyalahkan pekerja yang menuntut hak mereka di jalanan. Begitulah media Malaysia mendidik masyarakat. Media yang dipelopori oleh sang penguasa yang acapkali meletakkan kesalahan kepada rakyat yang tidak sealiran dengan pemerintah. Sampai bila agaknya golongan ini akan terus dibelenggu dengan pembohongan, di letak didalam ruang lingkup yang melingkupkan, diperbodoh dengan janji-janji, dibeli dengan nilaian yang mengaibkan, disogok dengan berita hentam keromo tanpa fakta sokongan serta pelbagai lagi habuan murahan yang sering kedengaran.

Golongan pekerja perlu peka dengan kehendak massa. Pembelaan bukan dihujung lidah tetapi ia mesti ditunaikan. Peranan harus difahami agar tidak mudah di kotak-katikkan oleh golongan atasan. Janganlah menjadi seperti kerbau yang dicucuk hidung. Lihat ke dunia luar bagaimana mereka berjuang menuntut apa yang menjadi milik mereka. Jadilah pekerja yang berwibawa.

Selamat Hari Pekerja.

Isnin, Mei 03, 2010

JANGAN BERTELAGAH.

Konflik yang dihadapi perlu ditangani secara berhemah demi kepentingan maruah Islam

PERBEZAAN pandangan serta pendapat mengenai sesuatu isu bukan perkara baru yang membabitkan ilmuwan Islam. Bagaimanapun sikap berkeras untuk tidak menyelesaikan masalah sehingga menimbulkan konflik berterusan. Ia amat mengecewakan kerana turut mengheret penyokong masing-masing, yang berakhir dengan kata-mengata, rendah-merendah dan jatuh-menjatuhkan sesama Islam.

Kesannya, muncul pelbagai keadaan negatif dalam kehidupan bermasyarakat seperti fitnah, prasangka buruk, cabar-mencabar, hasad dengki, dendam dan mendedah keaiban orang lain. Sebab itu Rasulullah SAW bersabda,

"Daripada kebaikan iman seseorang ialah meninggalkan apa yang tidak bermakna baginya.' (Hadis At-Tirmizi)

Tambah malang lagi apabila isu membabitkan pertelingkahan sesama Islam dibesar-besarkan tanpa ikhtiar untuk meredakannya. Cabar mencabar sebagai medan menunjukkan kehebatan dan menguji pengaruh serta sokongan tidak dibolehkan dalam Islam. Hassan Al-Banna, pendakwah Islam yang terkemuka pernah memberi wasiat kepada umat Islam melalui pesannya, "Jangan memperbanyak perdebatan dalam pelbagai bidang pembicaraan kecuali dalam hal yang penting. Pertengkaran ini semata-mata tidak akan mendatangkan kebaikan"

Bagi mengelakkan berlaku sebarang perselisihan dan suasana yang tidak menyenangkan, kita perlu berwaspada sebelum berkata-kata, apatah lagi cabar-mencabar. Firman Allah yang bermaksud,

"Wahai orang yang beriman Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki lain, (kerana) harus puak yang dicemuh itu lebih baik daripada mereka; dan jangan pula sesuatu puak daripada perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuh itu lebih baik daripada mereka; dan jangan sesetengah kamu menyatakan keaiban sesetengahnya yang lain; dan jangan pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik,) maka amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah ia beriman, Dan (ingatlah) sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang yang zalim.' (Surah al-Hujurat :11)

Agama amat memberi perhatian dalam aspek pertuturan hinggakan perkataan yang keluar daripada lidah diperhalusi supaya tidak mengeluarkan kata-kata yang menyakitkan hati dan menimbulkan rasa tidak puas hati kepada orang yang mendengarnya. Apatah lagi perkataan yang terkeluar itu berupa sangkaan dan tohmahan yang gagal dibuktikan akan kebenarannya.

Allah berfirman yang bermaksud,

"Wahai orang yang beriman! Janganlah kebanyakan daripada sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian daripada sangkaan itu adalah dosa dan jangan kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang, dan janganlah sesetengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang daripada kamu suka memakan daging saudaranya yang mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani.' (Surah al-Hujurat: 12)

Sementara itu Imam Al-Ghazali dalam kitabnya Ayyuhal Walad, menasihatkan mereka yang sering berdebat dan bertelingkah supaya "seboleh-bolehnya tinggalkan perdebatan kerana ia boleh membawa kepada riak, hasad, takbur, ujub dan sebagainya. Namun jika kamu terjerumus ke kancah perdebatan, maka hendaklah ikhlas niat di hati bagi menzahirkan kebenaran. Niat yang ikhlas ini boleh dikesan melalui dua tanda iaitu pertamanya, kamu tidak membezakan sama ada kebenaran itu nanti akan tersingkap melalui lidah kamu atau lidah lawan debatmu. Keduanya, kamu lebih menyukai jika debat itu diadakan dalam tempat yang tertutup tanpa dilihat oleh orang yang begitu ramai.

Dalam isu berdebat dan bertelingkah ini, didapati bahawa mereka yang suka berdebat bukan bertujuan menyampaikan kebenaran tetapi untuk membantah hujah pihak lawan seperti firman Allah yang bermaksud,

"Mereka tidak memberikan perumpamaan itu kepadamu melainkan dengan maksud membantah saja, sebenarnya mereka adalah kaum yang suka bertengkar." (Surah Az-Zukhruf: 58)

Menjadi seorang Muslim yang baik bukan saja terletak pada keupayaan membaiki diri sendiri bahkan berupaya mengukuhkan ummah melalui anjuran perdamaian seandainya berlaku sebarang pertelingkahan. Apatah lagi kalau ia membabitkan tokoh ulama dan ilmuan agama. Barangkali ramai di kalangan kita yang membiarkan pertelingkahan yang berlaku sesama kita atas dasar seronok untuk melihat pertarungan hujah tetapi tidak berupaya melepasi garisan bahaya perpecahan yang sedia menunggu.

Justeru, menangani konflik yang berlaku di kalangan umat Islam juga perlu dilaksanakan sebagai memenuhi tanggungjawab terhadap agama. Namun begitu kita banyak diajar dan dididik oleh agama akan cara-cara menangani konflik kalau ia berlaku. Islam menggariskan kaedah yang tepat dalam menangani sebarang konflik peribadi atau kumpulan. Jawapannya dengan cara mendamaikan mereka secara adil demi maruah dan kepentingan agama mendahului pertembungan peribadi.

wallahu'alam..

Dairi Islamiah