Khamis, Ogos 26, 2010

Apabila Ulama Disifat Bagaikan Anjing

Ibn Taimiyyah (661-728H) atau dikenali dengan Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah merupakan cahaya indah yang menghiasi sejarah para ulama gemilang. Beliau ilmuwan terbilang yang tiada tolok bandingnya, lagi pejuang yang berperang menentang menaklukan Tatar ke atas wilayah Islam. Berjihad dengan pena, suara dan pedang.

Satu ketika Ibn Taimiyyah bersama dengan sejumlah ulama Damsyik pergi berjumpa dengan Raja Tatar yang bernama Qazan. Raja Tatar tersebut mendakwa telah menganut Islam, tetapi melakukan penyelewengan dan kezaliman terhadap umat Islam. Ibnu Taimiyyah masuk untuk menasihatinya. Dengan nada tegas dan mesej yang jelas Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah menasihati Raja Qazan berkenaan.

Kata Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah kepada penterjemah Raja Qazan: “Beritahu Qazan, engkau mendakwa engkau seorang muslim, aku dengar bersama engkau ramai ulama. Habis mengapa engkau memerangi negeri kami? Bapa dan datuk engkau Hulako dahulu adalah kafir, tetapi mereka tidak menyerang negeri kami, sebaliknya membuat perjanjian. Adapun engkau berjanji tetapi mungkir, berkata tetapi tidak tunaikan.”

Kemudian berlangsunglah dialog antara Ibn Taimiyyah dan Raja Qazan. Selepas itu Raja Qazan berkenaan menjamu sekelian yang hadir ke majlis tersebut dengan hidangan. Kesemua yang hadir makan dengan lazatnya. Namun Ibn Taimiyyah tidak mahu makan. Lalu Raja Tatar itu bertanya: “Mengapa engkau tidak mahu makan?”.

Jawab Ibn Taimiyyah: “Bagaimana aku hendak makan, kesemua ini adalah hasil rampasanmu ke atas harta orang ramai? Kamu pula memasaknya dengan menggunakan kayu yang kamu potong daripada pokok-pokok milik orangramai!”.

Kata Raja Qazan: “Berdoalah untukku”.

Kata Ibn Taimiyyah: “Ya Allah, jika hambaMu ini seorang yang mulia, berperang untuk meninggikan kalimahMu, maka bantulah dia, kuatkan kerajaannya. Namun jika dia berperang kerana menunjuk-nunjuk, untuk mengangkat dirinya dan menghina Islam, maka ambillah tindakan terhadapnya”.

Ulama-ulama yang sedang makan dengan asyik hidangan Raja Tatar itu, masing-masing mengangkat jubah mereka. Lalu Ibn Taimiyyah bertanya mereka: “Mengapa kamu semua mengangkat jubah?”.

Jawab mereka: “Kami bimbang jika Raja memancung kepala engkau, nanti darah engkau akan terkena jubah kami”.

Apabila keluar dari majlis berkenaan mereka berkata kepada Ibn Taimiyyah: “Engkau telah telah membahayakan kami, kami tidak mahu bersama dengan engkau lagi”. Jawab: “Aku pun tidak mahu bersama kamu semua lagi” (lihat: Ibn Kathir, al-Bidayah wa al-Nihayah, 14/92, Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah).

Saya memetik cerita ini bagi menggambarkan kadang-kala betapa ramai mereka yang memakai gelaran agama seperti ulama, syeikh, mufti dan seumpamanya yang mementingkan jubahnya agar tidak kotor atau tercemar lebih daripada mementingkan tanggungjawab mereka sebagai ilmuwan Islam untuk menegakkan kebenaran kerana Allah.

Jika Ibn Taimiyyah tidak makan kerana mengenangkan nilai makanan yang dijamu, sementara ramai ulama lain yang ‘sebat semacam’ dalam kegawatan pertarungan yang seperti itu, apakah ulama di zaman keresahan rakyat miskin kini disebabkan kenaikan harga barang, akan mencontohi sikap Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah, atau akan tiru macam ulama-ulama dalam majlis Qazan itu lalu mereka juga akan ‘sebat semacam’ jamuan mewah yang melampaui batas yang patut menggunakan harta rakyat.

Saya menulis tajuk ini bertujuan untuk mengingatkan diri sendiri, bukan untuk orang lain. Ia boleh dibaca sebagai iktibar.

Hari ini mungkin sesetengah ulama sudah tidak bimbang jubah putih mereka tercemar lagi, kerana mereka memiliki koleksi pakaian yang cukup banyak hasil dari kemewahan memakai gelaran rasmi agama. Sehingga ada yang jumlah gajinya mengejutkan parlimen dan rakyat.

Namun di zaman moden ini, mereka mungkin bimbang habuan yang dijanji tidak diberi, kontrak mereka tidak disambung, atau pangkat mereka tidak dinaikkan, atau bisnes yang mereka menjadi ‘duta produk’ atau juru larisnya terjejas, atau perlantikan mereka di institusi-institusi yang menghasilkan elaun bulanan itu terganggu.

Atau ada pula yang menjaga kepentingan parti mereka melebihi daripada membela kebenaran dan fakta. Sehingga ada yang sanggup mengubah-ubah fatwa, hanya kerana partinya sudah berubah. Lalu mereka akan menjauhkan diri dari sesiapa yang cuba mengikuti semangat Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah.

Kalau pada zaman Ibn Taimiyyah, untuk mengelakkan mereka terpaksa berjuang bersama Ibn Taimiyyah dan rakyat menentang penjajahan Tatar, para ulama berkepentingan tersebut menulis atau menyebarkan fitnah untuk memburukkan Ibn Taimiyyah. Tujuannya, untuk menutup kelemahan diri dan menjaga kepentingan sendiri. Sebelum dan selepas zaman Ibn Taimiyyah pun, gelagat ulama jenis ini tetap sama.

Apabila ulama mengutamakan kepentingan sendiri, maka umat akan kehilangan garis panduan terutama pada waktu gawat dan getir. Pandangan dan pendapat yang benar disembunyikan sedangkan umat kehausan bimbingan. Jika diberikan pandangan pun hanya tajuk-tajuk yang dipersetujui oleh panaja.

Kadang-kala kita rasa tidak padan tajuk yang dicakapkan dengan jawatan yang dipegang. Maka amatlah buruk golongan yang menamakan diri mereka ulama jika hanya kelihatan ketika majlis-majlis rasmi untuk hadir hanya sebagai pembaca doa semata. Lebih menyedihkan lagi, dalam doa itu ‘ada udang di sebalik mee’, untuk dimakan sendiri. Sehingga kita yang mendengar pun terasa seram sejuk dengan pujian kepada pihak tertentu yang ‘lebih daripada yang patut’.

Atau golongan ini hanya kelihatan dalam majlis jamuan rasmi untuk memenuhi kerusi VIP yang dikhaskan untuk mereka. Hanya mampu makan jamuan yang diambil daripada peruntukan rakyat, namun tidak mampu bersuara jujur membela rakyat. Ada pula ulama-ulama rasmi yang minatnya adalah lawatan atas nama jawatannya ke sana-sini. Kononnya, untuk mengiringi orang itu dan ini.

Mereka kelihatan sibuk, namun umat tidak pula tahu apakah hasil dan sumbangan mereka untuk kepentingan rakyat. Apa yang disibukkan itu? Apakah kesibukan itu bersesuaian dengan peranan mereka yang sepatutnya? Atau sekadar sibuk menjadi pengiring atau sebagai panel memenuhi kerusi jamuan?. Atau sibuk untuk harta dan pangkat sendiri.

Ulama jenis ini, tidak mereka berjuang dengan suara, tidak juga dengan pena. Tentu jauh sekali dengan darah dan airmata. Walaupun pena atau komputer mereka mungkin berjenama mahal, tetapi kita tidak tahu apa yang mereka tulis dan sumbangkan untuk umat. Suara mereka tentu lebih mahal. Bak kata perpatah ‘suara emas’, sebab itu ia amat sukar untuk dikeluarkan walaupun keadaan amat memerlukan.

Bicara mereka bicara ‘ranggi’. Cerita mereka tentang kereta baru, perabut baru, lawatan keluar negara, lantikan baru, anugerah gelaran tambahan dan yang sewaktu dengannya. Wajah mereka berseri-seri jika bergambar di samping orang besar atau ‘pak menteri’.

Malangnya, sebahagian wajah yang berseri-seri itu tidak mampu untuk hadir mengajar atau memberikan pandangan untuk kepentingan orang awam. Kalau pun diberi, pandangan yang amat tidak berkualiti, atau dalam perkara yang kurang diperlukan. Mereka mungkin berfatwa tentang ‘haram kanak-kanak bermain mercun’ pada musim hari raya. Kerana itu kata mereka ‘pembaziran’.

Tetapi tidaklah pula mereka berfatwa tentang bunga api yang dibakar di sambutan-sambutan rasmi yang memakan belanja puluhan bahkan mungkin ratusan ribu. Padahal pembazirannya lebih jelas dan wangnya adalah wang orangramai.

Maka tidak hairanlah jika ada yang berjawatan tinggi dalam agama, tetapi tidak dikenali oleh rakyatnya. Jika dikenali pun, tidak pula diketahui apakah peranannya dalam membela kemaslahatan umat yang menjadi tuntutan agama?

Ulama yang seperti inilah yang menjual fatwa untuk kepentingan kedudukan, pangkat dan harta. Umat akan keliru, bahkan mungkin akan tersesat. Justeru, janganlah hairan jika al-Quran tidak pernah mensifatkan mana-mana golongan seperti anjing melainkan golongan ulama yang menjual agamanya untuk mendapatkan habuan dunia.

Firman Allah: (maksudnya) “Dan bacakanlah kepada mereka (Wahai Muhammad), khabar berita seorang yang Kami beri kepadanya (pengetahuan mengenai) ayat-ayat kami. kemudian dia menjadikan dirinya terkeluar darinya, lalu syaitan mengikutnya, maka jadilah dia daripada orang-orang yang sesat. Dan kalau Kami kehendaki nescaya Kami tinggikan pangkatnya dengan ayat-ayat itu, tetapi dia mahu kepada dunia dan menurut hawa nafsunya; maka bandingannya seperti anjing, jika engkau menghalaunya, dia menjelirkan lidahnya, dan jika engkau membiarkannya: dia juga menjelirkan lidahnya. Demikianlah bandingan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat kami. maka ceritakanlah kisah-kisah itu supaya mereka berfikir”. (Surah al-A’raf: ayat 175-176).

Ayat ini menceritakan perihal kisah seorang ilmuwan agama yang meninggalkan ajaran Allah semata-mata kerana keinginannya kepada dunia. Riwayat-riwayat Israiliyyat yang tidak sahih menyebut nama orang tersebut ialah Bal’am. Kita tidak menerima periwayatan tanpa sokongan yang seperti itu.

Apa yang penting, ayat ini telah menyamakan ulama yang menjual nilai ajaran Allah hanya untuk kepentingan dunianya sama seperti anjing. Padahal jika dia berpegang atas prinsip ilmu dia tetap akan mendapat kemuliaan. Namun, dia gopoh dengan silauan tawaran dunia. Samalah dia seperti anjing yang sentiasa menjelirkan lidah. Anjing menjelirkan lidah disebabkan kepanasan badannya, atau oksigen yang tidak cukup bagi tubuhnya. Demikian ilmuwan yang sentiasa kepanasan kerana gilakan dunia, atau sentiasa merasa tidak memadai dengan kedudukan mulianya sebagai ilmuwan, lalu dia menjelirkan lidahnya yang hodoh mencari yang lain habuan yang lain.

Maka Allah menjanjikan bagi ulama yang menyembunyikan kebenaran balasan yang dahsyat. Allah berfirman: (maksudnya) “Sesungguhnya orang-orang yang menyembunyikan apa-apa keterangan Kitab suci yang telah diturunkan oleh Allah, dan membeli dengannya harga yang sedikit, mereka itu tidak mengisi dalam perut mereka selain daripada api neraka, dan Allah tidak akan berkata-kata kepada mereka pada hari kiamat, dan ia tidak membersihkan mereka (dari dosa), dan mereka pula akan beroleh azab yang perit”. (Surah al-Baqarah: ayat 174).

Bagi ulama yang telah menyembunyikan kebenaran dan menyelewengkan fakta yang sebenar tiada jalan untuknya mendapat keampunan melainkan taubat dan menerangkan semula kebenaran yang disembunyikan atau fakta yang diselewengkan.

Firman Allah (maksudnya): “Sesungguhnya orang-orang yang menyembunyikan apa yang telah Kami turunkan dari keterangan-keterangan dan petunjuk hidayah, sesudah Kami menerangkannya kepada manusia dalam Kitab suci, mereka itu dilaknat oleh Allah dan dilaknat oleh sekalian makhluk. Kecuali orang-orang yang bertaubat, dan memperbaiki (penyelewengan mereka) serta menerangkan (apa yang mereka sembunyikan); maka orang-orang itu, Aku terima taubat mereka, dan Akulah Yang Maha Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani. (Surah al-Baqarah: ayat 159-160).

Ya! ulama itu bukan malaikat atau nabi yang maksum. Mereka seperti insan lain yang terdedah kepada salah dan dosa. Namun walau apapun keadaannya, mereka tidak boleh menyelewengkan fakta, atau menyembunyikan kebenaran sehingga mengelirukan manusia tentang hakikat ajaran Allah S.W.T.

Mereka juga boleh menjaga kaya dan berharta, tetapi tanpa menggadaikan kebenaran. Ini kerana yang menyebabkan mereka itu dianggap ulama kerana ilmu yang dimiliki oleh mereka. Peranan mereka adalah menjaga ilmu dan memastikan ilmu itu berfungsi untuk kemaslahatan manusia. Jika seseorang memakai pakaian ulama, atau menduduki jawatan ulama, atau memakai gelaran ulama tetapi dia kontang ilmu, dia sebenarnya bukan ulama walaupun diletakkan berbagai gelaran dan bintang.

Perkataan ulama itu berkait dengan ilmu dan peranan mereka menyampai dan menyatakan kebenaran. Bukan kerja ulama menjadi pembela setia sesebuah kerajaan ataupun parti atau individu. Ulama membela kebenaran ajaran Allah dan RasulNya. Tiada kompromi dalam soal kebenaran, keadilan dan fakta sekalipun terpaksa menghadapi teman yang rapat, atau pihak berjasa lagi dikasihi.

Sebab itu, seseorang apabila ingin menjadi penuntut ilmu-ilmu Islam, wajib baginya membetulkan niatnya. Jangan dia, atau ibubapa yang menghantarnya berfikir tujuan mempelajari ilmu-ilmu Islam untuk mendapatkan jawatan, atau menjadi penceramah yang lumayan, atau kerana ruang pekerjaan dalam bidang agama luas, atau melariskan bisnes.

Jika itu berlaku dari awal, maka lahirlah ulama-ulama ‘kakak tua’ yang akan memperkatakan apa yang digemari oleh orangramai, atau apa yang diminati di pasaran, atau apa yang dibayar dengan harga yang tinggi oleh pihak tertentu. Maka Nabi s.a.w mengingatkan: “Sesiapa yang mempelajari sesuatu ilmu yang dicari keredhaan Allah Azza wa Jalla dengannya, tetapi dia tidak mempelarinya kecuali untuk mendapatkan habuan dunia, maka dia tidak akan mendapat bau syurga pada hari kiamat. (Riwayat Abu Daud dan Ibn Majah. Al-Nawawi mensahihkannya dalam Riyadh al-Salihin).

Menjadi mat rempit, atau perompak, atau pemimpin yang tidak jujur tidak lebih buruk daripada ulama yang menyembunyikan kebenaran atau menyelewengkan fakta sehingga manusia tersesat. Kita memerlukan ilmuwan seperti Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah r.a., bukan ulama yang menjaga jubah dari percikan darah pengorbanan dan kebenaran.

Oleh : Dr Mohd Asri Zainal Abidin (MAZA)


Jangan Guna Minyak Sapi Ghee QBB


KUALA LUMPUR 23 Ogos – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan supaya segera menarik balik penjualan minyak sapi QBB di pasaran.

Presidennya, SM Mohamed Idris berkata, ia berikutan tindakan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang menarik balik status halal minyak sapi itu kerana didakwa mengandungi elemen yang meragukan.

“CAP telah berhubung dengan Jakim bagi mendapatkan kesahihan status halal minyak sapi itu sejak Julai lalu.

Kenyataan rasmi Halal Malaysia - JAKIM


“Jakim menjelaskan bahawa mereka telah menarik balik status halal minyak sapi itu sehingga yakin dengan status halal produk tersebut,” katanya dalam kenyataan akhbar di sini, hari ini.

Menurut beliau, Jakim dan Jabatan Kimia telah menguji minyak sapi itu dan mendapati ia mengandungi elemen yang meragukan dan tidak boleh dimakan oleh umat Islam.

Sehubungan itu, beliau menggesa orang ramai supaya menghentikan segera pengambilan minyak sapi itu sehingga kandungannya disahkan halal oleh Jakim.

Sementara itu, Jakim menerusi laman web www.halal.gov, turut mengumumkan pihaknya telah menggantung Sijil Pengesahan Halal Malaysia kepada Syarikat QBI Packaging Sdn. Bhd. berkuat kuasa 19 Ogos lalu (baca pada imej di atas).

“Tindakan itu diambil sehingga Jakim berpuas hati status halal produk berkenaan. Oleh itu, QBI Packaging Sdn. Bhd. dilarang menggunakan logo halal Malaysia pada semua produk minyak sapi QBB,” katanya.

Posted on Tuesday, August 24 @ 15:03:49 PDT
Dilulus untuk paparan oleh SongkokPutih

Oleh A. Karim
laporan dipetik dari Utusan


Rabu, Ogos 25, 2010

Tazkirah Ramadhan - Mengapa Amal Ibadah Kita Di Tolak Oleh Allah swt.

Kisah Muaz bin Jabbal menangis dengan hibanya setelah mendengar nasihat Nabi s.a.w. bilamana beliau menceritakan amalan-amalan yang dibawa oleh malaikat tidak dapat diterimanya kerana sikap dan perbuatan hambanya yang tidak diperkenankan.

Pada suatu hari seorang lelaki bertanya kepada Muaz bin Jabbal : 'Apakah hadis-hadis yang tuan pernah dengar daripada Rasulullah s.a.w.?' Muaz pun terdiam sebentar, kemudian beliau pun dengan tiba-tiba sahaja menangis dengan hibanya seolah-olah tidak akan berhenti lagi. Setelah kemudian Muaz mulai reda dari tangisannya dan berdiam seketika, lalu Muaz pun bercerita.

Rasulullah s.a.w. pernah bersabda :"Mudah-mudahan akan menjadi kebaikkan kiranya bagimu jika engkau selalu ingat dan sentiasa awas." Demikian sabda baginda. Lalu Muaz pun meneruskan kisahnya lagi. "Allah telah menjadikan tujuh malaikat, sebelum Allah ,menjadikan tujuh petala langit dan tujuh petala bumi. Pada setiap lapisan langit ada pintunya. Ditugaskan pada setiap pintu langit seseorang malaikat yang begitu besar tersergam indah dan hebat.

PENGUMPAT.

Naik malaikat kelangit pertama membawa amalan hamba yang dilakukan pagi dan petang, siang dan malam. Bersinar-sinar cahaya amalannya seperti matahari, lalu malaikat penjaga langit pertama berkata :'Bawa kembali amalan orang itu dan hempaskan kemukanya! Aku- Tuhan tempatkan disini sebagai peneliti dosa orang-orang mengumpat, supaya tidak membiarkan amalan orang mengumpat naik melintasi aku keatas.'

BERMEGAH DENGAN DUNIA.

Datang pula malaikat lainnya membawa amalan salih hamba Allah yang sangat bersinar-sinar amalannya itu. Apabila sampai ke langit kedua, maka malaikat penjaga pintu langit itu pun berkata : 'Berhenti! ambil amalan itu dan pukulkan kemuka orang yang empunya amalan itu kerana bersarang dengan kemegahan dunia, tidak boleh melintasi aku kerana dia bermegah-megah dengan amalannya kepada manusia, mencari keredhaan manusia (kerana pangkat, jawatan, wang, nama, pujian dsb).'

TAKBUR.

Naik pula malaikat yang lain lagi, membawa amalan hamba Allah yang bercahaya dan cemerlang dari amalan sedekah, puasa, sembahyang sehingga menakjubkan malaikat. Apabila tiba di langit ketiga, ditahan oleh malaikat penunggu pinta langit, katanya : 'Berhenti! ambil amalan itu dan pukulkan kemuka tuannya! Aku malaikat pengawas sifat-sifat takbur, tidak membenarkan melintasi aku dengan perintah Allah swt, kerana amalan ibadahnya mengandungi takbur dan selalu takbur didalam majlis ramai.'

UJUB.

Naik lagi malaikat yang lain ke langit keempat membawa amalan hamba Allah yang bersinar-sinar cahayanya. Sungguh hebat, berdengung-degung bunyinya amalan itu yang berisi tasbih, sembahyang, haji dan umrah tetapi tidak dibenarkan melintasinya. Lalu berkata malaikat penjaga pintu langit itu : ' Berhenti disini! tidak boleh lewat dari sini, aku malaikat penjaga pintu langit keempat diperintahkan Allah agar amalannya itu dipukulkan kebelakangnya dan perutnya. Kerana aku malaikat peneliti sifat ujub. Dia sangat ujub dengan amalannya (merasa bangga kerana banyak amalan hingga menghairankan dirinya).'

HASAD DENGKI.

Naik lagi malaikat lainnya membawa amalan hamba Allah. Apabila tiba dipintu langit yang kelima dilihat oleh malaikat penjaga pintu langit kelima amalan yang dibawa seperti berarak pengantin perempuan dengan hebatnya, lalu malaikat penjaga langit itu berkata : 'Berhenti! pukulkan amalan itu kemuka tuannya, ketengkuknya dan kebahunya. Aku malaikat pengawas sifat-sifat dengki manusia, tidak akan membenarkan orang yang hasad dengki amalannya melewati aku dilangit kelima ini.'

RAHIM.

Malaikat yang lain pula membawa naik amalan hamba Allah menghadap Tuhan, lalu ditahan oleh malaikat penjaga langit keenam : 'Berhenti! ambil amalan itu dan palukan kemuka tuannya kerana dia tidak bersifat rahim sesama manusia. Orang dipimpa bala' dia hanya suka sahaja melihatnya. Aku malaikat rahmat sentiasa meneliti sifat rahim manusia. Allah perintah kepada aku supaya jangan membiarkan amalan hamba yang tidak bersifat rahim naik keatas.'

RIYA'.

Naik pula malaikat lainnya hingga ke langit ke tujuh, membawa amalan hamba Allah yang indah cemerlang besinar-sinar seperti matahari diiringi oleh tiga ribu malaikat, hendak melewati langit ketujuh. Maka ditahan oleh malaikat pengawal langit itu : 'Berhenti! palukan amalan itu kemukanya dan segala anggota badannya dan tutupkan pintu hatinya dengan amalannya itu. Aku diperintahkan oleh Allah swt melarang orang yang begini amalannya melewati dari langit ketujuh. Kerana amalannya menghendaki pujian dari ahli-ahli ilmu (ulama' & fuqaha'), supaya dia disebut termasuk kedalam golongan ulama' dan fuqaha', supaya mashyur namanya (amalan riya:- memperlihat-lihatkan, menunjuk-nunjuk kepada manusia, mencari pujian dari amalannya itu) - kerana amalannya itu tidak ikhlas kerana Allah - riya' kepada manusia - Allah tidak melihat amalan orang yang riya'.

TIDAK BENAR-BENAR IKHLAS.

Naik pula malaikat lain lagi dengan membawa amalan hamba Allah yang salih, dari sembahyang, zakat, haji dan umrah, salihnya, waraknya, baik akhlaknya, berdiam diri, sentiasa dalam zikirullah. Diiringi oleh segenap petala langit kerana kebesaran dan kehebatannya amalannya itu sehingga dapat melintasi segenap tujuh lapisan pintu langit dan menembusi segala hijab yang amat jauh diatas dari langit ketujuh terus menuju kehadrat Allah swt. Lalu mereka sekeliannya berhenti dihadapan Allah swt menjadi saksi atas amalan orang yang salih itu kerana ikhlasnya. Allah berfirman : "Kamu semua penjaga amalan hamba-hamba Ku sedangkan Aku pengawas atas dirimu. Sebenarnya amalannya bukan kerana keredhaan Ku, hanya lain yang dicarinya. Maka Aku laknatkan keatasnya dan semua malaikat pun turut melaknatkan pula bersama Allah dan melaknatkan pula oleh tujuh petala langit dan tujuh bumi segala isinya."

Kemudian Nabi s.a.w. terus bersabda lagi memberi pengajaran kepadanya : " Ikutlah akan daku meskipun ada kekurangan dalam amalmu."

Hai Muaz!

"Peliharalah lidahmu daripada kejahatan pada saudara-saudaramu dari kalangan para penanggung al-Quran (saudara-saudaramu muslim yang beramal dengan hukum al-Quran "Islam") dan tanggungkan dosa-dosamu itu atas dirimu!. Jangan tanggungkan dosa-dosamu itu atas mereka dan jangan engkau sucikan dirimu dengan mencelakan mereka. Jangan meninggikan dirimu atas mereka. Jangan masukkan amal dunia dalam amal akhirat (Ertinya; jangan engkau qasadkan amal akhirat itu kerana dunia untuk mendapatkan matabenda dunia dan mencari laba dunia) dan jangan menilik-nilik pada amalmu. Jangan engkau bertakbur (membesarkan dirimu dengan perbuatan atau perkataan atau dengan air mukamu atau dengan gerak-gerimu) didalam majlis supaya manusia takut akan kejahatan perangaimu dan jangan engkau berbisik-bisik dengan seseorang padahal disampingmu ada orang lain. Jangan engkau membesar-besarkan dirimu atas manusia supaya tiada putus dari dirimu kebajikan dunia. Jangan engkau menghinakan dan mencaci yang menjatuhkan keaiban manusia (jangan mengumpat, jangan membuat fitnah, jangan menjatuhkan air muka / aib orang). Kalau tidak nescaya akan dirobik-robik dan dikoyak-koyak akan badan engkau oleh anjing-anjing buas serta ganas didalam neraka pada hari kiamat."

Petikan Kitab : Fadhilat Rejab, Sya'ban, Ramadhan.
Oleh : Budiman Radhi.


Isnin, Ogos 23, 2010

ZIARAH RAMADHAN AL MUBARRAQ 1431H


Program ini akan dilakukan sekali lagi. Kali ini program diadakan sempena dengan kedatangan syawal. Pas Kawasan telah memutuskan ianya diadakan pada dua hari iaitu :
  • Ahad 29 Ogos 2010 dan
  • Selasa 31 Ogos 2010
Tumpuan masih dikawasan DUN Bukit Permai dan lokaliti sebelumnya masih dikekalkan. Senarai penerima yang ada akan digunakan dan mungkin terdapat sedikit pertambahan jika ada. Hari kedua lawatan akan turut disertai oleh Sdr. Mazlan Aliman selaku AJK PAS Pusat merangkap Ketua Penerangan PAS Negeri Johor.

Kepada para sahabat yang ingin menyumbang bolehlah berbuat demikin melalui Sdr. Aziz Jaafar, Ketua Lajnah Kebajikan PAS Kawasan di talian 019-7143675 atau terus ke akaun PAS Kawasan Kulai seperti yang tertera di kanan blog ini. Hamper sumbangan bernilai RM50.00 setiap satu berupa barangan makanan menyambut syawal akan diberikan.

Sumbangan anda amat kami hargai dan diucapkan Jazakallah Khairan Kasira.


Sabtu, Ogos 21, 2010

Sudah Sampai Masa PAS Ganti UMNO.

Parti Islam Se-Malaysia PAS berpandangan Umno yang bertanggungjawab menggagalkan pencapaian kouta 30% ekonomi bumiputera. Malahan isu ini akan dijadikan modal selagi Umno hidup atas muka bumi ini. Kegagalan untuk mencapai kouta 30% melambangkan kegagalan Umno dalam menguruskan amanah rakyat, khususnya Bumiputera di negara ini. Tiba-tiba Umno menjerit kegagalan ini kerana orang bukan Melayu yang membolot kekayaan di negara ini. Ini satu telahan yang tidak tepat.

PAS dan Pakatan Rakyat komited untuk mempertahankan apa telah termaktub di dalam perlembagaan negara mengenai Islam, Melayu, Raja-Raja Melayu dan bahasa Melayu. Inilah persepakatan di Konvensyen Pakatan Rakyat yang di tandatangani oleh pemimpin PAS, PKR dan DAP pada 19/12/2009.

Umno sepatutnya malu, setelah mengepalai negara hampir 53 tahun selepas merdeka, ekonomi bumiputera semakin jauh ke belakang. Kalau dinilai dalam peperiksaan, Umno mendapat nombor corot, kerana 53 tahun di dalam kelas masih buta huruf. Kenapa Umno perlu melalak hendak menyalahkan orang lain kerana gagal mencapai tahap ekonomi bumiputera.

PAS mencadangkan kepada Umno kena banyak muhasabah diri, kenapa terjadi demikian. Pemimpin Umno kena fikir, mereka ada kuasa membuat dasar, melaksana, semuanya berada di dalam genggaman Umno. Pemimpin Umno yang memerintah di negara ini, bukan Umno menjadi pembangkang. Banyak perkara mereka boleh lakukan, kalau pemimpinnya jujur untuk rakyat dan negara.

PAS berpandangan pencapaian ini tidak tercapai kerana Umno melaksanakan dasar Umnoputera. Agih projek bukan kepada mereka yang sepatut dapat, merekalah yang menjadi jutawan 10% dengan mengali babakan projek yang dapat melalui “hak istimewa orang Umno”. Siapakah yang menjual ekuiti 30% yang diperuntukan kepada bumitera setiap kali syarikat yang hendak di senaraikan di Bursa Saham Kuala Lumpur. Kemana pergi dana RM54 bilion untuk ekuiti bumiputera, sekarang hanya tingga RM2 bilion, bermakna RM52 billion lesap. Sekiranya pemimpin Umno amanah dan jujur dengan dana sebanyak RM54 bilion, sudah tentu pencapaian ekuiti bumiputera sudah melebihi 30%.

PAS pernah terlibat di dalam Majlis Perundingan Ekonomi (MAPEN) tahun 1990 dengan cadangan yang bernas untuk peningkatan ekonomi bumiputera dan pembelaan kepada kaum lain. Cadangan PAS di sambut baik termasuk di kalangan ahli MAPEN yang terdiri dari kalangan orang bukan Melayu di dalam majlis tersebut. PAS mengemukakan cadangan berdasarkan kepada prinsip keadilan dalam Islam yang sejagat. Malangnya cadangan tersebut dibangkul sampah oleh Dr Mahathir yang menjadi Perdana Menteri waktu itu.

PAS lebih berjaya menguruskan ekonomi dengan adil, iaitu membantu kepada mereka yang wajib dibantu. Pengalaman Pas di Kelantan selama 20 tahun berjaya mengangkat taraf hidup orang Melayu dan membantu bukan Melayu yang dhaif. Kesejahteraan dan keharmonian dapat dilihat dengan mata kasar. Begitu juga kejayaan Terengganu sewaktu pemerintahan PAS pada tahun 1999 hingga 2004 telah berjaya menaikkan taraf hidup rakyat Trengganu daripada miskin nombor dua kepada miskin nombor empat. Kerajaan PAS Terengganu juga telah memberi tanah khususnya tapak rumah kepada orang Cina dan kaum lain yang tidak bertanah, kerana mereka dalah golongan yang perlu dibantu. Kerajaan Kedah baru sahaja diambil alih oleh PAS dan Pakatan Rakyat, telah berjaya menunjukkan prestasi yang baik sehingga menjadi kehairanan bekas pimpinan Umno Kedah, macam mana Datuk Seri Azizan Razak berjaya memerintah Kedah walaupun dengan kekangan kewangan yang parah. Sampailah masanya PAS menggantikan Umno berdasarkan rekod dan prestasi negeri yang PAS pimpin untuk kesejahteraan rakyat berbagai kaum di negara ini.


Ustaz Idris Ahmad

Ketua Penerangan PAS Pusat

Isnin, Ogos 16, 2010

Pemimpin BN Kena Terima Nasihat Koh Tsu Koon

Parti Islam Se-Malaysia PAS menyambut baik cadangan Presiden Gerakan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon yang menasihati parti politik supaya membuang budaya politik negatif dan mewujudkan suasana yang lebih selesa dan harmoni. Beliau dengan ikhlas menyatakan perkara ini terjadi terutama selepas PRU 2008, di mana politik dendam antara satu sama lain.

PAS mengharapkan supaya Tan Sri Dr Koh Tsu Koon membawa idea ini ke Majlis Tertinggi Barisan Nasional supaya anggota komponan BN pandai menghormati keputusan rakyat dalam sebuah negara demokrasi yang telah memilih parti-parti yang bertanding. Adat perlawanan ada pihak kalah, dan pihak menang. Hormatlah semangat federalisme yang telah diterima pakai di negara ini. Buanglah sifat tidak menghormati undang-undang dan perjanjian seperti hak royalti minyak kepada Kelantan dan Terengganu.

PAS menasihatkan supaya Umno dan BN belajarlah menjadi pembangkang yang baik, seperti yang PAS alami. Pemimpin BN perlu belajar daripada PAS dalam sepak terajang politik. PAS pernah bersama dengan kerajaan di peringkat pusat pada tahun 1970, sehingga ditendang keluar daripada BN. PAS pernah memerintah di Kelantan, kemudian kalah, setelah memerintah 18 tahun sejak 1959. Berkat kesabaran maka rakyat memberi kepercayaan kembali pada tahun 1990 hingga kini. Pas pernah menang di Terengganu 1959 kemudian jatuh melalui undi tidak percaya 1961, kemudian menang 1999 dan kalah 2004. Inilah roda putaran perjuangan PAS dalam sebuah negara demokrasi. Walaupun PAS sedar perjalanan demokrasi yang penuh tempang namun PAS tetap menyuburkan demokrasi, kerana ini adalah satu jalan untuk PAS merealisasikan cita-cita perjuangan PAS. Malangnya sikap ini tidak ada kepada Umno/BN, yang tidak sabar dan tidak tahu menjadi pembangkanag. Pemimpin BN kena sedar bahawa sebuah kerajaan ada ajal, terimalah hakikat ini. Perjuangan seperti roda , ada ketika berada di atas dan ada ketika berada di bawah.

PAS mengharapkan nota peringatan yang diberikan oleh Presiden Gerakan akan memberikan satu sinar baru dalam politik Malaysia. Biarlah tunjuk kematangan berpolitik setelah negara hendak menyambut kemerdekaan kali ke 53. Janganlah berpolitik seperti negara baru mengenal tamadun dan kemajuan.


Ustaz Idris Ahmad

Ketua Penerangan PAS Pusat

Jumaat, Ogos 13, 2010

FADHILAT RAMADHAN.

Sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud "Sedekah itu adalah sesuatu yang paling besar (diulangi oleh baginda sebanyak 3 kali)" al-Hadith.

Hadith daripada Abu Hurairah r.a. katanya "Aku dengar Rasulullah s.a.w. bersabda :"Jangan kamu tolak orang yang meminta walaupun dia kafir". Kata seorang sahabat;'Ya Rasulullah bahwa kami bersedekah dengan sesuatu dari harta kami kepada orang kafir?' Jawab nabi : "Bahwa mereka adalah mahluk Allah. Sebenarnya sedekah itu jatuh pada tangan kudrat tuhan yang rahman".

Bersedekahlah setiap hari pada bulan ramadhan, tinggi pahalanya kerana kelebihan dan kemuliaan ramadhan. Bersedekah dibulan puasa diampunkan dosa yang banyak dan berlipat kali ganda pahalanya. Dicurahkan rahmat oleh Allah, dijauhkan dari azab neraka, didekatkan syurga dan terjauh dari bala bencana.

Kata ulama'; sedekah itu 10 kepujian. 5 di dunia dan 5 di akhirat.
5 di dunia :
  1. menyucikan harta
  2. menyucikan badannya
  3. menolak bala' dan penyakit
  4. menggembirakan orang miskin dan menggembirakan orang mukmin adalah semulia-mulia amal
  5. berkat hartanya dan diluaskan Allah rezekinya
5 di akhirat :
  1. dinaungkan Allah orang yang bersedekah di hari kiamat ketika sangat panas
  2. ringan hisabnya
  3. berat timbangan amalannya di akhirat
  4. mudah melalui titian sirat
  5. bertambah darjatnya didalam syurga
Peringatan !
  • Singkirlah jauh-jauh perasaan ujub, riya', takbur, sum'ah, hasad dengki dan perkelahian kerana itulah racun dalam amalan yang akan menghapuskan amalan-amalan kamu kerananya.
  • Kalau tidak dapat diamalkan semuanya, janganlah tinggalkan semuanya. Buatlah dan amalkanlah sekadar kemampuan menurut sejauh mana lemah dan kuatnya iman pada diri kamu.
  • Bawalah dan teruskanlah amalan ini sehingga diluar bulan ramadhan serta menjadi amalan seharian kamu.
Sehari demi sehari umur kita kian menghujung. Perbanyakkanlah amal ibadat kita demi untuk mencapai keredhaan Allah swt semata-mata. Insya'allah akan tergolong kita kedalam golongan hamba-hambaNya yang solihin. Amin!


Khamis, Ogos 12, 2010

Pelajar Tertarik Pada PAS kerana Umno Hanya Mampu Berikan Duit, Bukannya Kebenaran

Dakwaan Pengerusi Biro Kelab UMNO Luar Negara, Datuk Ahmad Shabery Cheek bahawa Parti Islam Se-Malaysia (PAS) membelanjakan puluhan juta bagi melahirkan pemimpin dan penyokong di Mesir adalah satu dakwaan yang terdesak oleh kumpulan yang kecewa kerana tidak mendapat sokongan rakyat.

PAS mengucapkan terima kasih kepada Shabery kerana telah menunjukan kemampuan PAS kepada rakyat yang berjaya menarik sokongan rakyat dalam dan luar negara. Memang melucukan bila beliau sebut puluhan juta kerana rakyat sedia maklum bahawa PAS bukanlah parti yang mengunakan duit untuk membayar pelajar-pelajar itu sokong PAS. PAS tidak pernah menyalurkan sebarang dana bagi para pelajar di Mesir atau dimana-mana negara luar seperti Umno. PAS bukan parti 'politik wang' macam Umno, PAS adalah parti islam yang berteraskan kebenaran Islam. Hakikatnya pelajar dalam dan luar negara tertarik pada PAS kerana Umno hanya mampu berikan duit bukannya kebenaran dan nilai kemanusiaan.


PAS tidak perlu gunakan duit kerana para pelajar luar negara diyakini sebagai golongan cerdik dan mampu membuat pilihan. Diluar negara tiada akta AUKU, jadi mereka tidak terikat untuk menyokong Umno sahaja. Golongan yang cerdik diluar negara dapat menerima cara pemikiran dan dasar-dasar Islam yang dibawa oleh PAS. Mereka tertarik dengan sikap pemimpin PAS dan tidak mustahil mengambil pemimpin PAS sebagai idola mereka.


Pelajar-pelajar Malaysia ke Mesir dan negara Timur Tengah lainnya begitu hampir dengan lokasi sirah perjuangan Rasulullah saw dan para sahabat, maka tidak menjadi kehairanan jika mereka mudah memahami perjuangan PAS yang berteraskan Islam berbanding dengan Umno yang meminggirkan Islam. Walaupun Kelab Umno mengadakan pelbagai program termasuk membawa Presiden parti mereka ke sana, namun mereka yang cerdik ini tidak terpedaya kerana mereka boleh mengetahui maklumat semasa dinegara ini melalui internet. Kelab Umno telah menaburkan banyak fitnah tentang PAS, namun mereka gagal memperbodohkan golongan yang cerdik ini, sebab itulah Shabery amat kecewa dan mengeluarkan kenyataan tersebut.


Umno kena terima hakikat, kini PAS menjadi pilihan terbaik rakyat kerana kita menjadi pilihan ramai barisan kepimpinan pelapis yang keluar dari universiti tempatan dan luar negara selepas mereka tamat pengajian.


PAS kesal kerana Kementerian Pengajian Tinggi, Kementerian Luar Negeri dan beberapa Yayasan negeri mendiskriminasikan para pelajar diluar negara. Mana-mana yang disyaki menyokong PAS atau ibu bapa mereka pemimpin PAS akan disenarai hitamkan dari menerima bantuan. Inilah antara punca mengapa mereka lebih benci kepada Umno dan melihat kepada PAS. Sewajarnya pihak kementerian dan yayasan mengambil inisiatif bagi membantu semua pelajar Malaysia diluar negara tanpa mengira latar belakang kerana organisasi mereka adalah milik rakyat bukan Umno.

PAS juga kesal kerana berdasarkan dakwaan Shabery, Umno telah menubuhkan Kelab-kelab Umno diluar negara yang mana para pelajar adalah ahli-ahlinya. Mujurlah diluar negara tiadanya akta AUKU dan para pelajar boleh terlibat dengan politik dan menyatakan sokongan mereka kepada mana-mana parti.

Ini berbeza di Malaysia, walaupun Umno mengetuai kerajaan dan Kementerian pengajian Tinggi tapi mereka tidak mampu mewujudkan kelab-kelab Umno dalam kampus lantaran kesilapan mereka mewujudkan akta AUKU. Mereka sendiri mengongkong kematangan pelajar. Apakah bezanya pelajar dalam dan luar negara, usia mereka sebaya, mereka sama-sama menuntut di institusi pengajian tinggi, mengapa yang diluar negara boleh berpolitik dan dalam negara diharamkan. Malaysia kini menuju ke arah negara maju, maka akta seperti AUKU ini adalah tidak releven dan oudated.

PAS berjanji akan memansuhkan akta AUKU ini sekiranya rakyat memberikan mandat kepada Pakatan untuk memerintah negara ini dalam Pilihanraya Umum ke-13. PAS tiada halangan jika Umno mahu adakan Kelab Umno di dalam dan luar negara, begitu juga kepada parti-parti lain termasuk PAS kerana mengikut peraturan pendaftaran pertubuhan setiap parti berhak mengajak mana-mana warganegara ini untuk menjadi Ahli dan menubuhkan cawangan. Dan mengikut perlembagaan dan peraturan Pilihanraya, setiap warganegara berhak memilih parti mana yang mereka suka.


PAS menyeru kepada semua penyokong dan kepimpinan PAS dalam dan luar negara untuk mempergiatkan aktiviti menambahkan keahlian, sokongan dan membina kepimpinan pelapis bagi mengantikan kepimpinan Umno yang ternyata gagal menyediakan kepimpinan berkualiti untuk masa depan negara ini. Pimpinan-pimpinan PAS yang ada bersedia untuk turun ke mana sahaja bagi membina lebih ramai pewaris negara yang berkualiti untuk menyanggah kezaliman Umno dari puncak kuasa.


Ust Idris Ahmad

Ketua Penerangan PAS Pusat

Tun Dr Mahathir Ketinggalan Keretapi

Parti Islam Se-Malaysia PAS menyifatkan Tun Dr Mahathir orang yang ketinggalan kereta api dalam ulasan politik negara pada hari ini. Beliau menuduh bahawa kerjasama PAS dan DAP tidak ikhlas, hanya untuk mendapat sokongan orang Cina. Hebat sungguh Tun Dr Mahthir yang boleh membaca keikhlasan PAS, mungkin makamnya sudah sampai ke maqam mushahadah yang boleh tilik hati perut orang. Apakah salah PAS dan Pakatan Rakyat berpakat untuk menegakkan keadilan yang dilihat oleh semua kaum, dasar BN tidak lagi menjamin keharmonian dan pengagihan kekayaan kepada mereka yang berhak dibela. Umno yang tidak dapat menyembunyikan penindasan sesama bangsa dan agama. Perjuangan “Umno putera” seolah khazanah negara ini milik mereka sahaja.

Tun Dr Mahathir memberi pandangan kononnya PAS tidak ikhlas dalam Pakatan Rakyat, beliau hendak samakan sikap jahat yang ada pada beliau dengan apa yang ada kepada PAS. Janganlah perangai buruk beliau hendak disamakan dengan PAS. Ketika beliau berkuasa dahulu, Tun Dr Mahathir jika bercakap di pentas antarabangsa, memang hebat. Beliau pernah mendapat gelaran “Adi Wira Jagat” oleh puak pengampu dalam Umno. Beliau menjadi hero mengecam dunia barat yang tidak demokratik dan melanggar hak asasi manusia, sedangkan negara yang beliau pimpin waktu itu demokrasi dimatikan dan beratus mereka yang ditangkap dan disumbat dalam penjara kemunting tanpa bicara di bawah ISA. Zaman beliau permit Harakah digantung penerbitan, ceramah diharamkan, royalti di Terengganu ditarik balik, mufti dipecat, ulamak dikecam, bantuan perkapita Sekolah Agama Rakyat ditarik.


PAS berpandangan Tun Dr Mahathir semakin resah dengan perkembangan politik negara, yang sudah meninggalkan pemikiran politik perkauman yang beliau warisi. Generasi muda yang terdedah dengan maklumat terbuka mahu mewujudkan kerajaan yang telus dan adil. Paling menakutkan sekali ialah jika Pakatan Rakyat berkuasa di peringkat pusat, inilah yang menjadi mimpi ngeri beliau. Maka beliau cuba hendak menimbulkan keraguan kepada pengundi Cina terhadap kejujuran PAS. Dalam masa yang sama menakutkan pengundi Melayu supaya menjauhi PAS, kerana menjadi kuda tunggangan Dap.

PAS berpendapat Dr Mahathir seorang yang cukup kecewa dengan parti yang beliau pernah terajui selama 22 tahun. Beliau cuba hendak mengalihkan isu yang melanda negara pada hari ini samaada dari segi politik, ekonomi, kehakiman dan keruntuhan sosial di kalangan remaja. Kita mendoakan semoga Allah panjangkan umurnya untuk melihat kesan daripada dasar yang beliau laksanakan dan warisi kepada pengganti beliau sehingga rakyat dihimpit dengan berbagai masalah di negara ini.

Sebelumnya Tun Dr Mahathir cuba hendak bela secara membuta tuli Kerajaan BN kerana pelaburan langsung asing (FDI) yang lari daripada negara ini. Beliau mengatakan kebanyakan negara dan syarikat asing tidak mempunyai wang untuk dilaburkan di luar negara, sebaliknya mereka juga ingin melabur di negara sendiri berikutan kadar pengangguran yang tinggi di tempat masing-masing. Walaupun hakikatnya di negara-negara jiran FDI lebih baik daripada Malaysia. Menurut Laporan yang dikeluarkan oleh Sekretariat Negara-Negara ASEAN, Malaysia hanya mampu meraih pelaburan bernilai USD 1, 381 juta sahaja pada 2009 berbanding USD 7, 318 juta pada 2008. Kejatuhan nilai pelaburan ini adalah yang tertinggi berbanding negara ASEAN lain.Malaysia yang tersenarai dalam kumpulan ASEAN 5 ketinggalan dengan negara Indonesia, Filipina, Thailand dan Singapura.


Beliau membela hanya kerana mahu berterima kasih kepada Najib kerana melantik anak beliau Mukriz menjadi Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri iaitu Kementerian yang bertanggungjawab menarik pelaburan asing ke dalam negara. Tun Dr Mahathir juga kena membuktikan supaya Tun Abdullah Ahmad Badwi tidak menempelak beliau, kerana dulu beliau mengecam jikalau Tun Abdullah letak jawatan maka Umno dan negara akan maju. Sekarang Tun Abdullah mampu senyum dan biarkan Tun Mahathir terjun dengan labunya. Yakinlah PAS mampu menggantikan Umno di negara ini insyaAllah.

Ustaz Idris Ahmad

Ketua Penerangan PAS Pusat


BERSAMAMU GAZA

Program ini telah berlangsung seperti yang dirancang dan mendapat sambutan yang menggalakkan daripada penduduk setempat. Hampir RM5000.00 telah berjaya dikumpul daripada orang ramai yang datang berkunjung ke IOI Mall semasa program berjalan. Jumlah keseluruhan sumbangan yang berjaya di kutip ialah sekitar RM60,000.00 dalam tempuh sebulan program ini berjalan.

Sumbangan telah disampaikan terus kepada wakil rakyat Palestin yang hadir pada petang itu manakala sumbangan orang ramai telah disampaikan oleh Al-Fadhil Dr Mohd Asri Zainal Abidin, mantan Mufti Kerajaan Negeri Perlis.

Program telah diisi dengan persembahan kanak-kanak Tadika Darul Ilmu dan PASTI Kawasan Gelang Patah disamping deklamasi sajak dan ceramah yang bertemakan penderitaan rakyat Palestin khususnya di Gaza. Persembahan multi media mengenai kesengsaraan rakyat Palestin akibat kekejaman rejim zionis Yahudi telah berjaya memukau dan menyentuh hati para hadirin yang hadir.

Kesimpulannya gabungan ngo-ngo Islam yang bersatu bagi menjayakan program ini telah berjaya mendedahkan kepada masyarakat tentang penderitaan yang sedang ditanggung oleh rakyat Palestin. Sesungguhnya rakyat Malaysia turut merasai apa yang sedang mereka alami di bumi Palestin.












Ahad, Ogos 08, 2010

Semalam Bersamamu GAZA di Surau Al-Hidayah, Jalan Jati.

Bandar Putra, Kulaijaya 07.08.2010.

Alhamdulillah, malam tadi pada julung kalinya Surau Al-Hidayah, Jalan Jati menerima tetamu Palestin iatu 3 orang pelajar yang berasal yang 2 daripadanya Tebing Barat manakala seorang lagi daripada Semenanjung Gaza. Mereka diketuai oleh Saudara Abdul Hadi Bin Junaidi. Tujuan kedatangan mereka adalah sebagai mengisi program Bersamamu GAZA yang akan berlangsung di IOI Mall pada hari ini (Ahad, 08.08.2010)iaitu majlis pra program.

Pertama-tamanya, Sdr. Abdul Hadi menayangkan 2 tayang video yang memaparkan penderitaan Umat Islam Palestin terutamanya di Gaza pada sekitar tahun 2007 hingga yang terkini. Tayangan tersebut begitu meruntun hati kami,penderitaan akibat kezaliman tentera Yahudi Laknatullah tiada tolok bandingnya pada ketika ini. Mereka bermaharajalela seolah-olah tiada lagi nilai-nilai kemanusiaan.

Seterusnya beliau membuka pembicaraan dengan memaparkan pemecahan wilayah Palestin seawal tahun 1922 hingga ke tahun 1948 atas restu PBB. Pemecahan wilayah umat Palestin yang cintakan pendamaian ini sehinggalah wilayah ini terpisah 2 iaitu Semenanjung Gaza dan Tebing Barat yang hanya meliputi kurang 8% daripada keluasan wilayah Palestin yang asal.

Masalah Palestin ini bukan hanya masalah umat Palestin, bukan sahaja masalah umat Arab tetapi masalah umat Islam seluruh dunia. Kami mempertahankan bumi ini kerana inilah bumi para anbia', bumi dimana Nabi Muhammad SAW di Mikrajkan yang merupakan kiblat pertama umat Islam dan Masjid suci ke 3 dalam Islam. Kami merayu bantuan saudara-saudara Islam kami diseluruh dunia, bagi membantu kami mempertahankan kota suci Baitul Maqdis ini. Yahudi Laknatullah cuba merosakkan masjid Aqsa sedikit demi sedikit dengan perancangan tersusun mereka. Walaubagaimana pun usaha mereka setakat ini masih digagalkan hasil pertolongan daripada Allah SWT.

Beliau juga mengingatkan umat Islam disini bahawa beliau akan menuntut di hadapan Allah SWT di Akhirat kelak diatas kelalaian umat Islam yang gagal membantu kami bagi mempertahankan, membebaskan Aqsa dan maruah Islam. Beliau mengakhiri ucapan dengan menjemput hadirin sekalian ke Palestin bagi bersama-sama berjuang dan menunaikan solat di Masjid Aqsa yang kita cintai.

Majlis ditutup dengan ucapan Ustaz Muhammad Hisham Bin Muhammad Zin selaku Timbalan Pengarah Program Bersamau GAZA, beliau merayu umat Islam terutamanya di Bandar Putra ini menyampaikan maklumat program ini kepada jiran-jiran kita yang lain termasuk juga mereka yang bukan beragama Islam, kerana masalah Palestin ini mutakhir ini telah menjadi masalah kemanusiaan sejagat. Sdr. Abdul Hadi mengalungkan selendang Palestin kepada Ustaz Muhammad Hisham sebagai simbolik penghargaan Palestin kepada usaha Yayasan Amal Malaysia, Caw. Johor secara khususnya dan umat Islam di Malaysia secara amnya.

Allahukbar...Allahukbar...Allahukbar.








Rabu, Ogos 04, 2010

Polis Diminta Jaga Keselamatan Negara Bukan Keselamatan Umno

Parti Islam Se-Malaysia PAS membantah sikap primitif dan tidak bertamaddun polis yang bertindak kasar terhadap ceramah dan himpunan aman yang dilakukan oleh Pakatan Rakyat di negara ini. Antaranya tangkapan dan gangguan ceramah oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim di Rengit Batu Pahat pada 31hb Julai 2010. Polis bertindak mengosongkan pentas, merampas pembesar suara dan menghalau penyokong dari tapak ceramah.. Sekurang-kurang-kurangnya 9 ditangkap terdiri dari 7 lelaki dan 2 wanita.. Polis juga didakwa bertindak mengoyakkan backdrop penganjur yang digantung di pentas utama.

Di Himpunan Warga Felda Kebangsaan di Changkat Lada, Pasir Salak, Seramai 30 orang termasuk 10 anggota Unit Amal telah ditahan polis pada 1 Ogos 2010.

Manakala 1hb Ogos 2010 , himpunan di. upacara menyalakan lilin anti ISA di Padang Timur berhampiran bangunan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) seramai 29 orang ditangkap, 21 lelaki dan 8 perempuan.

PAS sungguh kecewa terhadap tindakan yang dilakukan oleh polis, ketika kadar jenayah meningkat, buang anak menjadi-jadi. Manakala pihak polis sanggup memerah otak untuk menyekat rakyat mendapat maklumat yang sebenar. Adalah tidak adil ketika media elektronik kerajaan BN memfitnah Kerajaan Pakatan Rakyat, tetapi Pakatan Rakyat tidak dibenarkan menjelaskan cerita yang sebenar.

PAS mengharapkan polis perlu menjaga keselamatan negara, bukan keselamatan Umno. Bertindaklah secara professional, beri keutamaan kepada apa yang patut dilakukan untuk kepentingan rakyat dan negara bukan untuk kepentingan Umno BN.

PAS yakin tindakan ini sebagai satu usaha, kerana Umno sudah berada penghujung hayat, kerana apa yang dikhabarkan oleh Umno, rakyat tidak percaya. Maka satu jalan sahaja yang ada kepada mereka ialah menggunakan kuasa dengan mengarahkan pihak polis menganggu ceramah PAS dan Pakatan Rakyat.

PAS yakin tindakan yang dibuat oleh polis bukan rakyat semakin takut, malahan semakin benci dengan Umno/BN, dan yang paling kita bimbang moral dan emej polis akan tercalar di mata rakyat. Sekiranya Pakatan Rakyat memerintah di peringkat pusat, kesemuanya mereka yang bertindak secara tidak profesional akan dihadapkan ke pengadilan.

Ustaz Idris Ahmad

Ketua Penerangan PAS Pusat

Pendakwaan Liong Sik Buktikan Kewujudan Penyelewengan Kalangan Pemimpin BN

Pendakwaan Tun Dr Ling Liong Sik yang juga bekas Presiden MCA merangkap menteri kanan di zaman pemerintahan Mahathir membuktikan bahawa dakwaan Pakatan selama ini berhubung wujudnya penyelewengan dalam skandal Zon Perdagangan Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) adalah benar. Ini sekaligus mengesahkan bahawa desakan Pakatan Rakyat yang mahu kes PKFZ ini dibongkar selama ini adalah benar dan memang wujud penyelewengan dalam pentadbiran kerajaan BN. Liong Sik yang juga mantan Menteri Pengangkutan bertanggungjawab bagi mempengaruhi keputusan Kerajaan bagi pembelian tanah seluas 999.5 ekar bernilai RM1,088,456,000.00 di Pulau Indah.

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) yakin bahawa ramai lagi pihak yang terlibat dalam penyelewengan ini dan Liong Sik hanyalah kambing hitam bagi menunjukan lakonan 'kejujuran' Kerajaan BN hari ini bagi menutup kes PKFZ.

PAS juga curiga dengan kenyataan Menteri Pengangkutan yang baru, Datuk Seri Kong Cho Ha yang mengatakan bahawa siasatan ke atas skandal PKFZ adalah “mencukupi” dan tidak perlu bagi isu itu disemak semula. Malah kenyataan Cho Ha yang membenarkan pembayaran semula bon bernilai RM228 juta juga bercanggah dengan keadaan semasa dimana kes penyelewengan PKFZ masih dalam perbicaraan mahkamah.

Di samping itu kerajaan akan melakukan kesilapan kedua jika melunaskan bayaran bon itu kerana syarikat Kuala Dimensi Sdn Bhd (KDSB) yang merupakan kontraktor utama PKFZ, yang mengeluarkan bon tersebut telah dheret ke mahkamah oleh Pihak Berkuasa Zon Bebas (PKA) kerana membuat tuntutan berlebihan dan tidak menyiapkan kerja mereka seperti yang dijanjikan.

Kegagalan KDSB yang dimiliki oleh jutawan Datuk Tiong King Sing yang juga ahli parlimen BN menambahkan lagi kekusutan skandal PKFZ kerana sekaligus ia menyambung siri penyelewengan ke atas projek berkenaan. Ini menunjukan PKFZ merupakan sebuah projek khas bagi menyara pemimpin BN dan kroni mereka bermula dengan menipu untuk membeli tapak, kemudian menipu dalam proses perancangan dan penyediaan pelan serta menipu dalam proses pembinaan.

Bayangkanlah kerugian besar wang rakyat dalam projek ini yang pada asalnya dilaporkan hanya berjumlah RM RM1.957 bilion tetapi akhirnya didakwa meningkat kepada RM4.947 bilion, lebih dari dua kali ganda.

PAS mengesa agar kes ini terus dibuka untuk siasatan dan kerajaan tidak perlu membuat apa-apa bayaran lagi kepada mana-mana pihak yang terlibat selagi kes ini tidak diselesaikan di Mahkamah. Kes ini baru bermula dan Menteri Pengangkutan yang baru tidak berhak untuk menutup kes ini begitu sahaja melainkan jika beliau juga mempunyai kepentingan atau mahu menyelamatkan maruah BN.

PAS berharap rakyat membuka mata kerana pemimpin BN akan terus melakukan penipuan sebegini. Apa sahaja projek mega yang diumumkan mereka pasti ada ketirisan wang rakyat.

PAS juga berharap rakyat membuka mata kerana kes yang sama tidak mustahil akan berlaku termasuklah dalam kes pembangunan semula kampung Baru, Kuala Lumpur yang diwar-warkan kerajaan akhir-akhir ini.

Kerajaan sudah mengumumkan mahu membeli tanah-tanah penduduk dengan harga yang sangat murah sekitar RM 250-RM 300 sekaki persegi. Tetapi selepas itu mahu mengeluarkan bon projek bernilai tinggi yang kemudiannya projek itu akan dibangunkan oleh kroni mereka di dalam GABEM (Biro Ekonomi Umno) dan seterusnya disewa gadaikan kepada pihak ketiga dengan harga lebih 3 kali ganda dari nilai yang dibayar kepada penduduk.

Sebelum satu lagi fail skandal dibuka, PAS mengingatkan rakyat supaya menukar Kerajaan dalam Pilihanraya akan datang demi kebaikan mereka dan menyelamatkan wang negara.

Ust. Idris Ahmad

Ketua Penerangan PAS Pusat


ZIARAH RAMADHAN AL MUBARRAQ 1431H

Program ini telah pun berjaya dilaksanakan pada 19 dan 20 Sya'ban 1431H bersamaan 31 Julai dan 1 Ogos 2010. Tumpuan adalah disekitar kawasan kediaman di dalam DUN Bukit Permai yang melibatkan lokaliti berikut :
1. Bandar Putra
2. Kg Pertanian dan Separa
3. Seng Kang
4. Taman Anjaria
5. Felda Taib Andak
6. Sedenak
7. Taman Manis
8. Kg Murni Jaya
Seramai 30 keluarga miskin telah diziarahi dan diraikan dengan sumbangan berbentuk hamper barangan makanan. Program ini bertujuan untuk mendekatkan lagi PAS dengan masyarakat khususnya kepada golongan yang memerlukan perhatian agar mereka juga dapat merasai bagaimana golongan berada menyambut ramadhan.

Selain itu program ini juga bagi menterjemahkan slogan 'PAS Untuk Semua' dan tema Muktamar ke 56 PAS pada tahun ini iaitu 'Islam Adil Untuk Semua' ke dalam masyarakat.
Kepada para dermawan dan petugas yang telah menjayakan program ini, PAS Kawasan Kulai mengucapkan setinggi tahniah dan terima kasih. Semoga jasa dan bakti yang ditabur mendapat balasan yang setimpal disisi Allah swt.