Selasa, Mac 30, 2010

Muktamar Dewan Pemuda PAS Kawasan Kulai kali ke 20.

Alhamdulillah, Muktamar DPPK Kulai kali ke 20 telah di adakan pada tanggal 28.03.2010 yang lepas. Muktamar pada kali telah memecah tradisi yang lazimnya hanya di adakan di PUSTAKA atau Markas PAS Kawasan sahaja, tetapi dengan berkat kerjasama dan sumbangan daripada ahli sekalian, DPPK Kulai telah mengorak langkah ke depan dengan mengadakan Muktamar ini di Palm Villa, Bandar Putra, Kulaijaya.

Sesungguhnya ia adalah cabaran kepada Pemuda yang mendatang bagi mengekalkan situasi ini bagi menarik minat pemuda-pemuda di Kawasan Kulai ini, Insya Allah. Kami berharap ianya akan menjadi penanda aras bagi kepimpinan Pemuda kini dan yang akan datang.

Muktamar kali menyaksikan julung kalinya Ketua DPPK Kulai, Hj Afandi Bin Abdul Samad menyampaikan ucapan tema yang akan menjadi dasar perjuangan pemuda pada tahun ini. Ucapan yang cukup bernas dan matang ini di harapkan dapat memotivasikan pemuda dan menjadi garis panduan perjuangan Pemuda pada tahun ini.

Ucapan YDP PAS Kawasan Kulai, Ustaz Muhammad Hisham Bin Muhammad Zin selepas itu terus menyuntik semangat dan menyedarkan Pemuda tentang perlunya penyesuaian dan cara terkini mendekati Pemuda pada dewasa ini.

Upacara perasmian ini disempurnakan oleh Sdr. Suhaizan Bin Kaiat yang merupakan Ketua Penerangan DPPP merangkap Timbalan Ketua DPPN Johor. Ucapan beliau banyak memfokuskan kepada perkhidmatan pemuda kepada masyarakat setempat. Mengambil beberapa contoh di mana jika perkhidmatan yang di berikan itu berkesan, masyarakat setempat pasti tidak akan melupakankannya dan pasti akan memberikan sokongan yang berterusan kepada perjuangan kita, Insya Allah.


Perasmian ini selesai pada jam 12.10 tengah hari dan bersambung dengan Muktamar Penuh Dewan Pemuda PAS Kawasan Kulai sekitar setengah jam selepas itu. Muktamar pada kali menampilkan perbahasan yang lebih baik berbanding tahun-tahun terdahulu dan yang pastinya memberi idea-idea yang baru bagi melicinkan perjalanan DPPK Kulai selepas ini, Insya Allah.

Muktamar di tangguhkan dengan para muktamirin sekalian merapatkan saf, bahu membahu dengan membaca Doa Wehdah beramai-ramai secara lantang sekitar jam 3.30 petang.
Alhamdulillah, Muktamar telah selesai tetapi perjuangan baru sahaja bermula ...

Allahuakbar .... Allahuakbar .... Allahuakbar

Pemuda Melangkah Gagah

Setiausaha DPPK Kulai

Ahmad Thobroni Bin Abu Bakar.

*** sedikit pandangan daripada muktamar ***






Jumaat, Mac 19, 2010

Akhlak Muslim : Berbakti Kepada Ibubapa.

Firman Allah swt :

وَقَضَى رَبُّكَ أَلاَّ تَعْبُدُوا اِلاَّ اِيَّاهُ وَبِاْلوَلِدَيْنِ اِحْسَنً ، اِمَّا يَبْلُغَنَّ عِنْدَكَ اْلكِبَرَ أَحَدَهُمَا أَوكِلاَهُمَا اُفٍّ وَلاَ تَنْهَرْهُمَا وَقُلْ لَهُمَا قَوْلاً كَرِيْمَا .

وَاخْفِضْ لَهُمَا جَنَاحَ الذُّلِّ مِنَ الرَّحْمَةِ وَقُلْ رَبِّ اَرْحَمْهُمَا كَمَا رَبَّيَانِيى صَغِيْرًا .

Ertinya :

“Dan telah menentukan Tuhan mu, bahwa jangan engkau sembah kecuali Dia, dan hendaklah kepada kedua ibu-bapa engkau berbuat baik. Jika kiranya salah seorang mereka atau keduanya telah tua dalam pemeliharaan engkau, maka janganlah engkau berkata uff/ahh kepada keduanya dan janganlah dibentak mereka dan katakanlah kepada keduanya kata-kata yang mulia.

Dan hamparkanlah kepada keduanya sayap merendahkan diri kerana sayang dan ucapkanlah : Ya Tuhan ! Kasihanilah keduanya sebagaimana keduanya memelihara aku dikala kecil”.

( Al-Isra’ [17] : 23-24 ).

Sabda Rasulullah s.a.w. kepada seorang lelaki yang bertanya kepada baginda :

مَنْ اَحَقُّ بِحُسْنِ صُحْبَتِيى؟ قَالَ : اُمُّكَ قَالَ : ثُمَ مَن؟ قَالَ اُمُّكَ قَالَ: ثُمَ مَن؟ قَالَ اُمُّكَ قَالَ : ثُمَ مَن؟ قَالَ اَبُوكَ .

Ertinya :

“Siapa yang berhak aku pergauli (layani) dengan baik. Nabi s.a.w. menjawab : Ibu mu. Kemudian siapa? Nabi s.a.w. menjawab : Ibu mu. Kemudian siapa? Nabi s.a.w. menjawab : Ibu mu. Kemudian siapa? Nabi s.a.w. menjawab : Bapa mu”.

(Muttafaqun alaih)

Kisah al-Qamah yang tidak dapat mengucap kalimah syahadah ketika sakaratul maut kerana melukakan hati ibunya akibat melebihkan isterinya walaupun beliau seorang anak yang soleh. Tanpa kemaafan daripada ibunya al-Qamah berhadapan dengan segala kepayahan dalam berhadapan saat kematian. Perkara ini disampaikan kepada Rasulullah s.a.w. dan baginda meminta ibu al-Qamah memaafkannya tetapi ia enggan. Lalu baginda memerintahkan sahabat menumpulkan kayu api untuk membakar al-Qamah. Melihatkan tindakan Rasulullah s.a.w. itu, ibu al-Qamah memaafkan anaknya maka dapatlah al-Qamah mengucapkan kalimah syahadat ketika menghembuskan nafas yang terakhir.

Dalam hadith yang lain Nabi s.a.w. bersabda :

لآ يَجْزِى وَلَدٌ وَالِدً اِلاَ اَنْ يَجِدَهُ مَمْلُوكًا فَيَشْتَرِيْهِ فَيُعْتِقُهُ .

Ertinya :

“Seorang anak tidak dianggap membalas budi bapanya, kecuali ia dapati bapanya sebagai sahaya, lalu ia membelinya dan memerdekakannya”.

(Muttafaqun A’laih)

Seorang lelaki menghadap Nabi s.a.w. meminta izin kepada baginda untuk ikut berperang di jalan Allah. Nabi bersabda :

اَحَيٌّ وَالِدُكَ؟ قَالَ نَعَمْ ؛ قَالَ فَفِيْهِمَا فَجَاهِدْ .

Ertinya :

“Apakah ibu-bapa kamu masih hidup? Ia menjawab : Benar. Nabi s.a.w. menjawab : Mengurusi kedua orang tua mu itu juga berjihad”.

(Muttafaqun A’laih).

Didalam tafsir al-Azhar, Almarhum Prof Dr.Hamka mengatakan :

Pada ayat diatas ada disebut kata اُفٍّ .

Abu Raja’ al-Tharidi mengatakan bahwa اُفٍّ ialah kata-kata yang mengandungi kejengkelan dan kebosanan meskipun tidak diucapkan dengan keras.

Ahli bahasa pula mengatakan bahwa kalimat اُفٍّ itu asal artinya ialah daki hitam dalam kuku.

Mujahid dalam menafsirkan ayat ini menyatakan :

Jika engkau melihat salah seorangnya atau keduanya telah berak atau kencing di mana maunya saja sebagaimana engkau lakukan sewaktu engkau kecil, janganlah engkau mengeluarkan kata yang mengandungi keluhan sedikit pun.

Maka kata اُفٍّ dapatlah diartikan mengandungi keluhan, rungutan, kerut kening, cis, akh dsb. Jelaslah rungutan dan keluhan walau betapa kecil sekalipun hendaklah dihindari apatah lagi membentak atau mengherdik.

Ucapkanlah kata yang baik, yang mulia dan beradab. Imam Atha’ mengatakan : jangan sekali-kali disebut nama beliau. Panggilah dengan panggilan ayah-ibu ; abuya-ummi dsb iaitu perkataan yang mengandungi perasaan cinta dan kasih sayang. Hebat manapun kedudukan kamu setelah dewasa, perlihatkanlah dihadapan kedua mereka bahwa kamu adalah anaknya.

Nabi s.a.w. setelah berjaya menakluki Bani Sa’ad, telah bertemu semula dengan ibu susuan baginda iaitu Halimahtus Sa’diyah yang sudah sangat tua. Ketika perempuan tua itu datang kepada baginda, baginda nabi s.a.w. telah menanggalkan jubahnya lalu menyuruh ibu susuannya itu duduk diatas jubah tersebut dan baginda menyandarkan kepalanya didada Halimahtus Sa’diyah.

Sebab itu Allah menuntut kita :

وَاخْفِضْ لَهُمَا جَنَاحَ الذُّلِّ مِنَ الرَّحْمَةِ : Dan hamparkanlah kepada keduanya sayap merendahkan diri kerana sayang. Peluk dan ciumlah mereka nescaya airmata keterharuan akan berlinang dan mengalir dipipi mereka tanpa disedari. Itulah sebabnya dalam ayat ini ditekankan مِنَ الرَّحْمَةِ kerana kasih sayang yang datang dari lubuk hati yang tulus dan ikhlas.

Kesimpulan.

  1. Taat kepada perintah dan menjauhi larangan yang diberikan kedua orang tua dalam hal-hal yang bukan berbuat maksiat kepada Allah.
  2. Wajib menghormati dan mengagungkan martabat kedua mereka serta merendahkan diri kepadanya. Wajib memuliakan mereka dengan kata-kata dan perbuatan dan dilarang membentaknya. Tidak boleh berbicara lebih keras daripada mereka. Tidak boleh berjalan di hadapan mereka. Tidak boleh mereka diganggu oleh isteri dan anak. Tidak boleh memanggil namanya tapi harus memanggil dengan panggilan ayah/ibu dan jangan keluar tanpa izin dan keredaan mereka.
  3. Hendaklah berbuat baik kepada orangtua dengan berbagai macam kebaikkan seperti memberi mereka makan, pakaian dan ubat, menghindarkan mereka daripada bahaya dan ancaman dan bersedia menjadi pesuruh apabila diperlukan.
  4. Bersilaturahim dengan mereka yang telah terjalin hubungan dengan kedua orangtua, mendoakan, memohonkan ampun bagi kedua mereka dan melaksanakan janjinya serta menghormati sahabatnya.

Isnin, Mac 08, 2010

Para Pejuang Islam Perlu Bijak Mengurus Masa.

Semasa menulis artikel ini penulis sedang bermusafir kerana menjalankan tugas rasmi di Perlis. Masa terluang yang ada dimenafaatkan dengan menatap buku karangan Dr Daniel Zainal Abidin yang bertajuk Minda Muslim Super. Antara yang menarik minat penulis untuk menukilkan apa yang terkandung dalam penulisan beliau ialah mengenai pengurusan masa.

Dibawah tajuk 'Ibadah Melahirkan Pengurus Masa yang Baik', Dr. Daniel mengulas bahwa Rukun Islam sebenarnya menekankan berkenaan masa. Latihan-latihan yang terdapat didalamnya mampu mendidik umat untuk menjadi pengurus masa yang baik. Sebagai contoh, solat waktu yang diwajibkan keatas setiap mukallaf lima kali sehari semalam juga dikenali dengan sebutan 'solat waktu' kerana ia terikat dengan waktu-waktu yang tertentu. Mereka yang menjaga solat lima waktu perlu peka dengan waktu yang telah ditentukan kerana solat yang dilakukan diluar waktu dengan sengaja dianggap tidak sah. Allah menyatakan dalam Quran yang bermaksud :
"Maka datanglah selepas mereka pengganti (yang keji) yang mensia-siakan solat mereka serta mengikut hawa nafsu, maka kelak mereka menemui kesesatan" (al-Maryam : 59)

Abdullah bin Abas dalam menghuraikan ayat tersebut berkata :"maksud ayat 'mensia-siakan solat' bukanlah meninggalkan solat sama sekali tetapi melewatkan dari waktunya". Imam Said al-Musayyab juga berpendapat yang sama. Beliau menyebut : "mereka yang mendirikan solat zohor dalam waktu asar, solat asar dalam waktu maghrib, solat maghrib dalam waktu isya', solat isya' ditangguhkan sehingga masuk waktu subuh dan menunaikan waktu subuh selepas terbit matahari. Sesiapa yang mati dalam keadaan ini tanpa sempat bertaubat, dia akan dihumban ke dalam lembah yang bernama 'ghay' di dalam neraka dan dihidangkan dengan makanan yang amat jijik".

Begitu juga dengan ibadah-ibadah lain seperti puasa, zakat dan haji yang ditunaikan mengikut waktu-waktu yang ditetapkan. Puasa wajib hanya boleh dilaksanakan apabila tiba bulan ramadhan dan tidak boleh ditunaikan dibulan-bulan yang lain. Sekiranya dilaksanakan juga, maka ia termasuk dalam ibadah sunat. Bahkan ibadah puasa itu sendiri perlu ditunaikan dalam kerangka waktu yang telah ditetapkan. Sekiranya kita bermula lewat dengan sengaja maka puasa itu tidak akan diterima oleh Allah swt. Begitu juga dengan berbuka, sekiranya kita awal walaupun seminit, maka puasa itu dianggap terbatal dan perlu di ganti. Begitulah seterusnya dengan ibadah-ibadah lain yang terkandung didalam Rukun Islam, semuanya ditunaikan didalam waktu-waktu yang ditentukan oleh syara'.

Tetapi kenapa umat Islam yang sepatutnya terdidik untuk menguruskan waktu melalui ibadah-ibadah rutin terutama solat gagal menepatinya. Ironinya, pengurusan masa oleh orang-orang Melayu Islam mendapat jolokan 'janji Melayu' yang seolah-olah telah diterima pakai sebagai satu budaya. Lewat dalam berjanji atau gagal menepati waktu sudah menjadi kebiasaan dan tidak mengapa. 'Biasalah janji Melayu' katanya. Amat menyedihkan lagi apabila ia dilakukan oleh kumpulan-kumpulan yang mengakhirkan setiap program mereka dengan Surah al-Asr.

Gerak kerja Islam adalah satu ibadah dan menjaga waktu juga adalah satu ibadah yang sangat dituntut sehingga ibadah yang dikerjakan diluar waktu tidak dianggap sebagai satu ibadah bahkan ditolak oleh Allah swt. Ahli gerakan Islam tidak seharusnya memandang enteng dalam pengurusan waktu. Seandainya kita gagl mengurus waktu dengan baik, ini bererti ibadah yang telah kita laksanakan selama ini gagal membentuk kita untuk menjadi seorang insan yang menghargai waktu. Betapa banyak waktu yang dibazirkan apabila kita gagal menepati masa, yang membuatkan rakan-rakan lain terpaska terheret sama dalam pembaziran waktu semata-mata kerana menunggu kita yang lewat.

Sebab itu Islam amat menitikberatkan perihal masa. Allah swt bersumpah dengan masa untuk menunjukkan bahwa masa amat berharga. Ibadah-ibadah disusun mengikut masa-masa yang tertentu adalah bertujuan bagi melahirkan umat produktif yang tidak membuang masa dengan melakukan perkara-perkara yang tidak berfaedah. Allah swt menegaskan menerusi firmannya yang bermaksud :
"(Antara sifat orang mukmin yang berjaya) adalah mereka yang berpaling daripada melakukan perkara yang sia-sia". (al-Mukminun : 3)

Sama-samalah kita menghargai masa.




Majlis Sambutan Maulid al Rasul.


Sambutan MauliduRasul peringkat PAS Kawasan Kulaijaya akan diadakan seperti berikut :
  • Tarikh : 27 Mac 2010 (Sabtu)
  • Tempat : PASTI Ar-Raudah, Taman Manis, Kulai.
  • Masa : Selepas solat Isya'
  • Penceramah Undangan : YB Ustaz Nasaruddin Mat Isa (Tim. Presiden PAS)
Kepada para sahabat yang ingin menyumbang bagi menjayakan program ini boleh berbuat demikian melalui :
  1. Setiausaha Kawasan ditalian : 012-7271535
  2. Bendahari Kawasan ditalian : 013-7656136
  3. Ketua Lajnah Tarbiah ditalian : 013-7258442
Sumbangan anda amat dihargai dan didahului dengan ucapan jazakallah khairan kasira.

SEMUA DI JEMPUT HADIR.

Sabtu, Mac 06, 2010

Menggantikan Nikmat Allah swt.

Firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 211 yang bermaksud :
"Sesiapa yang menggantikan nikmat Allah (dengan yang selainnya) selepas ia dikurniakan dengannya, sesunguhnya Allah amat keras siksaannya."

As-Syeikh Said Hawa didalam al-Asas fit Tafsir menjelaskan, 'diantara perbuatan-perbuatan yang dapat dikategorikan sebagai menggantikan nikmat Allah adalah menggantikan sistem undang-undang dan perlembagaan Islam dengan yang lain dari Islam, menggantikan akhlak Islam dengan etika dan moral jahiliyah dan menggantikan kefahaman Islam dengan kefahaman jahiliyah. Sebenarnya umat Islam pada hari ini sudah melakukan kesemua ini. Justeru adakah kita berasa pelik apabila akhirnya bala Allah menimpa kita?'.

Hari ini umat Islam didalam negara Islam yang mempunyai pemimpin dikalangan orang-orang Islam, mencampur adukkan ajaran Islam dengan lainnya tanpa rasa khuatir tentang amaran Allah yang amat keras siksaannya. Daripada empat fiqh Islam iaitu ibadat, munakhat, muamalat dan jenayat, tumpuan hanya memfokus kepada ibadat dan munakahat. Aspek muamalat dan jenayat langsung tidak diambil peduli. Sistem perbankan, pajak gadai dan takaful Islam ditegakkan seiring dengan sistem riba yang diharamkan agama bahkan sistem konvesional masih gagal disaingi oleh sistem muamalat Islam. Kerajaan yang memimpin negara masih meneruskan dan terus berada didalam sistem konvesional. Sistem muamalat Islam diperkenalkan hanya sebagai 'melepaskan batok ditangga' tanpa menunjukkan sebarang kesungguhan. Begitu jugalah berlaku keatas sistem perundangan Islam yang ada.

Pada ayat 85 surah al-Baqarah, Allah mengingatkan manusia menerusi firmanNya yang bermaksud :
"Apakah kamu beriman dengan sebahagian daripada al-Kitab dan kufur dengan sebahagian yang lain? Tidak ada balasan ke atas mereka yang melakukan demikian melainkan mendapat kehinaan di dunia dan di hari kiamat mereka dikembalikan kepada azab yang paling keras."

Said Hawa didalam tafsirnya al-Asas fit Tafsir menjelaskan ' Allah menwajibkan keatas umat ini perkara yang diwajibkan keatas umat yang terdahulu iaitu menegakkan hukum-hukum al-Kitab (dalam konteks hari ini al-Quran). Kita sudah menegakkan sebahagian daripadanya, namun pada masa yang sama kita pinggirkan sebahagian yang lain, lantas Allah menimpakan bala keatas kita berbentuk kehinaan di dunia dan di akhirat nanti azabNya pasti lebih dahsyat lagi.'

Perlembagaan Malaysia yang digubal oleh Suruhanjaya Reid, tidak mengambil kira undang-undang Islam seperti yang termaktub didalam Undang-undang Sivil 1956 (semakan 1972), adalah berasaskan undang-undang Inggeris. Dalam perkara 3(1) (a), (b), (c), 4 dan 5 dinyatakan ; 'Terkecuali peruntukkan lain yang dibuat atau mungkin dibuat kemudian oleh mana-mana undang-undang bertulis yang berkuat kuasa di Malaysia, maka mahkamah hendaklah: Di Malaysia Barat atau mana-mana bahagiannya memakai Common Law England dan kaedah-kaedah ekuiti sebagaimana yang ditadbirkan di England pada 17 April 1956.

Perlembagaan Persekutuan yang berasaskan undang-undang Inggeris ini adalah undang-undang tertinggi di Malaysia dan sebarang undang-undang yang berlawanan dengan kehendak perlembagaan ini dianggap batal dan tidak sah. Peruntukkan mengenainya terdapat dalm Perlembagaan Malaysia perkara 4 (1) iaitu : 'Perlembagaan ini adalah undang-undang utama Persekutuan dan apa-apa undang-undang lain yang diluluskan selepas Hari Merdeka dan berlawanan dengan Perlembagaan ini hendaklah terbatal setakat yang berlawanan itu'.

Inilah yang dimaksudkan oleh Allah "Apakah kamu beriman sebahagian dan kufur sebahagian"... Bagi mereka ini, azab Allah akan menanti di akhirat.

Pesanan buat umat Islam seluruhnya, bagi mendapatkan rahmat Allah, umat Islam wajib berusaha mendaulatkan undang-undang Islam sebagaimana yang sudah ditegakkan oleh Nabi Muhammad s.a.w. di Madhinah. Apabila umat Islam tidak memuliakan Islam, tidak ada siapa yang akan muliakan Islam. Permasaalahan jenayah dan kebejatan moral yang terus meningkat sekarang ini, hanya mampu di selesaikan melalui kaedah Islam. Islam mempunyai jalan terbaik bagi mengatasinya. Yakinlah!!!!!!!

Isnin, Mac 01, 2010

Apabila Manusia Hilang Nilai Kemanusiaan.

Baru-baru ini negara dikejutkan lagi dengan berita penderaan kanak-kanak yang sangat trajis. Kali ini mangsanya ialah seorang kanak-kanak yang berusia 3 tahun bernama Syafia Humairah Sahari yang didera hingga mati oleh teman lelaki kepada ibu anak malang ini. Bedah siasat yang dilakukan oleh pihak hospital menunjukkan kematian anak ini amat sadis sekali.

Pagi Ahad lalu (28 Feb 2010) penulis berkesempatan menghadirkan diri dalam kuliah subuh yang disampaikan oleh Al-Fadhil Us. Mohd Kazim Ellias, seorang penceramah bebas dari Perak di Masjid Ar-Rahman, Taman Putri Kulai. Beliau telah menghuraikan firman Allah swt dari surah Al-Lail dari ayat satu hingga sembilan yang antara kandungannya ialah Allah telah bersumpah demi waktu malam dan siang serta bersumpah tentang diriNya yang telah menjadikan manusia daripada kalangan lelaki dan perempuan. Allah menjelaskan dalam ayat ke 4 yang bermaksud :
"Sesungguhnya amal usaha kamu adalah berbagai-bagai keadaannya".

Al-Fadhil Us Kazim dalam menghuraikan ayat ini menyatakan bahwa manusia yang berperangai buruk akan dirujuk kepada perangai haiwan. Contohnya babi. Babi adalah seekur haiwan yang hanya pandai beranak dalam jumlah yang banyak tetapi tidak pandai menjaga anaknya. Babi tidak kenal anaknya sendiri. Manusia yang tidak pandai menjaga anak mereka mempunyai sifat yang menyerupai babi. Tetapi seteruk-teruk babi yang tidak pandai menjaga anak, ia tidak sampai mendera dan membunuh anak sendiri. Ironinya mahluk yang bernama manusia yang dikurniakan akal oleh Allah swt, berperangai lebih teruk daripada haiwan.

Inilah fenomena yang sedang berlaku di negara kita bahkan berlaku juga dinegara-negara lain yang sewaktu dengannya. Apabila manusia hilang nilai kemanusiaannya, maka jadilah ia seperti haiwan bahkan lebih hina daripada itu. Ibnu Khaldun dalam Mukaddimah menukilkan ' perasaan sukacita dan sukaria merupakan watak yang ditimbulkan oleh pengembangan resapan roh kebinatangan'. Sebab itu kita melihat, apabila manusia yang terlalu seronok berpesta dan bersukaria sehingga gagal mengawal perasaan, akan terjerumus kelembah kebinasaan. Perilaku mereka akan berubah seperti haiwan akibat daripada resapan roh kebinatangan. Kesannya, maka berlakulah seperti apa yang kita lihat sekarang ini dengan pelbagai gejala yang tidak sihat dan menjijikan.

Kita kini sedang berada dalam bulan di mana Junjungan Nabi Besar Muhammad s.a.w. dilahirkan. Setiap masjid dan surau akan mengadakan majlis sambutan Maulidurasul, sehingga ia dianggap sebagai satu acara wajib yang mesti ditunaikan setiap tahun. Pernah kita terfikir, sejauh mana penghayatan sirah Rasulullah s.a.w. dalam memartabatkan Islam di seantero dunia yang telah kita laksanakan? Banyak mana sumbangan kita dalam menyambung tugasan yang telah ditinggalkan oleh Rasulullah s.a.w. serta para sahabat baginda? Cukupkah sekadar menganjurkan sambutan maulid, berarak sambil berselawat dan menjemput penceramah undangan, maka kita tergolong sebagai orang-orang yang telah melaksanakan perintah Nabi s.a.w.?

Sekiranya kita merasakan memadai dengan apa yang telah kita buat, maka kenapa manusia hari ini semakin hari semakin jelek akhlaknya? Dimana letaknya cogankata 'Rasulullah Qudwah Sepanjang Zaman' dipersada kehidupan manusia hari ini?

Apa yang dapat disaksikan diketika dan saat ini ialah, sogokan minda dalam bentuk hiburan gagal disaingi oleh teguran dan nasihat berbentuk agama. Program agama yang dianjurkan tidak memadai jika dibandingkan dengan program yang berbentuk hiburan. Tidak ada salahnya untuk berhibur, tetapi sekiranya ia keterlaluan maka kemusnahan tamadun bangsa itu akan menjadi natijahnya. Inilah yang amat digeruni oleh ahli-ahli agama dan ahli masyarakat yang berfikiran agama. Sebab itu gerakan dakwah muktahir ini dilihat sangat mencabar sehingga menyebabkan para dai'e kini terpaksa memikirkan pendekatan yang selari dengan laluan kehidupan manusia terkini. Pelbagai kaedah dan alternatif dicari untuk sampai kepada kumpulan sasar.

Us. Kazim dalam kuliahnya menyeru agar budaya menegur sesama insan ini harus dihidupkan. Sekiranya budaya ini dapat dihidupkan, maka penyakit umat yang sedang melanda ini sedikit sebanyak akan dapat dibendung. Persoalannya : BERANIKAH KITA MENEGUR?
Tepuk dada tanya Iman!