Rabu, Disember 19, 2012

Bidas kenyataan Ibrahim Ali, NGO R sokong Sinar Harian

WARTAWAN SINAR HARIAN
18 Disember 2012
KOTA BHARU – Gabungan Profesional Menuntut Royalti, Pendaratan Minyak dan Gas ke Kelantan (NGO R) menyifatkan kenyataan Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali bahawa Sinar Harian sebagai akhbar memecah-belahkan kaum sebagai tuduhan tidak berasas.
Presidennya, Nazri Deraman berkata, beliau mendapati tidak ada akhbar yang menggunakan pendekatan sebagaimana dilakukan akhbar berkenaan dalam memberi ruang kepada semua pihak tanpa mengira fahaman dan kelompok.
“Pada saya ia satu tuduhan berunsur sampah, tak ada nilai dan tidak berasas, kerana saya dapati tidak ada lagi akhbar yang memberi ruang kepada semua pihak kecuali Sinar Harian,” katanya, semalam.
Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Ibrahim dalam akhbar perdana semalam bahawa beliau ‘jelik’ dengan laporan Sinar Harian dan sebuah portal web kerana didakwa hanya menyiarkan sebahagian kenyataannya sehingga dilihat seolah-olah menghina kaum lain.
Ibrahim dilaporkan mengeluarkan kenyataan itu semasa menggulung perbahasan Perhimpunan Agung Tahunan Perkasa Ketiga, dua hari lalu.
Nazri turut menempelak Ibrahim yang menyifatkan akhbar ini sebagai akhbar pemecah belah masyarakat sebaliknya berkata, Ahli Parlimen Pasir Mas itu sepatutnya lebih jelas siapa sebenarnya pernah dilabel sedemikian.
“Saya harap Ibrahim Ali secara terbuka akan menarik balik kenyataan yang dibuat,” katanya yang juga Pengerusi Cakna Palestin.
Beliau yang memuji pendekatan Sinar Harian berharap akhbar ini akan terus berpegang pada prinsipnya dengan memberi keadilan dan ruang kepada semua pihak dan membiarkan pembaca menilai sendiri setiap situasi yang berlaku.
“Terima kasih kepada Sinar Harian kerana memberi ruang kepada NGO R dan Cakna Palestin, dan pernah bergabung dengan Cakna Palestin menjayakan misi kemanusiaan. Pada kami, ia akhbar komuniti terbaik dan tidak menampakkan ada unsur memecahbelahkan masyarakat,” katanya.
Nazri turut menyeru Kerajaan Persekutuan memberi ruang kepada media arus perdana lain mencontohi Sinar Harian agar rakyat berpeluang mendapat maklumat secara terus.

Sumber: Sinar Harian . 18 Disember 2012

Tiada ulasan:

Catat Ulasan