Khamis, Disember 30, 2010

Kisah Tauladan Seorang Bekas Polis FRU!

(KISAH BENAR INI DIPETIK DARI muslimeen-united.blogspot.com)

Petang semalam..selepas balik dari Ipoh…aku singgah kat Masjid Ridzuaniah, Kuala Kangsar untuk sembahyang Maghrib.

Masa aku masuk masjid… Imam dah sujud rakaat pertama. tapi ada sorang tu…nak kata tua, tak berapa tua sangat. Lebih kurang aku jugak. Tinggal lagi…janggut aku dah putih…misai dia masih hitam.

Dia dok berjalan dari hujung masjid..sampai hujung sini. Biaq pi la kat dia.

Aku masuk saf bila imam bangkit rakaat kedua. Tapi orang tua tu tak sembahyang juga.

Bila imam bagi salam rakaat ketiga, aku bangkit sambung rakaat ketiga, sebab aku miss rakaat pertama. Masa tu…tiba-tiba orang tua tu mai duduk sebelah aku. Tak betui kot!!

Bila imam baca doa..dia angkat tangan punya tinggi. Khusyuk dan tawadduq! Aku tengok dia menangis..meleleh air mata. Macam Tok Guru Nik Aziz!

Selesai imam baca doa..taqabbalallahu minkum…dia terus bangkit pi salam dengan imam. Dia cium tangan imam tu…imam tu pun senyum. Dia salam dengan semua orang sambil menangis…tapi orang lain semua senyum!!

Dia mai salam dengan aku…masa tu baru aku tau apa yang dia cakap….”saya minta maaf banyak-banyak.” Apa salah dia?

Aku terus keluar masjid…takut selipar hilang.

Baru nak sarung selipar…aku dengar orang menjerit..”hoi..tak payah salam dengan muslimat….depa dah maafkan dah!” Rupa-rupanya dia nak salam dengan muslimat kat belakang.

Aku tanya kat sorang jemaah yang keluar masjid tu..”sapa tu?”

“Polis pencen…tak betui dah!!” jawab sahabat tadi.

Aku tak jadi masuk kereta…aku perati orang tua tu dari jauh. Nak kata gila…aku tengok pakaian dia masih kemas. Kain pelikat dia masih bersih. Baju melayu dia siap dengan butang. Kopiah putih dia tak ada taik lalat. Interesting!

Dia duduk kat atas tangga masjid. menangis tersedu-sedu. Lepas sorang-sorang jemaah keluar masjid..ada yang duduk dalam masjid tunggu isyak. Mana yang keluar dok tepuk belakang orang tua tu…”sabor Yop!”..kata depa.

Bila dah tak ada orang…aku pi kat orang tua. Bagi salam. Dia jawab salam aku. “Waalaikum salam. huk..huk..huk.” Tak gila pun!

“Ada apa-apa yang boleh saya tolong abang?” aku tanya dia.

Dia bangkit dan terus peluk aku. Seriau!

“Abang mintak maaf banyak-banyak adik..abang dah banyak buat dosa kat semua orang.” Tiba-tiba dia berhenti menangis.

“Pasai apa abang tak sembahyang tadi…tapi doa punya baguih!” aku tanya.

“Abang ni polis dik…memang kami tak boleh sembahyang…kena jaga orang sembahyang!” Senafas saja dia menjawab dengan fasih!

“Pasai apa tak tengok saja orang lain berdoa?” aku tanya.

“Yang tu kena buat!! yang tak angkat tangan orang bukan islam saja.” dia jawab. Aku tak tau la dia ni mazhab mana.

“Yang dok pi mintak maaf kat semua orang pasai apa?”

“Sebab dulu…lepas baca doa abang pukui orang. Yang tangkap Badrul Amin baca doa tu abang la. Mana yang melawan kami terajang. Mana yang bangkit kami pukui. Tak kira la lelaki ka…perempuan ka..kami balun semacam saja.”

Macam mana jemaah lain kata dia ni tak betui? apa yang dia cakap semua betui!

“Abang ni masih kerja polis ka?”

“Tak….medikal bod. Dah dua tahun” dia kata. Aku tak pernah kerja gomen…aku tak tau apa dia. Tapi aku buat-buat tau la.

“Abang nak pi mana lepaih ni?” aku tanya.

“Nak ambik anak…dah lama dia tak balik.” dia kata.

“Nak ambik kat mana?” aku tanya.

Dia diam…

“Dah berapa lama tak jumpa anak?” aku tanya.

“Kamu layan orang macam tu…kamu pun jadi macam dia!” Haji Rahman, Che’gu kat Idrissiah cakap kat aku masa dia keluar dari masjid.

Aku tinggalkan orang tua tu. Ikut Haji Rahman…dia ngajak aku minum di Rahmaniah…dekat masjid tu.

“Dulu dia tu FRU…orang sembahyang…dia tak sembahyang. Orang baca doa..dia tadah tangan. Habih orang sembahyang…dia pukui orang sembahyang” Haji Rahman bercerita.

“Nak dijadikan cerita…anak dia pun kena pukui. Anak dia belajor kat universiti…ikut orang sembahyang kat Kampung Baru. Bila anak dia kena pukui…anak dia mula fobia tengok FRU. Bila tengok bapak dia..dia mula takut. Last-last tak pernah balik kerumah.Sampai sekarang. Tu pasai dia merayau dari satu masjid kesatu masjid cari anak dia.” kata Hj. Rahman.

“Ooooo!!!” Habih tu..yang dia pi minta maap kat semua orang pasai apa?”

” Dulu dia jaga orang demo…main belasah saja. Sekali tu orang belasah dia balik. masa dia belasah orang..dia tak kenai. Tapi orang kenai dia. Bila dia balik Bendang Kering…orang balas balik. Sebab orang yang dia pukui masa demo tu bebudak kampung dia jugak. Empat hari koma…bila sedor…jadi macam tu la.” Cerita Hj. Rahman.

“Tapi masa baca doa tadi… aku tengok dia sampai menangis. Mesti dia paham kot?” aku tanya.

“Yang tu dia minta ampun kat Tuhan. Sebab Tuhan bagi dia akal..tapi dia tak pakai. Dulu…bila kita tanya dia pasai apa dia pukul orang…dia kata dia ikut arahan. Betui tak betui…dia tak peduli. Dia ikut arahan…bukan ikut Tuhan. Tuhan kata..jangan menzalimi orang lain. Dia kata …dia ikut arahan Mahathir. Dia lebih takut kat Mahathir dari takut kat Tuhan!”

Kami pun sampai kat Restoran Rahmaniah. “Mamak Zamree!! Teh tarik satu!”

(Buat renungan para polis sekelian).


Selasa, Disember 28, 2010

RM500 Untuk Guru-Guru, Muhyiddin Jangan Melatah.

Parti Islam Se-Malaysia mengharapkan Timbalan Perdana Menteri jangan melatah tidak tentu fasal berkenaan dengan janji RM500 sebulan kepada guru-guru jika Pakatan Rakyat memerintah di peringkat pusat. PAS berasa pelik seorang Timbalan Perdana Menteri mencabar Datuk Seri Anuar Ibrahim menaikkan gaji guru-guru di negeri Pakatan Rakyat.

Iltizam Pakatan Rakyat kepada guru-guru jika Pakatan Rakyat memerintah di peringkat pusat, bukannya sekarang. PAS mengharapkan Tan Seri Muhyiddin tolong perhatikan ayat-ayat yang terkandung dalam buku jingga yang telah diedar di Konvensyen Pakatan Rakyat 19/12/2010. Jangan terlalu gelabah sehingga terlalu emosi dalam membuat kenyataan. Selaku Timbalan Perdana Menteri beliau tentu lebih arif dalam hal kewangan negara dan bidang kuasa kuasa pendapatan negeri yang terlalu kecil, jangan beliau bercakap macam ketua cawangan Umno sahaja.

Kenapa perlu takut dengan janji Pakatan Rakyat? Janganlah buat tuduhan yang tidak menentu. Pakatan Rakyat hanya berjanji untuk menaikkan taraf hidup rakyat dan meletakkan rakyat di tempat yang sepatutnya setelah 53 tahun rakyat dipinggirkan. Sekarang ini pun dengan kekangan kewangan negeri, Pakatan Rakyat telah membuat yang terbaik untuk rakyat, seperti skim kifalah, air percuma, bantuan pendidikan. Pakatan berjanji pada guru-guru untuk peringkat awal, insyaAllah selepas ini semua kakitangan awam akan diambil perhatian juga. Pakatan Rakyat mengambil tindakan awal untuk guru-guru sebagai satu penghargaan dan pengorbanan mereka mendidik rakyat di negara ini.

PAS menasihatkan Tan Sri Muhyiddin dapat turun ke bawah, memerhatikan bagaimana beban guru-guru yang berat , jangan hanya mendesak guru-guru melakukan macam-macam tugas. Guru bukan sahaja mengajar, malahan mereka juga sebagai kerani, bendahari, ambulan untuk hantar murid- sakit dan sebagainya. Sebab itulah Pakatan Rakyat beriltizam untuk membela guru-guru dahulu.

Ustaz Idris Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat

Perlantikan Isa Samad, NKRA Najib Memerangi Rasuah.

Parti Islam Se-Malaysia PAS menyifatkan perlantikan Tan Sri Isa Samad sebagai pengerusi Felda, berkuat kuasa 1 Januari 2011, sebagai satu lagi pencapaian Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang diwar-warkan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak yang dilancarkan pada 20 Januari 2010. Antara NKRA telah diputuskan oleh Kabinet ialah membanteras rasuah melalui Bahagian Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri.

PAS berasa hairan Perdana Menteri yang terkenal dengan berbagai-bagai slogan retorik, untuk membuat pembaharuan (transformasi), tiba-tiba boleh melantik Tan Sri Isa Samad yang pernah disabitkan dengan rasuah pada 24 Jun 2005 oleh Panel Lembaga Disiplin UMNO yang dipengerusikan oleh Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen Ismail. Beliau telah dijatuhkan hukuman penggantungan keahlian selama 6 tahun. Mohd Isa telah disabitkan bersalah atas 5 pertuduhan daripada 9 pertuduhan. Antara pertuduhan yang dikemukakan adalah berhubung amalan rasuah termasuk membabitkan penganjuran pertemuan, mengadakan majlis makan dan memberi wang untuk membeli undi. Perbuatan rasuah ini telah dilakukan oleh Mohd. Isa melalui agennya merangkap Setiausaha Politik beliau, Salim Shariff ketika bertanding jawatan Naib Presiden UMNO pada pemilihan September tahun 2004.

Pemilihan ini menggambarkan Datuk Seri Najib seolah-olah tidak nampak di kalangan ahli umno seramai 3.5 juta orang, melainkan beliau hanya nampak insan yang bernama Tan Sri Isa Samad sahaja. Apa rahsianya beliau dipilih hanya Allah dan Datuk Seri Najib sahaja yang tahu.

Perlantikan ini menggambarkan inilah watak sebenar Datuk Najib dalam hal memerangi rasuah. Memang kita jarang kedengaran Presiden Umno sekarang ini bercakap tentang memerangi rasuah secara agresif, berbanding dengan zaman Tun Abdullah, walaupun nampak lembut, sekurang-kurangnya zaman Tun Abdullah ada juga daya usaha menubuh Institut Integriti Malaysia, Badan Pencegah Rasuah (BPR) ditukar kepada SPRM Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Patutlah usaha untuk memerangi rasuah tidak berjaya, malahan semakin parah. Malaysia masih kekal di tangga ke-56 pada Indeks Persepsi Rasuah yang dijalankan oleh Transparency International (TI) tetapi mata yang dikutipnya terus merosot daripada 4.5 kepada 4.4.

Markah itu membuktikan bahawa negara telah gagal mencapai sasaran Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang meletakkan sasaran mereka daripada 4.5 kepada 4.9 daripada markah maksimum -10 mata.


Ustaz Idris Ahmad

Ketua Penerangan PAS Pusat

Khamis, Disember 23, 2010

Janji 100 Hari, BN Resah.

Pemimpin Umno BN gelisah mengenai janji 100 hari PR yang diisytihar di Konvensyen Pakatan Rakyat ke 2 pada 19/12/2010. Ini jelas kelihatan daripada kenyataan pemimpin BN termasuk daripada NGO Umno menuduh ini janji yang tidak realistik. Mereka mengeluarkan kenyataan bahawa program ini membazir dan memberi kesan buruk kepada struktur ekonomi negara.

PAS berasa pelik dengan sikap yang ditunjukkan oleh pemimpin Umno BN yang menuduh ini suatu usaha yang membazir. Semua program yang menguntungkan rakyat dianggap membazir, seperti kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor yang memberikan air 20 meter padu kepada rakyat di negeri tersebut.

Apabila Datuk Seri Najib Tun Razak hendak membina Menara Warisan 100 tingkat tidak dianggap membazir. Untuk kroni dan anak beranak tidak membazir. Sebenarnya pemimpin BN resah dengan janji 100 hari yang akan dijanjikan oleh Kerajaan Pakatan Rakyat jika diberikan mandat untuk mentadbir negara ini. Rakyat yang berada di bawah pemerintah BN mula membuat perbandingan dengan negeri Pakatan, mereka melihat rakan mereka di negeri Pakatan hidup selesa kerana pemimpinnya siang malam memikir bagaimana untuk memberi kepada rakyatnya, manakala pemimpin BN memikir apa yang boleh diambil daripada rakyat.


Kenyataan Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO, berkata janji pembangkang itu tidak lebih daripada ‘wayang politik’ bagi menutup kegagalan mereka.

PAS hendak mencabar pemimpin BN, siapa yang temberang rakyat? Bukankah pemimpin BN memberitahu rakyat pada 3 Nov 2010 minyak tidak akan naik hingga hujung tahun. Tiba-tiba 4 Disember 2010 minyak RON 95 naik 5 sen.

Sekurang-kurangnya dengan kekangan kewangan yang dialami oleh kerajaan Pakatan Rakyat, tetap dapat melaksanakan iltizam untuk rakyat seperti yang dijanjikan dalam menifesto. Dalam usia yang muda sudah banyak habuan rakyat dapat, walaupun dalam nilai yang kecil. Jelaslah bahawa Pakatan Rakyat teruji dan terbukti.

Ustaz Idris Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat

Rabu, Disember 15, 2010

KONSEP PENDIDIKAN ISLAM.

Pengertian Pendidikan.
  1. Pendidikan dalam Bahasa Inggeris ; 'Education' bererti segala proses memajukan sikap serta nilai baik yang menjadi amalan dalam sesebuah masyarakat kepada setiap individu yang hidup dalam kelompok tersebut.
  2. 'Humanis' - Pendidikan itu sebagai suatu proses mental, emosi dan perkembangan moral yang terus menerus sebagai permulaan ke arah kualiti kehidupan yang membantu manusia untuk melihat perbezaan perundangan dan hubung-kait berbagai-bagai pandangan diantara satu sama lain.
Pengertian Pendidikan Islam.

Perkataan pendidikan dalam Islam ialah 'al-Tarbiyah'. Istilah al-tarbiyah berasal dari akar kata 'Rab' yang memberi dua maksud atau makna :
  • Tuhan
  • Yang mendidik alam
Allah menjadikan alam dengan dua tujuan. Allah membimbing alam terutama manusia. FirmanNya yang bermaksud :
"Dan ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat : Sesungguhnya aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi". (al-Baqarah ayat 30).

Tugas khalifah di alam ini pernah ditawarkan kepada makhluk lain seperti langit, bumi dan gunung-ganang tetapi mereka tidak sanggup. Firman Allah yang bermaksud :
"Sesungguhnya Kami telah kemukakan tanggungjawab amanah (Kami) kepada langit dan bumi serta gunung-ganang (untuk memikulnya). Maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya (kerana tidak ada pada mereka persediaan untuk memikulnya) dan (pada ketika itu) manusia (dengan persediaan yang ada padanya ) sanggup memikulnya. (Ingatlah) sesungguhnya tabiat kebanyakkan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara-perkara yang tidak patut dikerjakan". (al-Ahzab:72)

Sesungguhnya hakikat semulajadi manusia ialah tunduk dan patuh mengabdikan diri kepada Allah dan sesungguhnya bumi ini adalah diperuntukkan kepada manusia yang salih untuk memakmurkannya dengan fungsinya sebagai khalifah. Firman Allah yang bermaksud :
"Dan demi sesungguhnya, Kami telah tulis didalam Kitab-litab yang Kami turunkan sesudah ada tulisannya pada Luh Mahfuz ; Bahawasanya bumi ini akan diwarisi oleh hamba-hambaKu yang soleh". (al-Anbiya' :105).

Sumber : Nota Pengajian DTI ILH206 : Tasawwur Pendidikan Islam.


Khamis, Disember 09, 2010

Kenalilah Ketuanan Melayu Umno.

Apabila pemimpin Umno bercakap soal ketuanan Melayu, sama seperti kalau isteri pemimpin Umno menyeru wanita semua kena menutup aurat, kerana ini adalah arahan Allah. Inilah analogi yang layak dipakai, dalam erti kata yang lain cakap tidak serupa bikin. Selepas PRU 2008 pemimpin Umno macam orang kena sawan. Berbagai formula yang dicari untuk menyembuhkan penyakit. Sudah banyak doktor pakar datang merawat, sudah banyak tok bomoh membaca jampi, namun penyakit ini tidak juga sembuh malahan makin parah.


Cuma ada satu lagi ubat untuk dicuba iaitu Ketuanan Melayu. Dengan muka tidak malu pemimpin Umno mula menunjukkan Umno juara Melayu dan Pakatan Rakyat tidak bela Melayu. Dakwaan mereka, yang boleh tegak ketuanan Melayu ialah melalui Umno. Sebenarnya Umno cuba menutup bangkai gajah dengan tudung saji, kerana cuba untuk menutup kegagalan mereka selama ini.

Orang Melayu jangan tertipu lagi dengan slogan ketuanan Melayu ala Umno. Pemimpin Umno cuba meniupkan sentimen ini melalui media televisyen terutamanya. Media ini akan pusing isu ini seolah-olah Umno sahaja yang mempertahankan ketuanan Melayu sehingga setengah rakyat yang menganggap Umno begitu suci dan tidak boleh diganggu.

Sebenarnya ketuanan Melayu Umno hanya untuk menjadi tiket pemimpin mereka menggadai hak Melayu dan memberi kesenangan kepada keluarga dan suku sakatnya sahaja. Dalilnya sudah lebih separuh abad Umno diberi peluang untuk menjaga hak Melayu akhirnya satu persatu tergadai. Bukankah ini semua angkara Umno?

Faktanya ketuanan Melayu Umno telah merugikan orang Melayu, bukan mengangkat martabat Melayu di negara ini.

Ketuanan Melayu Umno menjadikan taraf hidup orang Melayu semakin menurun, malahan lebih teruk daripada kaum India. Dalam parlimen pada tahun 2007 , disebutkan bahawa lebih 600,000 rakyat di negara ini hidup di bawah paras kemiskinan iaitu berpendapatan kurang dari RM800. Statistik kaji selidik pendapatan isi rumah yang dilakukan menunjukkan hampir 90 peratus daripada mereka yang berada di bawah paras kemiskinan adalah orang Melayu. Memanglah kemiskinan adalah satu senjata untuk Umno guna bagi mengekalkan kuasa, dalilnya Sabah dan Terengganu yang berada di bawah ketuanan Melayu Umno merupakan negeri termiskin di Malaysia walaupun keduanya kaya dengan minyak


Ketuanan Melayu Umno yang menindas negeri Kelantan, walaupun majoriti rakyatnya Melayu. Sebanyak 118 projek pusat disekat sejak RMK 6 tahun 1991. Apakah Tuan Guru Nik Aziz yang memimpin Kelantan seorang Bangladesh?

Ketuanan Melayu Umno, menyebabkan peneroka bandar telah dihalau macam anjing. Yang menjadi broker ialah pemimpin Umno dengan pemaju. Contoh yang terdekat seperti yang berlaku kepada penduduk setinggan di Kampung Plentong Tengah Pasir Gudang. Mereka sudah tinggal 30 tahun dan menjadi penyokong tegar Umno. Sewaktu mereka dihalau, batang hidung pemimpin Umno langsung tidak nampak. Begitu juga apa yang terjadi di Kampung Berembang Ampang di zaman Umno berkuasa. Ini semua kawasan tegar menyokong Umno. Sewaktu berhadap dengan pemaju ialah daripada PAS, PKR, DAP dan NGO sehingga ada yang merengkok dalam lokap. Mana pergi pemimpin Umno yang hendak menegakkan ketuanan Melayu ketika penyokong mereka dihalau.


Ketuanan Melayu Umno menyebabkan orang Melayu ketinggalan kebelakang. Diskriminasi sesama bangsa hanya kerana berlainan ideologi, akhirnya telah menempatkan bangsa merempat di bumi sendiri. Kita tidak pernah dengar bagaimana pemimpin kaum lain yang menindas kaum sesama bangsa kerana berlainan ideologi. Tetapi ini berlaku kepada pemimpin Umno akhirnya peratus kemiskinan di kalangan bumiputera meningkat. Seperti yang pernah dinyatakan oleh bekas Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar Dan Wilayah Dato’ Zainal Osman Cina 0.6%, India 2.9%, Melayu 8.3%.

Ketuanan Melayu Umno mengorbankan kepentingan agama dan bangsa sendiri. Persempadanan semula 2003, menunjukkan Umno telah mengkhianat orang Melayu-Islam semata-mata untuk melawan PAS. Akibat persempadanan ini selepas pilihan raya umum ke 11 pada 21 Mac 2004 lalu, kerusi Melayu tinggal hanya 54.33 peratus sahaja. SPR dengan arahan BN enggan menambah kerusi majoriti Melayu, khuatir kedudukan politik mereka terancam. Walaupun pertambahan pengundi di Kelantan 24 %, Terengganu 21.76% dan Kedah 17.4%. Malangnya kerusi Parlimen di negeri tersebut tidak bertambah.

· Ketuanan Melayu Umno, menyebabkan lesap RM52 bilion saham yang diperuntukkan kepada para pelabur bumiputera dari 1984 hingga 2005. Hanya nilai RM2 bilion sahaja yang masih ada di tangan bumiputera.

· Ketuanan Melayu Umno punya angkara, sehingga pernah menjual saham BERNAS (Syarikat Beras Negara) kepada syarikat Wan Tak Co. Ltd yang berpengkalan di Hong Kong sebanyak 31.36%. Umno tidak sedarkah majoriti yang mengusahakan sawah ialah orang Melayu. Apakah jaminan petani-petani ini tidak dizalimi. Amat merbahaya apabila syarikat asing menguasai lesen beras negara di negara yang tercinta. Cuba bayangkan kalau yang menjual itu ialah kerajaan Pakatan Rakyat, nescaya akan dituduh agen asing di negara ini.

Ketuanan Melayu Umno sanggup mengkhianati hak orang miskin contohnya lesap wang PPRT sebanyak 32 juta ditipu oleh lelaki Cina Ooi Kee Siang. Yang menjadi menterinya pada waktu itu ialah Datuk Anuar Musa daripada Umno.

Ketuanan Melayu Umno yang sanggup membunuh bahasa sendiri dengan menyokong mata pelajaran Metematik dan Sains diajar dalam Bahasa Inggeris, walaupun berpuluh orang profesor dan pakar pendidikan tidak bersetuju. Demi untuk memberi projek kepada kroni, biarlah bahasa hancur dan RM6 bilion wang negara hangus. Sedangkan berapa lama usaha untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan dan bahasa ilmu telah hancur berkecai. Malahan pemimpin Umno melemparkan tuduhan kepada pejuang bahasa sebagai pelampau. Jika bahasa sendiri pun Umno tidak boleh pertahankan, apa yang hendak diharapkan untuk menegakkan satu bangsa yang lebih gagah.

Ustaz Idris Ahmad

Ketua Penerangan PAS Pusat

Rabu, Disember 08, 2010

Islam Dagang Kali Kedua.

Rasulullah s.a.w. bersabda ; "Islam telah bermula dengan dagang dan ia akan kembali dagang, maka berbahagialah mereka bersama Islam pada waktu ia dagang." Hadis riwayat: Muslim.

Islam dan dakwahnya bermula dalam keadaan dagang. Islam sewaktu mula didatangkan di Makkah al-Mukarammah, asing dan tidak dikenali oleh masyarakat. Oleh kerana Islam 'ghurbah' (dagang/ganjl) dan unik, maka Islam dibenci dan dimusuhi. Pembawa dan pendukung-pendukungnya dizalimi dan dihadapkan dengan berbagai menhnah dan tribulasi.

Akibatnya, ada yang kehilangan penglihatan, ada yang gugur syahid, yang terpaksa berhijrah ke Habsyah dan akhirnya pendukung-pendukung Islam berhijrah ke Madinah demi mencari keredhaan Allah SWT dan merealisasikan Islam didalam wajahnya yang murni sebagai ad-Din.

Hari ini telah dinyatakan oleh Allah SWT dalam firmanNya yang bermaksud : "Bagi orang-orang fakir yang berhijrah dari kampung halaman dan daripada harta benda mereka kerana mencari kurnia daripada Allah SWT dan RasulNya, mereka itulah orang-orang yang benar." (al-Hasyr ayat 8).Italic
Faktor Dagang Pertama.

Terdapat pelbagai faktor Islam dagang kali pertama yang dikemukakan oleh pihak tertentu seperti faktor politik, sosial, ekonomi dsb. Namun disana terdapat satu faktor terbesar yang menyebabkan Islam dagang iaitu faktor akidah Islam yang berlawanan dengan jahiliyah atau kufur.

Islam mengajak kepada akidah yang sahih, serta realiti hidup salimah, syamilah dan kamilah yang mana bertentangan dengan kekufuran. Islam dan kekufuran sentiasa dalam keadaan 'harb' (peperangan). Kekufuran tidak dapat menerima Rububiyah dan Uluhiyah Allah SWT. Kekufuran tidak menerima hukum-hukum dan undang-undang Allah SWT berjalan dan berkuasa di bumi.

Firman Allah SWT yang bermaksud : "Tiada kekuasaan memerintah itu melainkan Allah sahaja. Dia memerintah supaya kamu jangan menyembah selain daripadaNya, kerana yang demikian itu adalah Din yang lurus." (Surah Yusuf ayat 40).

Inilah faktor terbesar. Faktor ini wujud disetiap zaman, hatta pada zaman sekarang walaupun tersembunyi disebalik faktor-faktor lain. Dengan ketentuan Allah SWt dan pertolonganNya serta berkat usaha, pengorbanan dan jihad Rasulullah s.a.w. bersama-sama para sahabat r.a. yang sabar dan ikhlas, maka 'ghurbah' (dagang) tersebut telah hilang. Akhirnya petunjuk dan rahmat Allah SWT diterima, dihayati dan didaulatkan sepenuhnya di Madinah al-Munawarah.

Pengorbanan Rasulullah s.a.w. dan sahabat-sahabat baginda telah diterima dan diredhai Allah SWT. Mereka adalah contoh ikutan bagi kerja-kerja dakwah untuk mendaulatkan Din Allah. Allah SWT telah mengabdikan pengorbanan mereka dalam firman Nya yang bermaksud : "Golongan terdahulu dan awal dikalangan Muhajirin dan Ansar serta orang yang mengikuti mereka dengan baik, Allah redha kepada mereka dan mereka pun redha kepada Allah dan di bawahnya mengalir sungai-sungai, mereka kekal didalamnya selama-lama. Itulah kemenangan yang besar." (Surah at-Taubah ayat 100).

Ghurbah at-Thaniyah (dagang kedua).

Generasi pertama iaitu generasi al-Quran yang dididik oleh Rasulullah s.a.w. telah berlalu. Kerja-kerja mereka telah selesai. Kelemahan umat Islam dan kelemahan pimpinan dalam generasi selepas mereka telah berlaku. Daulah Islamiyah telah jatuh satu persatu dan terakhir ialah kejatuhan Daulah Uthmaniyah di Turki.

Serentak dengan itu pengaruh sekularisme yang ditaja oleh penjajah telah bertapak, menular dan berkembang pesat diseluruh negara yang diperintah umat Islam. Pengaruh itu terus berakar umbi sehingga kini di negara-negara Islam tanpa kecuali. Kini realiti menunggu rijal-rijal untuk menghilangkan 'guhrbah at-thaniyah'.

Benarlah sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud : "Islam bermula dengan dagang, ia akan kembali dagang. Beruntunglah orang yang berpegang dengan Islam ketika ia dagang." HR : Muslim.

Dalam sabda baginda yang lain, yang bermaksud :
"Beruntung sesiapa yang beriman denganku walaupun tidak melihatku (bersamaku)".


Ahad, Disember 05, 2010

Pengertian Hijrah.

Dari sudut bahasa, hijrah bermaksud berpindah dari satu tempat ke satu tempat atau berubah dari satu keadaan kepada satu keadaan lain. Dari sudut istilah pula, hijrah adalah meninggalkan sesuatu yang dilarang. Ini berdasarkan hadis daripada Abdullah bin Habsyi, bahawa Rasulullah saw bersabda yang bermaksud: “Orang yang berhijrah ialah orang yang meninggalkan apa-apa yang dilarang oleh Allah.” (Hadis riwayat Abu Dawud)

Dalam makna yang lebih luas, hijrah difahami sebagai perpindahan dari suatu keadaan tidak baik kepada keadaan yang lebih baik. Contohnya, meninggalkan ajaran bertentangan dengan Islam dan kembali kepada ajaran Islam sebenar. Pada asasnya, peristiwa hijrah bukan saja berlaku kepada Nabi Muhammad tetapi turut dilakukan oleh nabi yang lain atas perintah Allah. Nabi Ibrahim umpamanya diperintahkan Allah berhijrah ke satu tempat yang lain seperti mana firman-Nya al-Quran yang bermaksud: “Setelah Nabi Lut beriman kepada-Nya dan Nabi Ibrahim pun berkata: Aku hendak berhijrah kepada Tuhanku, sesungguhnya Dialah jua yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.” (Surah al-Ankabut, ayat 26).

Di samping Nabi Ibrahim, Nabi Musa juga diarahkan berhijrah kerana ancaman pembunuhan terhadap baginda. Selain itu, banyak ayat al-Quran yang menerangkan peristiwa hijrah Nabi Musa ke tempat Madyan, atas cadangan seorang lelaki yang mengetahui ada pakatan bunuh terhadap Nabi Musa. Selain Nabi Ibrahim dan Nabi Musa, Nabi Noh juga diperintahkan berhijrah kerana akan berlaku banjir besar.

Bagaimanapun dalam konteks hari ini, hijrah yang disambut setiap tahun pula lebih kepada memperingati peristiwa penghijrahan Rasulullah dan sahabat dari Kota Makkah al-Mukarramah ke Kota Madinah al-Munawwarah. Peristiwa hijrah tersebut menyingkap satu perjuangan yang ‘pantang menyerah atau mengaku kalah’ di samping ia menjadi garisan pemisah di antara kebenaran dan kebatilan. Ia juga diibaratkan sebagai satu jambatan yang menghubungkan antara dua tahap masa perjuangan Nabi iaitu, pertama di Makkah selama 13 tahun, dan kedua, di Madinah selama 10 tahun.

Ini bermakna Rasulullah berhijrah bukan untuk lari atau meninggalkan medan perjuangan, sebaliknya meneruskan perjuangan. Malah, hijrah memberikan harapan dan membayangkan keberhasilan perjuangan pada masa hadapan. Justeru, hijrah adalah tonggak perjuangan yang sangat bermakna. Hijrah juga fajar kemenangan yang menentukan kemenangan demi kemenangan perjuangan Nabi. Rasulullah dan sahabat berhijrah dari Makkah ke Madinah demi menyahut panggilan dan keimanan.

Dalam erti kata lain, hijrah itu berlaku atas dorongan iman yang kuat dan suci. Tanpa iman, pasti mereka akan berasa berat untuk meninggalkan keluarga, sanak saudara, kampung halaman dan kota kelahiran. Namun, demi mempertahankan cita-cita luhur yang lahir daripada iman kepada Allah dan Rasul-Nya, ia menguatkan semangat mereka untuk berhijrah. Mereka juga menyedari bahawa tanpa pengorbanan dan perjuangan kental, hasrat atau cita-cita murni itu pasti terkubur. Justeru, mereka bersiap sedia untuk berjihad dengan ikhlas kerana Allah. Mereka berhijrah demi memenuhi panggilan iman, mempertahan dan mencapai cita-cita murni itu. Mereka menghadapi apa sahaja rintangan, tekanan dan pelbagai kesulitan dalam perjalanan jihad itu dengan penuh sabar, tabah dan keteguhan hati. Hijrah Nabi dan sahabatnya bukan bererti menjadi orang yang kalah atau tersingkir. Hijrah yang penuh tentangan dan halangan itu memberi mereka peluang untuk meraih kemenangan.

Peristiwa hijrah juga memperlihatkan banyak kebijaksanaan Rasulullah. Ia menunjukkan bagaimana Nabi mengutamakan masjid, iaitu mendirikan masjid pertama di Madinah di satu tempat bernama Quba’ yang akhirnya dikenali sebagai Masjid Quba’. Ia juga memperlihatkan fungsi kepentingan masjid dalam Islam. Masjid kedua yang didirikan Nabi ialah Masjid Nabawi.

Seterusnya, kebijaksanaan baginda yang kedua ialah mempersaudarakan dua golongan, iaitu kaum Muhajirin (sahabat Nabi yang sama-sama berhijrah dari Makkah ke Madinah) dan kaum Ansar, yang bersedia menerima kedatangan mereka di Madinah. Baginda juga berusaha mengadakan beberapa kesepakatan dengan golongan Yahudi dan Nasrani di Madinah untuk mewujudkan suasana aman damai dan harmoni.

Melihat kepada perancangan baginda, marilah kita sama-sama mencontohi semangat hijrah yang terkandung padanya banyak hikmah dan iktibar. Antara teladan yang boleh dipelajari daripada hijrah Nabi ialah komitmen baginda memperbaiki dan membangunkan ummah, yakni membangun ummah beriman, bertakwa, bersaudara, bergotong royong, saling membantu dan hidup dalam damai dan harmoni, dengan umat beragama lain. Hijrah baginda bukan untuk kerehatan tetapi meneruskan perjuangan dakwah, kerja keras dan berkorban demi kebaikan ummah. Inilah masanya untuk umat Islam di Malaysia untuk menghayati roh hijrah ini untuk diaplikasikan dalam konteks semasa iaitu untuk membina semula kegemilangan tamadun Islam. Tamadun Islam tidak dapat dibina dengan hanya slogan-slogan indah atau retorik-retorik manis semata-mata, sebaliknya ia menuntut satu jihad, pengorbanan, kesungguhan dan komitmen yang jitu untuk menjulang panji-panji Islam ke persada dunia.

Hijrah juga mengajar makna perpaduan. Cuba renungkan kejayaan Rasulullah menyatukan dua kumpulan yang sebelum itu saling bermusuhan, iaitu Aus dan Khazraj. Atas nama persaudaraan dan demi kasih sayang kepada Allah, dua kumpulan ini akhirnya dapat disatukan. Dalam konteks kehidupan masyarakat majmuk di Malaysia yang menyaksikan pelbagai ras, bangsa dan kaum, maka amat wajar umat Islam di Malaysia mempamerkan semangat toleransi dan rahmah sejajar dengan Islam sebagai al-Din yang amat menitik beratkan soal kedamaian sejagat dan kesejahteraan ummah.

Justeru, Islam dari awal-awal lagi menganjurkan umat Islam agar bekerjasama dan bertoleransi antara satu sama lain dalam memakmurkan bumi Allah ini. Bumi Allah ini adalah milik semua makhluk yang diciptakan Allah dan ia bukan milik atau kepunyaan istimewa satu-satu kaum atau bangsa-bangsa tertentu. Malah kesemuanya diberikan hak dan keistimewaan yang sama rata untuk sama-sama mendiami alam ini di samping untuk memakmurkannya ke arah kejayaan dan kebahagiaan sejagat.

Oleh itu, Islam melarang keras sebarang bentuk penindasan, kezaliman, kekejaman atau permusuhan dengan bangsa lain biarpun berlainan akidah dan kepercayaannya, sedangkan Islam adalah al-Din yang bersifat rahmat kepada sekalian alam sebagaimana firman Allah dalam surah al-Anbia, ayat 107 maksudnya: Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad) melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekelian alam.

oleh Dr Engku Ahmad Zaki.


Khamis, Disember 02, 2010

Isu TPM : Kenyataan Media Al Mursyidul Am Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat

Isu pembahagian harta pusaka biasanya hanya didebatkan apabila seseorang sakit teruk atau sudah meninggal dunia. Sekalipun tidak salah, namun jarang sekali isu pembahagian harta pusaka timbul dalam keadaan seseorang dalam keadaan sihat sejahtera. Demikianlah juga apabila isu perlantikan Timbalan Perdana Menteri jika Pakatan Rakyat menerajui negara dibangkitkan oleh media massa milik UMNO. Bagi saya, ia tidak lebih melainkan hanyalah merupakan tanda-tanda yang menunjukkan bahawa UMNO dan Barisan Nasional sudah sakit teruk dan tidak mempunyai harapan untuk pulih lagi. Alhamdulillah, media massa milik UMNO sendiri pun nampaknya mulai sedar saat-saat akhir hayat mereka di pentas politik Malaysia. Insya-allah, saya optimis akan tiba juga ketikanya Barisan Nasional akan digantikan oleh Pakatan Rakyat untuk menerajui Putrajaya.

Berhubung isu perlantikan YB Lim Kit Siang selaku Timbalan Perdana Menteri yang kononnya dikeluarkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim, sukalah untuk saya menyatakan bahawa Pakatan Rakyat tidak pernah membuat apa-apa keputusan dan tidak pernah mengadakan apa-apa perbincangan tentang hal ini. Syak saya teramat kuat bahawa permainan media telah digunakan dengan amat dahsyat di dalam memanipulasi kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Apa yang peliknya dengan budaya media milik UMNO? ‘Islam plastik’ yang pernah saya tuturkan satu ketika dahulu pun pernah dilaporkan sebagai ‘Islam Palestin”. Salah dengar dan salah lapor ialah satu budaya biasa dalam amalan media milik UMNO.

Hari ini, isu perlantikan Timbalan Perdana Menteri ini diolah sekali lagi oleh media milik UMNO dengan begitu hebat. Lalu dijemputlah segala pemimpin-pemimpin UMNO segenap lapisan untuk memberikan ulasan. Seolah-olah UMNOlah satu-satunya parti yang mempertahankan Melayu, seolah-olah bangsa Melayu ini hanya akan berdaulat melalui keris tumpul UMNO dan seolah-olah rebah UMNO bererti rebahlah Melayu. Hanyir dan busuk sekali dakwaan-dakwaan sampah yang disebarluaskan ke dalam minda masyarakat pada hari ini.

Ingin saya nyatakan, pendirian saya dari dahulu hingga sekarang tidak pernah berubah bahawa bangsa tidak mempunyai sebarang nilai di dalam Islam. Melayu, Cina atau India tidak pernah mempunyai sebarang nilai tambah di sisi Allah SWt melainkan dengan taqwa. Seorang yang berbangsa Cina tetapi bertaqwa kepada Allah SWT jauh lebih mulia dari seorang yang berbangsa Melayu tetapi hidup dengan rasuah, menindas, mengkhianat dan sebagainya. Sekalipun songkok setinggi tiga jengkal di kepala, tanpa taqwa kepada Allah SWT, ia tidak mempunyai sebarang nilai.

Lupakah kita bahawa UMNO pernah menyerahkan kerusi Ketua Menteri Pulau Pinang kepada Gerakan sekalipun UMNO yang mempunyai majoriti di Dewan Undangan Negeri? Di waktu itu, ke mana perginya ketuanan Melayu? Tersorok di dalam songkok tinggi UMNO? Ketika itu, ke mana perginya professor-profesor bertaraf cendikiawan yang sibuk mengulas isu ketuanan Melayu pada hari ini? Peliknya apabila Tun Dr Mahathir sendiri menggesa supaya dilupakan asal usul keturunan demi menjayakan 1Malaysia, tidak pula didesak untuk diusir keluar negara? Bukankah melupakan asal usul keturunan ertinya melupakan Ketuanan Melayu?

Apa yang penting ialah dasar, jika dasar Islam. Sesiapapun boleh menjadi pemimpin. Di Kelantan saya pernah mengeluarkan kenyataan berkali-kali bahawa Menteri Besar Kelantan boleh terdiri daripada seorang yang berbangsa Cina dengan syarat merupakan seorang muslim yang soleh. YB Lim Kit Siang atau sesiapapun boleh menjadi Timbalan Perdana Menteri bahkan Perdana Menteri sekalipun tidak mempunyai apa-apa halangan, syaratnya merupakan seorang muslim yang soleh. Seorang muslim yang soleh sekalipun bukan Melayu jauh lebih bermanfaat untuk negara ini dari seorang Melayu yang korup!

TUAN GURU HAJI NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT
Menteri Besar Kelantan

Bertarikh : 1 Disember 2010 / 24 Zulhijjah 1431