Ahad, Mei 22, 2011

Utusan Malaysia Bukan Mewakili Orang Melayu

Parti Islam Semalaysia tidak akan menyahut seruan PERKASA untuk mempertahankan akhbar Utusan yang kononnya akhbar orang Melayu. Layakkah akhbar Utusan Malaysia mewakili orang Melayu sedangkan etika laporan yang dilaporkan oleh akhbar tersebut tidak menepati ciri-ciri Melayu jauh sekali dengan ajaran Islam.

Tepatnya akhbar ini ialah Utusan Umno, bukan mewakili suara orang Melayu. Pemberitaan yang dilaporkan lebih kepada provokatif dan fitnah. Terbaru dengan berita yang sensasi kononnya Malaysia akan menjadi negara Kristian seperti yang disiarkan oleh akhbar tersebut pada 7 Mei 2011. Menyiarkan berita untuk membangkitkan emosi orang Islam, sekiranya tidak kena gaya negara boleh terbakar. Tetapi Alhamdulillah PAS berjaya menenangkan keadaan umat Islam.

Utusan beruntung kerana mereka kebal dari tindakan undang-undang. Rakyat Malaysia tentu masih ingat, Suara Keadilan yang menyiarkan berita Felda bankrap, terus diberi amaran dan permit digantung.

Utusan Malaysia tidak layak mewakili suara orang Melayu, kerana budaya Melayu tidak menerima unsur lucah dan fitnah. Melayu yang dikaitkan mesti beragama Islam, sudah tentu tidak boleh menerima tatacara budaya seperti ini.


Ustaz Idris Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat

Rabu, Mei 18, 2011

Program PAS Kawasan Kulai.

Berikut adalah program PAS KAwasan Kulai bagi dua minggau akhir bulan Mei 2011.

1. Ziarah ukhuwah bersama AJK PAS Pusat Sdr. Mazlan Aliman ke Felda Bukit Permai, Kg. Murni Jaya dan Felda Inas.

Tarikh : 17 Mei 2011(Selasa)
Masa : 9.00pg
Tempat : Berkumpul di PUSTAKA, Taman Mewah, Kulai.

2. Kuliah Umum : Islam dan Hak-haknya.

Tarikh : 19 Mei 2011
Masa : 9.30 mlm
Tempat : Dataran PUSTAKA, Taman Mewah, Kulai.

3. Usrah Ziarah ke Felda Inas

Tarikh : 20 Mei 2011(Jumaat)
Masa : Selepas Solat Isya'
Tempat : Berkumpul di PUSTAKA, Taman Mewah, Kulai & Solat Isya' bersama.

4. Ziarah ibu tunggal Pn Sabariah bte Salleh di Kg. Murni Jaya.

Tarikh : 21 Mei 2011 (Sabtu)
Masa : 2.30 ptg
Tempat : Berkumpul di PUSTAKA, Taman Mewah, Kulai.

5. Dialog bersama YB Dato' Seri Presiden Tn Guru Hj Hadi Awang.

Tarikh : 22 Mei 2011 (Ahad)
Masa : 5.00 ptg
Tempat : Tapak Pasar Malam Taman Putri, Kulai.

6. Pidato Politik bersama Che'gu Bad

Tarikh : 26 Mei 2011
Masa : 9.00mlm
Tempat : Dataran Pustaka Taman Mewah, Kulai.

7. Gotong-royong.

Tarikh : 29 Mei 2011
Masa : 9.00pg
Tempat : Masjid Felda Bukit Permai.

SEMUA DI JEMPUT HADIR.

Sabtu, Mei 14, 2011

GST, Kerajaan BN Tidak Mampu Urus Rakyat

Parti Islam Se-Malaysia tetap membantah GST yang akan diperkenalkan oleh kerajaan. Tindakan ini melambangkan kerajaan BN, gagal memberi keselesaan kepada rakyat dan lari daripada tanggungjawab sebagai sebuah kerajaan. Apakah tugas kerajaan hanya menaikkan cukai sahaja, sedangkan kualiti hidup rakyat semakin teruk seperti perkhidmatan awam yang tidak pernah selesai, subsidi gula, minyak dipotong menyebabkan hidup rakyat semakin tertekan.

PAS bersetuju dengan pandangan Pensyarah Kanan Pengurusan Strategik Kolej Perniagaan, Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Haim Hilman Abdullah berkata, biarpun GST mampu meningkatkan pendapatan negara, kemampuan rakyat menghadapi tekanan harga barang yang lebih tinggi juga perlu diberi perhatian.


Alasan Datuk Seri Najib yang mengatakan cukai pendapatan akan dikurangkan apabila kerajaan melaksanakan GST. Ini alasan Pak Pandir untuk melindungi kebebalan kerajaan yang tidak kreatif dan inovatif untuk menjana pendapatan negara akibat daripada rasuah dan pembaziran yang melampau.

Apakah Datuk Seri Najib tidak terfikir hanya 2 juta rakyat negara ini yang layak membayar cukai. Bagaimana manfaat yang didapati oleh majoriti rakyat, terutama rakyat miskin yang tidak membayar cukai. Maknanya manfaat pengurangan cukai hanya kepada pembayar cukai, sedangkan GST semua terbeban kerana tidak ada pengecualian ketika membeli barang keperluan.

Tidak cukup lagikah wang kerajaan yang diperolehi melalui cukai perkhidmatan yang dinaikkan daripada 5% kepada 6%. Setiap pemegang kad kredit wajib dikenakan membayar RM50 untuk setiap kad.

PAS menegaskan jika kerajaan BN tidak mampu menjaga kebajikan rakyat, sila serahkan kuasa kepada Pakatan Rakyat yang terbukti dan teruji. Jika Datuk Seri Najib dan rakan-rakan BN hanya hendak menyusahkan rakyat lebih baik berundur secara terhormat.



Ustaz Idris Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat

PAS Bersama PR, Umno Rugi Melayu Untung

Sejak PAS bersama dengan Pakatan Rakyat, maka terdapat suara sumbang supaya PAS jangan bersama PR, barulah kami akan sokong PAS. Persoalannya ketika PAS bersendirian pun puak ini tidak menyokong PAS juga. Ini hanya golongan mencari alasan sahaja. Sebenarnya mereka ialah orang yang diperalatkan oleh Umno termasuk melalui doktrin yang dibawa melalui Biro Tatanegara. Berbagai alasan supaya PAS keluar daripada PR, barulah dapat melaksanakan agenda Islam yang lebih terancang, sehingga pipi tersorong-sorong untuk menyuruh PAS berpakat dengan Umno. Sengaja saya meletakkan tajuk ini supaya menjelaskan bahawa Melayu tidak rugi kalau menjauhkan diri daripada Umno. Selama ini pemimpin umno, menganggap Umno sahaja boleh menjaga melayu. Sebenarnya yang rugi bila PAS bersama PR ialah Umno.


Umno rugi kerana tidak dapat memfaraid harta rakyat dengan rakus. Terutama negeri-negeri yang kaya seperti Selangor. Memerintah Selangor seperti memerintah Malaysia kerana di sini ialah lubuk emas. Pemimpin Umno teringin untuk mendapat Selangor sehingga meleleh air liur apabila mengenangkan banyak projek yang selama ini diperolehi oleh suku sakat meraka sudah tidak ada lagi. Selangor ialah sebuah negeri industri, pelabuhan, lapangan terbang dan pusat pengajian tinggi. Jika PAS tidak bersama dengan PR sudah tentu pemimpin Umno menjadi korporat, Melayu merempat.

Umno rugi tidak boleh mematikan majlis ilmu yang diimarahkan di seluruh masjid negeri Pakatan Rakyat. Mereka mengetahui apabila rakyat berilmu dan beragama maka tidak ada harapanlah untuk bersama dengan Umno. Apabila rakyat memahami Islam yang syumul maka rakyat akan mengetahui bahawa Islam yang dihayati oleh Umno tidak menepati dengan kehendak agama yang disampaikan oleh Rasulullah SAW.

Melayu untung bila bersama dengan Pakatan Rakyat kerana dapat mendampingi ulamak yang muttaqin yang sering menyampaikan risalah Islam di masjid dan surau. Samaada melalui ceramah, forum, kuliah dan wacana ilmu. Selama ini orang Melayu dijauhkan dengan ulamak yang muttaqin. Ulamak diburu seperti komunis bintang tiga. Rakyat Selangor tidak akan lupa bagaimana Dato' Dr Harun Din, almarhum Datuk Ishak Baharom bekas mufti kerajaan Selangor diburu dan hendak ditangkap semata-mata kerana hendak menyampaikan risalah agama. Sebenarnya Umno yang rugi kerana gagal menjauhkan rakyat dengan ulamak yang muttaqin. Walaupun mereka cuba mempopularkan ulamak mereka melalui media namun selera rakyat tetap tidak beralih kepada ulamak yang Umno taja. Umno rugi kerana ulamak yang muttaqin ini tidak bersama dengan Umno dan tidak sealiran dengan perjuangan Umno, sebaliknya ia lebih selari dengan perjuangan PAS.

Melayu untung kerana dapat menikmati limpahan nikmat yang dikurniakan oleh Allah SWT di negara ini kerana Pakatan memerintah negeri mereka. Selama ini rakyat tidak pernah terfikir mendapat air percuma setiap bulan. Apabila mati waris mendapat wang RM2500. Malahan rakyat yang diperintah oleh Umno begitu cemburu dengan apa yang diperolehi oleh rakyat di negeri PR. Pemimpin Umno tidak pernah terfikir untuk memberi kembali kepada rakyat, yang paling menyedihkan rakyat, apa sahaja program yang dibuat oleh negeri Pakatan Rakyat maka mereka menuduh negeri tersebut akan bankrap. Umno merasa rugi kerana lebihan wang negeri di kembalikan kepada rakyat. Selama ini wang ini akan masuk ke dalam kantong mereka sendiri, dengan membiarkan rakyat hidup susah. Kesusahan rakyat akan menjadi simpanan tetap Umno setiap kali pilihanraya. Melayu yang senang tidak bersama dengan Umno. Sekarang Melayu senang , pemimpin Umno yang susah.

Melayu untung dapat menyampai dakwah Islam secara bebas menepati dengan manhaj Rasulullah SAW tanpa sekatan. Lebih daripada itu Islam dapat dilihat oleh orang bukan Islam secara praktikal, bukan sahaja teori. Bagaimana rakan-rakan PR yang bukan Islam begitu berminat untuk mengetahui ajaran Islam, fenomena ini berbeza dengan MCA rakan karib Umno walaupun sudah bersahabat hampir 54 tahun tetapi tidak memahami Islam dan sensitiviti orang Islam. Keceluparan mulut Dr Chua Saw Lek adalah bukti gagalnya Umno mendidik rakan politik mereka. Ucapan beliau yang mengguris perasaan orang Melayu seperti memperlekeh Cikgu Normala Sudirman yang tidak mahu bersalam dengan lelaki yang bukan mahram. Ketika isu ini dibangkitkan maka rakan-rakan bukan Islam dalam PR tolong menjelaskan kepada orang bukan Islam. Inilah manfaat yang cukup berharga diperolehi oleh orang Melayu apabila berjaya menyampaikan Islam kepada bukan Islam. Suasana ini tentulah merugikan Umno, kerana mereka berusaha untuk memastikan supaya orang bukan Islam tidak nampak kebaikan Islam, dengan ini mudah untuk mereka mengekalkan kuasa mereka.

Melayu untung kerana mereka boleh berniaga berdasarkan merit dan kebolehan bukan berdasarkan di mana kamu menjadi ahli cawangan Umno. Trend perniagaan ini telah ditamatkan di bawah Pakatan Rakyat. Keadaan ini merugikan Umno, selama ini mereka hanya bertindak sebagai broker dengan memakan persen sahaja bukan kerana kebolehan mereka. Akhirnya projek kepentingan negara hangus dan hancur kerana diberi kepada bukan ahlinya. Buat stadium runtuh, kapal selam tidak boleh menyelam, jambatan MRR2 retak, semuanya angkara kroni Umno.

Melayu untung kerana dapat melihat orang agama mentadbir negeri dengan baik dan teratur. Selama ini Umno ajar orang Melayu, bahawa ustaz atau Tuan Guru hanya boleh membaca kitab di dalam masjid. Kemampuan Tuan Guru Nik Aziz yang memerintah Kelantan lebih 20 tahun walaupun mempunyai kekangan kewangan namun lebih berjaya daripada negeri yang diperintah oleh Umno. Begitu juga kemampuan Datuk Seri Ustaz Azizan Razak yang telah menunjukkan rekod cemerlang menguruskan Kedah walaupun terpaksa memikul bebanan hutang peninggalan BN RM2.3 bilion. Apa yang mengejutkan Kedah telah menunjukkan prestasi kewangan dengan lebihan RM19 juta untuk kewangan 2010. Negeri yang diperintah oleh Umno, pengurusan kewangan mereka boleh diletakkan di dalam Wad "ICU". Jika sekiranya tanpa bantuan pusat mungkin rakyatnya akan dilelong.

Melayu untung apabila PAS bersama dengan PR, kerana taraf hidup rakyat berjaya ditingkatkan. Kebetulan rakyat miskin di negara ini majoriti rakyatnya ialah orang Melayu. Kelantan sewaktu tahun 1990, negeri ini nombor dua termiskin, sekarang berada di tangga keenam. Ini menunjukkan PAS akan berusaha untuk memastikan kualiti hidup rakyat lebih terbela. Ia berlainan daripada tindakan Umno yang mengkhianat orang susah kebetulannya orang Melayu. Rakyat miskin akan menjadi simpanan tetap Umno setiap kali pilihanraya. Tidak hairanlah kepada kita bagaimana miskin memang dirancang supaya rakyat sentiasa di tahap miskin. Buktinya wang untuk Projek Perumahan Rakyat Termiskin sebanyak RM32 juta lesap. Dana untuk saham bumiputera sebanyak RM52 bilion telah lesap. Dana sebanyak ini membolehkan bumiputera memiliki ekuiti saham lebih 45 peratus.



Ustaz Idris Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat

Khamis, Mei 12, 2011

Meniti Harapan

video

Firman Allah swt yang bermaksud :
"Kamu tidak sekali-kali akan mencapai kebaikkan (yang sempurna) sehingga kamu dermakan sebahagian daripada apa yang kamu sayangi. Dan sesuatu apa jua yang kamu dermakan sesungguhnya Allah mengetahuinya."
(Surah Ali-Imran : 92)

Hukum Wasiat.

MAKNA WASIAT.
Dari segi bahasa :
Wasiat bermaksud sambung.
Dari segi syarak :
Menurut syarak wasiat ialah menyedekahkan hak milik harta yang dilaksanakan selepas kematian. Ini bererti penerima wasiat akan menerima harta yang diwasiatkan oleh pewasiat selepas kematiannya.

Pernyataan tentang wasiat ini telah dirakamkan didalam kitab suci al-Quran menerusi firman Allah yang bermaksud :
"Kamu diwajibkan apabila seseorang dari kamu hampir mati, jika ia ada meninggalkan harta (hendaklah ia) membuat wasiat untuk ibu-bapa dan kaum kerabat dengan cara yang baik (menurut peraturan agama), sebagai suatu kewajipan atas orang-orang yang bertakwa".
(Surah al-Baqarah : 180)

FirmanNya lagi yang bermaksud :
"(Pembahagian itu) ialah sesudah diselesaikan wasiat oleh simati dan sesudah dibayarkan hutangnya."
(Surah an-Nisa' : 11)

Seterusnya :
"Wahai orang yang beriman! Apabila salah seorang diantara kamu hampir mati, sedang dia akan berwasiat, maka hendaklah wasiatnya itu disaksikan oleh dua orang yang adil antara kamu."
(Surah al-Maidah : 106)

Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud :
"Seorang Muslim yang mempunyai sesuatu yang boleh diwasiatkan tidak sepatutnya tidur selama dua malam berturut-turut melainkan dia menulis wasiatnya di sisinya."

Antara hukum-hukum yang berkaitan dengan wasiat adalah seperti berikut :

1. WAJIB.

Hukum wasiat akan menjadi wajib sekiranya terdapat tanggungjawab syar'i yang perlu dilaksanakan kepada Allah swt seperti zakat dan haji dan seseorang itu bimbang sekiranya dia tidak mewasiatkan hartanya itu ia akan kehabisan.

2. HARAM.

Hukun wasiat akan menjadi haram sekiranya dia mewasiatkan benda-benda yang haram seperti arak. Selain itu juga, mewasiatkan perkara-perkara yang bertujuan menyusahkan waris-waris dan menghalang mereka daripada menerima bahagian yang ditetapkan oleh syarak, hukumnya juga adalah haram.

3. HARUS.

Wasiat akan menjadi harus apabila ianya ditujukan kepada rakan-rakan atau orang kaya (mereka ini tidak tergolong daripada golongan orang yang berilmu dan soleh) dengan niat untuk mengeratkan hubungan silaturrahim dengan mereka.

4. MAKRUH.

Wasiat akan menjadi makruh sekiranya pewasiat ialah seorang yang kurang berada dan penerima wasiat merupakan mereka yang miskin dan amat memerlukan harta. Selain itu juga, wasiat akan menjadi makruh sekiranya diwasiatkan kepada orang yang fasiq dan berkemungkinan besar akan melakukan kejahatan dengan menggunakan harta yang diwasiatkan kepadanya.

HIKMAH WASIAT.

  1. Pewasiat akan mendapat ganjaran yang besar daripada Allah swt.
  2. Wasiat dapat menyumbang kepada kepentingan masyarakat antaranya pembinaan hospital, masjid, sekolah, perpustakaan dan sebagainya.
  3. Wasiat merupakan satu sistem sosial dan ekonomi dalam Islam.

Petikan buku : Indahnya Hidup Bersyariaat oleh Dato' Ismail Kamus.

Rabu, Mei 11, 2011

Hari Isnin malam yang lepas, penulis dan beberapa orang sahabat telah berkunjung ke Felda Bukit Permai. Lama benar dah tak ke sana. Kadang-kadang terasa bersalah pula kerana hanya menziarahi mereka bila ada pilihanraya saja.

Kunjungan kali ini bertujuan bagi bertanya khabar dan mengetahui sedikit sebanyak suasana politik dikalangan peneroka yang sedang menikmati kenaikkan harga komoditi seperti getah dan kelapa sawit. Pendapatan lumayan biasanya akan membuatkan peneroka merasa selesa dengan sang pemerintah. Kedurjanaan mereka akan segera tertutup dengan pendapatan yang tinggi. Pemerintah akan terus disanjung dan apa jua yang dihidangkan walaupun buruk akan dianggap benar oleh mereka. Kelompok penyokong tegar ini akan terus dimanipulasikan oleh sang pemerintah meskipun dengan fitnah yang jahat. Itulah persepsi yang berlegar di benak penulis sebelum tiba di Felda berkenaan.

Sangkaan itu jelas meleset apabila bersembang dengan beberapa orang sahabat disana. Semangat mereka untuk menukar kerajaan khususnya dari kalangan anak muda amat membara. Amarah ini seandainya bijak dieksploitasikan, bakal membawa perubahan yang drastik. Itu baru peringkat mukaddimahnya, makanan dan minuman yang dipesan belum sampai lagi. Orang kata sembang mula, pembuka bicara.

Sembang diteruskan dengan ayat-ayat provokasi tentang kenaikkan harga getah dan keselesaan hidup hasil daripada pendapatan yang tinggi. Provokasi ini jelas mengena apabila respon mereka amat positif. "Itu emak ayah kami punya, kami tak dapat apa pun" sahutan pertama mula kedengaran. " Kami yang duduk di Felda ni, yang kerja dikilang, kerja sendiri dan sebagainya, masih macam tu juga. Makin susah ada." "Emak ayah kami bolehla..mereka dah takde tangunggan, dapat duit tak tahu nak buat apa" suasana mula bertukar. "barang semakin naik tapi gaji tak naik-naik juga" sungutan yang sering kedengaran dimana-mana.

Cadangan untuk membawa Sdr Mazlan Aliman untuk bersembang dengan mereka disambut baik. Tempat akan mereka uruskan. Khabarnya ramai dikalangan generasi kedua peneroka dalam senyap-senyap kini tidak mahu menyokong sang pemerintah lagi. Tuan kedai tempat kami bersembang tu pun dimaklumkan kini disebelah kami. Cuma mereka tak mahu kelihatan dan mahu kekal berselindung.

Pertemuan singkat pada malam tersebut telah menghasilkan beberapa gerak kerja yang disusun. Penulis memaklumkan kepada mereka agar bersiap siaga untuk menerima program yang diatur. Dalam waktu terdekat ini, tenaga muda Felda Bukit Permai telah bersetuju untuk menerima gerak- kerja yang telahpun kami susun untuk mereka. Bagi bulan Mei ini dua program telah diputuskan iaitu pada 17 Mei dan 29 Mei 2011 akan datang.

Kami akan berkunjung kesana untuk bertemu masyarakat pada dua tarikh tersebut. Kita akan jumpa disana......


Selasa, Mei 10, 2011

UMNO Kulai semakin gelisah.

PAS Kulai menjadi tumpuan perhubungan negeri pada tahun ini. Bermula dengan Muktamar Pemuda pada 1 Mei kemudian disusuli dengan Muktamar Muslimat pada 8 Mei dan diakhiri dengan Konvensyen Negeri pada 15 Mei yang akan datang. Kesibukkan PAS Kulai melayani tetamu yang hadir dengan syiar yang dinaikkan membuatkan UMNO lemas dan gelisah. Sepertimana lazimnya mereka telah menggunakan agensi kerajaan untuk menurunkan bendera yang dipasang di sekitar bandar Kulai.

Tindakan MPKu telah disusli dengan kunjungan ke pejabat majlis untuk mendapatkan penjelasan daripada Yang Dipertua. Semasa pertemuan tersebut, beliau telah menjelaskan bahwa mereka telah bertindak hasil daripada aduan daripada pihak-pihak yang tertentu (sudah semestinya UMNO, walaupun tidak dijelaskan). Beliau juga berterusterang kepada kami bahwa mereka tidak dapat bertindak secara profesional akibat tekanan politik dan gagal berlaku adil kepada semua.

Inilah perangai buruk UMNO yang sentiasa berselindung disebalik agensi kerajaan dan menjadikan kakitangan awam seperti barua mereka. Mengaku kuat tetapi kecut dengan kibaran bendera PAS.

PAS tidak akan gentar dengan apa jua ugutan dan tindakan tidak bertamadun yang UMNO ambil. Kami akan terus menabur bakti kepada masyarakat seperti yang dipaparkan didalam akhbar harian Sinar kebelakangan ini. Kami akan terus mengorak langkah untuk menyedarkan masyarakat tentang kebobrokkan dan kedurjanaan UMNO dan Barisan Nasional.


JOM PAKAT TOLAK BN


Isnin, Mei 09, 2011

PAS Alat DAP, Tun Mahathir Semakin Merapu.

Parti Islam Se-Malaysia menganggap Tun Dr Mahathir semakin merapu, kerana mendakwa PAS alat DAP, ketika beliau merasmikan Mesyuarat Agung Umno Cheras. Tun Mahathir mendakwa kewujudan PAS menyebabkan orang Melayu berpecah. PAS hendak tanya balik kepada Tun Dr Mahathir kenapa Umno diwujudkan pada tahun 1946, sedangkan sudah ada Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) 1945 yang mewakili orang Melayu. Menunjukkan Umno juga parti yang ditubuhkan untuk memecah belah orang Melayu atas restu penjajah, buktinya kenapa Umno tidak diharamkan ketika Ordinan Darurat 1948 sehingga semua parti yang tidak sealiran diharamkan seperti PKMM dan Hizbul Muslimin.

PAS alat DAP adalah modal lapok Umno ketika orang Melayu menolak Umno dan cuba untuk menutup kelemahan Umno yang menjadi kuda tunggangan MCA, Gerakan dan MIC. Siapa yang bagi kerusi majoriti Melayu kepada MCA, MIC dan Gerakan.? Apa bukti PAS alat DAP?. PAS boleh buktikan pengkhianatan Umno kepada Melayu atas nama Melayu terutama di zaman beliau memerintah negara selama 22 tahun. Tahun 1990 seramai 80 penduduk di Pantai Chenang Langkawi yang tinggal di tanah rezab Melayu dihalau untuk membina Pelangi Beach Resort. 300 ekar tanah rezab Melayu di Pulau Redang Terengganu dijual kepada Vicent Tan.

Nampaknya Tun Dr Mahathir masih cuba untuk membodohkan rakyat kononnya ulama' yang berada di dalam Umno menubuh PAS, kerana tidak mendapat tempat kerana tidak pandai berbahasa Arab. Faktanya ialah ulama' keluar untuk menubuhkan PAS kerana teguran ulamak mengenai judi tidak diperdulikan, maka ulamak merasakan perlu ada jamaah yang bebas daripada Umno supaya Islam terpelihara. Dulu Tun menipu rakyat mengatakan PAS ditubuhkan restu penjajah, hakikatnya Umno ditubuhkan atas restu penjajah. PAS ingin mengingatkan kepada Tun Mahathir tidak boleh tipu orang dalam setiap masa, insyaAllah PAS akan membetulkan fakta yang ditipu oleh Tun supaya rakyat tahu siapa pengkhianat Melayu dan Islam.

PAS merasa geli hati apabila Tun memuji perjuangan PAS zaman Dr Burhanudin Helmi dan Datuk Asri, kerana perjuangan mereka betul. Bukankah beliau orang yang bertanggungjawab sehingga PAS ditendang daripada BN, ketika krisis politik di Kelantan. Beliaulah orang yang diamanahkan oleh Umno untuk menyelesaikan kemelut tersebut, akhirnya PAS ditendang kerana menentang undang-undang darurat di Parlimen. Bukankah waktu itu PAS dipimpin oleh Datuk Asri Muda? Kenapa sekarang baru memuji Datuk Asri?



Ustaz Idris Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat

UMNO Sebar Budaya Lucah Untuk Kekal Berkuasa.



CERAMAH UMUM BERSAMA
CHE'GU BAD (SAMM)

  • TARIKH : 26 MEI 2011 (KHAMIS)
  • MASA : 9.00 MLM
  • TEMPAT : DATARAN PUSTAKA, TAMAN MEWAH, KULAI.
SEMUA DI JEMPUT HADIR.


Khamis, Mei 05, 2011

Falsafah Pendidikan Islam.

1) Pada amnya perkataan falsafah boleh difahamkan sebagai pemikiran atau pandangan yang benar rasional dan bernas. Pemikiran atau pandangan ini dihasilkan dari usaha kajian ahli falsafah dengan cara saintifik, sistematik dan lojikal. Tujuan falsafah ialah mencari serta membuktikan kebenaran dan memberi arah tuju atau pedoman untuk perkara-perkara yang penting dalam kehidupan. Firman Allah yang bermaksud :
"Allah memberikan Hikmat kebijaksanaan ilmu yang berguna kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan yang di tentukanNya). Dan sesiapa yang diberikan hikmat itu maka sesungguhnya ia telah diberikan kebaikkan yang banyak."
(al-Baqarah ayat : 269)

2) Falsafah pendidikan mengandungi usaha untuk mencari konsep-konsep yang mengarahkan manusia diantara gejala-gejala yang bermacam-macam proses pendidikan dalam rancangan yang bersepadu dan menyeluruh. Di samping itu mengandungi usaha menjelaskan berbagai makna yang menjadi dasar dan konsep-konsep pendidikan dan menubuhkan hubungan pendidikan dengan bidang yang menjadi tumpuan dan perhatian manusia.

3) Falsafah pendidikan ialah aktiviti-aktiviti fikiran yang teratur yang menjadi falsafah itu sebagai jalan untuk mengatur, menyelaras dan menyatukan proses pendidikan.

4) Pendidikan ialah aktiviti-aktiviti yang dilakukan oleh pendidik-pendidik dan filosofi-filosofi untuk menerangkan, menyelaraskan, mengecam dan mengubah proses pendidikan selaras dengan masalah-masalah kebudayaan dan unsur-unsur yang bertentangan didalamnya.

5) falsafah pendidikan sebagai sejumlah prinsip, kepercayaan, konsep, andaian dan yang telah
dihadkan dalam bentuk berpadu, saling berkait di antara satu sama lain. Ini semua dapat menjadi pedoman untuk usaha pendidikan dan proses pendidikan dengan segala seginya terhadap sistem politik, pendidikan dalam satu negara.

Sebagai kesimpulan, Falsafah Pendidikan Islam ialah hasil daripada pemikiran rasional dan kritis ahli-ahli falsafah yang berkaitan dengan pendidikan yang berpaksikan tauhid dan bersumberkan al-Quran dan Hadith Rasulullah s.a.w. Ianya menjadi pedoman dan hala tuju dalam mendidik setiap Muslim.

Rujukan : Nota Pemgajian DTI ILH 206 Tasawwur Pendidikan Islam.