Sabtu, Julai 25, 2009

Himpunan Aman Mansuhkan I.S.A. (Mansuh)


Wahai sahabatku sekalian, jangan ketinggalan.........bersama kita menyertai Tuan Guru Mursyidul Am, Tuan Guru Presiden dan lain-lain...

"Niat dihati Tunjukkan Bukti"

Isnin, Julai 20, 2009

7 Wasiat Rasulullah s.a.w.

Kebanyakkan orang sanggup mengorbankan kebenaran dan kejujuran walaupun jelas ia adalah haram, bidaah, kemungkaran, syirik, maka janganlah kita takut untuk menerangkannya.

1. Mencintai orang miskin.
Islam menganjurkan umatnya agar merendah diri terhadap orang-orang miskin, menolong dan membantu kesusahan mereka. Demikianlah yang dicontohkan kepada para sahabat, diantaranya Umar al-Khattab yang terkenal dengan mesra rakyat, Khalifah Abu Bakar yang terkenal dengan sedekah 'pikulannya' dan Uthman bin Affan dengan sikap dermawannya.

Cintailah dan kasihanilah orang-orang miskin, kerana hidup mereka sengsara, diabaikan masyarakat dan tidak mendapat perhatian. Orang yang mencintai fuqara' dan masakin dari kaum muslimin, terutama mereka yang mendirikan solat dan taat kepada Allah swt maka mereka akan dibela di dunia dan di akhirat.

Sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud :
"Barangsiapa yang menghilangkan kesusahan dunia dari seorang Muslim, Allah akan menghilangkan darinya satu kesusahan dihari akhirat. Dan barangsiapa yang memudahkan kesulitan orang yang dibebani hutang, Allah akan memudahkan baginya didunia dan diakhirat" (Riwayat Muslim).
Sabda baginda lagi :
"Orang yang membiayai kehidupan para janda dan orang-orang miskin bagaikan orang yang berjihad fi sabilillah" (Riwayat Bukhari).

2. Melihat orang yang lebih rendah kedudukannya dalam hal material dunia.
Rasulullah s.a.w. memerintahkan kita agar melihat orang-orang yang berada dibawah kita dalam masalah dunia dan mata pencarian. Tujuannya tiada lain agar kita bersyukur dengan nikmat Allah yang ada. Selalu qonaah (merasa cukup dengan apa yang Allah kuniakan kepada kita), tidak serakah, tidak pula iri hati dan dengki dengan kenikmatan orang lain.

Memang rata-rata penyakit manusia selalu melihat kepada hal harta, kedudukan dan jawatan. Selagi manusia hidup ia akan sentiasa berasa kurang.
"Lihatlah kepada orang yang berada dibawahmu dan janganlah melihat orang yang berada diatasmu, kerana hal demikian lebih patut agar kalian tidak meremehkan nikmat Allah yang telah diberikan kepadamu.... (Muttafaqun alaihi).

Sebaliknya dalam masalah agama, ibadah dan ketaqwaan seharusnya kita melihat orang-orang yang berada diatas kita, iaitu para Nabi, sahabat, orang-orang jujur, para syuhada', para ulama' dan salafus soleh.

3. Menyambung silaturrahin kepada kaum kerabat.
Silaturrahim adalah ungkapan mengenai berbuat baik kepada kaum kerebat kerana hubungan nasab (keturunan) atau perkhawinan, samada kepada ibubapa, kakak, adik, pakcik yang masih mempunyai hubungan kekeluargaan. Berbuat baik, menyayangi, lemah lembut, memerhati dan membantu mereka.

Dengan silaturrahin Allah swt memberikan banyak manfaat. Antaranya menjalankan perintah Allah dan RasulNya, secara tidak langsung akan menumbuhkan sikap saling membantu dan mengetahui keadaan masing-masing. Silaturrahim pula akan memberikan kelapangan rezeki dan umur yang panjang. Sebaliknya bagi yang mengabaikan silaturrahim, Allah sempitkan hartanya dan tidak memberi berkat umurnya, bahkan Allah tidak akan masukkan ke dalam syurga.

Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud :
"Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhir, hendaklah ia menyambung tali silaturrahim" (Riwayat bukhari).

4. Memperbanyak ucapan 'La haula walaa quwwata illa billah'.
Rasulullah s.a.w. memerintahkan memperbanyakkan ucapan 'La haula walaa quwwata illa billah' agar kita terlepas dari berasa tidak mampu. Kita serahkan semuanya kepada Allah. Makna kalimat ini juga sebagai tawakkal, hanya kepada Allah kita menyembah dan hanya kepadaNya kita memohon pertolongan.

Pada hakikatnya, seornag hamba tidak memilki daya upaya apapun kecuali dengan pertolongan dari Allah. Seorang penuntut tidak boleh menghadiri majlis ilmu tanpa pertolongan dari Allah. Demikian juga seorang guru tidak mungkin boleh mengajarkan ilmu yang menafaat kepada muridnya melainkan dengan pertolongan Allah swt.

Nabi s.a.w. bersabda : "Ya Abdullah bin Qais, mahukah aku tunjukkan kepadamu atas perbendaharaan dari perbendaharaan syurga? Iaitu 'La haula walaa quwwata illa billah' (Hadis Muttafaqun 'alaih)

5. Berani mengatakan kebenaran walaupun pahit.
Kebanyakkan orang sanggup mengorbankan kebenaran dan kejujuran walaupun jelas ia adalah haram, bidaah, kemungkaran, syirik, maka janganlah kita takut untuk menerangkannya. Sesungguhnya jihad yang paling utama ialah menyatakan kalimah kebenaran (haq) kepada pemerintah yang zalim. Bukan dengan cara membuka aib mereka di mimbar-mimbar, demonstrasi atau provokasi.

"Barangsiapa yang ingin menasihati pemerintah, jangan dilakukan secara terang-terangan. Hendaklah dipegang tangannya lalu menyendiri dengannya. Jika pemerintah itu mahu mendengar dan menerima nasihat itu, maka itu adalah terbaik. Dan jika pemerintah itu enggan, maka ia telah melaksanakan kewajipan amanah yang dibebankan kepadanya" (Riwayat Ahmad)

6. Tidak takut celaan dalam berdakwah.
Betapa berat risiko dakwah yang Rasulullah s.a.w. dan para sahabat alami. Mereka menderita kerana menghadapi celaan, ejekan, fitnah dan boikot selain dilemparkan dengan kata-kata kesat, diserang dan dibunuh.

Manusia yang sakit hatinya kadang-kadang tidak mahu menerima dengan penjelasan dakwah, maka para pendakwah harus bersabar dalam penyampaian ilmu dengan cara berhikmah. Jika daei mendapat tentangan dan cercaan, jangan cepat berputus asa. Maka para penyeru tauhid, penyeru kebenaran jangan berhenti hanya disebabkan dicerca.

"Orang-orang yang menyampaikan risalah-risalah Allah, mereka takut kepada-Nya dan tidak berasa takut dengan sesiapa selain Allah. Dan cukuplah Allah sebagai pembuat perhitungan" (al-Ahzab; 33:39)

7. Tidak suka meminta-minta sesuatu kepada orang lain.
Orang yag dicintai Allah, rasul dan manusia adalah mereka yang tidak meminta-minta. Orang Muslim harus berusaha makan dari hasil jerit payah tangannya sendiri. Orang Muslim harus berusaha memenuhi matlamat hidupnya sendiri dan tidak boleh selalu mengharapkan belas kasihan daripada orang lain.

"Sesungguhnya, seseorang dari kamu mengambil tali, lalu membawa seikat kayu, kemudiannya menjualnya, sehingga dengannya Allah menjaga kehormatannya. Itu lebih baik baginya daripada meminta-minta kepada manusia" (Riwayat Bukhari)

Petikan : Majalah I Julai 2009.

Tamrin dan Qiamulail.(siri 1)

Program tersebut telah berjaya diadakan pada 18 Julai 2009 yang lalu di Dewan PUSTAKA Taman Mewah Kulai. Sebanyak dua kertas kerja telah dibentangkan oleh :
  1. Ketua Urusan Ulama' bertajuk Islam dan Sekular.
  2. YDP Kawasan bertajuk Aqidah Perjuangan.
Bagi ahli-ahli yang tidak berkesempatan untuk turut serta pada tamrin kali ini masih berpeluang untuk mengikutinya bagi siri yang kedua yang akan diumumkan oleh Dewan Pemuda bersama Lajnah Tarbiah Pas Kawasan.




Fahaman Kebangsaan (Bhg 1).

Fahaman Kebangsaan atau Nasionalisma adalah fahaman dan ideologi yang tegak diatas kecintaan kepada negara dan melindungi kepentingan negara daripada cengkaman-cengkaman penaklukkan dan penindasan luar didalam semua aspek penghayatan negara dan rakyatnya.

Didalam Bahasa Arab ia dipanggil Qaumiyyah atau Asobiyyah. Ia bermaksud mengajak seseorang supaya menyokong kumpulan atau bangsanya supaya bersatu antara satu sama lain untuk melawan sesiapa sahaja yang menentang mereka, tidak kira samada mereka zalim atau dizalimi. Mereka sangat fanatik terhadap kumpulan mereka. Lebih-lebih lagi jika mereka ada bersama.

Mengikut Kamus Dewan, Nasionalisma bererti : perasaan cintakan bangsa sendiri atau perasaan mencintai negara dan bangsa sendiri atau pergerakkan membebaskan negara (ekonominya) daripada kuasa asing atau dipanggil juga 'semangat kebangsaan'.

Didalam kitab 'Aqaid wa Taiyarat Fikriyah Mu'as'irah' pula menyebut bahwa Qaumiyyah ialah sekumpulan manusia yang bercakap dalam satu bahasa dan mereka berasal dari satu rumpun keturunan dan daerah yang sama. Atau sekumpulan orang ramai yang kesemuanya merasakan mereka berasal dari rumpun keturunan yang satu. Bercakap bahasa yang sama dan mendiami bumi yang satu. Mereka berjuang dan membela bangsa/qabilah mereka supaya menjadi maju, merdeka dan sebagainya.

Dr. Muhammad Syaamah dan kawannya membuat kesimpulan bahwa penyokong Qaumiyyah ini pada umumnya mereka tidak menjadikan agama dan aqidah sebagai asas perjuangan kebangsaan mereka. Bahkan aqidah dan agama perlu disisih dari perjuangan kebangsaan mereka.

Dari apa yang disebut diatas, boleh dibuat kesimpulan bahwa fahaman kebangsaan atau qaumiyyah ialah ideologi dan fahaman yang dihayati oleh sesuatu kumpulan masyarakat / bangsa tertentu dan mereka tolong-menolong antara satu sama lain dengan berasaskan kepada satu bangsa, satu keturunan dan satu negara yang sama dan bukan diatas aqidah dan agama anutan.

Ibnu Khaldun ada menjelaskan bahwa perasaan dan semangat berkumpulan atau hormat kepada seseorang tertentu kerana ada hubungan darah yang sama merupakan fitrah manusia. Ia membawa kepada rasa kasih dan sayang kepada keturunan atau saudara mereka. Ia tidak mahu melihat malapetaka menimpa kelompok atau kumpulannya. Bahkan sebaliknya seseorang itu akan merasa malu apabila saudaranya atau bangsanya dilayan secara tidak adil atau zalim.

Semangat kebangsaan seperti yang disebut oleh Ibnu Khaldun diatas memanglah satu fitrah manusia dan ia tidak ditegah oleh Islam sebagaimana yang akan diterangkan dalam bahagian seterusnya.

Rujukan : Nota pengajian Diploma Tasawwur Islam ILH 203 (Aqidah Islamiyyah)

Khamis, Julai 16, 2009

Beberapa Ibrah dari Peristiwa Isra' dan Mi'raj.

'Maha suci Allah Yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haraam (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), Yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) kami. Sesungguhnya Allah jualah Yang Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui'.
(al-Isra' [17] : 1)

Menurut riwayat Ibnu Sa'd di dalam Thabaqatnya, peristiwa ini terjadi lapan belas bulan sebelum hijrah. Kisah perjalanan ini disebut oleh Bukhari dan Muslim secara lengkap dalam sahihnya. Disebutkan juga bahwa dalam perjalanan ini Rasulullah s.a.w. menunggang Buraq iaitu sejenis binatang yang besar sedikit dari keldai dan kecil sedikit dari unta. Binatang ini melangkah sejauh mata memandang. Setibanya Rasulullah s.a.w. di Masjidil Aqsa, baginda telah menunaikan solat dua rakaat dan kemudian Jibrail membawa dua gelas minuman yang berupa khamar dan susu. Lalu baginda Nabi s.a.w. telah memilih susu lalu Jibrail berkomentar : "Engkau telah memilih fitrah".

Tulisan ini tidak bertujuan untuk menceritakan bagaimana perjalanan Nabi s.a.w. dalam peristiwa Isra' dan Mi'raj tetapi cuba mengetengahkan beberapa ibrah (pengajaran) yang dapat diambil dari peristiwa besar ini. Bagi yang sering terlibat dengan mengatur program-program kuliah dan ceramah tentu tidak akan terlepas dari menjadikan sambutan Isra' dan Mi'raj sebagai salah satu acara wajib dalam kalendar surau dan masjid. Begitulah lazimnya masyarakat Islam di Malaysia dalam menyusun atur program-program keagamaan sehingga terdapat jamaah yang sudah tahu apa yang akan disampaikan oleh para penceramah yang diundang.

Bukhari dan Muslim meriwayatkan bahwa Rasulullah s.a.w. bersabda :

لما كذ بتيى قريش قمت فى الحجر فجلى الله لى بيت المقدس فطفقت أخبرهم عن ءايته وأنا أنظر اليه

"Ketika kaum Quraish mendustakan aku, aku berdiri di hijr (Ismail) lalu Allah memperlihatkan Baitul Maqdis kepadaku. Kemudian aku khabarkan kepada mereka tentang tiang-tiangnya dari apa yang aku lihat".

Satu berita yang sangat menggemparkan masyarakat Arab Quraish ketika itu kerana perjalanan yang diceritakan oleh baginda kepada kaumnya itu diluar capaian akal manusia diwaktu itu. Lalu mereka menyoal Nabi s.a.w. mengenai bentuk bangunan Masjid al-Aqsa lalu baginda menjelaskan menerusi hadith tersebut.

Beberapa ibrah.

Pertama : Penjelasan tentang rasul dan mukjizat.

Masyarakat sering didedahkan mengenai gambaran kehidupan Nabi s.a.w. sebagai manusia biasa jauh dari hal-hal luar biasa dan mukjizat. Bahkan tidak memperlihatkan sama sekali kemukjizatan dalam kehidupan Rasulullah s.a.w. Jika ditelusuri sumber teori tentang Rasulullah s.a.w. ini jelas berasal dari pemikiran sebahagian oreintalis dan peneliti asing seperti Gustav, August Comte, Goldzhier dan rakan-rakannya. Timbulnya teori ini disebabkan tiadanya keimanan kepada pencipta mukjizat. Seandainya keimanan kepada Allah telah menghunjam didalam hati maka akan mudah untuk menyakini segala sesuatu yang berhak disebut mukjizat.

Pemikiran-pemikiran asing yang dikemukakan khususnya oleh para orientalis telah dijadikan alat untuk membuka medan-medan baru bagi melakukan gazwatul fikr dan menimbulkan keraguan kaum Muslim terhadap agamanya. Mereka mula memberikan sifat-sifat tertentu kepada Rasulullah s.a.w. seperti heroik, genius, pahlawan dan pemimpin dalam artikata yang serba menakjubkan. Pada waktu yang sama, gambaran yang diberi dalam kehidupan umum Rasulullah s.a.w. jauh dari mukjizat dan perkara luar biasa yang gagal dicapai oleh akal manusia dengan tujuan akan tercipta satu gambaran baru tentang Nabi didalam pemikiran kaum muslim. Menamakan Rasulullah s.a.w. sebagai seorang genius, komandan ataupun pahlawan, tidak akan dapat menandingi anugerah Allah swt kepada baginda sebagai seorang Nabi dan Rasul kerana fenomena wahyu dan kenabian adalah puncak kemukjizatan. Kenabian adalah termasuk nilai-nilai keghaiban yang tidak mengikuti kriteria-kriteria manusia biasa yang bersifat empirik. Mana mungkin manusia yang manyatakan keimanannya kepada Allah dan Rasul menolak mukjizat dan hal-hal luar biasa dari kehidupan Nabi s.a.w. kecuali dengan menghancurkan kenabian itu sendiri dari kehidupan baginda. Sekiranya perkara ini dilakukan, berarti telah berlaku penolakkan terhadap agama itu sendiri.

Peristiwa Isra' dan Mi'raj merupakan salah satu mukjizat Nabi s.a.w. bahkan jumhur kaum muslimin sepakat mengatakan ianya termasuk dalam mukjizat Nabi yang terbesar.

Kedua : Kedudukan Isra' dan Mi'raj diantara peristiwa-peristiwa yang telah dialami Rasulullah s.a.w. pada waktu itu.

Rasulullah s.a.w. telah melalui pelbagai penyiksaan dan tribulasi yang dilancarkan oleh kaum kafir Quraish kepada baginda serta para sahabatnya dan terakhir sekali sebelum peristiwa Isra' dan Mi'raj ialah dakwah baginda ke Thaif. Perasaan tidak berdaya sebagai manusia dan betapa perlunya pembelaan dari Yang Maha Esa terungkap seluruhnya dalam doa Nabi s.a.w. yang diucapkan setelah tiba dikebun kedua anak Rabiah. Suatu ungkapan yang menggambarkan ubudiyah kepada Allah. Dalam munajatnya terungkap makna pengaduan kepada Allah, keinginan untuk mendapatkan penjagaan dan pertolongan-Nya, bahkan baginda khuatir apa yang dialaminya kerana murka Allah kepadanya. Diantara untaian doanya terucap kalimat :ان لم يكن بك على غضب فلا أبالى
(Engkau tidak murka kepadaku, maka semua itu tidak aku hiraukan).

Ketiga : Makna yang terkandung dalam perjalanan Isra' ke Baitul Maqdis.

Peristiwa ini memberikan isyarat jelas bahwa kaum muslim disetiap tempat dan waktu harus menjaga dan melindungi rumah suci Baitul Maqdis dari keserakahan musuh-musuh Islam. Seolah-olah hikmah illahiyyah ini mengingatkan kaum muslimin zaman sekarang agar tidak takut dan menyerah menghadapi kaum Yahudi yang tengah menodai dan merampas rumah suci ini untuk membebaskannya dari tangan-tangan najis dan mengembalikannya kepada pemiliknya iaitu kaum muslim.

Keempat : Pilihan Nabi s.a.w. ketikan diberi minuman oleh Jibrail.

Jibrail menawarkan dua jenis minuman iaitu susu dan khamar dan Nabi s.a.w. telah memilih susu. Ia merupakan satu isyarat simbolik bahwa Islam adalah agama fitrah. Agama yang terkandung didalamnya aqidah dan seluruh hukumnya sesuai dengan tuntutan fitrah manusia. Didalam Islam tidak sesuatu pun yang bertentangan dengan tabiat manusia. Inilah faktor yang membuatkan Islam begitu cepat tersebar dan diterima manusia.

Kelima : Isra' dan Mi'raj dilakukan dengan jasad dan roh.

Jumhur ulama' baik salaf ataupun khalaf telah sepakat mengenai perkara tersebut. Imam Nawawi berkata didalam Syarhu Muslim "pendapat yang benar menurut kebanyakkan kaum muslim, ulama' salaf, semua fuqaha, ahli hadith dan ahli ilmu tauhid menyatakan bahwa Nabi s.a.w. diisra'kan dengan jasad dan rohnya. Semua nas menunjukkan hal ini dan tidak boleh ditakwilkan dari zahirnya kecuali dengan dalil".

Diantara dalil yang secara tegas menunjukkan bahwa Isra' dan Mi'raj ini dilakukan dengan jasad dan roh ialah sikap kaum Quraish yang menentang keras kebenaran peristiwa itu. Seandainya peristiwa itu hanya melalui mimpi, maka ia tidak akan mengundang kehairanan dan penentangan yang luar biasa.

Demikianlah kehebatan Allah swt terhadap hambanya. Semoga dengan artikal ringkas ini dapat memberi sedikit kefahaman dan penghayatan terhadap peristiwa besar yang berlaku keatas diri Rasulullah s.aw. khasnya dan Islam amnya.

UMNO tersungkur lagi.



Setelah segala perit jerih dilakukan, menabur pelbagai janji-janji manis (seperti lagu Aisyah 'Janji Manismu' yang popular sedikit masa dulu), berkampungnya semua pak menteri kecuali Menteri Perdananya, menjadikan 'anak emas', membina jambatan, menjadikan kawasan 'agro-metropolitan' (yang orang kampung pun tak tahu apa benda alahnya) serta duit dalam bentuk wang saku, wang habuan, wang saguhati, wang sana-wang sini dan macam-macam lagi sogokan dan habuan yang tak mampu nak fikir dan tulis, tetapi akhirnya UMNO tersungkur lagi. Buat kali ke6, dunia menyaksikan parti yang memerintah Malaysia ditolak oleh rakyat secara berurutan.

Penulis ada menjalankan tugas rasmi dikawasan Lata Rek yang terletak dalam DUN Manek Urai samada melalui jalan utama Kuala Krai - Gua Musang atau melalui Guchil, sepanjang perjalanan menuju ke Lata Rek itu, kenderaan yang berselisih boleh dikira. Apabila Timbalan Menteri Perdana mengumumkan hendak membina sebuah jambatan bernilai RM7 juta bagi menghubungkan Manek Urai lama dengan Manek Urai Baru, penulis bingung memikirkan apa rasionalnya penduduk Manek Urai diberi jambatan semahal itu sedangkan kenderaan yang bakal menggunakannya boleh dikira. Agaknya inilah yang dikatakan sebagai 'anak emas'. Kalaulah jambatan semahal itu dibina di Kota Bharu merentasi Sungai Kelantan yang terletaknya Pasaraya Tesco di pinggirnya, maka rasionallah pembinaan tersebut.

Dengan kepadatan penduduk sekitar 15 atau 16 ribu orang (termasuk yang belum berdaftar sebagai pengundi), menabur janji untuk menjadikan Manek Urai sebagai Kota Agro-Metropolitan, ini satu lagi insiden yang melucukan. Angan-angan ini sudah melampaui angan-angan Mat Jenin. Kalau Mat Jenin masih hidup, mungkin dia akan jatuh pengsan ataupun diserang 'stroke' akibat terkejut kerana ada orang yang angan-angannya lebih teruk dari beliau. Penulis amat simpati sekali dengan pak-pak menteri dan mak-mak menteri UMNO/BN yang amat nyata sekali ketandusan idea untuk menagih simpati rakyat agar jangan menolak mereka. Nampaknya pemimpin UMNO/BN dah tak tahu nak cakap macamana lagi. "Kalah dah 5 kali, takkan nak kalah lagi. Dulu kalah sebab terdapat peratusan pengundi bukan Melayu yang agak tinggi. Kali ni 95% pengundinya adalah Melayu. Orang Melayu masih menyokong kita" Itulah bisik-bisik UMNO tegar. Bukankah eluk dibina lebuhraya bertingkat di Manek Urai supaya senang penduduknya berurusan kesana kemari. Bagi meringankan beban rakyat kenakan tol kemudian tuntut dengan Menteri Kerja Raya. Barulah rakyat didahulukan. Golongan koperat dijaga dalam masa yang sama rakyat terbela.

Sekali lagi kita menyaksikan UMNO terburai dan kali ini di Manek Urai. "Macam-macam dah janji dan bagi, undi tak bagi jugak" rungutan sang petugas. "Takpe kali ni dia orang menang 65 undi aje, ini bermakna undi kita meningkat. Dah ramai yang undi kita balik" bisik kawan sepermainan bagi menyedapkan hati. Kalau dikatakan UMNO buta sejarah atau tak baca sejarah ternyata ianya benar. Kalau dikatakan Melayu UMNO mudah lupa, lagi benar. Pilihanraya Umum 2004, UMNO menang di Manek Urai hanya dengan kelebihan 53 undi sahaja. Kalau hendak berbicara soal angka, PAS masih mengatasi angka yang diperolehi UMNO. Banyak mana angka yang diperolehi, PAS tetap menang dan UMNO kalah lagi. Itu hakikat sebenar. Kalau hendak diambil kira kempen yang dijalankan oleh jentera UMNO dan kerajaan, sepatutnya UMNO menang besar.

Penulis bersetuju dengan pendapat Naib Presiden PAS YB Dato' Mahfuz Omar ketika berceramah di Felda Bukit Ramun pada 15 Jul 09 lalu, yang mengatakan bahwa peralihan undi dari kalangan golongan muda adalah fenomena sementara. Minda mereka dikuasai dengan lambakkan sogokan dan habuan serta pujukan yang mengatakan kerajaan negeri tidak akan bertukar dan Tok Guru masih menjadi Menteri Besar walaupun Manek Urai dimenangi oleh UMNO. Mereka mahu menyaksikan perubahan yang dijanjikan oleh UMNO/BN. Malangnya ia tidak menjadi realiti akibat kedapatan mereka yang terus istiqamah dalam mempertahankan pemerintahan Islam di Kelantan. Kini terbukti bahwa janji-janji yang ditabur adalah janji-janji pilihanraya apabila kenyataan yang dikeluarkan oleh sang penguasa mengatakan segala janji tidak dapat ditunaikan akibat kekalahan yang diterima. Itulah UMNO : Dulu-Kini-Selamanya ; berjanji dusta. Rakyat sudah muak dengan mainan taktik lapuk dan usang mereka. Penulis yakin dengan momentum yang ditunjukkan, apajua pilihanraya samada kecil atau besar, UMNO akan terus diajar oleh rakyat.

Semoga lonjakkan ini akan terus menghantui UMNO/BN sehingga PRU ke13 akan datang dan mudah-mudahan Allah swt memperkenankan doa para pejuang Islam untuk menyaksikan UMNO/BN dikuburkan di bumi Malaysia. TAKBIR!!!

Selasa, Julai 14, 2009

Islam dan Pertentangannya dengan Fahaman Sekular. (Bhg akhir)

2). Sekularisma Berlawanan Dengan Perlembagaan.

Dalam perlembagaan Malaysia ada menyebut agama Islam adalah agama rasmi negara. Dengan ini sepatutnya umat Islam mesti mengikat diri dan bawaan hidup hariannya dengan ajaran Islam dalam semua perkara. Tetapi apa yang dilakukan oleh para pendokong sekularisma adalah sebaliknya. Mereka banyak menghalang umat Islam daripada mengikut apa yang disuruh oleh Allah, bahkan pemimpin dan pembesar negara banyak melakukan pelanggaran terhadap ajaran Islam. Dalam negara sekular amalan riba diharuskan, kemungkaran dan kemaksiatan berlaku tanpa dicegah apatah lagi yang mendapat lesen kebenaran pemerintah. Kelab malam, rumah urut, permis judi dan lain-lain berkembang tanpa usaha yang konsisten untuk menghapuskannya.

3). Sekularisma Ajaran Luar Islam.

Sekularisma adalah ajaran dan isme yang diimport dari barat yang bercanggah dengan Islam. Aqidahnya bukan dari aqidah Islam. Orang Islam tidak perlu kepadanya kerana ajaran Islam sempurna dan lengkap, syumul, tidak perlu pada sebarang penambahan dan tidak perlu dikurang atau dibuang. Apabila ajaran dan peraturan Islam tidak dijalankan, maka orang Islam tetap berdosa.

4). Sekularisma Fahaman Dualisme.

Pandangan hidup Islam berdasarkan kepada 'Tauhid kepada Allah' yang menjurus kepada dasar intergrasi (bersepadu) tanpa mengamal konsep dualisme. Islam sekali-kali tidak memisahkan atau mengasingkan agama dan dunia. Allah swt berfirman yang bermaksud :

"Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagian hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia".
Al-Qasas : 77

Islam tidak memisahkan antara urusan dunia dan akhirat, malahan berjalan seiring diantara keduanya. Nasib seseorang diakhirat bergantung kepada amalannya didunia. Sebab itu urusan dan kerjabuat manusia didunia tidak terlepas dari hukum wajib, haram, sunat, harus dsb dan tidak akan terlepas dari persoalan dosa dan pahala, balasan baik yang berupa syurga dan balasan jahat di neraka. Sedangkan sekularisma mengasingkan kedua-dua urusan dunia dan akhirat.

5). Sekularisma Menolak Kehendak Majoriti Umat Islam.

Dalam usaha mempertahankan kehendak mereka bagi mengekalkan ajaran sekular barat, para pendokong sekularisma sebenarnya telah membelakangkan pandangan dan kehendak majoriti umat Islam dan sekaligus memaksa rakyat menerima pendapat segelintir pemimpin mereka. Majoriti umat Islam mahu hukum-hukum dan undang-undang Islam dilaksanakan dalam kehidupan kerana ia merupakan kewajipan keatas setiap individu muslim. Tetapi perlaksanaan undang-undang Islam terpaksa ditangguh atau ditinggal kerana segolongan pemimpin sekular tidak mahu melaksanakannya.

Dari huraian dan ulasan panjang lebar yang diberi jelaslah bahwa sekularisma memang berlawanan dengan Islam.

Penutup.

Sebagai kesimpulan, sekularisma adalah satu fahaman yang diambil dari barat. Ia bercanggah dan berlawanan dengan ajaran Islam. Sekularisma adalah ajaran yang menghalang umat Islam dari mempraktikkan keseluruhan ajaran Islam. Kerana itu umat Islam mesti berjuang untuk mengikis fahaman tersebut supaya segala hukum-hakam Islam dapat dilaksanakan dan umat Islam yang jahil tentang sekularisma mesti didakwah dan diberi penjelasan sehingga mereka faham dan meninggalkan fahaman tersebut dan sekaligus menerima Islam secara total.

Tamrin dan Qiamulail.

Lajnah Tarbiah PAS Kawasan Kulai bersama Dewan Pemuda Kawasan akan mengadakan program tersebut seperti berikut :
  • Tarikh : 18 Julai 2009 (Sabtu)
  • Masa : Selepas solat isya' (Isya' berjemaah)
  • Tempat : Dewan PUSTAKA Taman Mewah Kulai.
Pengisian program :
  • Pembentangan kertas kerja 1
  • Pembentangan kertas kerja 2
  • Qiamulail
  • Kuliah subuh
  • Bersurai
Pimpinan disemua peringkat diwajibkan hadir kecuali muslimat. Semua ahli dijemput turut serta bagi memantapkan perjuangan melalui pengisian rohani.

Isnin, Julai 13, 2009

Mengenal Tokoh Ulama' dan Pemikir Islam Zaman Silam.

Al-Mawardi Tokoh Sains Politik dan Ahli Fiqh.

PROFIL
  • Nama sebenar : Abu al-Hasan Ali bin Muhammad ibn Habib al-Mawardi.
  • Nama gelaran : Al-Mawardi.
  • Asal : Basrah (kini Iraq).
  • Tarikh lahir : 364H / 974M.
  • Tarikh meninggal dunia : 450H / 1058M.
  • Sumbangan : Merupakan seorang pakar sains politik dan ahli fiqh Islam.
Al-Mawardi dibesarkan dalam keluarga yang sememangnya cinta kepada ilmu pengetahuan. Justeru, sejak kecil beliau diajar al-Quran, hadith, fiqah, usul dan lain-lain ilmu syariat. Diperingkat awalnya beliau mendapat bimbingan daripada Abu Qassim al-Syaimiri, seorang ulama' Basrah yang terkenal ketika itu dalam bidang fiqh.

Beliau juga belajar ilmu hadith daripada beberapa ulama' terkenal seperti Hassan bin Ali al-Jayli, Muhammad bin Ma'ali al-Azdi, Muhammad bin 'Adi al-Munqari. Bahkan al-Mawardi turut mengambil ilmu kesusasteraan Bahasa Arab dari Syeikh Abu Muhamad al-Baqi disamping berguru dengan Syeikh Hamid Isfarayani.

Dikatakan bahwa al-Mawardi pernah dilantik memegang jawatan Qadhi di beberapa buah negeri seperti Kurat, dinegeri Naisaburi sehingga beliau digelar Qadhi al-Qudha. Sepenjang beliau memegang jawatan sebagai Qadhi, beliau dapat mengetahui keadaan seharian masyarakat awam dan berinteraksi dengan mereka dengan lebih dekat lagi. Beliau juga dapat menyelami dan memutuskan perkara-perkara adat untuk disesuaikan dengan panduan syarak. Daripada jawatan Qadhi, beliau dinaikkan pangkat yang lebih tinggi dalam tugas pentadbiran dan pemerintahan negara.

Pengalaman beliau dalam bidang politik dan pentadbiran kerajaan telah memberi peluang kepadanya untuk menghasilkan karya iaitu Kitab Al-Ahkam Al-Sultaniyah. Kitab ini banyak menyentuh berkaitan dengan ekonomi Islam dalam konteks makro seperti menguruskan pendapatan dan perbelanjaan, menjaga hak awam dan hak keistimewaan dalam meluaskan pasaran. Beliau juga menekankan kewujudan Institusi Hisbah yang diuruskan muhtasib selaku juru bicara keadilan dalam pasaran. Selain itu kitab tersebut juga membincangkan tentang pertanian, penternakkan, perdagangan dan perindustrian sebagai 4 sektor utama. Beliau juga menyentuh perihal kewangan Islam mengenai prinsip al-Mudharabah dalam kertas kerja beliau yang dinamakan al-Hawi.

Al-Mawardi dianggap sebagai pemikir dan tokoh politik negara yang paling menonjol semasa pemerintahan kerajaan Abbasiyyah. Maka tidak hairanlah jika beliau sering dijadikan pakar rujuk kepada pembesar-pembesar negara apabila mereka menghadapi masalah. Sementelah pula beliau juga mahir dalam ilmu tafsir, usul fiqh dan ilmu kemasyarakatan.

Al-Mawardi meninggal dunia pada usia 86 tahun dan beliau telah disemadikan di perkuburan Bab Harb di Baghdad.

Petikan : Majalah I Julai 2009

Ulasan PRK Manek Urai.

Satu ceramah umum bagi mengulas Pilihan Raya Kecil DUN Manek Urai Kelantan akan diadakan seperti berikut :
  • Tarikh : I5 Julai 2009 (Rabu)
  • Tempat : PASTI Umar al-Khattab Felda Bukit Ramun
  • Masa : 9.00 malam
  • Penceramah : YB Dato' Mahfuz Omar (Naib Presiden PAS)
Semua dijemput hadir.

Khamis, Julai 09, 2009

Islam dan Pertentangannya dengan Fahaman Sekular. (Bhg 5)

(iii) Melalui Saluran Pemikiran.

Orang-orang Kristian dan Yahudi semenjak dahulu sehingga kehari ini tidak henti-henti berusaha menentang Islam dan umatnya dengan pelbagai cara termasuk dengan serangan senjata dan pemikiran. Adakalanya mereka berusaha mengkristiankan orang Islam. Disamping itu ada usaha menjauh dan menyelewengkan orang Islam dari ajaran Islam yang sebenar dengan mengemukakan beberapa istilah baru yang menarik supaya orang Islam terperangkap kepada istilah-istilah itu seperti istilah 'Pembaharuan', 'Kemajuan', 'Perubahan Sosial' dan juga dikemukakan isme baru termasuk sekularisma. Kemudian isme itu akhirnya diterima pakai oleh ramai orang Islam.

Bagi mempengaruhi orang-orang Islam kepada sekularisma, selain dari saluran-saluran yang dinyatakan sebelum ini, pihak barat menggunakan peranan orientalis, missionari Kristian dan pembesar-pembesar Islam yang telah menerima fahaman tersebtu samada yang pernah belajar di barat ataupun tidak.

Sekularisma Berlawanan Dengan Islam.

Setelah dikaji dan diselidik didapati sekularisma berlawanan dan bercanggah dengan Islam dalam banyak perkara. Antaranya :-

1) Berlawanan dengan asas-asas Islam.

Islam menolak sekularisma keseluruhannya. Islam tidak boleh berada bersama dengan sekularisma kerana beberapa sebab :

(i) Sekularisma dan pendokongnya menerima akidah Islam setakat ia sebagai satu pegangan dan iktikad yang tersemat dihati seseorang individu. Mereka tidak boleh terima jikalau aqidah hendak dipraktikkan dalam kehidupan masyarakat. Atau dengan kata lain mereka tidak boleh terima kalau hendak dijalankan tuntutan aqidah dalam masyarakat atau hendak melaksanakan hukum Islam yang menjadi aqidah, bahkan mereka akan menghalangnya habis-habisan.

(ii) Sekularisma atau penyokongnya boleh terima perkara-perkara ibadat kalau setakat dilakukan oleh seseorang individu tanpa perlu kepada pengawalan dan campurtangan pihak pemerintah. Mereka menganggap urusan ibadat adalah urusan peribadi seseorang muslim. Pemerintah tidak perlu mengambil tindakan dan mengawasinya. Kerana itu kalau ada yang meninggalkan perkara ibadat, pendokong sekular membiarkan tanpa dikenakan apa-apa hukuman Islam terhadap pelanggar tersebut. Sedangkan mengikut Islam, menjadi tugas pemerintah mengawasi rakyat dalam melakukan ibadat. Mana-mana yang melanggarnya mesti dikenakan hukuman yang sesuai.

(iii) Sekularisma boleh terima akhlak dan moral selama mana tidak menyakiti orang ramai. Pendokong sekularisma boleh terima akhlak yang sesuai dengan amalan dan kehendak barat, sekiranya tidak sesuai maka akan ditolak. Banyak perkara seperti berpakaian, cara makan dan pergaulan disesuaikan dengan adat atau cara barat bukan dengan akhlak Islam. Kerana itu mereka boleh menghalalkan judi, menghalalkan minum dan jual arak. Mereka boleh terima pakaian yang mendedahkan aurat. Perempuan-perempuan mereka akan menutup kepala jika menghadiri majlis-majlis kematian sedangkan pada waktu-waktu lain kepalanya selalu terdedah, begitulah seterusnya. Sedangkan hal-hal sedemikian tidak dibolehkan didalam Islam.

(iv) Sekularisma dan para pendokongnya banyak menolak syariat Islam dan hukum-hakamnya. Hukum Islam tidak terlaksana bahkan dipenjara tanpa had masa. Mereka meninggalkan hukum-hukum mengenai urusan kekeluargaan, kemasyarakatan, urusan pemerintahan, ekonomi dan lain-lain. Mereka menerima hukum Islam yang berhubung dengan ibadat dan perkhawinan. Manakala dalam perkara undang-undang jenayah umpamanya mereka menghukum dengan hukum ciptaan manusia dan undang-undang Islam ditinggalkan.

(v) Mereka mengambil Islam yang sesuai dengan kemahuan mereka dan menolak yang tidak disukainya. Atau dengan kata lain mereka beriman dengan setengah ajaran Islam dan menolak setengah yang lain. Sikap sedemikian sama seperti sifat ahli kitab yang terdahulu sebagimana firman Allah swt yang bermaksud:
..."Sesudah itu maka patutkah kamu hanya percaya kepada sebahagian (dari isi) Kitab Taurat dan mengingkari akan sebahagian yang lain? Maka tiadalah balasan bagi orang-orang yang berbuat demikian itu dari antara kamu selain dari kehinaan ketika hidup di dunia dan pada hari kiamat akan ditolak mereka kedalam azab seksa yang amat berat"...
(al-Baqarah : 85)

Bersandarkan faktor-faktor ini boleh dibuat kesimpulan bahwa pendokong sekularisma seolah-olah menganggap mereka lebih alim, lebih bijak daripada Allah dan Rasul-Nya. Seolah-olah mereka berkata kepada Allah swt ; 'Kami lebih mengetahui mengenai apa yang lebih sesuai untuk kami'...

Rujukan : Nota Pengajian Diploma Tasawwur Islam ILH 203 (Aqidah Islamiyyah).