Khamis, Ogos 29, 2013

Adab Berjamaah Dan Menghormati Keputusan Presiden



Timbul keributan yang tidak kurang hebatnya apabila Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Presiden PAS dikritik secara terbuka kerana dikatakan melanggar perjanjian dengan PKR dalam isu calon PRU 13 di Kota Damansara. Apa yang menyedihkan lagi, ada di kalangan pimpinan tertinggi PAS yang mempertahankan kritikan tersebut atas nama keterbukaan.

Perlu dipertegaskan bahawa Islam memberikan hak kepada ketua sesebuah organisasi membuat keputusan sendiri tanpa memanggil mesyuarat. Jika dipanggil mesyuarat sekali pun, beliau diberi ruang untuk membelakangi keputusan mesyuarat jika perlu. Bahkan beliau tidak perlu memperjelaskan keputusan yang diambil kepada orang bawahan.

Lihat sahaja kepada sirah perjalanan hidup Nabi Muhammad s.a.w. dalam peristiwa perjanjian Hudaibiyyah. Persetujuan telah dicapai bersama sahabat-sahabat baginda untuk berperang jika mereka dihalang untuk masuk ke Mekah bagi menunaikan ibadat umrah sebagaimana cadangan Saidina Abu Bakar. Bahkan Rasulullah s.a.w mempertegaskan lagi perkara yang sama kepada Budail bin Warqa', orang tengah antara Rasulullah dan Quraisy agar memberitahu musyrikin Mekah tentang perkara tersebut.

Apa yang berlaku, akhirnya Rasulullah s.a.w. tidak melaksanakan dan membelakangi keputusan hasil perbincangan dengan para sahabat tersebut. Rasulullah s.a.w telah memeteraikan perjanjian dengan musyrikin Mekah yang menghendaki orang Islam pulang semula ke Madinah dan datang pada tahun hadapan untuk menunaikan umrah. Bahkan Rasulullah s.a.w. tidak memperjelaskan kepada para sahabat tentang keputusan yang diambil ini. Perjanjian ini bukan wahyu daripada Allah bahkan ia adalah kebijaksanaan baginda dalam membuat keputusan dan mengatur strategi.

Jelasnya, Tuan Guru Presiden mempunyai hak untuk membuat keputusan sendiri sebagaimana yang dibenarkan oleh Islam walaupun berbeza dengan keputusan mesyuarat jika dilihat di sana ada mudharat yang lebih besar boleh berlaku.

Ini tidak bermakna Islam mengamalkan sistem diktator. Sistem diktator adalah sistem yang tidak membuka ruang langsung untuk orang bawahan mengemukakan pandangan. Ada pun dalam Islam, pandangan orang bawahan adalah sangat dialu-alukan tetapi pandangan tersebut tidak boleh mengikat seorang ketua untuk membuat keputusan.

Dr Ramadhan al-Buti (Fiqh as-Sirah; 1999, m.s 237) menyebut: "Syura dalam Syariat Islam adalah sesuatu yang disyariatkan tetapi ia tidak semestinya dilaksanakan. Ini kerana kebaikan daripada Syura adalah untuk mengeluarkan pandangan-pandangan daripada orang bawahan, mencari kebaikan dan kemaslahatan yang diketahui oleh sebahagian dan tidak sebahagian yang lain atau memandang baik diri-diri mereka. Sekiranya pemimpin melihat pandangan mereka sangat baik berdasarkan dalil syarak dan hukumnya maka pemimpin itu akan melaksanakannya. Jika sebaliknya, dia boleh membuat keputusan mengikut apa yang dia kehendaki dengan syarat tidak berlawanan dengan nas Quran dan Sunnah serta ijmak orang Islam."

Tidak dapat dinafikan bahawa keputusan mesyuarat atau syura perlu dilaksanakan oleh ketua atau pun tidak adalah menjadi perbahasan dan perbezaan pandangan di kalangan Ulamak. Pun begitu, pemimpin mempunyai hak untuk memilih pandangan Ulamak yang berbeza ini. Tuan Guru Presiden ada hak untuk memilih pandangan bahawa keputusan mesyuarat tidak semestinya dilaksanakan dan ahli perlu menerima pilihan Presiden.

Kewajipan ahli ialah mempertahankan dan melaksanakan keputusan Presiden walaupun mereka tidak berpuas hati terhadap keputusan tersebut. Begitulah sikap yang diambil oleh para sahabat apabila mereka tidak berpuas hati terhadap Rasulullah s.a.w. apabila baginda memeteraikan perjanjian dengan musyrikin Mekah dan terpaksa balik semula ke Madinah. Saidina Umar datang menemui Rasulullah s.a.w menyatakan ketidak puasan hati beliau sehinggalah terpaksa ditenangkan oleh Saidina Abu Bakar. Para sahabat tidak mahu berganjak daripada tempat mereka apabila Rasulullah menyuruh mereka bertahallul untuk pulang ke Madinah. Rasulullah s.a.w terpaksa mengulangi sebanyak 3 kali tetapi para sahabat tidak mengendahkannya. Ini kerana mereka tidak puas hati dengan keputusan Rasulullah yang melanggar keputusan asal untuk berperang jika dihalang untuk masuk ke Mekah. Tetapi akhirnya para sahabat melaksanakan arahan Rasulullah apabila Rasulullah sendiri bertahallul. Mereka menerima dan melaksanakan keputusan Rasulullah walaupun mereka tidak berpuas hati.

Itulah sikap yang perlu ada dalam diri ahli pendokong gerakan Islam khususnya Parti Islam seMalaysia (PAS). Walaupun mungkin kita tidak berpuas hati dengan keputusan Presiden tetapi keputusan tersebut tetap wajib dilaksanakan. Mereka boleh meluahkan ketidakpuasan hati itu mengikut saluran yang betul tetapi akhirnya mereka perlu akur dengan keputusan Tuan Guru Presiden.

Adalah amat malang apabila sebahagian ahli dan pimpinan PAS tidak dapat menerima keputusan yang diambil oleh Tuan Guru Presiden dan tidak mahu melaksanakannya. Apa yang lebih mendukacitakan lagi apabila ada di kalangan pimpinan PAS yang mempertahankan kritikan orang luar yang menyalahkan Presiden dalam isu calon di Kota Damansara walaupun Tuan Guru Presiden telah menerangkannya. Pimpinan yang seumpama ini tidak berhak berada dalam saf kepimpinan bersama dengan Tuan Guru Presiden.

Ustaz Mokhtar Senik
Ajk Dewan Ulamak Pas Pusat
Ketua Dewan Ulamak Pas Pahang

Selasa, Ogos 20, 2013

Erti Kemerdekaan dari Perspektif Islam



Kemerdekaan yang sebenar menurut Islam terkandung di dalam kata-kata Rub'ie bin A'mir ketika bertemu panglima tentera rom yang bernama Rustum: 

"Allah mengutuskan kami (orang-orang islam), untuk kami merdekakan manusia, daripada mengabdikan diri sesama manusia kepada mengabdikan diri kepada Allah, daripada kezaliman agama kepada keadilan Islam dan daripada kesempitan dunia kepada keluasan dunia dan akhirat."

Rub'ie bin Amir menyimpulkan kefahaman Islam yang diperolehinya daripada pentarbiyahan Nabi SAW bahawa penjajahan bukan sahaja boleh berlaku melalui penguasaan bangsa asing terhadap sesuatu kaum, tetapi ia juga boleh berlaku melalui penguasaan bangsa sendiri.

Selain itu, menurut pendeta Za’aba, erti kemerdekaan ialah 

  • “berubah daripada kepercayaan bodoh yang melemahkan akal dan ikhtiar kepada kepercayaan yang cerdik yang membebaskan fikiran; 
  • daripada ajaran yang mematikan hati kepada ajaran yang menghidupkan dan menyuburkan dia; 
  • daripada i‘tiqad-i‘tiqad yang serong dan terpesong kepada i‘tiqad yang subur dan merdeka;
  •  daripada kezaliman pemerintahan berdasarkan hawa nafsu kepada kesalehan; 
  • dan daripada fikiran-fikiran yang menahankan dan menyekat kemajuan kepada fikiran yang membebaskan kemajuan dan menggalakkan kemaraan yang baik-baik dan mulia.” 
Kemerdekaan sebenar adalah kemerdekaan jiwa dan minda. Tanpa kemerdekaan jiwa dan minda kemerdekaan fizikal tidak berguna. Ramai cendekiawan Muslim telah menyedari bahawa cabaran utama setelah kemerdekaan fizikal adalah membina jiwa dan minda merdeka.

Jika kemerdekaan bererti kebebasan daripada penguasaan bangsa asing, kenapa Rasulullah saw berjuang membebaskan diri dan manusia daripada kekuasaan musyrikin Makkah yang sebangsa dan seketurunan dengan nabi?

Ini bermakna: kemerdekaan yang sebenar ialah:

Memerdekakan manusia daripada perhambaan sesama manusia sama ada:Bebas bersuara, pemilikan, bertindak, bermuamalah dan seumpamanya.

Kebebasan tadi mestilah dibatasi oleh hukum Allah swt bagi memastikan tiada ruang untuk penjajahan melalui sistem dan undang-undang ciptaan manusia.

Memerdekakan manusia daripada ikatan agama yang direka oleh manusia samada:

1. Agama yang dicipta oleh manusia yang dijadikan sembahan, fahaman dan anutan.

2. Agama yang diturunkan oleh Allah tetapi ditafsirkan mengikut akal tanpa kaedah yang dibenarkan oleh Syariat.

Membebaskan manusia daripada dibelenggu oleh matlamat dunia yang sempit melalui:

1. Menyedarkan manusia bahawa dunia adalah sementara yang menjadi tempat persinggahan.

2. Menjadikan manusia bekerja di dunia untuk akhirat yang merupakan kehidupan yang sebenar.

Justeru, kemerdekaan yang sebenar ialah :

Membebaskan jasad dan material daripada penjajahan manusia.Membebaskan akal fikiran serta mentaliti daripada dibelenggu oleh doktrin-dokrin yang bercanggah dengan Islam.

Sumber : Internet.