Isnin, Mei 25, 2009

Sambutan Jubli Perak Kepimpinan Ulama'

PAS Kawasan Kulaijaya telah menghantar 4 orang perwakilan sempena Sambutan Jubli Perak Kepimpinan Ulama' pada Hari Sabtu 23 Mei 2009 bertempat di markas tarbiah PAS Pusat, Taman Melewar. Majlis yang telah dirasmikan oleh Y.A.B. Dato' Tuan Guru Hj. Nik Abd. Aziz bin Nik Mat, diisi dengan satu Seminar Kepimpinan Ulama' yang dimulai dengan ucaptama oleh Dato' Dr. Haron Din, Timbalan Mursyidul Am PAS.

Y.A.B. Tuan Guru telah memperingatkan betapa pentingnya PAS mengekalkan Konsep Kepimpinan Ulama' yang telah dipelopori sejak tahun 1982. Kepimpinan yang berasaskan syura ulama' telah membuatkan PAS mampu bertahan hingga ke hari ini walaupun melalui zaman kemelesetan dan pelbagai tekanan daripada pihak pemerintah. Dato' Haron Din pula dalam ucaptamanya telah menggariskan kriteria kepimpinan ulama' yang perlu ada pada pemimpin yang menggelarkan diri mereka ulama'. Setiap ahli PAS telah diperingatkan agar tidak terikut-ikut dengan mainan politik musuh-musuh Islam sehingga mereka mampu mencorakkan barisan kepimpinan dalam gerakan Islam.

Dato Seri Presiden semasa membuat ucapan penutup, menyeru setiap ahli PAS agar jangan membuat tanggapan salah antara ulama' dan profesional. Setiap ulama' adalah profesional manakala setiap profesional juga adalah ulama'. Tidak ada garis pemisah antara kedua golongan ini. Media arus perdana yang bermazhab sekular sengaja mengembar-gemburkan isu ini kerana cemburu melihat perpaduan didalam PAS yang semakin ampuh. Pemimpin-pemimpin daripada Pakatan Rakyat kini dilihat sebagai ikon dalam melaksanakan 'good governance' atau tatakelola pemerintahan yang baik. Oleh itu beliau mengingatkan agar setiap ahli PAS tidak terpesona dengan permainan kotor aliran sekularis yang melancarkan 'ghazwatul fikr' atau serangan minda sejak sekian lama. Setiap ahli perlu mempersiapkan diri dengan ilmu pengetahuan bagi menangkis serangan-serangan mereka.

Memang selamanya keteladanan pemimpin menjadi faktor utama kejayaan agenda perubahan maka pemimpin perlu menjadi perubah manusia -'human transformer'- dan pembina budaya -'culture builder'-. Hari ini masyarakat perlu kepada pemimpin yang mampu mewujudkan dua elemen tersebut.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan