Rabu, Mei 13, 2009

Punca Kemusnahan Umat Islam

Sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud ;
'Demi Allah, bukan kefakiran yang aku khuatirkan atas diri kamu tetapi yang aku khuatirkan adalah kemewahan dunia yang terhampar dihadapan kamu sebagaimana yang terjadi kepada orang-orang sebelum kamu, hingga kamu berlumba-lumba untuk mendapatkannya sebagaimana yang mereka lakukan. Akhirnya kemewahan itulah yang membinasakan kamu sebagaimana telah membinasakan mereka'. (HR : Bukhari & Muslim)

Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man dalam salah satu kuliahnya telah menceritakan pertemuan beliau dengan seorang pendakwah dari Kemboja yang menjelaskan punca kemusnahan umat Islam di Kemboja. Terdapat 5 faktor utama sebagai penyebab Allah menimpakan kemusnahan keatas mereka :
  1. Remaja rosak akhlak dan orang tua membiarkan sahaja.
  2. Pengabaian perintah Allah tanpa sebarang rasa kesal.
  3. Nilai agama dipandang rendah oleh masyarakat.
  4. Alim ulama' hanya duduk di masjid dan di rumah.
  5. Aqidah dianggap perkara biasa.
Setelah genap 5 tahun gejala ini melanda, ditahun ke 6 rejim Pol Pot mengambil alih tampuk pemerintahan di Kemboja lalu membunuh alim ulama' Islam. Umat Islam diseru supaya menadah tangan dan bermunajat memohon pertolongan Allah swt tetapi telah tidak diperkenankan. Maka berlakulah siri-siri kemusnahan umat Islam di bumi Kemboja seperti apa yang dapat kita saksikan hari ini.

Apakah pengajaran yang dapat kita ambil daripada peristiwa yang melanda rakan seagama di Kemboja?

Mari kita perhatikan 5 punca utama yang menyebabkan turunnya bala' Allah swt. sambil menyelusuri satu persatu apakah ianya sedang berlangsung di bumi Malaysia ketika ini?

Remaja rosak akhlak dan orang tua membiarkan sahaja.
Menurut statistik Jabatan Pendaftaran Negara, dari tahun 2000 - Julai 2008 sebanyak 257,411 sijil kelahiran didaftarkan tanpa catatan nama bapa. Secara puratanya sebanyak 2,500 sijil dikeluarkan bagi setiap bulan atau 83.3 sijil sehari atau 1 sijil bagi setiap 17 minit 17 saat.
Dalam tempuh 4 tahun (1999-2003) 30,978 dari 70,430 atau 44% adalah terdiri daripada anak-anak orang Islam. Angka ini telah disahkan oleh Menteri Dalam Negeri ketika itu Datuk Seri Syed Hamid Albar semasa menjawab soalan lisan R.Sivarasa (PKR Subang) dalam sessi soal jawab Dewan Rakyat pada 29 Okt. 2008.
Statistik Jabatan Kebajikan Masyarakat pula mencatatkan 50 kes buang bayi sepanjang Jan- Sept 2008 dan 36 kes daripadanya melibatkan pasangan Melayu. Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat YB Noriah Kasnon ketika membentangkannya di Dewan Negara pada bulan Mei 2008, menyatakan bahwa terdapat 304 kes buang bayi dilaporkan dari tahun 2004-2007 yang melibatkan 117 bayi lelaki, 96 bayi perempuan manakala selebihnya tidak dapat ditentukan jantina akibat mayat reput dan sukar dikenal pasti.
Akhbar Utusan Malaysia bertarikh 24 Jun 2008 pula melaporkan, menurut statistik ibu-pejabat Polis Bukit Aman, sepanjang tahun 2000-2006 sejumlah 580 kes pembuangan bayi telah dicatitkan. Prof Dr. Harlina Haliza Siraj; Ketua Wanita Pusat Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM) dalam temuramah bersama Utusan telah menjelaskan bahwa kes ini terus meningkat dari 65 kes pada tahun 2000 ke 83 kes pada tahun 2006. Dari jumlah tersebut 79 kes bagi bayi baru dilahirkan manakala 4 kes pembuangan janin.

Pengabaian perintah Allah tanpa sebarang rasa kesal.
Manusia hari ini melakukan dosa tanpa rasa takut akan azab Allah malah tanpa segan silu. Setengahnya merasakan dosa itu seronok dilakukan dan menjadi sebahagian daripada kehidupan mereka. Dr. Halimah Ali dalam blognya mencatatkan, berdasarkan kajian akhbar Nanyang Siang Pau hanya 50% mangsa jenayah membuat laporan polis. Ini bererti statistik jenayah sebenar mencecah 2 kali ganda daripada angka sebenar yang direkodkan. Kajian polis menjangkakan kadar jenayah akan terus meningkat bagi tahun-tahun mendatang berdasarkan trend semasa. Menurut sumber statistik PDRM dan Journal Kolej PDRM KL menunjukkan :
  • Rogol: 1718 kes (2004) - 3177 kes (2007) meningkat 85%.
  • Samun melibatkan kekerasan: 15288 kes (2004) - 24587 kes (2007) meningkat 61%.
  • Pecah rumah : 24904 kes (2004) - 33599 kes (2007) meningkat 35%.
Kes jenayah syariah juga menunjukkan trend yang sangat membimbangkan.
KES SUMBANG MAHRAM DI MALAYSIA 2000-2006.
  • Tahun 2000 : 213 kes
  • Tahun 2001 : 246 kes
  • Tahun 2002 : 306 kes
  • Tahun 2003 : 254 kes
  • Tahun 2004 : 335 kes
  • Tahun 2005 : 295 kes
  • Tahun 2006 (Ogos) : 209 kes
Sumber: Perangkaan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat 2006,
Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat

Nilai agama dipandang rendah oleh masyarakat.
Hari ini agama sudah tidak ada nilainya disisi masyarakat. Manusia menilai keduniaan mengatasi segala-galanya. Harta dan wang ringgit menjadi ukuran dalam menilai keperibadian seseorang. Orang agama dipandang lekeh malahan ulama' kini dicaci dan dihina. Agama hanya dilihat untuk nikah khawin, kematian dan pembahagian harta pusaka. Selain itu agama dipinggirkan begitu sahaja sambil dikurung dalam ruang lingkup jabatan disamping masjid dan surau. Kalau adapun intitusi yang bersumberkan agama ia sekadar melepaskan batuk di tangga. Jangan sampai tidak ada. Jangan sampai dijadikan isu oleh ahli agama. Hanya sekadar mahu mengelak dikata orang.

Alim ulama' hanya duduk di masjid dan di rumah.
Ini satu sindrom yang sangat berbahaya. Mereka ini merasa selesa dan cukup dengan upah yang diterima yang setanding dengan penjawat-penjawat besar dalam sektor pemerintah. Segala kemudahan disediakan. Kemewahan terhampar didepan mata dan dikecapi dengan segala kenikmatan yang bersifat sementara walaupun mereka tahu peringatan Allah swt dalam surah al-A'laa [87] ayat 16 & 17 yang bermaksud :
'Tetapi kamu memilih kehidupan duniawi Sedangkan kehidupan akhirat adalah lebih baik dan lebih kekal'.
Kelazatan dunia membuatkan mereka lupa melaksanakan tanggungjawab dakwah dan membimbing ummah. Dakwah yang mahu dijalankan ialah dakwah yang jauh dari segala kepayahan dan tribulasi. Ikut saja perintah maka kerja akan jadi mudah. Menegur jauh sekali...membiarkan hari-hari...

Aqidah dianggap perkara biasa.
Walau sejahat manapun Melayu dahulunya, menukar agama tidak sesekali. Usia tuanya akan mengembalikan ia kepada agama. Pegangan adat yang bersendikan syariat, syariat bersendikan agama, mengizinkan Melayu membiarkan anaknya mati kerana agama. Malangnya Melayu yang kini tersohor dengan intelektualitinya mula goyah aqidahnya sehingga menukar agama bukan sesuatu yang mustahil. Melayu hari ini boleh apa saja. Dengan slogan Boleh yang dilaungkan serata dunia, membolehkan Melayu berbuat sesukanya tanpa mengira batas aqidah. Aqidah sudah dianggap normal. Nothing important katanya. Dedah dan dadah sudah biasa. Tidak menghairankan lagi. Pelik jauh sekali. Menonton perilaku Melayu kini amat memalukan. Melayu sudah hilang identiti ketimurannya, hilang semangat juangnya, hilang budayanya dan kini sedang dikikis pula bahasanya. Tidak sudah-sudah dengan laungan Hidup Melayu yang ternyata hilang keIslamannya. Kini Melayu sudah mula hilang agamanya.

Apakah nasib Melayu/Islam akan sama seperti yang berlaku di Kemboja? Sama-sama kita fikirkan....




Tiada ulasan:

Catat Ulasan