Tarikh Pilihanraya Umum ke-13 masih dalam ramalan berbagai pihak.
Beginilah sifatnya demokrasi di Malaysia. BN yang berketuakan Umno
mempunyai kuasa penuh untuk mewajibkan kemenanganya dengan segala cara,
daripada menggunakan media sebelah pihak, menabur politik wang rasuah,
menyalahggunakan duit negara, memaksa jentera kerajaan, menambah
pengundi dengan pelbagai cara, sehinggalah menentukan tarikh
pilihanraya.
Seluruh dunia yang menghayati sistem demokrasi yang memberi hak
kepada rakyat manjadi hakim yang bebas dan adil, hanya badan bebas yang
mengandalikan pilihanraya menentukan tarikh pilihanraya. Bukan sahaja
dipilih tarikh paling selesa kepada rakyat dan semua parti politik yang
berhak, bahkan tempoh yang lama telah diketahui umum. Ada kalangan
negara telah menetapkan tarikh pilihanraya berikutnya lebih awal, sebaik
sahaja pilihanraya umum selesai diadakan. Ada juga menetapkan
kemudiannya, tetapi tempoh masa yang lama diketahui umum. Hanya negara
yang mengamalkan sistem satu parti sahaja memerintah, seperti negara
komunis dahulu dan negara sapertinya, kerajaannya menetapkan pilihanraya
dalam tempoh terdekat mengikut keselesaannya boleh mencapai kemenangan
dan rakyat lebih berpeluang memilih satu parti yang telah memerintah
walaupun banyak melakukan kesilapan.
Di negara kita Malaysia, kerajaan BN memilih cara yang wajib
menjamin kemenangan BN selama-lamanya. Maka kerajaan BN sahaja berkuasa
menentukan tarikh setelah segala persediaan untuk kemenangannya diatur.
Setelah selesai mengatur penipuan, menaburkan duit rasuah kepada seluruh
pengundi
atau isu yang dijadikan perangkap samar kepada parti lawan, juga fitnah
disebarkan, maka tarikh pilihanraya barulah diumumkan.
Termasuk
juga peluang musim haji yang menjadi ibadat wajib kepada penganut Islam
yang merupakan pengundi terbesar. Hanya segelintir umat Islam yang dapat
membezakan diantara wajib mudayyak yang tidak boleh ditangguh dan wajib
muwassaa yang boleh ditangguh. Umno yang memisahkan politik daripada
agama tidak peduli kepada musim haji yang menafikan hak sebahagian besar
rakyat, kerana kaedahnya wajib menang dengan apa cara sekali pun.
Beginilah nasib rakyat Malaysia sejak dahulu sehingga kini. Rakyat
diulit dengan berbagai lagu dan irama politik murahan, walaupun
merosakkan akhlak ditempat yang sudah rosak dan ditayangkan lagu agama
ditempat beragama, kerana sifat pragmatik Umno bersama rakannya dalam
BN. Namun kita menyaksikan alam yang bersifat berubah, termasuk alam
politik. Sistem kuku besi komunis yang
menguasai negara kuasa besar dunia Soviet Union hancur berkecai dan
berubah ke arah demokrasi, sehingga negara komunis mengubah pendekatan.
Selepas itu Filipina meninggalkan Marcos dalam kenangan, diikuti oleh
Suharto di Indonesia dan akhirnya negara-negara Arab yang dikuasai
kerajaan tentera yang menetapkan keputusan pilihanraya sebelum
pilihanraya lagi. Bahawa parti kerajaan pasti menang mencapai lebih
sembilan puluh sembilan peratus. Namun negara tersebut ikut sama
melakukan Islah sistem demokrasinya. Begitu juga yang terakhir di
Myanmar.
Kita mengharapkan negara Malaysia yang berslogankan sopan santun,
naik turun pemimpinnya juga melalui sopan santun, bukannya dengan cara
memalukan. Mereka akan dikenang sejarah oleh generasi akan datang kerana
sejarah tidak mampu ditipu dengan apa cara sekalipun.
PAS mengajak masyarakat Islam khasnya membetulkan imej Islam yang
dirosakkan oleh Umno, atau tegasnya PAS ganti Umno, dan mengajak
masyarakat semua kaum amnya bersama Pakatan Rakyat mengganti Barisan
Nasional. Sekiranya kemenangan berpihak kepada kami, maka segala
kerosakan sistem demokrasi yang berlaku wajib diperbetulkan. Walaupun
dimasa depan rakyat menolak PAS dan Pakatan Rakyat dengan jalan yang
adil disebabkan kesalahan dan kelemahan pemerintahan, tetapi bukannya
dengan cara menipu yang menzalimi diri sendiri.
Dato' Seri Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang
PRESIDEN
PARTI ISLAM SEMALAYSIA (PAS)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan