Khamis, Jun 28, 2012

Asal Perbuatan Jahat dan Baik Manusia.

Firman Allah yang bermaksud :
"Dan Allah yang telah menciptakan kamu dan apa yang kamu lakukan"          ( Surah al-Safat 37:96)
Difahamkan dari ayat ini, semua perbuatan manusiaa termasuk segala tutur katanya adalah daripada Allah swt. Kalau begitu, adakah perbuatan keji dan tutur kata yang dusta itu juga semuanya daripada Allah swt? Didalam ayat lain juga Allah berfirman yang bemaksud :
"Dan Allah yang menciptakan segala sesuatu" ( Surah al-An'am 6:101)
Ada pendapat lain pula mengatakan bahawa setiap kata-kata yang dusta dan perbuatan yang keji itu adalah daripada manusia itu sendiri dan bukan daripada Allah. Adakah pendapat ini benar?
----------------------------------------------------------------------------------
Sesungguhnya segala perbuatan hamba itu adalah makhluk bagi Allah kerana Allah itu bersifat wujud iaitu ada dan Dia yang mengadakan sesuatu (yang asalnya) daripada tiada. Allah juga yang mencipta manusia dan apa yang manusia lakukan. Begitu juga makhluk yang bernama haiwan, Allah yang menciptakannya.

Golongan Muktazillah berpendapat bahwa hanya diri manusia dan segala gerak perbuatannya sahaja daripada Allah. Manakala segala usaha dan ikhtiar adalah daripada diri manusia itu sendiri. Begitu juga setiap pergerakkan yang berlaku hasil daripada gerak manusia seperti berlkunya pergerakkan cincin dari jari seseorang itu kerana bergeraknya jari, maka gerak cincin itu adalah pergerakkan ciptaan Allah disebabkan Allah  jua yang menjadikan jari itu bergerak. Perkara ini khilaf bagi jumhur Muktazillah.

Mengenai ketaatan seorang hamba, ia juga berlaku dengan kehendak Allah menerusi qada' dan qadarNya, kerana Allah amat suka dan redha kepada ketaatan. Dia juga memerintahkan manusia supaya taat. Begitu juga tentang perlakuan maksiat dan kufur yang dilakukan oleh seseorang hamba. Ia juga berlaku dengan kehendak dan iradat Allah swt tetapi perbuatan itu amat dibenciNya dan tidak diperintahkan supaya melakukannya dan sememangnya tidak disukaiNya.

Adapun segala perbuatan yang mungkar, walaupun dianggap sebagai makhluk bagi Allah tetapi tidak seharusnya dikaitkan dengan Allah swt. Demi untuk menjaga peradaban, jangan sekali-kali mengatakan bahawa segala yang dikeji dan mungkar serta setiap yang kufur itu adalah kehendak Allah swt atau dengan mengatakan bahawa Allah menentukan segala-galanya.

Begitu juga percakapan seperti menyebut nama babi, monyet dan seumpamanya, jangan sekali-kali dikaitkan dengan nama Allah, tetapi kita boleh mengatakan bahawa Allah swt yang mencipta segala makhluk haiwan seperti babi dan monyet, tidak akan wujud semua makhluk-makhluk ini melainkan dengan kehendak dan iradat Nya jua.

Kita boleh mengatakan Allah swt memiliki segala yang wujud di tujuh petala langit dan segala apa yang ada di perut bumi, tetapi kita tidak boleh berkata Allah memiliki anak-anak kerana kata-kata seperti itu akan memberikan tanggapan negatif terhadap Allah swt, demikianlah pendapat Imam Ghazali daripada golongan Ahli Sunnah wal Jamaah yang sebenar-benarnya.

Petikan buku Furu' Wal Masa'il
Karangan : Maulana Al-Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani





Tiada ulasan:

Catat Ulasan