Selasa, Disember 27, 2011

MODEL PENDIDIKAN LUQMANUL HAKIM (SIRI 1)

Pendahuluan

Dalam melahirkan junduLlah yang akan menggalas tugas dakwah, adalah amat penting kita memberikan perhatian yang khusus kepada pendidikan anak-anak. Kini dalam musim cuti sekolah ini, marilah kita bermuhasabah dan membuat tekad baru bagi merancang wahana (pathway) kecemerlangan anak-anak kita di tahun yang akan mendatang ini. Moga-moga dalam jangkamasa terdekat ini, anak-anak kita dapat menyambut obor perjuangan Islam serta menyampaikan hasrat kita demi mendaulatkan Islam di Negara Malaysia yang tercinta ini dan di seluruh alam insyaAllah. Urusan ulama PAS Kawasan Kulai kali ini ingin menyorot model pendidikan Luqamul Hakim sebagai suatu model pembangunan insan yang boleh diguna-pakai sebagai kompas perancangan dan perlaksanaan pendidikan anak-anak kita.

Siapakah Luqmanul Hakim dan Apakah Pasak Model Pendidikannya

Beberapa sumber dirujuk telah menceritakan betapa Luqman al Hakim merupakan suatu peribadi mulia. Tidak tampan dan kacak atau gagah perkasa akan tetapi luhur dan mulia keperibadian, ketinggian tingkat keimanan dan ketaqwaan, berilmu dan bijaksana serta datang dari keturunan mulia. Antaranya diperturunkan catatan almarhum Ustaz Ahmad Soehadji dalam kitab tafsir Abrul Athir. Menurut kitab ini, Luqman adalah anak kepada Faghur bin Nakhur bin Tarikh (Azar- bapa kepada Nabi Ibrahim a.s.) Justeru Luqman itu berkait saudara dengan Nabi Ibrahim a.s. Dalam riwayat lain, Luqman dikatakan berkait saudara dengan Nabi Ayub a.s. Menurut riwayat, Luqman hidup sehingga 1000 tahun dan pernah sezaman dengan Nabi Daud a.s. malah pernah menasihati atau berkongsi “hikmahnya” dengan Nabi Daud a.s. Justeru ada sejarawan yang mendakwa Luqman mungkin berketurunan Bani Israel, bahkan beliau pernah menjadi Kadhi dan mengadili kes-kes di kalangan Bani Israel.

Menurut Ibnu Katsir dia adalah Luqman bin Anqa’ bin Sadun. Dalam kitab“Tarikhnya, Ibnu Ishak mencatatkan, bahwa Luqman bernama Luqman bin Bau’raa bin Nahur bin Tareh, dan Tareh bin Nahur merupakan nama dari Azar, ayah Nabi Ibrahim as. Wahab bin Munabbih mengatakan bahwa Luqman adalah putra dari saudari kandung Nabi Ayub as. Muqatil pula menuturkan, Luqman adalah putra dari bibinya Nabi Ayub as. Imam Zamakhsyari menguatkan dengan mengatakan: Dia adalah Luqman bin Bau’raa putra saudari perempuan Nabi Ayyub atau putra bibinya. Riwayat lain mengatakan, Luqman adalah cicit Azar, ayahnya Nabi Ibrahim as. Luqman hidup selama 1000 tahun, ia sezaman bahkan gurunya Nabi Daud. Sebelum Nabi Daud diangkat menjadi Nabi, Luqman sudah menjadi mufti saat itu, tempat konsultasi dan bertanya Nabi Daud as.


Luqmanul Hakim dalam sebuah riwayat lain pula dikatakan seorang yang bermuka biasa, tidak ganteng. Dia berbangsa habsyi (orang arab kulit hitam, berkemungkinan dari Nubiyy- Sudan – selatan Mesir). Dikatakan beliau adalah pekerja kasar iaitu tukang kayu atau tukang jahit atau penggembala kambing. Qatadah pernah menuturkan dari Abdullah bin Zubair bahwasannya ia pernah bertanya kepada Jabir bin Abdullah tentang Luqman. Jabir menjawab: “Dia berbadan pendek dan berhidung pesek, orang Nubi, Mesir”. Sa’id bin al-Musayyib juga menuturkan bahwa Luqman termasuk orang berkulit hitam dari Mesir, akan tetapi sangat mulia, dan Allah memberikan hikmah kepadanya, juga Luqman menolak untuk diangkat sebagai Nabi. Seorang lelaki berkulit hitam datang mengadu kepada Said bin al-Musayyib. Sa’id kemudian berkata: “Janganlah bersedih lantaran kulit kamu hitam, karena di antara manusia pilihan itu, ada tiga orang semuanya berkulit hitam: Bilal, Mihja’ budak Umar bin Khatab dan Luqmanul Hakim”.


Jumhur (majoriti) ulama terkecuali Ikrimah dan Assyi’biy, mengatakan bahawa Luqman bukan seorang Nabi kerana apabila diberikan pilihan, beliau telah memilih Hikmah dan menolak Nubuwwah. (Ikrimah dan Assyi’biy menafsirkan Hikmah itu sebagai ilmu kenabian sebagaimana dalam beberapa contoh dalam al-Quran)

Secara tuntasnya, kita boleh membuat beberapa kesimpulan dari latarbelakang Luqman ini:

a. Beliau merupakan seorang lelaki yang berketurunan mulia

b. Beliau tidak diangkat lantaran pangkat, darjat, rupa-paras mahupun kekayaannya akan tetapi adalah kerana ketinggian budi, akhlak, pemikiran dan kebijaksanaannya. (sebagaimana sabda Nabi saw, “sesunguhnya Allah tidak melihat kepada rupa-paras kamu dan jasad luaran kamu, akan tetapi Allah melihat kepada hati-hati kamu dan amalan kamu)

c. Beliau bukan seorang nabi atau rasul tetapi pesanannya teramat signifikan sehingga dimasukkan oleh Allah azza wa jalla dalam al-Quran

Cubalah kita mengambil suatu pengajaran dari keperibadian Luqman di atas. Salah satu pengajaran yang dapat diambil ialah bagi melahirkan anak yang bertaqwa dan cemerlang, maka kedua orang tuanya juga harus menjadi manusia beriman, bertaqwa dan beramal soleh sendiri. Luqman merupakan individu yang bukan sahaja bertaqwa bahkan berilmu sehinggakan beliau telah dilantik sebagai mufti di zaman Nabi Daud a.s. Beliau juga seorang yang amat zuhud sehinggakan menolak tawaran menjadi nabi dari Allah kerana binbang tidak akan mampu melaksanakan tanggungjawab yang besar itu. Tambahan pula beliau bersangkutan keturunan dengan para ambiya justeru meneruskan keturunan mulia dan berilmu hinggalah dicatatkan di dalam al-Quran dengan gelaran al-Hakim.

Sekianlah untuk siri kali ini, moga-moga bertemu di siri yang akan datang. Ialliqa’I wa antum bi khair.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan