Kemelut yang berlaku di dalam Federal Land Development Authority (FELDA) sudah tidak boleh disembunyikan lagi. Makin banyak pendedahan tentang penyelewengan yang berlaku khususnya yang menjadi mangsa adalah warga peneroka. Isu penyelewengan gred sawit, bantuan penanaman semula dan pelbagai lagi isu yang tidak diselesaikan hingga membawa kepada perbicaraan di mahkamah. Mahasiswa cukup dekat dan prihatin dengan isu yang membelenggu warga FELDA, kerana mereka merupakan warga dan rakyat yang mencari hak dan keperluan hidup di tanah air mereka sendiri.
Isu yang melibatkan lebih 112,000 buah keluarga FELDA ini sangat mencuri tumpuan dan menagih simpati setiap inci rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang ideologi politik. Pengumuman yang dibuat oleh Najib Abdul Razak pada pembentangan Belanjawan 2012 lalu untuk menyenaraikan FELDA Global Venture Holding Sdn. Bhd. (FGVHSB) sebuah anak syarikat milik penuh FELDA dalam Bursa Saham Malaysia baru-baru ini cukup merunsing kita. Cadangan ini secara langsung telah menggantikan hasrat Mahathir yang dibatalkan ekoran daripada bantahan peneroka FELDA pada tahun 2004 untuk menyenaraikan Felda Holding Berhad.
Kita melihat bahawa akan berlaku kesan manopoli dan wujudnya ruang untuk kapitalisme berleluasa. Apabila syarikat utama ini disenaraikan dalam bursa saham, ia bakal memperjudikan lebih 800,000 hektar tanah peneroka di seluruh Negara yang diuruskan oleh FELDA Global Venture Bhd. Tanah yang disebutkan ini sepatutnya menjadi hak milik rakyat yang bekerja untuk membangunkannya dan bukan untuk digadai kepada golongan kapitalis.
Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (GAMIS) merasakan ada agenda yang tidak baik di atas cadangan penyenaraian syarikat berkenaan dalam Bursa Saham yang dijangka dibuat pada pertengahan tahun hadapan. Kita risau dan bimbangkan nasib peneroka dan generasi baru FELDA, di mana mereka ingin lari dan tinggal jika tanah mereka digadaikan di pasaran terbuka berkenaan. Apa yang cukup menyedihkan kita juga ialah, maklumat sebegini sengaja tidak disampaikan kepada seluruh warga peneroka menyebabkan ada yang masih tidak sedar akan hal ini.
Agenda yang tidak baik itu juga makin jelas bila keluarnya arahan bercuti keluar negara ke atas Pengarah Koperasi Permodalan Felda (KPF), Dzulkifli Abd Wahab yang telah berkhidmat selama 35 tahun oleh Perdana Menteri. KPF yang sebelum ini sangat cemerlang dengan integriti dan kemampuan memacu industri pertanian dan dapat menambahkan pendapatan Negara dibawah kepimpinan Dzulkifli dipercayai juga timbul usaha untuk menggantikan tempat beliau oleh individu yang bukan ahli.
KPF secara langsung melanggar undang-undang tubuh KPF itu sendiri. Ini sangat meragukan kita kerana ia seolah-olah dirancang bertepatan pula dengan pencapaian KPF yang cukup membanggakan juga dalam keadaan FELDA bakal digadaikan dengan pelbagai rancangan dan program yang akan dilaksanakan.
Mahasiswa dengan tegas mendesak agar ditarik balik cadangan penyenaraian FGVHSB di Bursa Saham Malaysia dengan kajian serta kesan mendatang secara terperinci. Kita juga mendesak supaya sebarang penyelewengan terhadap peneroka diperbetulkan dan dijalankan secara telus khusunya dalam soal potongan tabungan penanaman semula serta nilaian Grad hasil Sawit dan Getah. Pihak bertanggungjawab juga mesti memberikan penjelasan sekiranya benar berlaku penipuan melalui campuran pasir ke dalam Baja yang diimport dari German kepada peneroka sehingga membawa kesan kepada hasil tanaman. Masa depan generasi baru FELDA bergantung kepada bagaimana kita mempertahankan tanah-tanah yang dimiliki hari ini daripada agenda jahat yang bakal menghancurkan tempat tinggal kita pada masa hadapan.
*Kenyataan media oleh Akram Ikrami bin Taib Azamudden (gambar kanan) selaku Presiden GAMIS.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan