Sabtu, November 28, 2009

Kisah Pemuda Beribu-bapakan Babi.


Nabi Musa adalah satu-satunya nabi yang boleh berakap terus dengan Allah swt. Setiap kali ia hendak bermunajat, Nabi Musa akan naik ke Bukit Tursina. Diatas bukit itulah baginda akan bercakap dengan Allah. Baginda sering bertanya dan Allah akan menjawab pada waktu itu juga. Inilah kelebihannya yang tidak ada pada nabi-nabi lain.

Satu hari Nabi Musa telah bertanya kepada Allah : "Ya! Allah, siapakah orang di syurga nanti akan berjiran dengan aku?" Allah pun menjawab dengan mengatakan nama orang itu, kampung serta tempat tinggalnya. Setelah mendapat jawapan, Nabi Musa turun dari Bukit Tursina dan terus berjalan menuju tempat yang diberitahu. Setelah beberapa hari perjalanan, akhirnya sampai juga Nabi Musa ke tempat yang berkenaan.

Dengan pertolongan beberapa orang penduduk di situ, beliau berjaya bertemu dengan orang tersebut. Setelah memberi salam baginda dipersilakan masuk dan duduk di ruang tamu. Tuan rumah itu tidak melayan Nabi Musa. Dia terus masuk kedalam bilik dan melakukan sesuatu didalam. Sebentar kemudian dia keluar sambil membawa seekur babi betina yang besar. Babi itu didukungnya dengan cermat. Nabi Musa terkejut melihatnya. "Apa hal ni" kata Nabi Musa berbisik didalam hatinya penuh kehairanan.

Babi itu dibersihkan dan dimandikan dengan baik. Setelah itu babi itu dilapkan dengan kering serta dipeluk cium kemudian dihantar semula ke dalam bilik. Tidak lama kemudian dia keluar sekali lagi dengan membawa pula seekur babi jantan yang lebih besar. Babi itu juga di mandikan dan dibersihkan. Kemudian dilap sehingga kering dan dipeluk serta cium dengan penuh kasih sayang. Babi itu kemudiannya dihantar semula kedalam bilik.

Selesai kerjanya itu barulah ia melayan Nabi Musa. "Wahai saudara! Apa agama kamu?" tanya Nabi Musa. "Aku agama tauhid" jawab pemuda itu (agama Islam) "Habis kenapa kamu membela babi, sedangkan kita tidak boleh berbuat begitu" kata Nabi Musa. Jawab pemuda itu kepada Nabi Musa "Wahai tuan hamba! Sebenarnya kedua babi itu adalah ibu-bapa kandungku. Oleh kerana mereka telah melakukan dosa yang besar, Allah telah menukarkan rupa mereka menjadi babi yang hodoh rupanya. Soal dosa mereka dengan Allah itu soal lain. Itu urusannya dengan Allah. Aku sebagai anaknya tetap melaksanakan kewajipanku sebagai anak. Hari-hari aku berbakti kepada kedua ibu-bapaku sepertimana yang tuan hamba lihat tadi. Walaupun rupa mereka sudah menjadi babi, aku tetap melaksanakan tugas aku" sambungnya. "Setiap hari aku berdoa kepada Allah agar mereka diampunkan. Aku bermohom supaya Allah menukarkan wajah mereka menjadi manusia yang sebenar, tetapi Allah belum memakbulkan lagi" tambah pemuda itu.

Maka ketika itu juga Allah menurunkan wahyu kepada Nabi Musa a.s. "Wahai Musa, inilah orang yang akan berjiran dengan kamu di syurga nanti, hasil baktinya yang sangat tinggi kepada kedua ibu-bapanya. Ibu dan ayahnya sudah buruk dengan rupa babi pun dia berbakti juga. Oleh itu Kami naikkan maqamnya sebagai anak soleh disisi Kami".

Allah juga berfirman lagi yang bermaksud :" Oleh kerana dia telah berada di maqam anak yang soleh disisi Kami, maka Kami angkat doanya. Tempat kedua ibu-bapanya yang Kami sediakan dalam neraka telah kami pindahkan ke dalam syurga."

Itulah berkat anak yang soleh. Doa anak yang soleh dapat menebus dosa ibu-bapa yang akan masuk ke dalam neraka berpindah ke syurga, dengan syarat dia berbakti kepada kedua ibu-bapanya, walaupun hingga ke peringkat rupa ayah dan ibunya seperti babi. Mudah-mudahan ibu-bapa kita mendapat tempat yang baik di akhirat kelak. Walau bagaimana buruk sekali pun perangai ibu-bapa kita, itu bukan urusan kita. Urusan kita ialah menjaga mereka dengan penuh kasih sayang sepertimana mereka menjaga kita dari kecil hinggalah dewasa.

Walau banyak mana sekali pun dosa yang mereka lakukan, itu pun bukan urusan kita. Urusan kita ialah meminta ampun kepada Allah swt supaya kedua ibu-bapa kita mendapat keampunan Nya. Doa anak yang soleh akan membantu kedua ibu-bapanya mendapat tempat yang baik di akhirat nanti. Inilah yang dinanti-nantikan oleh para ibu-bapa di alam kubur.

Erti sayang seorang anak kepada ibu dan bapanya bukan melalui hantaran wang ringgit, tetapi sayang seorang anak kapada kedua ibu-bapanya ialah dengan doanya supaya kedua mereka mendapat tempat yang terbaik di sisi Allah swt.

Semoga kita tergolong didalam anak-anak yang soleh yang sentiasa mendoakan kedua ibu-bapa kita.

Amin Ya Rabbul 'alamin

Tiada ulasan:

Catat Ulasan