Isnin, Julai 01, 2013

SPR belanja RM 7.1 juta untuk dakwat tidak kekal.

Semalam (30 Jun 2013) penulis telah dijemput hadir ke Majlis Persamian Pusat Komuniti dan Aduan Rakyat bagi DUN Senai di Taman Mutiara, Indahpura Kulai. Persamian telah disempurnakan oleh YAB Sdr Lim Guan Eng, Ketua Menteri Pulau Pinang merangkap Setiausaha Agung DAP. Ramai tetamu yang hadir termasuk beberapa orang ADUN DAP Negeri Johor serta Sdr Hu Pang Chow, Ketua DHPP Pusat. Penulis mewakili PAS Kawasan Kulai bagi menunjukkan kesepaduannya Pakatan Rakyat dalam mendepani Barisan Nasional pada bila-bila masa. Hari sebelumnya, penulis hadir ke majlis pecah tanah rumah anak-anak yatim bersama Mazlan Aliman di Jalan Lengkungan Kulai.

Semasa ucapan Sdr Lim Guan Eng, beliau telah menyatakan bagaimana SPR membelanjakan sejumlah wang sebanyak RM7.1 juta untuk membeli dakwat yang tidak kekal bagi digunakan dalam PRU13 yang lalu."Tak guna betul...." bisik hati penulis. Beliau menuntut agar SPRM menyiasat SPR, bagaimana wang tersebut boleh dibelanjakan semudah itu sedangkan wang tersebut adalah merupakan wang rakyat. Hari ini penulis dihubungi oleh wartawan Sinar bagi mendapatkan komen yang sama.

Bagi penulis, apa yang penting ialah siasatan perlu dilakukan dengan telus tanpa ada sebarang pilih kasih. Jangan hanya bersandiwara sahaja. Setelah kenyataan berbeza-beza yang dikeluarkan oleh Pak Menteri dan pihak SPR sendiri, maka SPRM disuruh menyiasat bagi mengelakkan tomahan dan ketidak percayaan rakyat terhadap kerajaan. Ini senario biasa di Malaysia. Lihat apa jadi dengan kes Ketua Menteri Sarawak, dengan kenyataan angkuhnya enggan memberi kerjasama, SPRM bisu dan membatu.

Penulis khuatir, dalam kes SPR ini nanti akan ada tangan-tangan ghaib yang menghalang kerja-kerja siasatan. Akhirnya lenyap begitu sahaja. Sebab itu penulis menegaskan kepada wartawan Sinar, agar siasatan dijalankan secara telus. Sejumlah besar wang rakyat telah dibelanjakan. Rakyat berhak untuk tahu siapakah pembekal dakwat ini? Kenapa kenyataan yang dikeluarkan berbeza-beza dalam menyatakan hal yang sama? Kenapa sejumlah wang yang begitu besar dikeluarkan sedangkan mereka tahu ianya tidak boleh digunakan? 

Bila dituduh menipu, mereka marah. Kalau kerajaan minoriti ini benar-benar berintigriti dan mahu memulihkan kepercayaan rakyat, sila dedahkan dalang-dalang disebalik pembaziran ini tanpa ada penglibatan tangan-tangan ghaib daripada pihak yang berwajib. Tapi kalau ianya hanya satu sandiwara, buang masa sahaja dan sekali lagi wang rakyat akan dibazirkan.

Apa-apa pun sama-samalah kita tunggu dan lihat SIAPA YANG KENA.......



Tiada ulasan:

Catat Ulasan