KEISTIMEWAAN PUASA DI BULAN RAMADHAN.
Antara keistimewaan puasa dibulan Ramadhan ialah Allah SWT akan menggandakan pahala orang-orang yang berpuasa melebihi amalan-amalan lain dimana kadarnya hanya diketahui oleh Allah SWT. Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud :
"Semua amalan anak Adam digandakan kebaikkannya sepuluh kali ganda serupa dengannya sehingga tujuh ratus kali ganda . Allah Azza Wajalla berfirman : "Melainkan puasa, kerana ianya untuk Ku dan Aku sendiri yang akan membalasnya, mereka meninggalkan syahwat dan makanannya kerana Ku". Bagi orang yang berpuasa akan mendapat dua kegembiraan ketika berbuka puasa dan kegembiraan ketika menemui Tuhannya, dan bau busuk (dari mulut orang yang berpuasa) kerana berpuasa lebih wangi disisi Allah daripada bau Musk". (HR : Bukhari dan Muslim).
Ganjaran di akhirtat bagi orang yang berpuasa tentunya lebih besar, kerana nikmat dunia walau sebesar mana sekalipun tidak mungkin menyemai sekecil-kecil nikmat akhirat. Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud :
"Sesungguhnya didalam syurga ada satu pintu yang dipanggil 'al-Rayyan', masuk melaluinya orang yang berpuasa pada hari kiamat, tidak boleh masuk melaluinya seseorang pun selain mereka, diseru : 'Mana orang-orang yang berpuasa?' maka mereka pun bangun, tidak akan masuk melaluinya seorang pun selain mereka, maka apabila mereka (orang berpuasa) masuk, pintu itu akan ditutup, maka tidak boleh masuk melaluinya seorang pun" (HR: Bukhari dan Muslim)
Dalam riwayat al-Nasa'ie dan Ibnu Huzaimah pula disambung lagi : "Sesiapa yang masuk akan minum, dan sesiapa yang telah minum tidak akan dahaga selama-lamanya".
Antara bekalan yang boleh diperolehi dari ibadat puasa :
1. Sifat Ikhlas.
Puasa merupaka ibadat yang paling hampir dengan makna keikhlasan bagi seorang hamba. Ini kerana ibadat puasa merupakan rahsia antara hamba dan Tuhannya. Seorang yang berpuasa boleh berbuka tanpa diketahui orang lain, tetapi kerana ketaqwaannya kepada Allah yang mengetahui zahir dan bathinnya, dan kerana mengharapkan pahala dan redha Allah SWT, dia tidak melakukannya. Itulah sebabnya ibadat ini istimewa dari yang lain. Sifat inilah yang paling berharga dalam kehidupan seorang muslim kerana amalan yang tidak disertai dengan keikhlasan tidak diterima oleh Allah dan tidak membuahkan hasil.
2. Mujadalah dan kekentalan jiwa.
Puasa memaksa kita meninggalkan nafsu syahwat walaupun pada perkara yang telah dihalalkan kepada kita untuk melakukannya sebelum Ramadhan. Ini mendidik kita untuk lebih tegas dan meninggalkan perkara yang sememangnya telah diharamkan oleh syariat diluar bulan Ramadhan.
3. Sabar.
Puasa melatih kita supaya bersabar dalam berhadapan dengan keinginan diri dan godaan luaran sepanjang Ramadhan. Sabar seperti ini amat perlu dalam berhadapan dengan segala kemungkinan dan kehidupan.
4. Memelihara fizikal.
Puasa menyebabkan kita terpaksa memelihara perut, telinga, lidah, tangan dan kaki daripada perkara-perkara yang boleh membatalkan puasa.
5. Prihatin dan belas kasihan.
Puasa melahirkan rasa prihatin dan belas kasihan kepada fakir miskin, lantaran itulah disyariatkan zakat fitrah pada bulan ini untuk menguatkan lagi perasaan tersebut. Perasaan ini adalah titik tolak kepada rasa tanggungjawab untuk melakukan pembaikkan dalam masyarakat.
6. Membuka hijab antara diri dengan Allah SWT.
Ibadat yang dilakukan didalam bulan Ramadhan berupaya membersihkan roh dan hati. Dengan itu terbukalah hijab antara hamba dengan tuhannya.
7. Mengenal erti kejayaan sebenar.
Puasa mengajar mukmin erti kejayaan sebenar. Bukanlah harta atau kedudukan menjadi kayu pengukur kepada kejayaan tetapi tercapainya matlamat yang telah digariskan oleh Allah SWT adalah kejayaan yang hakiki. Orang yang berpuasa akan memperolehi dua kejayaan, pertama ketika berbuka dan kedua ketika menemui Tuhannya.
8. Rasa belas dan lemah lembut.
Rasulullah s.a.w. mengajar umatnya, apabila seseorang mencaci atau memperli orang berpuasa, maka hendak ia berkata "Aku berpuasa". Seorang mukmin yang hakiki amat berhajat kepada latihan seperti ini, kerana tidak mungkin dakwah dapat disebarkan dengan kekerasan. Bahkan ia memerlukan sikap berlapang dada dan kemampuan menahan diri dari perasaan marah. Permusuhan dan perbalahan tidak sedikit pun mendatangkan keuntungan kepada dakwah, bahkan merugikan masa dan tenaga.
9. Memperkukuh kesatuan ummah.
Orang Islam diseluruh pelosok dunia berpuasa dalam bulan yang sama. Masing-masing merasakan nikmat kebaikkan bulan Ramadhan dan perasaan ini dikongsi bersama oleh seluruh umat Islam tanpa mengiran bangsa, keturunan, warna kulit, bahasa dan melampaui batas geografi. Merasai ujudnya kesatuan ummah adalah perkara dharuriah atau yang paling utama yang perlu ada dalam diri setiap Muslim.
10. Merapatkan hubungan dengan alam.
Penentuan Ramadhan dan Syawal, membawa umat Islam memerhati perjalana bulan dan bintang. Demikian itu melahirkan keagungan kepada Penciptanya.
11. Menjaga masa.
Puasa mengajar seorang muslim supaya teliti dengan masa dan jadual hidup. Ketika bulan Ramadhan, seorang muslim perlu teliti dalam menentukan waktu berbuka dan sahur kerana sedikit kesilapan akan membatalkan puasanya. Disiplin masa seperti ini amat perlu dalam kehidupan seorang mukmin agar setiap perancangan hidupnya berjaya dan tepat pada masa yang ditetapkan.
12. Kesihatan tubuh badan.
Pakar-pakar perubatan mendapati puasa boleh menyembuhkan pelbagai penyakit yang tidak boleh dipulihkan oleh sesetengah ubat-ubatan moden dan tradisi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan