Isnin, Disember 07, 2009

Pesanan Agar Mengembangkan Ilmu.

Malik bin al-Huwarith r.a. pernah memberitakan :

"Kami telah datang untuk berada di samping Nabi s.a.w. sedang kami di kala itu adalah anak-anak muda yang hampir sebaya".

Maka kami berada disamping beliau (untuk belajar) selama dua puluh hari dan dua puluh malam. Dan adalah Rasulullah s.a.w. seorang yang ramah serta menjadi sahabat kepada kami. Maka dikala beliau merasakan adanya keinginan kami kepada keluarga kami atau kami telah merasa rindu, maka beliau bertanya kami tentang orang yang kami tinggalkan selepas kami (dirumah). Maka kami pun menceritakan kepada beliau.

Maka beliau berkata :
"Kembalilah kamu mendapatkan keluarga kamu dan hendaklah kamu berada disamping mereka, ajarlah mereka dan suruhilah mereka".

Dan beliau menyebutkan beberapa perkara yang saya ingat atau saya tidak lagi ingat.

"Dan bersembahyanglah kamu sebagaimana kamu lihat aku bersembahyang".
"Apabila masuk waktu sembahyang, maka hendaklah salah seorang daripada kamu azan untuk kamu semua dan hendaklah kamu melantik orang yang lebih tua antara kamu untuk menjadi imam."
HR : Imam Bukhari dan Muslim.

Pengajaran Hadis.
  1. Orang-orang Islam digalakkan hidup bergaul dan berkumpul. Lebih-lebih lagi apabila hendak mempelajari ilmu agama.
  2. Orang-orang muda pula digalakkan mendampingi alim ulama' untuk belajar ilmu agama.
  3. Pemuda-pemuda yang datang dan berada disamping Nabi s.a.w. itu telah memperolehi sebahagian ilmu agama daripada Nabi s.a.w.
  4. Mereka disuruh kembali kerumah sesudah cukup tempuh belajar secara intensif untuk mengajar pula kepada keluarga mereka. Mereka hendaklah mematuhi Allah swt dan Rasul Nya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan