Isnin, Disember 14, 2009

Maksud Fiqh Siasah


Fiqh menurut bahasa Arab ialah kata terbitan yang diambil dari kata kerja terdahulu : faquha atau faqiha. 'Faquha/Faqiha al-amr' bermakna: baik kefahaman terhadap sesuatu. Fiqh bermakna kefahaman atau pengetahuan.

Fiqh bukan sekadar ilmu, sebaliknya ialah kefahamn yang memerlukan penggunaan fikiran, penajaman akal dan pengerahan seluruh usaha untuk itu.

Didalam syarak, fiqh tidak diperolehi oleh semua manusia. Sebaliknya ia hanya diperolehi oleh sekumpulan manusia yang memiliki kemampuan akal yang tinggi, beramal soleh serta rasional.

Firman Allah swt yang bermaksud :
"Sesungguhnya telah Kami jelaskan tanda-tanda kebesaran Kami kepada orang-orang yang mengetahui" (al-An'am : 98)

Fiqh tidak diperolehi oleh orang kafir dan orang munafiq. Firman Allah yang bermaksud :
"....disebabkan orang-orang kafir itu kaum yang tidak memahami" (al-Anfal : 65)

Allah swt telah berfirman tentang orang-orang munafiq yang bermaksud :
"Katakanlah; api neraka jahanam itu amat panas jikalau mereka mengetahui" (al-Taubah : 81)

Firman Allah swt lagi yang bermaksud:
".....tetapi orang-orang munafiq itu tidak memahami" (al-Munafiqun : 7)

Fiqh menurut istilah syarak ialah : mengeluarkan (istinbat) hukum-hukum syarak yang bersifat amali dari dalil-dalilnya yang detail(tafsil). Sementara ungkapan 'al-Siyasi' adalah diambil dari perkataan 'sasa', katanama pelaku ialah 'sais' dan katanama terbitan ialah 'siasah' yang bermakna pengjagaan.

Ahli siasah ialah : orang yang memelihara urusan umat, memahaminya dengan kefahaman yang mendalam dan menyelesaikannya dengan pemikiran dan pandangan yang betul.

Ahli siasah Islam ialah : orang Islam yang komited dengan Islam yang menyelesaikan urusan umat dari sudut pandangan Islam dan hukum syarak.

Fiqh Siasah ialah : kefahaman mendalam terhadap urusan umat dalam dan luaran, mentadbirnya, menjaganya menurut panduan hukum syarak dan memandunya.
Siasah terbahagi kepada dua bentuk :-
  1. Siasah Syarak dan
  2. Siasah Bukan Syarak.
Pertama : Siasah Syarak bermaksud memimpin keseluruhan manusia menurut kehendak pandangan syarak dan khilafah yang bertindak memelihara agama serta menguruskan dunia dengannya (agama).

Kedua : Siasah Bukan Syarak atau siasah ciptaan manusia menurut kehendak pandangan manusia yang diterjemahkan kepada perlembagaan-perlembagaan ciptaan yang menggantikan syariat Islam dan bertentangan dengannya. Siasah ini yang menolak siasah syarak ialah siasah yang tidak beragama. Siasah yang tidak mempunyai agama adalah 'siasah jahiliyah'.


Petikan buku : Fiqh Siasah Menurut Imam Syahid Hassan Al-Banna
oleh : Dr. Muhammad Abdul Qadir Abu Faris.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan