Isnin, Julai 13, 2009

Mengenal Tokoh Ulama' dan Pemikir Islam Zaman Silam.

Al-Mawardi Tokoh Sains Politik dan Ahli Fiqh.

PROFIL
  • Nama sebenar : Abu al-Hasan Ali bin Muhammad ibn Habib al-Mawardi.
  • Nama gelaran : Al-Mawardi.
  • Asal : Basrah (kini Iraq).
  • Tarikh lahir : 364H / 974M.
  • Tarikh meninggal dunia : 450H / 1058M.
  • Sumbangan : Merupakan seorang pakar sains politik dan ahli fiqh Islam.
Al-Mawardi dibesarkan dalam keluarga yang sememangnya cinta kepada ilmu pengetahuan. Justeru, sejak kecil beliau diajar al-Quran, hadith, fiqah, usul dan lain-lain ilmu syariat. Diperingkat awalnya beliau mendapat bimbingan daripada Abu Qassim al-Syaimiri, seorang ulama' Basrah yang terkenal ketika itu dalam bidang fiqh.

Beliau juga belajar ilmu hadith daripada beberapa ulama' terkenal seperti Hassan bin Ali al-Jayli, Muhammad bin Ma'ali al-Azdi, Muhammad bin 'Adi al-Munqari. Bahkan al-Mawardi turut mengambil ilmu kesusasteraan Bahasa Arab dari Syeikh Abu Muhamad al-Baqi disamping berguru dengan Syeikh Hamid Isfarayani.

Dikatakan bahwa al-Mawardi pernah dilantik memegang jawatan Qadhi di beberapa buah negeri seperti Kurat, dinegeri Naisaburi sehingga beliau digelar Qadhi al-Qudha. Sepenjang beliau memegang jawatan sebagai Qadhi, beliau dapat mengetahui keadaan seharian masyarakat awam dan berinteraksi dengan mereka dengan lebih dekat lagi. Beliau juga dapat menyelami dan memutuskan perkara-perkara adat untuk disesuaikan dengan panduan syarak. Daripada jawatan Qadhi, beliau dinaikkan pangkat yang lebih tinggi dalam tugas pentadbiran dan pemerintahan negara.

Pengalaman beliau dalam bidang politik dan pentadbiran kerajaan telah memberi peluang kepadanya untuk menghasilkan karya iaitu Kitab Al-Ahkam Al-Sultaniyah. Kitab ini banyak menyentuh berkaitan dengan ekonomi Islam dalam konteks makro seperti menguruskan pendapatan dan perbelanjaan, menjaga hak awam dan hak keistimewaan dalam meluaskan pasaran. Beliau juga menekankan kewujudan Institusi Hisbah yang diuruskan muhtasib selaku juru bicara keadilan dalam pasaran. Selain itu kitab tersebut juga membincangkan tentang pertanian, penternakkan, perdagangan dan perindustrian sebagai 4 sektor utama. Beliau juga menyentuh perihal kewangan Islam mengenai prinsip al-Mudharabah dalam kertas kerja beliau yang dinamakan al-Hawi.

Al-Mawardi dianggap sebagai pemikir dan tokoh politik negara yang paling menonjol semasa pemerintahan kerajaan Abbasiyyah. Maka tidak hairanlah jika beliau sering dijadikan pakar rujuk kepada pembesar-pembesar negara apabila mereka menghadapi masalah. Sementelah pula beliau juga mahir dalam ilmu tafsir, usul fiqh dan ilmu kemasyarakatan.

Al-Mawardi meninggal dunia pada usia 86 tahun dan beliau telah disemadikan di perkuburan Bab Harb di Baghdad.

Petikan : Majalah I Julai 2009

Tiada ulasan:

Catat Ulasan