Selasa, September 15, 2009

SALAM AIDIL FITRI.


الله اكبر الله اكبر الله اكبر، لآ اله الا الله و الله اكبر، الله اكبر ولله الحمد
الله اكبر كبيرا ، والحمد لله كثيرا ، وسبحان الله بكرة واصيلا
لآ اله الا الله و لا نعبد الا اياه مخلصين له الدين ولو كره الكقرون
لآ اله الا الله وحده ، صدق وعده ، ونصر عبده ، وأعز جنده وهزم الاحزاب وحده
لآ اله الا الله والله اكبر الله اكبر ولله الحمد

Allah Maha Besar, Allah Maha Besar, Allah Maha Besar
Tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah dan Allah Maha Besar
Allah Maha Besar dan segala puji-pujian hanya layak bagi Allah
Maha Suci Allah pada waktu pagi dan petang
Tiada Tuhan melainkan Allah dan tidak ada lain yang kami sembah melainkan Dia
Kami ikhlas kepada Nya (mengikuti ajaran Islam) sekalipun dibenci oleh orang-orang kafir
Tiada Tuhan melainkan Allah Yang Tunggal, Yang menepati janji Nya,
Yang menolong hamba Nya dan
Yang memuliakan tentera Nya dalam mengalahkan tentera al-ahzab
dengan sendiri (kekuasaan Nya)
Tidak ada Tuhan melainkan Allah dan Allah Maha Besar
Allah Maha Besar dan segala puji-pujian hanya bagi Allah

Firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 185 yang bermaksud :
"....dan hendaklah kamu menyempurnakan bilangannya dan supaya kamu agungkan kebesaran Allah atas petunjuk yang telah diberikan kepada kamu dan supaya kamu bersyukur".

Diriwayatkan dari Ibnu Umar bahwa ia apabila pergi ke tanah lapang dipagi hari raya, beliau bertakbir dengan mengeraskan suara takbirnya. Dalam riwayat lain (dikatakan): Beliau apabila pergi ke tempat solat pada pagi Idul Fitri ketika matahari terbit, beliau bertakbir sehingga sampai ketempat solat, kemudian di tempat solat itu beliau bertakbir pula sehingga apabila imam telah duduk, beliau berhenti bertakbir. (HR :Asy-Syafie dlm al-Musnad 1:53, hadith no 444 & 445)

Dua dalil ini menunjukkan bahwa Islam menganjurkan umatnya menyambut perayaan dengan memperbanyakkan bertakbir, bertasbih dan bertahmid memuji Allah swt dimulai semenjak terbenamnya matahari pada malam Idul Fitri sebagai tanda kesyukuran diatas kemenangan setelah sempurna bilangan puasa ramadhan. Anjuran ini mengajar umat Islam, sesungguhnya bagi melahirkan kegembiraan itu semestinya ada hubungan dengan al-Khaliq. Ini amat berbeza dengan sambutan perayaan bagi agama-agama lain yang mana kegembiraan sambutan semata-mata bersifat duniawi. Justeru itu adalah salah disisi Islam bagi umatnya menyambut Idul Fitri bersama-sama dengan perayaan agama lain yang disitilahkan sebagai 'Perayaan Berkembar'.

Islam tidak menghalang umatnya bergembira di hari lebaran tetapi Islam meningatkan bahwa kegembiraan itu seharusnya berada didalam ruang lingkup dan garis panduan yang disediakan bagi mengelakkan perayaan yang disambut atas dasar agama, bercampur baur dengan perkara-perkara mungkar. Maka itu, perayaan yang disambut itu diisi dengan lafaz-lafaz takbir, tasbih dan tahmid, membesar serta memuji-muji Allah swt kerana sudah semestinya segala pujian itu hanya milik Allah, Tuhan Semesta Alam.

Bagi hamba-hamba Nya yang mukmin, kegembiraan ini akan diisi dengan pengabdian diri kepada Allah swt secara konsisten sebagai kesinambungan dengan pengabdian yang dilakukan di bulan ramadhan dengan segera kembali kemedan jihad dengan melakukan ibadat puasa enam hari dibulan syawal. Sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud :
"Sesiapa yang berpuasa ramadhan kemudian dia mengiringinya dengan enam hari dari bulan syawal, maka itu seperti berpuasa sepanjang tahun". (HR: Muslim dlm sahihnya; Hadith no 1164)

Beginilah Islam membentuk keperibadian umatnya bagi melahirkan umat terbaik dikalangan manusia. Janganlah kesucian syawal dicemari dengan adegan-adegan mungkar sehingga tidak dapat hendak dibeza antara perayaan Islam dan perayaan bukan Islam. Segala keseronokkan yang sedang hebat dipromosi dimedia-media elektronik dan media cetak, seharusnya mampu ditangkis setelah kita melalui proses pentarbiyahan selama sebulan di bulan ramadhan.

Bagi mereka yang terpaksa melalui perjalanan jauh untuk pulang menyambut lebaran, mulakanlah perjalanan dengan solat musafir, memohon keberkatan daripada Allah swt agar perjalanan yang dilalui mendapat limpahan rahmat dan kasih-sayang Nya, semoga sentiasa didalam perlindungan Allah serta selamat sampai ke destinasi yang dituju. Berdoalah semoga perjalanan tersebut menjadi satu perjalanan yang memberi menafaat kepada agama Nya.

Akhirkata saya dan keluarga mewakili semua pimpinan PAS Kawasan Kulai Jaya bersama Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat mengucapkan :

SELAMAT HARI RAYA AIDIL FITRI
MAAF DZAHIR DAN BATHIN.



YDP PAS Kawasan Kulai Jaya dan Keluarga.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan