Selasa, September 01, 2009

Menghayati Nuzul Quran dari aspek mengangkat kembali kegemilangan Ummah.

Firman Allah swt yang bermaksud :
"Bulan Ramadhan yang didalamnya di turunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi manusia dan penjelasan bagi petunjuk itu dan menjadi pembeda (antara hak dan bathil)....."
al-Baqarah : 185

Diriwayatkan dari Uthman Ibnu Affan r.a. Nabi s.a.w. pernah bersabda : "(Muslim) yang terbaik diantara kamu adalah orang yang mempelajari al-Quran dan mengajarkannya kepada orang lain" HR : Bukhari.


Allah menjelaskan bahwa Ramadhan, selain merupakan bulan dimana difardhukan umat Islam berpuasa, ia juga merupakan bulan dimana al-Quran diturunkan yang mengandungi 114 surah dan 6236 ayat (Prof. Dr. HAMKA : Tafsir al-Azhar jld 1 hlm 97). Diturunkan al-Quran kepada umat manusia ialah bagi menjadi petunjuk dalam menentukan jalan yang diredhai Allah menuju Shiratal Mustaqim untuk menempuh sabilillah atau jalan Allah. Allah melengkapkan lagi petunjuk yang diberi melalui keterangan-keterangan yang jelas lagi nyata agar manusia tidak tersesat selagi mana mereka berpegang teguh kepadanya. Al-Quran juga menjadi pembeda dalam menentukan antara yang hak dan yang bathil. Menyisih, menyaring dan menapis antara yang baik dengan yang buruk dan antara halal dengan yang haram. Sebab itu Allah swt memerintahkan orang-orang yang beriman berpuasa pada bulan ini kerana hanya orang-orang yang beriman sahaja meletakkan al-Quran sebagai panduan hidup mereka dan hanya orang-orang yang beriman sahaja akan melaksanakan segala perintahNya. Rasulullah s.a.w. pula menegaskan bahwa muslim yang terbaik itu adalah mereka yang mempelajari al-Quran dan kemudian mengajarkannya pula kepada yang lain.

Dua dalil diatas menunjukkan betapa pentingnya al-Quran kepada umat manusia terutama sekali umat yang memilih Islam sebagai anutan mereka. Al-Quran sebagai kitab suci yang diturunkan Allah semestinya dipelajari dan dihayati serta seterusnya dilaksanakan segala yang terkandung didalamnya. Al-Quran telah menjadi sumber kekuatan umat Islam ketika dizaman Rasulullah s.a.w., para sahabat, tabi'en, tabi'-tabi'en dan para ulama' sehinggalah keakhir zaman.

Kekuatan ini diakui oleh para pemikir barat dan para orientalis yang secara konsisten mencari jalan untuk melemahkan umat Islam. Para musuh Islam ini, mencuba sedaya mungkin melalui pelbagai cara samada secara serangan fizikal mahupun mental. Disakiti tubuh umat Islam menerusi peperangan dan penjajahan, kemudian dirasuk pula pemikiran mereka dengan suapan kemewahan dan pangkat kedudukan, namun umat Islam tetap bersemangat waja menentang segala bentuk penindasan bahkan rela mati bagi mempertahankan agama mereka. Inilah hasil kejituan jiwa umat Islam yang melalui proses pentarbiahan al-Quran kerana mereka meletakkan al-Quran sebagai perlembagaan tertinggi dalam kehidupan mereka.

Akhirnya para musuh Islam menyedari bahwa kekuatan umat Islam terletak kepada al-Quran. Selagi mereka berpegang teguh kepada kitab suci mereka, mustahil para musuh Islam mampu menggugat keampuhan umat Islam. Bertitik tolak dari kesedaran ini, barat mula melancarkan serangan dalam bentuk intelektual (pemikiran) yang diberi nama ghazwatul fikr. Segala usaha, perancangan dan strateji mestilah tertumpu bagaimana cara untuk memisahkan umat Islam dari kitab suci mereka (al-Quran) didalam kehidupan seharian. Mereka bersependapat bahwa jika sekiranya umat Islam dapat dipisahkan daripada al-Quran maka keampuhan mereka dapat ditembusi.

Dasar impirealisma barat bagi membesarkan hegemoni kekuasaan mereka, mula menerobosi negara umat Islam dan menjadikan negara yang dikuasai , sebagai blok pengguna kepada segala sistem ciptaan mereka. Isme atau ideologi mereka mula diimplimentasikan sebagai persiapan pelepasan kuasa apabila tiba masanya kelak atas nama 'kemerdekaan'. Islam dijadikan agama rasmi bagi menghormati umat Islam yang menjadi majoriti disesebuah negara jajahan mereka. Tetapi Islam didalam negara tersebut telah diinstitusikan dan dipenjara secara taktikal sehingga tidak disedari oleh umat Islam itu sendiri. Mereka bebas mengamalkan agama mereka tanpa sebarang sekatan tanpa disedari segala perundangan dan peraturan yang ditetapkan Allah telah diketepikan. Hak Allah telah dirampas secara sistematik dan ironinya perlembagaan negara berada ditahap lebih tinggi sehingga mengatasi al-Quran. Segala perundangan dan peraturan yang bertentangan dengan perlembagaan negara akan terbatal secara otomatik walaupun ianya datang dari Kalamullah (al-Quran).

Melalui sistem pendidikan sekular yang diperkenalkan, maka lahirlah para pemimpin ciptaan mereka bagi meneruskan agenda memenjarakan Islam didalam negara umat Islam. Sistem pendidikan kebangsaan menjadi pendidikan tertinggi yang mesti dilalui oleh setiap warganegara. Bagi mereka yang memilih sistem pendidikan agama, barat telah menyediakan tempat bagi graduan-graduan ini di institusi-institusi agama yang telah disediakan. Mereka ini tidak layak untuk menduduki kerusi tertinggi pentadbiran negara dengan alasan orang agama hanya layak berada dalam kelompok mereka disurau dan masjid serta yang mempunyai hubung kait dengan agama sahaja. Para pelajar yang memahami agama menerusi pendidikan al-Quran dan as-Sunnah dari pondok dan pesantren, akan dilabel sebagai ekstrimis, fundemantalis dan terkini teroris. Inilah label yang akan dipegang oleh mereka-mereka yang memilih al-Quran sebagai sistem pendidikan sehingga melahirkan para ibu-bapa yang fobia untuk menghantar anak mengaji agama.

Setelah sekian lama Islam terpenjara, maka lahirlah pula kini para profesional kelahiran kebangsaan yang memahami agama hasil dari penyertaan mereka dalam gerakan-gerakan Islam yang bangkit bagi membebaskan Islam dari cengkaman kuasa impirealisma barat. Hasil dari pentarbiahan melalui usrah, tamrin dsb telah melahirkan ramai golongan berpendidikan tinggi aliran sekular yang memahami Islam dari kacamata sebenar. Mereka ini sangat komited terhadap Islam dan mula menyediakan kurikulum pendidikan berdasarkan al-Quran dan as-Sunnah. Sekolah-sekolah agama mula tumbuh dengan pesat dan mereka menempatkan anak-anak mereka disekolah-sekolah berkenaan bagi menimba ilmu agama dan dalam masa yang sama mempelajari ilmu-ilmu ciptaan barat. Sistem pendidikan intergrasi antara akademik dan agama mula mendapat tempat dihati para ibu-bapa yang mempunyai jiwa keislaman. Pemimpin-pemimpin berjiwa Islam mula menerobosi sistem pentadbiran negara dan natijahnya peruntukkan mula disalur kepada sekolah-sekolah agama.

Kebangkitan ini mula dirasai oleh para pencinta Islam. Masyarakat Islam mula kembali mengamalkan al-Quran. Gerakan-gerakan Islam mula tumbuh bagai cendawan. Cendiakawan-cendiakwan Islam dilihat hebat berpidato memberi penjelasan Islam dari prespektif sebenar. Kefahaman mengenai Islam mula menerjah masuk kepemikiran para cerdik pandai dari kalangan sekular. Al-Quran mula mendapat tempat dihati mereka. Al-Quran kini dibaca, diterjemah, dihurai, dihayati dan timbul keinginan untuk melaksanakannya. Perkembangan ini amat menggerunkan para pemikir sekular tegar. Tindakan memecat dan memenjarakan pemimpin aliran Islamik mula diambil. Bantuan perkapita kepada sekolah-sekolah agama dihentikan. Sekolah-sekolah kebangsaan aliran agama diujudkan bagi mengimbangi sekolah-sekolah agama yang ada.

Bagi mereka yang amat cintakan agamanya dan menjadikan al-Quran sebagai teras kejayaan, sekatan dan kekangan dihadapi tanpa rasa gentar. Sekolah-sekolah agama yang ditarik bantuan perkapita oleh sang penguasa, walaupun sedikit terjejas tetapi masih mampu beroperasi hasil dari bantuan para pencinta Islam. Manakala sekolah-sekolah yang ditadbir urus oleh penguasa yang berjiwa Islam menerima lonjakkan kehadiran pelajar dari luar. Ini semua berlaku akibat cintakan kepada al-Quran yang menjadi teras kepada Islam.

Dari sudut pencapaian akademik, sekolah-sekolah agama (bukan sekolah aliran agama) teryata lebih baik daripada sekolah-sekolah kebangsaan. Fakta ini sengaja disorok oleh media-media yang dikuasai mereka. Media hanya memapar pencapaian dari sekolah-sekolah aliran kebangsaan bagi mempengaruhi para ibu-bapa bahwa ini merupakan platform terbaik untuk pendidikan anak-anak mereka. Tetapi apabila Adik Amelina, seorang pelajar dari sekolah agama berjaya mencapai 18 A1 dalam peperiksaan SPM dan diikuti oleh seorang pelajar dari Sekolah Perempuan Muhammadi Kelantan yang juga sekolah agama, maka pemikir sekular terpaksa bertindak untuk menyekat kemaraan ini. Kerana, pencapaian ini akan membuatkan lebih ramai lagi para ibu-bapa berhasrat menghantar anak-anak mereka ke sekolah agama. Fenomena ini akan membuatkan lebih ramai lagi masyarakat memahami al-Quran dan seterusnya memahami Islam itu sendiri. Justeru itu, para pemikir sekular harus bertindak untuk memberhentikan fenomena ini. Maka tercetuslah langkah menghadkan pengambilan subjek SPM hanya kepada 9 kertas sahaja.

Inilah langkah-langkah berterusan yang diambil dan akan diambil oleh para musuh Islam untuk menjauhkan umat Islam dari al-Quran. Gerak kerja ini akan berterusan hinggalah Islam lenyap dari muka bumi ini (Kiamat). Umat Islam mesti kembali kepada al-Quran bagi menjana kekuatan mereka. Kita melihat kini bagaimana umat Islam diratah oleh musuh-musuh mereka seolah-olah tiada harga diri. Anak-anak muda Islam berpeleseran tanpa segan silu seolah-olah mereka tiada agama. Golongan berpendidikan tinggi terpalit dengan rasuah dan penyelewengan seolah-olah tidak bermoral. Sedangkan Nabi s.a.w. diutus untuk menyempurnakan akhlak yang baik. Bukankah Nabi s.a.w. itu diutus atas 3 faktor iaitu : Tauhid, Syariah dan Akhlak.

Segala gejala yang melanda umat Islam hari ini akan mampu diatasi dengan mengembalikan mereka kepada al-Quran. Sempena dengan Ramadhan yang penuh dengan keberkatan dan diturunkan al-Quran didalamnya, marilah kita memperbanyakkan mushasabah diri disamping berusaha mengembalikan kegemilangan Islam dan umat Islam melalui al-Quran. Dampingilah al-Quran. Banyakkan membacanya. Jadikan membacanya sebagai budaya dalam kehidupan seharian. Fahami isi kandungannya dan hayati setiap yang tersurat disebalik ayat yang dibaca menerusi pembelajaran tafsirnya. Dampingi para guru yang mursyid agar hati kita akan terbimbing berpandukan al-Quran. Yakinlah sesungguhnya al-Quran adalah petunjuk dan penyelamat kita dunia dan akhirat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan