Selasa, September 08, 2009

999 Talian Hayat untuk BN.


Kolumnis akhbar Berita Harian, Anwar Patho Rohman menerusi slot rencana keluaran Isnin 7 Sept 2009 memaparkan tajuk 'BN mesti pertahan kerusi DUN Bagan Pinang. Pengalaman tewas 6 pilihanraya kecil jadi pedoman pastikan kebangkitan parti'.

Begitulah bunyinya rencana yang dimuatkan dalam akhbar arus perdana milik kerajaan yang semakin menerima hakikat bahwa kekalahan bukan sesuatu yang mustahil bagi BN dalam pilihanraya kecil. Kalau dulu akbar-akhbar ini dalam pojokannya, memaparkan tulisan-tulisan yang tinggi melangit keyakinan mereka dalam menghadapi sebarang pilihanraya. Sekarang ni iramanya nyata berbeza. Dengan segala kepayahan, dipaksa sipena menulis sesuatu yang tidak pernah terfikir untuk ditulis selama ini. Mahu tidak mahu, terpaksa juga menerima hakikat kebenaran. Apa tidaknya, BN hanya mampu menang di Sarawak sahaja dalam menghadapi 8 siri PRK yang dilalui secara berturutan.

Rencana ini dimulakan dengan angka 999. PRK ke9. Kekosongan kerusi berlaku dalam bulan 9 . Letaknya di Negeri 9. Tahunnya 2009. 999 ialah angka kecemasan. Beliau meneruskan : 'Jika melihat dalam konteks politik, angka 999 adalah panggilan kecemasan kepada BN yang perlu mempertahankan kerusi DUN Bagan Pinang (N31) dalam Parlimen Teluk Kemang ada PRK ke 9. Imej BN sebagai sebuah parti yang memerintah negara selama 52 tahun sedikit tercalar selepas menempuh lapan PRK tanpa henti yang terpaksa diadakan selepas PRU 2008.

BN tewas dalam 6 PRK iaitu Parlimen Kuala Terengganu, Permatang Pauh, Bukit Gantang dan DUN Bukit Selambau, Manek Urai serta terbaru Permatang Pasir. BN hanya menang di DUN Batang Ai, Sarawak dan tidak bertanding di DUN Penanti, Pulau Pinang. Kali ini BN bertanding bukan untuk merampas kerusi itu, sebaliknya 'wajib' mempertahankan kerusi DUN Bagan Pinang yang dimenangi dalam PRU tahun lalu'.

PM ketika ditanya oleh pemberita, menjelaskan "Ini kerusi kita. Kita mempertahankan kerusi bukannya cuba merampas daripada pembangkang". Skrip yang sama ketika soalan yang sama diajukan kepadanya semasa menghadapi PRK Kuala Terengganu dulu. Apakah nasib yang sama akan berulang sepertimana skrip yang diulang?

Dengan peratusan pengundi yang bercampur seperti di Permatang Pasir, UMNO/BN nyata cemas sehingga terpaksa memerlukan talian hayat bagi meneruskan sisa-sisa perjuangan mereka. Kekalahan LDP di Jepun yang memerintah selama 54 tahun, ditambah dengan isu perarakkan kepala lembu di Selangor, benar-benar membuatkan UMNO kini sedang terkapai-kapai mendail angka 999 mengharapkan pertolongan kecemasan bagi menyelamatkan mereka. Apa pula janji mereka kali ini. Hendak dijadikan 'anak emas', kawasan tersebut sudah menjadi milik mereka. Hendak bawa semangat Manek Urai, sudah tertimbus di Permatang Pasir. Di cadangkan kali ini, jadikanlah Bagan Pinang sebagai 'anaku sazali' dengan semangat 'kalah 6 kali'. Sedap juga bunyinya....

Sama-samalah kita tunggu....siapakah yang kena....


Tiada ulasan:

Catat Ulasan