Rabu, September 23, 2009

Apa Signifikannya Raya dengan Mercun?



Kesempatan pulang berhari raya di kampung bersama keluarga merupakan sesuatu yang amat menyeronokkan. Maklumlah saudara mara jauh dan dekat berkumpul sambil bersembang panjang melakarkan kisah masing-masing. Ada yang ceria, lucu dan juga menyedihkan; pendek kata pelbagai cerita dapat dikongsi bersama. Bertanya khabar sudah semestinya. Tetapi apa yang hendak penulis paparkan dalam coretan ini ialah mengenai budaya masyarakat Melayu dalam meraikan Aidil Fitri yang langsung tiada signifikannya dalam agama iaitu 'bermain mercun'.

Mercun secara lumrahnya dikaitkan dengan masyarakat Cina. Membakar mercun bagi masyarakat Tionghua adalah untuk menghalau roh-roh jahat ketika menyambut Tahun Baru dalam kelendar mereka. Namun budaya itu sudah mula menyusut khususnya bagi mereka yang terpelajar dan memahami agama yang dianuti kerana membakar mercun bukanlah suatu tuntutan dalam agama. Ia semata-mata budaya yang bersumberkan mitos dahulu kala. Lantaran itu kita dapati budaya membakar mercun dikalangan mereka semakin berkurangan, apatah lagi dengan larangan ketat yang diambil oleh pihak berkuasa ketika ini, semakin menyulitkan bahan ini diperolehi di pasaran. Perubahan ini benar-benar dapat dirasai menjelang tengah malam Tahun Baru Cina tahun ini yang secara kebetulan penulis mendiami dikawasan perumahan yang majoritinya adalah orang-orang Cina. Tiada lagi bunyi bising; tiada lagi kertas merah bertaburan di persekitaran rumah; yang dapat disaksikan hanyalah percikan bunga api menghiasi ruang udara.

Lain pula halnya dengan suasana Aidil Fitri yang disambut di kampung. Hiruk pikuk dengan letupan mercun berserta meriam tanah, membingitkan suasana malam yang sepatutnya di penuhi dengan ucapan takbir, tasbih dan tahmid. Pada ketika masyarakat semakin memahami Islam dan tuntutannya, budaya cedokkan ini masih belum terkikis lagi dari kehidupan orang Melayu. Puas sudah para ilmuan agama memberi penjelasan antara adat dan ibadat, antara agama dan budaya, perkara-perkara yang ditegah dan disuruh tetapi pengamatan masih di takuk lama. Tambah ironinya lagi, setiap kali menjelang hari raya ada sahaja anak Melayu Islam yang putus jari akibat bermain mercun. Trajedi tahunan yang pasti menghiasi dada-dada akhbar dan media elektronik. Masih teringat bagaimana kata-kata arwah ibu memarahi penulis di zaman kanak-kanak dulu "daripada kau bakar mercun tu...lebih baik kau bakar duit...lebih selamat..sebab duit tak meletup". Ungkapan yang sama juga penulis ungkapkan kepada anak-anak agar mereka tidak terpengaruh dengan budaya yang tak sepatutnya diamalkan sebagai seorang muslim.

Bersuka ria pada hari lebaran tidak ditegah oleh Islam tetapi ia hendaklah dalam kerangka yang telah ditetapkan oleh agama. Budaya membakar mercun adalah perbuatan membazir yang sememangnya ditegah di dalam Islam. Didikan dan kefahaman agama amat perlu ditekankan kepada anak-anak agar mereka sedar bahwa budaya ini bukan sahaja cedokkan daripada budaya jahiliyyah bahkan ia suatu pembaziran yang wajib dihindarkan. Seandainya para ibu-bapa Islam melarang sekeras-kerasnya anak-anak mereka membeli mercun, maka para penyeludup mercun juga secara otomatis akan berhenti beroperasi dan pihak berkuasa sudah tidak terbeban dengan tugas menangkap mereka. Bahkan kilang mercun juga akan menutup operasi pengeluaran. Kata-kata "alah raya setahun sekali...apalah salahnya mereka berseronok..." perlu dikikis daripada ungkapan para ibu-bapa.

Elakkan pembaziran dan gunakan duit membeli mercun itu kepada perkara-perkara yang memberi menafaat kepada agama. Alangkah baik jika sekiranya wang yang bakal kita bakar itu disedekahkan kepada fakir miskin yang amat memerlukan sumbangan kita. Janganlah dirosakkan ramadhan yang dibina dengan kerja-kerja yang tidak berfaedah dan memudaratkan.


1 ulasan: