Isnin, Oktober 14, 2013

Pembelian Bangunan PAS Kawasan Kulai

PAS Kulai berhasrat untuk membeli sebuah rumah teres 3 bilik lot tepi di Bandar Putra Kulai yang berharga RM280,000.00. Bangunan ini akan dijadikan sebagai pusat operasi PAS Kulai disamping juga menjadi Pusat Aduan Rakyat bagi DUN N50 Bukit Permai. Kepada para dermawan yang ingin menyumbang bagi merealisasikan hasrat kami boleh berbuat demikian di akaun PAS Kawasan Kulai MBB 551100701033. Sumbangan anda amat kami hargai dan diucapkan Jazakallah Khairan Kasira.





Sumbangan Sempena Aidil Adha

14 Okt 2013.
Sempena dengan Harai Raya Aidil Adha tahun ini, Ahli Parlimen Kulai YB Teo Nie Ching telah turun padang bagi menyampaikan sumbangan kepada 100 buah keluarga Melayu Islam dalam kawasan Parlimen Kulai pada 12 dan 13 Oktober 2013. Ia telah melibatkan beberapa lokaliti seperti berikut :
  1. Flat Cengal Bandar Putra
  2. Taman Aman
  3. Kg Jaya Sepakat
  4. Taman Beringin
  5. Taman Dawani
  6. Taman Bukit Senang
  7. Felda Taib Andak dan
  8. Taman Anjaria
Sumbangan berbentuk barangan keperluan harian dan duit raya ini telah disampaikan sendiri oleh YB Teo didalam majlis yang diatur di permis PASTI selain bertemu terus dengan penerima secara berkunjung ke rumah mereka.

Rata-rata penerima menyatakan syukur dan terima kasih kerana inilah julung-julung kali sumbangan disampaikan oleh Ahli Parlimen Kulai apatah lagi dari DAP. Sebelum ini tidak pernah Ahli Parlimen datang menghulurkan bantuan serupa, kalau ada pun menjelang pilihanraya untuk  memancing undi.

PAS Kulai terlibat secara langsung dalam menyediakan prasarana dan senarai penerima. Ini menunjukkan gerak kerja kebajikan yang dilakukan bukanlah bermusim bahkan ia akan diteruskan bagi membantu mereka yang memerlukan. Bantuan yang dihulur sedikitpun tidak bersifat perkauman atau bermotifkan politik. Seperti yang disebut oleh YB "Bantuan ini tidaklah seberapa sekiranya dilihat dari segi nilai tetapi ia menjadi tanggungjawab saya sebagai Ahli Parlimen". Bantuan ini menjangkaui sempadan politik kerana kebanyakkan yang menerimanya adalah dari kalangan penyokong UMNO.

Inilah suasana yang hendak dihidupkan oleh parti-parti politik didalam Pakatan Rakyat iaitu melahirkan satu masyarakat Malaysia Baru yang jauh dari fahaman politik sempit perkauman bawaan UMNO / BN. Selain itu program seumpama ini mampu menangkis serangan UMNO yang menyebarluaskan fitnah jahat mereka yang mengatakan DAP anti Melayu dan anti Islam.

Semoga program turun padang seperti ini dapat memberi pencerahan kepada minda masyarakat khususnya Melayu Islam mengenai sifat prejudis mereka terhadap gagasan Pakatan Rakyat.

Selasa, September 24, 2013

16 Fakta Beza Dua Menteri Besar Kedah

Sudah lebih 100 hari usia pentadbiran BN Kedah dan Dato' Mukhriz Mahathir menjawat Menteri Besar Kedah namun, rakyat negeri sudah bercerita kelainan corak pentadbirannya berbanding Kerajaan Pakatan Rakyat. Sama ada mengorak langkah melawan arus atau melakukan pembaharuan, hanya rakyat bijak menilai.

Kontroversi dan sensasi, mula tercetus sejak Mukhriz mengangkat sumpah 6 Mei lalu, mencacatkan BN Kedah dengan perilaku dan tindakan melulu serta terburu-buru dalam membuat sesuatu. Bermula dari hal peribadi sehinggalah kepada pentadbiran kerajaan negeri, pendedahan mula membuka mata semua.

Berikut antara 16 fakta, membezakan dua Menteri Besar Kedah antara kerajaan BN dan kerajaan Pakatan Rakyat. Pendedahan ini, merupakan antara senarai panjang yang hangat diperkatakan sehingga hari ini:

1. 14 hari dilantik menjadi Menteri Besar Kedah, Mukhriz bersama isteri dan anak bercuti ke London yang mana tiket penerbangan dibayar oleh Pejabat Menteri Besar Kedah berbanding Tan Sri Ustaz Azizan Razak, hanya ke luar negara setelah tiga tahun memerintah dan ianya atas urusan rasmi.

2. Menangguhkan tarikh angkat sumpah ADUN di Sidang DUN, yang mana surat rasmi telah dikeluarkan. Penangguhan atas urusan peribadi iaitu bercuti ke London.

3. Menyewa bot ekslusif ke Langkawi bertarikh 2 Jun 2013 untuk hadir Program LADA berbanding Ustaz Azizan sepanjang pentadbiran hanya menaiki feri biasa yang dinaiki orang awam. Raja Permaisuri Agong juga menaiki feri biasa untuk tujuan rasmi.

4.Memberi arahan menukar segera Perabot dan pinggan mangkuk baru di Kediaman Rasmi Seri Mentaloon berbanding Ustaz Azizan yang mengekalkan bagi tujuan berjimat cermat.

5.Memberi hadiah pen berjenama mahal kepada lebih 100 pegawai kerajaan negeri (KSC) seminggu selepas menjadi MB berbanding berbanding Ustaz Azizan yang mahu mengelakkan pembaziran.

6.Semua pegawai khas Mukhriz disediakan pemandu khas oleh pejabat MB berbanding Pakatan Rakyat, yang mana pegawai khas Ustaz Azizan hanya memandu sendiri kenderaan, walaupun atas urusan rasmi.

7.Mahu menjual dan mengakji semula keperluan Kampus Tetap Kolej Universiti Insaniah (KUIN) serta mengurangkan subjek pengajian setelah tiga tahun dibina kerajaan Pakatan Rakyat bagi menampung keperluan 7,000 pelajar yang mengikuti 47 bidang pengajian.KUIN juga telah dirasmikan oleh Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong.

8.Menangguhkan pembinaan Pusat Tahfiz Sains, Pulau Tuba sedangkan tanah, kelulusan telah diberikan oleh Kerajaan Pakatan Rakyat yang berusaha menambahbaik dan menumpukan pembangunan modal insan dan kecemerlangan pendidikan.

9. Memalukan pegawai KCS yang telah hadir raptai angkat sumpah sebagai Pegawai Kewangan Kerajaan Negeri, dengan menukar nama lain di saat hari berlangsungnya acara rasmi.

10. Mendapat teguran selama 1 jam di Istana Anak Bukit oleh salah seorang Jemaah Pemangku Sultan Kedah atas insiden memalukan pegawai KCS tersebut.

11.Membeli kain berharga RM15,000 di salah sebuah gedung pakaian pada 12 Jun 2013 berbanding Ustaz Azizan yang adakalanya membeli baju di sebuah kedai Cina dengan harga RM19.00 sahaja.

12.Mukhriz ingin meneruskan projek Zon Industri Petroleum Yan (ZIPY) berbanding Ustaz Azizan yang menangguhkan sebaik angkat sumpah MB kerana mahu menyelamatkan tanah dan rumah penduduk kawasan tersebut yang dianggarkan lebih 1,000 kediaman akan terlibat.

13.Melarang dan tidak membenarkan Pakatan Rakyat menggunakan Stadium bagi tujuan perhimpunan sedangkan ketika Pakatan Rakyat memerintah, kebenaran diberikan kepada BN yang turut dihadiri oleh Pengerusi dan Timbalan Pengerusi BN.

14. Kuliah agama pertama di Dewan Seri Mentaloon, sebaik Mukhriz angkat sumpah hanya di hadiri 30 orang sahaja dan Kem Modal Insan yang memberi latihan untuk anak-anak bersolat dan memahami agama yang mana yurannya hanya RM20.00 sahaja tidak diteruskan oleh kerajaan BN. Termasuklah pemberian skim Kafalah untuk golongan miskin yang berlaku kematian.

15. Mukhriz membelanja sejumlah RM200,000.00 wang kerajaan negeri untuk kediaman bapanya di Titi Gajah bagi kegunaan dirinya.

16.Seramai 268 kakitangan anak syarikat KUIN sehingga Ogos ini, sudah empat bulan gaji mereka tidak dibayar.


Sumber : Tranungkite

Isnin, September 23, 2013

Warga Peneroka Wajib Baca Ini.....





LEBIH kerap dari tidak, kematian dalam Umno tidak membawa makna kepada sesetengah orang.  Ambil  sahaja Isa Samad, bekas Menteri Besar Negeri Sembilan dan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri.
Setelah dikenakan tindakan disiplin kerana ‘politik wang’, istilah suam kuku Umno bagi amalan merasuah perwakilan di perhimpunan agung bagi memilih jawatankuasa tertinggi parti, Isa kembali mencuri perhatian media.
Selanjutnya, apa juga kesalahan dalam Umno tidak kira sebesar mana sekalipun, tidak akan memadamkan peluang seseorang untuk kembali hidup dan mencapai kedudukan dalam parti dan seterusnya dalam kerajaan.
Justeru kenyataan klasik bekas Presidennya, ‘Melayu mudah lupa’ cukup relevan untuk ahli serta pemimpin Umno.  Hal seperti ini mengingatkan kita kepada kenyataan seorang penulis politik veteran ketika menyindir orang Umno dalam buku-buku tulisan beliau betapa orang Melayu (dibaca orang Umno) mempunyai ingatan singkat atau ‘short memory’.
Tahun 2009 membuktikan hal ini apabila Isa yang dikenakan tindakan penggantungan keahlian selama tiga tahun (24 Jun 2005 hingga 23 Jun 2008)  dipanggil untuk bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Bagan Pinang, Negeri Sembilan.

Walaupun pencalonan beliau mendapat kritikan dari sesetengah pemimpin Umno sendiri,  Najib mempunyai sebab tersendiri yang hanya diketahui oleh dirinya dalam memilih Isa sebagai calon walaupun tindakan penggantungan bagi seseorang yang telah menjadi Menteri Besar selama 22 tahun (April 1982 hingga Mac 2004) mencerminkan keseriusan kesalahan yang dilakukan sekaligus tidak lagi layak untuk diletakkan kepercayaan untuk menjawat sesuatu jawatan awam.
Kemenangan Isa di Bagan Pinang menyuntikkan nyawa baru dalam hayat politik beliau.  Walaupun Najib berhati-hati tidak meletakkan Isa kembali ke kerusi Menteri Besar Negeri Sembilan, namun  Perdana Menteri memeranjatkan semua apabila melantik Isa selaku Pengerusi Felda.
Maka setelah dihidupkan semula dari kematian politik apabila terpilih dan muncul sebagai seorang Adun, perlantikannya selaku Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan,  satu-satunya skim pra-Merdeka (Felda ditubuhkan pada 1956) bagi menangani penempatan semula penduduk miskin luar bandar ke kawasan-kawasan baru dibangunkan bagi meningkatkan taraf ekonomi mereka dengan tumpuan khas diberikan untuk tanaman kontan.
Begitulah sejarahnya.  Namun,  sementara umum tidak begitu pasti apakah ekonomi di peringkat rakyat yang bernaung di bawah Felda telah meningkat berkali ganda, atau sebaliknya beranjak secara marginal,  namun apa yang pasti, badan yang diamanahkan untuk menghapuskan kemiskinan mereka kini sudah menjadi pemain besar dalam dunia korporat.
Benar sebelum ini Felda membuat pelaburan di sana sini dalam bidang bersabit aktiviti terasnya.  Tapi sejak Isa mengambil alih tampuk kuasa pengurusan tertingginya, Felda seolah-olah muncul sebagai sebuah lagi penyerang korporat Malaysia dengan mimpi besar.
Tidak lama dulu, dengan dilatarbelakangi pelbagai bantahan dan dari pelbagai pihak, Isa meneruskan keputusannya mengapungkan saham Felda menerusi penubuhan Felda Global Ventures Holdings.
Kini, Isa meneruskan pencapaian mimpi beliau sebagai ‘corporate raider’ apabila beberapa hari lalu Felda memeterai pembelian Grand Plaza Serviced Apartments di kawasan Bayswater, London.  Menurut laporan sebuah akhbar bisnes tempatan, bangunan plaza mengandungi 198 unit apartment itu dibeli oleh Felda pada harga STG98 juta (RM499.8 juta).
Banyak pemerhati menganggap pembelian hartanah di ibu negara United Kingdom ini adalah sebahagian daripada aktiviti membeli belah yang dilakukan oleh Felda di bawah Isa.  Bulan lalu Felda menguasai saham Idris Corp Bhd pada kos RM110 juta.  Dan sebelum itu, Felda juga telah membeli Grand Borneo Hotel di Kota Kinabalu.
Kurang pasti bagaimana pelaburan ala-korporat ini akan memberikan pulangan setimpal ke atas modal Felda yang telah dikeluarkan dan bagaimana pula ia akhirnya dapat memenuhi aspirasi asal badan tersebut bagi menaikkan taraf ekonomi golongan miskin yang disasarkan menerusi skim ini.
Namun lebih kepada perwatakan seorang ahli politik berbanding penyerang korporat tulen, sudah tentu Isa mempunyai jawapan kepada setiap soalan yang bakal dikemukakan.

Sumber : Harakahdaily

Rabu, September 04, 2013

Jamuan Kesyukuran


SEMUA DIJEMPUT HADIR DAN
 BAWA KELUARGA SEKALI.

Khamis, Ogos 29, 2013

Adab Berjamaah Dan Menghormati Keputusan Presiden



Timbul keributan yang tidak kurang hebatnya apabila Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Presiden PAS dikritik secara terbuka kerana dikatakan melanggar perjanjian dengan PKR dalam isu calon PRU 13 di Kota Damansara. Apa yang menyedihkan lagi, ada di kalangan pimpinan tertinggi PAS yang mempertahankan kritikan tersebut atas nama keterbukaan.

Perlu dipertegaskan bahawa Islam memberikan hak kepada ketua sesebuah organisasi membuat keputusan sendiri tanpa memanggil mesyuarat. Jika dipanggil mesyuarat sekali pun, beliau diberi ruang untuk membelakangi keputusan mesyuarat jika perlu. Bahkan beliau tidak perlu memperjelaskan keputusan yang diambil kepada orang bawahan.

Lihat sahaja kepada sirah perjalanan hidup Nabi Muhammad s.a.w. dalam peristiwa perjanjian Hudaibiyyah. Persetujuan telah dicapai bersama sahabat-sahabat baginda untuk berperang jika mereka dihalang untuk masuk ke Mekah bagi menunaikan ibadat umrah sebagaimana cadangan Saidina Abu Bakar. Bahkan Rasulullah s.a.w mempertegaskan lagi perkara yang sama kepada Budail bin Warqa', orang tengah antara Rasulullah dan Quraisy agar memberitahu musyrikin Mekah tentang perkara tersebut.

Apa yang berlaku, akhirnya Rasulullah s.a.w. tidak melaksanakan dan membelakangi keputusan hasil perbincangan dengan para sahabat tersebut. Rasulullah s.a.w telah memeteraikan perjanjian dengan musyrikin Mekah yang menghendaki orang Islam pulang semula ke Madinah dan datang pada tahun hadapan untuk menunaikan umrah. Bahkan Rasulullah s.a.w. tidak memperjelaskan kepada para sahabat tentang keputusan yang diambil ini. Perjanjian ini bukan wahyu daripada Allah bahkan ia adalah kebijaksanaan baginda dalam membuat keputusan dan mengatur strategi.

Jelasnya, Tuan Guru Presiden mempunyai hak untuk membuat keputusan sendiri sebagaimana yang dibenarkan oleh Islam walaupun berbeza dengan keputusan mesyuarat jika dilihat di sana ada mudharat yang lebih besar boleh berlaku.

Ini tidak bermakna Islam mengamalkan sistem diktator. Sistem diktator adalah sistem yang tidak membuka ruang langsung untuk orang bawahan mengemukakan pandangan. Ada pun dalam Islam, pandangan orang bawahan adalah sangat dialu-alukan tetapi pandangan tersebut tidak boleh mengikat seorang ketua untuk membuat keputusan.

Dr Ramadhan al-Buti (Fiqh as-Sirah; 1999, m.s 237) menyebut: "Syura dalam Syariat Islam adalah sesuatu yang disyariatkan tetapi ia tidak semestinya dilaksanakan. Ini kerana kebaikan daripada Syura adalah untuk mengeluarkan pandangan-pandangan daripada orang bawahan, mencari kebaikan dan kemaslahatan yang diketahui oleh sebahagian dan tidak sebahagian yang lain atau memandang baik diri-diri mereka. Sekiranya pemimpin melihat pandangan mereka sangat baik berdasarkan dalil syarak dan hukumnya maka pemimpin itu akan melaksanakannya. Jika sebaliknya, dia boleh membuat keputusan mengikut apa yang dia kehendaki dengan syarat tidak berlawanan dengan nas Quran dan Sunnah serta ijmak orang Islam."

Tidak dapat dinafikan bahawa keputusan mesyuarat atau syura perlu dilaksanakan oleh ketua atau pun tidak adalah menjadi perbahasan dan perbezaan pandangan di kalangan Ulamak. Pun begitu, pemimpin mempunyai hak untuk memilih pandangan Ulamak yang berbeza ini. Tuan Guru Presiden ada hak untuk memilih pandangan bahawa keputusan mesyuarat tidak semestinya dilaksanakan dan ahli perlu menerima pilihan Presiden.

Kewajipan ahli ialah mempertahankan dan melaksanakan keputusan Presiden walaupun mereka tidak berpuas hati terhadap keputusan tersebut. Begitulah sikap yang diambil oleh para sahabat apabila mereka tidak berpuas hati terhadap Rasulullah s.a.w. apabila baginda memeteraikan perjanjian dengan musyrikin Mekah dan terpaksa balik semula ke Madinah. Saidina Umar datang menemui Rasulullah s.a.w menyatakan ketidak puasan hati beliau sehinggalah terpaksa ditenangkan oleh Saidina Abu Bakar. Para sahabat tidak mahu berganjak daripada tempat mereka apabila Rasulullah menyuruh mereka bertahallul untuk pulang ke Madinah. Rasulullah s.a.w terpaksa mengulangi sebanyak 3 kali tetapi para sahabat tidak mengendahkannya. Ini kerana mereka tidak puas hati dengan keputusan Rasulullah yang melanggar keputusan asal untuk berperang jika dihalang untuk masuk ke Mekah. Tetapi akhirnya para sahabat melaksanakan arahan Rasulullah apabila Rasulullah sendiri bertahallul. Mereka menerima dan melaksanakan keputusan Rasulullah walaupun mereka tidak berpuas hati.

Itulah sikap yang perlu ada dalam diri ahli pendokong gerakan Islam khususnya Parti Islam seMalaysia (PAS). Walaupun mungkin kita tidak berpuas hati dengan keputusan Presiden tetapi keputusan tersebut tetap wajib dilaksanakan. Mereka boleh meluahkan ketidakpuasan hati itu mengikut saluran yang betul tetapi akhirnya mereka perlu akur dengan keputusan Tuan Guru Presiden.

Adalah amat malang apabila sebahagian ahli dan pimpinan PAS tidak dapat menerima keputusan yang diambil oleh Tuan Guru Presiden dan tidak mahu melaksanakannya. Apa yang lebih mendukacitakan lagi apabila ada di kalangan pimpinan PAS yang mempertahankan kritikan orang luar yang menyalahkan Presiden dalam isu calon di Kota Damansara walaupun Tuan Guru Presiden telah menerangkannya. Pimpinan yang seumpama ini tidak berhak berada dalam saf kepimpinan bersama dengan Tuan Guru Presiden.

Ustaz Mokhtar Senik
Ajk Dewan Ulamak Pas Pusat
Ketua Dewan Ulamak Pas Pahang

Selasa, Ogos 20, 2013

Erti Kemerdekaan dari Perspektif Islam



Kemerdekaan yang sebenar menurut Islam terkandung di dalam kata-kata Rub'ie bin A'mir ketika bertemu panglima tentera rom yang bernama Rustum: 

"Allah mengutuskan kami (orang-orang islam), untuk kami merdekakan manusia, daripada mengabdikan diri sesama manusia kepada mengabdikan diri kepada Allah, daripada kezaliman agama kepada keadilan Islam dan daripada kesempitan dunia kepada keluasan dunia dan akhirat."

Rub'ie bin Amir menyimpulkan kefahaman Islam yang diperolehinya daripada pentarbiyahan Nabi SAW bahawa penjajahan bukan sahaja boleh berlaku melalui penguasaan bangsa asing terhadap sesuatu kaum, tetapi ia juga boleh berlaku melalui penguasaan bangsa sendiri.

Selain itu, menurut pendeta Za’aba, erti kemerdekaan ialah 

  • “berubah daripada kepercayaan bodoh yang melemahkan akal dan ikhtiar kepada kepercayaan yang cerdik yang membebaskan fikiran; 
  • daripada ajaran yang mematikan hati kepada ajaran yang menghidupkan dan menyuburkan dia; 
  • daripada i‘tiqad-i‘tiqad yang serong dan terpesong kepada i‘tiqad yang subur dan merdeka;
  •  daripada kezaliman pemerintahan berdasarkan hawa nafsu kepada kesalehan; 
  • dan daripada fikiran-fikiran yang menahankan dan menyekat kemajuan kepada fikiran yang membebaskan kemajuan dan menggalakkan kemaraan yang baik-baik dan mulia.” 
Kemerdekaan sebenar adalah kemerdekaan jiwa dan minda. Tanpa kemerdekaan jiwa dan minda kemerdekaan fizikal tidak berguna. Ramai cendekiawan Muslim telah menyedari bahawa cabaran utama setelah kemerdekaan fizikal adalah membina jiwa dan minda merdeka.

Jika kemerdekaan bererti kebebasan daripada penguasaan bangsa asing, kenapa Rasulullah saw berjuang membebaskan diri dan manusia daripada kekuasaan musyrikin Makkah yang sebangsa dan seketurunan dengan nabi?

Ini bermakna: kemerdekaan yang sebenar ialah:

Memerdekakan manusia daripada perhambaan sesama manusia sama ada:Bebas bersuara, pemilikan, bertindak, bermuamalah dan seumpamanya.

Kebebasan tadi mestilah dibatasi oleh hukum Allah swt bagi memastikan tiada ruang untuk penjajahan melalui sistem dan undang-undang ciptaan manusia.

Memerdekakan manusia daripada ikatan agama yang direka oleh manusia samada:

1. Agama yang dicipta oleh manusia yang dijadikan sembahan, fahaman dan anutan.

2. Agama yang diturunkan oleh Allah tetapi ditafsirkan mengikut akal tanpa kaedah yang dibenarkan oleh Syariat.

Membebaskan manusia daripada dibelenggu oleh matlamat dunia yang sempit melalui:

1. Menyedarkan manusia bahawa dunia adalah sementara yang menjadi tempat persinggahan.

2. Menjadikan manusia bekerja di dunia untuk akhirat yang merupakan kehidupan yang sebenar.

Justeru, kemerdekaan yang sebenar ialah :

Membebaskan jasad dan material daripada penjajahan manusia.Membebaskan akal fikiran serta mentaliti daripada dibelenggu oleh doktrin-dokrin yang bercanggah dengan Islam.

Sumber : Internet.